Showing posts with label berkelah. Show all posts
Showing posts with label berkelah. Show all posts

Tuesday, March 4, 2008

'Afra Spa, Tafilah

Kami mula bergerak meninggalkan Mu'tah tepat jam 10.15 pagi menuju ke sebuah lokasi yang dikenali dengan Hammamat Afra. Lokasi tersebut terletak lebih kurang 40 km perjalanan dari pekan Mu'tah melalui jalan lama Karak ke Tafilah.

Tafilah merupakan muhafazah yang terletak di kawasan selatan Jordan dan bersempadan dengan muhafazah Karak dan Ma'an. Di kawasan ini terdapat 2 lokasi Mata Air Panas yang amat terkenal di negara Jordan iaitu Hammamat Afra dan Hammamat Burbaitah.

Perancangan untuk ke Afra hanya dirancang pada hari sebelumnya bersama dua sahabat iaitu Mahadi dan Habidin dan keputusan terus dicapai memandangkan masa agak suntuk kerana kami bertiga akan kembali ke tanahair pada 5 Mac 08. Lokasi ini pernah saya kunjungi pada tahun 2001 dan ditutup dalam tempoh yang agak lama disebabkan proses menaiktaraf kawasan tersebut sebagai salah satu lokasi pelancongan di Jordan.

Kami tiba di Afra Spa tepat jam 11.15 pagi dan bayaran masuk dikenakan sebanyak JOD5 untuk rakyat asing dan tiada harga pelajar di berikan. Untuk rakyat tempatan hanya dikenakan bayaran JOD1.

Kawasan Afra kini masih dalam proses menaiktaraf dan kebersihan di sekitar kawasan tersebut amatlah kotor dan tidak dijaga. Tidak padan dengan bayaran JOD 5 yang dikenakan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga tempat tersebut iaitu Lajnah Idarah Afra Wal Burbaitah Wal Sila'. (Afra-Burbaitah-Sela Management Comittee)

Aktiviti pertama yang telah kami lakukan setelah tiba di kawasan tersebut ialah meninjau kawasan berbukit arah mata air panas mengalir menjadi sungai kecil.

Di kawasan itu terdapat beberapa kesan ukiran dan pahatan pada batuan bukit yang membentuk seperti bilik. Ini membuktikan bahawa terdapat penempatan lama di kawasan tersebut. Ukiran yang terdapat mirip kepada ukiran yang terdapat di Ain Baidho' yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Edom dan seperti di Petra yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Nabatean.

Setelah selesai meninjau di kawasan tersebut, kami memulakan aktiviti berendam di kolam air panas yang telah disediakan. Disebabkan kedatangan kami bukan pada hari cuti hujung minggu ataupun cuti umum, kawasan tersebut lengang dan memberikan keselesaan 100% kepada kami. Cuma kolam air tidak dibersihkan.

Di kawasan tersebut disediakan empat buah kolam mandi dengan ruang terbuka serta dua buah kolam di dalam ruang tertutup. Setiap kolam mempunyai tahap kepanasan air yang berbeza antara satu sama lain. Air panas disalirkan dari mata air panas semulajadi di kawasan tersebut.

Setelah selesai berendam, kami makan tengahari Nasi Maqlubah yang telah disediakan dari rumah. Selesai makan kami kembali berendam untuk kali kedua dan bersiap untuk pulang sekitar jam 2.00 petang.

Di dalam perjalanan pulang, kami berhenti di Ain Burbaitah yang juga merupakan lokasi di mana terdapat Mata Air Panas semulajadi dan kawasan tersebut kini turut dalam proses menaiktaraf. Di situ kami solat zohor dan bergerak meninggalkan Ain Burbaitah setelah merakamkan gambar kenangan.

Van bergerak meninggalkan Burbaitah menuju ke Al-Aina dan terus ke bumi damai Mu'tah. Kami tiba di Hayyu Sweih tepat jam 3.10 petang.


Kawasan Afra Spa yang kini sedang dibangunkan oleh
Afra-Burbaitah-Sila' Management Committee. Kawasan nampak cantik,
tapi sangat kotor dan tidak dijaga.



