Friday, May 23, 2008

Makam Nabi Ayub a.s di Bathna, Jordan?

As-Salt merupakan sebuah bandar yang terletak di dalam muhafazah Al-Balqa' di Jordan. As-Salt diberi jolokan bandar Uthmaniah di tanah Jordan lantaran kawasan tersebut menjadi pusat pemerintahan utama kerajaan Uthmaniah di tanah Jordan suatu ketika dahulu.

Daerah Al-Balqa' terutama di sekitar As-Salt banyak mencatatkan kisah para nabi dan sahabat yang dicatat pernah menduduki kawasan Al-Balqa' dan wafat disitu. Antaranya ialah Nabi Syuaib a.s, Nabi Jadur a.s, Nabi Hasyer a.s, Nabi Ayub a.s, Nabi Yusha ibn Nun a.s dan sahabat antaranya Maisarah bin Masruq dan Bilal bin Rabah.

Dalam entry kali ini ingin saya kisahkan berkenaan dengan Makam Nabi Ayub a.s yang terdapat di sebuah perkampungan bernama Bethna yang terletak di dalam Baladiah As-Salt, Jordan.

Pertama kali saya tiba di Makam tersebut ialah melalui maklumat dari seorang sahabat di Universiti Mu'tah dari kabilah Al-alfei yang memberitahu saya bahawa terdapat Makam Nabi Ayub a.s di As-Salt namun beliau sendiri hanya mengetahui kewujudan makam tersebut tetapi tidak pernah tiba di kawasan tersebut.

Tahun 2003 saya telah menaiki coaster awam ke bandar As-Salt yang pemandanganya agak unik dan klasik. Berbeza dari bandar lain di Jordan kerana senibina dan ukiran bangunannya mirip seperti di bandar lama Dimasyq dan beberapa kawasan utama kerajaan Turki Uthamaniah di negara Turki. Ini adalah kerana bandar As-Salt sendiri pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah di tanah Jordan.

Dari stesyen bas utama bandar As-Salt saya menaiki coaster As-Salt ke Bathna dan dengan keramahan bangsa arab dan sikap tolong menolong mereka yang amat hebat saya turun dipertengahan jalan setelah beberapa arab di dalam coaster memberitahu akan lokasi Makam Nabi Ayub a.s yang saya ingin ziarahi.

Saya turun ditepi jalan berhadapan dengan Pejabat Baladiah Bathna dan ketika turun beberapa individu di dalam pejabat tersebut sudah memerhati kehadiran saya. Selepas beberapa minit, boleh dikatakan semua yang ada di dalam pejabat kecil itu keluar dan yang pastinya semua tertumpu ke arah saya.

Tanpa disuruh, kaki saya terus bergerak ke arah mereka dan setelah bersalaman dan bertaaruf saya menyatakan hasrat pada ketika itu ingin menziarahi Makam Nabi Ayub a.s yang dikatakan wujud di kawasan tersebut.

Salah seorang dari mereka ketawa kecil dan bertanya kepada saya tentang tujuan saya ingin pergi ke kawasan tersebut. Saya pun tidak faham kenapa dia ketawa ketika itu. Adakah sesuatu yang melucukan untuk menziarahi makam nabi.

Saya menerangkan kepada mereka yang saya mengambil peluang untuk menziarahi makam-makam nabi dan sahabat sementara berada di tanah para anbiya' yang tidak akan ada kesannya di negara kelahiran saya.

Salah seorang dari mereka bertanya pula dari mana saya mendapat maklumat tentang kewujudan makam tersebut. Kerana menurutnya memang amat jarang orang asing datang ke kawasan tersebut.

Saya memberitahu mereka bahawa maklumat mengenai makam tersebut saya dapat dari seorang kawan di Universiti Mu'tah.

Mereka semua menganggukkan kepala jelas dengan penjelasan saya dan beberapa dari mereka telah membantu membawa saya ke kawasan makam tersebut.

Lokasi Makam Nabi Ayub a.s terletak berdekatan dengan pejabat Baladiah Bathna. Hanya 200m dari jalan utama.

"Inilah kawasan makam tersebut".
Kata salah seorang dari mereka sambil menunjukkan sebuah batang pokok yang telah ditebang dan dibakar.

Rupa-rupanya makam yang dimaksudkan bukanlah kubur tetapi hanya sebuah kawasan yang pernah disinggahi oleh Nabi Ayub a.s. Mereka bercerita kepada saya bahawa suatu ketika dahulu terdapat sebuah pokok besar yang dipercayai penah disinggahi oleh Nabi Ayub a.s.

Namun beberapa kerja-kerja khurafat telah berlaku di kawasan tersebut dan kumpulan Ikhwan Muslimin di Sweileh Jordan telah menebang dan membakar pokok tersebut supaya tidak berlaku lagi perkara-perkara syirik dan khurafat dilakukan di kawasan tersebut.

Kenangan bersama rakyat tempatan Jordan yang telah membantu saya menunjukkan
kawasan Makam Nabi Ayub a.s di Bathna- As-Salt, Jordan

Pada tahun 2006 sekali lagi saya berpeluang ke kawasan tersebut dan kerajaan Jordan telah mengambil inisiatif memasang papan tanda menunjukkan arah makam yang lebih tepat adalah kawasan yang pernah disinggahi oleh Nabi Ayub a.s.

Nabi Ayub a.s dikatakan wafat di Hauran, selatan Syria dan makamnya terdapat di sebuah perkampungan bernama Syeikh Saad berhampiran Nawa. Terdapat juga pendapat yang kuat menyatakan bahawa Nabi Ayub a.s wafat di San Urfa iaitu sebuah wilayah yang terdapat di negara Turki. Di kedua-kedua kawasan tersebut terdapat kubur dan perigi yang dikaitkan dengan Nabi Ayub a.s

Wallahualam.

0 komen: