Sunday, May 4, 2008

Memori Jelajah Jordan 08- Part 1

Jelajah Jordan Musim Sejuk 2008 telah 3 bulan berlalu. Namun ingatan padanya tetap menjadi memori yang sukar dilupakan. Trip 5 hari yang telah berlangsung pada 26 Januari dan berakhir pada 30 Januari yang lalu telah meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis dan pengalaman saya selaku penganjur bersama adik-adik pelajar dari Jordan dan Mesir.

Jelajah Jordan (JJ) 2008 merupakan siri ketiga trip seluruh lokasi menarik di Jordan yang telah saya anjurkan bersama Saudara Zaid. JJ telah dimulakan pada tahun 2006 dengan bilangan peserta seramai 88 orang, 2007 dengan 92 orang dan pada tahun ini seramai 96 orang peserta.

Disebabkan minat mendalam saya dan Zaid di dalam sejarah dan minat mengkaji keadaan kota dan tapak arkeologi, segala pengalaman yang kami kumpul telah membantu kami untuk menyusun satu jadual trip ke lokasi utama di Jordan dengan jumlah hari yang sesuai dan bayaran yang tidak membebankan untuk para pelajar.

Dengan pakej pelajar selama 5 hari, pelajar dapat menziarahi hampir keseluruhan lokasi-lokasi menarik di seluruh Jordan dengan bayaran hanya JOD 110 bersamaan RM 501 merangkumi keseluruhan bayaran sepanjang 5 hari perjalanan (makan 3 kali sehari, penginapan 4 malam di Amman dan Aqabah, Tiket Masuk ke Lokasi-lokasi lawatan)

Percubaan kami pada 2004 telah meninggalkan kenangan Jelajah Tawan Jordan yang telah disertai seramai 19 orang pelajar dengan rekod mengembara 10 hari. Bagi saya ia amat berjaya dan memuaskan hati. 2005, Jordan's Expedition juga dianjurkan dengan bilangan peserta seramai 69 orang.

Pada tahun 2008 ini
, sekali lagi dengan izin Allah perjalanan Jelajah Jordan pada musim sejuk telah berjaya dianjurkan disertai seramai 96 orang termasuk 7 krew bertugas. 89 orang peserta terdiri dari 77 pelajar Jordan dan 12 pelajar dari Mesir. 28 daripadanya adalah peserta lelaki dan 61 orang adalah peserta perempuan.

Catatan Pengembaraan Jelajah Jordan 2006
26 Januari 2008

Kami telah memulakan perjalanan pada hari pertama mengunjungi 3 buah kota lama yang menarik di utara negara Jordan. 5 krew termasuk pihak penganjur telah bertolak dari Mu'tah seawal jam 5.00 pagi. Cuaca sejuk yang amat sejuk di dalam musim sejuk kami telah lalui di awal pagi sebelum menuju ke Amman.

Kami tiba di Amman seawal jam 6.30 pagi dan terus ke syarikat bas Muttahidah. Pihak penganjur telah menyewa 2 buah bas Jenis Cherry Kinglong untuk keselesaan sepanjang trip 5 hari pengembaraan.

Adat berurusan dengan arab memang mesti ada masalah yang timbul dan cabaran seawal pagi cukup membuatkan saya banyak bersabar. Sudahlah peserta di Irbid semuanya telah berkumpul, pihak syarikat bas tidak menepati janji untuk menyediakan bas yang sepatutnya. Ini telah menyebabkan pihak penganjur berkeras untuk mendapatkan bas yang sepatutnya dijanjikan. Bukan bas 'busuk dan buruk' yang pastinya tidak akan memberi keselesaan kepada para peserta. Ikutkan hati memang sangat-sangat marah dengan pengurusan arab namun bak kata pepatah melayu 'Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta'- baik diikutkan nasihat orang tua-tua melayu untuk berhadapan dengan arab.

Akhirnya setelah berkeras dan pihak syarikat telah berusaha mendapatkan bas yang baik. Selesai satu masalah namun peserta-peserta di Irbid sudah pasti 'panas' menunggu bas yang lewat tiba. Lewat 2 jam setengah dari waktu asal, bas selamat tiba di Irbid pada jam 10.12 pagi.

