Monday, June 18, 2007

Bersendirian di bumi Kurdi

Aku masih duduk di kerusi stesyen Bullman (Stesyen Bas Ekpress) bandar Halab. Ketika itu aku menunggu masa sehingga jam 11 malam untuk bas aku bergerak menuju ke Qamishli..waktu masih berbaki 2 jam pada ketika itu untuk aku bergerak meninggalkan bandar Halab.

Aku sudah cukup kenyang malam itu setelah menikmati kebab halabi berhampiran Bab Faraj dan tidak lagi berlapar seperti di GaziAntep.

Sistem perhubungan di Syria lebih baik berbanding di Jordan.. Sistem bas bertiket dan berjalan tepat pada masa sudah pasti banyak memudahkan pengguna. Bukan seperti di Jordan yang berjalan tidak tentu masa. Mudah kata 'sistem tunggu penuh penumpang-baru bas bergerak' Kalau 3 jam penumpang tidak mencukupi kerusi di dalam bas makan 3 jam semua penumpang terpaksa menunggu untuk bas bergerak.

Aku memilih untuk mengadakan perjalanan malam supaya dapat berjimat kos hotel dan aku dapat tiba di tempat yang dituju seawal pagi dan terus menjalankan agenda pengembaraan yang telah dirancang.

Aku bergerak tepat jam 11.00 malam menuju ke Qamishli.

Qamishli merupakan bandar di Timur Laut negara Syria. Terletak lebih kurang 850km dari bandar Damsyiq dan 500km dari bandar Halab. Qamishli merupakan wilayah masyarakat Kurdi dan bersempadan dekat dengan negara Turki. Ramai yang mengaitkan Qamishli dengan kisah bandar yang 'bahaya' disebabkan majoriti penduduk kurdi yang sentiasa inginkan pembebasan dan mahukan wilayah mereka sebagai negara.

Kesemua pelancong asing yang tiba di Qamishli dan sekitarnya pasti akan di ikuti oleh mukhabarat atau dalam bahasa malaysia dikenali dengan SB Special Branch (Siput Babi). Ini adalah bertujuan untuk keselamatan pelancong dan langkah berjaga-jaga SB untuk menyekat sebarang pencerobohan sempadan di kawasan tersebut. Kawasan Qamishli amat bersempadan dengan Turki dan Iraq. Jika askar tidur, bila-bila masa boleh melangkah di kedua-dua sempadan.

Sepanjang perjalanan aku melelapkan mata dan terjaga 2-3 kali sebelum tiba di Qamishli. Namun ia bukanlah destinasi terakhir aku untuk pengembaraan pagi itu. Perjalanan masih berbaki 180km untuk tiba di Malkiyah yang terletak ke arah timur Qamishli dan merupakan pekan paling hujung di timur laut negara syria. Aku solat subuh di atas bas dan selamat tiba di Malkiyah tepat jam 6.48 pagi 10 Jun 2003.

Aku tiba di Malkiyah terlalu awal pagi. Arab mengelarnya ‘subuh bikir’ atau subuh dara. Masih muda, pagi yang terlalu awal. Ketika itu hanya 5 orang termasuk 4 bangsa kurdi yang turun di Malkiyah. Stesyen bas masih kosong.. Tiada sesiapa pun ketika itu di stesyen bas.

Aku menggalas ruck set berjenama Tatonka dan mula berjalan keluar dari stesyen tersebut ke arah kawasankedai yang sememangnya masih tutup di awal pagi hari tersebut. Aku bertemu dengan seorang yang menaiki motosikal buatan China dan menahannya lalu bertanya arah jalan untuk aku pergi ke AIN DIWAR...

"Aku boleh bawakan kau ke Ain Diwar" kata lelaki tersebut. Aku menjawab “Aku mahu berjalan" lelaki tersebut tersenyum dan menjawab perli.."Kau nak jalan sejauh 15km?"..Tiada cara lain untuk kau ke sana sama ada kau naik motor aku atau kau tumpang mana-mana kenderaan untuk ke sana...

Kata-kata lelaki itu aku percayai kerana ia bertepatan dengan maklumat yang telah aku perolehi dari buku pengembaraan lonely planet Syria. Penulis buku tersebut menyatakan untuk pergi ke Ain Diwar hanya boleh hitching (menumpang) ataupun membonceng motosikal dengan bayaran 300-500 Lira Syria.

Aku menggelengkan kepala tanda tidak mahu untuk membonceng motosikalnya. Beliau masih memujuk aku namun aku tetap menggelengkan kepala tanda menolak. Beliau menunjukkan arah simpang jalan untuk ke Ain Diwar dan aku perlu menumpang mana-mana kenderaan yang melalui jalan tersebut untuk ke Ain Diwar.

Aku berjalan ke arah simpang jalan dan terdapat dua buah kedai runcit yang sudah memuakan perniagaan di awal pagi. Murah rezeki pemilik kedai tersebut. Tidak membuta sehingga matahari sudah naik di kepala.

Aku masuk ke kedai tersebut untuk membeli air mineral, minuman bergas serta biskut untuk sarapan pagi itu serta bekalan. Apabila aku masuk ke dalam kedai pemilik kedai tersebut terus bertanya "Engkau mahu ke Jisir Rumani di Ain Diwar?" Aku menjawab na'am sambil tersenyum.

Abu Salih nama pemilik kedai tersebut. Berbangsa kurdi dan dia amat gembira kerana jarang mengenali bangsa asing yang boleh bertutur di dalam Bahasa Arab. Aku menunggu agak lama di situ sambil berbual dengan Abu Salih sehinggakan aku diberi percuma kek dan biskut pula untuk bekalan. Abu salih membantu aku menahan sebuah lori tanah yang melalui simpang tersebut menuju ke Ain Diwar. Aku mengucapkan jutaan terima kasih pada Abu Salih dan meneruskan perjalanan menuju ke Ain Diwar

Ain Diwar merupakan sebuah perkampungan kecil yg terletak 15km dari Malkiyah. Ia merupakan perkampungan terakhir di Timur Laut Syria. Bahagian utaranya bersempadan dengan Turki dan timurnya adalah sempadan negara Iraq. Aku memilih untuk menjejaki Ain Diwar pertamanya disebabkan perjalanan yang agak mencabar dan aku ingin melihat dataran indah Jazirah di sempadan tiga negara yang dahulunya tiada istilah sempadan antaranya. Aku juga merancang untuk tiba di ROMAN BRIDGE atau dikenali di dalam bahasa arab dengan JISIR RUMANI. Jambatan tersebut dibina pada zaman rum untuk menghubungkan dataran seberang yang dipisahkan oleh sebuah sungai.

Perjalanan dari Malkiyah ke Ain Diwar mencerahkan mata aku dengan ladang-ladang yang menghijau di kiri kanan jalan. Orang kurdi yang memandu lori tersebut tidak fasih bercakap arab. Dia menjemput aku memakan roti arab yang masih panas. Aku tidak menolak dan makan bersamanya sehingga tiba di sebuah simpang dan aku turun di situ.

Ain Diwar 3km dari simpang tersebut dan dia terpaksa menurunkan aku di simpang tersebut untuk mengambil jalan arah kanan untuk ke ladangnya. Sebaik sahaja aku turun, kebetulan ada sebuah lori pick-up kecil yang keluar dari simpang tersebut. Aku terus menahan dan bertanyakan tentang Ain Diwar dan jambatan rum di situ. Pemandu pick-up tersebut terus keluar dan bersalam dengan aku lalu memperkenalkan dirinya sebagai Ali. Aku terus bertanya tentang jambatan rum yang aku ingin pergi.

Ali menyatakan kesanggupannya dan ternyata dia seorang yang peramah. Tambahan pula dia hanya meminta bayaran 200 lira sahaja untuk bawa aku ke jambatan tersebut. Aku sudah merasakan ia cukup murah sebab berkira-kira dengan masa yang aku perlu ada di situ sedangkan aku tidak tahu jauh mana lagi jambatan tersebut. Kalau 1 km sahaja dari arah simpang, rugilah aku ketika itu.

Aku menaiki pick-up putih kecil jenis Daihatsu menuju ke Ain Diwar. Ali terus membawa aku memasuki perkampungan kecil Ain Diwar. Masyarakat di situ hidup dalam serba kemiskinan. Majoriti mereka berbangsa kurdi dan hanya segelintir berbangsa arab. Setelah melalui rumah-rumah daif di kawasan Ain Diwar aku terus sampai di sebuah kawasan agak tinggi dan Ali mengajak aku turun.

Peta menunjukan Sungai Dajlah (Tigris) berpunca dari Iraq
dan berakhir di Turki. Ain Diwar terletak betul-betul di hujung
negara Syria (arah Timur Laut)


Subhannallah. Itulah yang dapat aku katakan setelah mataku memandang pemandangan di hadapanku ketika itu. Cukup hebat ciptaan Allah.

Ali tersenyum melihat aku sudah mula keluarkan kamera. Ali memberitahu aku bahawa di hadapan kau sekarang adalah Sungai Dajlah yang berpunca dari Iraq. Tanah sebelum sungai tersebut adalah milik Syria dan tanah di selepas Sungai Dajlah tersebut adalah milik Iraq dan Turki. Ia merupakan sempadan semulajadi untuk ketiga-tiga negara. Ali menunjukkan sebuah bukit yang berhadapan dengan kawasan kami berdiri dikenali dengan BUKIT JUDI. Bukit judi tersebut terletak di dalam wilayah Mardin di Turki.

Kemudian Ali menyoal aku . ."Kau tahu di mana Jisir Rumani yang kau hendak pergi?". Aku menggelengkan kepala sambil Ali memaut bahuku dan jarinya menunjukan aku ke arah Sungai Dajlah.

“Jisir yang aku nak bawa kau pergi berada di bawah bukit dan akan melalui bersebelahan dengan Sungai Dajlah sehingga tiba di sebuah kawasan merupakan anak sungai kecil dari Dajlah dan amat bersempadan dengan tanah Turki. Dari situ kau akan nampak dengan jelas pekan Turki yang dikenali dengan CIZRE” terang Ali bersungguh. Dalam hati aku terdetik.. "Gila mamat ni, dia ambil 200 lira sahaja"

“Sebelum kau pergi ke sana, kau perlu jumpa polis di sini” Ali menyambung katanya ketika itu. Aku mengangguk dan terus menaiki pick-up tersebut ke sebuah pondok polis kecil yang terdapat dua buah bilik di dalamnya. Satu bilik tidur dan satu ruang pejabat. Tiba di pondok tersebut aku terus di panggil masuk oleh polis yang hanya berseorangan ketika itu.

Soalan pertama yang keluar dari mulutnya.. Kenapa kau ke sini? Untuk apa? Aku menjawab untuk pergi ke Jisir Rumani?. Kau nak buat carigali ke? Tambah polis tersebut. Aku menggelengkan kepala dan menjawab.. “Siyahah..Mughamarah” Polis tersebut bertanya lagi.. “Berapa lama dah kau di Syria” aku menjawab sebulan setengah. Dia bertanya lagi.. “Buat apa lama disini?” Aku menjawab, aku suka siyahah di sini dan mughamarah di sini dari negara-negara arab lain. penduduk-penduduk di sini semua baik. Aku memulakan kata manisku. Memang pada raut wajah polis tersebut terkejut dan hairan yang aku boleh berbahasa arab dengan baik.

Beliau mengeluarkan sebuah form dan meminta aku mengisi form tersebut. Setelah selesai dia memegang pasport dan form yang telah diisi dan menelefon seseorang. Dari perbualannya dapat aku pastikan dia menelefon ibu pejabat di Damsyiq. Beliau memberikan semua maklumat aku dan bertanyakan tentang tempoh pembaruan visa pelancong aku.

Setelah semuanya selesai dia meminta aku tinggalkan pasport dan aku boleh pergi. Dia juga minta agar kamera aku ditinggalkan sahaja di pondok tersebut tapi aku berkeras untuk bawa dengan alasan untuk merakamkan kenangan aku di Jisir Rumani. Lama juga aku meminta izin dan akhirnya dia membenarkan aku mebawa kamera...(alhamdulillah- kalau tidak, aku tidak dapat bayangkan betapa ruginya tidak boleh merakamkan kenangan gambar di Ain Diwar)

Aku amat berpuas hati pagi itu. Setelah aku menuruni bukit di Ain Diwar, melalui jalan tanah dan dapat melihat Sungai Dajlah dari jarak yang dekat dan melalui anak-anak sungai kecil, melihat kebun-kebun di kiri kanan yang diusahakan oleh bangsa kurdi. Setelah semua itu aku lalui aku tiba di Jisir Rumani atau jambatan rum di situ. Mataku dapat melihat dengan jelas bandar CIZRE di Turki dan kelihatan juga tentera-tentera turki mengawal di sempadan tersebut.

Aku bergambar kenangan di kawasan tersebut dengan pemandangan indah ladang-ladang cotton dan sungai-sungai kecil.


1 komen:

guli guling said...

masalah jugak ye jordan ni...'sistem tunggu penumpang penuh baru bas bergerak' ni dguna pakai gak ke untuk sistem kapal terbang...hehehheh