Showing posts with label diari. Show all posts
Showing posts with label diari. Show all posts

Sunday, April 20, 2008

Kursus Perkahwinan

Alhamdulillah selesai beberapa perkara untuk 2-3 hari ini dan dapat mengadap laptop untuk menulis. Malam Sabtu yang lalu aku menyertai satu program yang bernama E-Networking Satu Kerjaya yang hebat di Sungai Dua, Pulau Pinang. Malam itu Dr. Ahmad pencetus revolusi baru dunia networking dari Uptrend telah menyampaikan ucapan beliau di hadapan 2000 yang hadir.

Semalam dan hari ini aku mengikuti Kursus Pra Perkahwinan di Dewan Serbaguna Pejabat Agama Daerah Parit Buntar. Penganjur program adalah dari Persatuan Penguatkuasa Agama Perak (PEKAP). Hampir 30 syarikat dan penganjur terdapat di negeri Perak yang menganjurkan Kursus Perkahwinan di bawah Modul yang disediakan oleh JAKIM. Aku mendaftar kursus di PAD Parit Buntar dan PEKAP yang mengendalikannya.

Alhamdulillah semuanya selesai dan pagi tadi aku berjumpa Ust Sufian Abd Latif salah seorang tenaga penyampai kursus. Ust Sufian bekas penuntut Universiti Yarmuk, Jordan. Dengan bantuan dan urusan beliau aku melanjutkan pengajian di Jordan pada tahun 2000. Kini beliau menjawat jawatan Penolong Penguatkuasa di Pejabat Agama Negeri Perak.

Minggu ini banyak perkara yang perlu diselesaikan untuk majlis perkahwinan dan urusan dengan pelanggan untuk lawatan ke Timur Tengah. Majlis perkahwinan genap lagi 2 bulan, aku pula perlu kembali ke Jordan untuk beberapa kerja.

InsyaAllah dengan kesempatan masa yang ada. Aku akan terus menulis jurnal tentang sejarah dan lokasi sejarah Timur Tengah di sini. Untuk kepuasan diri dan dikongsi bersama oleh semua pembaca.

Wednesday, January 2, 2008

Hubungan Jordan-Syria Bertambah Erat


Semalam Kerajaan Jordan dan Syria telah memeterai perjanjian demi kepentingan dan kemudahan di laluan perhubungan antarabangsa sempadan darat kedua-dua negara. Persefahaman erat antara kedua-dua negara telah menghasilkan persepakatan di mana rakyat kedua-dua negara tidak perlu lagi menggunakan pasport antarabangsa untuk masuk negara berjiran ini. Rakyat di kedua-dua negara hanya perlu menunjukkan kad identiti peribadi untuk melepasi sempadan Jaber-Naseeb atau sempadan Ramtha-Dera'a yang memisahkan negara Jordan dan Syria.

Cukai kenderaan, cukai peribadi dan bayaran Disel (Tasrih Mazot) turut dimansuhkan. Hanya yang tinggal Insurans kenderaan sahaja yang perlu dibayar. Sebelum ini, mana-mana kenderaan dari Jordan yang memasuki negara Syria perlu mendapatkan Tasrih Mazot dengan bayaran USD 100 (untuk tempoh satu minggu) jika berada di dalam negara Syria lebih pada satu minggu, USD 100 kedua perlu di bayar sebelum keluar dari negara Syria. Cukai kereta pula dikenakan sebanyak SYP 450 (sekitar USD 10) dan cukai peribadi setiap orang dikenakan bayaran SYP 400 = (SYP: Syrian Pound atau Lira Syria). Begitu juga dengan rakyat Syria yang ingin memasuki Jordan perlu membayar cukai-cukai yang berkenaan.

Baru-baru ini ketika berurusan disempadan Jordan-Syria bersama kawan arab hampir USD 350 dihabiskan untuk urusan keluar masuk. Namun ketika ini, setelah 90% daripadanya dimansuhkan, bayaran di sempadan akan menjadi kurang dari USD 100. Rakyat Jordan dan Syria boleh berjimat jika ingin melancong atau bertemu sanak saudara di kedua-dua negara.

