Showing posts with label sallehuddin al-ayubi. Show all posts
Showing posts with label sallehuddin al-ayubi. Show all posts

Tuesday, August 21, 2007

Kesan Sejarah Islam di Kota Shawbak

Kota Shawbak

Shawbak terletak di dalam muhafazah Ma'an iaitu sebuah kawasan selatan negara Jordan.

Di pekan kecil yang subur ini terdapat sebuah kota pertahanan lama yang dikenali sebagai Qal'ah Shawbak (Kota Shawbak). Ia merupakan kota-kota pertahanan terbesar yang masih kekal di negara Jordan. Senibina kota ini menyamai senibina Kota Karak yang terdapat di muhafazah Karak.

Kota ini dipercayai dibina ketika zaman salib iaitu pada tahun 1110 oleh Baldwin I. Bukit ini dikenali ketika zaman Salibi dengan nama Jabal Releas (Montreal). Kota ini pernah diduduki oleh 6000 kristian pada suatu ketika.

Kota ini pada asalnya dibina bertujuan untuk menguasai wilayah selatan. Raja Baldwin I mendapat maklumat dari Raja Quds Kristian bahawa laluan di sepanjang jalan Shawbak merupakan laluan strategik yang dikenali sebagai Tariq Muluki (King's Highway) yang terkenal sebagai laluan perdagangan yang menghubungkan Mesir dan Sungai Furat di Syria.

Pada tahun 1189, tentera Sallehuddin Al-Ayubi bergerak dari Mesir dan tiba di Shawbak lalu mengepung kota ini. Pada ketika itu kota ini amat terkenal sebagai kubu tentera salib yang kuat dan mantap. Tentera Sallehuddin mengepung kota ini untuk meninjau sejauh mana tahap kehebatan kota ini. Setelah itu Sallehuddin telah berjaya menawan kota ini setelah mengepung dalam tempoh yang lama dan menyebabkan bekalan makanan dan air terputus sehingga menyebabkan mereka terpaksa menyerah kalah kepada tentera Islam.


Selepas zaman Sallehuddin Al-Ayubi berakhir. Kota ini terus dikuasai oleh kerajaan-kerajaan Islam. Kerajaan Mamluke telah berperanan membangunkan kota ini. Antara perubahan-perubahan yang telah dilakukan oleh kerajaan Islam setelah menguasai kota ini ialah:

1. Mengubah ruang mahkamah ketika zaman Salib kepada kelas pengajian Al-Quran untuk anak-anak Islam.

2. Mengukir ayat-ayat suci Al-Quran di dinding-dinding kota.

3. Bilik-bilik, lorong rahsia dari puncak kota ke kaki bukit terus dipelihara dan digunakan oleh kerajaan Islam disebabkan perkara yang mempunyai banyak manfaat dan ianya tidak perlu dirobohkan.

Begitulah kehebatan tentera-tentera Islam terdahulu.

Kekuatan tersebut akan kembali dimiliki oleh umat Islam suatu ketika nanti. Bila?

Sekiranya pada ketika dahulu dicatatkan bahawa kawasan kem tentera-tentera Islam pada awal subuhnya sudah bercahaya dan mereka bangun untuk Qiamullail dan solat subuh. Kekuatan mental dan fizikal yang amat hebat. Hubungan yang baik dengan Allah. Bantuan yang terus Allah beri untuk mereka.

Begitukah keadaannya pada ketika ini?

Tuesday, July 10, 2007

Reynald Chatillon Telah Tewas!

Bersama pelajar Malaysia dari Mesir di pintu masuk kota Karak
(9 Julai 2007)


Bandar Karak terletak kira-kira 121 km dari ibu kota Amman, Jordan. Di bandar inilah pernah mencatat sejarah kejayaan tentera Sallehuddin Al-Ayubi menawan kota Karak dari tangan tentera Salib. Kota Karak kini berdiri kukuh di salah satu sudut bukit bandar Karak berhadapan dengan Jabal Sallajah.

Sejarah awal kota
Penempatan di Kota Karak telah bermula sejak zaman batu lagi apabila artifak batu zaman tersebut telah ditemui di tapak arkeologi. Ia sekaligus membuktikan kawasan ini telah diduduki sejak ribuan tahun dahulu. Kerajaan Moab pernah menguasai Karak seterusnya ia di duduki oleh kerajaan Rum.

Pertemuran Tentera Sallehuddin dan Tentera Salib di Kota Karak
Pada tahun 1161 masihi, kota ini dikuasai oleh tentera Salib yang diketuai oleh Reynald Chatillon yang pernah menewaskan tentera Sallehuddin Al-Ayubi di Monsgisart pada tahun 1177 dan mereka sering menyerang pedagang arab yang berlabuh di Laut Merah terutama di Ailah (Aqaba pada ketika ini).

Pada tahun 1187 masihi, tentera Sallehuddin Al-Ayubi telah mengepung kota ini selama 8 bulan sehingga memaksa tentera Salib menjual anak isteri untuk mendapatkan makanan dan air. Sallehuddin Al-Ayubi telah berjaya menawan kota ini pada tahun 1188 masihi. Sallehuddin Al-Ayubi bersama pasukannya pada awalnya telah membina kem di sebuah kawasan bernama Hesban berdekatan dengan Amman-Madaba ketika ini.

Di Hesban Sallehuddin telah berkubu dan merancang strategi untuk merampas kota Karak dari tangan Reynald Chatillon dan akhirnya kejayaan menjadi milik Sallehuddin Al-Ayubi. Reynald Chatillon Telah Tewas!


Bermula dari saat kemenangan itu, kerajaan Islam terus menerus menguasai kota tersebut. Kerajaan Mamluke telah banyak berusaha membangunkan kota ini. Pada tahun 1263 masihi Sultan Zahir Baybar telah menguasai kota ini dan telah melakukan perubahan dan pembangunan terhadap kota. Masjid dan istana dibina di dalam kota ini.

Beliau turut menambah ukiran ayat suci Al-Quran pada dinding kota dan beliau turut bertanggungjawab memperdalam parit kota. Gempa bumi pada tahun 1293 telah memusnahkan sebahagian besar kota. Kerajaan Turki Uthmaniah menguasai kota ini sehingga awal kurun ke-20 sebelum tewas ketika pemberontakan Arab dan kini ia dijaga sebagai lokasi sejarah dan arkeologi oleh kerajaan Jordan.


Kesan Mihrab (petunjuk arah kaabah) yang terdapat di masjid lama binaan kerajaan Mamluk.
Kesan ini membuktikan kehebatan Islam menguasai kota ini setelah ianya jatuh
ke tangan Islam dari tentera Salib.

Monumen yang masih kekal

Antara monumen yang masih kekal di kota Karak ialah Istana Kerajaan Mamluk dan Masjid Mamluke yang terletak berhampiran kubu pertahanan selatan yang juga dibina oleh pemerintah Mamluk. Lubang memanah dapat dilihat di sekeliling dinding kota untuk tujuan pertahanan. Di bahagian tengah bersebelahan halaman atas terdapat gereja era salibi dan bersebelahannya (bahagian bawah) ialah sacristy iaitu tempat menyimpan bekas atau mangkuk suci di dalam gereja.

Turut ditemui di dalam kota adalah berek tentera dan dapur. Di bahagian dapur terdapat batu untuk mengisar gandum, batuan rata dan sebuah tempat membakar. Sistem pengairan air amat baik di dalam bilik dapur tersebut.

Berdekatan dapur dan berek terdapat satu monumen yang di ukir pada batu menunjukkan tentera berkuda Nabatean dengan tombak di belakangnya. Kelihatan juga kepala kuda terukir pada monumen tersebut dan ia hampir terhakis dan wajah tentera telah hancur. Ahli arkeologi menyifatkan ia sebagai batu tanda peringatan perkebumian kaum Nabatean.