Showing posts with label al-aqabah. Show all posts
Showing posts with label al-aqabah. Show all posts

Sunday, July 22, 2007

Jom Makan Ikan..


Panas membahang.

Begitulah keadaan cuaca di Aqaba 2 hari yang lalu. Dalam masa 3 minggu sudah 3 kali aku ke Aqabah. 29 Jun yang lalu aku mengikuti rombongan pelajar Perak, 18 Julai aku menjemput keluarga Zaid di Terminal Feri Aqaba. Mereka baru pulang dari Mesir melalui Nuweiba dan 2 hari yang lalu aku mengikuti rombongan pelajar Kedah Jordan.

Aqaba sudah 'sinonim' dengan ikan. Apabila pelajar-pelajar di Jordan ke Aqaba antara 'misi'nya ialah mencari makanan-makanan laut. Samada Samak (ikan), Jambari (Udang) atau Kalamari (Sotong). Sudah pasti semua mencari altenatif makanan lain setelah saban hari mengadap ayam dan daging.

Muka bumi Jordan yang terlalu sikit mempunyai laut dan terdapat hanya beberapa sungai menjadikan makanan laut/sungai sukar untuk di dapati. Persisiran laut di Jordan hanya di Aqaba itupun sepanjang 21 km sahaja. Sungai yang terdapat hanyalah sungai Jordan yang bersambung ke Sungai Yarmuk dan terus ke Tasik Tabari. Yang lain adalah sungai-sungai kecil yang 'tiada' hasil ikannya.

Di bandar Amman, ikan mudah di dapati di pasaraya-pasaraya besar namun harganya memang mahal. Mungkin boleh membayar harga sewa rumah sebulan jika ingin menikmatinya. Jika ada yang murah di pasar-pasar ia adalah ikan yang sudah lama dibekukan. Jika di Souq Khadrawat Downtown Amman, terdapat juga ikan yang diimport dari Port Said, Mesir dan Oman, harganya 'boleh tahan' namun tak ramai yang ingin membelinya dari Amman lalu membawanya pulang ke kampung masing-masing. Leceh jika menaiki bas 'mengusung' ikan.

Oleh sebab jarang-jarang dapat makan ikan di Jordan, kali ini rehlah ke Aqaba seperti 'membalas dendam' untuk menikmati ikan di Jordan. Rehlah anak Kedah ke Aqaba pada kali ini adalah untuk mengadakan mesyuarat pertukaran sesi pentadbiran. Bak kata YDPnya sebelum berangkat ke Aqaba:

"Kita pi sana makan ikan la kali ini..takpa, duit Kedah pun ada lagi. Kita guna makan-makan untuk budak Kedah kali ni.."

Pelajar Kedah di Jordan tak ramai. Adalah dalam 20 orang. Itupun ramai yang tak dapat ikut serta disebabkan masing-masing ada urusan. Aku turut menjadi ahli persatuan Kedah di Jordan iaitu sebagai ahli tidak rasmi. Iaitu ahli di mana mak atau ayah ahli tersebut adalah orang Kedah.

Antara Pelajar-pelajar Kedah dan Utara yang menuntut di Jordan
Dari kiri Afifuddin (Usul Feqh), Khazri (Usul Feqh), Athiq (Medic),
Hazimin (Usuluddin), Zafril (Medic), Tarmizi (Sastera Arab),
Jafni (Medic), Hafizuddin (Usul Feqh)

Bila sampai di Aqaba, program yang biasa di jalankan ialah aktiviti bebas. Semua peserta bebas bersiar-siar dan membeli belah di bandar Aqaba. Aku, Hafizuddin (YDP), Khazri mula sibuk mencari ikan di pasar ikan Aqaba untuk memasak makan malam pada sebelah petangnya. Banyak jugalah pilihan ikan yang ada. Agak mahal, namun yang penting ia adalah ikan-ikan yang segar. Bukan seperti ikan beku 3 bulan yang terdapat di Kedai Ikan 'RedBull' di Mu'tah. Atau ikan takdak kepala yang agak mudah didapati di Jordan (Ikan Kacang= dikenali dengan ikan takda kepala oleh pelajar-pelajar di Mu'tah)

Jenis ikan yang dibeli memang xtahu. Nampak macam best saja ikan tue, kami pun beli..hehe.

Akhirnya selamatlah kami membeli ikan dari 2 buah kedai ikan di Aqaba. JOD 53
dibelanjakan untuk membeli ikan tersebut. Iaitu hampir-hamipr RM 263..kalau di Malaysia boleh kenduri satu kampung dah. Harga tersebut adalah untuk 2 ekor ikan besar untuk dibuat masak lemak dan 5 ekor ikan sederhana untuk dipanggang dan ia untuk 17 orang peserta rehlah..

Petang harinya, selamatlah ikan-ikan tersebut di panggang dan dibuat masak lemak. Memang nikmat menikmati ikan setelah hari-hari memakan ayam dan daging sahaja...

Bersyukur di atas nikmatNya..

Ikan kecik sekilo JD 7 (RM35) semuanya3kg
dan yang besar sekilo JD 4 (RM20) semuanya 8.25kg.


Ikan masak lemak dan IkanPanggang. :)
Bahan-bahan masak lemak dah di blend dari rumah.
Manakala ikan panggang di saluti dengan minyak bijan &
Seasoning Salt


Monday, July 2, 2007

Kisah Ashabul Sabt

Teluk Aqabah. Dahulunya dikenali dengan nama Ailah.

Pada 29 Jun yang lalu aku telah menyertai lawatan ke Aqaba yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ). Rehlah ini diadakan sehari selepas Mesyuarat Agung BKAPJ Kali Ke-8. Tahniah kepada Saudara Mohd Fahmi Ghazali kerana telah dilantik menjadi Yang Dipertua untuk sesi baru 2007/2008.

Rehlah ini telah disertai oleh 39 orang peserta yang majoritinya adalah pelajar-pelajar Perak di Jordan dan bakinya beberapa pelajar dari negeri lain.


Kisah sepanjang trip ke Aqabah
Peserta sudah mulai berkumpul pada jam 6.00 pagi namun bas mula bergerak dari Mu'tah sekitar jam 7.00 pagi. Perjalanan mengambil masa 3 jam 15 minit untuk tiba di Aqaba.

Bas yang dipandu oleh Abu Anas telah melalui Mazar terus ke Muhay dan memasuki Tariq Sahrawi (Jalan Highway) melalui persimpangan Wadi Abyad. Bas telah bergerak ke Al-Hisa, Hashimiah, Ma'an, Ras Naqab, Humayma dan seterusnya ke Aqaba.

Aktiviti yang telah dijalankan pada sebelah siang ialah menaiki Glass Boat di Teluk Aqaba. Empat buah Glass Boat telah disewa dengan bayaran JD40 untuk pakej 30 minit yang membawa peserta ke sekitar karang kecil, kesan kereta kebal dan kapal selam dari perang dunia pertama (1914).

Selepas solat Jumaat, peserta diberikan masa selama 3 jam untuk aktiviti bebas di sekitar bandar Aqaba. Cuaca amatlah panas pada hari tersebut (ramai buat keputusan berehat di McD- aku dan beberapa yang lain buat keputusan berehat disitu juga, bukan disebabkan lapar, tetapi 'rehat' sebab dalam tue ada air-conditioner :)

Pada jam 5.30 petang semua bertolak ke Shati' Shimali (Pantai Utara) yang berdekatan dengan sempadan Saudi Arabia (Border Ad-Durra) sekitar 10km dari kawasan mukhayyam & istirehat. Aktiviti BBQ telah diadakan pada petang hari tersebut. Sebelum matahari terbenam, rata-rata peserta lelaki 'sibuk' bermain bola dan hanya segelintir sahaja yang 'berlelah' memanggang ayam dan ikan.

Selepas makam malam di kawasan pantai Shati' Shimali ke semua peserta bersiap dan bas bergerak pulang ke Mu'tah tepat jam 11.00 malam (seperti yang dijanjikan dengan pemandu bas)..Kami tiba di Mu'tah jam 3.25 pagi 30/6/07. Alhamdulillah rehlah yang dijalankan telah merapatkan ukhuwwah sesama peserta namun masalah ikhtilat antara lelaki dan perempuan masih tidak dapat dikawal.


Sejarah Ringkas Bandar Aqaba
Sebelum dinamakan Al-Aqabah bandar ini telah dikenali dengan nama berbeza dalam zaman yang berbeza. Ketikamana kerajaan Edomiah menguasai bandar ini ia dikenali dengan Eloth atau Elath iaitu nama yang diambil dari sejenis pohon palma.

Era Yunani ia dikenali dengan Berenice. Ketika penguasaan kerajaan Rum Byzantium ia dikenali dengan pelbagai nama. Ketika penghujung zaman kerajaan Byzantium, kawasan ini dikuasai pula oleh Arab Ghassan yang beragama Kristian.

