Thursday, May 22, 2008

Salah Anggap Pada Istilah Maqam

Antara pengalaman paling berharga dan sukar dilupakan apabila berada di bumi arab ialah diberi peluang oleh Allah menjejaki lokasi dan kawasan-kawasan yang dikaitkan dengan para nabi dan rasul, keluarga dan sahabat Rasulullah S.A.W, auliya' dan ulama'.

Di dalam mengkaji di mana lokasi terakhir para rasul dan sahabat berada di akhir hayat mereka sudah pasti banyak perbezaan pandangan dan pendapat diberikan tambahan pula tidak ada maklumat yang tepat di mana para rasul dan sahabat Rasulullah S.A.W di semadikan.

Kewujudan 2-3 maqam individu yang sama di tempat yang berbeza harus difahami dengan baik. Masyarakat arab menggunakan istilah maqam yang membawa kepada 2 maksud iaitu kubur dan kawasan berdiri atau pernah berada.

Malah arab selalu menggunakan istilah Dorih bagi menyatakan adanya jasad disemadikan di sesebuah kawasan dan menggunakan istilah maqam hanya menyatakan bahawa sesebuah kawasan tersebut pernah didiami atau disinggahi sahaja oleh para rasul, nabi dan sahabat.

Perkara menjadi rumit apabila tempat-tempat yang dikatakan pernah disinggahi oleh para nabi dan sahabat di buat binaan seperti binaan kubur dan penduduk tempatan di sesuatu kawasan tersebut mula mempercayai bahawa terdapat jasad disemadikan di kawasan mereka atas dasar ingin menyatakan bahawa tempat mereka mempunyai kelebihan tertentu dan dianggap keramat. Sedangkan perkara ini amatlah dilarang dalam agama Islam iaitu memuja kubur dan menganggap keramat dapat diperolehi dari kubur-kubur.

Walhal sesuatu kawasan itu hanya pernah disinggahi oleh para nabi dan sahabat bukanlah mereka wafat di kawasan tersebut, itupun disampaikan sumber sejarahnya secara lisan dan generasi ke satu generasi yang menetap di kawasan tersebut. Inilah yang menjadi punca bagaimana wujudnya makam nabi dan sahabat yang lebih dari satu.

Namun, di sini bagi mereka yang minat mengkaji sejarah nabi dan sahabat kewujudan makam-makam yang berbeza ini boleh menghasilkan fakta-fakta tentang lokasi-lokasi yang pernah disinggahi oleh nabi dan sahabat. Hasilnya boleh dibuat perbandingan sama ada maqam tersebut palsu dan sengaja di ada-adakan atau benar-benar mempunyai kaitan dengan kisah hidup nabi dan sahabat.

Sebagai contoh, melalui sumber lisan penduduk Sirfa di Karak, Jordan (dari generasi ke generasi) mengaitkan sebuah pokok di lembah berhampiran Laut Mati dan perkampungan mereka pernah disinggahi oleh Nabi Sulaiman a.s. Mereka menyatakan ia adalah Maqam Nabi Sulaiman a.s bukan Dorih Nabi Sulaiman a.s. Ini bermakna tiada jasad disemadikan di situ dan ia hanya sebagai tempat Nabi Sulaiman a.s pernah berada.

Kawasan tersebut kini masih terdapat sebuah pokok yang dikatakan pernah Nabi Sulaiman a.s berada dan bersebelahannya adalah binaan lama yang terdapat masjid di dalamnya.

Bagusnya kawasan tersebut terpencil, jauh dari kawasan penempatan dan tidak dibina di kawasan tersebut bentuk kubur yang boleh disalah anggap oleh generasi sekarang bahawasanya terdapat jasad Nabi Sulaiman a.s di semadikan di kawasan tersebut. Sedangkan ia hanya dikaitkan dengan tempat persinggahan Nabi Sulaiman a.s

Contoh lain seperti Makam Abdul Rahman bin Auf yang terdapat di Sweileh, Jordan. Kawasan tersebut diistihar sebagai lokasi yang pernah disinggahi oleh beliau. Sumbernya adalah secara lisan dari orang terdahulu dan tidak dibina sebarang batu berbentuk kubur yang menyatakan adanya jasad disemadikan. Kerajaan Raja Abdullah II telah membina masjid ditapak persinggahan tersebut demi memperingati kesan sejarah yang ada disitu.

Dengan mengetahui sesuatu Maqam yang wujud di sesuatu lokasi, beberapa kajian juga boleh dilakukan untuk mendapatkan keputusan. Misalannya, sejarah seorang sahabat adakah beliau pernah menetap di kawasan tersebut, adakah dapat dikesan keturunan beliau masih wujud di kawasan tersebut dan pastikah di akhir hayat beliau berada di kawasan yang dikatakan jasadnya disemadikan.

1 komen:

zaliana said...

oooh..mcm tu..sekarang barulah akak paham pasal percanggahan pendapat tentang makam tu..lama tak masuk byk posting yg kena cover..blog ni memang byk bantu akak mendekati sejarah para nabi & rasul.terima kasih.teruskan mengembara dan menulis ya...nak tunggu pergi menziarah sendiri ke bumi anbia tak tahu bila..insya allah nanti ada rezeki :)