Thursday, April 24, 2008

Bermasam Muka Kerana Bolasepak

Aku pun tak tau nak mula dari mana tentang tajuk entry kali ini. Yang pastinya aku ingin mengomen, bercerita sesuatu tentang perkara ini.

Bila berpeluang belajar di Timur Tengah, Pencinta, Penggila, Penyokong, Pentaksud boleh dikira beruntung kerana waktu 'perdana' selepas waktu kelas bermula wisel permulaan satu-satu perlawanan. Tambahan Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara Eropah bermula sekitar waktu berehat-rehat antara jam 8-11 waktu tempatan Jordan. Tidak seperti di Malaysia, kepada peminat Liga Sepanyol dan yang mengikuti Liga Juara-Juara Eropah terpaksa bersengkang mata sampai jam 3 pagi untuk menyaksikan perlawanan secara langsung.

Bulan April dan Mei setiap tahun menjadi kemuncak kepada semua perlawanan Liga di Eropah. Termasuklah Liga paling berprestij di Eropah iaitu Liga Juara-Juara Eropah. 2 bulan inilah semuanya akan berakhir untuk menutup musim perlawanan.

Teringat semasa menjadi pelajar dahulu di Jordan, hidup dalam kelompok yang senang berjumpa menjadikan kaki-kaki peminat bolasepak mudah berkumpul di mana-mana rumah atau di mana-mana kedai yang berdekatan untuk menonton perlawanan secara langsung. Sudah pasti perlawanan-perlawanan antara pasukan yang hebat akan menjadi bualan seawal di Universiti lagi. Ketika berehat di Cafe semua sudah mula buka cerita untuk perlawanan di malam harinya.

Sudah khatam jadual, pemain yang terpaksa berehat atau digantung bahkan yang lebih hebat sudah mengkaji keadaan cuaca ketika perlawanan akan bermula. Semuanya sudah hadam sehebat persediaan mahu masuk ke dewan peperiksaan.

Biarpun esok ada kertas peperiksaan, biarpun ada tesis perlu disiapkan keesokkan harinya, biarpun ada mesyuarat yang menjadi amanah dalam berpersatuan, biarpun belum makan malam, 'perjuangan' menonton perlawanan secara langsung mesti diteruskan.

Inilah penangan hebat bolasepak yang mampu menguatkan peminat, penggilanya memenuhi kehendaknya.

Apa yang 'menarik' untuk aku kongsikan di sini dan pastinya pengalaman ini dilalui oleh peminat fanatik bolasepak di mana jua anda berada.

Pelik tapi benar. Biarla nak fanatik mana, nak taksub manapun menyokong satu-satu pasukan tetapi janganlah membawa sampai permusuhan. Boleh bermasam muka 2-3 hari dengan kawan sebab dah kena penangan ejekkan disebabkan kekalahan pasukan yang di sokong. Yang kawan ni pulak satu hal, macamlah dia yang main dalam perlawanan tersebut sampai naik 'babi' seronok atas kemenangan pasukan yang disokong dan kemenangan mempeleceh kawan yang menyokong pasukan yang telah kalah.

Aku pun heran ada manusia sebegini. Terlalu beria-ia.
Bila bersembang macam dialah yang mengetahui secara total tentang pasukan yang digemarinya. Bila bersembang dialah yang hebat mengetahui seluruh profil para pemain. Bila bersembang dialah yang mengetahui sejarah keseluruhan dari zaman nenek moyang pasukan. Dan bila pasukannya yang dirasakan amat hebat kalah muka mula tidak ceria, tangan bermain SMS konon-konon cover geram sebab pasukannya kalah. Bila kawan lain bergembira sikit atas kemenangan pasukan yang disokong mulalah keluar ayat :

' Ala, Nasib je tue'
' Ala, main sepuluh orang'
' Ala, peluang banyak tapi tak boleh nak buat gol '
' Ala, sebab main home korang, tunggula main home aku'

Aduh! Lemah..
Disebabkan tidak puas hati, pertengkaran kecil boleh menjadi besar dan seterusnya boleh bermasam muka dan tidak bertegur. Pernah ada satu kenangan di Mu'tah, sehingga nak bertumbuk.

Sudah-sudahlah kalau ada berperangai macamtue, nak jadi penyokong fanatik pun jadilah, bagi aku tak salah sebab aku pun penyokong fanatik juga..hehe tapi janganlah sampai berbalah, bermasam muka yang satu sen pun tidak memberi faedah.

Tuesday, April 22, 2008

Lokasi Haabil Di Bunuh?

Kenangan: Bersama Misbah (tengah) merupakan penjaga Makam Wali Arbain dan
Khaldun- rakyat Syria yang membantu untuk ke lokasi makam


Aqdam Balad Fil Alam- Begitulah jolokan yang diberikan untuk bandar Dimasyq atau dalam bahasa melayu bermaksud Bandar Tertua Di Dunia. Dimasyq juga disebut Damsyiq oleh lidah melayu dan Damascus oleh kamus barat.

Selepas pertemuan Nabi Adam a.s dan Hawa di bumi, mereka telah berhijrah ke Dimasyq dan Hawa melahirkan Qaabil dan Haabil di tanah amat subur Dimasyq. Terdapat sebuah kawasan di Reef Dimasyq bernama Bayt Na'im yang pernah dikaitkan sebagai kawasan yang pernah diduduki oleh Hawa.

Ada pendapat mengatakan bahawa Damsyiq mendapat nama dari perkataan DAM SYAQIQ yang membawa maksud Darah Saudara Kandung.

Di bandar tua inilah mashyur kisah pembunuhan pertama di muka bumi yang disebut di dalam ayat Al-Quran Surah Al-Maidah mulai ayat 27 hingga 32.
Kisah Haabil dibunuh oleh saudara kandungnya Qaabil (2 orang anak Nabi Adam a.s) diceritakan oleh Allah S.W.T di dalam Surah Al-Maidah ayat 27.

Di mana pembunuhan itu berlaku?
Kejadian tersebut telah berlaku di sebuah bukit yang dikenali dengan nama Jabal Qassiyun di Dimasyq, Syria. Sehingga kini tiada pandangan lain menyatakan lokasi pembunuhan tersebut selain di salah satu kawasan di Jabal Qassiyun.

Kawasan pembunuhan tersebut meninggalkan kesan pada sebuah gua yang membentuk sebuah mulut ternganga terkejut dengan pembunuhan tersebut. Dikhabarkan juga dari penjaga kawasan tersebut bahawa kesan tapak tangan yang terdapat di kawasan atas gua merupakan tangan malaikat yang menyerupai manusia menahan batu daripada menghempap kedua-dua anak Nabi Adam a.s.

Gua yang terdapat di Jabal Qassiyun membentuk mulut yang ternganga
terkejut dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Qaabil terhadap saudaranya
Haabil


Mihrab yang terdapat bersebelahan gua. Ada pendapat mengatakan tempat
Nabi Khidir a.s pernah berada dan terdapat sebuah lagi Mihrab di sebelah kanan
yang dikatakan Nabi Ibrahim a.s pernah berada.

Kawasan tersebut kini lebih dikenali dengan nama Maqam Wali Arbain. Wali Abdal Shaam yang disebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W dikatakan dengan berada di kawasan gua tersebut dan meninggalkan kawasan tersebut dengan karamah mereka melalui dua buah lubang yang terdapat bersebelahan bentuk mulut di dalam gua.

Kawasan pembunuhan turut diziarahi oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Khidir a.s. Terdapat kesan dua buah mihrab bersebelahan gua.

Kawasan gua tersebut telah dipelihara dengan baik oleh kerajaan Syria. Sebuah bilik telah dibina untuk menutup kawasan gua. Terdapat juga sebuah bilik bersebelahan bilik gua dalam keadaan 2 tingkat. Di tingkat kedua terdapat 40 buah mihrab menandakan 40 orang wali pernah berada di kawasan tersebut. Ditingkat bawah terdapat 2 buah makam yang sering di salah anggap oleh para pengunjung.

Makam tersebut bukanlah makam wali 40 tetapi ia adalah makam 2 orang penjaga lokasi tersebut yang berkorban menjaga kawasan gua dan makam kemudian meninggal dunia di kawasan tersebut.

Pada tahun 2005, kerajaan Syria telah mengambil inisiatif membina anak-anak tangga untuk tiba di kawasan makam dan gua. Memandangkan kedudukan lokasi tersebut agak tinggi dan sebelum adanya anak-anak tangga, pengunjung terpaksa melalui lereng-lereng gunung yang agak curam dan membahayakan.

Kini anak-anak tangga dari kawasan perumahan boleh membawa pengunjung terus ke Makam Wali Arbain dan Gua di mana pembunuhan Haabil oleh Qaabil telah berlaku.

Haabil telah disemadikan di Gunung Kalamoun sebuah kawasan di Reef Dimashq dan Qaabil dikatakan wafat di Yaman.

Anak-anak tangga yang kini telah siap sepenuhnya untuk sampai di kawasan Makam Wali Arbain
dan Gua tempat Haabil di bunuh


Masjid, Makam dan Gua yang terdapat di Jabal Qassiyun

40 Mihrab yang terdapat di kawasan tersebut

2 buah Makam yang terdapat dilokasi tersebut bukanlah Makam 2 orang wali
dari 40 wali tetapi 2 orang yang pernah menjadi penjaga di kawasan tersebut


Sunday, April 20, 2008

Kursus Perkahwinan

Alhamdulillah selesai beberapa perkara untuk 2-3 hari ini dan dapat mengadap laptop untuk menulis. Malam Sabtu yang lalu aku menyertai satu program yang bernama E-Networking Satu Kerjaya yang hebat di Sungai Dua, Pulau Pinang. Malam itu Dr. Ahmad pencetus revolusi baru dunia networking dari Uptrend telah menyampaikan ucapan beliau di hadapan 2000 yang hadir.

Semalam dan hari ini aku mengikuti Kursus Pra Perkahwinan di Dewan Serbaguna Pejabat Agama Daerah Parit Buntar. Penganjur program adalah dari Persatuan Penguatkuasa Agama Perak (PEKAP). Hampir 30 syarikat dan penganjur terdapat di negeri Perak yang menganjurkan Kursus Perkahwinan di bawah Modul yang disediakan oleh JAKIM. Aku mendaftar kursus di PAD Parit Buntar dan PEKAP yang mengendalikannya.

Alhamdulillah semuanya selesai dan pagi tadi aku berjumpa Ust Sufian Abd Latif salah seorang tenaga penyampai kursus. Ust Sufian bekas penuntut Universiti Yarmuk, Jordan. Dengan bantuan dan urusan beliau aku melanjutkan pengajian di Jordan pada tahun 2000. Kini beliau menjawat jawatan Penolong Penguatkuasa di Pejabat Agama Negeri Perak.

Minggu ini banyak perkara yang perlu diselesaikan untuk majlis perkahwinan dan urusan dengan pelanggan untuk lawatan ke Timur Tengah. Majlis perkahwinan genap lagi 2 bulan, aku pula perlu kembali ke Jordan untuk beberapa kerja.

InsyaAllah dengan kesempatan masa yang ada. Aku akan terus menulis jurnal tentang sejarah dan lokasi sejarah Timur Tengah di sini. Untuk kepuasan diri dan dikongsi bersama oleh semua pembaca.

Friday, April 18, 2008

Ya Allah. Permudahkanlah Urusanku.

Mungkin disebabkan anak sulung dan tiada lagi adik beradik yang kahwin membuatkan aku kekadang 'pening' dengan bajet kewangan untuk persediaan perkahwinan. Tidak sangka congakkan aku sebelum ini meleset sama sekali. Banyak perkara-perkara yang tiada dalam bajet rupanya perlu aku sediakan. Mungkin juga kesalahan aku tidak bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman terlebih dahulu.

Tambahan dengan keadaan semua barang naik di Malaysia. Hidup di Malaysia aku rasa lebih mahal berbanding di Jordan walaupun di sana turut menerima kenaikkan harga barang yang tinggi.

Memikirkan soal kewangan untuk majlis perkahwinan memang membebankan. Tetapi ia tidaklah menyusahkan. Sememangnya kesemua itu perlu disediakan. Walaupun perancangan bukanlah untuk majlis yang besar atau untuk persiapan yang 'hebat-hebat' tetapi ia tetap menjumlahkan belanjawan yang agak besar.

Bila aku termenung memikirkan semua ini, teringat aku tentang arab-arab di Jordan. Pernah aku bertanya kepada kawan-kawan arab di sana kenapa mereka berkahwin di usia yang lewat. Mereka menjawab, untuk berkahwin sekurang-kurangnya JOD 10,000 ke atas mesti ada (RM50,000). Nak kumpul sebanyak itu bagi mereka yang datang dari keluarga biasa sudah pasti memakan masa yang lama.

Lantaran dari itu, banyaklah komen dari pelajar-pelajar melayu kita mengatakan yang pihak perempuan tidak sepatutnya meletak harga sedemikian. Ada yang kata zalim meletak harga tersebut. Kebanyakkan 'menghukum' arab yang lewat berkahwin dengan kemampuan kewangan mereka.

Sekarang, bila situasi tersebut sedang aku alami, sememangnya persiapan kewangan pengantin di Jordan lebih kurang sama dengan belanjawan perkahwinan di Malaysia sekarang. Maksudnya jumlah yang perlu pihak lelaki sediakan untuk kedua-dua belah pihak. Tambahan dari mereka yang datang dari keluarga biasa, perlu difikirkan kenduri di sebelah lelaki juga selain wajib menguruskan perkara-perkara di sebelah perempuan.

Memang banyak perlu disediakan. Ia bukanlah satu keluhan di hati aku tetapi mengenangkan perkara-perkara yang sepatutnya aku perlu ambil tahu dari awal. Perlu aku sediakan lebih awal.

Apapun ia adalah pengorbanan yang padanya akan menghadirkan kebahagiaan. Biar susah bagaimanapun ia mesti ditempuhi. Demi kasih yang satu, tiada yang lain.

Setiap kesusakan pasti ada jalan penyelesaian.
Berusaha, Berdoa, Bertawakkal.
Ya Allah. Permudahkanlah Urusanku.

Tuesday, April 15, 2008

Stadium Perak Bergegar

Stadium Ipoh kini menjadi medan saluran informasi dan pertemuan pemimpin bersama rakyat

Aku bersama 2 orang rakan dari Bagan Serai bertolak seawal jam 6.30 petang menuju ke Ipoh. Perhimpunan rakyat bersama pimpinan Pakatan Rakyat di Stadium Ipoh dijangkakan memberi kesesakan lalu lintas di lebuhraya menuju ke Ipoh.

Kami tiba di R&R Sungai Perak tepat jam 7.30 malam untuk solat Maghrib. Kawasan rehat tersebut telah sesak dengan manusia ditambah dengan keadaan hujan yang agak lebat. Kami meneruskan perjalanan ke Ipoh dan tiba di Simee tepat jam 8.25 malam. Suasana di sekitar stadium pada ketika itu sudah sesak dan kami terpaksa parking kereta di kawasan Taman Westpool hanya 500m dari stadium.

Kali pertama dalam catatan sejarah negeri Perak, perhimpunan rakyat bersama pemimpin Pakatan Rakyat dari 5 negeri telah diadakan di Stadium Perak. Kini ia bukan sekadar gelanggang perlawanan bolasepak tetapi telah berubah menjadi medan rakyat menerima maklumat dari para pemimpin. Hendak diharapkan televisyen dan radio sebagai saluran maklumat kepada rakyat ianya masih tidak telus dan berat sebelah.

Melalui maklumat yang diterima dari sahabat Unit Amal, stadium sudah mula dipenuhi sejak selepas solat Maghrib. Aku memasuki padang stadium agak lewat dan separuh padang sudah dipenuhi oleh lautan manusia. Kerusi-kerusi stadium tidak dipenuhi lantaran tetamu yang hadir lebih selesa duduk di padang. Namun boleh dikatakan 1/4 kerusi di dalam stadium mula dipenuhi manusia setelah majlis bermula.

Saudara Misbahul Munir selaku Ketua Penerangan PAS Perak merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar telah memulakan majlis pada jam 9.10 malam setelah tetamu-tetamu kehormat tiba dan berada di pentas utama.

Semalam Stadium Perak yang mampu memuatkan 42,500 orang telah ditawan hampir 50,000 tetamu yang mahu mendapatkan maklumat dari para pemimpin dan sudah pasti ia satu sokongan yang amat padu kepada kepimpinan pakatan rakyat.

Jadual yang disusun pada awalnya bakal menyaksikan 5 Menteri Besar dari negeri Pakatan Rakyat berpidato di Stadium Perak. Namun disebabkan beberapa jadual kerja yang bertembung, 3 daripada mereka hanya menghantar wakil.

Majlis dimulakan dengan penceramah pertama iaitu Dato Hassan Ali selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor mewakili MB Selangor kemudian diikuti dengan wakil Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Nga Kor Ming yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak. Ustaz Azizan selaku Menteri Besar Kedah telah menyampaikan ceramah beliau selepas itu dan disusuli pidato 'berapi' dari Menteri Besar Negeri Perak iaitu Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin. Sebelum perhimpunan berakhir, majlis disempurnakan dengan ceramah dari wakil Tuan Guru Nik Aziz iaitu Saudara Husam Musa selaku Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan.

Dr. Hassan Ali mengecam UMNO memainkan Isu Penternakan Babi di Selangor

Menteri Besar Perak Ir. Mohammad Nizar menyampaikan ceramah beliau antaranya menyatakan
keajaiban yang telah berlaku di negeri Perak yang berjaya membentuk kerajaan Campuran.


