Showing posts with label tafilah. Show all posts
Showing posts with label tafilah. Show all posts

Tuesday, March 4, 2008

'Afra Spa, Tafilah

Kami mula bergerak meninggalkan Mu'tah tepat jam 10.15 pagi menuju ke sebuah lokasi yang dikenali dengan Hammamat Afra. Lokasi tersebut terletak lebih kurang 40 km perjalanan dari pekan Mu'tah melalui jalan lama Karak ke Tafilah.

Tafilah merupakan muhafazah yang terletak di kawasan selatan Jordan dan bersempadan dengan muhafazah Karak dan Ma'an. Di kawasan ini terdapat 2 lokasi Mata Air Panas yang amat terkenal di negara Jordan iaitu Hammamat Afra dan Hammamat Burbaitah.

Perancangan untuk ke Afra hanya dirancang pada hari sebelumnya bersama dua sahabat iaitu Mahadi dan Habidin dan keputusan terus dicapai memandangkan masa agak suntuk kerana kami bertiga akan kembali ke tanahair pada 5 Mac 08. Lokasi ini pernah saya kunjungi pada tahun 2001 dan ditutup dalam tempoh yang agak lama disebabkan proses menaiktaraf kawasan tersebut sebagai salah satu lokasi pelancongan di Jordan.

Kami tiba di Afra Spa tepat jam 11.15 pagi dan bayaran masuk dikenakan sebanyak JOD5 untuk rakyat asing dan tiada harga pelajar di berikan. Untuk rakyat tempatan hanya dikenakan bayaran JOD1.

Kawasan Afra kini masih dalam proses menaiktaraf dan kebersihan di sekitar kawasan tersebut amatlah kotor dan tidak dijaga. Tidak padan dengan bayaran JOD 5 yang dikenakan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga tempat tersebut iaitu Lajnah Idarah Afra Wal Burbaitah Wal Sila'. (Afra-Burbaitah-Sela Management Comittee)

Aktiviti pertama yang telah kami lakukan setelah tiba di kawasan tersebut ialah meninjau kawasan berbukit arah mata air panas mengalir menjadi sungai kecil.

Di kawasan itu terdapat beberapa kesan ukiran dan pahatan pada batuan bukit yang membentuk seperti bilik. Ini membuktikan bahawa terdapat penempatan lama di kawasan tersebut. Ukiran yang terdapat mirip kepada ukiran yang terdapat di Ain Baidho' yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Edom dan seperti di Petra yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Nabatean.

Setelah selesai meninjau di kawasan tersebut, kami memulakan aktiviti berendam di kolam air panas yang telah disediakan. Disebabkan kedatangan kami bukan pada hari cuti hujung minggu ataupun cuti umum, kawasan tersebut lengang dan memberikan keselesaan 100% kepada kami. Cuma kolam air tidak dibersihkan.

Di kawasan tersebut disediakan empat buah kolam mandi dengan ruang terbuka serta dua buah kolam di dalam ruang tertutup. Setiap kolam mempunyai tahap kepanasan air yang berbeza antara satu sama lain. Air panas disalirkan dari mata air panas semulajadi di kawasan tersebut.

Setelah selesai berendam, kami makan tengahari Nasi Maqlubah yang telah disediakan dari rumah. Selesai makan kami kembali berendam untuk kali kedua dan bersiap untuk pulang sekitar jam 2.00 petang.

Di dalam perjalanan pulang, kami berhenti di Ain Burbaitah yang juga merupakan lokasi di mana terdapat Mata Air Panas semulajadi dan kawasan tersebut kini turut dalam proses menaiktaraf. Di situ kami solat zohor dan bergerak meninggalkan Ain Burbaitah setelah merakamkan gambar kenangan.

Van bergerak meninggalkan Burbaitah menuju ke Al-Aina dan terus ke bumi damai Mu'tah. Kami tiba di Hayyu Sweih tepat jam 3.10 petang.


Kawasan Afra Spa yang kini sedang dibangunkan oleh
Afra-Burbaitah-Sila' Management Committee. Kawasan nampak cantik,
tapi sangat kotor dan tidak dijaga.



Kesan sejarah yang terdapat di kawasan Afra.
Dikenali sebagai Sila'
yang bermaksud batu-batu yang dibelah


Kolam dengan ruang terbuka yang terdapat di Afra Spa. Terdapat 4 kolam yang berbeza tahap kepanasan
airnya. Kelihatan kolam yang berair paling hujung
adalah yang paling tidak panas.


Air yang paling panas di kolam pada ruang tertutup.


Bergambar di sungai yang mengalirkan air mata air panas secara semulajadi


Lunch Time


'Ain Burbaitah. Kawasan ini turut dibangunkan dan bakal menjadi lokasi
pelancongan utama di Jordan.

Friday, August 31, 2007

Laluan Silam Kafilah Hujjaj

Kenangan di Qal'ah Al-Hisa, Tofilah Region (South Jordan)

Tanah Jordan yang termasuk di dalam dataran Syam menjadi laluan perhubungan para jemaah haji dari Turki dan bumi Syam ke Madinah dan Mekah sejak zaman berzaman. Sebelum penguasaan kerajaan Turki Uthmaniah di dataran Syam, para jemaah haji melalui jalan yang dikenali sebagai King's Highway (Tariq Muluki) untuk ke Mekah.

Peta menunjukan Tariq Muluki (King's Highway) yang berada di tanah Jordan.
Laluan ini bermula dari Sungai Furat (Syria) melalui Jordan dan berakhir
di Ramses (Mesir). Ia merupakan laluan silam penting dan turut digunakan oleh
jemaah haji sebelum dan di awal era kerajaan uthmaniah
.


Tariq Muluki merupakan jalan perdagangan silam yang menghubungkan Sungai Furat terus ke Ramses di Mesir. Jalan tersebut bermula di Furat menganjur ke Tadmur, Damsyiq, Bosra, Madaba, Karak, Shawbak, Eilat (Aqaba), Sinai dan terus ke Ramses di Kaherah, Mesir. Jemaah haji pada ketika dahulu memilih jalan ini melalui Eilat dan terus mengambil jalan laut untuk ke Madinah dan Mekah.

Ketikamana era kerajaan Turki Uthmaniah menguasai dataran Syam iaitu termasuk negara Syria dan Jordan, mereka telah membuka jalan baru untuk memudahkan para jemaah haji menuju ke Mekah. Jalan baru tersebut dikenali sebagai Tariq Sahrawi atau Jalan Padang Pasir yang lebih memudahkan laluan hujjaj (jemaah haji) untuk ke bumi Hijaz yang menempatkan 2 masjid suci umat Islam itu.

Hasilnya, kerajaan Turki Uthmaniah telah dibina beberapa kota di sepanjang laluan baru tersebut untuk tujuan keselamatan dan kemudahan kepada jemaah haji.

Kesannya, terdapat 6 buah kota yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini yang pada suatu ketika dahulu digunakan oleh para hujjaj yang berjalan secara berkafilah dari Turki dan Syam menuju ke tanah Hijaz untuk menunaikan umrah dan haji.

Kota-kota tersebut ialah : Qal'ah Fudayn (di Mafraq- Fudayn adalah nama lama bagi Mafraq), Qal'ah Dab'a, Qal'ah Qatranah, Qal'ah Al-Hisa, Qal'ah Ma'an dan Qal'ah Aqabah

3 insfrastuktur utama terdapat di kota-kota tersebut ialah : Menara yang menempatkan askar uthmaniah untuk tujuan kawalan keselamatan para haji dari di serang oleh mana-mana musuh, menyediakan musolla di dalam kota, menyediakan kolam takungan air untuk kegunaan para jemaah haji. Kebiasaanya kolam terletak di luar kota dan dibina saliran air masuk ke perigi yang terdapat di dalam kota.

Qal'ah Al-Hisa salah satu contoh dari 6 kota yang terdapat di Jordan

Qal'ah Al-Hisa (Kota Al-Hisa) terletak kira-kira 155 Kilometer dari Amman. Berada di dalam Tofilah Region. Kota ini terletak agak tersorok dari laluan utama ketika ini. Iaitu 3 kilometer ke arah padang pasir subur dari jalan utama.

Gambar-gambar Kota Al-Hisa dari sudut luar dan dalam. Menara di pintu utama digunakan oleh para askar untuk tujuan kawalan keselamatan. Terdapat juga Arrow Slipt.di sekeliling dinding kota.

Musolla yang terdapat di dalam kota. Kelihatan mihrab yang menunjukkan arah kiblat
menghala ke Makkatul Mukarramah


Burkah Maa (Takungan Air) yang terdapat diluar kota. Terdapat saliran air dari
pusat takungan ini terus ke dalam kota.



Perigi yang terdapat di dalam kota (berada di tengah-tengah). Digunakan oleh para hujjaj
untuk kemudahan minum, berwuduk dan lain-lain.


Tuesday, July 17, 2007

Mendaki Jabal Hamam

Di puncak Jabal Hamam.
Kelihatan Empangan Tannur dan Bukit Tannur di bawah
dan berhadapan Jabal Hamam. Sekelilingnya merupakan
Wadi Al-Hisa yang memisahkan muhafazah Karak dan Tafilah


Kawasan selatan Jordan meliputi 4 buah muhafazah (negeri) iaitu Karak, Tofilah, Ma'an dan Aqabah. Kawasan tersebut merupakan kawasan penempatan masyarakat peribumi Jordan. Terutamanya muhafazah Karak dan Tofilah. Jika kawasan paling selatan Aqaba penduduk kini dipenuhi oleh mereka yang datang dari Saudi Arabia dan Mesir, kawasan Amman dipenuhi rakyat palestin yang jumlahnya hampir 80% jumlah penduduk. Kawasan Irbid, Jerash dan Ajloun di utara mereka sudah mirip seperti penduduk Syria.

Pagi hari raya Aidiladha tahun 2003 selepas solat raya di Masjid Syuhada' Mu'tah (Di negara Jordan/Arab solat hari raya seawal jam 6.30 pagi) aku dan Zaid bersama seorang arab yang senang dikenali sebagai Abu Suhaib telah merancang untuk pergi ke sebuah kawasan yang bernama Wadi Al-Hisa. Wadi tersebut merupakan kawasan lembah bergunung yang menjadi sempadan antara
muhafazah Karak dan Tofilah.

Perjalanan aku dan Zaid di pagi hari tersebut tidak diketahui oleh rakan-rakan yang lain. Jika mereka tahu sudah pasti dikutuk dan dicop 'gila' kerana masih ingin mengembara di pagi hari raya. Namun, setiap perkara di atur sudah pasti ada matlamatnya. Perjalanan di pagi hari raya tersebut adalah untuk melihat bagaimana suasana masyarakat arab berhari raya korban. Lebih elok aku berjalan dari 'melepak' di rumah atau berdengkur di rumah. Jika mereka tertawakan aku kerana mengembara di pagi hari raya korban, aku boleh tersengeh kerana ada yang sanggup berlawan bolasepak juga di pagi hari raya.

Ternyata hari raya korban di negara arab lebih meriah dari hari raya puasa. Dan inilah yang dituntut di dalam Islam. Mereka berlumba-lumba melakukan ibadat korban, memeriahkan suasana di rumah kabilah masing-masing, memberi sedekah yang banyak hasil dari daging korban. Suasananya meriah. Pada pagi hari tersebut aku telah melalui perkampungan Mazar, Amaqah melalui jalan Tafilah lama ke kawasan perkampungan Moab Qadim (Moab Lama) yang terdiri daripada empat buah kampung iaitu Husainiah, Umariah, Khalidiah dan Faisaliah. Kawasan-kawasan yang aku lalui bersama van yang dipandu oleh Abu Suhaib ternyata meriah dengan kehadiran pagi Aidiladha.

