Sunday, August 12, 2007

Ashabul Kahfi : Satu Pandangan


Semalam saya membaca satu artikel dari berita harian online yang bertajuk Misteri: Lokasi Gua Ashabul Kahfi Jadi Teka-Teki. Setelah membaca artikel tersebut saya rasa terpanggil untuk menulis sesuatu di dalam blog ini. Satu perkara yang pernah saya kaji sejak beberapa tahun yang lalu.

(Pembaca boleh membaca artikel ini terlebih dahulu)
Artikel dari Berita Harian Online mengenai Ashabul Kahfi http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Perspektif/20070805105449/Article/

Di dalam artikel tersebut, penulisnya: Nasron Sira Rahim, menyampaikan pengisian tentang kisah Ashabul Kahfi yang diceritakan di dalam Al-Quran dan misteri di mana lokasi kejadian itu telah berlaku.

Sememangnya topik ini amat menarik dikupas dan diperbincangkan.

Sejak tahun 2000, saya telah cuba untuk mencari sumber bacaan mengenai kisah Ashabul Kahfi. Ternyata banyak pandangan mengenai tempat di mana berlakunya peristiwa tersebut.

Antara pandangan di mana berlakunya peristiwa tersebut ialah 4 di Turki (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras, Mardin), 1 di Syria (Jabal Qassiyun) dan 1 di Jordan (Abu Alanda). Ada juga pendapat yang lemah mengatakan ia berlaku di Saudi Arabia dan Sepanyol.

Setelah membaca, mengkaji dengan melakukan tinjauan ke beberapa lokasi Ashabul Kahfi saya lebih berkeyakinan yang peristiwa itu berlaku di Abu Alanda, Jordan. Bukti-bukti itu saya temui hasil bacaan saya dari beberapa buah buku, dan tinjauan ke lokasi tersebut.

Berikut adalah artikel ringkas yang telah saya siapkan berkenaan pandangan saya mengenai kisah Ashabul Kahfi dan beberapa bukti yang ia berlaku di Abu Alanda, Jordan.

Kisah Ashabul Kahfi Dan Beberapa Bukti Peristiwa Berlaku di Jordan
Penulis : Muhamad Hazimin bin Sulaiman

Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.

Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.

Kisah 7 pemuda ini bermula apabila mereka berhadapan dengan raja yang zalim dan mengakui bahawa mereka hanya beriman kepada Allah yang menguasai langit dan bumi. 7 orang pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim bersama seekor anjing mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ lalu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun Qamariah.

Apabila mereka bangun, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan dan mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).

Pemuda tersebut kembali ke gua dan pemuda-pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut.

Ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian di manakah tempat berlakunya kisah 7 pemuda tersebut ditidurkan oleh Allah dalam tempoh masa yang lama. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakalan penganut kristian mempercayai kisah ini berlaku dan menjalankan kajian mereka dari kitab bible. Pelbagai hasil kajian, pandangan telah diberikan dalam menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah ia berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh 'Alim Ulama terdahulu dan dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.

Bilakah ia berlaku?
Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.

Pandangan kedua berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman penguasaan Maharaja Trajan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trajan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Siapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trajan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.

Di manakah ia berlaku?
Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa kisah ini berlaku di Turki, Jordan, Syria, Arab Saudi dan Sepanyol. Di Turki sahaja terdapat 4 lokasi dikatakan peristiwa itu berlaku (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras dan Mardin). Penulis telah berpeluang menziarahi 3 lokasi di mana terdapatnya Gua Ashabul Kahfi iaitu di Abu Alanda, Jordan. Ephesus, Turki dan Jabal Qassiyun, Syria.

Apa yang boleh penulis simpulkan hasil dari bacaan, pemerhatian di lokasi-lokasi tersebut dua lokasi di Ephesus dan Jabal Qassiyun tidak banyak membuktikan bahawa di situ berlakunya peristiwa tersebut. Bukti yang penulis maksudkan ialah dari ciri-ciri gua yang diterangkan di dalam ayat Al-Quran. Berbeza dengan gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan. Ciri-ciri seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran agak bertepatan. 3 ciri dari ayat Al-Quran yang menjadi perhatian penulis ialah :

Pertama : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17-

17. Dan Engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada Dalam satu lapangan gua itu...

Lokasi Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda, Jordan terdapat sebuah lubang dari atas gua yang memasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam matahari berada dari arah pintu gua.

