Thursday, February 14, 2008

Kembara Syria- Episod V


Jika di tanya bandar yang paling ingin saya kunjungi selalu di Syria, jawapannya yang pasti saya berikan sudah tentu Halab. Ada perkara istimewa di Halab yang membuatkan saya selalu mengkaguminya. . Kota lama penuh tinggalan sejarah

Malam hari ketiga di Syria kami bertolak dari Qala'at Ja'bar menuju ke bandar Halab. Jarak di antara Thawrah dan Halab sejauh 145 km dan berjalan di waktu malam sudah pasti memberi keselesaan kepada semua peserta untuk melelapkan mata. Walaupun kerusi coaster tidak ada penyandar kepala, ia tetap membuat semua lena seketika.

Saya yang terlena sejak coaster mulai bergerak dari Thawrah tersedar ketika tiba di Mithanet Abu Hurairah. Abu Basil mulai merungut ingin mendapat secawan kopi untuk menyegarkan matanya. Sepanjang perjalanan dari Mithanet Abu Hurairah mata saya tajam memerhatikan gerai-gerai kecil dan perkampungan kecil yang dilalui untuk mendapatkan secawan kopi. Saya dapat bayangkan keletihan Abu Basil yang memandu dari awal pagi hingga ke malam hari sejak 3 hari sebelumnya.

Coaster melalui perkampungan Dibsi Affan, Maskaneh, Al-Mahdoum, Deir Hafer sebelum tiba di Halab. Apabila coaster tiba di Dibsi Affan, terdapat sebuah gerai menjual minuman panas di tepi jalan. Kesalahan aku lambat mengesan gerai tersebut menyebabkan Abu Basil lewat untuk memperlahankan coaster. Coaster terus terlajak dan Abu Basil terus mengharapkan 'candu' yang mesti diminumnya.

Sehingga perjalanan sampai ke Deir Hafer, kopi masih belum dapat dan Abu Basil sudah mulai putus asa. Perjalanan diteruskan sehingga tiba di Halab dengan sebotol air kosong habis diteguk olehnya.

Kami tiba di Halab melalui jalan Raqqa-Halab. Saya tidak berapa mahir masuk ke Halab melalui jalan tersebut. Kebiasaan sebelum ini masuk melalui jalan Idleb-Halab. Ini menyebabkan Abu Basil terpaksa berhenti banyak kali untuk bertanya arah Markaz Madinah Halab. Sekiranya sudah menemui Shariq Odonis atau mana-mana Shariq menuju ke Markaz Madinah, saya akan dapat mengesan dengan cepat jalan untuk menuju ke Markaz Madinah terutama untuk ke Bab Faraj.

Setelah memasuki jalan ke Madinah Sina'iyah, Abu Basil berpusing dan jalan ke arah kanan terus membawa kami menuju ke Markaz Madinah Halab. Dari kawasan tersebut kami terus melalui kawasan Hammidiyeh, Aziziyeh dan terus ke Bab Faraj untuk menginap.

Bab Faraj merupakan kawasan yang terkenal di Halab sebagai kawasan yang menempatkan hotel untuk para tetamu Halab menginap. Bermula dari hotel tiada bintang sehinggalah ke 5 bintang. Setelah tiba di Halab, saya terus berjumpa dengan seorang sahabat yang telah lama aku kenali dari bangsa Kurdi. Kali ini beliau mencadangkan aku bermalam di Hotel Jneidi yang baru sahaja melakukan kerja-kerja membaikpulih bilik hotel.

Alhamdulillah, bilik di Hotel Jneidi agak kemas, baru dan sedikit moden. Jika ditanya kepada peserta di mana bilik penginapan paling selesa sepanjang trip, sudah pasti Halab menjadi jawapan. Setelah selesai Check-In, kami berehat selama sejam sebelum keluar makan malam. Tepat jam 8.10 semua sudah berkumpul untuk ke Restoran Kindi berdekatan dengan Jam Lama Bab Faraj.

Malam itu kami menikmati nasi dengan Kebab, Syuqof (Daging Bakar), Ayam Panggang, Sheesh Tawook (Ayam Grill), Fasooliya dan Salad Campur yang amat lazat. Selesai makan, ramai yang Order MILO panas yang sesahihnya tidak akan dijumpai di restoran-restoran arab di Jordan. (Ada pun Hot Coklat dari jenama lain)..

Kelazatan Syuqof, Kebab, Ayam Panggang, Sheesh Tawook.
Dinner di Restoran Kindi berdekatan Bab Faraj, Halab


Suasana malam di Halab pada malam tersebut agak sejuk. Selesai makan, kami bersiar-siar di kawasan bandar Halab yang rata-ratanya sudah 'lena'. Kedai-kedai banyak sudah tutup dan setelah 40 minit berjalan, semua pulang ke hotel untuk istirehat.

