Sunday, July 1, 2007

Contohi Arab

Bab Al-Yemen merupakan pintu masuk utama ke Old City Sana'a

Aku termenung memerhatikan gelagat arab di Souq Milih bandar Sana'a. Bangsa yang terlebih dahulu mencipta tamadun dari bangsa aku sendiri. Otak aku berfikir panjang, mengulas, membuat kesimpulan terhadap bangsa istimewa ini. Dalam masa yang sama aku terkenang ketikamana aku menjadi pelajar beberapa tahun yang lalu di tanah arab.

Boleh dikatakan saban hari aku mendengar arab dikutuk. Ada sahaja perkara 'pelik' yang dilakukan oleh arab pada hari tersebut, arab menjadi mangsa ejekan dan pelekehan. Aku tidak fikir bangsa arab terlalu 'teruk' sampaikan 'semua' perkara buruk hendak ditujukan kepada mereka.

Arab satu bangsa yang amat unik. Terkenal juga dengan pelbagai sifat yang 'menggeramkan' tetapi kena beringat dalam pada itu berjuta sifat terpuji yang patut di contohi. Aku hairan juga, apabila sembang mengenai arab, kenapa ramai yang selalu mengembar-gemburkan keburukan mereka. Kenapa tidak disebut kebaikan arab yang ada?

Di Malaysia baru-baru ini aku bertemu dengan sahabat yang juga lepasan Timur Tengah..Perkara pertama yang ditanya "Tak letihkah hidup bersama arab? Aku dengan Arab ni dah tak tahan dah"..

Aku tersenyum sahaja..Nak sahaja aku menjawab, seronok hidup dan berkawan dengan arab..Tetapi memikirkan perbualan dengan perkara itu akan menjadi 'panjang dan sia-sia'. Baik aku diamkan sahaja. Fikirlah..bangsa mana yang membawa Islam sehingga subur hingga ke hari ini? Bangsa mana yang ketika ini masih berjuang menentang yahudi di tanah mereka? (mana umat Islam yang lain?), bangsa mana yang telah meninggalkan jutaan ilmu melalui pengajaran dan tulisan mereka hingga ke hari ini?

Bila mulut berkata untuk tujuan 'membusukkan' bangsa ini, hentikanlah dan perhatikanlah kebusukkan yang sedang melanda bangsa kita. Ubah dulu bangsa kita. Dan carilah idea untuk menjadikan bangsa melayu sebagai contoh kepada umat Islam. Kita bersatu atas akidah tersebut. Berjuanglah demi Agama, bukan demi Bangsa!


Kenangan di Old City Sana'a

Kisah di Kota Lama Sana'a, Yemen
Bermula dari Bab Yemen lagi aku memerhati keadaan sekeliling. Cukup payah untuk melihat penduduk di kawasan tersebut melepak membuang masa tanpa faedah, melepak, bersembang kosong. Ish!..Kalau di Malaysia....

Aku melihat perempuan-perempuan mereka bertudung kemas. Semua! Bukan separuh2..Di Malaysia?

Aku melihat mereka amat menghormati orang-orang tua. Memberi laluan kepada mereka yang berumur di dalam keadaan jalan sempit sepanjang Souq Milih kota lama Sana'a. Cukup terpuji perlakuan mereka.

Ketikamana aku melalui Souq Milih untuk ke Masjid Kabir, Sana'a Qadimah, aku ditegur oleh seorang penjual cenderahati. "Assalamualaikum. Apa khabar wahai tetamuku". Aku menjawab baik sapaan beliau dengan senyuman dan jawapan salam.

"Ambillah satu untuk kenangan buat dirimu" kata penjual tersebut.

"Aku gembira dengan kedatanganmu" tambah penjual tersebut.

Cukup manis ayat yang digunakan. Dalam hati aku cakap "Biasalah, arab semua macam ni, mesti dia akan guna ayat-ayat manis untuk tarik perhatian pembeli".

Aku tersenyum sambil tanganku memegang dada. Tanda ucapan penghargaanku padanya dan maksud aku tidak mahu membeli. Sebelum aku beredar, penjual itu menarik tanganku, mukanya tersenyum dan pada tangannya ada sebuah keychain dan dia memberikan kepada aku.

"Untuk kamu, Semoga Allah merahmati kamu".

Tergamam aku seketika. Aku mengucapkan jutaan terima kasih padanya. Penjual tersebut menepuk bahuku beberapa kali..Tak putus aku ucapkan terima kasih dan beredar dari situ.

Aku tiba di Masjid Kabir bandar lama Sana'a. Aku membuka kasut dan meletakkannya pada rak yang telah disediakan.

Sejurus selepas itu, datang seorang lelaki lengkap berpakaian seperti pengawal. "Apa khabar", tanya lelaki tersebut. "Alhamdulillah, baik" jawab aku ringkas kepada soalan yang ringkas.

"Saya Abu Solah", dia memperkenalkan dirinya. "Saya Hazeem Sulaiman Abdullah" aku memperkenalkan diri. "Masha Allah, nama kamu seperti arab dan kamu boleh bercakap arab..

Aku hanya tersenyum. "Kamu dari negara mana?" tanya Abu Solah. Aku menjawab Malaysia.."MashaAllah..MashaAllah. Kamu tetamu aku hari ini"..balas Abu Solah.

"Kamu tahu di mana tempat kamu ziarahi sekarang?" Abu Solah bertanya lagi.

Aku menjawab "Ya, Di Masjid Kabir kota lama Sana'a".

Abu Solah tersenyum sambil memaut bahuku dan dia secara sukarela ingin membawa aku menziarahi masjid tersebut. Abu Solah membawa aku menziarahi sekitar masjid. Beliau membawa aku ke sebuah sudut masjid yang padanya terdapat banyak kitab-kitab lama dan Al-Quran. Beliau menyatakan bahawa kitab-kitab tersebut digunakan untuk kelas pengajian yang tidak putus dijalankan di masjid tersebut.

Keadaan masjid tersebut pada ketika itu dipenuhi halaqah-halaqah pengajian Al-Quran. Di kebanyakkan sudut masjid dan ruang berdekatan tiang masjid dipenuhi mereka yang sedang belajar Al-Quran. Abu Solah menceritakan bahawa mereka tidak putus datang saban hari untuk mendalami ilmu Qiraat dan Tajwid.

Kemudiannya Abu Solah membawa aku ke kawasan dua tiang lama di dalam masjid. Pada dua tiang tersebut tertulis kalimah bahasa arab (aku lupa perkataan tersebut). Abu Solah memberitahu aku bahawa tiang tersebut merupakan tiang asal mihrab di masjid tersebut sebelum ia dibesarkan.

Ini bermaksud kawasan tiang tersebut merupakan tapak asal masjid tersebut. Setelah itu, Abu Solah mengajak aku duduk di tiang tersebut dan menceritakan serba sedikit mengenai kota lama Sana'a dan Yemen. Beliau menceritakan bahawa bandar Sana'a merupakan antara bandar tertua di dunia. Ia dibuka oleh salah seorang anak Nabi Nuh a.s iaitu Sam ibn Nuh.

Kemudian beliau menceritakan tempat-tempat sejarah yang boleh dilawati di Yemen seperi Empangan Maarib, Hadramaut dan beberapa tempat lain lagi. Hampir 35 minit aku bersama Abu Solah di dalam Masjid tersebut dan aku minta beredar dan memberitahunya aku perlu segera ke kawasan lain di Kota Lama Sana'a. Dia memahami keadaan aku untuk lawatan singkat di Sana'a. Aku mengucapkan jutaan terima kasih atas budi baiknya..


Di dalam perjalanan menuju kembali ke Bab Yemen aku mengenangkan kebaikkan budi masyarakat Yemen. Walaupun aku tidak mengenali penuh masyarakat mereka dan mungkin banyak keburukan yang ada tetapi aku telah menemui contoh-contoh sifat terpuji masyarakat mereka. Meraikan tetamu yang datang, berbudi bahasa baik, sanggup lapangkan masanya demi sebuah perkenalan dan ukhuwah Islamiah. Sifat-sifat yang belum tentu banyak ada di Malaysia.

Aku melalui bangunan-bangunan lama di kota Sana'a, tiada kemajuan. Hati aku 'menyukai' keadaan mereka, biarkan mereka begini. Tidak 'rosak budi' dihancurkan oleh kemodenan.

Kekadang aku terfikir, kemodenan banyak menjahanamkan bangsa, merosakkan akidah Islam. Semakin maju, semakin banyak ujian dan cabaran, semakin tidak 'bertamadun' manusia.


8 komen:

loveujordan said...

salam,

Terasa benar apa yang dikatakan 'moden' akan hanya akan membawa kepada lebih banyak keburukan terutama dari segi sosial manusia...

Pernah transit di airport yemen tapi terasa macam 'kuno' sangat negara tu , mungkin kena pergi ziarah negaranya baru boleh dapat gambaran macam yang you katakan...

PrinCeSS said...

kalau dengar crite orang, arab ne ganas, arab nie kuat menipu..arab nie.arab tu..
memangla ade yang betul..tapi selain kebuukan ade jugak kebaikan.
sebenarnye suke sgt dgn budaya arab menghormati tetamu..

guli guling said...

mmg betul sgt ape yg dkatakan loveujordan tu...elok2 landing semacam je tgk epot nye heheheh dalam hati dah tdetik dah ish lawo lagi terminal2 bus kat mesia tu...:) tp bile dah ce cite ni insaf lak rase...sblm2 ni dok pelekeh2 arab cam la kiter ni bagus sgt...nsib baik sedar diri...sesungguh nye bangsa arab tu mulia,hanya mereka yang memahami n mendalami akan mengetahui...

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

To,
loveujordan,

klu fikir balik kemodenan byk buat manusia lupa, lalai. mmg agak 'kuno' keadaan yemen..pd pandangan sy mungkin ini takdir Allah biarkan mereka dalam keadaan ketinggalan, tidak maju. Jika mereka dapat kemajuan, ish.xdpt nk bygkan..mungkin dgn kemunduran mereka Allah menjaga mereka. Mereka Umat yg pada suatu ketika ini akan memenangkan Islam semula..

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

To princess,
tak dinafikan yg bangsa arab ni banyak juga sifat-sifat 'pelik' yg ada pada mereka. Tapi dalam pada tue banyak sifat terpuji yg patut dicontohi oleh org lain. mcm u ckp, mereka amat hormati tetamu. mmg dasat tahap dorang rai, hormat, layan tetamu..xleh lawan la..

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

To Guli Guling..
betul ckp u, mereka jauh ketinggalan dr dunia moden. berhenti lapangan terbang mereka sahaja dah tahu tahap kemajuan mereka..tapi mereka bangsa mulia..bnyk yg patut kita contohi bukan kita dok sebarkan yg buruk sahaja..kat mana-mana pun ada yg buruk dan baik..mana yg baik dijadikan tauladan..yg buruk dijadikan sempadan..hidup arab :p (jadi maghribiyei nampaknye ;p)

nurazzah8 said...

masyaAllah....seronoknya baca n3 hazimin...rasa mcam nak pergi ke tanah arab semula... nak menziarah semua tempat2 bersejarah di sana... itu yg makcik cakap pd anak makcik Asma', dah dapat peluang belajar di sana, gunakan masa cuti utk mengembara dan mengetahui sejarah tempat2 tersebut... kalau dah balik Malaysia ...saja-saja nak jalan ke sana memang payah lah...

hazimin said...

mmg betul kata makcik tue.bila berpeluang berada dinegara org baik manfaatkan sebaiknya. berjalan dengan niat mengembara dan menuntut ilmu juga dikira ibadah..dengan sejarah yg kita ketahui dapat mengenal diri, membentuk diri.