Kedua : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 21

21. ... setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah Yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang Yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya Kami hendak membina sebuah Masjid di sisi gua mereka".

Di atas Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda terdapat rumah ibadat yang dibina ketika zaman tersebut. Rumah ibadat yang dimaksudkan adalah rumah ibadat penganut nasrani. Ketika zaman kerajaan Umawiah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid.


Ketiga : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17

17. ..sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.

Bentuk gua yang terdapat di Abu Alanda adalah luas dan lapang serta tidak dalam.


Bukti dari kesan sejarah dan arkeologi

Beberapa bukti telah dikenalpasti dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi bahawa gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan merupakan gua di mana berlakunya peristiwa tersebut.

1. Terdapat tulisan pada lengkungan pintu di dinding sebelah Timur yang menyatakan 'Masjid diperbaharui pada tahun 117 hijrah yang merujuk kepada zaman Hisham bin Abdul Malik bin Marwan. Ini membuktikan bahawa ketika era kerajaan Umawiah mereka sudah memperharui masjid yang sebelum itu menjadi rumah ibadat nasrani. Kesan yang boleh dilihat ialah binaan mihrab (petunjuk arah kiblat) yang terdapat di atas gua tersebut.

2. Tulisan khat Kufi turut ditemui yang mengisyaratkan bahawa masjid kedua di Ashabul Kahfi diperbaharui pada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun dari kerajaan Abasiah. Masjid kedua yang dimaksudkan ialah masjid yang dibina berhadapan dengan gua Ashabul Kahfi setelah masjid pertama diwujudkan di atas gua ketika zaman Umawiah.

3. Kesan Nawawis di dalam gua. Nawawis di dalam Mu'jam Wasit (m/s 962) memberi erti kubur orang nasrani yang diletakkan mayat di dalamnya. Pada Nawawis tersebut terdapat bintang segi lapan yang membuktikan tanda zaman kerajaan Rum-Byzantium pada kurun ke-3 masihi. Menjadi adat pada ketika itu, mayat-mayat nasrani akan dikuburkan di dalam bekas batu. Ini tidak mustahil bahawa mereka yang telah menguruskan mayat pemuda tersebut telah mengkebumikan mereka dengan cara dan adat mereka pada ketika itu.

4. Penemuan barangan tembikar, duit tembaga dan perak, lampu dari pelbagai zaman (Umawiah, Abasiah, Turki Uthmaniyyah) di dalam gua tersebut dan sekitarnya. Ia membawa maksud bahawa tempat itu telah dijaga oleh pelbagai zaman yang berlalu.

5. Al-Waqidi di dalam kitabnya Futuhat Sham telah menulis bahawa beliau bersama yang lain telah berhenti di Ain Ma' berhampiran gua ashabul kahfi. Mereka berhenti di Ain Ma' tersebut berwuduk, solat dan tidur di situ sebelum meneruskan perjalanan keesokkan harinya ke tanah Palestin. Ain Ma' terletak 70 meter dari gua ashabul kahfi.

6. Pokok zaitun berusia ratusan tahun tumbuh berhadapan gua. Pokok tersebut telah mati dan kesan batang pokok zaitun yang berusia ratusan tahun itu kini ditempatkan di dalam muzium mini di dalam gua.

7. Penemuan tulang di dalam Nawawis. Dikatakan bahawa tulang-tulang tersebut adalah kepunyaan pemuda-pemuda tersebut.

Dari beberapa penemuan dan bukti yang ada. Berkemungkinan peristiwa yang telah dinyatakan di dalam Surah Kahfi mengenai pemuda-pemuda yang ditidurkan selama 300 tahun Shamsiah telah berlaku di Abu Alanda, Jordan.

Wallahualam.


-----
Begitulah serba sedikit pembentangan yang dapat saya berikan untuk dikongsi bersama dengan pembaca. Namun ia hanya sebuah pandangan dari saya hasil dari bacaan yang sedikit dan tinjaun yang masih belum menyeluruh.

Saya telah tiba di Gua Ashabul Kahfi Ephesus Turki pada Mei 2002. Terdapat bukti lubang cahaya, kesan Nawawis namun ianya seperti 'samar'.

Jun 2003 saya berpeluang bersama krew Jejak Rasul di Syria. Banyak ilmu saya dapat apabila dapat berbual dan berbincang dengan Ust Wan Alias Abdullah. Saya bertanya tentang Gua Ashabul Kahfi. Beliau lebih meyakini bahawa di Tarsus adalah tempat peristiwa itu berlaku.

Feb 2006 saya membuat tinjaun di Ashabul Kahfi yang terletak di Jabal Qassiyun, Syria. Tidak banyak bukti ia berlaku di situ. Menurut penjaga disitu, lubang cahaya telah ditutup. Namun di atas gua tersebut ada sebuah masjid.

2000-2007 saya sering ke Ashabul Kahfi di Amman. Mungkin ada yang berkata disebabkan kekerapan saya ke gua tersebut, saya lebih mengatakan disitu berlakunya peristiwa tersebut. 'Tuduhan' itu salah. Saya lebih mengatakan bahawa di Abu Alanda berlakunya peristiwa tersebut ialah hasil dari bacaan dan tinjauan yang telah saya bentangkan di dalam artikel di atas. Jika ada pandangan yang lebih tepat sudah pasti saya akan menerimanya.

Mengkaji di mana peristiwa ini berlaku penting namun apa yang lebih penting adalah pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Ashabul Kahfi tersebut. Antaranya ialah kehebatan iman pemuda-pemuda tersebut yang mampu berhadapan dengan maharaja yang zalim demi keimanan mereka kepada Allah S.W.T.


Kesan Nawawis yang terdapat di dalam gua.

Kesan Tulang Ahlil Kahf? (Diragui)

Mini muzium yang terdapat di dalam gua. Terdapat kesan tembikar, rantai, lampau dan
kayu pokok zaitun berusia ratusan tahun


19 komen:

silversarina said...

emmmm menarik sekali kupasan dan pengkajian mengenai ashabul kahfi... pernah ada orang bagitau, yang kat abu alanda tu nampak terlalu seperti dibuat-buat untuk menarik pelancong.... bagi makcik, kita ambil pengajaran dari apa yang kita lihat kerana sejarah ini sahih berlaku ( dinyatakan dalam al quran ).

Anonymous said...

menarik... yang pentingnya kita percaya pada ayat Quran tu...

Anonymous said...

salam makcik ina,
pernah jugak saya dengar org cakap camtue. Ada jugak yang mengatakan kisah ini berlaku di Amman adalah terlalu lemah. Kekadang masyarakat setempat yang Klim tempat dorang sebagai Ashabul Kahfi sebab nak femeskan tempat dorang dan bagi ada pula yang percaya ttg keramat dan keberkatan. So, mengakulah peristiwa itu berlaku di tempat mereka..

apa yang penting, ia sebuah sejarah yg benar dan bila kita percaya ttgnya, kita jadi semangat nak cari di mana ia berlaku..

Kita Mahu, Allah akan beri petunjuk.

Anonymous said...

salam kak lin,
betul kata kak lin tue..lebih indah jika semua manusia berpegang dan percaya secara total apa yang Allah tetapkan dari perlembagaanNya itu..tidak ambil separuh, buang separuh..

Anonymous said...

tahniah...satu kajian huraian yang mmg menarik...susah jgak kan banyak sgt khilaf2 tempat blaku ni :) takpe la yang penting fakta sahih dari al quran tu untuk kite jadikan pedoman n iktibar pada pegangan...

Latiptalib said...

