Wednesday, February 13, 2008

Kembara Syria- Episod IV


Perjalanan hari ketiga Kembara Syria Winter 2008 dari Hama terus menuju ke Ar-Raqqah. Sebuah bandar di pesisiran Sungai Furat yang terletak sejauh 542 Km dari Dimashq dan sejauh 333 Km dari bandar Hama.

Kami tidak mengambil jalan Halab untuk ke Ar-Raqqah tetapi melalui Jalan Salamiyyeh menuju ke Assabboura, Assa'ein dan terus melalui jalan merentas padang pasir menuju ke persimpangan Thawrah untuk ke Ar-Raqqah.


Ar-Raqqah senang disebut Ragga oleh masyarakat tempatan di situ. Ia mirip kepada Lahjah (bahasa pasar/dialek) rakyat selatan Jordan dan Mesir yang menyebut Qaf dengan Ga. Tidak seperti penduduk Dimasqh yang menyebut Q dengan huruf Alif. Sebagai contoh Qahwah (Kopi) disebut oleh penduduk Dimashq dengan Ahwei.. (Huruf Ta dihujung disebut dengan huruf Ya).

Perjalanan yang panjang telah kami lalui dari Hama sebelum tiba di persimpangan Thawrah untuk ke bandar Raqqah. Kami berhenti di sebuah perhentian istirehat selama 20 minit. Stesyen minyak yang berada berhampiran kawasan istirehat juga tidak berpelanggan disebabkan ketiadaan minyak. Untuk perjalanan hari ketiga, kami sudah tidak berasa bimbang jika kehabisan minyak di pertengahan jalan. Ini disebabkan pemandu kami, Abu Basil telah membeli 2 biji Jarkan (Tong) di Tadmur yang setiap tong mampu mengisi 25 Liter Disel. Jadi, kami sudah ada simpanan tambahan Disel sebanyak 50 Liter di atas coaster. Jika setiap Liter Disel mampu menggerakkan coaster sejauh 3-4 kilometer, ini bermakna perjalanan sejauh 200km masih dapat diselamatkan.


Dari persimpangan pekan Thawrah kami bergerak menuju ke Raqqah yang berbaki 52 km perjalanan. Sebelum tiba di Raqqah Abu Basil telah berhenti di sebuah stesyen minyak untuk memenuhkan tangki coaster yang berkapasiti 100 Liter. Peluang untuk mengisi minyak di kawasan Raqqah agak mudah. Stesyen minyak boleh dikatakan semuanya mempunyai bekalan dan kesesakan kenderaan untuk mengisi minyak tidak berlaku.


Kami tiba di Raqqah pada jam 11.10 pagi. Kami melintasi jambatan yang memisahkan Badiyat Sham dan kawasan Jazirah. Jazirah dikenali oleh masyarakat Syria sebagai Tanah di antara dua sungai. Iaitu kawasan di antara Sungai Furat dan Sungai Dajlah. Tanah ini juga merupakan kawasan kekuasaan dan pembinaan Tamadun Sumeria atau Mesopotamia yang dipercayai sebagai bangsa pertama yang bertamadun yang di ajar dalam subjek Sejarah Dunia yang di Malaysia.


Suasana di bandar Ar-Raqqah
(Berhampiran Menara Jam Moden)

Raqqah sebuah bandar berdebu yang sesak dengan kesibukan manusia. Kami melalui bulatan jam besar di Raqqah dan memasuki lorong sempit pasar untuk ke Muzium Raqqah. Penduduk Raqqah tidak semuanya dari bangsa Arab. Ada sebahagian dari penduduknya dari bangsa Kurdi.

Lokasi pertama yang telah kami kunjungi di Raqqah ialah Muzium Ar-Raqqa yang terletak berdekatan Jalan Hisham bin Abdul Malik. Muzium Raqqah banyak menyimpan kesan-kesan tinggalan kerajaan Islam terutama dari kerajaan Abbasiah. Baju perang yang diperbuat daripada besi turut ditempatkan di tingkat atas muzium. Antara kesan lain yang disimpan ialah kesan-kesan tembikar dan artifak yang ditemui di Tell Bia, Tell Abyad dan lain-lain kawasan berhampiran Raqqa termasuk Heraqla.

Muzium Raqqah

Ar-Raqqah merupakan salah satu kawasan sejarah di Syria yang dibangunkan dengan hebat ketika era pemerintahan kerajaan Abbasiah yang berpusat di Baghdad. Namun sejarah awal membuktikan bahawa kerajaan Greek pernah menguasai kawasan ini sebelum kedatangan Islam. Raqqah dikenali dengan nama Nikephorion atau Leontopolis ketika zaman Greek.

Ketika zaman kegemilangan kerajaan Islam, Khalifah Hisham dari zaman Umawiah terlebih dahulu berada di Raqqah. Kemudiannya diperintah oleh Khalifah Al-Mansur dari kerajaan Abbasiah. Beliau telah membangunkan kawasan Raqqah dan beberapa senibina mirip binaan di Baghdad telah dibina di Raqqah. Khalifah Harun Ar-Rashid juga pernah membangunkan Raqqa dan dikenali dengan Al-Rafiqa. Sallehudin Al-Ayubi, Nuruddin Zinki pernah menguasai kawasan ini ketika abad ke-12.


Selepas melawat Muzium Raqqa, kami telah menziarahi beberapa kesan tinggalan kerajaan Islam di dalam bandar Raqqa. Antara lokasi yang telah kami kunjungi ialah Great Mosque (Friday Mosque), Qasr Al-Banat dan Bab Baghdad.


Great Mosque atau masjid utama mirip kepada binaan masjid lama kerajaan Abbasiah yang terdapat di Iraq. Binaannya juga hampir sama dengan binaan Masjid Qairawan di Tunisia dan Masjid Ibn Toulun di Kaherah, Mesir. Masjid ini diasaskan oleh Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur dan dibina semula oleh Nuruddin Zinki antara tahun 1165-1166. Masjid ini dibina dari batuan brick dan terdapat menara setinggi 25m di tengah dataran masjid.

Qasr Al-Banat telah dibina untuk dijadikan madrasah (sekolah). Namun ketika kurun ke-12, ia telah ditukar menjadi hospital pesakit jiwa (Era Nuruddin Zinki). Menurut Abu Qusai, iaitu penjaga kota tersebut, ia dinamakan Qasr Al-Banat adalah disebabkan ketika zaman pemerintahan Harun Ar-Rashid terdapat peperangan berlaku di kawasan tersebut. Orang-orang perempuan telah dibawa ke kota tersebut untuk tujuan perlindungan. Al-Banat bermaksud perempuan dan disebabkan peristiwa tersebut kota ini kekal diberi nama atau gelaran Qasr Al-Banat.

Seperti beberapa bandar lama lain yang terdapat di Syria (Dimashq, Hama, Halab) kota Raqqa lama juga dibina dengan tembok berdinding suatu ketika dahulu. Separuh dari kota berdinding di Raqqa masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Sebahagian daripadanya telah musnah akibat proses pemodenan. Kebiasaanya, setiap kota lama berdinding akan terdapat beberapa buah pintu untuk masuk ke dalam kota. Raqqa Lama tidak terlepas dari sistem binaan yang sama. Sebuah pintu kota lama yang dikenali dengan nama Bab Baghdad masih kekal sehingga ke hari ini dan terletak tidak jauh dari Qasr Al-Banat.



Atas: Menara Masjid Lama (Dibina oleh Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur)
Tengah : Qasr Al-Banat (Madrasah-Hospital-Tempat Perlindungan)

Bawah : Bab Baghdad (Pintu Kota Lama Raqqa yang masih terpelihara baik)


Setelah melawat ketiga-tiga kesan sejarah tersebut, kami terus menziarahi Makam Ammar bin Yasir, Uweis Al-Qarni dan Ubai bin Qis Al-Nukha'i. Ammar bin Yassir adalah sahabat yang syahid di dalam peperangan Siffin. Uweis Al-Qarni dan Ubai bin Qis merupakan Tabi'in yang turut syahid dalam peperangan tersebut. Masjid dan Makam mereka telah dibina dengan tajaan dari negara Iran.

