Thursday, February 28, 2008

Ashabul Kahfi- Kesan Gua di Syria


Pada 22 Februari yang lalu sekali lagi saya berpeluang mengunjungi kesan Gua Ashabul Kahfi di Syria yang terdapat di kawasan Jabal Qassiyun, Syria.

Perjalanan pada hari tersebut ditemani oleh rakyat Syria Khaldun Qassimi yang menetap di Hayyu Sa'dun, Jabal Qassiyun. Trip kali ini saya bersama En. Faizal yang kini sedang dalam tempoh menghabiskan PHDnya di Universiti Birmingham U.K. Saya menemani En. Faizal setelah beliau menamatkan lawatan kerja di Dead Sea, Jordan dan bersamanya ke beberapa buah lokasi menarik di Jordan dan Syria.

Gua Ashabul Kahfi di Syria terletak berhampiran puncak Jabal Qassiyun yang kini di sekitarnya sudah dibina penempatan moden. Kami tiba agak lewat di kawasan tersebut kerana menghabiskan masa yang lama di Makam Wali Arba'in sebelum ke lokasi tersebut.

Kami tiba di kawasan gua ketika azan Maghrib berkumandang dan kedatangan kami di sambut oleh Ummu Ali yang menjadi penjaga gua tersebut. Ketika kali pertama menjejaki gua tersebut pada tahun 2006, orang yang menyambut saya pada ketika itu juga Ummu Ali.

Saya meminta Ummu Ali menerangkan tentang bukti-bukti yang terdapat di gua tersebut yang menjadi sebab kenapa penduduk tempatan mengatakan ia sebagai gua pernah ditiduri 7 orang pemuda selama 300 tahun. Saya meminta Ummu Ali menunjukkan beberapa bukti penting seperti lubang cahaya, rumah ibadat yang dibina di atas gua serta di mana makam pemuda-pemuda tersebut.

Saya menyebut satu persatu bukti-bukti tersebut supaya ditunjukkan oleh Ummi Ali memandangkan kawasan tersebut tidak berupa gua bahkan keadaan dinding gua dan sekitarnya masih baru dan berkeadaan moden.

Ummu Ali menerangkan bahawa, kawasan tersebut dahulunya terdapat sebuah gua dan satu binaan lama yang dipercayai dibina ketika era Rum. Pada tahun 1960-an kawasan gua tersebut dan binaan yang terdapat di situ telah runtuh memandangkan ia dibina di lereng bukit. Masyarakat setempat di situ telah berusaha menjaga sebahagian dari gua yang masih terselamat dan bahagian yang telah runtuh dibina dengan batuan biasa.

Masa terus berlalu dan rumah-rumah moden dibina sekeliling kawasan gua. Ummu Ali turut memberitahu bahawa dahulunya terdapat kesan lubang cahaya pada bahagian yang telah runtuh. Ummu Ali turut memberitahu bahawa terdapat sebuah masjid di atas gua namun ia bukanlah masjid yang telah lama di bina.

Kami menghabiskan masa kurang dari 30 minit di kawasan gua tersebut memandangkan hari sudah gelap. Ketika menuruni tangga turun dari kawasan gua, Ummu Ali berhenti di sebuah papan kenyataan di mana terdapat beberapa keping gambar lama yang dilekatkan di situ.

Gambar yang terdapat di situ menunjukkan keadaan gua dan binaan sebelum runtuh. Terdapat juga di situ gambar mereka yang datang menziarahi kawasan gua tersebut. Kami mengucapkan terima kasih kepada Ummu Ali dan bergerak meninggalkan kawasan gua untuk turun ke Sahah Shamdin.

Kesan gua terdapat di Jabal Qassiyun, Syria

Apa yang dapat saya simpulkan dari kunjungan ke gua tersebut ialah kesan-kesan yang terdapat di kawasan gua tersebut dan dari apa yang diterangkan oleh Ummu Ali agak lemah untuk dipastikan bahawa kisah Ashabul Kahfi berlaku di situ.

Kebanyakkan orang-orang terdahulu mengistiharkan kawasan mereka sebagai kawasan sejarah Islam, di kawasan mereka terdapat makam para nabi dan sahabat dan sebagainya adalah untuk mengangkat martabat kawasan mereka sebagai tempat mulia dan mempunyai catatan sejarah dari kehadiran nabi dan sahbat serta peristiwa-peristiwa penting Islam yang telah berlaku. Sedangkan peristiwa-peristiwa tersebut tidak dipastikan sahih berlaku disitu bahkan ada yang sengaja mengada-adakannya.

Lihat juga pandangan tentang Gua Ashabul Kahfi yang terdapat di Jordan

1 komen:

Yaya said...

wow sungguh hebat blog ini,
byk info menarik yg sy tidak tahu
tq..