Showing posts with label al-karak. Show all posts
Showing posts with label al-karak. Show all posts

Friday, April 24, 2009

Wadi Mujeb, Al-Karak


Teringat satu kenangan ketika berada di sebuah perkampungan kecil bernama Arieha berdekatan Wadi Mujeb. Bertemu dengan masyarakat yang ramah di situ mengingatkan aku kepada satu potongan Qasidah Arab yang pernah diceritakan oleh penduduk di situ.

Bunyinya begini :

Abuyi Mujeb Wa Akhuyi Mleih Wa Abu Sya'ar Jaddali

Ia merupakan potongan pendek dari Qasidah panjang yang pernah disebut oleh seorang ahli sastera terkenal di Karak. Ia mengaitkan Kisah Sulaiman Bani Atiyah dan Wadi Mujeb yang merupakan antara kisah terkenal dikalangan Bani Atiyah dan puak Ma'aitah di Karak.

Kisah ini berlaku kira-kira 50 tahun yang lalu di mana seorang dari Bani Atiyah yang bernama Sulaiman telah membunuh seorang lelaki dari kabilah Ma'aitah di dalam sebuah pergaduhan. Selepas kejadian itu, Sulaiman Bani Atiyah telah menyembunyikan diri di kawasan Wadi Mujeb dan hidup di situ dengan bersembunyi dan memburu untuk mendapatkan makanan.

Menurut sejarah lisan dari penduduk tempatan, beliau telah bersembunyi di dalam gua yang terdapat di situ dan akan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan. Beliau mencari makanan di sekitar kawasan perkampungan kecil di Wadi Mujeb. Akhir hayatnya tidak diketahui.

Potongan Qasidah di atas menceritakan keadaan Sulaiman Bani Atiyah yang hidup bersembunyi di Wadi Mujeb.

Abuyi Mujeb Wa Akhuyi Mleih.
Bapaku Mujeb dan Saudaraku Mleih : Bermaksud beliau hidup bersendirian di kawasan tersebut tanpa saudara mara yang lain. Mujeb menjadi bapanya dan Mleih (sebuah kawasan berhampiran Mujeb) menjadi saudaranya.

Wa Abu Sya'ar Jaddali
Jaddali boleh dimaksudkan dengan memintal-mintal. Beliau hidup bersembunyi sekian lama dan penulis qasidah tersebut membayangkan beliau yang sudah berambut panjang memintal-mintal rambutnya. Di sini boleh dimaksudkan juga dengan Abu Sya'ar yang merupakan nama sebuah kampung kecil yang juga terdapat berhampiran Wadi Mujeb.

Aku pernah bertanya tentang Qasidah ini kepada Aid dan dia turut menyatakan bahawa ia antara Qasidah yang terkenal di Karak terutamanya dikalangan Bani Atiyah yang kini menetap di Qatranah dan kabilah Ma'aitah yang kebanyakkan mereka menetap di 'Adir, sebuah perkampungan kecil di dalam muhafazah Karak.


Kini kawasan Wadi Mujeb telah dibangunkan menjadi salah satu empangan air utama di Jordan. Kawasan Wadi Mujeb sememangnya mewah dengan ratusan mata air dan ia merupakan lembah yang luas dan curam.

Sebelum wujudnya jalan padang pasir Amman ke Karak, Wadi Mujeb menjadi laluan utama penduduk Karak untuk ke Amman. Jalanraya yang melalui lembah Mujeb dikenali dengan Shariq Muluki telah di asaskan sejak era kerajaan Rum. Jalan ini menghubungkan Amman ke Madaba, Dhiban, Wadi Mujeb, Al-Qasr dan terus ke bandar Karak melalui Dataran Shihan.


Tuesday, April 8, 2008

Kesan Arkeologi di Ar-Rabbah

Antara penemuan di Ar-Rabbah.
Kesan Salib membuktikan agama Kristian pernah dianuti oleh penduduk Aeropolis (Ar-Rabbah)
Namun kerajaan Islam telah berjaya menguasai kawasan tersebut sejak kurun ke-7


Ar-Rabbah merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak lebih kurang 20km dari pusat bandar Karak. Sepanjang berada di bumi Jordan saya berpeluang beberapa kali menjejaki kota bersejarah tersebut walaupun bagi penduduk tempatan di situ mungkin tiada nilai istimewa padanya lantaran kawasan tersebut hanya terbiar tanpa betul-betul di jaga.

Ar-Rabbah dikenali dengan Rabbat-Moba atau Aeropolis ketika zaman kuno Yunan dan Rum. Seluruh kawasan Ar-Rabbah pada ketika ini termasuk di tapak rumah-rumah moden merupakan sebuah kota yang luas. Namun faktor pemodenan menyebabkan banyak kesan telah dihancurkan.

Kesan binaan yang masih kekal baik dan merupakan pusat kota Aeropolis pada ketika itu terdapat di tengah-tengah pekan kecil tersebut. Sekiranya perjalanan ke Ar-Rabbah dengan menaiki coaster dari Karak, ia dapat dilihat di sebelah kiri dari arah Karak.

Kesan binaan yang terdapat di situ menjadi salah satu binaan yang penting buat penganut agama Kristian. Ini adalah kerana gereja-geraja utama di Tebing Timur yang digambarkan pada sebuah Mozek di gereja St. Stephen Umm Rasas terdapat di Ar-Rabbah.

Kota ini jelas dibina ketika era Rum kerana dibuktikan dengan Kuil Rum yang masih kekal ada. Bukti gereja lama dan beberapa ukiran salib pada batuan yang terdapat di dalam kawasan kota membuktikan kerajaan Byzantium pernah mencapai kegemilangannya di Ar-Rabbah.

Namun, di dalam zaman kegemilangan Islam, kota ini telah ditawan dan tanah di kawasan tersebut menjadi milik kerajaan Islam. Ini dibuktikan dengan penemuan tembikar-tembikar dari era Islam yang rata-rata bercorak dari zaman kerajaan Mamluke. Kesan tembikar-tembikar yang telah hancur turut dapat ditemui sehingga hari ini di kawasan kota. Wang syiling dari zaman kerajaan Islam yang ditemui di Ar-Rabbah menjadi bukti yang lebih kukuh Islam pernah menguasai kawasan tersebut.

Kota ini hancur sebahagiannya pada gempa bumi tahun 1293 masihi dan kebanyakkan artifak-artifak yang terdapat di kawasan kota telah ditempatkan di Muzium Karak.

Kesan-kesan kota di Ar-Rabbah yang masih kekal.
Gambar paling bawah ialah Kuil Rum


Tuesday, July 10, 2007

Reynald Chatillon Telah Tewas!

Bersama pelajar Malaysia dari Mesir di pintu masuk kota Karak
(9 Julai 2007)


Bandar Karak terletak kira-kira 121 km dari ibu kota Amman, Jordan. Di bandar inilah pernah mencatat sejarah kejayaan tentera Sallehuddin Al-Ayubi menawan kota Karak dari tangan tentera Salib. Kota Karak kini berdiri kukuh di salah satu sudut bukit bandar Karak berhadapan dengan Jabal Sallajah.

Sejarah awal kota
Penempatan di Kota Karak telah bermula sejak zaman batu lagi apabila artifak batu zaman tersebut telah ditemui di tapak arkeologi. Ia sekaligus membuktikan kawasan ini telah diduduki sejak ribuan tahun dahulu. Kerajaan Moab pernah menguasai Karak seterusnya ia di duduki oleh kerajaan Rum.

Pertemuran Tentera Sallehuddin dan Tentera Salib di Kota Karak
Pada tahun 1161 masihi, kota ini dikuasai oleh tentera Salib yang diketuai oleh Reynald Chatillon yang pernah menewaskan tentera Sallehuddin Al-Ayubi di Monsgisart pada tahun 1177 dan mereka sering menyerang pedagang arab yang berlabuh di Laut Merah terutama di Ailah (Aqaba pada ketika ini).

Pada tahun 1187 masihi, tentera Sallehuddin Al-Ayubi telah mengepung kota ini selama 8 bulan sehingga memaksa tentera Salib menjual anak isteri untuk mendapatkan makanan dan air. Sallehuddin Al-Ayubi telah berjaya menawan kota ini pada tahun 1188 masihi. Sallehuddin Al-Ayubi bersama pasukannya pada awalnya telah membina kem di sebuah kawasan bernama Hesban berdekatan dengan Amman-Madaba ketika ini.

Di Hesban Sallehuddin telah berkubu dan merancang strategi untuk merampas kota Karak dari tangan Reynald Chatillon dan akhirnya kejayaan menjadi milik Sallehuddin Al-Ayubi. Reynald Chatillon Telah Tewas!


Bermula dari saat kemenangan itu, kerajaan Islam terus menerus menguasai kota tersebut. Kerajaan Mamluke telah banyak berusaha membangunkan kota ini. Pada tahun 1263 masihi Sultan Zahir Baybar telah menguasai kota ini dan telah melakukan perubahan dan pembangunan terhadap kota. Masjid dan istana dibina di dalam kota ini.

Beliau turut menambah ukiran ayat suci Al-Quran pada dinding kota dan beliau turut bertanggungjawab memperdalam parit kota. Gempa bumi pada tahun 1293 telah memusnahkan sebahagian besar kota. Kerajaan Turki Uthmaniah menguasai kota ini sehingga awal kurun ke-20 sebelum tewas ketika pemberontakan Arab dan kini ia dijaga sebagai lokasi sejarah dan arkeologi oleh kerajaan Jordan.


Kesan Mihrab (petunjuk arah kaabah) yang terdapat di masjid lama binaan kerajaan Mamluk.
Kesan ini membuktikan kehebatan Islam menguasai kota ini setelah ianya jatuh
ke tangan Islam dari tentera Salib.

Monumen yang masih kekal

Antara monumen yang masih kekal di kota Karak ialah Istana Kerajaan Mamluk dan Masjid Mamluke yang terletak berhampiran kubu pertahanan selatan yang juga dibina oleh pemerintah Mamluk. Lubang memanah dapat dilihat di sekeliling dinding kota untuk tujuan pertahanan. Di bahagian tengah bersebelahan halaman atas terdapat gereja era salibi dan bersebelahannya (bahagian bawah) ialah sacristy iaitu tempat menyimpan bekas atau mangkuk suci di dalam gereja.

Turut ditemui di dalam kota adalah berek tentera dan dapur. Di bahagian dapur terdapat batu untuk mengisar gandum, batuan rata dan sebuah tempat membakar. Sistem pengairan air amat baik di dalam bilik dapur tersebut.

Berdekatan dapur dan berek terdapat satu monumen yang di ukir pada batu menunjukkan tentera berkuda Nabatean dengan tombak di belakangnya. Kelihatan juga kepala kuda terukir pada monumen tersebut dan ia hampir terhakis dan wajah tentera telah hancur. Ahli arkeologi menyifatkan ia sebagai batu tanda peringatan perkebumian kaum Nabatean.


Thursday, July 5, 2007

Wadi Ibn Hamad Hotspring

Pemandangan di Wadi Ibn Hamad Hotsprings


Ramai yang tidak mengetahui bahawa di Jordan ini terdapat tempat-tempat menarik untuk berkelah atau bersantai seperti di air terjun ataupun sungai.

Semenjak tahun 2001 aku telah melakukan beberapa kajian mengenai lokasi-lokasi lawatan & sejarah di Jordan. Kawasan-kawasan yang telah aku lawati rata-ratanya adalah kawasan 'batu-batuan'. Setelah boring melihat 'batu-batuan' aku mula melayari internet untuk mengetahui kawasan-kawasan lain untuk bersantai terutama kawasan sungai atau air terjun. Aku mendapat maklumat hanya 2 lokasi air terjun/sungai yang ada di Jordan. Iaitu Hammamat Ma'in di Madaba dan 'Ain Afra di Tofilah.

Aku tidak berpuas hati dengan maklumat yang ada dan mula mengembara di Jordan mencari altenatif tersebut sambil bertanya kepada penduduk tempatan. Sesahihnya banyak lokasi untuk bersantai di Jordan cuma ia tidak dimajukan oleh kerajaan Jordan pada ketika itu dan kini untuk projek pembangunan pelancongan 2004-2010 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Arkeologi Jordan, mereka mula membangunkan kawasan-kawasan semulajadi seperti air terjun dan sungai. Salah satu usaha yang bagus!


Pada tahun 2001, aku telah mendapat maklumat mengenai sebuah lokasi semulajadi yang amat cantik terdapat di Karak. Iaitu sebuah tempat bernama Wadi Ibn Hamad. Melalui maklumat dari penduduk tempatan ketika itu, untuk ke kawasan tersebut ia perlu menuruni curam dan lokasi tersebut berada di dalam 'gaung' yang agak dalam.

Namun terdapat jalan untuk ke situ tetapi bukanlah jalan yang baik. Begitulah maklumat yang aku terima dari arab pada ketika itu. Setelah 5 tahun berlalu, pada tahun 2007 aku mengingati semula lokasi yang telah diceritakan dan aku mulai merancang untuk ke tempat tersebut.


Semuanya bermula apabila aku telah diamanahkan menjadi pengelola program Explorace Jordan Misi di Karak Anjuran Badan Kebajikan Mahasiswa Negeri Sembilan Jordan. Ketika dalam perjalanan ke Check-Point ke-5 di Ar-Rabba-Qasr aku telah ternampak signboard bertulis WADI BIN HAMMAD HOTSPRING 20KM di persimpangan masuk ke perkampungan Rakin dan Battir.

Mulai saat itulah aku mula merancang untuk ke Wadi Ibn Hamad dan akhirnya aku telah merancang untuk pergi ke situ bersama ahli rumahku iaitu Bayt Dimasq untuk beristirehat sambil bersantai di Wadi Ibn Hamad sebelum aku pulang ke tanahair Malaysia.


Jalan berbukit dan curam untuk tiba di Mata Air Panas Wadi Ibn Hamad.
Hotspring dan sungai terletak di akhir jalan tersebut.

10 Mac 2007
Sehari sebelum itu aku menghubungi Muhamad Khirsyeh untuk menyewa van ke Wadi Ibn Hamad. Pada asalnya aku ingin menyewa van Abu Qusay yang lebih selesa (van Hyundai Starex 1999) namun pada tarikh tersebut beliau ke Aqaba. Abu Qusay mencadangkan Adnan untuk membawa kami ke Wadi ibn Hamad namun vannya telah disewa oleh seorang pelajar untuk ke Lapangan Terbang.

Akhirnya Abu Qusay mencadangkan saudaranya yang juga dari keluarga Khirsyeh untuk membawa kami ke Wadi Ibn Hamad iaitu Muhamad Khirsyeh. Sewa van yang dikenakan ialah JOD 25 (RM 120)


Pagi 10 Mac 2007 aku dan rakan-rakan ahli bayt dimasyq telah bersedia awal untuk ke Wadi Ibn Hamad. Perjalanan dari Mu'tah terus menuju ke persimpangan Thaniah dan kemudiannya mengambil jalan ke Qasr Rabba.

Selepas perkampungan Abu Hammur, terdapat simpang masuk ke perkampungan Rakin-Battir. Jelas di persimpangan tersebut papan tanda bertulis Wadi Ibn Hamad 20km. Dalam fikiranku ketika itu jarak 20km bukanlah satu jarak yang jauh. Namun setelah melepasi perkampungan Battir, van mula menuruni bukit curam. Ketika itu barulah terasa jauh perjalanan dari persimpangan ke lokasi yang dituju.

Bayangkanlah van terpaksa menuruni bukit curam yang kira kanannya adalah gaung. Jalan yang kecil muat untuk satu kereta sahaja dan di kiri kanan jalan tidak ada penghadang jalan. Cukup bahaya dan 'menggerunkan'.

Perjalanan yang aku anggap singkat akhirnya memakan masa sejam juga. Apapun Alhamdulillah dengan kecekapan Muhamad memandu, kami berjaya juga sampai di bawah 'gaung' dengan selamat. Namun, otakku ketika itu asyik berfikir untuk menghadapi jalan tersebut sewaktu bergerak pulang.


Kami memulakan aktiviti di Wadi Ibn Hamad dengan memasang khemah dan menyalakan arang untuk BBQ (bawa ayam yang telah diperap, Daging Burger dan Kuftah (Bebola Daging) ).

Setelah selesai lunch semua solat terlebih dahulu dan memulakan aktiviti 'berendam'. Selepas berendam, naik atas dan makan semula. Round pertama dah makan buah-buahan dan makanan ringan. Round kedua makan ayam BBQ dan round ketika makan Burger dan Kuftah. Kenyang.


Keadaan kawasan sekeliling di Wadi Ibn Hamad memang menenangkan jiwa. Jauh dari kebisingan lagu-lagu arab yang dipasang dikedai-kedai. (Especially lagu 'remix' Arab Mesir), Jauh dari bunyi hon kereta, lori yang berselang seli, Jauh dari kebisingan mendengar arab bertekak dan jauh dari kebisingan mendengar mulut-mulut melayu 'membawa cerita'.

Kawasan Wadi Ibn Hamad merupakan kawasan lembah berbatu yang terletak di bawah paras laut. Kawasannya amat berhampiran dengan Laut Mati. Terdapat sungai kecil mengalir di bawah lembahnya dengan beberapa mata air panas keluar dari perut bumi di bahagian atas berhampiran sungai. Terdapat sebuah kolam disediakan dan air panas semulajadi disalurkan ke kolam tersebut. Namun kebersihan kolam tidak terjaga. Kotor dan tidak dibersihkan. Dalam keadaan kotor pun ada arab berendam jugak.

Trip di Wadi Ibn Hamad berakhir dengan gembira. Tambahan pula aku rasakan kami perintis pertama melayu yang menjejaki kaki ke tempat tersebut.

Untuk trip tersebut aku mendapat 'hadiah' ikatan ukhuwwah yang semakin erat sesama ahli Bayt Dimasyq, merenungi kehebatan ciptaan Ilahi dalam keadaan lembah bukit berbatu masih terdapat sumber air untuk kegunaan manusia hidup dan satu nikmat pengembaraan yang sukar untuk dilupakan.


Gambar-gambar kenangan di Wadi Ibn Hamad, Karak, Jordan
*Bidin dengan penuh gaya (sebelah aku)*
-Bidin adalah pakar menghidupkan api arang :)-

Thursday, June 28, 2007

Buku Panduan Jelajah Karak

Karak terletak kira-kira 121 Kilometer dari ibu negara Jordan- Amman.

Sejarah Ringkas Karak
Ada pendapat mengatakan bahawa Karak adalah nama salah satu kaum Nabi Nuh a.s namun ia jarang diperkatakan dan tiada sumber sahih yang ditemui.

Shihabuddin Yaqut Hamawi di dalam kitabnya Mu'jam Buldan menyatakan bahawa Karak terletak di Wadi Balqa' (Lembah Balqa') dan terdapat kota pertahanan di kawasan tersebut. Para ahli sejarah barat menyatakan nama Karak di ambil daripada Karka yang bermaksud kota yang berdinding di dalam sebuah bandar.

Karak juga dikenali dengan Kir, Kir Heres atau Kir Hereseth. Pada zaman pemerintahan Moab ia dikenali dengan Karakmoba atau Characmoba yang membawa maksud kota pertahanan Moab.


Penempatan di Karak telah bermula sejak zaman batu lagi. Seluruh Karak dipenuhi oleh tinggalan sejarah dan tamadun silam. Karak pernah menjadi ibu kota kerajaan Moabiah dan pernah diduduki oleh kerajaan Rum-Byzantium.

Seluruh kawasan Karak pernah dikuasai oleh kerajaan-kerajaan Islam. Bermula dari zaman Abbasiah hinggalah ke zaman Turki Uthamaniah. Pada zaman Abbasiah kota Karak berada di bawah kuasa kerajaan tersebut yang berpusat di Iraq. Seluruh kawasan Karak amat subur dan hasil pertanian dari Karak turut menjadi sumber ekonomi pada ketika itu.

Kerajaan Umawiah telah membina masjid utama di Karak yang dikenali sebagai Masjid Umari yang terletak di tengah bandar Karak. Sallehuddin Al-Ayubi atau gelarannya Abu Muzaffar, berbangsa Kurdi merupakan pemerintah kerajaan Mamalik yang telah berjaya menawan kota ini dari kuasa tentera salib yang dipimpin oleh Reynald Chatillon pada tahun 1187M.

Bermula dari saat itulah kerajaan-kerajaan Islam terus menguasai bandar Karak. Sehinggalah pengunduran tentera kerajaan Turki Uthamaniah pada tahun 1918 menamatkan penguasaan Turki di Karak.


Catatan sejarah turut membuktikan kawasan Karak suatu ketika dahulu memainkan peranan sebagai jalan laluan para haji yang datang dari arah Turki dan Syria. Pengembara Islam Ibnu Battuta yang mengembara selama 29 tahun (1325-1354) pernah singgah di Karak di dalam salah satu episod lawatannya.

Buku Panduan & Bajet Belanja Pengembaraan di Karak, Jordan

Buku ini memuatkan panduan dan tips untuk aktiviti pengembaraan ke seluruh lokasi sejarah dan
arkeologi di Karak dengan bajet belanja termurah. Sebanyak 6 maklumat makam sahabat dan anbiya'
serta 30 lokasi sejarah dan arkeologi dimuatkan di dalam buku ini.

36 Lokasi sejarah di Karak
Makam Nabi Nuh a.s, Makam Nabi Khidir a.s, Makam Nabi Sulaiman a.s, Kahf Nabi Luth a.s, Telaga Nabi Syuaib a.s, Makam Sahabat Syahid Ma'rakah Mu'tah, Kawasan Peperangan Mu'tah, Qala'ah Karak, Qasr Ar-Rabba, Al-Qasr, As-Simakiyyah, Balu', Adir, Mreghah, Lajjun, Qatranah, Bahrul Mayyit (Laut Mati), An-Numeira, Bab Ad-Dhra', Besena, Jarjul, Mushraga, Muthalath Iraq (Discover The Shell Park), 'Ain Qala'ah, Al-Midan, Qala'ah Sul, Qala'ah Muhay, Jabal Abu Rukba, Tell Telah, An-Nakhil, Sgeira & Zhat Ras, Khirbet Tannur, Umm Al-Ayasein, Sajaratain Missiah.

Penulis
Muhamad Hazimin bin Sulaiman

Percetakan
PMI Parit Buntar, Perak

Bilangan Mukasurat
50 m/s

Tahun Terbitan
Oktober 2005

Harga
JD 2.000/ RM 10/ USD 3

Pengedar
Ahli Bayt Dimasyq, Mu'tah (Jordan)- 077-7215587
Mohd Fadhlan Abd Rahman (Malaysia)- 013-5027112