Saturday, May 24, 2008

The Decapolis


Decapolis bermaksud 10 bandar dan dikenali di dalam Bahasa Arab dengan Mudun 'Asyar. 10 buah bandar ini merupakan bandar di bawah penguasaan Rum dan telah dipelopori oleh Maharaja Pompeii pada tahun 63 sebelum masihi.

Kota-kota ini terletak di tanah Palestin, Jordan dan Syria yang pada satu ketika dahulu tidak bersempadan dan terletak di dalam kelompok berdekatan. 6 dari 10 buah kota kini terletak di negara Jordan, 2 di Syria dan 2 di Palestin.

Namun, terdapat beberapa perbezaan pendapat di kalangan ahli sejarah mengenai di mana lokasi 10 buah kota tersebut dan terdapat juga perbezaan pendapat pada nama kota sedangkan ia adalah bandar atau lokasi yang sama.

Catatan dari Pusat Pelancongan Jerash menyatakan 10 buah kota tersebut ialah :
Philadelphia, Umm Qays, Capitolias, Abila, Pella, Jerash, Scythopolis, Hippos, Bosra dan Canatha.

Aidah as-Solal di dalam bukunya Athar Wal Mawaqi' Siyahah Fil Urdun berpendapat Decapolis merupakan lokasi yang dinyatakan di atas kecuali Abila dan Hippos. Beliau berpendapat dua kawasan lain ialah Dion dan Raphana.

Namun, maklumat dari wikipedia.com menyatakan bahawa Dion juga adalah Capitolias dan Raphana adalah Abila. Laman Encyclopedia percuma itu turut menyatakan bahawa Decapolis merangkumi semua kota yang tercatat di Pusat Pelancongan Jerash kecuali Bosra dan berpendapat Damascus adalah salah satu dari 10 kota tersebut.

Kota-kota yang kini berada di dalam negara Jordan ialah Philadelphia, Umm Qays, Jerash, Abila, Capitolias dan Pella.

Philadelphia juga dikenali dengan Jabal Qalaah terletak di sebuah bukit berhampiran Downtown Amman di ibu negara Jordan. Umm Qays terletak di utara Jordan di dalam wilayah Irbid. Dari kawasan tersebut Bukit Golan dan Tasik Tabari dapat dilihat dengan jelas jika cuaca baik. Jerash pula merupakan kota yang paling besar dan lengkap dari 9 buah kota yang lain. Jerash diberi jolokan Kota Rome terlengkap di luar negara Itali. Abila pula dikenali juga dengan Umm 'Amal terletak berhampiran lembah Qweilbah, Irbid. Capitolias disebut juga dengan Bayt Ras juga terletak di Irbid manakala Pella yang dikenali dengan Tabaqat Fahal oleh arab tempatan terletak di Mashariq dalam Liwaa' Kurrah, Irbid.

2 buah kota di Syria ialah Canatha dan Bosra. Bosra amat terkenal sebagai pusat perdagangan utama di dataran Sham yang kini terletak di dalam wilayah Der'a, selatan negara Syria. Manakala Canatha dikenali juga dengan Qanawat yang terletak di dalam wilayah Suweida'.

Baki 2 buah kota terletak di Palestin iaitu
Scythopolis dan Hippos. Scythopolis juga dikenali dengan Beit She'an. Orang Itali yang tidak boleh menyebut Beit She'an menghasilkan sebutan tempat tersebut dengan Beesan atau Baisan. Ia terletak berhampiran Sungai Jordan di bahagian barat. Hippos pula terletak berhampiran Laut Tabari dengan penduduk yahudi mengelarnya Sussita.


0 komen: