Monday, June 18, 2007

2,650,000 Turki Lira di Gaziantep

Bandar Gaziantep

Rambut aku makin kusut.. makin serabai selepas aku menggosok-gosok kepalaku tanda 'serabut otak'.. semuanya takkan jadi jika otak aku lebih teliti dan lebih cerdik dari awal..

Akhir ceritanya begini..

Aku gembira kerana dapat berdiri semula setelah 3 jam duduk di dalam bas sepanjang perjalanan dari SanUrfa- sebuah pekan di Timur Turkey. Sudah jam 6.30 petang ketika aku tiba di GaziAntep yang lebih senang di panggil ANTEP oleh masyarakat tempatan.

Sesahihnya ketika perjalanan dari SanUrfa lagi kepala aku sudah merancang, bila tiba di Antep aku mesti terus mengambil bas atau dolmus dari Otogar (stesyen bas) Antep terus ke bandar Antep.

Aku mesti terus menukar wang Jordan Dinar yang berbaki di dalam dompetku ke matawang Turki Lira, kemudian aku mesti mencari hotel murah untuk aku bermalam dan keesokan paginya aku mesti menjelajah bandar Antep dan kawasan-kawasan sejarah sekitarnya. Sambil merancang dalam kepalaku, sambil tanganku terus menulis diari perjalanan.

Aku tiba di Antep 15 minit lewat dari jadual asalnya. Baki duit Lira Turki (LT) yang masih aku pegang hanyalah 2,650,000 LT. Lebih kurang nilai USD 2. Seperti apa yang telah dirancang pada awalnya, aku mula mencari masyarakat tempatan yang boleh 'sikit-sikit' berbahasa inggeris. Akhirnya dapat aku 'menangkap' seorang perempuan muda dan melalui maklumat yang diberi dapatlah aku menaiki Mini Bus Antep dari Otogar ke bandar Antep. 20 minit perjalanan ke bandar Antep cukup menyebabkan aku lewat tiba di bandar Antep. Hari sudah mulai gelap.

Aku sudah berpeluh...merata aku berjalan di bandar antep. MONEY CHANGER aku dah jumpa tapi tutup semuanya. Duit hanya tinggal 2 juta LT. 650 ribu telah aku bayar untuk harga tambang MiniBus.. wang JOD 40 masih belum menjadi Lira.

Kepala aku sudah mula memikir diari baru aku untuk malam itu di Antep. Kali terakhir perut aku diisi ketika di Urfa, 7jam sebelum itu. Wang aku hanya berbaki 2 juta Lira Turki. Aku perlukan wang ini untuk tambang balik ke Otogar dan esok paginya aku perlu kembali ke bandar Antep untuk menukar wang di Money Changer. Malam itu aku perlu tidur di Ortogar sahaja...

Otak aku terus ligat berpusing mencari idea untuk 'hidup' ketika itu. Dalam keadaan serba tidak betul malam tu, aku masih mampu berjalan menggalas Ruck Set menikmati udara malam di bandar Antep. Perut memang lapar. Duit terpaksa simpan untuk tambang sahaja sehingga esok harinya...

Sekitar jam 9.10 malam aku mengambil minibus kembali ke Otogar Antep. Nasib aku malam itu sesahihnya seperti jatuh ditimpa tangga. Aku tersalah menaiki Minibus dan aku di bawa sehingga ke akhir stesyen di sebuah kampung kecil di pinggir Antep. Selamat bayaranya hanya 300 ribu. Aku kembali menaiki minibus tersebut ke bandar Antep dengan bayaran 300 ribu.

Tiba di dataran Antep, aku menahan minibus dan pastinya mataku tidak salah melihat tulisan OTOGAR pada cermin depan minibus tersebut. Dengan bayaran 650 ribu aku tiba di Otogar dengan selamat.

Tiba di Otogar aku terus 'melilau' di sekitar kaunter-kaunter tiket bas dengan memegang wang JOD40 di tangan dengan tujuan untuk menukar wang tersebut dengan mereka, malangnya lagi matawang JOD mereka tidak terima dan memberi cadangan agar aku cuba tukar sahaja di bandar Antep keesokan harinya.

Malam itu aku terbaring di kerusi penunggu-penunggu bas di Antep, duit berbaki 650 sahaja selepas 100 ribu aku gunakan untuk bayaran tuvalet (tandas) di Otogar tersebut. Duit itu memang cukup-cukup untuk aku pergi ke bandar Antep untuk menukar wang keesokan harinya.

Selepas solat Jamak Takhir malam itu, aku terlelap di kerusi Otogar Antep dengan air paip mengembungkan perut aku malam itu.

Aku dikejutkan dengan bunyi bising bas sekitar jam 4.20 pagi. Aku terus bangun dan menunggu waktu subuh.. Aku berada di Otogar sehingga jam 7 pagi.

7.30 pagi aku telah berada di Bandar Antep. Duit di dalam poket, 0 juta LT. Aku terus berlegar di Antep dan menjumpai banyak Money Changer tetapi masih tutup. 9.30-10.00 pagi baru ia beroperasi. Adushh!!!..

Aku terus berjalan di bandar Antep dan menziarahi masjid-masjid lama tinggalan kerajaan Uthmaniyyah. Aku turut berjalan di pasar-pasar harian di bandar tersebut...perut aku hanya diisi oleh air paip dan menyebabkan aku kekurangan banyak tenaga kerana tidak makan sejak tiba di Antep.

9.30 aku kembali ke kawasan money changer. Aku tersenyum berdiri hadapan money changer tersebut, dalam hati, selepas ini aku boleh makan, aku boleh beli tiket untuk masuk ke muzium, aku boleh beli kamus turki-bi yang aku jumpa beberapa jam sebelum itu, aku boleh gunakan wang yang dah ditukar untuk mengembara di sekitar bandar Antep.

Serabut. Aku terus serabut.

Duit JOD tidak boleh ditukar ke Turki Lira di Turki?...

Tidakkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk

3 money changer yg berada di situ hanya menerima wang USD dan EURO sahaja!. Otak aku mula menjadi gasing. Lama aku duduk termenung di medan antep yang berhadapan dengan panggung wayang..

Otak aku memberi idea untuk masuk ke bank-bank yang terdapat di situ. Pertamanya aku terus ke HSBC. Aku mengharapkan sangat duit JOD boleh ditukar. Akhirnya, pekerja-pekerja bank di situ hanya mengelengkan kepala tanda tidak boleh. Walaupun ada pekerja yg cuba usaha menelefon ke bahagian yang lain, ia tetap tidak berhasil.

Semuanya disebabkan otak aku yang lambat berfikir ketika di Antakya. Aku hanya menukar JOD20 ke Lira Turki di Antakya (bandar sempadan Syria-Turki) dan bakinya aku akan tukar apabila memerlukan selepas itu.

Dalam kepala otak aku langsung tak terfikir yang wang JOD hanya boleh ditukar di Antakya. Itupun dipasaran gelap. Masyarakat di Antakya majoritinya daripada arab dan kawasan tersebut masih ramai yang mampu bertutur di dalam bahasa arab. Ini disebabkan kawasan Iskenderun & Hatay dahulunya adalah milik Syria, tetapi terdapat perjanjian antara British dan Turkey (1930) yang membolehkan wilayah tersebut menjadi salah satu wilayah turki. Tetapi syria sehingga kini masih menyatakan itu adalah wilayah mereka.

Selepas kecewa di bandar Antep, aku mencari jalan bagaimana untuk pergi semula ke otogar dengan wang ZERO. Setelah lama berfikir datanglah di dalam otak ini untuk aku meminta sedekah di tepi jalan, menjual seluar dan baju aku ditepi jalan (kalau lakulah) atau aku pergi ke mana-mana kedai dan terus meminta 1 juta sahaja untuk tambang. Semua idea itu hanya terlintas dalam masa 1 minit sahaja. Akhirnya aku membuat keputusan untuk naik saja minibus dan atas bas nanti aku cakap aku tak ada duit. Ketika itu aku rasa itu terbaik. Padahal kesannya yang mungkin paling bangsat.

Aku menaiki minibus. Baru sahaja aku duduk, pemandu sudah minta aku isikan wang tambang ke kotak duit bersebelahannya. Aku diam.. Dia terus panggil dalam bahasa turki yg aku memang tak paham tapi ditujukan kepada aku. 2 kali dia memanggil, aku memekakkan telinga. Kali ketiga dia sudah tinggikan suaranya. Aku ke hadapan bus dan menarik keluar kedua-dua belah poketku untuk memberi isyarat poket aku kosong tak ada duit. Terus tangan pemandu bas menekan punat dihadapanya dan sejurus itu pintu pun terbuka. Aku dimaki dan dihalau.

Aku berdiri juga di dalam bas tersebut sambil aku bercakap otogar, otogar. Antakya, Antakya sambil tangan aku memegang wang JOD yang amat 'cantik' itu.

Pemandu terus meninggikan suara, bas sudah berhenti, pintu sudah terbuka. Aku sahaja buat bodoh minta belas kasihan atas bas tersebut. Selepas itu minibus tersebut berjalan, ada sepasang tangan yang memasukkan duit di dalam kotak duit tersebut. Aku menarik nafas lega dan cukup berterima kasih kepada seorang perempuan yang telah menolong aku. Aku hanya tersenyum kepadanya tanda terima kasihku. Padahal aku dah cukup malu. Berpuluh pasang mata tertumpu pada aku sehinggalah tiba di Otogar. Aku pula duduk di kerusi tengah. Nasib..nasib...

Tiba di Otogar aku terus menuju ke Dolmus. Aku dapat melihat dengan jelas tertulis di hadapan transit tersebut ANTEP-ANTAKYA. Aku terus bertanya pada mereka yang berkumpul di situ. Alhamdulillah ada seorang di antara pemandu yang boleh bercakap arab. Aku menjelaskan kesemuanya dan dia menganggukkan kepala sambil tersenyum.

"... tak mengapa kau bayar tambang di Antakya sahaja selepas kau tukar duit.." Kata-kata pemandu tersebut sudah cukup membuat aku menarik nafas lega. Hampir 4 jam perjalanan Antep Antakya (terlebih dahulu ke Adana), aku tertidur sepanjang perjalanan.

Tiba di Antakya aku membayar 6 juta LT untuk harga Dolmus dan kaki aku terus berjalan menuju ke lokantasi (restoran)...

____________________________________________________________________

Sebelum Januari 2005, matawang Turki dikira dengan nilai juta-juta. Sejak Jan 2005 kerajaan Turki telah memperkenalkan matawang baru Turki yang dikenali dengan Yeni Turkey Lira (YTL) yang menghapuskan kesemua 'kosong' yang ada..1,000,000 Lira menjadi 1 Lira.

4 komen:

guli guling said...

astaghfirullah...tak tahan nak guling2 dah rase...tak dapat nk bayang muke ust hazimin dok tepi jalan jual kain baju...heheheh...

guli guling said...

jual jual jual...kain ade baju ade sluar pun ade...kain bersih ade kain koto ade...baju bersih ade baju koto ade...sluar bersih ade sluar koto pun ade...mari2...jual jual jual...hahahha...

Muhamad Hazimin Sulaiman said...

huh!..satu pemerlian yang begitu jelas. Haha..cuba guli guling ada dalam situasi begitu? apa idea dan tindakan ye? (dalam keadaan confirm xada duit dalam bank untuk dikeluarkan melalui ATM Card)

guli guling said...

confrm dh saya nangeh lagu nana tido versi rock kat tepi jalan tu hahahah... :p