Kebiasaanya, kerajaan/invidu dari Iran akan memberi peruntukan duit membina masjid-masjid yang hebat, canggih dan cantik sekiranya ada kaitan individu tersebut dengan ahli bayt Rasulullah S.A.W.


Ammar bin Yassir bukanlah di kalangan ahli bayt Rasulullah S.A.W. Namun disebabkan jasanya membantu tentera Ali menentang tentera Muawiah di dalam Perang Siffin, Makamnya telah dipelihara dengan baik dan masjid telah dibina dengan sebegitu mewah dengan perbelanjaan kewangan dari Iran.

Atas: Makam Ammar bin Yasir
Tengah: Makam Uweis Al-Qarni
Bawah: Makam Ubai bin Qis Al-Nukha'i

Setelah menziarahi makam dan solat Jamak Takdim di masjid tersebut, kami mula bergerak meninggalkan bandar Raqqa. Lokasi seterusnya yang dikunjungi pada hari tersebut ialah Qala'at Ja'bar. Sebuah kawasan yang terletak kira-kira 59 km dari bandar Raqqa.

Di dalam perjalanan ke Qala'at Ja'bar kami telah menikmati makan tengahari iaitu Ayam Mashwi dengan Roti Shirak.


Untuk ke Qala'at Ja'bar ia merupakan salah satu lokasi yang sukar dikunjungi oleh kenderaan awam. Untuk ke kawasan tersebut juga, ia perlu melepasi kawalan ketenteraan yang mengawal keselamatan Empangan/Tasik Al-Assad.
Kami tiba di kawasan Thawrah setelah 40 minit perjalanan dari Raqqa. Kami tiba disekatan askar untuk masuk ke kawasan empangan Al-Assad. Setelah menyerahkan pasport pemandu dan senarai nama peserta lawatan, kami dibenarkan masuk untuk ke Qala'at Ja'bar yang mewajibkan kami melalui jambatan melintasi Empangan Al-Assad.

Empangan Al-Assad berpunca dari Sungai Furat dan ia merupakan tasik buatan yang luas. Kami memasuki persimpangan utama menuju ke kawasan perkampungan Ja'bar untuk ke kawasan kota. Perjalanan dari jalan utama sejauh 7 kilometer untuk tiba di kawasan kota. Kota Ja'bar terletak di akhir jalan dari beberapa kampung kecil yang telah kami lalui.
Kami tiba di Kota Ja'bar tepat jam 3.00 petang, setelah menyelesaikan bayaran tiket kami menghabiskan masa hampir satu jam setengah di kota Ja'bar.

Kota yang terletak dipersisiran Empangan Assad sesahihnya menyajikan pemandangan yang sangat indah.
Kota Ja'bar juga merupakan kota binaan kerajaan Islam dan pernah terlibat dalam peperangan Salib di mana tentera salib pada ketika itu berada di Edessa (sekarang dikenali dengan San Urfa di negara Turkey). Kota Ja'bar dibina dari batuan brick dan terdapat sebuah menara masjid di tengah kota yang mirip dengan senibina masjid utama di Raqqah. Kawasan di sekitar kota Ja'bar juga pernah disebut sebagai dataran Peperangan Siffin. Namun sebahagian dari tanah tersebut kini telah ditelenggami oleh Tasik Al-Assad.

Qala'at Ja'bar berhampiran Lake Assad, di Thawrah

Kami bergerak meninggalkan kota melalui perkampungan kecil Ja'bar. Di kawasan perkampungan tersebut biri-biri sudah mula mengikut tuannya kembali ke kandang. Kami melalui jambatan empangan/tasik Al-Assad dengan matahari mulai terbenam di barat.

0 komen: