Showing posts with label kembara solo. Show all posts
Showing posts with label kembara solo. Show all posts

Friday, November 23, 2007

Seketika di Tuwal Dabbaghin

Beehive House di Hama, Syria


Manusia boleh hidup dan berteduh dengan pelbagai cara dan altenatif. Selagi akal digunakan, mahu berfikir, berjuang untuk hidup semuanya boleh jadi. Manusia boleh hidup dengan membuat rumah di atas pokok, membina ais untuk dijadikan rumah igloo. Menghasilkan papan untuk membina rumah papan. Menghancur, membentuk batu untuk dijadikan rumah batu..

Semua itu terlintas difikiranku ketika tercegat di Tuwal Dabbaghin, sebuah perkampungan 'aneh' terletak jauh dari kemodenan. Kampung tersebut berada di dalam bandar Hama, sebuah bandar yang pernah menyaksikan umat Islam di bunuh beramai-ramai dengan kejahatan tentera suruhan 'Si Singa'. Walaupun ia sudah berlalu 25 tahun yang lalu, namun sejarah hitam itu telah tercatat yang mana Islam boleh membunuh Islam atas sebab harta dan kuasa.

Aku berada di Tuwal Dabbaghin setelah selesai melawat Qasr Ibn Wardan. Di perkampungan kecil tersebut terdapat puluhan buah rumah yang dibina dari tanah berbentuk bujur yang dikenali dengan Beehive House. Rumah tersebut masih dihuni oleh penduduk pendalaman padang pasir Syria. Mungkin ada dari mereka adalah badwi yang cuba merasa hidup tidak lagi dengan berkhemah dan berpindah randah.

Pertama kali aku melihat rumah seperti itu ialah di dalam rancangan Jejak Rasul terbitan TV3. Di dalam rancangan tersebut, mereka menyiarkan keadaan Beehive House yang terdapat di Harran, sebuah wilayah kecil di SanUrfa, Turki.

Ternyata setelah belasan tahun aku melihat siaran tersebut, aku diberikan kesempatan berada di hadapan binaan tersebut tetapi tidak di Harran tetapi di Tuwal Dabbaghin, Hama. Menurut catatan, binaan beehive house tersebut hanya terdapat di Harran Turki dan di Hama Syria. Ia tidak wujud di kawasan lain.

Aku tidak dapat lama disitu kerana berjanji dengan pemandu van yang membawa aku untuk berada hanya 15 minit. Ia secara kebetulan aku melalui kawasan tersebut setelah melawat di Qasr Ibn Wardan- Sebuah kota Byzantium yang terletak 60km ke arah padang pasir dari bandar Hama.. aku sempat merakamkan kenangan di Beehive House, melihat kehidupan manusia di dalamnya..

Aneh.

Thursday, August 9, 2007

Demam Ketika Di Gunung Nemrut

Di dalam perjalanan ke Gunung Nemrut, Adiyaman (East Turkey).
Perjalanan dari Kahta menaiki van Transit ke Nemrut Dagi Milli Parki.

Sudah 3 hari aku demam. Aku cuba gagahkan langkah. Setelah membeli ubat di Selcuk, dengan kuasa Allah, aku sedikit sembuh. Namun ketika bas mulai bergerak dari Selcuk ke Aydin dan Denizli otakku sudah mula merancang ingin terus pulang ke Syria.

Kedegilan aku telah memenangi pertandingan antara pulang terus ke Syria atau meneruskan kembara di Turki.

"Rugi kalau terus balik. Mungkin aku akan sembuh sehari dua lagi" kata hatiku ketika itu.

"Jika demam masih belum sembuh, aku kena pulang juga ke Syria". Hatiku menegas.


Akhirnya perangai degilku menguasai diri ketika itu. Aku meneruskan pengembaraan ke Denizli iaitu ke Pamukkale. Aku bermalam di Hotel Aydin, Pamukkale dengan bayaran 8 Juta Lira Turki. Malam itu setelah memakan ubat aku terus tidur untuk mendapatkan rehat yang cukup.


Keesokkan paginya, setelah meninjau di Pamukkale aku terus Denizli dan dari situ aku mengambil bas ke Konya. Demam agak reda dan aku masih kuatkan semangat aku. Seharian berada di Konya dan pada malamnya aku mengambil keputusan untuk terus ke Adiyaman. Badan aku malam tersebut bertambah panas. Sementara menunggu bas ke Adiyaman aku berehat di surau Otogar Konya.

Setelah mendapatkan tiket berharga 20 Juta Lira Turki aku bergerak meninggalkan Konya jam 1.00 pagi. Destinasi perjalanan aku hendak ke Timur Turki. Aku mesti menghabiskan penjelajahan di beberapa bandar utama di Timur Turki dan Adiyaman merupakan bandar pertama aku perlu jejaki sebelum ke bandar-bandar lain. Malatya, Diyarbakir, Erzurum, Batman, Van dan Agri telah berada di dalam perancangan aku untuk tiba.
Demam masih demam.

Sepanjang perjalanan yang jauh dari Konya ke Adiyaman aku banyak tidur. Boleh dibilang dengan sebelah jari tangan berapa kali sahaja aku terjaga.

Bas berhenti di Adana dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Osmaniye, Kahramanmaras dan terus ke Adiyaman.


Aku tiba jam 11.00 pagi di Adiyaman. Sebuah bandar di Timur negara Turki. Tujuan aku ke bandar Adiyaman adalah untuk ke Gunung Nemrut yang terletak di dalam region Adiyaman iaitu di Kahta. Dengan maklumat yang aku dapat dari penjaga kaunter bas di Adiyaman, aku perlu mengambil Dolmus untuk ke Kahta. Ia tidak memberi banyak masalah kepada aku kerana stesyen Dolmus untuk ke Kahta hanya berada beberapa puluh meter dari Otogar Adiyaman.

Dengan bayaran 5 Juta Lira Turki aku menaiki Dolmus dari Adiyaman ke Kahta. Geografi berbukit di kawasan tersebut dengan kawasan menghijau amat menarik perhatianku. Di dalam perjalanan tersebut aku mendapat maklumat dari papan tanda di tepi jalan bahawa di kawasan tersebut terdapat Makam sahabat Rasulullah iaitu Mahmud Al-Ansari dan Abu Zar Al-Ghifari. Ketika itu aku sudah merancang untuk menjejaki makam tersebut jika berpeluang selepas mendaki Gunung Nemrut.


Perjalanan Adiyaman-Kahta sejauh 40km. Perjalanan memakan masa hampir sejam.


Demam belum reda. Badan semakin letih.


Bersama aku pada ketika tiba di Kahta adalah 2 orang
backpaker dari Hungry dan seorang dari Latvia.

Apabila tiba di Kahta, kami disambut oleh beberapa 'orang suruhan' hotel-hotel di Kahta untuk 'menjemput' kami ke hotel-hotel mereka. Setelah berlaku tawar menawar dengan beberapa 'wakil' dari hotel-hotel tersebut aku memilih untuk bermalam di Hotel Commagne. Dengan bayaran US Dolar 35 aku dapat bermalam semalam di Kahta, Makan Malam, Sarapan Pagi, Van Transit ke puncak Gunung Nemrut selama 2 kali iaitu untuk melihat Sunset dan Sunrise serta tiket masuk di Nemrut Dagi Milli Parki.


2 orang Hungry memilih hotel lain.


Latvian memilih untuk berkhemah dan membuat keputusan berjalan kaki dari Kahta ke puncak Gunung Nemrut setinggi 2134 meter.

Ketika itu jam sudah 2.00 petang. Tepat jam 3.00 petang, van Transit akan tunggu di luar hotel untuk bergerak menuju ke Nemrut Dagi Milli Parki.

Sememangnya ketepatan masa menjadi milik orang Turki. Semua peserta yang mahu ke Nemrut Milli Parki sudah bersedia awal di lobi hotel. Aku yang terakhir turun. Lewat 2 minit dari jam 3.00 petang, van mula bergerak ke Nemrut Dagi Milli Parki. Van bergerak dari Kahta ke jalan bergunung untuk menuju ke puncak Gunung Nemrut setinggi 2134 meter. Van melalui jalan berbukit dan berhenti di Jambatan Rum dan Roman Pillars di pertengahan perjalanan.

Sepanjang perjalanan mendaki Gunung Nemrut, mata aku terpukau dengan pemandangan sekeliling. Cukup indah.

Badan aku berasa sedikit selesa walaupun demam belum sembuh sepenuhnya.


Aku tiba di Nemrut Dagi Milli Parki setelah hampir 2 jam perjalanan. Setelah selesai urusan tiket di kaunter yang di uruskan oleh pemandu kami, aku bersama peserta yang lain (seingat aku dalam 22-25 orang) mula mendaki untuk ke puncak Gunung Nemrut dari Nemrut Milli Parki. Dalam keadaan badan yang belum betul-betul sembuh aku cuba mendaki untuk tiba ke puncak gunung.


30 minit mendaki aku tiba juga di puncak. Cuaca di puncak amatlah sejuk walaupun pada ketika itu sudah musim panas. Salji-salji nipis masih memenuhi puncak gunung tersebut. Selamat ketika itu aku memakai baju agak tebal disebabkan ingin cepat berpeluh.


Di atas puncak gunung Nemrut tersebut terdapat beberapa ukiran patung diukir dalam keadaan duduk di sebuah kerusi yang besar dengan kepala patung tersebut sudah jatuh menyembah bumi. Berhadapan patung-patung tersebut ialah sebuah Altar yang dipercayai digunakan sebagai tempat penyembelihan untuk pemujaan dan pengorbanan. Di kiri kanan Altar terdapat ukiran helang yang kononnya mengawal tuhan.

Dikatakan patung-patung tersebut dari Zaman Commagene. Iaitu dari era Greek dan Parsi
.

Kesan patung dalam keadaan duduk yang sudah hilang kepalanya.

Cuma yang menimbulkan persoalan dalam minda aku ketika itu ialah mengenai kepala patung-patung tersebut. Semuanya jatuh menyembah bumi. Adalah Nemrut yang menjadi nama bukit tersebut ialah nama Maharaja Nemrut ketika zaman Nabi Ibrahim? Nemrut yang menyembah patung berhala? Dan adakah patung-patung itu yang di penggal kepalanya oleh Nabi Ibrahim?

Sedangkan pula, tempat dikatakan Nabi Ibrahim tidak di makan api ialah di sebuah kawasan bernama Harran. Harran pula terletak tidak jauh dari kawasan Gunung Nemrut tersebut.


Ia amat menarik untuk dikaji.


Ketika itu aku sudah mengenangkan semula mukjizat dan kehebatan Nabi Ibrahim a.s. Jika benar disitu baginda memenggal kepala patung berhala. Nah! Itulah bukti sejarah yang membenarkan kehebatan dari kisah sejarah Nabi Ibrahim a.s


Namun, banyak pendapat mengatakan bahawa peristiwa itu berlaku di Ur atau kawasan Babylon di Iraq. Wallahualam.


Dengan kesempatan rezeki yang Allah beri untuk berada di puncak gunung tersebut, aku menghabiskan masa melihat kesan-kesan tinggalan patung-patung berhala di puncak gunung sambil memerhatikan keindahan semulajadi ciptaan Allah di sekeliling gunung tersebut.

Mata aku terpukau dengan keindahan Tasik Attaturk dari puncak bukit. Keindahan gunung-ganang kawasan Tut, Kahta dan Sincik.

Maha Suci Allah yang mencipta alam yang indah ini. Untuk manusia berfikir tentang kehebatan Allah menjadikan segala-galanya.


Ketika matahari terbenam, aku bersama yang lain sudah menuruni puncak gunung tersebut untuk kembali ke Kahta.


Aku bersyukur kepada Ilahi kerana masih memberikan aku kekuatan dan peluang berkunjung ke Gunung Nemrut.


Walaupun dalam keadaan aku yang masih demam.


Tuesday, August 7, 2007

Kembara di Umm Rasas

Bandar Madaba

Sibuk bandar Madaba petang itu. Bunyi hon kereta tidak putus-putus membingitkan telinga. Ada lampu isyarat namun seperti tiada fungsinya. Lampu masih belum hijau tapi kereta-kereta yang berbaris di belakang terus membunyikan hon. Baik buang sahaja lampu isyarat yang ada.

Aku melangkah ke stesyen bas Madaba. Penuh dengan manusia. Penuh gelagat.

Riuh.

Penjual buah Sobur berteriak bersungguh-sungguh memanggil manusia yang lalu lalang untuk merasa buah kaktus tersebut.

Lagu Amru Diyab 'membuat bising' di kedai bersebelahan stesyen bas.

Hon kereta terus berbunyi.

"Bagaimana hendak ke Umm Rasas" Aku bertanya kepada seorang lelaki berhampiran stesyen bas.

"Kau boleh menaiki teksi ke sana" Jawab lelaki tersebut.
"Aku boleh bawa kau ke sana" Tambah lelaki tersebut.

"Terima kasih. Aku mahu ke sana dengan coaster" Aku mengucap salam lalu meninggalkan lelaki tersebut.

Bila aku paling ke belakang. Aku lihat lelaki tadi sudah berada di dalam teksi di bahagian pemandu. Rupanya lelaki tadi adalah pemandu teksi. Silap orang aku bertanya.

Aku berlegar di kawasan stesyen bas Madaba. Melihat ke arah coaster yang memenuhi stesyen bas tersebut. Mencari coaster untuk ke Umm Rasas. Mata aku terus melilau mencari tulisan Umm Rasas di 'badan' coaster.

Madaba - Libb.

Madaba - Leyhun.

Madaba - Hesban.

Madaba - Ziziyya.

Madaba-Umm Rasas. Akhirnya aku menemui coaster yang aku cari di satu sudut Timur stesyen bas Madaba.

Seperti biasa. Sistem pengangkutan di Jordan 'penuh baru jalan. Selagi tak penuh penumpang, bas/coaster takkan bergerak. Ketika aku menaiki coaster tersebut, coaster sudah dipenuhi oleh separuh penumpang. Setengah jam selepas itu baru coaster mula bergerak meninggalkan Madaba menuju ke kampung Umm Rasas.

Umm Rasas terletak kira-kira 32km dari bandar Madaba. Lokasi yang aku ingin jejaki pada petang tersebut ialah Berek Tentera Rum dan Kesan Gereja Lama Byzantium yang terdapat di perkampungan Umm Rasas. Rasas adalah kalimah bahasa arab yang bermaksud peluru. Kota ini dikenali dalam bible sebagai Mephaath dan di sebut Kastron Mefaa. Pada tahun 2004, tempat ini telah diisytihar sebagai salah sebuah lokasi yang dikawal oleh UNESCO dibawah UNESCO World Heritage.

Sesahihnya perjalanan aku ke Umm Rasas pada petang tersebut sudah lewat. Sudah masuk waktu asar. Aku melalui perkampungan Nitil untuk ke Umm Rasas. Di sepanjang perjalanan aku mencatat semua perkara yang telah aku lalui termasuk melalui 2 kesan kota arkeologi iaitu Za'faran dan Arremeil.

Coaster memasuki beberapa kampung kecil untuk menghantar penumpang.

45 minit perjalanan aku tiba di Umm Rasas. Mataku terus tertumpu ke arah sebuah kota petak yang luas (dianggarkan 150m x 150m).

"Ini adalah coaster terakhir untuk kembali ke Madaba, lagi 15 minit coaster ini akan terus ke Madaba" Pesan pemandu coaster kepada aku.

Aku menganggukkan kepala namun hati tidak bersetuju.

15 minit di situ sudah pasti tidak mencukupi untuk aku mengkaji dan menjelajah kawasan kota tersebut.

Kaki aku melangkah menuju ke kota yang terletak berhampiran kampung Umm Rasas. Aku perlu mendaki dinding rendah yang telah hancur untuk melihat ruang dalam kota tersebut. Ternyata ia sebuah kota yang telah hancur ditelan zaman namun masih dapat lihat kesan lengkungan dan petak-petak bilik yang merupakan penempatan askar suatu ketika itu.

Seluruh bilik-bilik yang telah hancur di kelilingi oleh dinding kota yang kukuh. Di suatu sudut kota terdapat pula gereja lama yang dihiasi dengan mozek. Ia termasuk di dalam 10 gereja mozek utama yang terdapat di Madaba.

Pemandangan Umm Rasas dari udara (www.christusrex.com)

Lantai Mozek Gereja yang terdapat di Umm Rasas

Hampir sejam aku berada di kota lama Umm Rasas tersebut.

Coaster yang aku naiki sebelum itu sudah lama bergerak ke Madaba.

Aku berdiri di simpang tiga jalan kampung Umm Rasas untuk Shariq Sharawi, Madaba dan ke Dhibban. Menunggu coaster lain kalau-kalau ada untuk ke Madaba.

Sunyi.

Pemandangan dataran luas padang pasir dihiasi ladang-ladang pokok zaitun.

Kampung Umm Rasas yang kecil. Jauh dari kebisingan dan kemodenan.

Aku duduk, berdiri, berjalan. Coaster masih belum ada. Kenderaan lain jarang-jarang pula lalu. Penantian memang satu penyeksaan. Memang benar kata pemandu coaster yang aku naiki beberapa jam sebelum itu. Coasternya merupakan coaster terakhir untuk ke Madaba.

Aku mempunyai satu sikap yang kekadang memang menyusahkan diri sendiri. Sikit keras kepala. Payah nak terima pandangan orang. Semasa pemandu coaster memberitahu yang itu coaster terakhir ke Madaba. Aku sudah menaruh sangka negatif pada pemandu tersebut. Hati mempeleceh pemandu tersebut dan bersangka yang beliau hanya inginkan penumpang ke Madaba dan suruh aku bersegara untuk menaiki coasternya.

Aku yang menerima padah akhirnya. Sejam setengah menunggu coaster hendak kembali ke Madaba. Coaster tiada. Kenderaan lain pun tak ada yang mahu ke Madaba.

"Kamu hendak ke Madaba?" Aku menahan sebuah van dan bertanya kepadanya.

"Aku tidak ke Madaba. Rumah aku di Wadi I'mad" Jawab pemandu van tersebut.

Aku mengucapkan terima kasih dan salam pada pemandu van tersebut sebelum ia bergerak meninggalkan aku.

Hari sudah semakin senja. Kelihatan badwi sudah membawa biri-birinya balik ke khemah. Aku masih di persimpangan jalan tersebut mencuba nasib untuk kembali ke Madaba dan dari Madaba terus ke Amman.

Otak aku ligat berpusing untuk menyelesaikan masalah. Hanya ada 2 cara untuk aku kembali ke Madaba. Samada buat cara yang aku telah lakukan iaitu cuba hitching (menumpang mana-mana kenderaan) untuk ke Madaba. atau aku berjalan sejauh 32km ke Madaba. Fuh!

Tetiba aku terfikir ketika itu. Tak semestinya aku ke Madaba petang itu. Aku boleh kembali ke Karak jika ada kenderaan yang boleh aku tumpang hingga ke Qatranah dan dari Qatranah aku boleh menunggu bas untuk ke Karak.

Aku tersenyum keseorangan sambil mindahku terus muncul peta-peta jalan di Jordan untuk membantu menyelesaikan masalahku.

Kalau ada van mahu tumpangkan aku ke Madaba aku ke Madaba.

Kalau ada van mahu tumpangkan aku ke Qatranah aku ke Qatranah.

Aku bangun dan mengubah kedudukan aku menunggu di persimpangan jalan. Aku sudah bergerak ke arah jalan menuju ke Shariq Sharawi yang membolehkan aku ke Qatranah dan dari situ aku mudah ke Karak.

Memang itu yang aku rancang dan begitulah Allah tetapkan takdirku petang tersebut.

Sebuah lori Pick-Up berhenti setelah aku melambaikan tangan.

"Aku mahu ke Qatranah" aku cuba melembutkan bahasa.

"Ahlan. Silakan" Jawab pemandu tersebut.

Alhamdulillah. Selesai satu masalah. Aku menaiki lori pick-up tersebut dan meninggalkan kampung Umm Rasas.

"Saya Abu Soleh" pemandu tersebut mula bertaaruf.

"Saya Hazim". Aku menjawab.

"Apa yang kau buat di sini?" tanya pemandu tersebut.

"Aku melihat kesan arkeologi di Umm Rasas dan mahu pulang ke Madaba. Tetapi coaster tiada untuk aku ke sana" Aku membalas.

"Kau hendak ke Madaba, tetapi kena ke Qatranah pula sekarang" Abu Soleh terus bertanya.

"Saya belajar di Universiti Mu'tah. Hendak ke Amman dari Madaba. Sudah tiada kenderaan saya terus fikir balik ke Karak" Aku menjawab

Abu Soleh ketawa.

"Kau pengembara dan berani" Kata Abu Soleh.
Aku buat-buat ketawa.

"Kau hendak ke mana? Qatranah juga?" Aku mula bertanya kepada Abu Soleh.
Dia gelengkan kepala.

"Aku mahu ke Ma'an dan aku kerja di sana" Balas Abu Soleh.

"Kau asal dari mana" Aku menambah
"Dhibban" Jawab Abu Soleh.

"Aku Ketua Polis Muhafazah Ma'an". Abu Soleh bersuara.

"Ma'an?" Itu ayat yang keluar dari mulut aku apabila dia mengenalkan diri dia sebagai Ketua Polis Ma'an. Padahal aku dah tahu Ma'an di mana dan ia adalah sebuah muhafazah.

"Ya, Ma'an. Kau tahu?" Tanya Abu Soleh.
Aku mengangguk tanda tahu dan menambah yang aku pernah ke Ma'an.

"Buat apa engkau ke Ma'an?" Abu Soleh bertanya lagi.

"Aku dan kawan-kawan universiti pernah pergi lawatan ke Qala'ah Ma'an yang kini sudah jadi Markaz Thaqofi Ma'an" Aku menjawab pertanyaannya.

Abu Soleh ketawa lagi. Dan menganggukkan kepalanya.

"Kamu sudah seperti orang Jordan. Semuanya tahu" Abu soleh berkata sambil ia tersenyum-senyum.

Aku hanya ketawa kecil yang juga dibuat-buat.

Sepanjang perjalanan melalui Shariq Sharawi sebelum sampai ke Qatranah aku terus bersembang dengan Abu Soleh. Ternyata dia seorang yang peramah. Ciri-ciri seorang polis memang ada padanya. Soalan-soalan yang dia tanya tak ubah ia seperti seorang perisik. Aku pula berfikir-fikir untuk menjawab apa yang lebih tepat dengan soalan yang ditanya.

Perjalanan aku ke Qatranah terasa singkat. Ini disebabkan perbualan kami yang tidak putus sepanjang perjalanan. Aku berhenti di Qatranah dan Abu Soleh perlu terus menghabiskan perjalanannya kira-kira 120km dari Qatranah.

"Jika ada masa jemput ke Dhibban. Hubungi nombor telefon yang telah aku bagi" Kata Abu Soleh sebelum bergerak meninggalkan aku.

"Jazakallah Khairan Jaza. Ashuffak. InsyaAllah" Aku menjawab dan pick-up Abu Soleh terus beredar.

Hari sudah gelap. Aku mengambil wuduk dari botol air mineral yang aku bawa dan terus solat di tepi jalan lapang di Qatranah.

Kemudianya aku kembali duduk, berdiri dan berjalan ditepi jalan Qatranah menunggu bas untuk ke Karak.

Sunday, July 15, 2007

"Saat 11:00 Tomorrow"

Tiket Bas dari Diyarbakir ke Adana. Bas bergerak dari Diyarbakir 11.35 malam dan
tiba di Adana 6.30 pagi. Perjalanan sejauh 550km melalui kawasan berbukit.
Tambang dikenakan 25 YTL (RM67.30)


"Jika aku membuat keputusan ke Erzurum, aku kena berada di Turkey lagi 2 hari. Bajet aku akan bertambah lagi 100 Lira Turkey"

"Atau aku kembali ke Adana sahaja".

"Jika aku terus ke Erzurum, mungkin aku mahu ke Batman atau Agri pula. Silap-silap aku buat keputusan mahu ke Mount Ararat"

"Jika aku terus ke Adana dan balik ke Syria mungkin lebih baik. Duit jimat"

Itulah apa yang difikirkan di dalam hati dan fikiranku setelah berada di Terminal Bas Diyarbakir, bandar di Timur Turki. Kepalaku terus berfikir sambil tanganku terus mengira-ngira bajet kewangan untuk aku teruskan diari kembaraku di Turki. Jika aku terus balik ke Syria melalui Adana, duit aku masih ada untuk berbelanja. Jika aku ke Erzurum, duit aku masih ada untuk berbelanja tapi dalam seminggu aku terpaksa 'mengadap' roti. Lupakan sementara nasi.

"Tak boleh..tak boleh". hatiku membantah seperti terus membuat keputusan.

Aku bangun dan melangkah ke kaunter-kaunter tiket bas di Terminal Bas Diyarbakir. Ketika itu kaki-kaki yang diupah sudah 'berbaris' untuk menarik pelanggan ke syarikat bas mereka.

"Istanbul?"

"Alanya, Denizli?"

"Erzurum?"

"Ankara?"

"Adana, Mersin, Tasuchu?"

"Ne Kadar Billeti Istanbul? Aku bertanya kepada seorang lelaki berhadapan kaunter sebuah syarikat bas bernama METRO.

"Yet-meesh Lira" Dia menjawab.

"Mahal juga, 70 Lira Diyarbakir ke Istanbul" kata hatiku. Tapi padanla, hampir sehari perjalanan.

Sengaja aku bertanya memberi ruang lagi masa untuk aku berfikir ke mana halatuju aku malam tersebut. Sedangkan bukan tujuan aku ke Istanbul. Aku mengucapkan terima kasih dan beredar menuju ke arah kerusi di tengah medan Terminal Bas.

Dua pilihan sahaja ketika itu, samada aku terus Erzurum atau kembali semula ke Adana.

Akhirnya aku bergerak ke sebuah kaunter syarikat bas yang tertulis di atasnya VAN, ADANA. iaitu syarikat Ercis Seyahat yang menawarkan perkhidmatan bas ke Van dan ke Adana. Van adalah sebuah tempat yang terletak berdekatan sempadan Iran manakala ADANA bandar keempat terbesar di Turki yang terletak 190km dari bandar Antakya iaitu bandar terakhir yang aku akan lalui sebelum masuk ke negara Syria.

"Aku Mettin" lelaki muda yang menjaga kaunter bas tersebut memperkenalkan diri.

"Aku Mohammad" aku membalas keramahan Mettin.

"Aku mahu ke Adana, berapa harga? tanya aku pada Mettin.

" 25 Lira" Jawab Mettin

"Pukul berapa bas bergerak" aku terus bertanya untuk mendapatkan maklumat.

"11.00, tomorrow" balas Mettin.

"Tidak, I want this night not tomorrow. Aku pun sudah terkeluar cakap bahasa inggeris, campur bahasa melayu, campur bahasa Turki malam tersebut.

"Yes..Yes..saat 11.00 tomorrow.." Mettin mengiya-iyakan cakapnya. Aku sudah mengaru kepala.

Aku mengulang-ngulang pada Mettin yang aku mahu tiket malam tersebut bukan esok. Dia pula asyik mengulang kata-kata yang sama "saat 11.00 tomorrow" (saat bermaksud JAM di dalam bahasa Turki)

Akhirnya datang seorang lelaki menghampiri aku dan Mettin. Mettin pun bercakap pada lelaki tersebut tentang 'perbualan' dia dan aku. Kemudian lelaki tersebut mengeluarkan sebuah kertas dan menulis atas kertas tersebut 23:00 dan menunjukkan 2 jarinya untuk dia maksudkan lagi 2 jam bas akan bertolak. Aku pun cakap pada lelaki tersebut memang aku mahu ke Adana malam ini bukan esok.

Kemudian lelaki tersebut berbual dengan Mettin seketika. Aku terdengar dalam mulut Mettin terkeluar perkataan Begun dan Tomorrow. Lelaki yang seorang lagi mengeleng-geleng kepala dan bercakap beberapa patah perkataan Turki dan dalam percakapannya di sebut Tomorrow dan Yarin. (Yarin bermaksud esok dan Begun hari ini di dalam bahasa Turki)

Kedua-dua mereka ketawa dan Mettin memandang ke arahku. Aku tersenyum sambil melihat Mettin.

"On Bir..Begun?" tanya aku padan Mettin. Dia menangguk-anggukan kepalanya.

"Kenapala perkataan begun tue aku tak lihat dari awal!" Marah hatiku sambil aku menutup Kamus Turki-B.Inggeris yang berada ditangan..


Saturday, July 14, 2007

Biarkan Aku..

Kenangan di Safita, Tartous

"Kau tak takut ke mengembara berseorangan?" Tanya seorang sahabat

"Adalah sedikit risau, tapi aku lebih seronok" Ringkas jawapan aku beri.

Ketika berada di bumi Jordan, aku gemar mengembara bersendirian ke mana-mana lokasi yang aku ingin pergi. Bagi aku ianya lebih memudahkan pengembaraan yang bakal aku tempuhi dan tidak banyak 'diganggu' oleh 'masalah-masalah' lain.

Jika ditanya mengapa aku lebih suka mengembara bersendirian, jawapan yang pasti aku berikan, aku lebih senang bersendirian kerana sebarang keputusan hanya terletak kepada diri aku sahaja. Jika aku mahu ke sesuatu tempat, aku bebas mengatur perjalanan dari segi masa, kewangan bersendirian tanpa ada bangkangan dari pihak kedua atau ketiga atau seterusnya. Aku dapat bayangkan, jika aku mahu tinggal di dalam Petra 3 hari, tetapi sahabat yang ingin turut serta hanya mahu 2 jam sahaja di dalam Petra. Itu sudah melawan keinginan diri. Sudah pasti aku tidak akan bersama dengan orang sebegitu.

Aku bawa satu kisah 3 orang sahabatku mengembara ke Istanbul. Mereka tiba seawal pagi di Otogar Istanbul. Setelah mereka berjalan pada hari tersebut di Istanbul, salah seorang dari mereka berkata,

"Jom kita balik, gambar pun sudah ambil, bukan ada apa sangat kat Istanbul ini".

Apa lagi, terkejut la 2 orang sahabat lagi. Baru sahaja sampai Istanbul sudah nak balik semula ke Syria. Sudahlah perjalanan ke Istanbul dari Syria lebih 24 jam, tiba pula di bandar yang penuh dengan tinggalan sejarah dan pemandangan yang cantik. Sudah nak balik! Alasan yang diberikan telah mengambil gambar kenangan di situ. Sudah mencukupi baginya sehari di Istanbul dan cukup dengan beberapa keping gambar kenangan.

Jika aku berada di dalam situasi begitu, mahu naik 'gila' jadinya.

Dari kisah sahabat aku di atas, mudah aku simpulkan bahawa setiap orang berlainan hadaf atau tujuannya mengembara. Ada setengah orang cukup sampai di satu tempat, bergambar kenangan dan pulang, ada setengah orang pula ingin pergi ke suatu tempat sahaja, biar lama di sesuatu tempat dan tujuannya hanya bersantai-santai bukan untuk mengambil maklumat lokasi-lokasi yang telah dilawati.

Dengan sebab 'banyak kepala, banyak idea' inilah yang membuatkan aku tidak gemar berjalan secara berkumpulan. Jika aku membuat keputusan untuk mengembara secara berkumpulan ia bukanlah hadir secara rela. Tetapi terpaksa dan hati aku 'cuba-cuba' merelakan perjalanan yang aku tempuhi.

Bagi diri aku, tujuan aku mengembara sudah pastinya ingin mengkaji tentang sejarah lokasi yang aku ingin tiba, berada lama di situ dan memahirkan otak aku dengan lokasi tersebut dan mengaut segala maklumat yang boleh aku perolehi. Aku pernah mengembara bersama sahabat-sahabat ke beberapa lokasi diluar negara Jordan. Ketika itu aku telah merancang mengembara bersendirian di lokasi tersebut. Namun akhirnya beberapa sahabat dapat maklumat yang aku ingin ke lokasi tersebut dan mereka ingin ikut serta. Mulanya aku sudah tak senang duduk. Namun ketika itu aku mati alasan untuk tidak membenarkan mereka turut serta. Akhirnya, aku terpaksa mengembara 'beramai-ramai' ketika itu.

Natijahnya, itulah pengembaraan yang paling memenatkan otak aku. Aku tidak dapat apa yang aku mahu. Aku terpaksa berbelanja lebih, aku terpaksa 'berdiam' lebih, aku kena mengeluh lebih. Paling rugi aku tidak dapat sampai ke lokasi-lokasi yang aku ingin pergi. Puncanya, mengembara beramai-ramai dan bila dah ramai banyak otak yang berfikir dan memberi cadangan itu dan ini.

"Tak payahlah kot kita ke tempat tu. Dah banyak tempat batu-batu kita dah pergi"..satu suara bercakap. - Aku raikan sahabat-sahabat dan redha.

"Takkan nak makan sandwich sahaja. Carilah makanan lain pulak"..
satu suara bercakap.- Aku raikan sahabat-sahabat dan redha.

"Takkan nak jalan kaki. Jauh. Naikla bas awam ke, teksi ke "
satu suara bercakap- Aku raikan sahabat-sahabat dan redha.

"Tak payahlah masuk ke Qala'ah ni. Sama sahaja dengan Qala'ah-Qala'ah yang kita dah pergi sebelum-sebelum ini".
satu suara bercakap- Aku bantah. Mereka berkeras. Akhirnya aku raikan sahabat-sahabat.

Jika mereka bertanya lagi kenapa aku mengembara bersendirian, cerita di atas adalah jawapannya. Jika ingin mengembara berkumpulan sekalipun, aku akan cari mereka yang betul-betul 'sekepala' denganku.

Thursday, July 12, 2007

Mencari Ketenangan di Iraq

Senja di Hazman. Gambar ini di ambil dari bukit berhampiran persimpangan ke perkampungan Iraq.
Kelihatan di sudut atas kanan
tapak-tapak garam kepunyaan kilang memproses garam milik
pengusaha dari Jordan dan Israel.


Petang itu melalui jalan berbukit melalui kawasan padang gandum yang luas. Jika aku melaluinya 2-3 bulan sebelum itu sudah pasti ia sedang menghijau. Kini ianya menguning meninggalkan kesan jerami gandum yang sudah dituai, padang tersebut kini sudah kering, berdebu.

Petang itu aku menaiki coaster Karak menuju ke Iraq. Di dalam coaster, kebanyakkan mata memandang pelik ke arahku. Mungkin jarang ada orang luar menaiki
coaster tersebut ke tempat mereka.

"Mahu ke mana?" Tegur seorang perempuan yang duduk di kerusi bersebelahan aku. Gayanya macam pelajar universiti Mu'tah.

"Ke Iraq". Aku menjawab. Dia tergelak "Buat apa ke sana? Kau tinggal di sana?" Aku menjawab "Aku mahu ke
Muthalath Iraq, melihat pemandangan cantik dari bukit di situ".

"Kau pelajar Mu'tah?" Dia bertanya lagi.

Tatkala itu dah semakin banyak mata-mata lelaki arab memandang ke arahku. Sejak dari mula lagi dah ada mata memandang namun setelah makin 'rancak' perbualan aku dengan minah arab tersebut, makin 'tidak puas hati' arab. Aku hanya menangguk-anggukan kepala aku pada minah arab itu.

Masyarakat arab di kawasan perkampungan masih menjaga adat-adat pergaulan. S
uatu perkara yang memalukan jika seorang lelaki tanpa ada hubungan keluarga bersembang dan berbual. Aku berhenti bercakap dengan minah arab itu bagi menjaga adat arab yang memelihara syariat.

Dalam masa 15 minit perjalanan aku tiba di Muthalath Iraq (simpang tiga jalan ke Iraq). Iraq yang aku masukkan bukanlah negara Iraq. Tetapi sebuah perkampungan terpencil yang terletak kira-kira 8km dari pekan Mu'tah. Petang itu aku berhenti di persimpangan jalan menuju ke perkampungan Iraq untuk menenangkan fikiran dan 'menukar angin' setelah otak 'dibebani' dengan beberapa masalah. Ternyata apabila tiba di tempat pemandangan yang cantik, angin 'naseem' (angin sepoi-sepoi bahasa) otak menjadi lebih tenang dan sedikit sebanyak melupakan sementara masalah yang bermain difikiran.

Dari kawasan bukit di persimpangan jalan ke Iraq jelas kelihatan sebuah kampung terpencil yang dikelilingi pohon menghijau. Perkampungan Iraq yang berada di dalam daerah Hazman, di Barat daerah Mu'tah dan Mazar.

Iraq dikenali sebagai 'mangkuk makanan' di Mu'tah dan sekitarnya kerana kawasan tersebut terdapat banyak mata air yang masih mengalir dan dengan nikmat air tersebut penduduk di kawasan Iraq banyak bercucuk tanam dan hasilnya banyak 'menampung' bekalan jualan makanan berupa sayuran di kawasan Mu'tah dan Karak. Kawasan mata air tersebut dikenali dengan Ain Qala'ah turut menyalurkan bekalan air bersih ke kawasan Mu'tah dan sekitarnya.


Dari kawasan bukit di persimpangan jalan ke Iraq juga turut boleh dilihat pemandangan kawasan Jazirah Lisan iaitu kawasan di selatan Laut Mati. Dari bukit ini aku dapat lihat dengan jelas petak-petak garam yang diusahakan oleh pengusaha kilang kepunyaan Jordan dan Israel untuk tujuan penghasilan garam.

Pemandangan petang itu amatlah cantik. Namun hati masih terkilan ketika memikirkan tanah di seberang laut mati tersebut sudah hampir 59 tahun 'dirompak' oleh bangsa Yahudi. Bilakah tanah tersebut akan kembali menjadi milik Islam semula? Bilakah bantuan Allah akan tiba? - Melihat keadaan 'kehancuran' umat Islam Arab khasnya dan umat Islam seluruh dunia mampukah semua bersatu untuk menentang yahudi? Jika OIC yang kini kononnya menjadi medan penyatuan umat Islam, mampukan ada perbincangan, perancangan dan seterusnya membuahkan resolusi untuk menentang kebangsatan yahudi menindas umat Islam. Mampu? Tidak Mampu? atau tiada jawapan untuk kedua jawapan tersebut.


Aku masih memikir tentang 'kecilakaan' bangsa yahudi ketika seorang badwi menegur aku dari belakang. "Gawwak" Kata lelaki itu. "Alhamdulillah Bikhair" aku menjawab sapaan lelaki tersebut. Gawwak kebiasaanya dilafazkan oleh masyarakat badwi yang boleh diterjemahkan sebagai Apa Khabar kamu?. Jika bahasa arab baku menggunakan Kaifahaluka, bahasa pasar arab pasar di Mu'tah dan Karak menggunakan Kefik atau Chefik. (Huruf Kaf berbunyi huruf Cha)..untuk bertegur sapa di dalam masyarakat mereka.

Setelah berbual beberapa ketika dengan lelaki tersebut, dia beredar bersama kambing-kambing peliharaannya menuju ke sebuah bukit berdekatan jalan turun ke sebuah perkampungan bernama Aiy. Dari kecil dia menetap di situ dan berpindah-randah ke kawasan sekitar mengikut musim cuaca.


Keindahan bumi Allah di Hazman. Jauh kelihatan di bawah ialah perkampungan Iraq.
Perkampungan berhadapan bukit dikenali dengan Taibah atau nama lamanya Khan Zira.


Aku duduk di kawasan bukit tersebut sambil memerhati keindahan dan ketenangan di perkampungan Iraq sehingga kelihatan matahari terbenam menghampiri batas-batas garam di Laut Mati. Cahaya lampu sudah kelihatan di persisiran batas tanah Palestin yang kini 'dipinjam secara hutang' oleh Israel.

Beberapa minit selepas itu kedengaran azan dari perkampungan Iraq. Aku bergerak menuju ke persimpangan jalan Iraq untuk menumpang mana-mana kenderaan menuju ke Mu'tah..


Sunday, July 8, 2007

"Aku Mahu ke Shakkanakku"

Kesan Arkeologi di Tell Hariri. Timur Negara Syria

" Kamu hendak ke mana?"

"Apa tujuan kamu datang ke sini?"

Aku 'disoal siasat' di pondok polis stesyen bas Deir Zor.

Nada suara bertanya seperti aku ini penjahat. Nasib baik di tempat orang. Kalau di negara sendiri mahu aku 'kurang ajar' balik.

"Aku hendak ke Istana Shakkanakku". Sahaja aku menyebut sebuah nama Istana pelik di Tell Hariri yang terletak 12 km sempadan negara Syria-Iraq. Aku nak tengok reaksi polis selepas itu.

"Shahh", "Shaaaka" "Shakanak" Berulang-ulang perkataan itu cuba disebut dengan betul oleh polis yang berada disitu.

"Shakkanakku" Aku menjawab untuk memerli.

"Di mana?" seorang polis meninggikan suara.

Mungkin geram kerana asyik tidak betul menyebut dari tadi.

"Di Tell Hariri". Aku menambah.. "Hah! Aku tahu". Jawab seorang polis dan yang lain melihatnya. "Tempat itu berdekatan dengan Abu Kemal. Betul?" Dia menambah dan bertanya kepada aku seperti dia yakin.

Aku hanya menganggukkan kepala. "Kenapa kau mahu ke sana?" Tanya seorang polis lagi yang dari mulanya aku agak geram dengan penampilannya. Muka nampak 'poyo', berlagak bukan main. Sudahlah mulut tak henti-henti memakan makanan jin. Asap.. Nada bertanya langsung tak ada hormat. Dia fikir dia punya suara boleh naik. Geram betul hati aku ketika itu.

Sudahlah tiba di Deir Zor dalam keadaan letih setelah mengharungi perjalanan 7jam, ditambah dengan kerenah birokrasi yang membosankan.


"Aku datang nak melawat Deir Zor, Qala'ah Rahbiyeh, Tell Hariri! Semua tempat itu ada tulis di dalam buku ini untuk dilawati!" Aku meninggikan sedikit suara dan menunjukkan buku Lonely Planet Guide Syria. Polis yang berada di situ tertumpu ke arah aku sambil membelek-belek buku Lonely Planet tersebut. Dua dari mereka mengangguk-anggukkan kepala manakala 3 yang lain masih dok 'membebel' sesama mereka.

"Berapa lama kau di sini?" Tanya seorang polis lagi.

"Satu hari. Selepas ini aku akan ke Hassakeh" Aku menjawab soalan polis tersebut. "

"Mintak pasport kau". Aku menghulurkan pasport.

"Ini adalah undang-undang di sini, semua maklumat pelancong akan di ambil. Untuk keselamatan". Kata seorang polis berpangkat 3.

"Aku tak kisah kalau kau nak ambil apa-apa maklumat pun, tapi biarlah jadi orang beradab. Aku muslim kau pun muslim".

Setelah aku bercakap sedemikian seorang polis bertanya "Apa yang tidak adab?" Aku menjawab "Suara kau bercakap dengan tetamu"

Namun polis itu tetap tidak berpuas hati bila aku katakan ia tidak beradab. Dia terus menerus bercakap dengan polis yang lain demi untuk memenangkan dirinya..

"Biarlah.. Arab memang payah nak mengalah"


Deir Zor-Mayadin-Tell Hariri
Setelah selesai urusan 'birokrasi' di Deir Zor. Aku mengucapkan selamat kepada polis di situ dan terus beredar keluar dari stesyen bas Deir Zor untuk mengambil Service ke Al-Mayadin. Sepanjang perjalanan aku melihat di kiri kanan dataran pasir yang luas dan penempatan yang berselerak. Tidak ada perancangan untuk penempatan tersusun di kawasan tersebut. Ia sebuah kawasan perkampungan yang jauh dari kemajuan.

Aku tiba di Mayadin setelah hampir sejam perjalanan dari Deir Zor. Dari Mayadin aku terus mengambil service ke Abu Kemal.

Abu Kemal merupakan pekan di sempadan negara Syria dan Iraq. Jalan yang aku lalui pada hari tersebut merupakan jalan lori-lori trailer mengangkut barangan dari negara Syria ke Iraq. Keadaan cuaca pada hari tersebut amatlah membahang. Mata aku asyik 'tersepek' sahaja tidak tahan dengan kepanasan 'melampau' pada hari tersebut.

Mana tidaknya, ketika itu musim panas dan aku pula berada di kawasan Badiyat Sham (Padang Pasir Sham). Apapun, aku selamat tiba di persimpangan masuk ke Tell Hariri setelah 45 minit perjalanan. Jarak Tell Hariri ke Abu Kemal sekitar 12 Km sahaja lagi.


Tiba di Tell Hariri @ Mari

Aku kemudiannya berjalan menuju ke pintu masuk utama ke Tell Hariri. Jaraknya 500 m dari jalan utama. Setelah tiba di sebuah kawasan berkhemah, aku di datangi seorang lelaki Syria dan memberitahu kepadaku bahawa untuk masuk ke Tell Hariri dikenakan bayaran 150 Lira Syria (USD 3).

Aku kemudian memberitahunya bahawa aku adalah pelajar. Dia kemudian menjawab harga untuk pelajar hanya 10 Lira. Aku kemudiannya mengeluarkan wang kertas 100 Lira. Namun dia tiada duit kecil untuk memulangkan baki. Aku membeli dua botol air mineral yang dijualnya lalu memberikan duit 100 Lira tersebut...Duit aku berbaki 40 Lira.

Disebabkan tidak ada juga wang kecil, aku meninggalkan pemuda tersebut dan terus masuk ke kota Tell Hariri atau dikenali dengan MARI.


Pada hari tersebut aku telah berada berhampiran tanah Mesopotamia. Hanya 900 m jarak Tell Hariri dan Sungai Furat. Tanah yang digelar Mesopotamia ialah tanah di antara dua sungai iaitu Sungai Furat dan Dajlah. Di antara kedua-dua sungai itulah terkenal dengan pembentukkan tamadun Mesopotamia atau juga dikenali sebagai tamadun Sumeria. Kota di Tell Hariri juga berkaitan rapat dengan tamadun Mesopotamia.

Tempat yang aku kunjungi pada hari tersebut tidak ada kaitan dengan kerajaan Islam. Ia merupakan tapak arkeologi ketika zaman gangsa. Tell Hariri amat penting dalam catatan negara Syria kerana ia dikenalpasti sebagai tempat awal penempatan manusia di ruang tanah Syria.

Tell Hariri dikenalpasti wujud sejak 2900 sebelum masihi. Kesan awal binaan yang ditemui berusia 2700 iaitu Kuil Ishtar dan Nini-Zaza.

Sekitar 2340-2150 kota ini telah ditawan oleh Empire Akkadian yang diketui oleh Sargon. Selepas itu Tell Hariri penah dikuasai oleh Amoriah dari orang Semitik kemudiannya oleh Babylon. Tell Hariri di perintah oleh Shamsi-Adad (1813-1782SM). Kota ini dibebaskan oleh Zimri-Lim pada 1775-1760 dan Zimri-Lim berada di bawah kuasa Hammurabi di Babylon.


Banyak kesan tinggalan sejarah yang merupakan tapak arkeologi di Tell Hariri yang merujuk kepada zaman 3000-1000 tahun sebelum masihi. Antara yang masih boleh dilihat ialah Istana Zimmi-Lim, Istana Shakkanakku, Kuil Lions, Kuil Ninni-Zaza, Kuil Shamash dan Kuil Ishtar.

Setelah selesai mencatatkan beberapa maklumat penting di Tell Hariri aku mula bergerak keluar ke jalan utama. Dari situ aku menaiki service ke Abu Kemal. Menuju ke pekan sempadan Syria dan Iraq.

Friday, July 6, 2007

Menaiki Trak Askar di Burqush


Dari Baramkeh ke Qatana

Baramkeh sentiasa sesak dengan manusia. Baramkeh dikenali sebagai pusat perhentian teksi dan bas untuk ke Jordan dan Lubnan serta beberapa negara lain di Timur Tengah di negara Syria. Kawasan ini turut menjadi pusat service untuk ke kawasan-kawasan di Reef Dimasyq dan Quneitra. Dari Mujammak Service Baramkeh terdapat puluhan van yang memberikan perkhidmatan kepada penduduk di Reef Dimasyq berulang dari perkampungan mereka ke pusat bandar Dimasyq.

28 April 2003, aku menaiki sebuah van service dari Baramkeh menuju ke Qatana. Sebuah kawasan perkampungan kecil di Reef Dimasyq. Misi aku pada hari itu ialah untuk menjejaki sebuah binaan sejarah yang dikenali dengan nama Qala'ah Burqush.

Van melalui jalan highway Dimasyq menuju ke Lubnan dan di pertengahan jalan, terdapat persimpangan menuju ke Qatana. Aku selamat tiba di perkampungan tersebut setelah 30 minit perjalanan. Berbekalkan peta Syria yang aku ambil dari Ministry Of Tourism Syria berdekatan Halbouni aku mula mencari 'mangsa' dikalangan penduduk tempatan bagi mendapatkan maklumat bagaimana untuk aku tiba di Qala'ah Burqush.

Ternyata masyarakat arab memang mudah untuk menjadi kawan yang peramah. Baru sahaja aku membuka peta, belum lagi mencari bantuan, mereka (arab) terlebih dahulu mendekati, bertanyakan khabar dan menawarkan pertolongan. Kepada mereka yang 'rimas' dengan perangai arab mungkin tidak menyukainya kerana menyangkakan bahawa arab jenis suka ambil kesempatan dan suka memandai-mandai dalam keadaan mereka tidak tahu tentang apa yang mereka nak tolong (berlagak best).

Tetapi bagi aku ianya satu penghormatan pada sifat dan perangai mereka. Menghormati tetamu dan sanggup menolong tanpa diminta. Soal kita akan ditipu dengan niat mereka yang ingin menipu itu hal kedua. Dan pada pagi hari tersebut sesahihnya aku telah dibantu oleh 3 orang masyarakat tempatan Qatana yang baik. Setelah menjelaskan tujuan aku ke Qatana, mereka menerangkan kepada aku bahawa untuk menjejaki kota Burqush bukanlah satu misi yang mudah.

Tidak ada kenderaan yang memungkinkan seseorang pengembara tiba dengan mudah ke kota tersebut kecuali dengan satu cara sahaja iaitu menaiki satu service yang melalui persimpangan untuk ke Qala'ah Burqush dan dari situ 'penjejak kota' perlu berjalan kaki hampir 3km untuk tiba di bawah bukit di mana terdapatnya kota tersebut.


Setelah mendapat maklumat yang jelas dari 3 pemuda tersebut, aku menaiki sebuah servis dari mujamak service di Qatana menuju ke arah persimpangan kota Burqush. Aku tidak mencatat laluan service tersebut berakhir di mana setelah melalui persimpangan Burqush. Ketika di dalam perjalanan aku sudah memaklumkan kepada pemandu van tersebut untuk berhenti di persimpangan jalan ke Qala'ah Burqush. Aku mendapat kerjasama yang baik oleh pemandu van dan penumpang yang lain.

Pemeriksaan Askar sebelum tiba di persimpangan
Sebelum tiba di persimpangan jalan, beberapa pemeriksaan tentera telah dilakukan. Bagi penduduk tempatan Hawiyah Syaksiah (Kad Pengenalan Diri) perlu ditunjukan kepada askar yang mengawal dan bagi aku orang luar, Pasport menjadi 'nyawa' ketika itu.

Sesahihnya kawasan Qala'ah Burqush merupakan kawasan yang berhampiran sempadan Lubnan. Kawasan yang aku lalui pada ketika itu sudah merupakan kawasan kawalan dan kem tentera Syria di sempadan antarabangsa Syria-Lubnan. Pergunungan yang aku telah lalui turut merupakan banjaran yang bersambung dengan Jabal Lubnan Syarqiah (Gunung Timur Lubnan).


Setelah selesai melayan karenah askar di dua buah check-point, aku di turunkan di persimpangan jalan untuk ke Qala'ah Burqush. Ternyata benar apa yang diceritakan oleh pemuda di Qatana.

Setelah tiba di persimpangan tersebut aku menemui jalan tanah untuk ke kawasan kota. Aku melalui jalan tanah merah dan berbukit. Kawasan yang telah aku lalui merupakan kawasan tentera. Hampir 3 km berjalan kaki aku berhenti di sebuah pondok kawalan dan terdapat 4 orang askar Syria di pondok tersebut.

Aku menyatakan tujuan aku ke kawasan tersebut dan ingin mendapat kepastian di manakah kota Burqush. 3 dari mereka agak serius dan tidak bercakap. Hanya seorang dari mereka yang memberitahu aku bahawa kota tersebut berada di puncak bukit berhadapan dengan pondok kawalan mereka. Aku mulakan pendakian ke puncak bukit setelah bersembang ringkas dengan askar tersebut.


Tiba di Qala'ah Burqush
Di bahagian Timur kota jelas terhampar bumi Reef Dimasyq seperti padang yang amat luas. Di bahagian Barat kota Burqush pula merupakan Jabal Lubnan Syarqi dan berhampirannya adalah Mount Hermon atau dikenali dengan Jabal Syeikh. Masa yang ada di puncak bukit, aku telah mengambil peluang melihat kesan tinggalan kota Burqush. Ternyata binaanya agak pelik dari kota-kota yang lain yang terdapat di dalam negara Syria.

Menurut Ross Burns di dalam bukunya Monument Of Syria. Kota ini bukanlah kota kawalan tetapi ia merupakan Byzantium Basilica atau boleh diterjemahkan sebagai Rumah Ibadat Byzantium atau lebih tepat gereja Byzantium. Di dalam kota yang hampir hancur itu memang terdapat kesan batu melengkung yang pada kebiasaanya ada di gereja-gereja lama Byzantium.


Menaiki Trak Askar
Misi aku telah berjaya di Burqush. Setelah menuruni bukit dan bersalaman dengan askar di pondok kawalan aku mula berjalan menuju ke persimpangan jalan untuk menunggu service ke bandar berhampiran.

Di dalam perjalanan ke persimpangan jalan, aku bertemu dengan dua orang askar yang sedang membaiki trak yang rosak. Aku menegur kedua-dua mereka dan mereka bertanyakan kepada aku dari mana datang dan mahu ke mana. Aku menjelaskan kepada mereka berdua tentang lawatan aku ke Qala'ah Burqush dan aku ingin ke bandar terdekat dan dari bandar tersebut aku mahu ke Dimasyq.

Seorang dari mereka mengajak aku menaiki Trak askar tersebut dan menyatakan kesudiannya menghantar aku ke sebuah kawasan bernama Dimas (bukan Dimasyq). dan dari Dimas aku boleh menaiki service ke Dimasyq. Beliau menyatakan bahawa mereka akan ke Dimas untuk menghantar barang.

Dalam hati aku ketika itu macam percaya tak percaya juga. Bukannya sebab dia askar tetapi sebab dalam keadaan trak nya yang rosak pun masih mahu mengajak menumpang. Aku pun bersetuju demi sebuah pengalaman baru. Ikutkan masa memang akan lambat aku akan tiba ke Dimasyq. Sudahlah masih rosak ketika itu, trak pula trak 'zaman jepun' punya. Dah nak roboh keadaannya. Sudah pasti pula ia akan bergerak seperti siput babi 'disepanjang pergerakkannya'.


Ramalan aku tepat. Semua yang berada di dalam fikiranku benar belaka!. 20 minit juga aku menunggu untuk mereka baiki enjin trak tersebut. Selepas itu trak bergerak cukuplah lambat menuju ke Dimas. Tambahan lagi 2 kali trak tersebut meragam di pertengahan jalan. Melihat kedua-dua askar tersenyum dengan trak mereka lagilah buat aku nak ketawa. Sepanjang perjalanan aku terfikir juga, dengan trak seperti ini tentera Islam ingin berhadapan dengan musuh? Belum sampai ke medan perang sudah tercabut enjin dan tayarnya.

Wednesday, July 4, 2007

Hebatnya Pahlawan Islam

Kenangan di Kota Crac Des Chevaliers
atau dikenali dengan nama Qala'at Al-Husun di Homs, Syria

Aku tiba di Jabal Kalakh dengan mataku terpaku melihat kekukuhan Qala'ah Al-Husun di depan mata. Cukup hebat binaan kota ini. Memang hebat. Selama ini aku melihatnya di dalam dokumentari National Geographic dan membaca kisahnya di dalam internet, pada hari tersebut aku telah tiba di kota yang pernah menjadi kubu kuat tentera salib yang kemudiannya di tawan oleh panglima Islam Nuruddin.

Kota yang aku maksudkan ialah Krak Des Chevaliers atau dikenali di dalam bahasa Arab dengan Qala'ah Al-Husun atau Husun Al-Akrad. Terletak di antara jalan Homs ke Tartus (41 km ke arah barat bandar Homs, Syria).


Apabila tiba dipintu masuk utama kota, aku melihat di dindingnya dipenuhi ukiran dengan kalimah arab yang tertulis padanya nama-nama pemerintah dan ayat suci Al-Quran. Subhanallah! Inilah kehebatan Islam dahulu. Kota yang menjadi kemegahan kuffar telah dirampas dan dimiliki oleh pemimpin kerajaan Islam.

Satu usaha yang bukannya mudah. Satu usaha yang bukan dimiliki dengan 'pilihanraya'. Ataupun hanya bercakap dan terus bercakap tanpa tindakan. Berada di hadapan pintu masuk utama sudah membayangkan aku kehebatan pahlawan Islam terdahulu. Ketika itu aku telah memikirkan apabila kaki aku melangkah masuk ke dalam kota, sudah pasti jiwaku terus memuji kepahlawan Islam suatu ketika dahulu.


Berbekalkan kad ISIC (International Student Identity Card) aku dibenarkan masuk ke kota tersebut dengan hanya bayaran 10 Lira. Berbanding 300 Lira untuk pelancong biasa. Aku memasuki kota tersebut berbekalkan juga buku tulisan sejarawan terkenal Syria Ross Burns iaitu buku Monument Of Syria An Historical Guide. Buku yang cukup lengkap membahaskan sejarah Syria.

Sepanjang jalan di bahagian kiri kota terdapat bilik-bilik yang dikatakan kandang-kandang kuda. Cukup dengan maklumat pertama yang aku dapat pada hari tersebut sudah membayangkan aku bagaimana kekuatan tentera Nuruddin mampu menawan kota kebanggaan tentera salib tersebut. Tambahan apabila difikirkan keadaan geografi sekeliling cukup menyukarkan tentera lawan menawan kota tersebut.

Dalam keadaan kota tersebut di bina di atas sebuah bukit yang sekelilingnya ada curam dan gaung. Bermakna pemilik kota mampu melihat musuh dengan jelas dari pelbagai sudut. Bagaimana taktik yang digunapakai oleh Nuruddin dan pasukannya menawan kota ini? Hebat..


Sesahihnya kota Krak Des Chavaliers ini mencatat pelbagai zaman sejarah. Bermula dari sejarah Greek hinggalah ke zaman kerajaan Islam dan kini menjadi pusat pelancongan utama oleh kerajaan Syria.

Ketika zaman Crusaders (Tentera Salib) kota ini menjadi kebanggaan mereka. Terdapat kesan-kesan gereja lama di dalam kota. Kota ini merupakan kubu tentera dan oleh sebab itu kesan-kesan menara kawalan, dapur kota, berek tentera dan bilik pemerintah dan ahli keluarganya masih dapat dilihat kesannya di kota ini.

Namun sehebat mana kuffar akhirnya kota ini telah jatuh ke tangan Islam pada tahun 1163 apabila Nuruddin yang menjadi Sultan Halab ketika itu telah berjaya mengambil alih kota ini dari tangan tentera salib.

Takbir!


Wednesday, June 27, 2007

Kesan Tinggalan Seljuq di Battalgazi

Ulu Camii di Battalgazi, Malatya

Tenang. Satu perkampungan kecil yang sunyi dari kebisingan bandar. Paling hampir dengannya, pusat bandar Malatya yang agak sibuk. Sungguh berbeza dengan ketenangan di kampung tersebut.

Battalgazi. Itulah nama sebuah kampung yang terletak 11 km dari pusat bandar Malatya. Sebuah bandar di daerah Timur negara Turki. Battalgazi dikenali juga dengan Old Malatya yang menempatkan banyak kesan sejarah silam terutama dari senibina kerajaan Islam.

Pagi itu cuaca agak panas ketika aku tiba di Malatya. Aku mengambil keputusan untuk ke BattalGazi setelah mendapat maklumat dari penduduk tempatan bahawa BattalGazi meninggalkan banyak kesan sejarah Malatya kerana di kawasan tersebut merupakan kawasan yang telah lama dihuni berbanding kawasan lain di Malatya.

BattalGazi bukan sekadar meninggalkan kesan tinggalan kerajaan Islam bahkan kesan kerajaan Rum. Jelasnya, Rum telah terdahulu membuka kawasan ini dengan bukti kesan tinggalan kota berdinding yang telah mereka bina. Terdapat 95 menara kecil mengelilingi Battalgazi atau kawasan yang dikenali Aslantepe.

Namun, kuasa besar itu telah ditumpaskan oleh kekuatan Islam dan bermulalah era pemerintahan Islam di BattalGazi dengan beberapa tinggalan binaan dapat dilihat hingga kini di BattalGazi.


Aku tiba di BattalGazi pada jam 9.30 pagi setelah bersusah payah berjalan di bandar Malatya mencari bas untuk ke BattalGazi. Setelah mendapat pertolongan dari 3 orang Turki, aku berjalan ke jalan utama di Malatya dan akhirnya aku sampai di perhentian bas ke BattalGazi. Alhamdulillah, permulaan kembara yang sedikit meletihkan pagi itu diubati setelah aku selamat tiba di BattalGazi.

Aku memasuki kawasan perkampungan yang penuh dengan ladang aprikot. (Malatya terkenal sebagai bandar kayisi Turki atau bandar Aprikot di Turki). Sungguh menakjubkan pemandangan di perkampungan tersebut. Tanah yang menghijau, udara yang sudah mulai nyaman, amat menenangkan keadaan ketika itu. Tidak lagi panas

Peta menunjukan negeri Malatya dan daerah Battalgazi.

Aku menjejaki lokasi pertama di BattalGazi iaitu di Kerahan Mosque. Masjid ini telah dibina oleh Malatya Miralar- Husrev Bey pada tahun 1538. Kawasan hadapan masjid telah ditambah binaannya ketika di akhir era pemerintahan kerajaan Turki Uthamaniah iaitu sekitar 1900-an. Aku tidak dapat masuk ke ruang dalam masjid untuk melihat keunikan ukiran era 1500-an kerana masjid berkunci. Aku sekadar melihat kesan binaannya dari bahagian yang ditambah dan berehat di ruang tersebut (agak letih pagi tersebut disebabkan aku tidak cukup tidur.

Bertolak dari Sivas jam 3.14 pagi dan tiba di Malatya jam 7.20 pagi. Aku terlelap seketika di Kerahan Mosque dalam 30 minit dan aku bangun untuk meneruskan misi aku pada hari itu. Aku berjalan kaki di perkampungan tersebut dan berhenti di sebuah binaan lama dan di bahagian tepinya ada papan tanda bertulis :


Vault Of Sitti Zaynep It is placed of at Kerahan Quarters and Owned to 13 Century. It has built with Cutting Stone. It has octagon plan. There is no inscription.

Pintu makam tersebut tertutup. Aku menjenguk bahagian dalamnya melalui cermin tingkap di bahagian hadapan makam. Aku lihat ada binaan kubur di dalamnya. Siapakah Siti Zainab yang dimaksudkan? Tiada inskripsi yang boleh dibuktikan bahawa asal binaan ini adalah makam dan aku tidak pula mendapatkan maklumat secara lisan berkenaan sejarah binaan tersebut dari penduduk tempatan.

30 minit aku memerhati keadaan binaan tersebut dan aku teruskan perjalanan. Kira-kira 500 meter dari Vault Of Sitti Zaynep terdapat sebuah binaan yang dikenali sebagai white minaret. Binaan tersebut telah diubahsuai seperti kelihatan ia bukanlah satu binaan yang lama. (orang yang menjalankan kerja-kerja memelihara dan memulihara tidak mahir untuk mengekalkan keadaan asalnya). Namun, kesan sejarah yang penting masih kekal di White Minaret ialah satu inskripsi berukir pada batu terdapat di bahagian atas pintu masuk. Sukar untuk aku fahami tulisan inskripsi tersebut.

Karahan Camii

Vault Of Sitti Zaynep

Sutlu Minare atau White Minaret

Aku meneruskan perjalanan pagi tersebut ke satu binaan paling utama yang harus aku kunjungi pada hari tersebut iaitu Ulu Camii BattalGazi (Great Mosque).

Terletak berhampiran simpang masuk utama ke perkampungan BattalGazi (berhampiran Jalan Osman Ates) Masjid ini merupakan masjid utama di BattalGazi satu ketika dahulu. Menara masjid ini telah runtuh dan beberapa proses pemuliharaan sedang dijalankan.

Masjid ini dibina ketika pemerintahan Seljuq oleh Sultan Alaettin Keykubad I. Penggunaan
brick (batu-bata) digunakan di masjid ini. Penggunaan brick telah digunakan sejak zaman kerajaan Umayyah. Ia membezakan senibina kerajaan Islam dengan kerajaan sebelumnya yang rata-ratanya menggunakan batuan berbongkah besar dalam pembinaan.

Kesan dinding-dinding lama di BattalGazi dari era Rum masih dapat dilihat di sekitar kampung namun ada yang telah runtuh di makan zaman.

Aku bergerak dari BattalGazi setelah 3 jam berada disitu. Dari Battalgazi terus ke Malatya melalui Haninimcifligi dan bergerak ke Ortogar Malatya untuk meneruskan misi kembara ilmiah aku ke Elazig.

Thursday, June 21, 2007

Nikmat Mengembara


Tangan aku terpusing-pusing dengan pelbagai gaya, membuat bahasa isyarat. Sambil itu juga jari aku menunjukkan tasbih di tangan seorang lelaki tua di perhentian bas berhadapan Otogar Samsun.

Aku membuat gaya tangan untuk memahamkan dia yang aku ingin tahu, di mana dia beli dan berapa harga dia beli tasbih tersebut..'Berpeluh' jugalah untuk aku mendapatkan jawapan yang aku mahu.. dengan terhangguk-hangguk kepala, orang tua tue menjawab.. Elli Lira. Aku mendapat jawapan pertama yang aku mahu..50 Lira harga Tasbih tue..

Aku terus mengayakan tangan sambil menggelengkan kepala untuk maksud aku bertanya di mana dia beli. Orang tua tue pun kembali terhangguk-hangguk menjawab.."Erzurum". Ya..itulah jawapan yang aku mahu. Tasbih itu dibeli di Erzurum


Pagi itu aku berkenalan dengan Haji Nazim. Beliau anak jati YesilKent, satu daerah bergunung kehijauan di Samsun. Sejam juga aku menunggu bas di situ sambil dilayan oleh Haji Nazim. Pada awalnya dia yang terhangguk-hangguk, tapi di akhir-akhir pertemuan, aku pula yang terhangguk-hangguk buat tanda faham apa yang dia cakap..apa idaknya..dia dok bantai cakap Turki sahaja. Adalah sikit-sikit aku faham. Tapi nak jawab semua pertanyaan dia, memang tak dapatlah.

8:02 pagi, bas awam Samsun tiba dihadapan perhentian tersebut. Aku bersalaman dengan Haji Nazim dan memberitahunya aku mahu ke Sehir Merkezi Samsun. Dia terhangguk-hangguk kembali, menamatkan perbualan kami.


Cukup indah YesilKent. Kawasan perkampungan sekelilingnya cukup membuatkan aku terpegun dengan kuasa ciptaan Allah. YesilKent merupakan kawasan countryside di mana terletaknya Otogar bandar Samsun.

Perjalanan dari Otogar ke Sehir Merkezi (Pusat Bandar) Samsun sejauh 15km. Di dalam perjalanan aku tersenyum sendirian mengenangkan pertemuan aku dengan Haji Nazim. Dalam hati aku bercakap "Inilah kuasa Allah..berapa juta bahasalah manusia kat dunia ni bertutur..akhirnya bahasa isyarat juga dapat memahami antara satu sama lain.

Istimewanya mereka yang bisu dan pekak dapat berkomunikasi dengan mudah sesama mereka di merata-rata dunia. Setiap kejadian Allah sudah pasti ada kelebihannya.."

Sepanjang perjalanan ingatan aku masih mengingati bentuk tasbih yang dipegang oleh Haji Nazim. Ia adalah tasbih kokka 'kelas pertama' yang kalau di Malaysia sudah beribu ringgit di jual. Kayu Kokka tersebut cukup hitam yang pada pengetahuan aku, ia adalah sejenis kayu kokka yang tua.

Aku tersenyum sendirian sambil mengenangkan 'penggila-penggila' kayu kokka yang sanggup menghabiskan banyak duit untuk kayu tersebut. Aku memang mempelekeh golongan yang mempercayai benda karut ini. Sebab aku salah sorang yang menentang 'pejuang-pejuang' kayu niehh. Kalau penggila kayu kokka ni tahu mahu dikirimnya duit suruh aku ke Erzurum membeli kokka tue tuh". Aku adalah penentang kepercayaan karut mengenai kayu kokka.! Janganlah sebut sangat pasai kokka ngan aku..


1 Minit sahaja keputusan aku nak ke Samsun.
Mengimbas cerita hari sebelumnya, aku berada di Ankara, ibu kota Turki. Ketika itu aku mengambil keputusan untuk terus pulang ke Adana. Namun entah kenapa jiwaku cukup memujuk pada ketika itu untuk terus mengembara ke tempat lain.

Sekejap sahaja tanpa fikir panjang aku membuat keputusan untuk ke Samsun sebuah bandar yang terletak di persisiran Laut Hitam..dalam hati kuat mahukan aku ke sana..tujuan aku yang pasti, ingin sampai ke Samsun dan melihat kesan tinggalan sejarah Islam di Samsun.

Sepanjang beberapa siri pengembaraan aku ke Turki, aku belum pernah menjejaki bandar di persisiran Laut Hitam dan kali ini aku perlu pergi untuk melihat kesan tinggalan Islam yang ada. Dan ini salah satu sebab juga aku memilih Samsun sebagai lokasi kunjungan seterusnya dan akhirnya malam tersebut aku tidak ke Adana dan aku memilih bas ke Samsun dari Otogar Ankara..tiket bas berharga 25 YTL.


Kesan awal buat keputusan tanpa mengkaji dahulu dan tak fikir panjang.
Bas bergerak jam 12.00 malam dari Otogar Ankara. Apabila mula duduk di kerusi bas, aku pun mulalah membuka buku lonely planet guide- Turkey untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bandar Samsun..setelah selesai membaca mulai mukasurat 515 hingga 516 ianya cukupla mengecewakan aku dalam hati "2 helai sahaja?" dan apa yang diterangkan di dalam buku tersebut membayangkan Samsun bukanlah bandar yang dipenuhi kesan sejarah seperti yang aku idam-idamkan..apa yang tercacat di dalam buku tersebut hanyalah menyatakan bahawa Samsun merupakan bandar terbesar di persisiran Laut Hitam, punyai 364,000 ribu penduduk.

Kemudian menyatakan lokasi yang boleh dilawati hanya Muzium Arkeologi Samsun dan Attaturk Museum. Dan di akhirnya dinyatakan hotel untuk penginapan dan restoren untuk melantak serta jadual bas dari bandar-bandar utama ke Samsun.

Dalam hati menyesal juga tak baca dari awal buku tue Aku terus membayangkan keboringan yang bakal aku hadapi esok paginya.. namun hatiku tetap dipujuk oleh semangat aku yang ingin juga mengembara di Samsun. Pasti ada suatu yang menarik yang boleh aku kutip.. tidaklah semata-mata mengikut apa yang telah 'diguidekan' di dalam buku lonely planet guide Turkey tersebut..


Niat
Mungkin itulah nikmat yang Allah berikan kepada aku sejak dibangku sekolah lagi. Aku minat mengembara dan ingin mengetahui suatu yang baru. Terutamanya mengenai sejarah. Aku cukup minat sejarah dan aku 'score' subjek ni dibangku sekolah. Bahkan aku pernah ingat ketika di tingkatan satu pernah cikgu minta isi buku laporan peribadi dan keputusan peperiksaan. Dan di bahagian cita-cita aku menulis yang aku ingin menjadi AHLI ARKEOLOGI.

Bila dah meningkat umur dan tengok balik buku laporan tue..aku macam tak percaya..betulkah aku yang tulis cita-cita aku tue..setahu aku, aku asyik-asyik nak jadi peguam. Aku mula terfikir. Mungkin itulah yang aku tulis lahir dari jiwa ku yang sebenar..Mengembara cukuplah menenangkan aku. Ada sesetengah mereka yang mengembara perlukan dengan set yang lengkap. Ada video camera, Ada digital camera, Ada kelengkapan cukup seorang pengembara. Namun bagi aku, semua tu adalah keperluan sampingan.

Cukuplah sebatang pen, sebuah buku sebagai bekalan aku..biar kaki aku yang melangkah dapat mengutip dan menulis maklumat-maklumat sejarah yang ada..biar ia sebagai fokus utama. Dan alhamdulillah, niat yang aku pasang sebegitu..sebegitulah Allah berikan..satu perkara yang menjadi fokus, sudah pasti akan 'lekat' di otak selama-lamanya (antara motivasi diri aku) - Walaupun agak kecewa tidak dapat merakamkan kenangan melalui foto.


Tiba di bandar Samsun dari Yesilkent.
Apapun yang mengecewakan ia tetap terhasil dari keputusan sendirian yang aku buat. So, aku bukan kecewakan orang lain. Tapi kecewakan diri sendiri, jadi bukanlah hal yang payah untuk mengubat kecewa yang dihasilkan oleh diri sendiri.

Aku yakinkan diri, sukakan diri aku untuk mengembara di bandar Samsun pagi itu dah kira mengubat kekecewaan yang hanya seketika..Ketika bas mula memasuki bandar Samsun, mata aku terus tertumpu di kiri kanan jalan.. semuanya bangunan-bangunan baru, kedai-kedai moden. Macam tak nampak satu pun bangunan lama yang dinilai sebagai tinggalan sejarah.

Setelah itu bas lalu di sebuah masjid dan aku lihat tertulis padanya Gubruz Camii 1995. Ia bukan masjid yang aku ingin jejaki dan aku meneruskan perjalanan. Dalam hati aku berkata "Harap-haraplah ada tempat yang membolehkan aku menekan loceng bas untuk turun" dengan maksud hatiku lokasi yang ada tinggalan sejarah.

Bas terus bergerak dan meninggalkan pusat bandar Samsun dan menuju ke jalan bersebelahan berdekatan Laut Hitam (Jiwaku sudah cukup seronok kerana dapat sampai di pesisiran Laut Hitam)..mata aku terus tertumpu di kiri kanan jalan. Ada signboard jalan menunjukan arah ke Karadiniz (Laut Hitam), SahilYolu, Hayravet Bahceci.

Aku pun tak tahu ianya menuju ke mana..kemudian aku terperasan signboard tertulis Attaturk Museum. Lokasi tue ada dinyatakan dalam lonely planet guide..tapi ia bukanlah tempat yang 'menaikkan nafsu' aku untuk aku lawati. Selepas 1 km..mata aku tertumpu di sebelah kiri jalan dengan suasana pekan agak lama..aku lihat adanya masjid-masjid lama, bangunan-bangunan lama seperti binaan Uthmaniah. Tanpa fikir panjang tangan aku terus menekan loceng bas..aku turun disitu.


Ilkadim, Samsun.
Aku turun di ILKADIM..aku merasakan satu kegembiraan dalam hati setelah turun dari bas dan melihat di hadapan mataku sebuah masjid lama. Dan kelihatan berdekatan dengannya beberapa lagi tiang menara masjid yang aku sudah pasti dengan penglihatanku ianya dibina ketika zaman Uthamaniah.

Aku pun mula berjalan di sekitar pekan tersebut dan hasilnya cukuplah membuatkan aku puas. Banyak kesan-kesan sejarah Islam dapat dilihat di ILKADIM. Masjid-masjid binaan zaman Turki Uthmaniah, Bangunan-bangunan berusia antara 200-300 tahun dan sebuah menara jam berusia lebih 100 tahun.. aku mencatat maklumat dari lokasi-lokasi yang aku kunjungi dan melakarkan peta kecil sebagai ingatan aku dan maklumat tambahan untuk kawan-kawan yang ingin mengembara ke Samsun satu hari nanti..(Peta di atas)


Pemandangan bandar Samsun dan Laut Hitam
(gambar aku copy dari www.Ilkadim.bel.tr)


Tinggalan Sejarah di Ilkadim, Samsun.
Antara kesan-kesan sejarah yang telah aku temui di Samsun (tanpa mengambil maklumat dari buku-buku, internet, maklumat penduduk tempatan) ialah seperti berikut :

1. Masjid Yali yang dibina pada tahun 712 Hijrah bersamaan 1312 masihi oleh Yilinda Mehmet Sadik bin Abdullah.

2. Masjid Medrese (Medrese Camii Serefi) yang dibina pada tahun 1113 Hijrah

3. Sifa Hamami yang terletak bersebelahan Medrese Camii merupakan Hamam lama di bina ketika era kerajaan Turki Uthmaniah

4. Samsun Saat Kulesi Tarihcesi (Menara Jam Lama Samsun) yang dibina antara tahun 1886-1887 ketika era Sultan Abdul Hamid II. Arkitek yang bertanggungjawab membina menara tersebut ialah Mimar Fransiz.

5. Pazar Camii Serifi yang dibina pada tahun 1380 Miladi.

6. Markez Buyuk Camii yang dibina pada tahun 1300 hijrah.

7. Bangunan Samsun Buyuksehir Belediyesi. Pada ruang atas pintu masuk ke bangunan ini masih terdapat kesan jata kerajaan Turki Uthmaniah yang diukir pada batu. Kini, bangun tersebut sudah dijadikan pejabat kerajaan.

Setelah puas mendapat maklumat dan berkunjung ke lokasi tersebut aku berehat untuk mengambil sarapan pagi (terlalu excited sampai xrasa lapar. Dah selesai jalan baru rasa nak sarapan). Jam pada ketika itu menunjukkan 10.30 pagi..Aku sarapan di Bafra Tandin Kebab Solunu berhadapan dengan Menara Jam Lama Samsun.

Sarapan aku pagi tue Sup Ayam dan Roti..sambil makan aku merenung lonely planet guide di atas meja lalu hati aku berkata "Belum cukup apa yang ada dalam buku ni, sudah pasti jutaan kesan sejarah Islam masih belum tercatat dalam buku ni"