Perkara ini mungkin dapat mengubat hati penduduk Jordan yang telah 'dipanah petir' pada hari sebelumnya dengan kenaikkan harga minyak yang tidak masuk akal serta barang keperluan harian yang turut melambung menggunung naik. Kenaikan yang menghampiri 100% dari harga asal turut memberi kesan kepada pelajar Malaysia di sini. Sudahlah pelajar-pelajar yang menuntut bidang agama dianak tirikan oleh kerajaan (MALAYSIA) dengan tidak memberi satu sen pun biasiswa pendidikan. Kos hidup di Jordan semakin mahal dan mustahil akan turun.

Tuesday, January 1, 2008

Tariq Sahrawi Urdun

14 Zulhijah yang lalu, bandar Qatranah sudah mulai sibuk. Puluhan bas membawa jemaah haji dari Jordan sudah mula memasuki bumi Jordan. Rata-rata dari mereka memilih Qatranah sebagai tempat istirehat dan solat sebelum perjalanan diteruskan ke Amman. Qatranah merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 90 km dari ibu negara Amman dan 35km dari muhafazah Karak yang berada di tengah-tengah negara Jordan. Qatranah menjadi pekan kecil penting yang terletak di jalan perhubungan utama jemaah haji yang datang dari Syria, Iran, Turki, Russia, negara-negara bekas Soviet Union dan eropah barat menuju ke Mekah melalui jalan darat untuk menunaikan ibadat haji dan umrah.

Bermula dari 2 Syawal, sempadan Jaber, Jordan dan Naseeb di Syria akan dipenuhi jemaah-jemaah haji yang mengembara jauh melalui jalan darat untuk ke Mekah. Mereka tiada pilihan jalan darat yang lain selain melalui negara Jordan. Kini setelah musim haji berlalu, selepas sahaja melontar di Jamarat pada hari kedua dan jemaah yang niat meninggalkan mina untuk tidak melontar pada hari terakhir sudah mula meninggalkan Mekah. Inilah kebiasaan yang dilakukan oleh sesetengah rakyat dataran Syam. Mereka tidak menunggu lama setelah selesai ibadat haji. Pakej yang dianjurkan oleh Agensi-agensi pengurusan haji kebiasaanya begitu. Rugi mereka berbanding rakyat Malaysia yang masih boleh menetap lama sebelum atau sesudah rukun haji dilakukan. Sudahlah sukar untuk mereka ke Mekah, dapat pula sekejap berada di sana. (Jordan mengenakan syarat mereka berumur 60 tahun ke atas untuk menunaikan haji, ini disebabkan kuota yang sikit untuk rakyat Jordan: 1% Penduduk= 6000 orang).

Sesahihnya bumi Jordan telah menjadi laluan perjalanan utama haji sejak berkurun lamanya. Sebelum zaman Uthmaniah, ketika Tariq Sahrawi belum wujud, para jemaah haji yang datang berkafilah telah memilih laluan Trajan atau dikenali sebagai King's Highway (Jalan Berbukit di kini berada di barat Jordan). Laluan tersebut bermula di Sungai Furat melalui Dimasyq dan terus menuju ke Bosra, melalui Hesban dan Madaba terus ke Karak dan Tofilah menganjur sehingga ke Eilat (Aqabah) dan berakhir di Ramsis di Mesir. Bagi mereka yang ingin menunaikan haji pada ketika itu aku terus mengambil jalan Laut Merah untuk menuju ke Madinah dan berniat haji di Miqat Bir Ali untuk menunaikan umrah atau haji.

Ketika mana zaman kerajaan Uthmaniah, Tariq Sahrawi telah dibuka dan ia memudahkan lagi para haji untuk bergerak menuju ke Mekah dengan menyediakan kemudahan solat dan air di Dab'a, Qatranah dan Ma'an (Lokasi di Jordan). Tariq Sahrawi inilah yang terus digunakan sehingga hari ini oleh jemaah haji untuk menuju ke Madinah dan Mekah.

Ketika ini, sempadan Bab Hawa-Cilvegozu di Syria dan Turki terus dipenuhi bas para jemaah haji yang telah selesai menunaikan ibadah haji. Ketika berada di sempadan tersebut beberapa hari yang lalu, beratus bas beratur panjang di sempadan menunggu giliran untuk melepasi sempadan Turki. Ada bas dari Turki, ada dari Russia dan ada dari negara bekas Soviet Union seperti Armenia, Azerbaijan, Uzbekistan DLL. Perjalanan mereka sesahihnya masih jauh dari sempadan Syria-Turki. Ditambah lagi keadaan kenderaan mereka yang agak daif.

