Showing posts with label hobi. Show all posts
Showing posts with label hobi. Show all posts

Monday, March 24, 2008

Novel Hut, Ipoh Parade


2 hari lepas saya ke Ipoh untuk menghantar beberapa barang dari Jordan yang dikirim oleh tunang tersayang.

Dalam Kesempatan masa yang ada, saya bersamanya dan bakal emak mertua serta bakal adik-adik ipar yang masih renek-renek bersiar di sekitar Ipoh serta membincangkan beberapa perkara untuk majlis kenduri nanti.

Peluang berada di Ipoh dan sebelum pulang ke P.B, saya sempat berada di Ipoh Parade dan menghabiskan masa yang agak lama di situ. Apa yang amat mengembirakan hati, pada malam tersebut saya telah 'bertemu' dengan premis yang menjual buku terpakai. Apa yang pastik longgokkan majalah National Geographic memenuhi beberapa ruang di kedai yang dikenali dengan Novel Hut. Selain dari NGM yang menjadi tumpuan saya, novel-novel terpakai Berbahasa Melayu dan Inggeris serta majalah-majalah turut memenuhi kedai tersebut.

Teringat pada Abu Marwan di Shariq Sagaf Sil apabila berjumpa dengan premis mirip kedainya dilaluan sesak balad Amman Jordan.

Hasil malam itu saya membawa pulang edisi NGM keluaran Mac 1957 dan Oktober 2003 yang belum lagi saya miliki. Harga untuk keluaran klasik RM 8.00 dan untuk yang terkini sekitar tahun 2006-2008 harga dalam RM6-7. Manakala untuk tahun 1980-an hingga 2003/2004 harga RM 4.00.

Ini bermakna koleksi-koleksi buku terpakai NGM di Jordan masih dijual jauh lebih murah iaitu hanya 500 Fils (RM 2.30) bahkan keluaran terkini yang dijual juga 500 Fils.

NGM Mac 1957 yang sempat 'dikebas' dari Novel Hut, Ipoh Parade

Kepada yang berminat untuk mendapatkan buku-buku terpakai yang masih berada dalam kondisi yang baik boleh berkunjung ke Ipoh Parade di premis Novel Hut yang berada di tingkat 2 (S03) atau boleh menelefon kedai tersebut untuk mendapatkan maklumat 05-2536284.

Apa yang pasti, dengan kewujudan premis ini dan yang pentingnya ia menjual NGM terpakai sudah meyakinkan saya untuk memenuhi hobi saya mengumpul keseluruhan NGM terutama mulai 1950-an hingga keluaran terkini.

p/s
Kepada rakan-rakan di Malaysia yang mempunyai maklumat di mana terdapatnya kedai buku terpakai di serata Malaysia boleh beri info kepada saya. Terima kasih kepada Asyrafdini atas maklumatnya mengenai kedai buku terpakai di Penang.

Sunday, January 6, 2008

Kedai Buku Terpakai Abu Marwan

Peta menunjukkan lokasi Kedai Buku Terpakai Abu Marwan di Downtown (Balad), Amman

Entri kali ini ditujukan khas kepada rakyat Malaysia yang berada di bumi Jordan yang minat membaca dan membeli buku. :)

Peta di atas menunjukkan lokasi Kedai Buku Terpakai Abu Marwan yang sering menjadi tempat 'lepak' aku ketika menuntut di bumi Jordan dahulu. Setiap kali ke bandar Amman, sudah pasti kedai buku kecil yang terletak di tepi Shariq Saqaf Sil aku jejaki. Buku-buku sejarah, pelancongan, majalah National Geographic dan lain-lain menjadi sasaran. Paling tidak satu buku di bawa pulang setiap kali berkunjung.

Kepada mereka yang gemar membaca, kedai buku terpakai Abu Marwan sepatutnya dikunjungi. Kekadang buku yang dijual dikedainya bukanlah buku yang 20-30 tahun lamanya. Ada juga buku-buku yang baru dipasaran tapi sudah 'dilelong' dikedainya. Misalanya majalah National Geographic yang keluarannya setiap bulan boleh didapati issue terbaru di kedai tersebut. Siapa yang cepat, siapa yang beruntung akan dapat 'hasilnya'. Kalau beli baru di Safeway atau Prime Megastore harganya JD 5.500, beli di kedai Abu Marwan JD 0.500 sahaja.

Pemilik kedai ini bernama Bahzad. Namanya seperti nama yang terdapat di dalam masyarakat Checen atau di negara-negara bekas Soviet Union bersempadan dengan Turki (Georgia, Azerbaijan, Armenia). Bahzad lebih mesra dipanggil dengan panggilan Abu Marwan.

Bermacam-macam jenis fiksyen buku, majalah boleh didapati di kedai tersebut. Ekonomi, Politik, Sains, Perubatan, Keagamaan dan pelbagai lagi boleh dimiliki dengan harga yang jauh lebih murah. Isi buku sama sahaja dari yang baru.

Kepada ulat buku, ada masa berkunjunglah ke situ.

Monday, August 27, 2007

'Haji Fossil'


"Salam Hj algimen alfosil..".

Begitulah permulaan ayat SMS yang saya dapat dari seorang rakan di Malaysia 2hari yang lalu.

SMS yang membuatkan saya tersenyum sendirian
SMS yang mengembalikan ingatan saya 5 tahun yang lalu.

SMS yang dihantar tanpa disertai nama penghantar terus meminta akal saya meneka siapakah dia penghantar tersebut. Yang pasti memori saya terus mengenangkan kenangan bersama Ust Hasrizal, Ust Imran dan Ust Shahrul Rizal. Iaitu mereka yang amat meminati sejarah yang pernah bersama saya di bumi Jordan. Selalunya Ust Imran dan Ust Ijai yang memanggil saya gelaran sedemikian.

Saya membalas SMS tersebut dan bertanyakan siapakah akhi majhul ini? (saudaraku yang tidak dikenali). Dan dia membalas.

"Ana ingat bila ana pggl enta tn hj alfosil enta blh cam ana.... AJAQ"

Senyum menjadi ketawa. Memang lucu apabila mengingatkan memori dahulu. Rupanya SMS tersebut dari Ustaz Razak (kini menjadi guru J-QAF di Kuantan), senior yang pulang ke Malaysia pada tahun 2002. Dan bila dia memperkenalkan diri, barulah saya ingat hanya beliau yang kerap memanggil saya haji fossil suatu ketika dahulu. Yang lain-lain biasanya memanggil Abu Hajar sahaja. Ada juga yang memanggil saya Gmen Batu..

Disebabkan minat mendalam saya terhadap sejarah. Sejak tahun pertama di Jordan saya sudah mula menjejaki kota-kota bersejarah dan tapak-tapak arkeologi untuk lawatan, mengkaji sebagai maklumat tambahan untuk saya. Bila sudah tiba di sesuatu tempat tersebut saya akan mula ke library university Mu'tah untuk mencari maklumat lokasi yang telah dikunjungi untuk thaqafah saya. Dan saya kerap membawa pulang artifak dari tembikar2 dan batu2 ke rumah. Tak sangka dengan minat saya sebegitu akhirnya pelbagai gelaran yang saya terima ketika itu. Walaupun kekadang diri terasa dengan panggilan-panggilan tersebut tetapi saya positifkan semuanya supaya perkara yang saya minati tidak menjadi pudar dan terus hilang dalam diri.

Kenapa saya dipanggil hj fosil?
Semua ini bermula apabila saya bersama Ust Imran mengembara ke satu kawasan bernama Umm Al-Ayasein. Sebuah pergunungan berbatu berhampiran kampung Taybah terletak di selatan Karak. Di Umm Al-Ayasein terdapat sebuah 'ain (mata air) yang masih mengeluarkan air yang amat segar. Saya dan Ust Imran mengembara di pergunungan tersebut sehingga ke jalan terakhir yang membolehkan penglihatan kami melihat terus ke kawasan Jazirah Lisan iaitu kawasan paling selatan Laut Mati.

Dari situ kami turut dapat melihat sebuah bukit yang telah diratakan dipercayai penempatan yahudi ratusan tahun yang lalu. Turut kelihatan sebuah bukit membentuk kesan gunung berapa mati.

Apa yang 'ajaib'nya di atas bukit tersebut ialah terdapatnya fosil-fosil kerang, moluska berselerakkan di sepanjang jalan yang kami lalui. Fosil-fosil dari moluska gergasi, kulit kerang, kulit lokan memenuhi jalan tanah gunung tersebut.

Pelbagai persoalan yang timbul di minda saya pada ketika itu. Bagaimana fosil-fosil tersebut boleh berada di bukit yang tinggi? Adakah semua kawasan di sini laut suatu ketika dahulu? Berapa tahunkah usia fosil-fosil tersebut? Sudah pasti usianya berjuta-juta tahun, detik hati saya pada ketika itu.

Akhirnya, saya telah mengutip dan membawa pulang beberapa contoh fosil dari bukit tersebut. Dengan niat untuk mencari jawapan kepada semua persoalan saya. (Boleh saya dikisahkan dalam entry-entry akan datang)

Senior-senior ketika itu pelik melihat saya membawa pulang batuan fosil, banyak juga yang mengata, mengutuk. Tambah-tambah ketika itu ust Imran dah balik ke Malaysia, tinggal saya seorang yang dianggap manusia pelik oleh senior rakan-rakan kerana menyimpan batu-batu fosil tersebut.

Akhirnya, Ust Razak yang memang terkenal sebagai seorang yang ceria dan suka buat lawak memberikan gelaran Haji Fosil kepada saya :) Ketika itu saya baru pulang menunaikan haji di Mekah. Apabila dia pulang ke Malaysia, panggilan tersebut sudah lama tidak saya dengar sehinggalah dia SMS baru-baru ini yang cukup mengingatkan kenangan saya ketika dahulu bersama beliau.

Antara koleksi fossil Amonite (istilah untuk moluska gergasi).

Setelah banyak mengkaji, membaca akhirnya perkara yang saya lakukan tidaklah sia-sia. Banyak ilmu yang saya dapat mengenai perkara ini. Golongan pengkaji fosil (yang dikenali sebagai Paleontologist) di barat telah lama membuat kajian mereka terhadap ilmu fosil ini. Mungkin umat Islam agak ketinggalan dengan bidang ilmu ini dan ramai yang tidak mahu mengambil tahu.

Banyak persoalan boleh kita kaji dan berfikir yang boleh digabungjalinkan dengan ilmu-ilmu sejarah Islam. Antaranya usia fosil dengan kedatangan Nabi Adam ke bumi. Adakah seluruh dunia ini adalah lautan suatu ketika dahulu setelah mana fosil-fosil boleh ditemui di pergunungan tinggi?, Bagaimana proses fosil ini boleh berlaku dan adakah proses ini singkat atau memakan masa jutaan tahun?. Berapakah usia dunia sebenarnya? dan lain-lain lagi

Semuanya kejadian yang telah Allah jadikan sudah pasti untuk membuatkan manusia berfikir, mengkaji dan akhirnya menjadi satu hasilan ilmu dan pengetahuan.

"Katakankah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, Walaupun Kami Tambahi lagi Dengan lautan Yang sebanding dengannya, sebagai bantuan"- Al-Kahfi 109

Sunday, June 24, 2007

Seperti Sampai ke Seluruh Dunia

Sebahagian koleksi NGM yang ada (yang warna kuning tue).
Gambar ini di ambil pada tahun 2005 di dalam bilik aku di Dar Qutnie, Mu'tah


Suatu petang dalam bulan Jun 2001 aku telah berjalan seorang diri di Shariq Sagaaf Sil, Wasaatul Balad bandar Amman, ibu negara Jordan. Ketika itu aku berjalan dari Raghdan menuju ke kedai Abu Musa di hujung jalan tersebut.

Petang itu mencatat sejarah perkenalan sulung aku dengan Bahzad yang lebih mesra dipanggil Abu Marwan, pemilik kedai buku terpakai. Aku berhenti di kedainya yang terletak berhampiran sebuah gereja lama di jalan tersebut.

Sesahihnya hobi aku adalah membaca dan apabila tiba di kedai tersebut datang satu keseronokkan yang mendalam. Memang puas hati berada di kedai sebegitu mencari buku-buku terpakai yang banyak di antaranya masih berada dalam kondisi yang baik.

Terdapat banyak majalah-majalah, buku-buku terpakai dari pelbagai fiksyen seperti komputer, medik, akaun, politik dan pelbagai lagi. Tetapi yang menarik minat aku hanya pada buku-buku sejarah dan buku-buku pelancongan (travel guide dsb).

Ketika aku membelek-belek buku di kedai tersebut aku ternampak satu magazine yang berwarna kuning bingkainya. Itulah majalah bulanan National Geographic Society. Apa yang menarik ketika itu, tertulis di penjuru kanan atas majalah tersebut ialah JUN 2001. Ia merupakan keluaran bulan tersebut dan telah di'lelong' di kedai Abu Marwan menjadi buku terpakai.

"Berapa harga ini Abu Marwan?" aku bertanya kepada Bahzad.

"Nusf Dinar" dia menjawab.

Wah! Murah gila. Setengah Dinar sahaja. Aku terus membayar harga majalah tersebut dan mengucapkan salam pada Abu Marwan lalu beredar.


Itulah majalah pertama National Geographic yang menjadi milikku. Sejak aku kecil, aku cukup meminati rancangan TV National Geographic. Waktu itu mana ada astro lagi. Yang aku ingat, setiap hari Isnin jam 9.00 malam akan ditunjukkan rancangan tersebut di TV3. Aku terus meminati rancangan-rancangannya sehinggalah kini.

Pertama kali aku memiliki majalah National Geographic tersebut. Sangatlah gembira rasa hati. Dalam perjalanan pulang ke Mu'tah 3,4 kali aku membelek majalah tersebut. Perasaan aku begitu seronok. (macam dapat seketul emas).

Mana tidaknya, di Malaysia aku tinggal di luar bandar, magazine seperti itu sukar berada di pasaran pustaka kecil. Tambahan pulak 'industri' majalah di Malaysia tertumpu kepada banyak hiburan yang 'membodohkan' otak remaja.

Aku sendiri semasa di alam sekolah menengah rajin membaca majalah-majalah sebegitu. Memang amat merugikan. Otak pun menjadi bodoh menerima info-info hiburan saja. Tidak ada satu pun yang boleh dibanggakan. Tambahan dulu di awal 90-an terkenal dengan komik-komik kartun? Melayan komik semasa sekolah menengah.. Amat-amat tidak menguntungkan. Majalah seperti National Geographic Magazine (NGM) ini tidak meluas di pasaran Malaysia.


Masa terus berlalu, aku melalui tahun 2001 tanpa seorang senior yang begitu rapat dengan aku. Ustaz Imran. Dia menamatkan pengajian dan kembali ke Malaysia pada Julai 2001. Oktober 2001 aku pergi semula ke kedai Abu Marwan setelah hampir 3 bulan tidak ke situ.

Abu Marwan masih mengingati aku. Apabila aku tiba di kedai tersebut aku terus ternampak satu longgokan majalah National Geographic disitu (terpakai). Seingat aku ketika aku membayar harga NGM kepada Abu Marwan sebanyak JD17. Maknanya aku telah membeli 34 buah National Geographic sekaligus petang tersebut. Aku 'Mengendong' pulang ke Mu'tah. Tiba sahaja di Mu'tah aku terus mengunci bilik dan membelek majalah yang telah aku beli petang tersebut.

Rata-ratanya adalah keluaran NGM awal 80-an. Aku membaca artikel-artikel yang aku minat sahaja. Berkaitan arkeologi, lokasi sejarah, paleontologi, dinosour, isu semasa pada setiap bulan tersebut. Mana-mana artikel berkaitan dengan sains kurang menarik perhatianku untuk membaca. Hanya tengok gambar sahaja.

Antara fatrah 2002 hingga akhir 2003 aku telah mempunyai hampir 90 buah koleksi majalah National Geographic. Aku telah membelinya secara beransur-ansur dalam tempoh tersebut. Apabila turun ke Amman, menjadi kewajipan aku ke kedai Abu Marwan untuk mencari buku tersebut. Bukan tentu ianya ada. Banyak kali juga bila tiba di kedai Abu Marwan tiada majalah NG yang aku inginkan dan ada sesetengahnya merupakan keluaran yang telah aku beli sebelum itu.

Harganya tetap. Tidak boleh mintak kurang dan Abu Marwan tidak meletak harga tinggi selain harga tersebut. Tempoh itu merupakan tempoh biasa minat aku mengumpul majalah NG. Namun, Perasaan aku begitu seronok. (macam dapat berketul-ketul emas).


Tidak pasti berapa lama minat aku berkurang untuk mengumpul majalah NG. Yang pasti dalam tempoh yang agak lama juga. Ini disebabkan aku berputus asa apabila berkunjung ke kedai Abu Marwan. Tiada hasil yang aku dapat. Dengan sebab itu minat aku semakin berkurang.

Pada waktu itu, aku sudah menyediakan satu senarai yang mencatatkan majalah NGM yang telah aku miliki dan belum aku miliki. Dengan cara ini juga aku tidak akan membeli majalah dari bulan yang sama.

Namun kertas itu hilang disebabkan aku sudah tidak peduli sangat untuk mengumpul. Akhir 2002 aku mula berkawan rapat dengan Zaid dan dia juga turut berminat mengumpul majalah NGM.

Zaid berminat dan ingin tahu di mana aku mendapatkan majalah-majalah tersebut. Aku menceritakan tempat Abu Marwan yang sering aku kunjungi sebelum itu. Zaid mula mengumpul dan ketika itu aku lihat koleksi dia sudah semakin banyak. Sedangkan semangat aku untuk mencari dan mengumpul sudah hilang. Sekala turun ke Amman aku pergi juga dan hasilnya ada dua atau tiga buah edisi sahaja yang belum aku ada.


Mac 2004
Aku masih ingat lagi waktu tersebut aku baru selesai menganjurkan rehlah Jelajah Tawan Jordan yang berlangsung selama 10 hari. Aku dan Zaid ke Amman dan kami sama-sama ke kedai Abu Marwan. Apabila aku sampai di kedai tersebut Abu Marwan tiada. Yang ada hanya seorang pekerja dia yang sudah aku kenali sebelum itu.

Dia memanggil aku Abu Sayyaf. Selalu dia menyangka yang aku ini orang Filifina. Ini bukan disebabkan raut wajah Malaysia seakan-akan masyarakat sana tetapi kerana sebelum-sebelum ini banyak orang Filifina yang membeli majalah NG di kedainya. Oleh itu, dia menyangka aku Filifina dan memanggil Abu Sayyaf.

Apabila aku dan Zaid sampai sahaja terus mamat itu dekat dengan aku dan Zaid..(aku lupa nama mamat tue). Dia memberitau aku bahawa terdapat banyak NGM di stor kedainya

Aku dan Zaid memandang muka masing-masing. Aku terus mengajak mamat penjaga kedai Abu Marwan ke stor buku.

Hati aku bercakap.."Rugi datang ngan Zaid. Banyak pula majalah kali ini, kalau aku bersendirian sudah tentu bertambah banyak koleksi aku" (Jahat betul hati :P)

Mana tidaknya, datang sekali dengan pengumpul NG jugak..Tak bolehlah aku bolot sorang..Tak adil lah dengan member. Kenalah bahagi-bahagi.

Aku dan Zaid di bawa oleh mamat tersebut ke stor. Depan mata ketika itu bertimbun majalah NG. Aku terus berbincang dengan Zaid untuk membeli ke semua majalah yang ada disitu. Setelah aku cek, semua magazine yang ada ketika itu ialah keluaran yang belum aku miliki. Akhirnya aku dan Zaid berbincang dengan mamat penjaga kedai untuk kurangkan harga.

Kami mintak tiga keluaran dengan harga JD 1.000. (kalau dengan Abu Marwan pasti takkan dapat kurang). Tetapi dengan mamat ini aku dan Zaid cuba dan akhirnya dapatlah harga tiga keluaran JD 1.000. Kami membayar JD29 untuk 87 buah keluaran petang tersebut..Perasaan aku begitu seronok. (macam dapat berketul-ketul emas).


>> Yang menariknya korang semua nak tahu macamana aku dan Zaid bahagi NG tue? Masing-masing belum ada keluaran tersebut. Surelah berebut-rebut nak yang itu dan nak yang ini. Akhirnya pembahagian dibahagikan dengan cara BADAN DAN NYAWA membahagikan harta di dalam kisah Nujum Pak Belalang. Satu untuk kau..satu untuk aku. Dua untuk kau..dua untuk aku. Selesailah pembahagian malam tue dengan keredhaan kedua-duanya..:)

Bermula saat itulah semangat aku ingin memiliki semua koleksi keluaran NG meningkat hingga tahap SUPER. Kegelojohan aku sampai ke tahap maksimum :P Aku sudah mula menyediakan senarai pada sebuah kertas keluaran yang telah aku ada dan keluaran yang aku belum ada.

Aku tandakan pada senarai tersebut nama tahun dan nama bulan. Mana-mana keluaran yang telah ada aku tandakan pangkah bulan tersebut. Koleksi aku makin bertambah dan aku mendapat ilmu yang cukup banyak dari hasil bacaan aku.

Aku ingat lagi, selepas beli 87 buah keluaran dari pekerja Abu Marwan aku pergi semula ke kedainya seminggu selepas itu. Sampai sahaja di kedai terus Abu Marwan tepuk belakang aku. Terus dia buat muka marah sambil cakap

"Aku dah kata, harga majalah NG tue 0.500 fils, kenapa kau beli 3 JD 1.000?

Dia pekerja aku, dia bukan tahu" marah Abu Marwan petang itu.

Sebab aku memang percaya ngan dia. Dia sangat rapat dengan aku. Dia pernah cerita yang memang dia beli majalah tue dari orang lain dengan harga 400 Fils. Jadi, dia untung 100 Fils sahaja. Jadi tak boleh lah dia nak kurang lagi dari harga itu dan dia pun janji dengan aku memang dia hanya jual 500 Fils sahaja tidak mahal dari itu. (500 Fils sama dengan RM 2.70).

Aku ketawa sahaja bila dia cakap sebegitu dan aku mintak halal dan masa mendatang aku akan beli dengan 500 Fils. Lama dia renung muka aku dan dia angguk-angguk kepalanya sambil menepuk belakang aku sekali lagi.

87 keluaran yang aku beli bersama Zaid dengan harga JD 29 merugikan Abu Marwan JD 5.800. Sebab harga kos dia beli pun dah JD 34.800 untuk 87 buah buku tersebut. Kalau petang itu dia ada, untunglah dia JD 8.700


Semangat aku untuk mengumpul NGM semakin bertambah selepas itu
Aku telah mula melayari internet mendapatkan maklumat mengenai NG. Pada tahun 2004 aku cuba melanggan terus majalah NG secara bulanan (untuk magazine baru). Tetapi aku tidak mempunyai kad kredit pada ketika itu. dan akhirnya aku telah membuat keputusan menyimpan duit bulanan aku untuk membeli majalah baru NG dari Amman. Harganya JD 5.500 untuk setiap keluaran!

Tempat yang menjadi kunjungan aku setiap awal bulan ialah Safeway Duwwar Sabiq. Di situ ada dijual keluaran bulanan NG. Selepas tahun 2005 aku mencari di mana lagi dijual NGM di Amman. Akhirnya aku dapati ada di Mecca Mall, Hijawi Bookstore Abdali, Aramex Duwwar Awwal, Safeway Shemaisani. Kalau aku tidak ke safeway Duwwar Sabiq aku akan ke premis lain.


2004-2007
Aku terus membeli NG keluaran baru di Amman. 2004 aku terlepas membeli keluaran Mac, Ogos, Okt dan Nov- 2005 aku terlepas membeli keluaran Jan, July, Okt. 2006- Aku telah membeli kesemua keluarannya dari Jan hingga Dis. 2007- aku belum membeli keluaran April dan Mei.

Setiap bulan aku menanti keluaran baru NG dan terus membeli NGM terpakai dari kedai Abu Marwan. Kegilaan aku mengumpul NG sudah sampai tahap maksimum. Jika aku ke Amman, aku pasti mendapat hasil dari kedai Abu Marwan. Perkara yang paling tidak boleh dilupa, aku telah membeli sebanyak 43 buah keluaran sekaligus yang rata-ratanya keluaran tahun 1960-an dan 1970-an. Perasaan aku begitu seronok. (macam dapat berketul-ketul emas).

Apa yang menggembirakan lagi, aku telah mendapat hadiah dari seorang yang cukup memahami hobi aku. Ia adalah keluaran NG tahun 1998 yang rata-ratanya belum aku miliki. Koleksi bertambah lagi. Perasaan aku begitu seronok. (macam dapat berketul-ketul emas).


Aku semakin kerap 'menziarahi' Abu Marwan. Kami sudah begitu rapat. Dia sudah menyimpan NG untuk aku jika aku tidak ke Amman minggu tersebut. Dia tidak akan menjual kepada orang lain selain selepas aku sudah tengok majalah tersebut. Abu Marwan tidak meletakkan buku itu diluar sebaliknya menyimpan di dalam kotak di dalam kedainya..Aku cukup berterima kasih kepada Abu Marwan. Sampai satu tahap aku hanya pergi ke Amman semata-mata ke kedai Abu Marwan. Selepas ke kedainya terus sahaja aku balik ke Mu'tah.

Begitulah keadaan aku 'berjuang' demi satu hobi. Sehinggalah JAN 2007..aku telah mempuyai koleksi NG Magazine sebanyak 504 buah.! (macam ada berketul-ketul emas).

Sedikit catatan Sejarah National Geographic Magazine
>> sejarah keluaran NG Magazine bermula pada tahun 1888 lagi. Pada tahun tersebut keluaran pertama NG diterbitkan. Lamakan? Sudah hampir 120 tahun. Idea nak terbit buku ni dilahirkan oleh Alaxendar Graham Bell yang telah mencipta telefon kalau xsilap aku? Namun beliau berkata, beliau tidak mampu untuk terlibat dalam bidang mengembara ini dan mencadangkan kepada sepupunya Grosvenor untuk mengembara di Amerika dan menulis Journal mengenai alam semulajadi Amerika dengan menubuhkan juga NGC (National Geographic Society). Pada tahun 1988, NG telah telah merayakan ulangtahun seabad pengeluaran majalahnya dan pada edisi September 1988 dikisahkan mengenai sejarah mula hingga tahun 1988 penerbitan majalah tersebut.

Koleksi Emas dan Koleksi Klasik
>> Ketika 'sibuk' mencari dan mengumpul NG aku telah bahagikan koleksi aku kepada dua bahagian iaitu koleksi emas dan koleksi klasik. Koleksi emas merupakan majalah dari keluaran 1980 hingga kini dan koleksi klasik merupakan majalah-majalah yang aku kumpul dari tahun ia diterbitkan 1888 hingga tahun 1979.

Untuk koleksi emas selama 27 tahun NG dari tahun 1980-Jun 2007 aku telah mengumpul sebanyak 310 keluaran dari 318 keluaran. Ini bermakna hanya 8 keluaran sahaja lagi yang belum aku miliki untuk memenuhkan koleksi emas aku.

Dekad 80-an telah aku punyai semua, 90-an satu keluaran sahaja belum aku miliki dan baki 7 keluaran ialah keluaran tahun 2003, 2004 dan 2005 untuk penuhkan koleksi emas.

Aku telah memiliki 194 buah koleksi klasik iaitu majalah dari tahun 1888 hingga 1979 dan koleksi paling tua yang berada di tangan aku kini ialah keluaran Disember 1949 dan terdapat 6 buku keluaran 1950-an. Untuk tahun 1970-an hanya lagi 4 keluaran untuk memenuhkan keluaran dekad tersebut.


Koleksi yang paling aku cari dan akhirnya aku dapat pada 20 Disember 2006.
Ia adalah keluaran istimewa di sepanjang sejarah penerbitan NGM. Iaitu keluaran NG DISEMBER 1988. Muka hadapan keluaran ini dibentuk dengan hologram dan dihadiahkan sebuah World Map untuk keluaran ini.

Ketika itu aku masih mencari 15 buah keluaran NG (kini tinggal 8) untuk memenuhi koleksi emas. Akhirnya satu petang aku ke Amman untuk beli beberapa kitab pengajian, aku singgah di kedai Abu Marwan dan menemui keluaran yang sentiasa aku cari.


Keluaran Disember 1988

Koleksi paling lama aku miliki sehingga setakat ini
Disember 1949 merupakan koleksi paling lama dijumpai setakat ini. Saat 'penemuan' dengan buku tersebut ialah saat paling aku tak boleh lupa juga. Sebelum itu aku telah punyai dua edisi tahun 1953. Bila jumpa lagi lama, lagilah 'naik gila' seronoknya.

Keluaran Disember 1949

>> Aku cukup menjaga semua koleksi yang telah aku ada. Mana-mana yang koyak, lusuh aku pulihara semula dengan baik dengan tidak mencacatkan isi dalamnya.

>> Tahun 2005 aku telah mengeluarkan buku karangan peribadi mengenai Index NG 1953-2005. Ketika itu keluaran paling lama aku miliki ialah 1953. Buku index ini membantu aku mencari tajuk yang ingin dibaca dengan mudah. Aku nyatakan dalam buku index yang telah aku susun tersebut nama tajuk, tahun dan bulan keluaran serta mukasurat. Aku pecahkan kepada beberapa fiksyen seperti history, science, shipwreck, archeology and paleontology, countries, space, disasters dan banyak lagi.

Kepada mereka yang mempunyai kecenderungan dan hobi sama dengan aku. Bolehlah hubungi aku untuk berkongsi pengalaman bersama.

Sepanjang tahun 2001-2007 terlalu banyak pengorbanan yang telah aku korbankan. Wang, masa, tenaga. Semuanya untuk satu hobi yang terlalu banyak memberi manfaat kepadaku.

Bila membaca NGM aku seperti telah tiba di semua negara, cukup banyak pengetahuan aku dapat dari hasil bacaan. Tambah-tambah untuk artikel yang aku minati berkaitan sejarah dan arkeologi.:).

Kini semua koleksi NGM aku telah aku masukkan di dalam kotak untuk di kargokan ke Malaysia. Tidak sabar aku menunggu bulan September/ Oktober apabila kesemua kotak-kotak kargo akan sampai di Malaysia.


Ianya satu kepuasan yang sukar untuk aku gambarkan pada semua sahabat.
Aku seperti mempunyai berketul-ketul emas.