Antara perkara yang telah disampaikan oleh para pemimpin ialah:

Fail-fail kerajaan BN yang telah diambil oleh pihak mereka kerana takut dokumen-dokumen tersebut bakal mengadili korupsi mereka, Isu Penternakan Babi di Selangor yang dimainkan oleh UMNO untuk burukkan pimpinan PAS sedangkan projek tersebut adalah projek SU Sulit Khit Toyo sendiri, Pelabur-pelabur telah berminat melabur di negeri di bawah Pemerintahan PR- MB Perak menyatakan bahawa terdapat 3 kumpulan pelabur dari USA, Eropah dan Timur Tengah telah berminat untuk berlabur di Perak, Isu Ketua Kampung yang mereka sendiri meletakkan jawatan bukan disebabkan arahan dari kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Selain dari isu-isu semasa, semua pemimpin mengharapkan terus sokongan dari rakyat demi melihat kejayaan pemerintahan di negeri-negeri yang telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat

Laungan Takbir, Reformasi dan Makhar Sakhti bergema di Stadium Perak menandakan sokongan padu kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.

Majlis berakhir pada jam 11.45 malam.

Sunday, April 13, 2008

Dataran Luas Itu

Aku mengenangi ketenangan dataran Hasma ketika meredahnya ke Qasr Tuba..
Aku mengenangi 'kesedapan' susu masam diperam di dalam kulit kambing ketika bersama badwi di dataran Balu'..
Aku mengenangi displin biri-biri pulang ke kandang di dataran Dhiban..
Aku mengenangi kenangan ke Ruweisyed membelah dataran padang pasir berbatu..
Aku mengenangi kembara ke Khirbet Al-Umbeshi bersama penganut Druze di dataran padang pasir Harrah di Jabal Arab..
Aku mengenangi 'operasi' menjejaki Qasr Ushaikem di padang pasir Azraq..
Aku mengenangi kepenatan berjalan kaki di Badiyat Sham

Aku mengenangi, merindui semuanya..

Thursday, April 10, 2008

Kepala Kambing Oh Kepala Kambing

Hidangan Kepala Kambing dan Sup bersama Nasi & menu lain di Restoran Kaherah,
Downtown Amman, Jordan


Belum habis saya merindui makanan-makanan arab.

Lantaran, entry seterusnya ingin saya berkongsi dengan para pembaca juga berkenaan makanan di negara arab. Makanan 'istimewa' yang rasanya memang payah nak jumpa di Malaysia.

Makanan yang saya maksudkan ialah makanan berasaskan Kepala Kambing. Bila disebut kepala kambing sudah tentulah ia merangkumi isi di pipi, lidah, telinga, mata dan seluruh kulitnya. Dengar pun mungkin sudah ramai yang meloya terutamanya kaum Hawa. Tetapi pada sesiapa yang menggemarinya, sudah tentu khayal membayangkan kelazatannya. Bagi yang belum mencuba, adakah anda mampu menjamahnya?

Sepanjang pengalaman di Jordan, mula-mula merasai kepala Kambing yang dimasak sup sudah pastinya di Restoran Kaherah, Balad Amman. Sebut sahaja restoran ini rasanya semua yang pernah belajar/berada di Jordan mengenalinya sejak zaman berzaman. Mana tidaknya, setiap kali ada generasi baru datang, sudah pasti restoran ini di 'war-warkan' oleh senior. 'Sanadnya' tidak putus.

Restoran Kaherah di Downtown Amman menjadi tumpuan kepada yang minat makan kepala kambing dan supnya. Ditambah pelbagai menu nasi dan hidangan lain, ianya cukup memberi kepuasan kepada pelanggan.

Selain di Restoran Kaherah, Restoran Anwar Quds bersebelah Souq Khadr Balad turut menjadi tumpuan. Bahkan bagi aku ianya lebih baik dari Restoran Kaherah.

Kepala Kambing yang dijual di Balad Irbid (sebuah negeri di utara Jordan) tidak kurang 'hebatnya'.

Antara makanan yang berasaskan kepala kambing yang boleh dinikmati di Jordan ialah sup kepala kambing dan sandwich kepala kambing. Bagi aku, sandwich kepala kambing yang paling sedap di Balad Amman ialah di Cafe Hanini berdekatan Souq Khadr Balad. Untuk menikmati sup kepala kambing dan nasi sudah pasti Restoran Kaherah dan Quds yang terbaik.

Jika mereka yang menggilai otak, hati, telur kambing, limpa dan kepala kambing yang direbus atau dibakar dan dimakan bersama roti, terdapat sebuah restoran khas yang menjual makanan tersebut sahaja iaitu yang terbaik bagi aku di Restoran Abu Musa di Shariq Sagaf Sil berhampiran bulatan perhentian bas ke Marj Hammam juga di Balad Amman.

Masyarakat Badwi di Jordan turut menyediakan Mansaf yang dimasak bersama kepala kambing.
Keenakkan Mansaf sudah tidak dapat dinafikan lagi oleh para penggemarnya. :)



Sandwich Kepala Kambing dijual di tepi-tepi jalan
di negara Syria. Kepala Kambing telah direbus atau dipanggang dan dileraikan isinya.


Itu kisah di Jordan. Jika di negara Syria, restoran kepala kambing yang terkenal dan aku ketahui ialah di Midan Jazmatiah berhampiran Bab Musolla. Aku pernah menikmati sup kepala kambing di situ namun penyediaannya berbeza dari restoran di Amman, Jordan. Jika di Amman, Jordan, mereka memasak kepala kambing tersebut sekali dengan tulangnya dan dihidangkan bersama tulang kepala tersebut. Di Syria mereka menyediakannya dengan semangkuk sup bersama sepinggan isi-isi kepala kambing termasuk lidah kambing yang telah dileraikan dari tulang.

Begitu juga dengan keadaan sup kepala kambing yang pernah aku nikmati di Antakya, Turki. Isinya telah dileraikan dari kepala dan penyediaan supnya agak berbeza kerana ia dicampur dengan beberapa rempah yang 'pelik' rasanya.

Berbalik ke negara Syria, terdapat penjual yang menjual sandwich kepala kambing di tepi-tepi jalan di sekitar bandar Dimashq. Paling banyak di kawasan kota lama Dimashq dan beberapa di kawasan Marjeh dan kawasan-kawasan lain. Sandwich boleh diminta mengikut size kecil atau besar. Isinya ialah daging-daging yang terdapat di kepala kambing di campur bersama buah tomato, salad dan air lemon.

Paling enak dan meliurkan ialah kepala kambing yang di masak bersama Nasi Mandi Yaman. Kawasan yang menjadi tumpuan Nasi Mandi di negara Syria ialah di kawasan bernama Masakin Barzah. Menikmati Nasi Mandi Yaman dengan kepala kambing di kawasan tersebut menjadi salah satu aktiviti aku bila berkunjung ke negara Syria.

Nasi Mandi Yaman dimasak dengan menggunakan bara api yang kuat.
Periuk Nasi di letak di dalam tanah dengan di bawah periuknya adalah bara api yang kuat
Kemudian lubangnya ditutup. Daging akan digantung pada besi di permukaan lubang sebelum ditutup keseluruhannya. Oleh yang demikian, Nasi Mandi akan menghadirkan aroma asap dan rempah yang amat lazat. Tambahan apabila disajikan bersama daging dan kepala kambing :)

Inilah salah satu resepi dan hidangan yang sukar kita jumpai di Malaysia dan sudah tentu banyak dikalangan rakyat Malaysia tidak menggemarinya. Bagi yang meminati, sudah pasti akan menyatakan kesedapan walaupun orang lain nampak ianya menjijikkan.

Kesukaran untuk mendapatkan kepala kambing mungkin antara sebab makanan berasaskannya tidak popular di Malaysia. Berbeza dengan di tanah arab. Seekor kambing pun boleh dihabiskan oleh 4-5 orang arab. Daging kambing menjadi hidangan utama di tanah arab berbanding ayam, ikan atau daging lembu. Oleh yang demikian, kepala kambing sentiasa ada stoknya.

Tuesday, April 8, 2008

'Keenakan' Bawang

Rindu pada makanan arab.
Roti enak di makan bersama Ful, Falafil, Telur Goreng.
Tidak terkecuali timun, tomato dan bawang disediakan.


'Banyaknya hang makan bawang' Mak menegur aku kerana perasan aku kuat 'meratah' bawang. Hampir 2 biji bawang besar aku potong untuk di makan bersama satay.

Bila ditegur aku hanya tersengih. Dulu tidaklah seperti ini dasyatnya aku memakan bawang. Mungkin inilah salah satu kesan bila lama hidup di tanah arab. Kebiasaan dan kesukaan mereka sudah 'melekat' pada diri aku.

Begitulah kebiasaan dan kesukaan arab. Mereka kuat makan bawang. Jika di masak di dalam sebarang masakan ia adalah kebiasaan untuk menyedapkan masakan. Yang saya maksudkan di sini ialah memakan bawang secara mentah.

Ketika mula tiba di Jordan pada tahun 2000, memang berasa satu perkara yang pelik bila tengok arab makan bawang mentah disertakan bersama mukhalal atau pickle (sayuran yang dijerukkan dengan cuka dan garam) yang dimakan bersama roti. Bila sudah lama hidup bersama mereka, ia menjadi kebiasaan pula kepada aku.

Mukhalal
'Pakej' yang biasa ada di dalam hidangan makanan arab


Kebiasaanya arab akan memakan roti bersama humus, ful atau mutabbal dengan hirisan mukhalal dan bawang besar. Jika makanan yang dipanggang seperti Dajaj Mashwi (Ayam Panggang), Syugof (Daging Panggang), Kebab bawang akan dipanggang bersama yang pastinya menaikkan aroma yang menyedapkan kepada penggemar bawang.

Arab-arab dikampung pula gemar memakan roti bersama minyak zaitun. Minyak zaitun pula ialah minyak zaitun yang dicampur bersama bawang. Pernah Hamdan Shamasein seorang kenalan di Umm Ghazlan menceritakan arab-arab dikampung gemar memeram bawang besar, bawang putih yang telah dihiris dan buah zaitun di dalam minyak zaitun kemudian ditambahkan sedikit garam. Mereka akan memakan roti dengan minyak dan bawang-bawang tersebut. Lebih sedap dengan roti tannur yang sedang panas.

Terliur saya mengenangkannya.
Jika di restoran, kepada arab-arab yang terlalu gemar pada bawang sudah pasti 'membuat bising' terlebih dahulu jika hidangan yang mereka minta tidak disertakan bersama dengan bawang mentah. Sebelum kenaikkan harga barang yang teruk di Jordan, harga bawang masih stabil. Namun setelah berlaku kenaikkan harga yang melampau, harga bawang pun semakin naik dan ada sesetengah restoran tidak menyediakan bawang bersama mukhalal yang kebiasaanya akan disediakan.

Di Malaysia, amalan begitu bukanlah perkara yang biasa. Ia luarbiasa. Dengan keadaan cuaca di Malaysia kepada yang kuat bawang sudah pasti memberi bau badan yang kurang menyenangkan. Jika di negara arab pun memang busuk gila bau badan arab dengan bawang terutama di musim panas tambahan di Malaysia yang mudah berpeluh.

Terkenang kisah di Bayt Dimashq sewaktu menuntut di Mu'tah. Kami ahli rumah seramai 10 orang rata-ratanya kuat makan bawang terutama seorang sahabat saya dari negeri Timur Malaysia. Kami akan membeli bawang dengan jumlah yang banyak iaitu seguni kecil yang beratnya mencecah 10-15 kilo. Beli cari tersebut memang menjimatkan. Kuantiti sebanyak itu kami boleh habiskan tidak sampai sebulan.

Ada satu kisah aku dan kawan serumah di kedai sayuran membeli bawang. Setelah membeli bawang seguni kami terserempak dengan seorang duktur (pensyarah) kuliah Syariah di tengah pekan Mu'tah. Ia menunjukkan reaksi muka terkejut dan tersenyum sambil bertanya:

'Orang Malaysia makan bawang banyak?'

Kami hanya tersengih dan faham akan maksud pensyarah itu berseloroh. Ia sebenarnya turut mengetahui yang orang Malaysia ini tidaklah gemar sangat pada bawang. Tambahan dengan melihat kami bertiga dengan seguni bawang.

Fikir-fikir balik dah nak buat camana, dah hidup bersama bangsa arab bertahun-tahun. Banyaklah kebiasaan dan adat menjadi kebiasaan pula dalam kehidupan seharian sehinggalah dah kembali ke Malaysia.

Kesan Arkeologi di Ar-Rabbah

Antara penemuan di Ar-Rabbah.
Kesan Salib membuktikan agama Kristian pernah dianuti oleh penduduk Aeropolis (Ar-Rabbah)
Namun kerajaan Islam telah berjaya menguasai kawasan tersebut sejak kurun ke-7


Ar-Rabbah merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak lebih kurang 20km dari pusat bandar Karak. Sepanjang berada di bumi Jordan saya berpeluang beberapa kali menjejaki kota bersejarah tersebut walaupun bagi penduduk tempatan di situ mungkin tiada nilai istimewa padanya lantaran kawasan tersebut hanya terbiar tanpa betul-betul di jaga.

Ar-Rabbah dikenali dengan Rabbat-Moba atau Aeropolis ketika zaman kuno Yunan dan Rum. Seluruh kawasan Ar-Rabbah pada ketika ini termasuk di tapak rumah-rumah moden merupakan sebuah kota yang luas. Namun faktor pemodenan menyebabkan banyak kesan telah dihancurkan.

Kesan binaan yang masih kekal baik dan merupakan pusat kota Aeropolis pada ketika itu terdapat di tengah-tengah pekan kecil tersebut. Sekiranya perjalanan ke Ar-Rabbah dengan menaiki coaster dari Karak, ia dapat dilihat di sebelah kiri dari arah Karak.

Kesan binaan yang terdapat di situ menjadi salah satu binaan yang penting buat penganut agama Kristian. Ini adalah kerana gereja-geraja utama di Tebing Timur yang digambarkan pada sebuah Mozek di gereja St. Stephen Umm Rasas terdapat di Ar-Rabbah.

Kota ini jelas dibina ketika era Rum kerana dibuktikan dengan Kuil Rum yang masih kekal ada. Bukti gereja lama dan beberapa ukiran salib pada batuan yang terdapat di dalam kawasan kota membuktikan kerajaan Byzantium pernah mencapai kegemilangannya di Ar-Rabbah.

Namun, di dalam zaman kegemilangan Islam, kota ini telah ditawan dan tanah di kawasan tersebut menjadi milik kerajaan Islam. Ini dibuktikan dengan penemuan tembikar-tembikar dari era Islam yang rata-rata bercorak dari zaman kerajaan Mamluke. Kesan tembikar-tembikar yang telah hancur turut dapat ditemui sehingga hari ini di kawasan kota. Wang syiling dari zaman kerajaan Islam yang ditemui di Ar-Rabbah menjadi bukti yang lebih kukuh Islam pernah menguasai kawasan tersebut.

Kota ini hancur sebahagiannya pada gempa bumi tahun 1293 masihi dan kebanyakkan artifak-artifak yang terdapat di kawasan kota telah ditempatkan di Muzium Karak.

Kesan-kesan kota di Ar-Rabbah yang masih kekal.
Gambar paling bawah ialah Kuil Rum


Saturday, April 5, 2008

# 100 Kuasa Blogger

Sabtu 5 April 2008 masuk entry ke-100 di blog ini. Dalam usia yang hampir sampai setahun alhamdulillah ia masih wujud untuk aku terus menulis sesuatu di sini.

Ketika mula menulis pada 19 Mei, matlamat yang jelas pada ketika aku mula menulis di sini ialah ingin berkongsi pengalaman pengembaraan aku sepanjang berada di Timur Tengah serta menyelitkan kisah-kisah sejarah lokasi yang pernah di diami oleh para Rasul & Nabi serta sahabat dan kota-kota sejarah yang kekal wujud hingga ke hari ini.

Dalam masa yang sama aku mengambil peluang untuk mengiklankan pakej-pakej yang dianjurkan oleh syarikat aku untuk siri-siri lawatan di Timur Tengah. Tidak kurang juga aku menulis diari yang bila dibaca semula amatlah membosankan.

Pernah juga aku terfikir untuk menulis sesuatu yang lebih 'berat'. Aku seorang yang berminat menjadi pengkritik politik ditambah lagi dengan sikap kritis dan 'baran' yang aku punyai. Sifat tersebut pernah ditegur oleh seorang sahabat yang turut meminta aku menulis sesuatu suasana semasa Malaysia. Tidak kira apa juga isu yang ada terutamanya dalam bidang politik.

Namun, aku masih belum berhajat untuk mempunyai blog seperti itu. Cukup untuk waktu ini aku menulis sesuatu tentang memori aku sepanjang berada di Timur Tengah dan lokasi-lokasi sejarah yang boleh dikunjungi di sana. Mungkin ada manfaatnya untuk rakan-rakan yang ingin mengembara di sana.

Jadi, biarlah ia kekal dengan nama Penghuni Sahara walaupun aku sudah berada di Malaysia. Biar ruh kehidupan di sana dan nipis pasir yang pernah hinggap di muka masih aku rasa.

Kuasa blogger yang kini ditakuti
Sesahihnya kuasa blogger kini menjadi satu aura yang sangat kuat. Contoh mudah kejatuhan kerajaan BN yang amat teruk dalam sejarahnya turut disebabkan kuasa blog yang menguasai pada ketika ini. Pada hari ini, saban hari pemimpin UMNO mula menyebut akan kuasa istimewa ini. Mereka menyalahkan bloggers yang menjadi sebab kepada kejatuhan mereka.

Inilah sumber maklumat yang jelas mempengaruhi minda pembaca. Sebelum ini Media Massa bercetak dan eletronik yang berada di Malaysia tidak mampu mencetus satu perubahan dan pembaharuan lantaran media-media ini dikuasai dan dimonopoli oleh kerajaan BN. Demikian, semua maklumat mengenai pembangkang hanya perkara buruk dan membusukkan.

Ternyata selepas tahun 2005, dunia blogger semakin terbuka dan ramai penyertaannya. Walaupun ia telah wujud lebih lama sebelum itu, tetapi sejak 4 tahun ini, ianya semakin rancak dan terus bercambah bilangan yang menyertainya.

Walaupun ramai di antara bloggers menulis diari kehidupan mereka seharian namun di sana kadangkala banyak pengalaman hidup boleh dikongsi bersama dengan para pembaca. Banyak pengetahuan dapat diperolehi dan pengajaran dapat diambil dari kisah dan ragam hidup manusia.

Bagi mereka yang menulis untuk menaikkan semangat perubahan, syabas diucapkan.

Jika ada peluang dan ruang, aku ingin menulis sesuatu yang lebih 'berat' yang sudah terjana di minda. Hanya menunggu masa jika aku mahu.

Friday, April 4, 2008

Trip Eropah Timur Batal

Pada 27 Mac yang lalu, saya telah mengiklankan Trip Kembara Eropah Timur di dalam blog ini. Sepanjang seminggu di iklankan, sambutan amat menggalakkan dan 16 orang peserta telah mendaftar untuk mengikut trip tersebut.

Namun di atas beberapa sebab, trip tersebut terpaksa dibatalkan. Sebab utama ialah 'rungutan' dari ramai pelajar tentang kos yang dikatakan agak tinggi untuk trip tersebut. Sesahihnya harga tersebut bukanlah sesuatu yang tinggi dari apa yang peserta akan dapat. Namun pihak penganjur faham akan situasi pelajar yang tidak mempunyai bajet yang banyak lantaran ingin digunakan lagi untuk urusan sepanjang pengajian.

Faktor lain adalah tarikh penganjuran. Trip ke Eropah Timur berakhir pada 25 Jun 2008 dan kesemua pelajar di Jordan akan memulakan sesi pengajian musim panas pada 22 Jun 2008. Trip eropah terpaksa dijadualkan bermula pada 13 Jun 2008 memandangkan tarikh bas dan keretapi dari Bulgaria dan Romania telah diatur mengikut tentatif yang disediakan oleh penganjur.

Di sebabkan faktor di atas dan beberapa faktor lain termasuk beberapa masalah perhubungan, pihak penganjur telah merancang semula satu trip yang di namakan Amazing Turkey. Trip ini bakal dianjurkan pada 7 Jun 2008 dan tamat pada 16 Jun 2008 dengan harga JOD 425.

Klik untuk paparan 634 x 900 pixels

Kepada mereka yang berminat. Pendaftaran masih dibuka sehingga 20 Mei 2008.

Kepada para peserta yang telah mendaftar untuk Kembara Eropah Timur boleh menghubungi pihak penganjur semula sama ada ingin mengikuti trip Amazing Turkey menggantikan Kembara Eropah Timur atau ingin membatalkan terus penyertaan.

Trip menarik ini hanya memerlukan penyertaan seramai 30 orang peserta. Hubungi kami untuk pendaftaran sementara masih ada kekosongan tempat.

Wednesday, April 2, 2008

Maqloubah, Sinniyah & Kabsah

Malam ini cuaca agak sejuk kerana boleh dikatakan sekarang musim hujan di Malaysia. Malam ini aku berjaga hingga ke pagi untuk menyaksikan perlawanan bolasepak Fernabahce bertemu Chelsea di peringkat Suku Akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Sambil menunggu jam 2.45 pagi waktu Malaysia aku membuka kembali folder gambar-gambar kenangan sepanjang 2 minggu sebelum aku terbang kembali ke Malaysia hampir sebulan yang lalu. Kebetulan dalam waktu yang sama Hafizuddin, Mahadi, Habidin turut pulang ke Malaysia pada tarikh yang sama dan 2-3 minggu sebelumnya banyaklah jemputan diterima di rumah-rumah sahabat dan kenalan arab di sekitar Mu'tah.

Bangsa arab memang sudah dikenali sejak zaman jahilihiyah bahawa mereka amat menghormati tetamu. Jika ada tetamu yang datang menziarahi mereka, mereka akan layan dengan baik sampai tetamu pun kadangkala rasa tidak selesa dengan sikap mereka. Rasa serba salah..

Ziarah ke rumah kenalan arab sebelum balik ke Malaysia pada 5 Mac 2008.

Rumah Abu Khalid di Ja'fariyah [17 Februari 2008 ]

Abu Khalid bersama tiga dari enam orang anaknya

Ahli Bayt Dimashq menerima jemputan dari Abu Khalid untuk ke rumahnya buat sekian kali. Sebelum hari tersebut telah beberapa kali Abu Khalid menjemput ke rumahnya untuk makan tengahari dan merapatkan lagi ukhuwwah yang sedia terjalin.

Abu Khalid seorang yang sangat baik hati dan mudah berurusan. Kami (Ahli Bayt Dimashq) sentiasa menyewa van beliau untuk ke Amman jika ada urusan dan keperluan.

Bergambar kenangan bersama Abu Khalid (2 dari kanan) berhadapan rumahnya di Ja'fariyyah
Abu Khalid yang kami kenali adalah seorang yang zuhud dan sangat baik hati.




Di rumah Abu Khalid kami menikmati Nasi Maqlubah. Maqlubah antara nasi yang terkenal di negara arab
(terutama di negara dataran Syam). Nasi dimasak bersama kentang, bunga kobis, terung (yang digoreng terlebih dahulu) dengan menggunakan baharat atau rempah khas yang dinamakan baharat maqlubah.

Nasi dalam talam di atas telah 'dikerjakan' oleh 4 orang sahaja.
Terpaksa disumbat-sumbat demi menjaga hati tuan rumah. Patutke?


Rumah 'Aid Khirsyah di Mazar [ 26 Februari 2008 ]


Malam 26 Februari 08 aku, Mahadi, Judin, Said telah menerima jemputan menziarahi rumah Aid di Mazar. Malam itu kami dijamu dengan Sinniyah yang merupakan antara makanan yang 'digilai' oleh masyarakat arab terutamanya di kawasan selatan Jordan. Menurut Aid, Sinniyah menjadi ranking kedua selepas Mansaf yang amat disukai oleh masyarakat arab di Jordan. Selepas itu baru Nasi Maqlubah dan Kibsah.

Sinniyah merupakan ayam yang dimasak di dalam ketuhar dengan kepanasan api yang kuat. Ayam di letak di dalam talam dan dicampur dengan baharat mushakalah (rempah campuran), ubi kentang, tomato, terung dan minyak zaitun. Ia dimakan bersama roti. Namun malam itu Aid yang telah memahami citarasa melayu turut menyediakan nasi untuk kami.

Sinniyah yang amat lazat dan menyelerakan

Seperti adat kebiasaan arab, malam itu perut kami 'kembung' dengan sajian yang dihidangkan. Tambahan dengan bermacam-macam jenis air yang masuk ke dalam perut.

Kebiasaan adat arab, apabila tetamu datang mereka terlebih dahulu menyediakan kopi sadah. Iaitu kopi tanpa gula. Kemudian sebelum hidangan disajikan datang pula teh panas. Selepas sajian utama dihidangkan (roti atau nasi) datang pula minuman berkarbonat dan buah-buahan. Selepas itu di beri pula teh atau nescafe atau kopi manis. Bagi mereka yang sedikit berada didatangkan pula dengan manisan arab yang pelbagai. Sebelum pulang diberi sekali lagi kopi sadah (kopi tanpa gula). Bayangkanlah betapa buntatnya perut dengan layanan mereka.

Malam itu di rumah Aid, dari mula tiba sampailah di akhir pertemuan kami dihidangkan kopi, teh dan akhirnya nescafe selepas menikmati Nasi dan Sinniyah.



Rumah Dr. Hannan Btoush di Taiybah [ 1 Mac 2008 ]


Taiybah terletak lebih kurang 20km dari pekan Mu'tah dan merupakan perkampungan yang berada di kawasan selatan Karak. 1 Mac 2008 aku mengikuti sahabat-sahabat lain ke rumah Dr. Hannan yang pernah mengajar Daurah Bahasa Arab di Universiti Mu'tah untuk beberapa tahun. Dr. Hannan bertugas di bahagian Ria'sah (Pentadbiran) universiti.

Sebelum makan tengahari di rumahnya, kami sempat berbual dengan beberapa adik beradik lelaki Dr. Hannan, ayah dan bapa saudaranya. Hidangan tengahari itu merupakan nasi arab yang dikenali dengan Kabsah. Kabsah terdapat dalam pelbagai jenis dan rasa. Nabi Kabsah kebiasaannya dicampur dengan kacang pis hijau atau kacang kuda.

Nasih Kabsah yang disediakan oleh Dr. Hannan ialah Nasi Kabsah ayam yang dicampur bersama kacang yang telah digoreng dan dimasak dengan minyak lemak kambing.

Nasi pula dihidangkan bersama Kubuz Tannur (Roti Tannur) yang menjadi kegemaran aku


Di ruang tamu rumah Dr. Hannan

Dr. Hannan (paling kiri) bergambar kenangan bersama kami
sebelum berpisah

Tuesday, April 1, 2008

Jarang Ada Pada Bangsa Melayu


Bila kembali berada di dalam masyarakat Malaysia, terasa banyak keadaan ternyata berbeza dengan perilaku bangsa Arab apabila dibandingkan dengan masyarakat melayu. Perbezaan yang menampakkan sedikit kekurangan bangsa Melayu kita dengan mereka di Timur Tengah. Walaupun ada kekurangan pada bangsa Arab tetapi banyak perilaku mereka seharian dan dalam kehidupan tiada dan mungkin sukar ada di kalangan bangsa melayu.

1. Mereka mudah mesra dan apabila bertemu ukhuwwah mudah terjalin. Contoh keadaan : mereka boleh mesra dan berbaik di mana-mana sahaja. Bertemu di dalam coaster, membeli kopi di tepi jalan dan di mana-mana sahaja. Berbeza situasi di Malaysia. Manusia yang hidup di Malaysia seperti takut-takut untuk berbual, mengenali sesama sendiri lantaran takut dengan keadaan. Keadaan Malaysia yang tidak aman. Mudah berlaku jenayah.

2. Mudah menolong. Rasanya tiada istilah di dalam Bangsa Melayu. BOLEH SAYA TOLONG KAMU. Jika ada, ia amatlah sedikit tetapi perkara ini sentiasa berlaku di tanah arab. Mereka akan bertanya dan menyapa untuk memberi pertolongan.

Antara contoh apabila berlaku kemalangan. Mereka akan berhenti untuk memberi pertolongan walaupun nampak mereka seperti menyibukkan diri dan berlagak pandai tetapi niat mereka tetap untuk menolong. Jika di Malaysia apabila berlaku kemalangan masyarakat hanya memberhentikan kereta di tepi jalan, melihat kemalangan berlaku dan bertanya soalan pertama yang biasa di tanya. Ada yang mati?

Sudahlah dua perkara ini dahulu saya memuji arab. Nanti ada pula yang mengatakan 'Alah, banyak juga kekurangan arab', 'Melayu pun banyak kelebihan juga'.