Melihat keadaan mereka, kekadang hati terdetik betapa mudahnya kembara Haji rakyat Malaysia ke bumi Mekah. Semua keperluan cukup, selesa dan tersusun. Namun, mungkin kembara haji mereka yang susah ini lagi membuatkan mereka mengejar untuk mendapat nikmat ibadat haji mabrur. Bukan mengejar mendapatkan status 'haji'.


Sunday, December 23, 2007

Seharian 13 Zulhijah..

Cuaca di Mu'tah bertambah sejuk di pagi 13 Zulhijah. Hari ini umat Islam yang tidak berniat meninggalkan Mina akan melakukan Nafar Thani untuk menamatkan ibadat haji musim ini. Hari ini juga hari terakhir ibadat sembelihan korban dijalankan untuk tahun ini. Suasana kemeriahan hari raya korban di Mu'tah sudah agak berubah dari 6-7 tahun yang lalu. Ia semakin tidak meriah Atau aku yang tidak merasakan kemeriahan mereka. Apa yang pasti, dahulunya kelihatan meriah di sana sini kambing, unta ditumbangkan untuk ibadat korban.

Pagi ini cukup sejuk di Mu'tah. Ketika air mula hinggap di kulit di subuh hari tadi, sejuknya agak berbeza dari hari semalam dan sebelumnya. Namun setelah aku keluar dari Bayt Batu Burok di Hayyu Burkah cuaca cerah. Matahari memancar tetapi kesejukkan menusuk ke tulang. Aku melangkah ke Hayyu Suweih dan kelihatan padang luas yang dipenuhi gandum pada musim bunganya telah dipenuhi debu-debu putih. Ia salji nipis yang turun. Memang padan cuaca sejuk pagi hari ini berbeza. Pagi ini cuaca 0 darjah.

Tengahari selepas solat Zohor aku bersiap untuk ke Amman. Aku perlu ke syarikat penerbangan Gulf Air untuk menyelesaikan beberapa urusan tiket penerbangan. Pada asalnya aku sudah bersiap seawal pagi dari Bayt Batu Burok untuk terus ke Amman. Tetapi atas sebab pengangkutan yang 'canggih' di Jordan ini membuatkan aku menangguhkan perjalanan ke Amman selepas solat zohor. Aku ke Amman selepas zohor bersama Ifwat dan Syafiq.

Di dalam perjalanan hati sentiasa memaki arab. Asap rokok memenuhi coaster. Bodoh tak ada otak! Merokok dalam coaster, bila nak bukak tingkap untuk udara masuk dimarahnya kita.. Memang betul tak ada otak.

Sampai di Amman lokasi pertama terus ke Balad. Ifwat ke Maktabah Dundess untuk membeli kitab. Aku melepak di Kedai Abu Marwan melihat buku-buku sejarah yang boleh aku beli dan koleksi Majalah National Geographic yang belum aku ada. Abu Marwan tak ada di kedai pada ketika itu. Hanya pekerjanya yang duduk bermenung di situ. Hasil aku hari ini di kedai Abu Marwan ialah NG Magazine keluaran Oct 07 yang belum aku ada. Beberapa buku lain seperti History Of Taiwan, Amazing Bahrain, Guide To Italy aku sorok di bahagian belakang kedai. Itulah kebiasaan aku lakukan. Jika Abu Marwan ada, aku akan dapat harga yang istimewa. Jika dengan pekerjanya agak sukar untuk aku mujamalah. Biarlah buku itu disitu..lain kali aku akan pergi semula dan membelinya..

Selesai Ifwat dan Syafiq membeli kitab di Maktabah Dundess, terus kami menapak ke Shariq Hussein bin Talal untuk ke syarikat tiket Buruj Eiffel. Ifwat tempah tiket untuk pulang bercuti ke Malaysia pada Jun tahun hadapan. Harga tiket pergi dan balik dari Jordan cukuplah murah. Hanya JOD 385 iaitu bersamaan RM 1925. (Penerbangan Kuwait Airlines). Berbanding harga penerbangan Kuwait dari Malaysia ialah RM 3024. Hampir RM 1000 beza harganya. Ampeh!

Jam sudah 3.40 petang. Cuaca di Amman lebih sejuk dari di Mu'tah. Aku bergegas ke Abdali dengan teksi untuk ke pejabat utama syarikat penerbangan Gulf Air. Hampa. Syarikat masih tutup hari ini sempena cuti Aidiladha. Nak buat camana..misi tak tercapai hari ini.

Selepas Late lunch Pizza di Bab Raisi Jordan University kami terus ke Mujammak Janub untuk balik ke Mu'tah.

Esok aku akan melihat wajah Amman lagi..

Monday, December 17, 2007

KLIA ke QAIA


Hampir sebulan juga tidak menulis sesuatu di blog ini. Ini entry pertama aku tulis untuk bulan Disember ini. Sejak balik ke Malaysia September lalu, boleh dibilang dengan jari tangan berapa sahaja entry yang mampu aku tulis. Semuanya atas faktor masa. Kekadang terlintas dalam hati sambil memuji mereka yang lebih sibuk dari aku masih mampu meluangkan masa untuk menulis sesuatu di dalam blog-blog mereka demi menyampaikan sesuatu ilmu dan berdakwah atau paling kurang menulis diari mereka untuk dikongsi dan dijadikan memori.

Sudah seminggu aku berada di Jordan. 2 hari sebelum berangkat ke Jordan aku bermalam di rumah sahabat lama Ust Izham di Selayang. Masa-masa yang lain aku habiskan bersama sahabat-sahabat yang kini menyambung pelajaran di peringkat MASTER di UIAM. Ketika bersama mereka di asrama Mahallah Uthman UIAM aku tidak dapat menipu diri sendiri yang jiwa aku sesahihnya kuat untuk menyambung pelajaran. Namun buat masa ini aku perlu menyelesaikan 'misi' yang lebih penting dari itu dalam hidupku. Misi meramaikan umat Muhamad.

Di UIAM aku sempat melepak di bilik Salman dan Khairul serta bertemu bekas-bekas sahabat seperjuangan di Jordan- Nahar, Shiham, Luqman, Paktam dan Muiz yang pernah berada di Jordan kemudian berpindah ke Universiti Madinah. Terima kasih semua.

8 Disember
Aku ke KLIA bersama Ust Izham yang sudi menghantar. Khairul pun turut serta. Bersama ada di KLIA tunang kesayanganku bersama keluarganya.

Penerbangan ke Doha seawal jam 3.30 pagi waktu Malaysia cuma membuatkan aku mengantuk. Namun sepanjang 6 jam lebih penerbangan ke Doha aku tidak dapat tidur. Tiba di Doha International Airport sekitar jam 6.40 pagi waktu Doha. Pendaratan lewat 15 minit disebabkan faktor cuaca yang buruk. Kabus tebal dan angin yang kuat pagi itu di Doha. 6 jam berada di Doha International Airport sebelum berangkat ke Amman Jordan. Sesahihnya fasiliti yang disediakan di DIA amat baik. Ruang yang luas, kerusi yang banyak sudah memberi keselesaan kepada awam. Aku tidur di surau yang sudah sedia dipenuhi manusia walaupun tertera jelas larangan tidur tertampal di dinding.

12.30 waktu Doha aku berangkat ke Amman. 2 jam 50 minit perjalanan dengan aku selamat tiba di Amman. Aku tiba jam 2.50 waktu Jordan.

Alhamdulillah, semuanya selamat.

Aku kembali ke Jordan bertujuan membawa keluarga Haji Razak Mat Amin yang mengambil pakej melancong ke Jordan, Syria dan Turki dari HZ Travel & Tours. Trip 6 hari 5 malam Jordan sudah selesai bermula 10-15 Dec baru-baru ini dan Trip ke Syria akan bersambung pada 24-31 Dec ini. Buat masa sekarang Haji Razak bersama keluarga menghabiskan masa dirumah anaknya yang menuntut di JUST.

Jadual kerja di Jordan akan ketat selepas 24 Dec. Selepas Trip Haji Razak sekeluarga berakhir terdapat 2 group lagi yang perlu aku bawa. Ini tidak termasuk trip pelajar yang akan berlangsung pada 26 Januari hadapan dan 02 Februari ke Jordan dan Syria. Pada ketika ini juga, bisnes partner aku Zaid sedang menguruskan Trip 8 hari ke Istanbul yang disertai oleh 15 orang pelajar dari Mu'tah.

Semoga Allah mempermudahkan segala-galanya. Ameen Ya Rabb..

Monday, November 5, 2007

Malaysia Oh Tanahairku..