Baru-baru ini ada seorang ustaz mengatakan dia sudah melawat gua al Kahfi di Jordan. Saya yang belum pernah ke sana mengiyakan sajalah..

Kisah pemuda al Kahfi ini memang benar kerana disebut dalam al Quran. Pengajaran dari kisah ini manusia akan dihidupkan kembali suatu masa nanti.

Di mana berlakunya peristiwa itu memang payah untuk dibuktikan. Namun kita meyakini peristiwa itu memang berlaku pada suatau masa dahulu.

Anonymous said...

salam guli guling,
betul tu guli guling..apa yang penting ialah pengajaran dari kisah tersebut. Mengetahui tempat berlaku adalah perkara sampingan..namun ia tetap ilmu yang menarik utk kita kupaskan..

Anonymous said...

salam pak latib,

betul kata pak latip. Ia sukar dibuktikan di mana peristiwa itu berlaku..Apa yang penting ia adalah perkara benar diceritakan di dalam Al-Quran. Tambahan apabila melihat sebab turun ayat ini apabila yahudi di madinah bertanya kepada rasulullah tentang 7 pemuda dari kalangan mereka yang ditidurkan Allah..Lalu turun wahyu ayat mengenai 7 pemuda tersebut yang disampaikan oleh Rasulullah

Anonymous said...

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Kahfi Ayat ke-9 yang bermaksud :

109. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, Walaupun Kami tambahi lagi Dengan lautan Yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".

Maha Luas Ilmu Allah..Jika manusia terus mengkaji, mengorek segala perkara yang masih tersembunyi sudah tentu makin bertambah ilmu-ilmu yang telah sedia ada.

Allah berikan akal untuk manusia berfikir dan terus mencari ilmu yang Allah sediakan..

Anonymous said...

Pembetulan di atas : ayat ke 109

SoFie NuR said...

adeh...susah jugak nk tau mane satu yg betul ke tak bile masing2 nk claim sejarah tu berlaku kat tempat mereka...

xpe2..teruskan mencari...yg penting pengajaran dari kisah tu....

Anonymous said...

tempat blaku tu no2...yang penting iktibar n teladan dari kisah yang mmg sahih dalam quran :)

Anonymous said...

tempat blaku tu no2...yang penting iktibar n teladan dari kisah yang mmg sahih dalam quran :)

Anonymous said...

sofie,
insyaAllah saya xjemu untuk terus mencari..jika ada info2 baru nnt akan diceritakan dalam blog ni nnt..

Anonymous said...

guli guling,

betul tue..:) semoga dari artikel nie pembaca dapat menyedari ttg keagungan Al-Quran..

Anonymous said...

alhamdulillah,dgn mngetahui kisah ini, keyakinan saye trhadap keagungan al-Quran brtambah, truskan mencari!

greenforce13 said...

salamullah benarlah al-quraan mukjizat teragung. kisah ashabul kahfi duduk didalam sebuah surah yang ajaib surah tentang orang -orang ajaib renungkan kembali keseluruhan surah itu fahamkan betul-betul hayati betul-betul bawa satu al-quraan dalam diri.quraan kena di pakai keseluruhannya bukan sikit-sikit ia berulang-ulang.berfikirlah sekiranya tempat lokasi kejadian pun banyak ada keraguan tetapi al-quraan tiada keraguan.fikirkan ayat tanda kiamat.atau kisah musa serta hamba yang soleh.masa depan fikirkan masa depan jangan ditanya berapa orang didalam nya. fikirkan bersama.

Anonymous said...

minta copy kisah ni untuk dikongsi bersme rakan yg laen=)

A.K said...

Assalam..
Banyak pengakuan mengenai tempat Gua Ashabul kafi itu.ALLAH swt Maha Mengetahui.Mengikut riwayat sahabat Nabi r.a.di zaman Khalifah Umar ra beberapa orang Yahudi datang berjumpa beliau dan mengajukan beberapa persoalan masalah yang penting,termasuklah mengenai Ashabul Kahfi.Kesimpulannya ia di Tarse sekarang, iaitu diTurki.