Tuesday, March 4, 2008

'Afra Spa, Tafilah

Kami mula bergerak meninggalkan Mu'tah tepat jam 10.15 pagi menuju ke sebuah lokasi yang dikenali dengan Hammamat Afra. Lokasi tersebut terletak lebih kurang 40 km perjalanan dari pekan Mu'tah melalui jalan lama Karak ke Tafilah.

Tafilah merupakan muhafazah yang terletak di kawasan selatan Jordan dan bersempadan dengan muhafazah Karak dan Ma'an. Di kawasan ini terdapat 2 lokasi Mata Air Panas yang amat terkenal di negara Jordan iaitu Hammamat Afra dan Hammamat Burbaitah.

Perancangan untuk ke Afra hanya dirancang pada hari sebelumnya bersama dua sahabat iaitu Mahadi dan Habidin dan keputusan terus dicapai memandangkan masa agak suntuk kerana kami bertiga akan kembali ke tanahair pada 5 Mac 08. Lokasi ini pernah saya kunjungi pada tahun 2001 dan ditutup dalam tempoh yang agak lama disebabkan proses menaiktaraf kawasan tersebut sebagai salah satu lokasi pelancongan di Jordan.

Kami tiba di Afra Spa tepat jam 11.15 pagi dan bayaran masuk dikenakan sebanyak JOD5 untuk rakyat asing dan tiada harga pelajar di berikan. Untuk rakyat tempatan hanya dikenakan bayaran JOD1.

Kawasan Afra kini masih dalam proses menaiktaraf dan kebersihan di sekitar kawasan tersebut amatlah kotor dan tidak dijaga. Tidak padan dengan bayaran JOD 5 yang dikenakan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga tempat tersebut iaitu Lajnah Idarah Afra Wal Burbaitah Wal Sila'. (Afra-Burbaitah-Sela Management Comittee)

Aktiviti pertama yang telah kami lakukan setelah tiba di kawasan tersebut ialah meninjau kawasan berbukit arah mata air panas mengalir menjadi sungai kecil.

Di kawasan itu terdapat beberapa kesan ukiran dan pahatan pada batuan bukit yang membentuk seperti bilik. Ini membuktikan bahawa terdapat penempatan lama di kawasan tersebut. Ukiran yang terdapat mirip kepada ukiran yang terdapat di Ain Baidho' yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Edom dan seperti di Petra yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Nabatean.

Setelah selesai meninjau di kawasan tersebut, kami memulakan aktiviti berendam di kolam air panas yang telah disediakan. Disebabkan kedatangan kami bukan pada hari cuti hujung minggu ataupun cuti umum, kawasan tersebut lengang dan memberikan keselesaan 100% kepada kami. Cuma kolam air tidak dibersihkan.

Di kawasan tersebut disediakan empat buah kolam mandi dengan ruang terbuka serta dua buah kolam di dalam ruang tertutup. Setiap kolam mempunyai tahap kepanasan air yang berbeza antara satu sama lain. Air panas disalirkan dari mata air panas semulajadi di kawasan tersebut.

Setelah selesai berendam, kami makan tengahari Nasi Maqlubah yang telah disediakan dari rumah. Selesai makan kami kembali berendam untuk kali kedua dan bersiap untuk pulang sekitar jam 2.00 petang.

Di dalam perjalanan pulang, kami berhenti di Ain Burbaitah yang juga merupakan lokasi di mana terdapat Mata Air Panas semulajadi dan kawasan tersebut kini turut dalam proses menaiktaraf. Di situ kami solat zohor dan bergerak meninggalkan Ain Burbaitah setelah merakamkan gambar kenangan.

Van bergerak meninggalkan Burbaitah menuju ke Al-Aina dan terus ke bumi damai Mu'tah. Kami tiba di Hayyu Sweih tepat jam 3.10 petang.


Kawasan Afra Spa yang kini sedang dibangunkan oleh
Afra-Burbaitah-Sila' Management Committee. Kawasan nampak cantik,
tapi sangat kotor dan tidak dijaga.



Kesan sejarah yang terdapat di kawasan Afra.
Dikenali sebagai Sila'
yang bermaksud batu-batu yang dibelah


Kolam dengan ruang terbuka yang terdapat di Afra Spa. Terdapat 4 kolam yang berbeza tahap kepanasan
airnya. Kelihatan kolam yang berair paling hujung
adalah yang paling tidak panas.


Air yang paling panas di kolam pada ruang tertutup.


Bergambar di sungai yang mengalirkan air mata air panas secara semulajadi


Lunch Time


'Ain Burbaitah. Kawasan ini turut dibangunkan dan bakal menjadi lokasi
pelancongan utama di Jordan.

1 komen:

arsaili said...

salam bro...wahh masih mengembara ..bestnya