Monday, July 2, 2007

Kisah Ashabul Sabt

Teluk Aqabah. Dahulunya dikenali dengan nama Ailah.

Pada 29 Jun yang lalu aku telah menyertai lawatan ke Aqaba yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ). Rehlah ini diadakan sehari selepas Mesyuarat Agung BKAPJ Kali Ke-8. Tahniah kepada Saudara Mohd Fahmi Ghazali kerana telah dilantik menjadi Yang Dipertua untuk sesi baru 2007/2008.

Rehlah ini telah disertai oleh 39 orang peserta yang majoritinya adalah pelajar-pelajar Perak di Jordan dan bakinya beberapa pelajar dari negeri lain.


Kisah sepanjang trip ke Aqabah
Peserta sudah mulai berkumpul pada jam 6.00 pagi namun bas mula bergerak dari Mu'tah sekitar jam 7.00 pagi. Perjalanan mengambil masa 3 jam 15 minit untuk tiba di Aqaba.

Bas yang dipandu oleh Abu Anas telah melalui Mazar terus ke Muhay dan memasuki Tariq Sahrawi (Jalan Highway) melalui persimpangan Wadi Abyad. Bas telah bergerak ke Al-Hisa, Hashimiah, Ma'an, Ras Naqab, Humayma dan seterusnya ke Aqaba.

Aktiviti yang telah dijalankan pada sebelah siang ialah menaiki Glass Boat di Teluk Aqaba. Empat buah Glass Boat telah disewa dengan bayaran JD40 untuk pakej 30 minit yang membawa peserta ke sekitar karang kecil, kesan kereta kebal dan kapal selam dari perang dunia pertama (1914).

Selepas solat Jumaat, peserta diberikan masa selama 3 jam untuk aktiviti bebas di sekitar bandar Aqaba. Cuaca amatlah panas pada hari tersebut (ramai buat keputusan berehat di McD- aku dan beberapa yang lain buat keputusan berehat disitu juga, bukan disebabkan lapar, tetapi 'rehat' sebab dalam tue ada air-conditioner :)

Pada jam 5.30 petang semua bertolak ke Shati' Shimali (Pantai Utara) yang berdekatan dengan sempadan Saudi Arabia (Border Ad-Durra) sekitar 10km dari kawasan mukhayyam & istirehat. Aktiviti BBQ telah diadakan pada petang hari tersebut. Sebelum matahari terbenam, rata-rata peserta lelaki 'sibuk' bermain bola dan hanya segelintir sahaja yang 'berlelah' memanggang ayam dan ikan.

Selepas makam malam di kawasan pantai Shati' Shimali ke semua peserta bersiap dan bas bergerak pulang ke Mu'tah tepat jam 11.00 malam (seperti yang dijanjikan dengan pemandu bas)..Kami tiba di Mu'tah jam 3.25 pagi 30/6/07. Alhamdulillah rehlah yang dijalankan telah merapatkan ukhuwwah sesama peserta namun masalah ikhtilat antara lelaki dan perempuan masih tidak dapat dikawal.


Sejarah Ringkas Bandar Aqaba
Sebelum dinamakan Al-Aqabah bandar ini telah dikenali dengan nama berbeza dalam zaman yang berbeza. Ketikamana kerajaan Edomiah menguasai bandar ini ia dikenali dengan Eloth atau Elath iaitu nama yang diambil dari sejenis pohon palma.

Era Yunani ia dikenali dengan Berenice. Ketika penguasaan kerajaan Rum Byzantium ia dikenali dengan pelbagai nama. Ketika penghujung zaman kerajaan Byzantium, kawasan ini dikuasai pula oleh Arab Ghassan yang beragama Kristian.

Bishop Yuhanna ibn Ruba'a pada ketika itu membayar Jizyah pada tahun 631 di Tabuk. Tahun 639 Saidina Umar Al-Khattab singgah di Ayla dan Amru Al'as dikatakan berkubu di sini bersama tentera Islam pada tahun 634 masihi. Mulai tahun 734 masihi iaitu ketika zaman pemerintahan kerajaan Islam, bandar ini dikenali dengan nama AYLAH.


Era pemerintahan Islam, Ayla menjadi laluan para haji yang datang dari arah Syam. 1024 masihi, Aylah dirampas oleh Abdullah bin Idris Al-Ja'fari dari kerajaan Fatimiah.

Antara tahun 1072-1073 kawasan ini dilanda gempa bumi dan pada 1116 tentera salib menguasai Aylah. Sallehuddin Al-Ayubi berjaya mengambil kawasan ini pada 1171 masihi dan kemudiannya jatuh ke tangan tentera salib semula dan dirampas kembali oleh pasukan tentera Sallehuddin Al-Ayubi yang diketuai oleh Husamuddin Lu'Lu' pada 1183 masihi.

Kurun ke-16 Aylah lebih masyhur dengan nama Aqabah. Era kerajaan Uthamaniah tempat ini seperti ditinggalkan dan kurang berpenghuni namun ia masih dibawah jajahan Turki Uthmaniah. Keadaan lebih teruk apabila terusan Suez dibina pada 1869 dan landasan Hijjaz siap dibina pada 1908.

Bandar ini kembali semula ke tangan arab dan mula dihidupkan semua pada 6 Julai 1917 apabila gabungan tentera Arab-British mengalahkan pasukan tentera Turki yang dipimpin oleh Raja Faisal anak kepada Sharif Hussein yang memimpin The Great arab Revolt menentang kerajaan Turki Uthmaniah.

Kini Aqabah telah diistiharkan sebagai kawasan bebas cukai pada tahun 2002 di bawah pemerintahan Raja Abdullah II dalam kerajaan The Hashemite Kingdom Of Jordan. Nama Aqabah terus kekal digunakan namun nama Aylah yang digunakan ketika zaman kerajaan Islam kini digunakan di kawasan seberang Teluk Aqaba yang kini menjadi milik Yahudi Laknatullah. Mereka menamakan bandar tersebut dengan nama Eilat.


Kisah Ashabul Sabt berlaku di Aqabah?
Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-A'araf ayat 163 :

Dan Bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar Yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, Yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

Ashabul Sabt adalah dari golongan yahudi yang menetap di sebuah kawasan bernama Ailah yang terletak di Teluk Bahrul Kholzoum atau dikenali dengan Laut Merah (Kini dikenali dengan Eilat di Israel yang terletak berdekatan Aqabah di Jordan.

Allah telah mengharamkan ke atas kaum tersebut untuk tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memperbanyakkan ikan pada hari Sabtu sehinggakan boleh dilihat dengan banyaknya dipermukaan laut.

Pada hari yang dihalalkan menangkap ikan, tidak kelihatan pula ikan-ikan di permukaan Laut. Puak tersebut telah mengingkari perintah Allah dan tetap menangkap ikan pada hari sabtu.

Lantaran itu, puak-puak di Ailah terbahagi kepada tiga golongan: (1) Kelompok yang melanggar perintah Allah dan tetap menangkap ikan (2) Kelompok yang melarang mereka menangkap ikan (3) Kelompok yang hanya berdiam diri.

Golongan ketiga telah berkata kepada golongan kedua sepertimana Firman Allah di dalam Surah Al-a'raf ayat 164.

Kemudian Allah telah menurunkan azab kepada puak yahudi tersebut sepertimana firmanNya di dalam surah Al-a'araf ayat 164 hingga 166.


164. Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum Yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka Dengan azab Yang amat berat?" orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

165. Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa Yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang Yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang Yang zalim Dengan azab seksa Yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

166. Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa Yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera Yang hina".

Semoga kita mengambil iktibar dengan kisah yang telah diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran. Dalam kita melancong, berehlah sentiasa kita beringat tentang kejadian-kejadian menimpa umat terdahulu.

Mereka inkar lalu Allah terus berikan azab dan balasan.. Terlalu beruntung umat Nabi Muhammad S.A.W. Cukup banyak kita diberi peluang untuk bertaubat setelah melakukan kesilapan...

4 komen:

Anonymous said...

tahniah utk semua exco2 baru dalam BKAPJ...smoge pimpinn sesi ni mkin mantap n brwibawa...len kali leh rancang rehlah tempat len lak...ramai komplen panas ni,mybe tak kena time :)
tahniah gak untuk penulis...banyak dapat ilmu baru...upenye aqaba ni mcm2 name n sejarah yang tersimpan dsebaliknye...ramai yang set dalam kpale tempat plancongn n shoping2 trutamanya,langsung tak tau sejarah aqaba hehehe...pd yang nak bshoping kat aqaba,kaji sjarah dulu sblm membeli belah :p

ryosukida said...

glass boat..xseindah nama..dlu mse JJ bkn men lg rncg nk bgambo skn dgn glass boat..dok imagine cm glass boat kat putrajaya tu..aleh2 glassnye seciput je..dhlaa dpenuhi lumut..mbazir je rse tym tu..serik!!

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

To guli guling,
mmg banyak lagi sejarah aqaba sebenarnya. masukkan dalam entry nie 'secebis' sahaja..ramai yg xminat sejarah. bukn xtahu, kkdng bila ada rehlah. orang menyampaikan maklumat mengenai sejarah kdangkala 'bercakap sorang' shj..ada yg dngr cukup syarat je sbb semua kena berkumpul..sdngkan sejarah yg tercatat patut diingat dan di ambil iktibar oleh masyarakat kini.kkdng peristiwa sejarah itu akan berulang semula.. mengetahui sejarah, mengenal diri, membentuk diri

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

to >>faez<<
hehe..mmg pun. glass boat tue je lah yg mampu jordan sediakan..menjadi kebanggaan rakyatnya..bukan kebanggaan kita..hehe. Tambahan disitulah satu-satunya laut yg ada kat jordan..coastline nya hanya 21km sahaja..(Malaysia 4675km :) )so,tempat tuelah yg terbest buat Jordanian bersantai.