Thursday, July 10, 2008

Halawa Buah Betik

Pekan Tapah, Perak

Hari ini saya menemani isteri ke Tapah untuk mengemas barang di rumah sewa yang pernah di diami oleh opah sebelah emak untuk dipindahkan. Alang-alang berada di Tapah kami sempat membeli beberapa keperluan yang jauh lebih murah berbanding di Ipoh.

Tiba di Tapah kami terlebih dahulu ke rumah opah Betah yang terletak di Bidor. Tujuan ke rumah opah Betah adalah untuk menghantar ciyo yang dipinjam darinya oleh keluarga mertua semasa Majlis Akad Nikah tempohari. Kali pertama mendengar nama ciyo memang berasa pelik. Banyak sangat lagi kalimah bahasa sendiri yang saya belum tahu. Ciyo adalah bantal bersulam benang emas. yang digunakan oleh pengantin lelaki (duduk di atas bantal tersebut) ketika akad nikah. Sesudah diberitahu oleh isteri barulah tahu 'menatang' tersebut.

Opah Betah antara pewaris generasi lama yang mahir mengait ciyo, sarung bantal, kipas pengantin, cadar dan lain-lain dengan menggunakan benang emas. Jika set cadar pengantin kini harganya mencecah ribuan ringgit dan berbulan untuk disiapkan. Opah Betah sendiri mengatakan dia pun dah tak larat nak buat semua itu dan sudah tidak ramai yang berkemahiran untuk menyediakan sarung yang mengunakan benang emas dikait dengan tangan bukannya mesin.

Opah Betah juga masih menyediakan Halawa yang dibuat dari buah betik. Orang dulu-dulu sudah pasti menggemarinya dan dibuat untuk hantaran perkahwinan. Orang-orang zaman sekarang tidak lagi menjadikannya sebagai hantaran perkahwinan yang mesti ada seperti kebanyakkan orang dulu kala bahkan mungkin sudah tidak mengetahuinya. Tambahan tidak ramai yang sanggup menyediakan atau langsung tidak tahu bagaimana menyediakannya.

Opah Betah menyatakan yang dia sudah tidak larat nak sediakan Halawa dari buah betik itu tetapi masih ada yang menelefon dan merayu agar dia dapat sediakan jugak untuk dijadikan hantaran perkahwinan anak mereka. Ketika berada di rumah Opah Betah beliau sedang menjemur Halawa buah betik untuk 4 tempahan yang diterimannya.

Halawa dibuat dari buah betik untuk dihias dan dijadikan hantaran perkahwinan yang masih disediakan oleh Opah Betah yang menetap di Bidor. Generasi sekarang sudah tidak ramai yang sanggup menyediakan benda rumit sebegini.

Dari rumah Opah Betah di Bidor kami kembali ke Tapah. Setelah membeli beberapa barang di pekan Tapah saya dan isteri terus ke rumah di Batu Tiga mengemas apa yang patut dan bertolak pulang ke Ipoh dalam keadaan hujan yang lebat. Tiba di Ipoh jam 5.00 petang.

Sebelum Maghrib saya menemani isteri ke Klinik. Selepas solat saya mengadap laptop sehingga menulis entry ini sebelum masuk tidur.

2 komen:

Aina@Azila said...

Hrmmm.sedapnya haluwa betik. Teringat kat arwah nenek akak, dia memang pakar buat haluwa betik. I admire, seni dia menganyam dan mengdecorate betik tu. Akak kesal tak sempat belajar seni tersebut.. hopefully, generasi muda dapat mewarisi seni tersebut.

cikliah said...

Salam perkenalan...

Ciyo tu maksudnya bantal special yang ditekat benang emas tu ke? Or sebarang bantal boleh dipanggil ciyo ?

Halwa tu makan pon sodap... ;) Provided tak banyak sangat pakai colouring.

Kagum dengan Opah Betah !