Sekiranya anda berada di Jordan dan berkunjung ke Laut Mati, pastikan laluan pergi atau balik melalui jalan Wadi Syuaib. Di pertengahan jalan dari Amman ke Laut Mati melalui Wadi Syuaib membolehkan jadual lawatan anda menziarahi Makam Nabi Syuaib a.s.
Jika anda dari Laut Mati, jalan perkampungan Ar-Rama (berhampiran Suweimah) akan membawa anda ke Kefrein dan Shouneh Janubiyah. Di Shouneh Janubiyah terdapat Jambatan Raja Hussein (King Hussein Brigde) atau dikenali dengan Jambatan Allenby merupakan jalan yang menghubungkan Jordan dengan Tanah Palestin (melintasi Sungai Jordan). Dari pekan kecil tersebut terdapat jalan terus ke Makam Nabi Syuaib a.s
Ringkas Kisah Nabi Syuaib a.s dan
Pandangan di mana bala diturunkan kepada kaum Madyan.
Nabi Syuaib a.s diutuskan kepada kaum Madyan. sebagaimana Firman Allah di dalam ayat 85:
وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَا هُمْ شُعَيْباً
Dan (kami telah mengutus) kepada penduduk Madyan saudara Mereka Syuaib.
Madyan adalah nama putera Nabi Ibrahim a.s kemudian menjadi kabilah yang terdiri daripada anak cucu Madyan. Kabilah ini mendiami satu kawasan yang juga dikenali dengan Madyan yang terletak di pantai Laut Merah di tenggara Gunung Sinai. Kaum Nabi Syuaib a.s menyembah Aikah iaitu sebuah kawasan padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanaman.
Nama Syuaib a.s ialah Syuaib bin Mikyal bin Yasjar bin Madyan bin Ibrahim Al-Kholil diangkat menjadi nabi sekitar tahun 1550SM. Baginda digelar Khatib para rasul oleh Ahli Tafsir. Syuaib a.s amat mahir di dalam pidato dan meneruskan dakwah rasul terdahulu darinya mengajak kaumnya keluar dari kesesatan dan kembali di jalan Allah. Antara dakwah dan amaran Syuaib a.s terhadap kaumnya sepertimana dijelaskan di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-‘Araf ayat 85-86 yang bermaksud:
“Maka sempurnakanlah takaran dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya dan jangan kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang-orang yang beriman”
“Dan janganlah kamu duduk ditiap-tiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang yang beriman dari jalan Allah..”
Dari maksud ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa masyarakat Madyan merupakan kaum yang melakukan penipuan timbangan di dalam jual beli dan menjadi samseng di jalanraya dengan menghalang orang-orang yang mengikut ajaran Syuaib a.s.
Syuaib a.s terus menyampaikan dakwah baginda terhadap kaum Madyan tetapi usahanya ditentang hebat oleh kaumnya dan bertindak untuk mengusir Syuaib a.s dari wilayah mereka. Syuaib a.s mendapati hati kaumnya sudah tertutup rapat dan tiada harapan lagi untuk menerima agama Allah. Baginda berdoa agar kaumnya dibinasakan maka bala Allah telah turun kepada kaum Madyan sepertimana firmanNya di dalam Surah Al-A’raf ayat 91:
فَأَخَذَنْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِى دَارِهِمْ جَثِمِينَ
Kemudian mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam rumah-rumah mereka.
Ketikamana bala terhadap Madyan diturunkan, udara di wilayah tersebut menjadi panas dan terik matahari pada hari itu seperti membakar kulit dan mengeringkan kerongkong sehingga mereka amat-amat dahaga. Mereka berlari ke dalam rumah dan di bawah pohon pokok untuk berlindung diri dari kepanasan tersebut namun tidak dapat menghalang derita panas tersebut. Tiba-tiba mereka terlihat gumpalan awan hitam berada di atas udara dan mereka berlari ke bawah awan tersebut untuk berlindung diri
Setelahmana mereka berada di bawah awan tersebut maka jatuhlah ke atas mereka percikan api dari awan tersebut dan disusuli oleh dentuman guruh petir dengan ledakan yang dahsyat, sementara bumi di bawah mereka bergoyang dengan kerasnya menjadikan mereka berjatuhan, tertimbun di bawah dan melayanglah nyawa dan lenyaplah masyarakat Madyan.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku di kawasan Wadi Syuaib yang berada di dalam wilayah Balqa’. Ada pendapat yang mengatakan di persisiran Laut Merah iaitu di negeri Madyan sendiri (berdekatan dengan Madain Saleh).
Pandangan penulis terhadap tempat berlakunya bala tersebut ialah di Wadi Syuaib. Firman Allah di dalam Surah Huud ayat 11 yang bermaksud:
“Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Huud atau Kaum Saleh, sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu”
Di akhir ayat di atas, Nabi Syuaib telah memperingati kaumnya bahawa bala yang terjadi ke atas kaum Sodom iaitu kaum Nabi Luth a.s adalah berhampiran dengan wilayah mereka. Jarak Wadi Syuaib dan Laut Mati (tempat bala yang dikenakan ke atas kaum Luth) hanya 60km sedangkan jarak Laut Mati dengan wilayah Madyan berhampiran Madain Saleh mencecah 400km. (Madyan dan Madain Saleh terletak di Barat Laut negara Arab Saudi ketika ini)
Wallahua’lam.
3 komen:
salam maal hijra semoga sentiasa diberkati oleh Nya
Salam Maal Hijrah...
tgk makam Nabi Syuaib ni..wat sy teringt blk mcmner sy wat emergency calling kt abg gmen masa lwtan delegasi Kerajaan NS ke Jordan..time tuh diaorg nk ke makam nih..da la sy tak de pengetahun psl makam ni..t'paksa call abg gmen dlm keadaan senyap2 dlm bas utk amik maklumat...hehehe..tq!!
salam tahun baru hijrah arsaili,
selamat bercuti dimalaysia n selamat kembali meneruskan perjuangan di Australia..
____
adam,
hurm, bila adam ingatkan bru tingat semula.jenuh dok ulang2..dia lah cover2 xnak cakap supaya pegawai2 xdenga..:P
Post a Comment