Bersama rakan-rakan SPM Batch 1999 Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Gambar nie di ambil ketika beraya di rumah Fahmi di Kampung Ketior Kuala Kangsar ketika program 'konvoi' beraya ke rumah kawan-kawan bekas pelajar Madid. Sudah 7 tahun tidak beraya di Malaysia


Sesahihnya sudah lama aku tidak menulis sesuatu di sini. Sudah sebulan lebih..

24 September yang lalu aku selamat tiba di Parit Buntar Perak setelah 3 hari perjalanan dari Jordan. 22/9 aku bergerak dari QAIA pada jam 4.45 petang. Tiba di Abu Dhabi International Airport dan transit di situ lebih 6 jam (Flight Delay Sejam). 23/9 aku tiba jam 2.30 petang di KLIA. Jam 5.00 aku menaiki bas ke Ipoh dan berbuka puasa di dalam perjalanan. Ketika itu bas sudah tiba di Tapah (7.15 minit malam). 8.00 malam aku tiba di Ipoh. 1.45 pagi 24/9 aku bergerak ke Parit Buntar menaiki Keretapi Ekspress Langkawi. 5.45 pagi aku selamat tiba di Parit Buntar..

25/9-12/10
Setiap hari menikmati juadah berbuka yang sedap-sedap..

28/9
Kotak Kargo selamat sampai ke rumah. Gambar-gambar kenangan di Middle East (2kotak) sudah boleh dibuka dan selepas ini mudah dapat idea untuk menulis di sini.. :)

13/10- hingga ke hari ini
Aidilfitri..Malaysia masih terus beraya (8/11 hindu lak nak beraya, udah2lah kita).. budak-budak kat Jordan dah mula periksa..

Perkembangan terkini, aku terus menguruskan Agensi Pelancongan ke Timur Tengah di bawah syarikat aku yang dikongsi bersama sahabat baik iaitu Zaid (Hazimin Zaid Travel & Tours Sdn Bhd). Ketika ini masih dalam proses untuk mewujudkan premis di Parit Buntar, Perak. Dan Zaid menguruskan pejabat kami di Mu'tah, Jordan.

Selamat Hari Raya untuk semua. Maaf Zahir & Batin

Monday, September 17, 2007

Dua perkara ...

Dua perkara yang paling ditakuti.
Tenggelam dengan pujian manusia &
hanyut dengan prinsip yang kita anggap membina diri
rupa-rupanya membawa kebinasaan pada diri


Terima kasih kepada rakan yang 'menghadiahkan' peringatan ini melalui SMSnya pada jam 8.53 malam
18 September 2007 selepas solat tarawikh.

:: Manusia yang memuji adalah musuh dan menegur adalah rakan ::

Sunday, August 26, 2007

Ada Otak Letak Di Lutut..


Mungkin perkataan bodoh dan tak ada otak memang sesuai dipadankan dengan golongan yang bakal aku kisahkan di dalam entry kali ini.
Ya. Bodoh. Tak ada otak.

Aku tidak benci kepada mereka yang merokok. Itu adalah hak mereka. Biarpun dijalankan kempen tak nak merokok (Berjuta-juta duit dihabiskan). Mereka yang degil dan ego pasti akan tetap merokok.

Jika dibentangkan soal hukum merokok. Pasti mereka yang tetap ingin merokok akan mengatakan ia soal khilaf. Ada ulamak tidak mengatakan rokok haram. Jadi faedahnya hanya ilmu kepada orang yang tidak merokok apabila membacanya. Bagi mereka yang merokok dan tegar untuk berhenti. Sudah pasti akan terus merokok.

Ada juga mereka yang ingin berhenti. Tetapi tidak mampu. Ini aku tak pasti keadaan mereka sedang bertarung untuk memenuhi misi tersebut.

Kebiasaanya, mereka yang memang merokok akan terus merokok walau apapun desakan diberi.

Aku tak peduli dengan golongan perokok yang biasa. Hak mereka nak merokok dan hak mereka nak hidup susah kemudiannya akibat merokok. (cuma aku sarankan berhentilah merokok)

Apa yang 'menghangatkan' hati aku untuk dikongsi bersama dalam entry kali ini ialah perokok 'bahlol' yang terdapat di bumi Jordan ini. Golongan ini sukar didapati di negara-negara lain. Bahkan di negara-negara arab lain. Golongan ini mungkin wujud di Jordan sahaja. Negara yang sungguh 'bertamadun' ini.

Urdun Awwallan kata mereka.

Golongan perokok merokok di dalam pengangkutan awam & tempat awam

Inilah golongan perokok bahlol yang aku maksudkan. Hidup menyusahkan orang. Beginilah keadaanya di bumi Jordan. Mana-mana perokok di Jordan (dari kalangan arab) kebanyakkan mereka pasti akan merokok di dalam pengangkutan awam. Sekiranya perjalanan dari Amman ke Karak mengambil masa 1 jam 30 minit. Perokok akan menghisap rokok di dalam perjalanan tanpa mempedulikan keselesaan penumpang lain.

+ Sudahlah bas yang dinaiki adalah bas berhawa dingin. Tidak ada tingkap untuk asap keluar.

+ Jika menaiki coaster. Boleh penumpang yang tidak merokok apabila membuka tingkap untuk mengambil angin nyaman akan ditegur oleh si perokok supaya tutup tingkap.

+ Apabila musim sejuk, tingkap coaster sudah pasti tidak akan dibuka kerana angin sejuk. Dan asap akan memenuhi ruang dalam coaster. Sekiranya pada sesuatu perjalanan tersebut semuanya lelaki. Sudah pasti setengah dari mereka akan menghisap rokok.

+ Hendak minta pemandu bas/coaster menegur penumpang yang merokok. Dia juga merokok. Bahkan dia yang akan mula merokok dan terus merokok di dalam bas/coaster sepanjang perjalanan.

+ Ada juga pemandu yang melarang penumpang merokok (1 dalam Sejuta). Dan pemandu ini apabila menegur supaya penumpang tidak merokok akan diperli semula oleh penumpang.

Begitulah beberapa keadaan di dalam pengangkutan awam yang boleh aku gambarkan kepada semua. Golongan perokok sebegini di Jordan memang bahlol dan keras kepala. Sekiranya kita menegur dia akan kembali memarahi kita atau mempelecehkan kita. Cukup pelik.

Sudahlah mereka hisap untuk merosakkan jantung mereka. Ditambah lagi memberi mudarat kepada orang yang tidak merokok. Sudahlah kajian yang dibuat membuktikan bahawa mereka yang menyedut asap rokok turut mendapat kesan buruk bahkan lebih buruk dari si perokok.

Beberapa kenangan berhadapan dengan golongan ini.

Pernah satu ketika aku dan Zaid pulang ke Mu'tah dari Amman. Kami menaiki bas Amman-Jami'ah Mu'tah. Bas dipenuhi oleh pelajar arab yang ingin kembali ke kampus universiti setelah cuti hujung minggu berakhir. Hadapan, kiri, kanan, belakang semuanya merokok. Sudahlah bas yang kami naiki adalah bas berhawa dingin.

Cukup lemas keadaan ketika itu. Lemas dengan makanan jin. Asap. Nak kata jin berada di dalam bas... Tidak. Semua manusia.

Kemudian aku menegur 2 orang lelaki arab di hadapan kerusi kami supaya berhenti merokok. Dan jawapannya adalah 'Kau nak merokok sekali kah?' sambil tertawa memerli.

Aku yang ketika itu sudah panas hati secara geram keluar dari mulut

"Enta mafi Mukh" (kamu tak ada otak).

Itulah ayat yang terbaik apabila teguran baik digunakan namun tak berkesan.

Terus pemuda arab tadi pandang ke belakang dengan muka yang agak marah.
(perkataan mengata arab tak ada otak sangat-sangat memberikan kemarahan kepada mereka)

"Ana mafi Mukh? wa Enta"? (aku tak ada otak. Dan kamu?)

Pemuda tadi agak berang dan berlakulah sedikit pertengkaran yang sememangnya berakhir dengan sia-sia. Buang masa. Kemudian mereka berdua terus menyalakan sebatang rokok yang baru dan ketawa mengejek.

Satu kisah lagi aku bergaduh dengan arab di Cyber Cafe. Ketika itu aku duduk di sebelah seorang pemuda arab yang merokok. Dari mulanya aku sudah geram kerana asap memenuhi ruang Cyber Cafe. Bukan dia seorang, tetapi 2-3 orang arab lain yang menghisap. Ada pula seorang budak melayu yang merokok ketika itu. Tetiba lelaki sebelah aku memaling kepalanya ke arah aku dan menghembus asap rokok ke arah aku.

Aku yang sememangnya 'mendidih' tidak puas hati terus bangun dan menyepak kuat meja komputer lelaki tersebut sehinggakan mouse dan keyboard tercampak ke bawah. Aku terus mengeluarkan satu perkataan maki yang tak perlu aku tulis disini. Dan selepas aku mengeluarkan kata-kata tersebut dia berang dan menolak aku.

Sabar aku telah hilang ketika itu. Aku membalas tolakan dia dan kemudian kami dileraikan oleh tuan punya Cyber Cafe. Eloklah kami dileraikan. Bahaya kalau terus bergaduh. Sudahlah aku pendatang. Jika lelaki tersebut membawa kabilahnya, sudah tentu 'lunyai' aku dikerjakan.

Semuanya bermula dari rokok yang memang pembawa masalah kepada banyak perkara.

Dah lama duduk di Jordan marah aku kepada mereka ini mustahil akan pudar. Sudahlah golongan perokok ini membazir (perangai syaitan), kemudian payah nak terima pandangan orang dan pertahan diri yang sememangnya salah (perangai syaitan), kemudian cari pasal nak bergaduh pulak bila ditegur (perangai syaitan)

Macam syaitan.

Bukan tak ada larangan yang melarang perokok supaya tidak merokok. Di dalam bas, di tempat awam. Semuanya tertulis. Tetapi otak-otak mereka ini tidak tertulis sesuatu yang boleh membuatkan mereka berfikir dengan baik.

Yang lucunya, di QAIA disediakan satu ruang smoking zone. Tetapi ruang tersebut terbuka bersebelahan dengan tempat duduk awam. Bukannya bilik khas sepertimana yang disediakan dikebanyakkan negara yang 'reti berfikir'.

Bila aku kenangkan semula..nak ketawa memang rasa nak terus ketawa. Semuanya boleh jadi di negara Jordan ni.

Kepada perokok yang terasa dengan entry ini, aku tidak perlu meminta maaf kerana apa yang aku kisahkan semuanya benar dari pengalaman hidup aku.. aku menulis supaya semua dapat tahu dan tahu berfikir..

Wednesday, July 18, 2007

Warna Kehidupan di Amman

Amman 17 Julai 2007

Hari ini aku ke Amman bersama seorang kawan arab Aid 'Udah Dararjah Al-Khirsyeh. Seorang pemandu van yang amat masyhur dikalangan pelajar Mu'tah. Hari ini Aid mendapat pelanggannya pelajar Malaysia Universiti Mu'tah yang mempunyai urusan di Malaysian Student Deparment (MSD) di Amman. Setelah menghantar mereka ke MSD, aku dan Aid mula 'pusing-pusing' sekitar bandar Amman.


Wadi Abdoun
Aku melalui kawasan Wadi Abdoun terus ke Hayyu Nazzal untuk ke downtown. Antara kawasan penduduk berpendapatan rendah di tengah ibu kota Amman. Terdapat masyarakat beragama Druze di Hayyu Nazzal. Dari Wadi Abdoun aku menuju ke Muhajirin dan terus ke downtown Amman (Balad)


Downtown Amman.
Makan tengahari di Restoran Al-Quds berhadapan Souq Khadra' (Pasar Sayur) downtown Amman. Reesh (Rusuk kambing bakar), Shugof (daging kambing bakar), Khawareeq (sup kaki kambing) dan Nasi selamat masuk ke perut kami untuk lunch di downtown Amman. Keadaan di balad sangat sibuk dengan manusia membelah belah di pasar dan deretan kedai yang ada. Golongan marhaen yang memenuhi kawasan downtown. Mereka-mereka yang kaya raya di Jordan jarang menampakkan muka di kawasan downtown yang agak 'busuk' dan berstatus rendah. Golongan kaya raya dan 'kayap kaya' di Jordan akan membeli belah 'bermewah' di kawasan-kawasan di anggap standard serta berkelas tinggi seperti di Shemasani, AL-Rabiah, Swefiyah dan Abdoun.

Hadaiq, Shemasani
Masyarakat arab memenuhi kawasan ini untuk bersantai di Fun Fair. Dilengkapi oleh beberapa permainan yang di anggap moden oleh arab di sini. Aku hanya berada di dalam van dan Aid mengambil angin di luar. Banyak kelihatan kereta-kereta dari Saudi Arabia, Qatar, UAE dan beberapa negara teluk yang lain. Inilah situasi ketikamana musim panas tiba. Arab dari negara teluk 'berpusu-pusu' datang ke negara Jordan, Syria, Lubnan dan Turki untuk 'menukar' angin. Mungkin mereka sudah tidak sanggup berpanas di negara mereka. Manakan tidak, badan mereka boleh setengah masak apabila hidup di dalam cuaca 50 darjah ke atas.

Center Shemasani
Antara kawasan mewah di ibu negara Jordan. Kelihatan ditepi-tepi jalan semuanya kereta-kereta mewah bersidai. Banyaknya dari negara teluk. Mereka memilih restoren mewah sekitarnya untuk dinner, berbual sambil menikmati Hookah.

Abdoun
Di katakan kawasan paling mewah di Amman? Rumah-rumah yang dibina semuanya berkelas tinggi. Abdoun turut menempatkan bangunan pejabat-pejabat kedutaan dari kebanyakkan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Aku melalui Abdoun untuk ke Suweifiyah.

Suweifiyah
Turut dikelaskan kawasan berstatus mewah di bandar Amman. Hari sudah malam dan manusia semakin bertambah berpeleseran di kawasan Suweifiyah.

Sepanjang perjalanan balik ke Mu'tah aku terfikir. Jika arab terus disogok dengan kemewahan melampau. Bilalah dorang akan sedar untuk membela nasib-nasib umat Islam dari bangsa arab sendiri yang terus ditindas. Bila aku lihat perwatakan, penampilan mereka sudah cukup untuk disimpulkan bahawa banyak di antara mereka telah hanyut di bawa kemewahan..

Ya Allah. Tetapkan hatiku untuk membela agamaMu. Sedarkanlah umat Islam yang lupa pada akhiratMu dan berikanlah kemenangan untuk mereka yang menjaga agamaMu..

Tuesday, May 22, 2007

Tempat Jatuh Lagi Di Kenang

Aku kembali menjejaki kaki ke bumi yang terlalu banyak memberi aku pengalaman dan kenangan..19 Mei 2007 aku tiba di Queen Alia International Airport setelah satu bulan 17 hari aku berada di Malaysia..Alhamdulillah, mungkin rezeki aku di sini. Setelah menamatkan pengajian di Universiti Mu'tah Jordan pada Januari 2007, aku terpaksa akur yang aku akan kembali ke tanahair Malaysia. Pulang untuk bertemu keluarga tersayang, pulang untuk bersama masyarakat Melayu yang telah lama aku tinggalkan..

Namun, takdir penentu segala-galanya.. aku kini kembali ke Jordan untuk menunaikan beberapa kerja yang juga telah 'ditakdirkan'.. Sejak dalam penerbangan lagi, otak aku cukup kuat mengimbas kenangan selama menuntut di bumi Jordan..terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang aku timba untuk membina diri aku menjadi manusia.

Sudah bertahun aku melayari internet; membuka blog- melayani, membaca kisah-kisah semua kerenah manusia seluruh dunia. Pelbagai pengalaman orang telah aku baca dan kutip sebagai teladan. Banyak juga manusia yang aku tidak dikenal telah membuat aku mengenalinya. Ia cukup mustahil berlaku untuk beberapa dekad dahulu..kini semuanya mudah. Baik buruk orang semuanya boleh diketahui dalam melayari internet. Tidak perlu orang yang mengata, tetapi diri sendiri yang menulisnya untuk tatapan semua. Inilah yang buat aku fikir..menarik juga untuk menyertai ruangan 'menginsafi diri'? atau 'membongkakkan diri'? atau.. apa-apa aje..

1.00 pagi 22 Mei 07, aku menghadap komputer di Bayt Dimasyq yang penuh sejarah ini. Jari-jari aku mula menaip. Permulaan untuk aku mengisahkan pengalaman aku berkenalan dengan ramai manusia....yang cerdik, yang bodoh, yang baik, yang sombong, yang rajin, yang malas, yang payah nak terima pandangan orang, yang berhati terbuka, yang lembut budi, yang kurang ajar bahasa, yang kenang budi, yang lupa budi, yang penyabar, yang pemarah, yang hidup sebagai manusia dan ada yang manusia hidup seperti binatang...

Aku juga manusia biasa..punyai kelebihan dan kekurangan..berilah teguran pada yang kurang. Sokonglah aku pada jalan yang benar..
Semoga Allah mengampuni diriku dengan dosa dan kesalahan yang aku pernah lakukan..

Doa buat seluruh umat Islam semoga sentiasa berada dalam keimanan dan ketaqwaan.