Showing posts with label event. Show all posts
Showing posts with label event. Show all posts

Sunday, April 20, 2008

Kursus Perkahwinan

Alhamdulillah selesai beberapa perkara untuk 2-3 hari ini dan dapat mengadap laptop untuk menulis. Malam Sabtu yang lalu aku menyertai satu program yang bernama E-Networking Satu Kerjaya yang hebat di Sungai Dua, Pulau Pinang. Malam itu Dr. Ahmad pencetus revolusi baru dunia networking dari Uptrend telah menyampaikan ucapan beliau di hadapan 2000 yang hadir.

Semalam dan hari ini aku mengikuti Kursus Pra Perkahwinan di Dewan Serbaguna Pejabat Agama Daerah Parit Buntar. Penganjur program adalah dari Persatuan Penguatkuasa Agama Perak (PEKAP). Hampir 30 syarikat dan penganjur terdapat di negeri Perak yang menganjurkan Kursus Perkahwinan di bawah Modul yang disediakan oleh JAKIM. Aku mendaftar kursus di PAD Parit Buntar dan PEKAP yang mengendalikannya.

Alhamdulillah semuanya selesai dan pagi tadi aku berjumpa Ust Sufian Abd Latif salah seorang tenaga penyampai kursus. Ust Sufian bekas penuntut Universiti Yarmuk, Jordan. Dengan bantuan dan urusan beliau aku melanjutkan pengajian di Jordan pada tahun 2000. Kini beliau menjawat jawatan Penolong Penguatkuasa di Pejabat Agama Negeri Perak.

Minggu ini banyak perkara yang perlu diselesaikan untuk majlis perkahwinan dan urusan dengan pelanggan untuk lawatan ke Timur Tengah. Majlis perkahwinan genap lagi 2 bulan, aku pula perlu kembali ke Jordan untuk beberapa kerja.

InsyaAllah dengan kesempatan masa yang ada. Aku akan terus menulis jurnal tentang sejarah dan lokasi sejarah Timur Tengah di sini. Untuk kepuasan diri dan dikongsi bersama oleh semua pembaca.

Tuesday, July 31, 2007

Tanda Sahabat

28 Julai 2007
Bersama sahabat baik, Zaid. Dan isterinya Adzra


Seminggu sudah tidak menulis. Ruh dan semangat sudah mulai rindu untuk menulis sesuatu yang tertulis di minda.

Seminggu ini tidak banyak kesempatan masa untuk melayari internet. Masa-masa aku habiskan untuk membantu sahabat baikku Zaid untuk majlis perkahwinannya. Jika ada ruang masa aku habiskan membaca buku Monuments Of Syria dan mengulangkaji semula Sirah Nabawiah.

Berair mata mengenang rentetan hidup Rasulullah S.A.W.

Kagum dengan Ross Burns, Sejarawan yang mampu menulis sejarah Syria dengan baik dari bukunya yang sering aku baca.

Jika ingin menilai seseorang sebagai seorang kawan, mudah, senang dapat. Macam nak cari mukhalal di mana-mana restoran di negara arab. Berkenalan, berbual boleh menjadi kawan. Tetapi jika ingin dinilai sebagai sahabat. Ia cukup sukar. Banyak 'syarat' perlu ada untuk mendapat status tersebut..Status itu tetap dan tidak berubah-ubah seperti status di YM.

Bagi aku kawan dan sahabat berbeza pada nilainya.

Berkenalan, berkawan, sanggup susah dan senang bersama, berbincang dan buat keputusan dengan sepakat, bila ada ralat faham ia sebagai kekurangan dan tidak pernah mengeluh, menegur bila salah, gembira bersama, susah dipikul berdua. Tolong menolong tanpa berkira, bersabar dengan apa jua. Semuanya menjadi satu yang erat, menjadi sahabat.

Memang sukar untuk mencari seorang sahabat.

Sanggup susah bersama, gembira ketawa biasa.

Alhamdulillah, untuk seminggu ini aku telah cuba menunaikan syarat sebagai sahabat untuk sahabat baikku Zaid dalam urusan majlis perkahwinannya. Bermula dari mencari rumah kelamin di Mu'tah pada hari pertama, membasuh rumah di hari kedua, memasang karpet di hari seterusnya, mengangkut barang, bermukim di Amman untuk urusan majlis perkahwinannya. Syukur semuanya masih mampu aku lakukan.

Tahniah untuk Zaid dan Adzra kerana telah selamat diijabkabulkan. Semoga Allah panjangkan jodoh sehingga akhir hayat dan dikurniakan anak-anak yang bakal menjadi Jil Soleh dan Solehah pejuang agama Allah.

Tanya tentang 'Ushaikim'..tentu kawan tidak mengetahui apakah itu? Apa ada disitu?..Kecuali sahabat paling baik yang bersama untuk tahu..

Tanya apa yang aku tahu tentang sahabat paling baik..mungkin aku boleh menjawab lebih dari apa yang aku ketahui tentang diriku..

Tuesday, June 26, 2007

Sekali gagal bukan bererti gagal selamanya...


Kekadang begitu payah untuk aku melupakan saat dan masa terbuang yang aku sendiri yang membuangnya. Bila difikirkan semula apa hikmahnya masa diambil begitu lama untuk menyelesaikan misi yang sepatutnya tidak perlu makan masa yang lama. Mulakan kerja, bagi tumpuan, jalankan dengan baik dan selesai..

Namun masa yang telah berlalu tetap dah berlalu. Tidak boleh dikembalikan. Hal yang mendatang perlu difikirkan akan 'pembuangan masa' tidak lagi dilakukan. Biar buat sesuatu dengan fokus dan berjaya.

Bermula dengan zaman gelap
Otak aku sebenarnya mengimbas kenangan semasa menuntut di Universiti Mu'tah. Aku tiba di Jordan pada 17 Jun 2000 dengan semangat dan azam untuk mendalami ilmu agama. 3 bulan duduk di Jordan untuk memahirkan bahasa dan kuliah pertama aku bermula pada pertengahan Oktober 2000.

Untuk semester pertama tiada subjek lagi yang aku ambil kecuali subjek Tilawah dan Hafazan. Semester pertama aku di Universiti Mu'tah dihabiskan dengan mengambil subjek Daurah Arabiah LilAjanib (Kursus Bahasa Arab untuk Pelajar Bukan Arab). Mula semester kedua aku cukup semangat belajar dan mencatatkan muaddal (average or CGPA) yang tinggi. Namun entah mengapa dan kenapa, bermula semester musim panas 01/02 fokus aku untuk belajar semakin hilang.

Aku banyak malas membaca buku (semester-semester sebelum itu aku malas juga, tetapi semasa nak exam aku akan tumpukan perhatian pada subjek). Tetapi makin lama makin teruk perangai aku, makin tidak memberi fokus kepada pelajaran.

Aku pernah bertanya kenapa seorang senior ketika itu. Mengapa aku jadi seperti ini?. Dia menjawab ringkas. Hang terlalu tumpukan kerja-kerja persatuan dan selalu ponteng kelas. Lama aku berfikir kata-kata senior tersebut. Mungkin ada kebenaran kata-katanya. Tetapi aku tahu diri aku macamana. Sebelum masa tersebut aku turut terlibat dengan kerja-kerja persatuan tetapi fokus aku masih boleh beri pada pelajaran. Lama aku menung dan fikir ketika itu. Akhirnya aku sendiri mendapat jawapannya.

Masalah aku bekerja dengan persatuan hanya 20% berkaitan dengan masalah aku hadapi dan bakinya adalah kemalasan dari diri aku sendiri untuk belajar dan memahamkan apa yang aku belajar.

Kenapa aku jadi begitu?
Tempoh terus berlalu sehinggalah tahun 2003.. pelajaran aku semakin merosot. Masa itu aku turut menjawat jawatan yang tinggi di dalam persatuan. Malas aku untuk belajar semakin menjadi-jadi.

Aku tahu pontensi diri aku bagaimana. Aku bukanlah orang yang lembab sangat nak belajar..(bukan nak angkat diri) tapi aku ada masalah kemalasan yang sampai tahap super. Bila aku give-up ngan pelajaran aku terus tinggal tanpa cuba nak selesaikan. Sedangkan dalam sesuatu keadaan ia amat mudah untuk diselesaikan.

Sehinggakan dalam tempoh setahun aku tidak ambil kuliah, bercuti dan stress dengan belajar. Wajah muram 2004 pun telah berlalu. Semester kedua tersebut aku sudah sampai tahap tension untuk belajar. Aku tak dapat tumpukan studi aku, kelas aku banyak ponteng, masa aku banyak buang begitu sahaja.. Jun 2004 aku buat keputusan untuk balik ke Malaysia.

Aku bercadang untuk mencari punca masalah aku dan penyelesaiannya. Memang aku balik mengejut masa itu. Keluarga aku pun terkejut kenapa aku buat keputusan nak balik sedangkan aku sudah pulang tahun sebelumnya (Sept 2003).

