Wednesday, January 2, 2008

Hubungan Jordan-Syria Bertambah Erat


Semalam Kerajaan Jordan dan Syria telah memeterai perjanjian demi kepentingan dan kemudahan di laluan perhubungan antarabangsa sempadan darat kedua-dua negara. Persefahaman erat antara kedua-dua negara telah menghasilkan persepakatan di mana rakyat kedua-dua negara tidak perlu lagi menggunakan pasport antarabangsa untuk masuk negara berjiran ini. Rakyat di kedua-dua negara hanya perlu menunjukkan kad identiti peribadi untuk melepasi sempadan Jaber-Naseeb atau sempadan Ramtha-Dera'a yang memisahkan negara Jordan dan Syria.

Cukai kenderaan, cukai peribadi dan bayaran Disel (Tasrih Mazot) turut dimansuhkan. Hanya yang tinggal Insurans kenderaan sahaja yang perlu dibayar. Sebelum ini, mana-mana kenderaan dari Jordan yang memasuki negara Syria perlu mendapatkan Tasrih Mazot dengan bayaran USD 100 (untuk tempoh satu minggu) jika berada di dalam negara Syria lebih pada satu minggu, USD 100 kedua perlu di bayar sebelum keluar dari negara Syria. Cukai kereta pula dikenakan sebanyak SYP 450 (sekitar USD 10) dan cukai peribadi setiap orang dikenakan bayaran SYP 400 = (SYP: Syrian Pound atau Lira Syria). Begitu juga dengan rakyat Syria yang ingin memasuki Jordan perlu membayar cukai-cukai yang berkenaan.

Baru-baru ini ketika berurusan disempadan Jordan-Syria bersama kawan arab hampir USD 350 dihabiskan untuk urusan keluar masuk. Namun ketika ini, setelah 90% daripadanya dimansuhkan, bayaran di sempadan akan menjadi kurang dari USD 100. Rakyat Jordan dan Syria boleh berjimat jika ingin melancong atau bertemu sanak saudara di kedua-dua negara.

Perkara ini mungkin dapat mengubat hati penduduk Jordan yang telah 'dipanah petir' pada hari sebelumnya dengan kenaikkan harga minyak yang tidak masuk akal serta barang keperluan harian yang turut melambung menggunung naik. Kenaikan yang menghampiri 100% dari harga asal turut memberi kesan kepada pelajar Malaysia di sini. Sudahlah pelajar-pelajar yang menuntut bidang agama dianak tirikan oleh kerajaan (MALAYSIA) dengan tidak memberi satu sen pun biasiswa pendidikan. Kos hidup di Jordan semakin mahal dan mustahil akan turun.

0 komen: