Friday, June 4, 2010

Dhiban & Mesha Stele

Pekan kecil Dhiban di wilayah Madaba, Jordan

Dhiban sebuah kampung kecil terletak kira-kira 70km dari bandar Amman, 33km dari bandar Madaba dan 56km dari bandar Karak. Dahulunya ia dikenali dengan Dibon dan penganut kristian memanggilnya Divon.

Bandar Kuno Dhiban dipercayai wujud sejak zaman gangsa kira-kira 5000 tahun sebelum masihi. Penemuan artifak dari era Rum, Byzantium dan zaman kerajaan Islam membuktikan kerajaan-kerajaan tersebut pernah membina kuasa di Dhiban.

Bandar ini lebih terkenal dalam catatan sejarah apabila dikaitkan dengan kerajaan Moab yang menguasai bahagian Timur Laut Mati. Dhiban merupakan sebahagian dari wilayah kerajaan Moab. Moab merupakan kerajaan Bani Israel yang wujud sejak 1400 tahun sebelum masihi.

Di bandar Dhiban inilah Mesha Stele atau Moabite Stone telah ditemui pada tahun 1868 oleh mubaligh kristian dari Jerman Rev FA Klein.


Mesha Stele antaranya mengisahkan tentang pemerintah Moab iaitu King Mesha yang memerintah sekitar tahun 840 sebelum masihi. Batu bersurat itu mengandungi inkripsi dengan tulisan Moab (mirip kepada tulisan Ibri) sebanyak 34 baris.

Ia ditulis di atas batu berwarna hitam dari batuan gunung berapi (Basalt Stone). Saiz permukaan batu tersebut ialah 124cm x 71cm.

Antara isi penting batu bersurat tersebut ialah tentang bagaimana Moab ditindas oleh King Omri dan tentang kemenangan Mesha ke atas anak King Omri (tidak bernama) dan orang-orang Gad di kawasan Nebo, Ataroth dan Jehaz.


Mesha Stele asli kini ditempatkan di Muzium Louvre, Perancis dan replikanya boleh dilihat di Muzium Negara Jordan di Jabal Qal'ah.

Ancient Dibon

Thursday, June 3, 2010

Madrasah Ridaa'iyah Halab


Madrasah Ridaa'iyyah juga dikenali dengan Madrasah Al-Uthmaniah terletak di bahagian utara Bab Al-Nasr di bandar lama Halab. Kompleks madrasah ini telah dibina oleh Gabenor kerajaan Turki Uthmaniah di Halab iaitu Uthman Pasha Yakan bin Abdul Rahman Pasha atau dikenali dengan Ad-Duraki pada tahun 1141 hijri bersama 1728 masihi.

Kompleks ini merangkumi masjid, madrasah dan Al-'Amarah merupakan tempat penyediaan makanan dan minuman untuk pelajar dan fakir miskin.

Terdapat ruang lapang berhadapan pintu masjid dengan kolam pancutan air ditengahnya. Madrasah digunakan untuk pengajian agama sejak ia dibina dan sehingga kini terdapat Maahad Tahfiz yang dikendalikan oleh mudir Syeikh Abdul Ghani Qanbiri merupakan penulis buku At-Tibyan Fil Bayan Ma Ashtabihi ‘Ala Hafaz Al-Quran.

Jalan mudah untuk menjejaki kompleks ini ialah dari Bab Al-Nasr. Masuk ke Bab Al-Nasr dan terus menuju ke lorong sebelah kiri. Madrasah Ridaai'yah terletak kira-kira 300 meter dari permulaan lorong.

Tuesday, June 1, 2010

Madaba: Madinah Fusayfusa'iah

Bandar Madaba terkenal dengan nama jolokan ‘bandar mozek’ terletak kira-kira 40km dari ibu negara Amman. Dipercayai wujud penempatan awal di Madaba sejak 4,500 tahun yang lalu. Terkenal sebagai bandar kerajaan Moabiah dan disebut di dalam kitab Taurat. Bandar Madaba pernah dikuasai oleh Kerajaan Ammoniah, Bani Israel, Nabatean, Rum-Byzantium dan kerajaan Islam. Ia juga merupakan bandar utama yang terletak di laluan Jalan Trajan yang menghubungkan Petra dan Bosra.

Ramai penganut Kristian menetap di Madaba disebabkan ia adalah bandar suci mereka selepas Jerusalem di Palestin & Sednaya di Syria. Tanggapan suci mereka terhadap bandar Madaba adalah disebabkan kawasan tersebut dan sekitarnya adalah antara kawasan-kawasan awal permulaan agama kristian dan di bandar Madaba menempatkan puluhan gereja-gereja lama dan tempat suci agama kristian.

Gereja-gereja lama Byzantium dihiasi oleh mozek-mozek halus disebut di dalam Bahasa Arab dengan Fusayfusa'iah. Mozek disusun dengan gambar-gambar pokok, binatang dan pemerintah kerajaan mereka. Antara kawasan-kawasan gereja lama Byzantium yang masih kekal di Madaba ialah: Umm Rasas, Khirbet Mukhayyat, Mount Nebo, Gereja St.George, Gereja Apostle, Gereja Virgin, Gereja Martyrs.

Gereja Apostle terletak berhampiran Jalan Trajan dan dipercayai dibina pada tahun 578 masihi. Terdapat bahagian gereja yang telah rosak dan telah dijalankan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan termasuk membumbungkan kawasan gereja bagi menjaga keadaan lantai mozek yang terdapat disitu.

Gereja St.George terletak di Jalan Yarmouk berdekatan persimpangan menuju ke Mount Nebo. Gereja Greek Ortodok ini dibina pada tahun 1890 di atas tapak gereja Byzantium yang dibina pada tahun 560 masihi. Di bahagian lantai di salah satu sudut gereja ini terdapat peta Palestin yang disusun dengan kepingan mozek yang kecil. Ia dikenali dengan ‘The Map of the Holy Land’. Kerja-kerja menjaga kesan mozek tersebut telah bermula pada tahun 1897 yang dijalankan oleh Deacon Kleofas Kikilides. Gambaran pada peta tersebut menunjukkan bandar Al-Quds yang dikelilingi oleh dinding kota, gambaran tentang Karak, Sungai Jordan, Laut Mati, Nablus, Hebron, kawasan Delta Sungai Nil dan kawasan Selatan Lubnan iaitu Tyre. Terdapat 157 captions (keterangan gambar) di dalam Bahasa Greek pada peta mozek tersebut. Banyak catatan pada peta tersebut mempunyai kaitan kisah-kisah yang tertera di dalam kitab Taurat dan Injil.

Hippolytus Hall atau Dewan Hippolytus terletak berhampiran Pusat Pelancongan Madaba. Di dalam dewan tersebut terdapat Gereja Virgin dan berhampiran dengannya adalah Gereja Martyrs. Gereja Virgin merupakan kawasan pertama yang ditemui semula pada tahun 1887 dengan terdapatnya gambaran bunga pada mozek yang amat cantik. Kerajaan Umayyah turut menjaga kawasan tersebut pada zaman penguasaannya sekitar tahun 767 masihi.

Muzium Madaba telah ditubuhkan oleh Jabatan Arkeologi Jordan pada tahun 1962. Muzium ini menempatkan artifak-artifak sejarah terdiri daripada tembikar, wang syiling lama dan lain lain yang ditemui di lokasi sejarah dan arkeologi seluruh wilayah Madaba. Antaranya: Khirbet Iskandar, Umm Rasas, Dhiban dan Khirbet Mukhayyat. Turut terdapat mozek dari Mukaweir yang dikenalpasti sebagai lantai mozek tertua di Jordan. Selain itu muzium ini turut mempamerkan kesenian dan budaya masyarakat tempatan seperti baju dan perhiasan.

Kira-kira 20km dari bandar Madaba berhampiran dengan Mount Nebo terdapat sebuah lokasi sejarah yang dikenali sebagai Khirbet Mukhayyat. Perjalanan ke lokasi tersebut memerlukan anda menuruni jalan berturap batu ke arah kawasan berbukit. Perkampungan Mukhayyat merupakan kota silam Nebo yang mula diterokai oleh Conder pada tahun 1881. Para ahli arkeologi dari Institut Arkeologi Franciscan telah memulakan carigali pada tahun 1935 di atas usaha pihak kristian untuk mencari tempat-tempat suci mereka. Khirbet Mukhayyat merupakan kubu kota lama Rum yang dikenali sebagai Acropolis dan kisahnya tercatat di dalam Mesha Stele yang menyatakan Khirbet Mukhayyat juga merupakan salah satu bandar-bandar kerajaan Moabiah. Pada kurun ke-4 kawasan ini tidak dihuni sehinggalah pada kurun ke-5 barulah ia dihuni oleh orang-orang kristian. Khirbet Mukhayyat turut dikenalpasti wujud sejak 2000 sebelum masihi berdasarkan perkuburan lama yang ditemui di kawasan tersebut.


Madaba, Summer 2007

Madaba Archaelogical Park

The Map of the Holy Land