Perancangan awal aku dan Zaid pada hari tersebut selain melihat suasana Aidiladha di bumi arab kami ingin menuju ke sebuah bukit di Wadi Al-Hisa yang dikenali sebagai Jabal Tannur. (Jabal bermaksud bukit/gunung). Ia merupakan bukit yang terletak berdekatan Sad Tannur (
Sad bermaksud Empangan). Di atas puncak Tannur terdapat kesan tinggalan sejarah dari kerajaan Nabatean.

Namun, setelah 20 minit perjalanan, van menuruni jalan curam di lembah Hisa, Abu Suhaib yang menjadi pemandu kami telah membelok ke arah kanan jalan bertanah sebelum tiba di selekoh sebenar jalan masuk ke Tannur. Apabila ditanya kenapa dia memilih jalan tersebut, dia menjawab jalan tersebut merupakan jalan yang lebih dekat untuk ke Tannur. Jadi tak mengapalah disebabkan
Ahlil Balad= penduduk tempatan yang yakin begitu. Aku percayalah padanya. Sedangkan aku beryakin terdapat satu selekoh selepas melalui empangan Tannur barulah menemui selekoh jalan bertanah untuk ke kaki bukit Tannur.

Akhirnya, sia-sia sahaja aku percaya pada Abu Suhaib. Lebih baik aku membantah seawalnya. Memang itu jalan yang 'lebih jauh' dan langsung tidak boleh ke Jabal Tannur.

Abu Suhaib telah membawa kami ke sebuah bukit batuan Volcanic yang dikenali sebagai Jabal Hamam. Bukit itu terletak berhadapan dengan Bukit Tannur dan ia dipisahkan dengan sebuah lembah dalam yang kini telah dibina empangan takungan air (bukan untuk Hydro-eletrik)

Aku, Zaid dan Abu Suhaib mula mendaki Jabal Hamam untuk tiba di puncak. Ajaibnya, Jabal Hamam yang kami daki merupakan Bukit batuan
Volcanic. Keadaan bukit itu hitam dan sekelilingnya merupakan batuan Limestone yang berwarna kekuningan. Jika di kaji dari sudut geologi, kawasan tersebut sesahihnya merupakan kawasan letupan gunung berapi purba. Proses tersebut sudah pasti berlaku jutaan tahun. Mungkin sebelum kewujudan manusia di bumi. Kerajaan silam gemar membina kota mereka dari batuan ini kerana ia lebih keras dan tidak mudah pecah. Jika difikirkan balik mungkin ini jawapan yang pernah bermain di fikiran aku ketika melawat kota Umm Jimal, Umm Qais di utara Jordan. Di mana dinding-dinding kota di bina dari batuan Volcanic iaitu batuan gunung berapi. Berkemungkinan batu-batu tersebut di ambil dari kawasan berdekatan sahaja. Bukan di import dari negara yang jauh pada ketika itu. (buktinya ada kawasan berbukit batuan hitam di dalam Jordan sendiri)

Berkat kesabaran, akhirnya kami tiba di puncak Jabal Hamam. Pemandangan sekitarnya cukup cantik. Seperti di Grand Canyon, Utah. Manakan tidak, Wadi Al-Hisa sendiri memiliki bukit berbatu yang amat cantik apabila disinari cahaya. Di kiri kanan lembah terdapat kawasan menghijau dikenali sebagai Al-Eina, di bawah bukitnya merupakan kawasan empangan air dan berhadapannya adalah bukit Tannur. Subhanallah. Cukup indah ciptaan Allah. Walaupun tidak dapat ke Bukit Tannur pada pagi itu, aku dan Zaid puas dengan misi 'tak sengaja' mendaki Jabal Hamam.

Jika mereka yang pernah melalui jalan lama dari Karak ke Tofilah, boleh melihat Jabal Hamam di sebelah kanan jalan. Satu-satunya bukit berwarna hitam yang dikeliling lembah dan bukit kekuningan.

Disitu aku pernah mendaki dengan memakai kasut pejabat Timberland (beli terpakai kat Balad Amman). Semuanya gara-gara nak cepat, kasut
hiking hilang entah ke mana dan natijahnya aku diketawa oleh Zaid sepanjang pendakian...