Seawal jam 7.30 pagi, semua sudah berkumpul di bawah untuk memulakan aktiviti lawatan di sekitar bandar Halab. Keadaan pagi yang cerah turut menceriakan semua peserta yang sudah mulai serasi. Lokasi pertama yang dikunjungi di Halab ialah ke Bab Antakya. Bab Antakya merupakan salah satu dari tujuh buah pintu untuk memasuki kota Halab Lama. Pintu-pintu lain yang terdapat ialah Bab Qinnesrin, Bab Al-Maqam, Bab Nayrab, Bab Al-Ahmar, Bab Al-Hadid dan Bab Al-Nasr. Kota lama ini telah dibina sejak pemerintahan Rum namun ia dibaik pulih ketika era pemerintahan Islam. Masjid telah dibina disetiap pintu masuk kota.

Peserta 'dibiarkan' menunggu di kawasan Bab Antakya dan saya terus mengambil teksi menuju ke Mal'ab Baladi untuk membeli sarapan pagi. Sarapan pagi tersebut ialah Muajanat Laham, Pizza Mini dan Muhammara'.

Setelah sarapan pagi, kami terus menuju ke Masjid Umawi bandar Halab atau dikenali dengan Jami' Zakariye. Masjid ini telah diasaskan pada tahun 715 masihi oleh Khalifah Walid I dan disempurnakan pembinaannya ketika era Khalifah Suleiman (715-717 masihi). Terdapat sebuah menara setinggi 45m yang dibina ketika zaman Tutush iaitu Sultan Seljuk antara tahun 1090-1092 masihi.

Makam Nabi Zakaria a.s di Masjid Umawi Halab

Masjid Umawi Halab ini juga menempatkan Makam Nabi Zakaria a.s iaitu bapa Nabi Yahya a.s yang makamnya terdapat di Dimashq. Masjid ini juga menempatkan mimbar lama yang dibuat dari kayu sekitar abad ke-15. Mimbar ini dahulunya diletak bersebelahan makam Nabi Zakaria a.s

Semua peserta Kembara Syria seramai 16 orang
bergambar kenangan di hadapan Aleppo Citadel

Berdiri dari kiri : Farah Wahida, Nur Syamimi, Kamilah, Nor Ashikin, Nur Zehan,
Siti Nabilah, Naila Adlin, Syamihah Mardhiah, Siti Khuzaimah
Duduk dari kiri: Nik Abdul Hadi, M. Fakhruddin, M. Fudhail, M. Shahrul Ifwat,
M. Shafiq, A. Faiz Fakhruddin & M. Hazimin Sulaiman



Kami

Aleppo Citadel
Halab dikenali oleh barat dengan nama Aleppo. Atau arab menyebutnya dengan Alebbo.
[Sebab arab tidak boleh menyebut huruf P dengan P. Tetapi dengan B =) ]

Kota Halab merupakan salah satu kota yang amat terkenal pada setiap zaman yang memerintahnya. Tapak asal kota ini dipercayai ditemui oleh Yamkhad sekitar abad ke-16 sebelum masihi. Di kota ini terdapat kesan ukiran dua ekor singa yang menyamai ukiran yang terdapat di Ain Dara sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 30km dari pusat bandar Halab. Tujuan ini dibina dikenalpasti sebagai kawasan ibadat kepercayaan mereka pada ketika itu.

Kota berdinding dipercayai awal dibina oleh Seleucid (sekitar 333-364 sebelum masihi). Kesan penemuan dikota turut membuktikan Greek dan Rum pernah menduduki kota ini sebelum Islam berjaya menawannya.

Kota ini pernah dikuasai oleh Saif Ad-Daulah dari kerajaan Hamdaniah. Kekuatan Islam ternyata ketika zaman Sallehudin Al-Ayubi apabila sejarah mencatatkan tentera panglima Islam tersebut berjaya mengalahkan tentera Salib di Halab. Anak Sallehudin Al-Ayubi ialah Al-Malik Al-Zaher Ghazi telah membuka kota baru di Halab pada ketika itu. Kota ini penah diserang oleh Mongols dan merosakkan kota ini pada tahun 1292 masihi.

Kerajaan Mamluke menjaga kota ini pada abad ke-14 dan seterusnya dijaga oleh kerajaan Turki Uthmaniah sehinggalah kejatuhannya.

