Showing posts with label kisah al-quran. Show all posts
Showing posts with label kisah al-quran. Show all posts

Tuesday, April 28, 2009

Tragedi Dahsyat di Antakiah

Masjid Habibinajjar- Ottoman Style

Surah Yassin mulai ayat 13-29 menceritakan mengenai Ashabul Qaryah di mana ayat tersebut mengisahkan 2 orang utusan telah diutus kepada satu masyarakat di sebuah bandar lalu mereka ingkar dan menolak 2 utusan tersebut lalu diutuskan kepada masyarakat mereka utusan ketiga, juga dimaki, dikeji dan dihamun oleh penduduk di bandar atau kota tersebut.

Tatkala sedang mereka ingin menghapuskan rasul-rasul pembawa kebenaran datang seorang lelaki yang dikenali dengan Habibinajjar mengajak mereka untuk taat pada seruan yang di bawa. Namun mereka tetap ingkar malah Habibinajjar pula dipijak dan dibunuh. Maka Allah telah melenyapkan penduduk di situ dengan satu suara pekikan yang amat dahsyat.

Kebanyakkan Ahli Tafsir menyatakan peristiwa itu berlaku di Antakiah atau disebut Antioch. Ia merupakan sebuah bandar kecil yang kini terletak di dalam wilayah Hatay di negara Turki.

Al-Qurtubi menyatakan kota tersebut adalah Antakiah di mana 3 utusan yang diutuskan itu ialah Shadiq, Mashduq dan Syam'un. Mereka adalah pengikut Nabi Isa a.s

Antakiah terletak di Sungai 'Asi yang bermula dari negara Lubnan melalui Syria dan berakhir di Turki. Antakiah juga terletak berhampiran persisiran pantai Lautan Mediterranean yang kini kawasan tersebut dikenali dengan Samandaq atau nama lamanya Suwaidiyyah.

Menurut sejarah, Antakiah dibangunkan oleh Selauqas I pada tahun 307 masihi dan pernah ditakluk oleh Iskandar Zulqarnain sebelumnya. Pada zaman kerajaan Islam Abassiah, bandar Antakiah ini turut menjadi wilayah penting dan dinilai sebagai kota yang indah, punyai air dan penuh kebaikkan.

Antakiah pernah menjadi wilayah Syria sebelum diambil oleh negara Turki pada 23 Julai 1939 dalam satu keputusan yang dibuat oleh Parlimen Turki. Namun hingga kini Syria masih menganggap Antakiah sebagai wilayah mereka dan ada cetakan peta negara Syria masih meletakkan Antakiah di dalam negara mereka. Oleh sebab itu, sekiranya kita berada di Antakiah, dapat dilihat masyarakatnya hampir 60% adalah bangsa arab dan mereka masih bertutur di dalam Bahasa Arab.

Di bandar inilah disemadikan jasad Habibinajjar dan salah seorang dari 3 orang utusan tersebut iaitu Syam'un. Makam mereka boleh diziarahi umum di Masjid Habibinajjar yang terletak di tengah-tengah bandar moden Antakiah (Street Kemal Pasha).

Makam Habibinajjar di Antakya, Turki

Di dalam masjid tersebut turut ditempatkan Makam Nabi Yunus A.s dan Nabi Yahya a.s. Namun kisahnya kurang jelas bagaimana kedua-dua Rasul tersebut dimakamkan disitu. Mungkin makam yang dimaksudkan hanya tempat persinggahan.

Apapun yang penting, kisah ini benar-benar telah berlaku bahkan dipahat di dalam Al-Quran dan marilah kita menghayati ayat 13-29 Surah Yassin ini dan mengambil iktibar dari kisahnya.

Surah Yassin berserta terjemahan mulai ayat 13 hingga 29 :-

13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan Yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) Iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) Dengan Rasul Yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya Kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.
15. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti Kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama Yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".
16. Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui Bahawa Sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul Yang diutus kepada kamu,
17. "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya Dengan cara Yang jelas nyata".
18. Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya Kami merasa nahas dan malang Dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas Yang kamu katakan itu), tentulah Kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya".
19. Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) Yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam Kami Dengan apa Yang kamu katakan itu)? (kamu bukanlah orang-orang Yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".
20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -
21. "Turutlah orang-orang Yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
22. Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): "Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan Yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
23. "Patutkah Aku menyembah beberapa Tuhan Yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
24. "Sesungguhnya Aku (kalau melakukan syirik) tentulah Aku pada ketika itu berada Dalam kesesatan Yang nyata.
25. "Sesungguhnya Aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.
26. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke Dalam Syurga". ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -
27. "Tentang perkara Yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang Yang dimuliakan".
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
29. (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan Dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka Dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi

Thursday, February 28, 2008

Ashabul Kahfi- Kesan Gua di Syria


Pada 22 Februari yang lalu sekali lagi saya berpeluang mengunjungi kesan Gua Ashabul Kahfi di Syria yang terdapat di kawasan Jabal Qassiyun, Syria.

Perjalanan pada hari tersebut ditemani oleh rakyat Syria Khaldun Qassimi yang menetap di Hayyu Sa'dun, Jabal Qassiyun. Trip kali ini saya bersama En. Faizal yang kini sedang dalam tempoh menghabiskan PHDnya di Universiti Birmingham U.K. Saya menemani En. Faizal setelah beliau menamatkan lawatan kerja di Dead Sea, Jordan dan bersamanya ke beberapa buah lokasi menarik di Jordan dan Syria.

Gua Ashabul Kahfi di Syria terletak berhampiran puncak Jabal Qassiyun yang kini di sekitarnya sudah dibina penempatan moden. Kami tiba agak lewat di kawasan tersebut kerana menghabiskan masa yang lama di Makam Wali Arba'in sebelum ke lokasi tersebut.

Kami tiba di kawasan gua ketika azan Maghrib berkumandang dan kedatangan kami di sambut oleh Ummu Ali yang menjadi penjaga gua tersebut. Ketika kali pertama menjejaki gua tersebut pada tahun 2006, orang yang menyambut saya pada ketika itu juga Ummu Ali.

Saya meminta Ummu Ali menerangkan tentang bukti-bukti yang terdapat di gua tersebut yang menjadi sebab kenapa penduduk tempatan mengatakan ia sebagai gua pernah ditiduri 7 orang pemuda selama 300 tahun. Saya meminta Ummu Ali menunjukkan beberapa bukti penting seperti lubang cahaya, rumah ibadat yang dibina di atas gua serta di mana makam pemuda-pemuda tersebut.

Saya menyebut satu persatu bukti-bukti tersebut supaya ditunjukkan oleh Ummi Ali memandangkan kawasan tersebut tidak berupa gua bahkan keadaan dinding gua dan sekitarnya masih baru dan berkeadaan moden.

Ummu Ali menerangkan bahawa, kawasan tersebut dahulunya terdapat sebuah gua dan satu binaan lama yang dipercayai dibina ketika era Rum. Pada tahun 1960-an kawasan gua tersebut dan binaan yang terdapat di situ telah runtuh memandangkan ia dibina di lereng bukit. Masyarakat setempat di situ telah berusaha menjaga sebahagian dari gua yang masih terselamat dan bahagian yang telah runtuh dibina dengan batuan biasa.

Masa terus berlalu dan rumah-rumah moden dibina sekeliling kawasan gua. Ummu Ali turut memberitahu bahawa dahulunya terdapat kesan lubang cahaya pada bahagian yang telah runtuh. Ummu Ali turut memberitahu bahawa terdapat sebuah masjid di atas gua namun ia bukanlah masjid yang telah lama di bina.

Kami menghabiskan masa kurang dari 30 minit di kawasan gua tersebut memandangkan hari sudah gelap. Ketika menuruni tangga turun dari kawasan gua, Ummu Ali berhenti di sebuah papan kenyataan di mana terdapat beberapa keping gambar lama yang dilekatkan di situ.

Gambar yang terdapat di situ menunjukkan keadaan gua dan binaan sebelum runtuh. Terdapat juga di situ gambar mereka yang datang menziarahi kawasan gua tersebut. Kami mengucapkan terima kasih kepada Ummu Ali dan bergerak meninggalkan kawasan gua untuk turun ke Sahah Shamdin.

Kesan gua terdapat di Jabal Qassiyun, Syria

Apa yang dapat saya simpulkan dari kunjungan ke gua tersebut ialah kesan-kesan yang terdapat di kawasan gua tersebut dan dari apa yang diterangkan oleh Ummu Ali agak lemah untuk dipastikan bahawa kisah Ashabul Kahfi berlaku di situ.

Kebanyakkan orang-orang terdahulu mengistiharkan kawasan mereka sebagai kawasan sejarah Islam, di kawasan mereka terdapat makam para nabi dan sahabat dan sebagainya adalah untuk mengangkat martabat kawasan mereka sebagai tempat mulia dan mempunyai catatan sejarah dari kehadiran nabi dan sahbat serta peristiwa-peristiwa penting Islam yang telah berlaku. Sedangkan peristiwa-peristiwa tersebut tidak dipastikan sahih berlaku disitu bahkan ada yang sengaja mengada-adakannya.

Lihat juga pandangan tentang Gua Ashabul Kahfi yang terdapat di Jordan

Sunday, August 12, 2007

Ashabul Kahfi : Satu Pandangan


Semalam saya membaca satu artikel dari berita harian online yang bertajuk Misteri: Lokasi Gua Ashabul Kahfi Jadi Teka-Teki. Setelah membaca artikel tersebut saya rasa terpanggil untuk menulis sesuatu di dalam blog ini. Satu perkara yang pernah saya kaji sejak beberapa tahun yang lalu.

(Pembaca boleh membaca artikel ini terlebih dahulu)
Artikel dari Berita Harian Online mengenai Ashabul Kahfi http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Perspektif/20070805105449/Article/

Di dalam artikel tersebut, penulisnya: Nasron Sira Rahim, menyampaikan pengisian tentang kisah Ashabul Kahfi yang diceritakan di dalam Al-Quran dan misteri di mana lokasi kejadian itu telah berlaku.

Sememangnya topik ini amat menarik dikupas dan diperbincangkan.

Sejak tahun 2000, saya telah cuba untuk mencari sumber bacaan mengenai kisah Ashabul Kahfi. Ternyata banyak pandangan mengenai tempat di mana berlakunya peristiwa tersebut.

Antara pandangan di mana berlakunya peristiwa tersebut ialah 4 di Turki (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras, Mardin), 1 di Syria (Jabal Qassiyun) dan 1 di Jordan (Abu Alanda). Ada juga pendapat yang lemah mengatakan ia berlaku di Saudi Arabia dan Sepanyol.

Setelah membaca, mengkaji dengan melakukan tinjauan ke beberapa lokasi Ashabul Kahfi saya lebih berkeyakinan yang peristiwa itu berlaku di Abu Alanda, Jordan. Bukti-bukti itu saya temui hasil bacaan saya dari beberapa buah buku, dan tinjauan ke lokasi tersebut.

Berikut adalah artikel ringkas yang telah saya siapkan berkenaan pandangan saya mengenai kisah Ashabul Kahfi dan beberapa bukti yang ia berlaku di Abu Alanda, Jordan.

Kisah Ashabul Kahfi Dan Beberapa Bukti Peristiwa Berlaku di Jordan
Penulis : Muhamad Hazimin bin Sulaiman

Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.

Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.

Kisah 7 pemuda ini bermula apabila mereka berhadapan dengan raja yang zalim dan mengakui bahawa mereka hanya beriman kepada Allah yang menguasai langit dan bumi. 7 orang pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim bersama seekor anjing mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ lalu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun Qamariah.

Apabila mereka bangun, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan dan mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).

Pemuda tersebut kembali ke gua dan pemuda-pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut.

Ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian di manakah tempat berlakunya kisah 7 pemuda tersebut ditidurkan oleh Allah dalam tempoh masa yang lama. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakalan penganut kristian mempercayai kisah ini berlaku dan menjalankan kajian mereka dari kitab bible. Pelbagai hasil kajian, pandangan telah diberikan dalam menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah ia berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh 'Alim Ulama terdahulu dan dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.

Bilakah ia berlaku?
Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.

Pandangan kedua berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman penguasaan Maharaja Trajan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trajan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Siapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trajan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.

Di manakah ia berlaku?
Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa kisah ini berlaku di Turki, Jordan, Syria, Arab Saudi dan Sepanyol. Di Turki sahaja terdapat 4 lokasi dikatakan peristiwa itu berlaku (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras dan Mardin). Penulis telah berpeluang menziarahi 3 lokasi di mana terdapatnya Gua Ashabul Kahfi iaitu di Abu Alanda, Jordan. Ephesus, Turki dan Jabal Qassiyun, Syria.

Apa yang boleh penulis simpulkan hasil dari bacaan, pemerhatian di lokasi-lokasi tersebut dua lokasi di Ephesus dan Jabal Qassiyun tidak banyak membuktikan bahawa di situ berlakunya peristiwa tersebut. Bukti yang penulis maksudkan ialah dari ciri-ciri gua yang diterangkan di dalam ayat Al-Quran. Berbeza dengan gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan. Ciri-ciri seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran agak bertepatan. 3 ciri dari ayat Al-Quran yang menjadi perhatian penulis ialah :

Pertama : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17-

17. Dan Engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada Dalam satu lapangan gua itu...

Lokasi Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda, Jordan terdapat sebuah lubang dari atas gua yang memasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam matahari berada dari arah pintu gua.

Kedua : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 21

21. ... setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah Yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang Yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya Kami hendak membina sebuah Masjid di sisi gua mereka".

Di atas Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda terdapat rumah ibadat yang dibina ketika zaman tersebut. Rumah ibadat yang dimaksudkan adalah rumah ibadat penganut nasrani. Ketika zaman kerajaan Umawiah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid.


Ketiga : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17

17. ..sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.

Bentuk gua yang terdapat di Abu Alanda adalah luas dan lapang serta tidak dalam.


Bukti dari kesan sejarah dan arkeologi

Beberapa bukti telah dikenalpasti dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi bahawa gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan merupakan gua di mana berlakunya peristiwa tersebut.

1. Terdapat tulisan pada lengkungan pintu di dinding sebelah Timur yang menyatakan 'Masjid diperbaharui pada tahun 117 hijrah yang merujuk kepada zaman Hisham bin Abdul Malik bin Marwan. Ini membuktikan bahawa ketika era kerajaan Umawiah mereka sudah memperharui masjid yang sebelum itu menjadi rumah ibadat nasrani. Kesan yang boleh dilihat ialah binaan mihrab (petunjuk arah kiblat) yang terdapat di atas gua tersebut.

2. Tulisan khat Kufi turut ditemui yang mengisyaratkan bahawa masjid kedua di Ashabul Kahfi diperbaharui pada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun dari kerajaan Abasiah. Masjid kedua yang dimaksudkan ialah masjid yang dibina berhadapan dengan gua Ashabul Kahfi setelah masjid pertama diwujudkan di atas gua ketika zaman Umawiah.

3. Kesan Nawawis di dalam gua. Nawawis di dalam Mu'jam Wasit (m/s 962) memberi erti kubur orang nasrani yang diletakkan mayat di dalamnya. Pada Nawawis tersebut terdapat bintang segi lapan yang membuktikan tanda zaman kerajaan Rum-Byzantium pada kurun ke-3 masihi. Menjadi adat pada ketika itu, mayat-mayat nasrani akan dikuburkan di dalam bekas batu. Ini tidak mustahil bahawa mereka yang telah menguruskan mayat pemuda tersebut telah mengkebumikan mereka dengan cara dan adat mereka pada ketika itu.

4. Penemuan barangan tembikar, duit tembaga dan perak, lampu dari pelbagai zaman (Umawiah, Abasiah, Turki Uthmaniyyah) di dalam gua tersebut dan sekitarnya. Ia membawa maksud bahawa tempat itu telah dijaga oleh pelbagai zaman yang berlalu.

5. Al-Waqidi di dalam kitabnya Futuhat Sham telah menulis bahawa beliau bersama yang lain telah berhenti di Ain Ma' berhampiran gua ashabul kahfi. Mereka berhenti di Ain Ma' tersebut berwuduk, solat dan tidur di situ sebelum meneruskan perjalanan keesokkan harinya ke tanah Palestin. Ain Ma' terletak 70 meter dari gua ashabul kahfi.

6. Pokok zaitun berusia ratusan tahun tumbuh berhadapan gua. Pokok tersebut telah mati dan kesan batang pokok zaitun yang berusia ratusan tahun itu kini ditempatkan di dalam muzium mini di dalam gua.

7. Penemuan tulang di dalam Nawawis. Dikatakan bahawa tulang-tulang tersebut adalah kepunyaan pemuda-pemuda tersebut.

Dari beberapa penemuan dan bukti yang ada. Berkemungkinan peristiwa yang telah dinyatakan di dalam Surah Kahfi mengenai pemuda-pemuda yang ditidurkan selama 300 tahun Shamsiah telah berlaku di Abu Alanda, Jordan.

Wallahualam.


-----
Begitulah serba sedikit pembentangan yang dapat saya berikan untuk dikongsi bersama dengan pembaca. Namun ia hanya sebuah pandangan dari saya hasil dari bacaan yang sedikit dan tinjaun yang masih belum menyeluruh.

Saya telah tiba di Gua Ashabul Kahfi Ephesus Turki pada Mei 2002. Terdapat bukti lubang cahaya, kesan Nawawis namun ianya seperti 'samar'.

Jun 2003 saya berpeluang bersama krew Jejak Rasul di Syria. Banyak ilmu saya dapat apabila dapat berbual dan berbincang dengan Ust Wan Alias Abdullah. Saya bertanya tentang Gua Ashabul Kahfi. Beliau lebih meyakini bahawa di Tarsus adalah tempat peristiwa itu berlaku.

Feb 2006 saya membuat tinjaun di Ashabul Kahfi yang terletak di Jabal Qassiyun, Syria. Tidak banyak bukti ia berlaku di situ. Menurut penjaga disitu, lubang cahaya telah ditutup. Namun di atas gua tersebut ada sebuah masjid.

2000-2007 saya sering ke Ashabul Kahfi di Amman. Mungkin ada yang berkata disebabkan kekerapan saya ke gua tersebut, saya lebih mengatakan disitu berlakunya peristiwa tersebut. 'Tuduhan' itu salah. Saya lebih mengatakan bahawa di Abu Alanda berlakunya peristiwa tersebut ialah hasil dari bacaan dan tinjauan yang telah saya bentangkan di dalam artikel di atas. Jika ada pandangan yang lebih tepat sudah pasti saya akan menerimanya.

Mengkaji di mana peristiwa ini berlaku penting namun apa yang lebih penting adalah pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Ashabul Kahfi tersebut. Antaranya ialah kehebatan iman pemuda-pemuda tersebut yang mampu berhadapan dengan maharaja yang zalim demi keimanan mereka kepada Allah S.W.T.


Kesan Nawawis yang terdapat di dalam gua.

Kesan Tulang Ahlil Kahf? (Diragui)

Mini muzium yang terdapat di dalam gua. Terdapat kesan tembikar, rantai, lampau dan
kayu pokok zaitun berusia ratusan tahun


Monday, July 16, 2007

Kaum Phonesia Menyembah Ba'la

Kenangan di Baalbeck atau sebutan arabnya
Ba'labak.

"Minta pasport kamu". Arah seorang askar.

Aku memberikan pasport 'canggih' berwarna merah kepada askar tersebut. Penumpang-penumpang lain turut diminta mengeluarkan identiti masing-masing.

Setelah selesai, askar yang bertugas berhampiran bandar Zahle membuat isyarat tangan kepada pemandu van supaya beredar.

40 minit perjalanan dari Shtoura aku tiba di pekan Ba’labak. Sepanjang perjalanan terdapat 3 lokasi kawalan tentera yang terpaksa aku lepasi dan dilakukan pemeriksaan kenderaan dan dokumen diri.

Tentera-tentera yang berjaga bukanlah dari tentera Lubnan tetapi mengenakan seragam tentera Syria. Timbul pelbagai pertanyaan dalam diri aku pada ketika itu. Kenapa tentera Syria yang berkawal di negara Lubnan? Hendak bertanya kepada masyarakat tempatan takut membahayakan diri. Kenapa aku sibuk-sibuk untuk mengetahui hal pertahanan negara mereka. Lalu aku diamkan diri sahaja.

Aku tiba di Ba’labak, sebuah pekan yang terletak di timur negara Lubnan. Sebuah kawasan lembah bergunung bergelar Wadi Beqa'a. Seperti yang diketahui, kawasan pergunungan Timur Lubnan merupakan kubu tentera Hizbollah di Lubnan. Terutamanya kawasan Sana'in yang terletak di kawasan gunung antara Shtoura dan Ba’labak. Sebab itu, apabila aku tiba sahaja di pekan Ba’labak sudah kelihatan poster-poster pemimpin Hizbollah terutamanya Hasan Nasrullah bertampal di beberapa papan tanda di tengah-tengah pekan.

Ketika itu tahun 2002, Lubnan masih aman damai. Tahun sebelum letupan 13 Februari 2005, sebelum penangkapan dua orang tentera@anjing Yahudi di sempadan dan sebelum perang saudara yang kini sedang berlangsung. Jika selepas tahun 2005, poster-poster pemimpin Hizbollah 'bersepah' kelihatan di sana sini namun sebelum itu, poster-poster pemimpin Hizbollah jarang kelihatan kecuali di kubu-kubu mereka.

Tujuan aku ke Ba’labak bukanlah untuk 'merekrut' diri sebagai askar Hizbollah atau pergi ke kawasan kem mereka untuk berlatih senjata tetapi untuk melawat sebuah kota silam yang digelar Hayakil Ba’labak atau Temple Of Ba’labak.

Kota ini pernah ditawan oleh Khalid Al-Walid pada tahun 16 Hijrah iaitu selepas Kota Bosra di Hauran dibuka juga oleh Khalid Al-Walid dalam siri-siri pembukaan kota sebelum pembukaan Syam (Dimasyq) pada tahun 15 Hijrah. Pada tahun yang sama kota Homs turut dibuka.

Kota Ba’labak terkenal sebagai kota yang memiliki binaan batu terbesar di Timur Tengah. Kota ini turut menempatkan Hayakil atau Temple atau Kuil Baal. sebelum dijajah Rum, kota ini dipercayai milik masyarakat Phonesia atau di gelar Finiqiyyun di dalam bahasa arab.

Salah satu kuil yang masih terdapat
di dalam kota Lama Ba'labak


Siapa masyarakat Phonesia?
Melalui hasil pembacaan saya dari majalah National Geographic keluaran Oktober 2004. Masyarakat atau kaum ini dikenali sebagai orang laut dari catatan kertas papyrus yang dijumpai. Mereka berpusat di Tyre dan Ba’labak yang kini terletak di Lubnan.

Apa yang menarik hasil dari kajian kumpulan National Geographic mereka membuktikan bahawa penduduk yang terdapat di beberapa buah lokasi seperti Tyre dan Sidon adalah dari kaum Phonesia. Ia terbukti hasil dari kajian DNA tulang-tulang masyarakat Phonesia yang mereka jumpai dengan masyarakat kini yang menetap di kawasan tersebut.

Hasil kajian mereka mendapati terdapat persamaan dari ujian tersebut dan berkemungkinan mereka yang masih hidup di kawasan persisiran Mediterranean adalah dari kaum Phonesia yang turut menetap di situ lebih 2000 tahun yang lalu. Bangsa Phonesia terkenal sebagai pedagang yang hebat dan mereka meluaskan pengaruh ke Cyprus, Thasos, Rhodes sehingga ke Italy, Spain dan utara Afrika. Pelabuhan mereka yang terkenal ialah As-Sour, Byblos dan Arwad yang kini masih terdapat kesan tinggalannya di negara Lubnan.

Menurut dari maklumat NGM tersebut, terdapat satu pertemuan maklumat dari hasil bacaan saya melalui buku Atlas Rasul Wal Anbiya tulisan Ahmad Malghous. Di dalam buku tersebut dinyatakan bahawa kaum Phonesia atau Finiqiyyun telah diutuskan kepada Nabi Ilyas a.s

Nabi Ilyas a.s
Namanya Ilyas bin at-Tasyabbi. Dikatakan juga namanya ibn Yassin bin al-Aizar bin Harun bin Imran. Merupakan keturunan keempat Nabi Harun a.s. Diutuskan kepada masyarakat Finiqiyyun yang berpusat di Ba’labak. Baginda menyeru kepada kaumnya agar tidak menyembah Ba'la. Ini diterangkan di dalam Al-Quran Surat Ash-Shaaffat ayat 125 :

125. "Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (Ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?


Kota Ba'labak dan Kisah Dakwah Nabi Ilyas a.s

Nabi Ilyas a.s telah menyeru kaumnya agar tidak menyembah Ba'la. Dan ternyata dari maksud perkataan BA'LA BAK sendiri ialah RUMAH BA'AL. Ahli arkeologi pula mengenalpasti bahawa tinggalan binaan di Ba'labak adalah sebuah temple/kuil dan tinggalan itu adalah dari zaman Phonecian (Masyarakat Phonesia). Ini menjelaskan lagi pandangan bahawa di situlah masyarakat Phonesia menyembah berhala bernama BA'AL dan disitulah Nabi Ilyas a.s menyampaikan dakwahnya mengajak kaum Phonesia kembali ke jalan Allah.

Ketika aku berada di Ba'labak dan melalui pemerhatian yang telah di buat ternyata terdapat sebuah kuil yang amat besar di dalam kota lama Ba'labak. Pada kuil tersebut terdapat ukiran-ukiran patung di atas bumbung kuil dan di dalam kuil. Berkemungkinan itulah patung Ba'la yang disembah oleh masyarakat Phonesia satu ketika dahulu?

Kesan-kesan sejarah yang Allah tinggalkan kepada umat sekarang untuk manusia berfikir. Al-Quran yang diturunkan sudah lengkap sebagai perlembagaan hidup manusia (tidak perlu manusia bersusah payah mencipta undang-undang baru lalu melawan undang-undang Allah).

Selain itu Allah ceritakan kisah-kisah para anbiya' terdahulu untuk manusia berfikir dan bermuhasabah diri. Allah tinggalkan kesan-kesan binaan masyarakat terdahulu yang pernah menerima dakwah oleh para rasul dan mereka telah menolaknya sebagai renungan dan peringatan untuk umat Muhammad di akhir zaman ini.

Jika umat terdahulu terus ditimpa bala oleh Allah jika tidak mahu beriman. Berapa juta peluang yang telah Allah beri kepada kita untuk bertaubat setelah berbuat silap?


Jika kebenaran yang kita cari, confirm Allah beri!

Saturday, July 7, 2007

Sodom & Jemoroh Ditelan Bumi

Senja di Laut Mati. Persisiran Laut Mati kini giat dibangunkan tempat-tempat istirehat dan bersantai.
Sedarkah bangsa arab
dan umat Islam yang lain bahawa Laut Mati telah menenggelamkan
kaum Sodom dan Jemoroh atas maksiat yang mereka lakukan?
(Gambar di Amman Beach Resort 2005)

Laut Mati terletak kira-kira 50 km dari Amman- ibu negara Jordan. Laut Mati bersempadan dengan Palestin yang kini diduduki oleh Yahudi Laknatullah 'Alaih. Berada 397 meter di bawah paras laut dan merupakan kawasan terendah di dunia.

Kesan Laut Mati ini membuktikan kebenaran dari ayat Al-Quran mengenai bala yang telah menimpa kaum Nabi Luth a.s di atas maksiat yang mereka lakukan kira-kira 3900 tahun yang lampau.

Nabi Luth a.s adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Bapa baginda Hasan bin Tareh adalah saudara kandung Nabi Ibrahim a.s. Baginda mengikuti Nabi Ibrahim berhijrah dari Babylon (Iraq) ke Palestin yang dikenali dengan wilayah Kana'an pada ketika itu.

Seterusnya mereka ke Mesir dan berpisah di situ. Nabi Luth a.s berhijrah ke satu kawasan bernama Sodom dan Jemoroh yang kini merupakan kawasan bernama Jazirah Lisan terletak di selatan Laut Mati.

Menurut riwayat Imam Abbusyakh dari Said bin Abi Arubah kaum Nabi Luth a.s berjumlah 4 juta orang. Kaum Nabi Luth a.s dibinasakan oleh Allah S.W.T disebabkan melakukan perbuatan terkutuk iaitu Homoseks yang belum pernah dilakukan oleh kaum terdahulu.

Ini diterangkan di dalam Al-Quran ayat 80-81 Surah Al-A'araf :

80. Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya:
"Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun
dari penduduk alam ini sebelum kamu?

81. "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas".

Perbuatan keji yang dimaksudkan di dalam ayat 80 ialah Homoseks.

Dakwah dan amaran keras Nabi Luth a.s tidak dipedulikan oleh kaum Sodom dan Jemoroh malah mereka bertindak untuk mengusir Nabi Luth a.s dari wilayah tersebut dan menuduh Luth a.s hanya berpura-pura menunjukkan kebaikkan.

Setelah dakwah dan usaha baginda tidak berhasil, maka berdoalah Nabi Luth a.s supaya ditimpakan bencana terhadap kaumnya yang sudah melampaui batas.

Maka Allah mengutuskan malaikat untuk membalikkan bumi Sodom sekaligus menghancurkan seluruh kaumnya.

Firman Allah di dalam Surah Hud ayat 82 :


82. Maka apabila datang (Masa perlaksanaan) perintah kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus Segala Yang ada di muka buminya) dan Kami menghujaninya Dengan batu-batu dari tanah Yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Begitulah kisah umat Nabi Luth a.s yang telah dilenyapkan oleh Allah serta merta.

Ziarah untuk mengambil iktibar dari kisah Nabi Luth a.s
Melihat kepada umat Islam ketika ini pula, saya amat berasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh bangsa arab Islam sendiri. Sikap yang mereka tunjukkan langsung tidak mengambil iktibar dari kisah yang telah menimpa kaum Luth a.s.

Sudah banyak kali saya berpeluang berkunjung ke Laut Mati dan melihat arab masih leka dan bersuka tanpa mempedulikan waktu solat. Jika mereka berendam di Laut Mati sebelum Zohor mereka naik untuk makan beberapa ketika, kemudian berendam semula hinggalah selepas asar. Jika berendam sebelum Maghrib, selepas Isyak baru nampak mereka membilas dengan air biasa. Di mana solat mereka?.

Untuk pelancong dan pengunjung dari Malaysia, Alhamdulillah mereka masih kuat mengingati waktu solat, jika tiada ada kawasan khas untuk solat mereka akan solat di atas pasir dan rumput yang bersih di sekitar kawasan Laut Mati.

Cuma masih ada satu persamaan dengan arab, kebanyakkan mereka ke Laut Mati lebih untuk mengambil 'khasiat' dari air Laut Mati yang belum terjamin khasiat jika Allah tak izinkan. Bukan mereka datang untuk mengetahui kisah sejarahnya lalu mengambil pengajaran dari kisahnya.


Monday, July 2, 2007

Kisah Ashabul Sabt

Teluk Aqabah. Dahulunya dikenali dengan nama Ailah.

Pada 29 Jun yang lalu aku telah menyertai lawatan ke Aqaba yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ). Rehlah ini diadakan sehari selepas Mesyuarat Agung BKAPJ Kali Ke-8. Tahniah kepada Saudara Mohd Fahmi Ghazali kerana telah dilantik menjadi Yang Dipertua untuk sesi baru 2007/2008.

Rehlah ini telah disertai oleh 39 orang peserta yang majoritinya adalah pelajar-pelajar Perak di Jordan dan bakinya beberapa pelajar dari negeri lain.


Kisah sepanjang trip ke Aqabah
Peserta sudah mulai berkumpul pada jam 6.00 pagi namun bas mula bergerak dari Mu'tah sekitar jam 7.00 pagi. Perjalanan mengambil masa 3 jam 15 minit untuk tiba di Aqaba.

Bas yang dipandu oleh Abu Anas telah melalui Mazar terus ke Muhay dan memasuki Tariq Sahrawi (Jalan Highway) melalui persimpangan Wadi Abyad. Bas telah bergerak ke Al-Hisa, Hashimiah, Ma'an, Ras Naqab, Humayma dan seterusnya ke Aqaba.

Aktiviti yang telah dijalankan pada sebelah siang ialah menaiki Glass Boat di Teluk Aqaba. Empat buah Glass Boat telah disewa dengan bayaran JD40 untuk pakej 30 minit yang membawa peserta ke sekitar karang kecil, kesan kereta kebal dan kapal selam dari perang dunia pertama (1914).

Selepas solat Jumaat, peserta diberikan masa selama 3 jam untuk aktiviti bebas di sekitar bandar Aqaba. Cuaca amatlah panas pada hari tersebut (ramai buat keputusan berehat di McD- aku dan beberapa yang lain buat keputusan berehat disitu juga, bukan disebabkan lapar, tetapi 'rehat' sebab dalam tue ada air-conditioner :)

Pada jam 5.30 petang semua bertolak ke Shati' Shimali (Pantai Utara) yang berdekatan dengan sempadan Saudi Arabia (Border Ad-Durra) sekitar 10km dari kawasan mukhayyam & istirehat. Aktiviti BBQ telah diadakan pada petang hari tersebut. Sebelum matahari terbenam, rata-rata peserta lelaki 'sibuk' bermain bola dan hanya segelintir sahaja yang 'berlelah' memanggang ayam dan ikan.

Selepas makam malam di kawasan pantai Shati' Shimali ke semua peserta bersiap dan bas bergerak pulang ke Mu'tah tepat jam 11.00 malam (seperti yang dijanjikan dengan pemandu bas)..Kami tiba di Mu'tah jam 3.25 pagi 30/6/07. Alhamdulillah rehlah yang dijalankan telah merapatkan ukhuwwah sesama peserta namun masalah ikhtilat antara lelaki dan perempuan masih tidak dapat dikawal.


Sejarah Ringkas Bandar Aqaba
Sebelum dinamakan Al-Aqabah bandar ini telah dikenali dengan nama berbeza dalam zaman yang berbeza. Ketikamana kerajaan Edomiah menguasai bandar ini ia dikenali dengan Eloth atau Elath iaitu nama yang diambil dari sejenis pohon palma.

Era Yunani ia dikenali dengan Berenice. Ketika penguasaan kerajaan Rum Byzantium ia dikenali dengan pelbagai nama. Ketika penghujung zaman kerajaan Byzantium, kawasan ini dikuasai pula oleh Arab Ghassan yang beragama Kristian.

Bishop Yuhanna ibn Ruba'a pada ketika itu membayar Jizyah pada tahun 631 di Tabuk. Tahun 639 Saidina Umar Al-Khattab singgah di Ayla dan Amru Al'as dikatakan berkubu di sini bersama tentera Islam pada tahun 634 masihi. Mulai tahun 734 masihi iaitu ketika zaman pemerintahan kerajaan Islam, bandar ini dikenali dengan nama AYLAH.


Era pemerintahan Islam, Ayla menjadi laluan para haji yang datang dari arah Syam. 1024 masihi, Aylah dirampas oleh Abdullah bin Idris Al-Ja'fari dari kerajaan Fatimiah.

Antara tahun 1072-1073 kawasan ini dilanda gempa bumi dan pada 1116 tentera salib menguasai Aylah. Sallehuddin Al-Ayubi berjaya mengambil kawasan ini pada 1171 masihi dan kemudiannya jatuh ke tangan tentera salib semula dan dirampas kembali oleh pasukan tentera Sallehuddin Al-Ayubi yang diketuai oleh Husamuddin Lu'Lu' pada 1183 masihi.

Kurun ke-16 Aylah lebih masyhur dengan nama Aqabah. Era kerajaan Uthamaniah tempat ini seperti ditinggalkan dan kurang berpenghuni namun ia masih dibawah jajahan Turki Uthmaniah. Keadaan lebih teruk apabila terusan Suez dibina pada 1869 dan landasan Hijjaz siap dibina pada 1908.

Bandar ini kembali semula ke tangan arab dan mula dihidupkan semua pada 6 Julai 1917 apabila gabungan tentera Arab-British mengalahkan pasukan tentera Turki yang dipimpin oleh Raja Faisal anak kepada Sharif Hussein yang memimpin The Great arab Revolt menentang kerajaan Turki Uthmaniah.

Kini Aqabah telah diistiharkan sebagai kawasan bebas cukai pada tahun 2002 di bawah pemerintahan Raja Abdullah II dalam kerajaan The Hashemite Kingdom Of Jordan. Nama Aqabah terus kekal digunakan namun nama Aylah yang digunakan ketika zaman kerajaan Islam kini digunakan di kawasan seberang Teluk Aqaba yang kini menjadi milik Yahudi Laknatullah. Mereka menamakan bandar tersebut dengan nama Eilat.


Kisah Ashabul Sabt berlaku di Aqabah?
Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-A'araf ayat 163 :

Dan Bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar Yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, Yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

Ashabul Sabt adalah dari golongan yahudi yang menetap di sebuah kawasan bernama Ailah yang terletak di Teluk Bahrul Kholzoum atau dikenali dengan Laut Merah (Kini dikenali dengan Eilat di Israel yang terletak berdekatan Aqabah di Jordan.

Allah telah mengharamkan ke atas kaum tersebut untuk tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memperbanyakkan ikan pada hari Sabtu sehinggakan boleh dilihat dengan banyaknya dipermukaan laut.

Pada hari yang dihalalkan menangkap ikan, tidak kelihatan pula ikan-ikan di permukaan Laut. Puak tersebut telah mengingkari perintah Allah dan tetap menangkap ikan pada hari sabtu.

Lantaran itu, puak-puak di Ailah terbahagi kepada tiga golongan: (1) Kelompok yang melanggar perintah Allah dan tetap menangkap ikan (2) Kelompok yang melarang mereka menangkap ikan (3) Kelompok yang hanya berdiam diri.

Golongan ketiga telah berkata kepada golongan kedua sepertimana Firman Allah di dalam Surah Al-a'raf ayat 164.

Kemudian Allah telah menurunkan azab kepada puak yahudi tersebut sepertimana firmanNya di dalam surah Al-a'araf ayat 164 hingga 166.


164. Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum Yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka Dengan azab Yang amat berat?" orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

165. Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa Yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang Yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang Yang zalim Dengan azab seksa Yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

166. Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa Yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera Yang hina".

Semoga kita mengambil iktibar dengan kisah yang telah diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran. Dalam kita melancong, berehlah sentiasa kita beringat tentang kejadian-kejadian menimpa umat terdahulu.

Mereka inkar lalu Allah terus berikan azab dan balasan.. Terlalu beruntung umat Nabi Muhammad S.A.W. Cukup banyak kita diberi peluang untuk bertaubat setelah melakukan kesilapan...

Wednesday, June 20, 2007

xpdc Turkey- episod III

Sariyalan, Bursa

Selasa 12 Jun- Istanbul ke Bursa
1.30 petang baru dapat bergerak dari Istanbul ke Bursa. Buang masa setengah hari di Istanbul. Masalah bas nak ke kawasan SultanAhmet telah menyebabkan masa terbuang begitu sahaja. Perjalanan dari Istanbul terus ke pekan kecil Ekihisar dan dari situ kami menaiki feri ke Topcular di sebarang laut marmara.

Sebelum berlepas ke Topcular semua peserta terlebih dahulu lunch di Ekihisar. Rata-rata dari peserta lelaki pekena sandwich kebab (daging) yang disifatkan oleh Muneer antara makanan di Turki yang paling sedap dia pernah makan. Sejam jugak ambil masa di Ekihisar untuk semua selesai makan.

Cadangan awalnya nak beli dan makan atas feri. Tapi memandangkan semua dah lapar, siap sahaja sandwich terus 'bantai' kat situ juga. Aku pun begitu jugak la..hehe. Kecuali Hadi yang masih setia untuk makan atas feri. Sebab tu bila naik sahaja feri mula-mula memang tak nampak Hadi. Sure time tue dia ada kat port baik punya 'layan' sandwichnya.

Kami bergerak ke Topcular sekitar Jam 4.00 petang. Bas dikenakan bayaran 75 YTL. Dari Topcular kami terus ke Yalova dan tiba di Bursa sekitar jam 7 malam. Kami solat Jamak Takhir di Masjid EmirSultan. Menurut penduduk tempatan, masjid tersebut diberi nama bersempena nama sahabat nabi yang dikenali sebagai Emir Bukhari (tidak pasti kesahihannya). Makam Emir Bukhari terletak di dalam masjid tersebut.


'Tragedi' 12 Jun :)
1. Abu Uday kena saman sebab 'langgar' laluan Tol Automatik. Kena saman 275 YTL..

2. Peserta dapat hotel macam 'ghost house' hehe
.

Rabu 13 Jun

Pagi hari di Bursa kami telah menaiki Teleferik Cable Car menuju ke Uludag (Great Mountain). Tiba di Perhentian Teleferik Bursa, pengunjung punyala ramai. Dalam hati aku cakap sure 2-3 jam gak ni baru dapat naik ke atas. Setelah beli tiket dengan nilai 5YTL setiap seorang semua geng xpdc beratur di laluan untuk masuk ke Cable Car. Sejam setengah amik masa untuk kumpulan pertama xpdc (lelaki) naik ke perhentian pertama setinggi 1640m di Kadiyayla.

Setelah semua berkumpul di Kadiyayla masing-masing ada aktiviti tersendiri. Aku menuju ke sebuah aliran paip air mineral untuk menikmati kesegaran air mineral bukit disitu. Sahabat-sahabat lain ada yang bermain bola, ada yang berlari-lari, ada yang melompat-lompat, ada yang naik kuda, ada yang gi camping makan-makan sekali ngan makcik-makcik Turki, ada yang bersendiri di area hutan pine, macam-macam kerenah ada.

Hampir sejam di Kadiyayla kami bergerak menuju ke Sariyalan iaitu perhentian terakhir kami di puncak Uludag setinggi 19++m. Di Sariyalan semua pakat dok shopping beli souvenir. Lama jugaklah geng xpdc ambil masa kat sini. Setelah selesai membeli souvenir, ramai dari geng xpdc bergambar kenangan dengan latarbelakang pokok-pokok pine yang mengkagumkan.


Pemandangan bandar Bursa dari atas Cable Car
Bursa merupakan bandar kerajaan Turki Uthmaniah telah diasaskan



Kenangan di Kadiyayla, near Uludag, Bursa

3.00 petang.
Baru semua dapat berkumpul untuk turun semula ke Bursa. 4.30 petang kami tiba di Yesil Camii (Yesil bermaksud hijau). Masjid hijau dibina dengan kombinasi binaan Seljuq dan Iran. Kehalusan seni mozek dan ukiran di dalam masjid ini amat menakjubkan. Ramai juga pelancong-pelancong bukan Islam datang ke masjid ini untuk melihat kesan tinggalan yang hebat tersebut. Selepas menziarahi Yesil Camii semua peserta berjalan kaki menuju ke Heykel iaitu pusat bandar Bursa. Berdekatan Heykel terdapat kompleks dan masjid Orhan Ghazi, Kozahan (Pasar Sutera), Ulu Camii Bursa dan Grand Bazaar Bursa.

Masjid Orhan Ghazi telah dibina pada tahun 1339. Orhan Ghazi merupakan pemerintah kerajaan Turki Uthamaniah kedua selepas Osman Ghazi. Makam kedua-dua pemerintah awal Uthmaniah ini terletak di sebuah kawasan bernama Tophane di bandar Bursa. Namun kedua-dua makam tidak dapat diziarahi kerana kesuntukan masa.

Ulu Camii Bursa pula merupakan masjid terbesar di Bursa yang dibina pada tahun 1399. Masjid ini dikukuhkan dengan 12 tiang utama dengan bahagian mimbarnya kini sedang dibaiki (pemuliharaan). Dibahagian tengah masjid dihiasi dengan air pancut yang memberikan lagi keindahan dan ketenangan dalam masjid.

Kozahan pula merupakan pasar sutera sejak tahun 1491 lagi. Bangunan Kozahan yang kekal ada sehingga ke hari ini telah dibina oleh Sultan Beyazit II. Ketika perdagangan sutera dari China melalui Silk Road, pedagang akan terus melalui jalan Karavanserai dan berakhir di Bursa. Jadi Bursa merupakan tempat terakhir perhentian perdagangan sutera dari China suatu ketika dahulu.

Jam 8.00 malam bas bergerak untuk menuju ke Adana sejauh 900km. Perjalanan malam tue membuatkan aku cukup letih sebab terpaksa berjaga untuk jadi penunjuk jalan. Kalau aku tertido, sesatlah bas.

Malam tue bas melalui jalan lama untuk ke Ankara. Bus melalui Inegol ke Eskisehir ke Polatli dan terus ke Ankara dari Ankara menuju ke Aksaray-Pozanti dan terus ke Adana. Kami semua berhenti solat di Aksaray dan sempat lelap sekejap di masjid.
Ketika sampai di Adana, aku kena berhati-hati pada ketika itu melihat signboard untuk masuk ke Adana. Jika tersilap susur keluar, ia akan melambatkan lagi perjalanan ke lokasi sejarah pertama yang ingin dilawati pagi itu.

Ini adalah kerana untuk masuk ke Adana ia terdapat 3 susur keluar iaitu Adana Bati, Adana Kuzey dan Adana Dogu. Adana merupakan bandar keempat terbesar di Turki dan terbahagi kepada Utara, Timur dan Barat. Kuzey bermaksud utara, Bati bermaksud Barat dan Dogu bermaksud Timur. Pagi itu bas mesti keluar ke Adana Kuzey untuk menuju ke Pusat Bandar Adana yang menempatkan kesan sejarah yang kami perlu ziarah pagi hari tersebut.

Di awal perjalanan dari Bursa ke Ankara, aku dan Zaid adakan sedikit slot kuiz di dalam bas dengan menyediakan hadiah berupa coklat Ulker untuk 12 orang pemenang. Sememangnya kuiz malam itu dikuasai oleh pelajar perempuan.. Sememangnya mereka ingat kuat fakta atau mereka cukup rajin menulis maklumat-maklumat tempat lawatan dari penerangan yang aku dah buat dan hasil bacaan mereka.

Sehingga soalan fakta seperti Bilakah tahun masjid Orhan Gazi dibina. Boleh jawab dengan tepat (1339).

Peserta lelaki pun tak kurang hebatnya. Terutamanya soalan-soalan yang bertanyakan tentang bahasa turki. Apapun tahniah untuk semua. Bila dapat jawab soalan-soalan kuiz tue tanda korang semua nak pengetahuan dan ilmu dalam rehlah. Bila ditanya, boleh dan mudah menjawab. Mabruk!

Khamis 14 Jun
Pagi yang meletihkan (tambah dengan cuaca panas). Kami menghabiskan separuh hari di Adana. Tempat yang telah diziarahi ialah Roman Stone Bridge, Ulu Camii Adana yang telah dibina oleh RamazanOglu, Madrasah RamazanOglu, Yag Camii dan Great Clock Adana.

Mimbar di Ulu Camii Adana. Menggabungjalinkan senibina
Mamluke dan Turkish-Ottoman

Ulu Camii Adana
Menggabungjalinkan senibina Mamluke, Seljuq dan Uthamaniah. Mula dibina oleh RamazanOglu Halil Bey pada 1513 dan siap dibina ketika zaman Pili Mehmet Pasa. Masjid ini merupakan binaan bangunan tertua di Adana.

Ketika gempa bumi pada 27 Jun 1998, masjid ini telah mengalami kerosakkan dan telah dibaiki semula. Di dalam masjid ini terdapat beberapa makam Sultan/Gabenor Adana yang ditempatkan di dalam bilik bawah tanah. Mereka ialah RamazanOglu, HalilBey, Pili Mehmet Pasa dan MustafaBey

Roman Stone Bridge
Titi batu yang merentasi Sungai Seyhan ini telah dibina oleh Hadrian (76-138M) dan dibaiki oleh Maharaja Justinian ketika era Byzantium.

Madrasah RamazanOglu
Terletak bersebelahan Ulu Camii. Ia juga merupakan kompleks Ulu Camii. Menempatkan bilik-bilik darjah untuk pengajian Islam dan terdapat tempat mengambil wuduk berhadapan pintu masuk madrasah.

Great Clock Adana
Dibina pada tahun 1881.

Yag Camii
Dibina pada tahun 1501.

Setelah selesai ziarah di Adana, kami sarapan Tavuk Doner di restoren berhampiran Yag Camii yang disifatkan oleh peserta xpdc syabab antara sarapan yang paling sedap.. (ntah betoi ke muja). Setelah selesai makan, semua bergerak menuju ke bas yang jaraknya 1km dari restoran tempat kami sarapan.

Kami tiba di Antakya lewat petang tersebut disebabkan hal kat bawah nih...
1. Bas tukar minyak hitam di Adana.
2. Abu Uday terlajak nak pegi ke Gaziantep. Terlepas susur keluar highway nak ke Antakya. Dia terlajak ke Osmanli sehingga nak sampai di Nur Dagi. Hampir 120km juga. Yang 'menariknya' highway ada U-turn. (Bagusla..kalau tak jenuh nak sampai susur keluar lain dan patah balik semula). Disebabkan dia terlajak, dia kerugian disel hampir 80 YTL.

6.00 petang tiba di Antakya dan terus check-in hotel (Hotel Saray) yang terletak betul-betul di tengah pusat bandar Antakya. Bersebelahan Ulu Camii. Petang itu aktiviti bebas. Ada peserta sudah berjalan-jalan di pekan Antakya petang itu dan ada sebahagian peserta syabab menuju ke Harbiye untuk mandi air terjun. Perjalanan Antakya ke Harbiye menaiki Dolmus (van awam) memakan masa setengah jam juga (hanya peserta yang pergi tahu kisah seterusnya, orang lain tak boleh tahu..hehe).

Malam tue semua peserta dinner Lahmacun. (Roti dengan daging dikisar) Kemudian di panaskan di dalam oven). Sebelum tue ramai dah yang pekena nasi kat bandar Antakya.

Jumaat 15 Jun

Pagi di Antakya kami ziarahi Makam Habibinajjar (kisah Ashabul Qaryah di dalam Surah Yassin mulai ayat 13 hingga 28). Ringkas kisah di dalam ayat tersebut bagaimana dikisahkan di dalam Al-Quran bahawa 2 orang rasul diutuskan ke sebuah kampung lalu mereka mendustakannya. Kemudian dikuatkan (2 rasul tersebut) dengan rasul ketiga dan mereka tetap mendustakannya.

Mereka mengatakan bahawa rasul-rasul yang dihantar juga adalah sama seperti mereka dan mengatakan bahawa rasul yang diutus hanyalah berdusta. Ketikamana rasul-rasul itu diancam, datanglah seorang lelaki dari hujung bandar dengan berlari dan memberi nasihat kepada kaumnya agar mengikuti ajaran rasul yang telah diutuskan.

Mereka tetap tidak mahu menerima ajaran rasul-rasul tersebut. Lalu Allah telah menghapuskan mereka sepertimana Firmannya di dalam ayat 28 yang bermaksud:

" (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dashyat), maka dengan serta merta mereka semuanya senyap sepi- tidak hidup lagi".

Kami juga menziarahi Makam Nabi Yahya dan Nabi Yunus a.s di masjid yang sama. Setelah itu kami melawat Ulu Camii Antakya dan mengakhiri lawatan di Antakya pagi itu sekaligus menamatkan lawatan untuk xpdc Turkey pada kali ini.

11.00 pagi
Bas bergerak menuju ke Cilvegozu. Urusan Cop keluar negara Turki amat mudah. Cuma peserta terpaksa makan asap lori disebabkan pusat imigresen Cilvegozu masih dalam pembinaan dan pejabat sementara ialah sebuah kaunter yang terletak di tengah-tengah jalan keluar masuk.

Apapun urusan tetap cepat dan lancar di Imigresen Turki. Masalahnya masih pada bas..xtahulah apa problemnya lagi yang menyebabkan tersangkut di pintu keluar Turki untuk masuk ke Bab Al-Hawa (Border Syria) hampir 1 jam setengah.

Sebelum itu kami solat Jumaat di Masjid Cilvegozu yang dibina pada tahun 1980. (Terpaksa solat disitu kerana tunggu pejabat untuk urusan cop keluar bas tutup. Buka selepas solat Jumaat. Tapi yang peliknya, pejabat tu tutup 2 jam sebelum azan zohor tengahari tue. Urusan di sempadan Syria agak lancar dan kami selamat masuk ke Syria jam 4.00 petang.

Ke Halab atau terus ke Hama..
Setelah tiba di Bab Hawa, Zaid memberitahu Abu Udai bahawa peserta semua nak ke Halab. Apa lagi, mengamuklah orang tua tue. Sudahlah lewat. Jam 4.00 petang. kalau ke Halab dari Bab Hawa makan masa 40 minit. Duduk di Halab 2 jam sudah pukul 7 malam. Halab ke Dimasyq 4 jam.

Dimasyq ke Sempadan Syria-Jordan 1 jam 15 minit. Urusan di sempadan mahu makan masa 2-3jam. Dari Border ke Amman sejam dan Amman ke Irbid sejam...hitung-hitung dalam 4.00 pagi sampai di Amman..(mana tak mengamuk orang tua tu mintak ke Halab).

Kalau tak pergi Halab sure boleh sampai dalam jam 1 pagi di Amman. Apapun aku dan Zaid tetap berkeras nak ke Halab petang tue sebab taukey syarikat bas dah janji untuk beri satu lokasi lawatan sebagai hadiah untuk kami. Abu Udai berkeras tak nak pergi.

Kebetulan aku ada simkad Areeba (Line Syria) terus aku call Abu Qusay (Tauke Syarikat Bas) di Jordan dan minta sangat dapat ke Halab dan minta dia cakap dengan Abu Udai. Akhirnya Abu Udai terpaksa akur. Bos syarikat mintak bawa kami ke Halab. Aku dan zaid gembira. Abu Udai cukup marah tapi terpaksa redha

Kami sampai di Halab jam 5.30 petang, Perjanjian hanya 1 jam 30 minit di Halab. Hari tue Jumaat, tempat-tempat shopping semua tutup. So, semua peserta ke Bab Faraj untuk makan sahaja..(dalam hati aku: kalau tahu begini jadinya..baik xpayah ke Halab). Apapun semua Allah dah aturkan, sebelum 7.00 malam semua peserta lelaki sudah ada di bas. Tapi aku ngan Zaid terpaksa tunggu peserta akhwat yang selesai lewat makan.

7.20 kami sampai di bas. Abu Udai dah hot. Berlaku sedikit pertengkaran antara Abu Udai dan Zaid. Namun dapat disejukkan cepat. Sejak aku bersahabat dengan Zaid, jarang sungguh aku tengok Zaid marah. Boleh kata kali pertama depan mata aku Zaid 'naik hot' dan bertengkar ngan Abu Udai. Maybe dah tensen sangat ngan perangai Abu Udai. Aku pun hot sangat dengan perangai dia, takut naik kaki saja.! Papepun petang tue aku cuba sabarkan diri banyak-banyak. Alhamdulillah Allah berikan nikmatnya itu.

Sepanjang perjalanan ke Dimasyq aku tak boleh lelap. Sekali lelap masuk ke jalan lain pulak. Kekadang sahaja bila sampai jalan lurus tanpa perlu ke kiri ke kanan aku curi-curi lelap sekejap.

Kami selamat sampai Dimasyq jam 12.00 malam. Bas terus bergerak menuju Naseeb di sempadan Syria-Jordan. Abu Udai berhenti rehat di Kiswah untuk isi minyak dan membeli makanan ringan. 1.30 pagi Tiba di Border Syria. Urusan amat pantas di Syria. Begitu juga di Jordan. 3.00 pagi semua urusan selesai. Peserta solat Jamak Takhir di Masjid Imigresen Jaaber..

Sabtu 16 Jun

4.30 pagi : Tiba di Amman

5.30 pagi : Tiba di Irbid


Alhamdulillah..akhirnya xpdc Turkey dapat berjalan dengan baik. Aku berharap semua peserta dapat menimba pengalaman dan ilmu sepanjang rehlah yang telah berlalu. Itulah target utama rehlah diadakan. Kita berjalan, kita menambah thaqofah dan ilmu, iman boleh ditingkatkan.

Aku berharap semua peserta dapat memaafkan kesalahan aku sepanjang bersama mereka di bumi Turki. Bukan senang nak senang.