Di Malaysia, aku banyak menulis kisah-kisah aku dalam sebuah diari (diari itu aku terlalu cuai letak kat mana di rumah Malaysia dan hilang entah ke mana). Aku meluahkan perasaan aku dalam diari tanpa suara itu. Akhirnya aku sudah dapat masalah yang telah menyebabkan aku menjadi seperti orang 'lembab, tidak tahu apa sebenarnya aku dah buat. Berlainan sama sekali semasa di alam persekolahan.

Akhirnya aku koreksi diri ...

1. Tumpuan aku pada belajar hilang, malas nak buat keja rumah doc bagi, malas nak selesaikan masalah yang ada. Ambil sikap sambil lewa ketika belajar.

2. Tidak pandai bahagi masa dengan kerja persatuan. Persatuan bagi aku wajib disertai sebab ia salah satu medan dakwah kita. Medan belajar mengurus, bercakap. Tapi masa kenalah bahagi dengan betul.

3. Banyak makan dan tidur

4. Banyak buat kerja luar yang kurang penting dari belajar.

Kembali untuk ke zaman cerah
Oktober 2004. Aku kembali semula ke Jordan dengan satu semangat yang baru. Di alam menengah aku adalah pelajar cemerlang di sekolah yang cemerlang. Aku adalah harapan mak dan ayah. Aku adalah model untuk adik-adik.

Aku ketika itu pemimpin persatuan yang patut menjadi contoh. Ya! Semua 'kebodohan' aku sebelum itu aku kena ubah sebelum terlambat. Aku telah muhasabah diri dan ubah diri dan hasilnya mulai semester pertama 2004 hinggalah aku tamat pengajian semester pertama 2007, aku tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek kecuali tiga subjek iaitu Tarbiah Wataniah, Tilawah 1 dan Feqh Muamalat.

Alhamdulillah, aku cukup membahagikan masa dengan baik. Antara persatuan, belajar dan kerja-kera lain. Aku usaha + tawakkal + doa dan Allah berikan semua itu dengan usaha yang telah aku lakukan. Bayangkanlah berapa jumlah jam kredit aku sepanjang tiga tahun yang aku kumpul dengan aku selalu dropped subject dan failed.

Tidak lama untuk aku menamatkan pengajian sebenarnya. Cuma aku yang bodoh tidak tahu bahagikan masa sebelum itu. Dan aku buktikan juga kepada mereka yang menyalahkan persatuan sebagai sebab seseorang itu tidak berjaya dalam pelajaran.

Aku buktikan yang aku mampu score semua subjek 80 ke atas pada semester soifi dengan satu subjek ketika itu aku mendapat yang tertinggi di dalam kelas. Sedangkan ketika itu aku menjawat jawatan paling penting di dalam PERMATA. Inilah bukti bahawa persatuan bukanlah penyebab utama jatuhnya kita. Tetapi kebodohan kita untuk bahagikan masa untuk semua itu..

Nasihat untuk saudaraku SeIslam, kawan-kawanku
Tujuan aku menceritakan kisah pahit bukan untuk minta simpati dan kisah kejayaan bukan untuk membongkak diri. Tetapi untuk renungan kawan-kawan seperjuangan aku, adik-adik seperjuangan aku di Jordan ini atau di mana-mana sahaja. Jika kita rasa tidak mampu, sebenarnya kita mampu. Jika kita kata tidak, kenapa kita tidak cakap ya!

1. Jangan abaikan solat. Jangan buat maksiat. Solat amat penting. Kekadang kita dah usaha banyak. Tapi Allah tak beri kita dapat tinggi dalam pelajaran. Kenang-kenangkan hubungan kita dengan Allah macamana..

2. Bukanlah kita mengejar segulung sijil itu tetapi bidang ilmu yang kita belajar itu dapat kita kuasai dengan baik. Katakan kita tidak mampu, jangan rasa rendah diri, kita ada potensi lain, ada kelebihan lain yang tiada pada orang lain.

3. Bijak bahagikan masa untuk pelajaran dan kerja-kerja lain. Bagi aku belajar untuk habiskan silibus dalam bidang yang kita ambil belum cukup untuk kita. Mesti ada kerja luar yang kita kena terlibat untuk kita lebih kenal kawan-kawan. Belajar hidup bermasyarakat.

4. Jangan malu berterus terang kelemahan kita dalam pelajaran. Jika kita gagal, jangan malu mengatakan kegagalan kita. Buat apa kita nak sorok? Beritahu kepada kawan, mintak bantuan dari kawan yang lebih mengetahui. Jangan ketika gagal. Kita simpan dan tidak usaha untuk belajar dengan kawan yang lebih mengetahui. Yakinlah kawan-kawan, otak kita ini terlalu mampu. Kita sahaja yang katakan tidak..

5. Belajarlah dengan mereka yang lebih tahu. Jangan malu bertanya. Walaupun belajar dengan orang yang lebih junior dan muda dari kita. Kalau kita ada masalah dalam pelajaran. Terus jumpa kawan yang lebih mahir. InsyaAllah aku bagi jaminan. Dalam satu keadaan silap-silap kita boleh score lebih dari Tok Guru.

6. Utamakan belajar dan ulangkaji ketika musim peperiksaan. Jangan tumpukan benda-benda lain. Kekadang minggu peperiksaan masih melayan bola, berjalan ke mecca mall, sempat bermain billiard, sempat melancong, berterusan melayari internet. Lainlah kalau betul-betul sudah bersedia

Percayalah! Sebenarnya kita punya potensi diri yang kita tidak nampak. Kita punya kelebihan dan kekurangan. Begitu juga manusia lain. Namun tingkatkan taqwa kita, kerana dengan taqwa itu membezakan antara kita dan muslim yang lain.

Jika anda pernah gagal, ia bukan beerti gagal untuk selamanya..
Usaha + Doa + Tawakkal = Dengan izin ALlah, kita akan berjaya.


Majlis Konvokesyen Universiti Kali ke-18
Alhamdulillah, dengan berkat usaha, sabar dan doa dari Allah aku telah menamatkan pengajian di Universiti Mu'tah pada 22 Januari 2007. Walaupun melalui zaman gelap di awal pengajian namun aku yakin dengan kemampuan aku untuk terus belajar dan menamatkannya selepas 3 tahun sahaja setelah aku sedar tentang kesilapan yang aku telah lakukan.

25 Jun 2007, telah dilangsungkan Majlis Konvokesyen Universiti Mu'tah kali ke-18 bertempat di Dataran Fakulti Sukan, Universiti Mu'tah. Ia merupakan hari kedua majlis di adakan setelah majlis hari pertama membabitkan fakulti-fakulti lain telah dilangsungkan sehari sebelumnya.

Pada tarikh 25 Jun fakulti yang terbabit ialah Al-Adab (Sastera), Huquq (Undang-Undang), Ulum Tarbawiah (Pendidikan), Graduan Diploma, Syariah, Ulum Riyadiah (Sains Sukan) dan Ulum Ijtima' (Sains Sosial).

Semua graduan telah berkumpul sejak jam 3 petang untuk pedaftaran nama dan susunan giliran mengambil sijil.

Jam 4.15 petang semua graduan memasuki dataran konvokesyen dan pada jam 5.00 petang barulah majlis dimulakan dengan perarakan masuk pensyarah-pensyarah dari semua fakulti dan jabatan.

Sejurus selepas itu lagu kebangsaan Jordan Salam Malaki dimainkan oleh unit pancaragam yang telah disusun.

Ucapan Aluan dimulakan oleh Pengerusi Majlis iaitu Dr.Yusuf Sheimat dari Fakulti Bahasa Dan Kesusasteraan Arab, selepas itu ucapan oleh Dekan Pusat Hal Ehwal Pelajar Dr. Abatah Tuwaihah dan ucapan terakhir oleh Dr.Sulaiman Arabiyyat iaitu rektor universiti Mu'tah.

Majlis penyampaian sijil dijalankan selepas itu dimulakan dengan Fakulti Adab dan diakhiri oleh Fakulti Ulum Ijtima' (Sains Sosial). Setelah selesai majlis penyampaian sijil, dijalakan pula majlis penyampaian cenderahati untuk pelajar terbaik keseluruhan setiap jabatan. Untuk jabatan Feqh & Usul tahun ini pelajar terbaiknya ialah Harun Ar-Rashid dari Indonesia. Tahun sebelumnya telah dipegang oleh pelajar Malaysia iaitu Rozaimi Ramle.


Alhamdulillah, bersyukur aku kepada Allah kerana akhirnya aku dapat juga menghadiri majlis konvokesyen ini dengan laungan nama aku bergema di tanah Mu'tah berjuta kenangan ini.

Ini bukanlah penonton perlawanan bolasepak atau perlawanan gladiator.
Tetapi inilah suasana masyarakat arab yang meraikan anak-anak, saudara-saudara mereka
di majlis konvokesyen mu'tah baru-baru ini.


Kenangan di Majlis Konvokesyen Universiti Mu'tah Kali ke-18
( Isnin- 25 Jun 2007 )