Sunday, February 17, 2008

Kembara Syria- Last Episode



Tepat Jam 8.45 malam, kesemua peserta lelaki Kembara Syria 2008 sudah berkumpul di bawah Hotel Ettihad Arabiah.


Keadaan malam itu agak sibuk di Shariq Thawrah ke Shariq Darwishiah dan Shariq Nasr. Misi kami pada malam tersebut ialah untuk 'menebus' kembali program yang tergendala pada malam hari sebelumnya iaitu untuk mandi di Hammam lama.

Dari Marjeh kami menyewa dua buah teksi untuk ke Midan Jazmatiah. Kami melalui Shariq Darwishiah terus ke Shariq Souq Assinaniyyah dan Shariq Ahli Bayt. Dari simpang tiga jalan tersebut kami terus ke bulatan Bab Musolla dan mengambil lorong kecil untuk ke Shariq Midan Jazmatiah.

Kami tiba seawal jam 9.15 malam. Kebiasaannya Hammam Rifai akan beroperasi sehingga jam 11.00-12.00 malam. Malangnya, apabila kami tiba di hadapan pintu masuk ke Hammam tersebut, ia sekali lagi berkunci tetapi lampu kelihatan cerah dari dalam. Saya mengetuk pintu beberapa kali untuk mendapatkan kepastian ia sudah ditutup atau belum. Akhirnya, keluar seorang lelaki memberitahu bahawa Hammam tersebut sedang dibaiki dan akan beroperasi selepas 20 hari.

Wajah semua kelihatan sedikit kecewa, namun ia bukanlah satu kekecewaan muktamad pada malam tersebut. Saya mula mengingati beberapa Hammam lama yang berada di sekitar Dimashq. Puluhan Hammam lama masih beroperasi di banyak kawasan Dimashq. Keputusan awal untuk ke Hammam Rifai disebabkan pengalaman di situ sudah banyak kali. Tambahan pengurusan serta layanan pihak petugas di Hammam Rifai adalah baik.

Dalam fikiran saya ingin membawa semua ke Hammam Muqadam. Hammam tersebut terletak berhampiran Makam Syeikh Mahyuddin di Old Souq Salhiyah. Namun jarak dari Jazmatiah untuk ke Hammam Muqadam agak jauh. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk mandi di Hammam Nuruddin yang terletak di dalam Old City Damascus di Souq Bazuriyah berhampiran dengan Jami' Al-Amawi. Keputusan tersebut adalah tepat kerana ia memudahkan kami untuk berjalan pulang ke hotel yang jaraknya hanya 2 km dari Hammam tersebut.

Kami menyewa 2 buah teksi dari Sahah Bab Musolla untuk ke Hammam. Perjanjian awal dengan pemandu teksi ialah 75 Lira untuk sebuah teksi. Namun diakhirnya pemandu teksi penipu tersebut meminta 100 Lira. Sudahlah jarak perjalanan dekat, kami pula di'kapak'nya. Disebabkan Shariq Madhat Pasha sedang dalam proses baikpulih (Shariq tersebut berhampiran dengan Hammam Nuruddin), kami di bawa oleh kedua-dua pemandu teksi melalui Shagor dan terus ke Bab Saghir. Mereka memberhentikan kami berhadapan Bab Saghir kerana jalan Shariq Hassan Al-Kharrat juga sedang dibaiki.

Kami terpaksa menapak dari Bab Saghir ke Souq Bazuriyah untuk ke Hammam Nuruddin. Hammam Nuruddin juga dikenali dengan Hammam Al-Bazuriyah di ambil namanya bersempena Souq yang terdapat disitu. Ia merupakan Hammam tertua yang terdapat di dalam Dimashq. Dibina ketika era Nuruddin Zinki antara tahun 1154-1172 dan menjadi antara contoh terbaik Classic Arab Public Bath.

Kami menghabiskan masa hampir 2 jam di Hammam tersebut. Setiap orang dikenakan bayaran 345 Lira Syria dengan mengambil pakej lengkap yang disediakan. Kami berjalan pulang ke hotel melalui Souq Khaiyatin dan Shariq berhampiran Madrasah Lama Adiliyah dan Zahiriyah.