Kesan sejarah yang terdapat di kawasan Afra.
Dikenali sebagai Sila'
yang bermaksud batu-batu yang dibelah


Kolam dengan ruang terbuka yang terdapat di Afra Spa. Terdapat 4 kolam yang berbeza tahap kepanasan
airnya. Kelihatan kolam yang berair paling hujung
adalah yang paling tidak panas.


Air yang paling panas di kolam pada ruang tertutup.


Bergambar di sungai yang mengalirkan air mata air panas secara semulajadi


Lunch Time


'Ain Burbaitah. Kawasan ini turut dibangunkan dan bakal menjadi lokasi
pelancongan utama di Jordan.

Thursday, July 5, 2007

Wadi Ibn Hamad Hotspring

Pemandangan di Wadi Ibn Hamad Hotsprings


Ramai yang tidak mengetahui bahawa di Jordan ini terdapat tempat-tempat menarik untuk berkelah atau bersantai seperti di air terjun ataupun sungai.

Semenjak tahun 2001 aku telah melakukan beberapa kajian mengenai lokasi-lokasi lawatan & sejarah di Jordan. Kawasan-kawasan yang telah aku lawati rata-ratanya adalah kawasan 'batu-batuan'. Setelah boring melihat 'batu-batuan' aku mula melayari internet untuk mengetahui kawasan-kawasan lain untuk bersantai terutama kawasan sungai atau air terjun. Aku mendapat maklumat hanya 2 lokasi air terjun/sungai yang ada di Jordan. Iaitu Hammamat Ma'in di Madaba dan 'Ain Afra di Tofilah.

Aku tidak berpuas hati dengan maklumat yang ada dan mula mengembara di Jordan mencari altenatif tersebut sambil bertanya kepada penduduk tempatan. Sesahihnya banyak lokasi untuk bersantai di Jordan cuma ia tidak dimajukan oleh kerajaan Jordan pada ketika itu dan kini untuk projek pembangunan pelancongan 2004-2010 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Arkeologi Jordan, mereka mula membangunkan kawasan-kawasan semulajadi seperti air terjun dan sungai. Salah satu usaha yang bagus!


Pada tahun 2001, aku telah mendapat maklumat mengenai sebuah lokasi semulajadi yang amat cantik terdapat di Karak. Iaitu sebuah tempat bernama Wadi Ibn Hamad. Melalui maklumat dari penduduk tempatan ketika itu, untuk ke kawasan tersebut ia perlu menuruni curam dan lokasi tersebut berada di dalam 'gaung' yang agak dalam.

Namun terdapat jalan untuk ke situ tetapi bukanlah jalan yang baik. Begitulah maklumat yang aku terima dari arab pada ketika itu. Setelah 5 tahun berlalu, pada tahun 2007 aku mengingati semula lokasi yang telah diceritakan dan aku mulai merancang untuk ke tempat tersebut.


Semuanya bermula apabila aku telah diamanahkan menjadi pengelola program Explorace Jordan Misi di Karak Anjuran Badan Kebajikan Mahasiswa Negeri Sembilan Jordan. Ketika dalam perjalanan ke Check-Point ke-5 di Ar-Rabba-Qasr aku telah ternampak signboard bertulis WADI BIN HAMMAD HOTSPRING 20KM di persimpangan masuk ke perkampungan Rakin dan Battir.

Mulai saat itulah aku mula merancang untuk ke Wadi Ibn Hamad dan akhirnya aku telah merancang untuk pergi ke situ bersama ahli rumahku iaitu Bayt Dimasq untuk beristirehat sambil bersantai di Wadi Ibn Hamad sebelum aku pulang ke tanahair Malaysia.


Jalan berbukit dan curam untuk tiba di Mata Air Panas Wadi Ibn Hamad.
Hotspring dan sungai terletak di akhir jalan tersebut.

10 Mac 2007
Sehari sebelum itu aku menghubungi Muhamad Khirsyeh untuk menyewa van ke Wadi Ibn Hamad. Pada asalnya aku ingin menyewa van Abu Qusay yang lebih selesa (van Hyundai Starex 1999) namun pada tarikh tersebut beliau ke Aqaba. Abu Qusay mencadangkan Adnan untuk membawa kami ke Wadi ibn Hamad namun vannya telah disewa oleh seorang pelajar untuk ke Lapangan Terbang.

Akhirnya Abu Qusay mencadangkan saudaranya yang juga dari keluarga Khirsyeh untuk membawa kami ke Wadi Ibn Hamad iaitu Muhamad Khirsyeh. Sewa van yang dikenakan ialah JOD 25 (RM 120)


Pagi 10 Mac 2007 aku dan rakan-rakan ahli bayt dimasyq telah bersedia awal untuk ke Wadi Ibn Hamad. Perjalanan dari Mu'tah terus menuju ke persimpangan Thaniah dan kemudiannya mengambil jalan ke Qasr Rabba.

Selepas perkampungan Abu Hammur, terdapat simpang masuk ke perkampungan Rakin-Battir. Jelas di persimpangan tersebut papan tanda bertulis Wadi Ibn Hamad 20km. Dalam fikiranku ketika itu jarak 20km bukanlah satu jarak yang jauh. Namun setelah melepasi perkampungan Battir, van mula menuruni bukit curam. Ketika itu barulah terasa jauh perjalanan dari persimpangan ke lokasi yang dituju.

Bayangkanlah van terpaksa menuruni bukit curam yang kira kanannya adalah gaung. Jalan yang kecil muat untuk satu kereta sahaja dan di kiri kanan jalan tidak ada penghadang jalan. Cukup bahaya dan 'menggerunkan'.

Perjalanan yang aku anggap singkat akhirnya memakan masa sejam juga. Apapun Alhamdulillah dengan kecekapan Muhamad memandu, kami berjaya juga sampai di bawah 'gaung' dengan selamat. Namun, otakku ketika itu asyik berfikir untuk menghadapi jalan tersebut sewaktu bergerak pulang.


Kami memulakan aktiviti di Wadi Ibn Hamad dengan memasang khemah dan menyalakan arang untuk BBQ (bawa ayam yang telah diperap, Daging Burger dan Kuftah (Bebola Daging) ).

Setelah selesai lunch semua solat terlebih dahulu dan memulakan aktiviti 'berendam'. Selepas berendam, naik atas dan makan semula. Round pertama dah makan buah-buahan dan makanan ringan. Round kedua makan ayam BBQ dan round ketika makan Burger dan Kuftah. Kenyang.


Keadaan kawasan sekeliling di Wadi Ibn Hamad memang menenangkan jiwa. Jauh dari kebisingan lagu-lagu arab yang dipasang dikedai-kedai. (Especially lagu 'remix' Arab Mesir), Jauh dari bunyi hon kereta, lori yang berselang seli, Jauh dari kebisingan mendengar arab bertekak dan jauh dari kebisingan mendengar mulut-mulut melayu 'membawa cerita'.

Kawasan Wadi Ibn Hamad merupakan kawasan lembah berbatu yang terletak di bawah paras laut. Kawasannya amat berhampiran dengan Laut Mati. Terdapat sungai kecil mengalir di bawah lembahnya dengan beberapa mata air panas keluar dari perut bumi di bahagian atas berhampiran sungai. Terdapat sebuah kolam disediakan dan air panas semulajadi disalurkan ke kolam tersebut. Namun kebersihan kolam tidak terjaga. Kotor dan tidak dibersihkan. Dalam keadaan kotor pun ada arab berendam jugak.

Trip di Wadi Ibn Hamad berakhir dengan gembira. Tambahan pula aku rasakan kami perintis pertama melayu yang menjejaki kaki ke tempat tersebut.

Untuk trip tersebut aku mendapat 'hadiah' ikatan ukhuwwah yang semakin erat sesama ahli Bayt Dimasyq, merenungi kehebatan ciptaan Ilahi dalam keadaan lembah bukit berbatu masih terdapat sumber air untuk kegunaan manusia hidup dan satu nikmat pengembaraan yang sukar untuk dilupakan.


Gambar-gambar kenangan di Wadi Ibn Hamad, Karak, Jordan
*Bidin dengan penuh gaya (sebelah aku)*
-Bidin adalah pakar menghidupkan api arang :)-