Bishop Yuhanna ibn Ruba'a pada ketika itu membayar Jizyah pada tahun 631 di Tabuk. Tahun 639 Saidina Umar Al-Khattab singgah di Ayla dan Amru Al'as dikatakan berkubu di sini bersama tentera Islam pada tahun 634 masihi. Mulai tahun 734 masihi iaitu ketika zaman pemerintahan kerajaan Islam, bandar ini dikenali dengan nama AYLAH.


Era pemerintahan Islam, Ayla menjadi laluan para haji yang datang dari arah Syam. 1024 masihi, Aylah dirampas oleh Abdullah bin Idris Al-Ja'fari dari kerajaan Fatimiah.

Antara tahun 1072-1073 kawasan ini dilanda gempa bumi dan pada 1116 tentera salib menguasai Aylah. Sallehuddin Al-Ayubi berjaya mengambil kawasan ini pada 1171 masihi dan kemudiannya jatuh ke tangan tentera salib semula dan dirampas kembali oleh pasukan tentera Sallehuddin Al-Ayubi yang diketuai oleh Husamuddin Lu'Lu' pada 1183 masihi.

Kurun ke-16 Aylah lebih masyhur dengan nama Aqabah. Era kerajaan Uthamaniah tempat ini seperti ditinggalkan dan kurang berpenghuni namun ia masih dibawah jajahan Turki Uthmaniah. Keadaan lebih teruk apabila terusan Suez dibina pada 1869 dan landasan Hijjaz siap dibina pada 1908.

Bandar ini kembali semula ke tangan arab dan mula dihidupkan semua pada 6 Julai 1917 apabila gabungan tentera Arab-British mengalahkan pasukan tentera Turki yang dipimpin oleh Raja Faisal anak kepada Sharif Hussein yang memimpin The Great arab Revolt menentang kerajaan Turki Uthmaniah.

Kini Aqabah telah diistiharkan sebagai kawasan bebas cukai pada tahun 2002 di bawah pemerintahan Raja Abdullah II dalam kerajaan The Hashemite Kingdom Of Jordan. Nama Aqabah terus kekal digunakan namun nama Aylah yang digunakan ketika zaman kerajaan Islam kini digunakan di kawasan seberang Teluk Aqaba yang kini menjadi milik Yahudi Laknatullah. Mereka menamakan bandar tersebut dengan nama Eilat.


Kisah Ashabul Sabt berlaku di Aqabah?
Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-A'araf ayat 163 :

Dan Bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar Yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, Yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

Ashabul Sabt adalah dari golongan yahudi yang menetap di sebuah kawasan bernama Ailah yang terletak di Teluk Bahrul Kholzoum atau dikenali dengan Laut Merah (Kini dikenali dengan Eilat di Israel yang terletak berdekatan Aqabah di Jordan.

Allah telah mengharamkan ke atas kaum tersebut untuk tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memperbanyakkan ikan pada hari Sabtu sehinggakan boleh dilihat dengan banyaknya dipermukaan laut.

Pada hari yang dihalalkan menangkap ikan, tidak kelihatan pula ikan-ikan di permukaan Laut. Puak tersebut telah mengingkari perintah Allah dan tetap menangkap ikan pada hari sabtu.

Lantaran itu, puak-puak di Ailah terbahagi kepada tiga golongan: (1) Kelompok yang melanggar perintah Allah dan tetap menangkap ikan (2) Kelompok yang melarang mereka menangkap ikan (3) Kelompok yang hanya berdiam diri.

Golongan ketiga telah berkata kepada golongan kedua sepertimana Firman Allah di dalam Surah Al-a'raf ayat 164.

Kemudian Allah telah menurunkan azab kepada puak yahudi tersebut sepertimana firmanNya di dalam surah Al-a'araf ayat 164 hingga 166.


164. Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum Yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka Dengan azab Yang amat berat?" orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

165. Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa Yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang Yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang Yang zalim Dengan azab seksa Yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

166. Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa Yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera Yang hina".

Semoga kita mengambil iktibar dengan kisah yang telah diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran. Dalam kita melancong, berehlah sentiasa kita beringat tentang kejadian-kejadian menimpa umat terdahulu.

Mereka inkar lalu Allah terus berikan azab dan balasan.. Terlalu beruntung umat Nabi Muhammad S.A.W. Cukup banyak kita diberi peluang untuk bertaubat setelah melakukan kesilapan...