Kami memulakan perjalanan pada jam 10.45 menuju ke Umm Qais yang menjadi lokasi pertama lawatan di hari pertama JJ08. Kota Umm Qais terletak lebih kurang 35 kilometer dari pusat bandar Irbid. Ia merupakan kota Greek-Rum yang terkenal di utara Jordan. Dari kawasan kota pemandangan Tasik Tobari dan Mount Golan dapat dilihat dengan jelas sekiranya cuaca baik. Cuaca dipagi hari tersebut cerah namun terdapat sedikit kabus dan menyebabkan tasik tidak dapat dilihat dengan jelas.

Disebabkan kesuntukan masa dan bilangan peserta yang ramai, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk melepaskan peserta bebas berjalan disekitar kota dan mendapatkan info mengenai kota dari dalam buku maklumat lokasi yang telah disediakan penganjur dan dari papan tanda yang terdapat di monumen-monumen di dalam kota.

Peserta di pintu masuk Kota Umm Qais

Peserta lelaki bergambar kenangan berlatarbelakangkan Bukit Golan & Tasik Tobari

Dari Umm Qais kami bergerak menuju ke muhafazah Ajloun untuk menjejaki Kota Ar-Rabad. Perjalanan mengambil masa hampir 1 jam 30 minit dan kami telah makan tengahari di dalam perjalanan dari Umm Qais ke Ajloun.

Setelah selesai lawatan di Qalaah Ar-Rabad kami telah berhenti solat di sebuah masjid berhampiran pekan Ajloun. Sepatutnya selepas lawatan ke Kota Ar-Rabad jadual yang telah diatur akan membawa para peserta ke kota Rum Jerash. Namun disebabkan permulaan yang lewat di awal pagi Kota Jerash tidak dapat dilawati pada hari pertama dan pihak penganjur telah berurusan semula dengan syarikat bas untuk kembali ke Jerash pada hari kedua sebelum meneruskan tentatif ke padang pasir Jordan.

Bandar Ajloun

Dari Ajloun kami menuju ke Jerash dan tiba pada waktu Maghrib di muhafazah tersebut. Dalam keadaan cuaca yang mula sejuk, hujan renyai-renyai membuatkan jalan licin dan bas terpaksa bergerak perlahan dalam keadaan jalan berbukit. Amat merbahaya. Tambahan pada ketika itu, seorang kenalan arab telah menelefon saya dan memberitahu tentang kemalangan bas ngeri berhampiran Jerash yang mengorbankan 23 rakyat Jordan. Saya hanya berdoa pada ketika itu agar perjalanan kami selamat.

Kami tiba di tempat penginapan di Abu Nusayr tepat jam 8.30 malam dalam keadaan hujan terus membasahi bumi Amman. Kami menginap di Hotel Jawwad untuk peserta perempuan dan Hotel Dammam untuk peserta lelaki. Tidak banyak masalah berlaku di lokasi penginapan peserta perempuan tetapi pelbagai masalah timbul di hotel penginapan pihak lelaki.

Dengan masalah gas untuk pemanas bilik telah habis dan lewat ditukar, pintu tandas yang tidak berkunci, masalah kunci bilik yang rosak, tilam dan selimut tidak disediakan dengan baik.

Selepas kejadian pengurusan hotel yang teruk pada malam pertama, pihak penganjur telah bertekad untuk menyenaraihitamkan Hotel Dammam untuk selama-lamanya. Pengurusan untuk 2008 amatlah teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pada tahun 2007, keadaan hotel telah dipinda serba baru namun pada tahun 2008 ianya tidak dikemaskini. Pihak penganjur terasa agak bersalah dengan peserta lelaki kerana keadaan hotel yang kurang selesa. Tambahan pihak penganjur telah rasa tertipu dengan pihak hotel yang hanya pandai meniti tebu di bibir.

Malam itu setelah selesai makan malam, semua peserta beristirehat menanti hari esok untuk aturcara pengembaraan seterusnya.

0 komen: