Wednesday, April 2, 2008

Maqloubah, Sinniyah & Kabsah

Malam ini cuaca agak sejuk kerana boleh dikatakan sekarang musim hujan di Malaysia. Malam ini aku berjaga hingga ke pagi untuk menyaksikan perlawanan bolasepak Fernabahce bertemu Chelsea di peringkat Suku Akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Sambil menunggu jam 2.45 pagi waktu Malaysia aku membuka kembali folder gambar-gambar kenangan sepanjang 2 minggu sebelum aku terbang kembali ke Malaysia hampir sebulan yang lalu. Kebetulan dalam waktu yang sama Hafizuddin, Mahadi, Habidin turut pulang ke Malaysia pada tarikh yang sama dan 2-3 minggu sebelumnya banyaklah jemputan diterima di rumah-rumah sahabat dan kenalan arab di sekitar Mu'tah.

Bangsa arab memang sudah dikenali sejak zaman jahilihiyah bahawa mereka amat menghormati tetamu. Jika ada tetamu yang datang menziarahi mereka, mereka akan layan dengan baik sampai tetamu pun kadangkala rasa tidak selesa dengan sikap mereka. Rasa serba salah..

Ziarah ke rumah kenalan arab sebelum balik ke Malaysia pada 5 Mac 2008.

Rumah Abu Khalid di Ja'fariyah [17 Februari 2008 ]

Abu Khalid bersama tiga dari enam orang anaknya

Ahli Bayt Dimashq menerima jemputan dari Abu Khalid untuk ke rumahnya buat sekian kali. Sebelum hari tersebut telah beberapa kali Abu Khalid menjemput ke rumahnya untuk makan tengahari dan merapatkan lagi ukhuwwah yang sedia terjalin.

Abu Khalid seorang yang sangat baik hati dan mudah berurusan. Kami (Ahli Bayt Dimashq) sentiasa menyewa van beliau untuk ke Amman jika ada urusan dan keperluan.

Bergambar kenangan bersama Abu Khalid (2 dari kanan) berhadapan rumahnya di Ja'fariyyah
Abu Khalid yang kami kenali adalah seorang yang zuhud dan sangat baik hati.




Di rumah Abu Khalid kami menikmati Nasi Maqlubah. Maqlubah antara nasi yang terkenal di negara arab
(terutama di negara dataran Syam). Nasi dimasak bersama kentang, bunga kobis, terung (yang digoreng terlebih dahulu) dengan menggunakan baharat atau rempah khas yang dinamakan baharat maqlubah.

Nasi dalam talam di atas telah 'dikerjakan' oleh 4 orang sahaja.
Terpaksa disumbat-sumbat demi menjaga hati tuan rumah. Patutke?


Rumah 'Aid Khirsyah di Mazar [ 26 Februari 2008 ]


Malam 26 Februari 08 aku, Mahadi, Judin, Said telah menerima jemputan menziarahi rumah Aid di Mazar. Malam itu kami dijamu dengan Sinniyah yang merupakan antara makanan yang 'digilai' oleh masyarakat arab terutamanya di kawasan selatan Jordan. Menurut Aid, Sinniyah menjadi ranking kedua selepas Mansaf yang amat disukai oleh masyarakat arab di Jordan. Selepas itu baru Nasi Maqlubah dan Kibsah.

Sinniyah merupakan ayam yang dimasak di dalam ketuhar dengan kepanasan api yang kuat. Ayam di letak di dalam talam dan dicampur dengan baharat mushakalah (rempah campuran), ubi kentang, tomato, terung dan minyak zaitun. Ia dimakan bersama roti. Namun malam itu Aid yang telah memahami citarasa melayu turut menyediakan nasi untuk kami.

Sinniyah yang amat lazat dan menyelerakan

Seperti adat kebiasaan arab, malam itu perut kami 'kembung' dengan sajian yang dihidangkan. Tambahan dengan bermacam-macam jenis air yang masuk ke dalam perut.

Kebiasaan adat arab, apabila tetamu datang mereka terlebih dahulu menyediakan kopi sadah. Iaitu kopi tanpa gula. Kemudian sebelum hidangan disajikan datang pula teh panas. Selepas sajian utama dihidangkan (roti atau nasi) datang pula minuman berkarbonat dan buah-buahan. Selepas itu di beri pula teh atau nescafe atau kopi manis. Bagi mereka yang sedikit berada didatangkan pula dengan manisan arab yang pelbagai. Sebelum pulang diberi sekali lagi kopi sadah (kopi tanpa gula). Bayangkanlah betapa buntatnya perut dengan layanan mereka.

Malam itu di rumah Aid, dari mula tiba sampailah di akhir pertemuan kami dihidangkan kopi, teh dan akhirnya nescafe selepas menikmati Nasi dan Sinniyah.



Rumah Dr. Hannan Btoush di Taiybah [ 1 Mac 2008 ]


Taiybah terletak lebih kurang 20km dari pekan Mu'tah dan merupakan perkampungan yang berada di kawasan selatan Karak. 1 Mac 2008 aku mengikuti sahabat-sahabat lain ke rumah Dr. Hannan yang pernah mengajar Daurah Bahasa Arab di Universiti Mu'tah untuk beberapa tahun. Dr. Hannan bertugas di bahagian Ria'sah (Pentadbiran) universiti.

Sebelum makan tengahari di rumahnya, kami sempat berbual dengan beberapa adik beradik lelaki Dr. Hannan, ayah dan bapa saudaranya. Hidangan tengahari itu merupakan nasi arab yang dikenali dengan Kabsah. Kabsah terdapat dalam pelbagai jenis dan rasa. Nabi Kabsah kebiasaannya dicampur dengan kacang pis hijau atau kacang kuda.

Nasih Kabsah yang disediakan oleh Dr. Hannan ialah Nasi Kabsah ayam yang dicampur bersama kacang yang telah digoreng dan dimasak dengan minyak lemak kambing.

Nasi pula dihidangkan bersama Kubuz Tannur (Roti Tannur) yang menjadi kegemaran aku


Di ruang tamu rumah Dr. Hannan

Dr. Hannan (paling kiri) bergambar kenangan bersama kami
sebelum berpisah

4 komen:

Anonymous said...

salam ust
wah wah sedapnyeee
sy xphm nape org arab suke sgt mansaf
maqlubah lagik best best best
hehe sori tgh lapa ni, terbce entri ni plak
nk bli tadek duit, tunggu duit masuk ujung bln T_T

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

salam,
mansaf mmg sedap. hehe. maybe sebab kambing kot..org arab kan berahi lebih makan kambing.

Anonymous said...

sinniyah?

betul yang 2nd famous?tak tau lah pulak aku jimin
tak pernah ngok kat list makanan kat mat3am

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

salam deqmoon..

itu bak kata Aid..masa ziarah rumahnya, dia bagitau arab memang sangat2 suka Sinniyah. Selepas mansaf, dorang memang 'berahi' dengan sinniyah. Dia juga cakap kalau sedara mara dia datang rumah memang sinniyah menjadi perkara yang ditanya2..

memang sedap sinniyah tue.. dia mix ayam dengan baharat mushakalah kemudian dengan tomato, kentang dan terung sekali dengan minyak zaitun.. makan dengan roti. memang terangkat siot..hehe..

aku pun xpenah jumpa lagi makanan ni dijual di restoren2.. maybe makanan arab2 kat janub jordan ni kot.. biasa ada kat kedai ialah ayam sawani.. cara masak sama dengan sinniyah tue..tapi di tambah dengan kuah tomato puree..

sinniyah tue dari perkataan sahan la..dia masak ayam tue dalam oven yang amat panas dengan talam