Wednesday, July 9, 2008

Jalan-jalan di Kuala Kangsar

Sungai Kangsar

Dalam perjalanan balik ke Ipoh dari Parit Buntar minggu lalu saya dan isteri berkesempatan singgah sebentar di bandar Di Raja Kuala Kangsar. Banyak juga perubahan pada landskap bandar yang berlaku. Berbeza ketika aku meninggalkannya hampir 8 tahun yang lalu.

Berada di Kuala Kangsar umpama balik ke kampung kerana saya pernah hidup hampir 5 tahun di bandar di Raja negeri Perak ini ketika menuntut di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan dari tahun 1994-1999. Banyak jugalah kenangan pahit manis yang tercipta di daerah indah ini.

Dalam perancangan awal, saya dan isteri ingin mengunjungi Galeri Sultan Azlan yang terletak di Bukit Chandan. Galeri ini baru siap di bina beberapa tahun yang lalu. Dahulunya ia merupakan bangunan Sekolah Raja Perempuan Mazwin dan kini sudah diubah menjadi Galeri Sultan Azlan. Kami tiba jam 5.10 petang dan galeri tersebut tutup jam 5.00 petang. Tak ada rezeki nak masuk pada hari itu.

Kemudiannya, kami terus ke kawasan Istana Iskandariah dan ke Istana Kenangan. Hanya sempat bergambar di luar kawasan Istana kenangan kerana ia juga ditutup pada jam 5.00 petang setiap hari. Dalam perjalanan kembali ke kawasan pekan singgah sebentar di Masjid Ubudiah untuk solat asar.

Ketika zaman persekolahan dahulu dan ketika arwah Ust Musa Zainuddin masih ada, setiap pagi kami diwajibkan solat di Masjid Ubudiah yang hanya terletak berhadapan dengan Madrasah Idrisiah. Selepas beliau meninggal dunia pada 19 April 1999 banyak perubahan telah berlaku di Madrasah Idrisiah. Tak tahulah keadaan kini bagaimana.

Lepas solat asar cadang nak tengok bangunan Kolej Islam Darul Ridzuan yang baru terletak di Bukit Chandan tetapi isteri ingin berkunjung ke kawasan jualan cenderahati dan kraftangan kerana dia belum pergi ke kawasan itu walaupun pernah ke Kuala Kangsar sebelum ini.

Destinasi kami kunjungi sebelum bertolak balik ke Ipoh ialah kawasan yang dikenali dengan lembah. Masa zaman sekolah dulu kami kerap ke kawasan lembah kerana terdapat gerai cendol yang sedap. Gerainya dahulu berbentuk bulat dan kini sudah di roboh dan dibina baru seperti yang sedia ada sekarang. Ketika itu kawasan lembah agak sibuk kerana penduduk-penduduk Sayong menyeberang menaiki bot melalui kawasan tersebut kerana tiada jambatan lagi ketika itu menghubungkan pekan Kuala Kangsar dan Sayong. Kini sudah siap Jambatan Sultan Abdul Jalil setelah berpuluh tahun penduduk Sayong menantikan janji ahli Parlimennya.

Selepas Makan Mee Kari dan Rojak Buah di lembah saya dan isteri bergerak pulang ke Ipoh. Best jugak jalan-jalan di Kuala Kangsar.


Istana Kenangan juga dikenali dengan Istana Lembah dan Istana Tepas. Istana ini dibina pada tahun 1926 sebagai tempat persemayaman sementara D.Y.M.M Sultan Iskandar sementara menanti siapnya Istana Iskandariah. Kini bangunan ini menjadi Muzium Di Raja Perak yang menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah.

Madrasah Idrisiah diasaskan pada tahun 1922

Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar

1 komen:

hrmk said...

sekolah muzwin yang dijadikan galeri sultan azlan tue..sekolah teman tue yeop..huhu..