Antara kesan binaan yang masih kekal terdapat di dalam kota ini ialah Hammam (Bath) yang dibina pada tahun 1367 masihi. Selain itu terdapat Masjid Nabi Ibrahim yang dibina ketika era Nuruddin Zinki. Tapak masjid tersebut dipercayai pernah disinggahi oleh Nabi Ibrahim ketika baginda datang dari bumi Harran di Turki. Nabi Ibrahim a.s keluar dari tanah Babylon menuju ke Harran dan terus ke Halab sebelum meneruskan perjalanannya ke Tanah Palestin.

Terdapat sebuah istana dibina di dalam kota. Istana tersebut dibina oleh Al-Aziz pada tahun 1230 masihi dan dipercayai pernah diduduki oleh Sallehudin Al-Ayubi. Kota Halab amat kukuh dan terletak di kawasan bukit yang amat strategik. Seluruh bandar Halab dapat dilihat dengan jelas dari puncak kota.

Berdekatan dengan pintu masuk kota, terdapat Makam Nabi Khidir a.s. Ia dipercayai tempat yang pernah disinggahi oleh Nabi Khidir a.s Istilah makam ialah dari perkataan arab yang bermaksud tempat berdiri atau tempat berada. Bukan semuanya bermaksud kubur yang disemadikan jasad.

Pemandangan bandar Halab dari Aleppo Citadel

Hammam/Bath yang terdapat di dalam kota

Istana

Makam Nabi Khidir a.s

Setelah selesai melawat kota Halab, kami terus menuju ke sebuah masjid lama yang terletak berhadapan dengan pintu masuk kota Halab. Masjid tersebut ialah Masjid Sultaniah atau dikenali dengan Jami' Zahiriah yang telah diasaskan oleh Malik Zahir Ghazi iaitu anak Sallehudin Al-Ayubi pada tahun 613 Hijrah.

Setelah itu, kami bergerak menuju ke Masjid Karimiyyah untuk melihat kesan tapak kaki Rasulullah pada sebuah batu yang ditempatkan di dalam masjid tersebut. Masjid tersebut hanya buka ketika masuk waktu solat jemaah. Kebetulan pada ketika itu, azan zohor baru berkumandang dan kami terus menuju ke masjid tersebut dan solat berjemaah disitu. Imam masjid tersebut ialah Syeikh Bakri Hayyani. Beliau memberi layanan yang baik kepada kami. Selepas solat dan melihat kesan tapak kaki Rasulullah S.A.W, beliau mempelawa kami untuk bersama dengan anak-anak muridnya, namun pelawaan tersebut terpaksa kami tolak dengan baik disebabkan masa amat terhad dan selepas aktiviti di Souq kami perlu kembali ke Dimasqh yang jarak perjalanannya dari Halab 4 jam perjalanan menaiki coaster.

Menurut sumber lisan salah seorang yang pernah saya temui beberapa tahun yang lalu, kesan tapak kaki Rasulullah S.A.W yang terdapat di Masjid Karimiyyah bukan bermakna Rasulullah S.A.W pernah tiba di Halab. Tetapi kesan tapak kaki pada batu tersebut telah dibawa dari tanah hijaz ke Turki untuk dijaga oleh pihak kerajaan Turki Uthmaniah. Namun ketika perjalanan sampai di Halab, batu yang dibawa telah dicuri dan kemudian ada yang menemui batu tersebut lalu ditempatkan di kawasan Masjid Karimiyyah. Wallahualam.

Kesan Tapak Kaki Rasulullah S.A.W
pada sebuah batu di Masjid Karimiyyah


Dari Masjid Karimiyyah kami menuju ke Souq Halab yang terkenal dengan jualan barang yang lebih murah dari kawasan lain di Syria. Ia merupakan Souq atau pasar lama Halab yang dibina sejak 800 tahun yang lalu. Antara souq yang kekal ada ialah Souq Al-Qasabiye, Souq Al-Saqutiye, Souq Al-Atarin, Souq Al-Fara'in. Selain itu terdapat Khans Al-Sabun, Khan Al-Wazir, Khan Al-Nahasin dan Khan Al-Gumruk. (Khan: Combined Warehouse And Hostel For Merchants)

Saya turut mengambil kesempatan membeli beberapa untuk keperluan Jun nanti. Semua peserta turut mengambil peluang membeli belah di sekitar souq Halab sehingga jam 3.00 petang. Coaster bergerak meninggalkan bandar Halab menuju ke ibu negara Syria, Dimashq tepat jam 4.00 petang- 7 Februari 2008.


Atas: Bab Antakiah
Tengah: Masjid Sultaniah atau Zahiriah
Bawah: Souq Madinah, Halab


2 komen:

banggugar said...

salam,

lama ke jalan2 di syria?..

salam perkenalan
(",)

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

salam kenal bang_gugar..

untuk trip nie 6 hari saja jalan2..:)
ada kat damascus ke skrg?