Sampai di Marjeh kami supper di sebuah restoran yang masih buka hingga lewat malam. Menu malam itu Muttabbal bi Laham, Kubbei serta roti. Sebelum makan, kami telah bertemu dengan Abu Basil yang sedang menghadapi beberapa masalah yang agak melucukan. Abu Basil ketika itu baru pulang dari Shariq Baghdad kerana menziarahi rumah kaum kerabatnya yang baru sahaja berkahwin dengan seorang perempuan Syria.

Ketika kami menemui Abu Basil di Marjeh beliau membawa kami ke coaster. Telefon Bimbitnya jatuh di bahagian enjin coaster yang terletak di bahagian hadapan coaster. Jenuh juga kami berfikir bagaimana telefon tersebut boleh jatuh di bahagian tersebut. Hampir 30 minit juga kami cuba mencapai handset tersebut dari bahagian yang sudah terbuka bersebelahan kerusi pemandu. Akhirnya, seorang peserta yang bertangan kecil telah berjaya mencapai telefon tersebut. Selesai masalah tersebut, datang pula satu lagi masalah. Kunci coaster hilang. Jenuh kami dan Abu Basil mencari di sekitar kerusi pemandu dan di dalam coaster, namun akhirnya kunci itu ditemui di dalam poket jaketnya.

Malam itu kami kesemua peserta lelaki tidur lewat. Jam pada ketika itu sudah 2.00 pagi. Peserta perempuan mungkin sudah lama melelapkan mata pada ketika itu. Atau mungkin juga mereka belum habis berbual-bual.

Damascus :: Dimashq :: Damsyik
Aqdam Balad Fil 'Alam

Keesokkan pagi selepas solat subuh, ramai yang kembali menyambung tidur. Program di hari terakhir kembara Syria bermula pada jam 9.00 pagi. Kesemua peserta mahukan aktiviti bebas di hari terakhir. Ini bermakna saya tidak perlu merancang untuk membawa mereka ke Bab Saghir, Masjid Takkiyah dan Khans Lama di Old Damascus. Kami semua berpecah dan semuanya tertumpu ke Souq Hammidiyah untuk membeli belah.

Souq Hammidiah telah berusia 500 tahun dan dimajukan semula pada tahun 1873 di bawah kesultanan Turki-Uthamaniah (Sultan ke-34 iaitu Sultan Hamid II 1876-1909). Panjang Souq Hammidiah ialah 1.5 km. Di souq ini terdapat Makam sahabat iaitu Abi Hurairah serta beberapa masjid dan madrasah lama.

Peserta telah berkumpul di kawasan Marjeh dan Souq Jild sekitar jam 2.30. Namun perjalanan pulang ke Jordan pada petang tersebut tepat jam 4.00 petang.

Sepanjang hari terakhir saya berkunjung ke Souq Jild, Souq Hammidiah dan singgah menikmati Aiskrim di Bakdash, sebuah kedai aiskrim yang telah berusia lebih 100 tahun. Cara penyediaan aiskrim tersebut masih menggunakan cara lama iaitu dengan menumbuk aiskrim tersebut dengan kayu yang berat.

Selesai aktiviti di Souq Hammidiah saya, Ifwat dan Fakhruddin bergerak dari Souq Hammidiah terus ke Masakin Barzah untuk makan tengahari dan kemudian menziarahi rumah saudara di kawasan Assaduddin berhampiran Shariq Ibn Nafis di kawasan bukit Dimashq.

Selesai pengembaraan kami di bumi Syria selama 6 hari. Coaster bergerak meninggalkan bandar Dimashq menuju ke selatan Syria. Urusan di kedua-dua sempadan mudah dan kami bertemu dengan kumpulan pelajar yang menyertai Turkey Journey (juga dianjurkan oleh HZ T&T) seramai 20 orang yang secara kebetulan tiba di sempadan Naseeb pada waktu yang sama.

Kami tiba di Irbid pada jam 9.00 malam dan terus menuju ke Karak sejauh 230 km dari bandar Irbid. Kami tiba di Mu'tah pada jam 12.05 malam - 10 Februari 08.


0 komen: