Tuesday, February 19, 2008

Qala'ah Ar-Rabad, 'Ajlun

Bersama Muneer di Qala'ah Ar-Rabad
Jan 2008


'Ajlun merupakan sebuah muhafazah (negeri) yang terletak di utara negara Jordan. Negeri ini bersempadan dengan muhafazah Irbid dan Jerash. Perjalanan dari ibu kota Amman ke 'Ajlun memakan masa hampir sejam melalui jalan Jerash menuju ke Saakib dan terus ke kawasan berbukit sebelum tiba di Anjarah. Simpang tiga jalan Anjarah menghubungkan Kufranjah hingga ke Aghwar (arah barat) dan 'Ajlun serta Irbid (arah Timur Laut)

Di 'Ajlun terdapat sebuah kota pertahanan yang kekal kukuh dikenali dengan Qala'ah Ar-Rabad. Ia terletak di sebuah puncak bukit, 5 km dari pusat bandar 'Ajlun. Pemandangan hampir seluruh bandar 'Ajlun dapat dilihat dari menara tertinggi kota.

Pemandangan bandar 'Ajlun dari puncak kota Ar-Rabad

Sejarah Kota Ar-Rabad
kota ini telah dibina oleh Panglima Izzudin Usamah merupakan anakk saudara kepada panglima Sallehuddin Al-Ayubi. Izzudin Usamah terkenal sebagai pemimpin yang hebat disebabkan beliau berjaya menguasai jalan perdagangan antara Syria hingga selatan negara Jordan pada ketika itu. Beliau turut menguasai sumber-sumber air di Wadi Kufranjah, Wadi Yabis dan Wadi Rajeb yang terletak di kawasan berhampiran kota.

Tujuan kota Ar-Rabad ini dibina ialah untuk mengintip pergerakkan tentera salib dan sebagai kota yang berfungsi sebagai penguasa terhadap lombong-lombong besi yang terdapat di pergunungan 'Ajlun. Penghasilan besi di kawasan ini amat penting untuk penghasilan senjata ketika itu.

Ahli Sejarah merumuskan dua pandangan tentang tapak asal kota ini dibina. Pandangan pertama menyatakan bahawa ia merupakan rumah pendita yang bernama 'Ajlun. Namun pandangan ini telah ditolak selepas kajian mendapati bahawa tapak kota ini pada asalnya ialah kesan tinggalan kerajaan Rum. Izzudin bin Usamah telah mengerahkan tawanan tentera salib untuk membina kota tersebut. Pada asalnya, kota ini mempunyai empat menara di setiap bucu. Di setiap bilik tentera pula terdapat lubang sempit untuk tujuan memanah.

Masih kukuh
Kota Ar-Rabad dari bahagian hadapan pintu kota

Al-Malik Adil telah mengambil alih kota ini di antara tahun 1198 hingga 1218. Kemudian ini diperintah pula oleh Muazzam Isa dan beliau menambah sebuah lagi menara di bahagian barat daya kota pada tahun 611 hijrah. Selepas perang salib, sebahagian kota ini telah roboh dan dimusnahkan oleh tentera Mongol sekitar tahun 1260 masihi. Namun ia dibina semula ketika zaman pemerintahan kerajaan Mamluk oleh Sultan Zahir Baibar.

Pada abad ke-17, kota ini dijadikan penempatan tentera oleh kerajaan Turki Uthmaniah dan kini kerajaan Jordan telah membelanjakan wang yang banyak untuk membaik pulih kota ini dan menjadikan ia sebagai salah satu lokasi sejarah utama di negara Jordan.

0 komen: