Tuesday, March 4, 2008

Masa Untuk Berubah


Profile Ringkas Calon PAS Parlimen Parit Buntar

Dr. Mujahid bin Hj Yusof Rawa
25 Oktober 1964 (44 tahun) berasal dari Pulau Pinang

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang (2007 hingga kini), Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS (2005 hingga kini), Ahli Jawatankuasa PAS Pusat (2005 hingga kini), Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat (2001-2005), Tenaga Pengajar Masjid dan Surau, Guru Bahasa Arab, Petugas Sukarela Bantuan Islam Antarabangsa, Pensyarah Multimedia Universiti


Profile Ringkas Calon PAS Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Perak
Drs. Khalil Idham Lim Abdullah

Pendidikan : SM Jelawat, Kelantan, Institut Machang, Kelantan, Institut Agama Islam Negeri Acheh, Indonesia, Diploma Pendidikan UIAM, Kolej Bahasa Jinan Universiti Guangzhou, China. Pengalaman : Guru Agama Kementerian Pendidikan SM Teknik Sibu, Sarawak. Jawatan Dalam PAS : Timbalan Yang DiPertua Parit Buntar

'Afra Spa, Tafilah

Kami mula bergerak meninggalkan Mu'tah tepat jam 10.15 pagi menuju ke sebuah lokasi yang dikenali dengan Hammamat Afra. Lokasi tersebut terletak lebih kurang 40 km perjalanan dari pekan Mu'tah melalui jalan lama Karak ke Tafilah.

Tafilah merupakan muhafazah yang terletak di kawasan selatan Jordan dan bersempadan dengan muhafazah Karak dan Ma'an. Di kawasan ini terdapat 2 lokasi Mata Air Panas yang amat terkenal di negara Jordan iaitu Hammamat Afra dan Hammamat Burbaitah.

Perancangan untuk ke Afra hanya dirancang pada hari sebelumnya bersama dua sahabat iaitu Mahadi dan Habidin dan keputusan terus dicapai memandangkan masa agak suntuk kerana kami bertiga akan kembali ke tanahair pada 5 Mac 08. Lokasi ini pernah saya kunjungi pada tahun 2001 dan ditutup dalam tempoh yang agak lama disebabkan proses menaiktaraf kawasan tersebut sebagai salah satu lokasi pelancongan di Jordan.

Kami tiba di Afra Spa tepat jam 11.15 pagi dan bayaran masuk dikenakan sebanyak JOD5 untuk rakyat asing dan tiada harga pelajar di berikan. Untuk rakyat tempatan hanya dikenakan bayaran JOD1.

Kawasan Afra kini masih dalam proses menaiktaraf dan kebersihan di sekitar kawasan tersebut amatlah kotor dan tidak dijaga. Tidak padan dengan bayaran JOD 5 yang dikenakan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga tempat tersebut iaitu Lajnah Idarah Afra Wal Burbaitah Wal Sila'. (Afra-Burbaitah-Sela Management Comittee)

Aktiviti pertama yang telah kami lakukan setelah tiba di kawasan tersebut ialah meninjau kawasan berbukit arah mata air panas mengalir menjadi sungai kecil.

Di kawasan itu terdapat beberapa kesan ukiran dan pahatan pada batuan bukit yang membentuk seperti bilik. Ini membuktikan bahawa terdapat penempatan lama di kawasan tersebut. Ukiran yang terdapat mirip kepada ukiran yang terdapat di Ain Baidho' yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Edom dan seperti di Petra yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Nabatean.

Setelah selesai meninjau di kawasan tersebut, kami memulakan aktiviti berendam di kolam air panas yang telah disediakan. Disebabkan kedatangan kami bukan pada hari cuti hujung minggu ataupun cuti umum, kawasan tersebut lengang dan memberikan keselesaan 100% kepada kami. Cuma kolam air tidak dibersihkan.

Di kawasan tersebut disediakan empat buah kolam mandi dengan ruang terbuka serta dua buah kolam di dalam ruang tertutup. Setiap kolam mempunyai tahap kepanasan air yang berbeza antara satu sama lain. Air panas disalirkan dari mata air panas semulajadi di kawasan tersebut.

Setelah selesai berendam, kami makan tengahari Nasi Maqlubah yang telah disediakan dari rumah. Selesai makan kami kembali berendam untuk kali kedua dan bersiap untuk pulang sekitar jam 2.00 petang.

Di dalam perjalanan pulang, kami berhenti di Ain Burbaitah yang juga merupakan lokasi di mana terdapat Mata Air Panas semulajadi dan kawasan tersebut kini turut dalam proses menaiktaraf. Di situ kami solat zohor dan bergerak meninggalkan Ain Burbaitah setelah merakamkan gambar kenangan.

Van bergerak meninggalkan Burbaitah menuju ke Al-Aina dan terus ke bumi damai Mu'tah. Kami tiba di Hayyu Sweih tepat jam 3.10 petang.


Kawasan Afra Spa yang kini sedang dibangunkan oleh
Afra-Burbaitah-Sila' Management Committee. Kawasan nampak cantik,
tapi sangat kotor dan tidak dijaga.



Kesan sejarah yang terdapat di kawasan Afra.
Dikenali sebagai Sila'
yang bermaksud batu-batu yang dibelah


Kolam dengan ruang terbuka yang terdapat di Afra Spa. Terdapat 4 kolam yang berbeza tahap kepanasan
airnya. Kelihatan kolam yang berair paling hujung
adalah yang paling tidak panas.


Air yang paling panas di kolam pada ruang tertutup.


Bergambar di sungai yang mengalirkan air mata air panas secara semulajadi


Lunch Time


'Ain Burbaitah. Kawasan ini turut dibangunkan dan bakal menjadi lokasi
pelancongan utama di Jordan.

Thursday, February 28, 2008

Ashabul Kahfi- Kesan Gua di Syria


Pada 22 Februari yang lalu sekali lagi saya berpeluang mengunjungi kesan Gua Ashabul Kahfi di Syria yang terdapat di kawasan Jabal Qassiyun, Syria.

Perjalanan pada hari tersebut ditemani oleh rakyat Syria Khaldun Qassimi yang menetap di Hayyu Sa'dun, Jabal Qassiyun. Trip kali ini saya bersama En. Faizal yang kini sedang dalam tempoh menghabiskan PHDnya di Universiti Birmingham U.K. Saya menemani En. Faizal setelah beliau menamatkan lawatan kerja di Dead Sea, Jordan dan bersamanya ke beberapa buah lokasi menarik di Jordan dan Syria.

Gua Ashabul Kahfi di Syria terletak berhampiran puncak Jabal Qassiyun yang kini di sekitarnya sudah dibina penempatan moden. Kami tiba agak lewat di kawasan tersebut kerana menghabiskan masa yang lama di Makam Wali Arba'in sebelum ke lokasi tersebut.

Kami tiba di kawasan gua ketika azan Maghrib berkumandang dan kedatangan kami di sambut oleh Ummu Ali yang menjadi penjaga gua tersebut. Ketika kali pertama menjejaki gua tersebut pada tahun 2006, orang yang menyambut saya pada ketika itu juga Ummu Ali.

Saya meminta Ummu Ali menerangkan tentang bukti-bukti yang terdapat di gua tersebut yang menjadi sebab kenapa penduduk tempatan mengatakan ia sebagai gua pernah ditiduri 7 orang pemuda selama 300 tahun. Saya meminta Ummu Ali menunjukkan beberapa bukti penting seperti lubang cahaya, rumah ibadat yang dibina di atas gua serta di mana makam pemuda-pemuda tersebut.

Saya menyebut satu persatu bukti-bukti tersebut supaya ditunjukkan oleh Ummi Ali memandangkan kawasan tersebut tidak berupa gua bahkan keadaan dinding gua dan sekitarnya masih baru dan berkeadaan moden.

Ummu Ali menerangkan bahawa, kawasan tersebut dahulunya terdapat sebuah gua dan satu binaan lama yang dipercayai dibina ketika era Rum. Pada tahun 1960-an kawasan gua tersebut dan binaan yang terdapat di situ telah runtuh memandangkan ia dibina di lereng bukit. Masyarakat setempat di situ telah berusaha menjaga sebahagian dari gua yang masih terselamat dan bahagian yang telah runtuh dibina dengan batuan biasa.

Masa terus berlalu dan rumah-rumah moden dibina sekeliling kawasan gua. Ummu Ali turut memberitahu bahawa dahulunya terdapat kesan lubang cahaya pada bahagian yang telah runtuh. Ummu Ali turut memberitahu bahawa terdapat sebuah masjid di atas gua namun ia bukanlah masjid yang telah lama di bina.

Kami menghabiskan masa kurang dari 30 minit di kawasan gua tersebut memandangkan hari sudah gelap. Ketika menuruni tangga turun dari kawasan gua, Ummu Ali berhenti di sebuah papan kenyataan di mana terdapat beberapa keping gambar lama yang dilekatkan di situ.

Gambar yang terdapat di situ menunjukkan keadaan gua dan binaan sebelum runtuh. Terdapat juga di situ gambar mereka yang datang menziarahi kawasan gua tersebut. Kami mengucapkan terima kasih kepada Ummu Ali dan bergerak meninggalkan kawasan gua untuk turun ke Sahah Shamdin.

Kesan gua terdapat di Jabal Qassiyun, Syria

Apa yang dapat saya simpulkan dari kunjungan ke gua tersebut ialah kesan-kesan yang terdapat di kawasan gua tersebut dan dari apa yang diterangkan oleh Ummu Ali agak lemah untuk dipastikan bahawa kisah Ashabul Kahfi berlaku di situ.

Kebanyakkan orang-orang terdahulu mengistiharkan kawasan mereka sebagai kawasan sejarah Islam, di kawasan mereka terdapat makam para nabi dan sahabat dan sebagainya adalah untuk mengangkat martabat kawasan mereka sebagai tempat mulia dan mempunyai catatan sejarah dari kehadiran nabi dan sahbat serta peristiwa-peristiwa penting Islam yang telah berlaku. Sedangkan peristiwa-peristiwa tersebut tidak dipastikan sahih berlaku disitu bahkan ada yang sengaja mengada-adakannya.

Lihat juga pandangan tentang Gua Ashabul Kahfi yang terdapat di Jordan

Makam-Makam di Bab Saghir

Makam isteri Rasulullah S.A.W yang keenam iaitu Hindun binti Huzaifah al-Mughirah
atau dikenali dengan Umm Salamah yang terdapat di Maqamat Bab Saghir, Dimashq.
Bersebelahan Makam Umm Salamah terdapat Makam isteri Rasulullah S.A.W yang ke-10
iaitu Ramlah binti Abi Suffian atau dikenali dengan Umm Habibah


Bab Saghir terletak di salah satu sudut Old City Damascus atau dikenali dengan Dimashq Qadimah. Kawasan tersebut menjadi salah satu dari 9 buah pintu untuk memasuki kota lama berdinding tersebut.

Di kawasan Bab Saghir terdapat sebuah kawasan yang sering dikunjungi dan diziarahi oleh masyarakat tempatan Syria dan pengunjung dari luar. Ia menjadi salah satu kawasan yang masyhur sejak zaman berzaman dan tidak putus diziarahi. Kawasan tersebut ialah Maqamat Bab Saghir yang menempatkan Makam-makam para sahabat Rasulullah S.A.W serta Ahli Keluarga baginda.

Lokasi ini mudah diziarahi dan terletak berhampiran dengan Souq Hammidiyah di Dimashq. Sekiranya anda berkunjung ke Dimashq dan berada di Souq Hammidiyah, jalan ke arah Souq Asinaniyyah akan membawa anda terus ke Shariq Ahlil Bait. Makam-makam sahabat dan ahlil bayt Rasulullah S.A.W terletak bersebelahan jalan tersebut.

Untuk entry kali ini, saya masukkan gambar-gambar antara makam-makam sahabat dan ahlil bayt Rasulullah S.A.W yang terdapat di kawasan Bab Saghir. Ia terletak di dalam satu kawasan perkuburan yang luas dan berdekatan.


Makam Bilal bin Rabah


Makam Auf bin Auf Ath-Thaqofi


Makam Mu'awiyah bin Abi Suffian


Makam Abdullah Umm Makhtum


Makam Umm Kalthoum binti Ali bin Abi Talib


Makam Sukhainah binti Hussein bin Ali


Makam Fatimah binti Hussein bin Ali


Makam Aaban (cucu Rasulullah S.A.W) Anak kepada Ruqayyah binti Muhammad S.A.W


Makam Asma' (Isteri Ja'far bin Abi Talib)


Makam Abdullah bin Ja'far bin Abi Talib

Tuesday, February 19, 2008

Qala'ah Ar-Rabad, 'Ajlun

Bersama Muneer di Qala'ah Ar-Rabad
Jan 2008


'Ajlun merupakan sebuah muhafazah (negeri) yang terletak di utara negara Jordan. Negeri ini bersempadan dengan muhafazah Irbid dan Jerash. Perjalanan dari ibu kota Amman ke 'Ajlun memakan masa hampir sejam melalui jalan Jerash menuju ke Saakib dan terus ke kawasan berbukit sebelum tiba di Anjarah. Simpang tiga jalan Anjarah menghubungkan Kufranjah hingga ke Aghwar (arah barat) dan 'Ajlun serta Irbid (arah Timur Laut)

Di 'Ajlun terdapat sebuah kota pertahanan yang kekal kukuh dikenali dengan Qala'ah Ar-Rabad. Ia terletak di sebuah puncak bukit, 5 km dari pusat bandar 'Ajlun. Pemandangan hampir seluruh bandar 'Ajlun dapat dilihat dari menara tertinggi kota.

Pemandangan bandar 'Ajlun dari puncak kota Ar-Rabad

Sejarah Kota Ar-Rabad
kota ini telah dibina oleh Panglima Izzudin Usamah merupakan anakk saudara kepada panglima Sallehuddin Al-Ayubi. Izzudin Usamah terkenal sebagai pemimpin yang hebat disebabkan beliau berjaya menguasai jalan perdagangan antara Syria hingga selatan negara Jordan pada ketika itu. Beliau turut menguasai sumber-sumber air di Wadi Kufranjah, Wadi Yabis dan Wadi Rajeb yang terletak di kawasan berhampiran kota.

Tujuan kota Ar-Rabad ini dibina ialah untuk mengintip pergerakkan tentera salib dan sebagai kota yang berfungsi sebagai penguasa terhadap lombong-lombong besi yang terdapat di pergunungan 'Ajlun. Penghasilan besi di kawasan ini amat penting untuk penghasilan senjata ketika itu.

Ahli Sejarah merumuskan dua pandangan tentang tapak asal kota ini dibina. Pandangan pertama menyatakan bahawa ia merupakan rumah pendita yang bernama 'Ajlun. Namun pandangan ini telah ditolak selepas kajian mendapati bahawa tapak kota ini pada asalnya ialah kesan tinggalan kerajaan Rum. Izzudin bin Usamah telah mengerahkan tawanan tentera salib untuk membina kota tersebut. Pada asalnya, kota ini mempunyai empat menara di setiap bucu. Di setiap bilik tentera pula terdapat lubang sempit untuk tujuan memanah.

Masih kukuh
Kota Ar-Rabad dari bahagian hadapan pintu kota

Al-Malik Adil telah mengambil alih kota ini di antara tahun 1198 hingga 1218. Kemudian ini diperintah pula oleh Muazzam Isa dan beliau menambah sebuah lagi menara di bahagian barat daya kota pada tahun 611 hijrah. Selepas perang salib, sebahagian kota ini telah roboh dan dimusnahkan oleh tentera Mongol sekitar tahun 1260 masihi. Namun ia dibina semula ketika zaman pemerintahan kerajaan Mamluk oleh Sultan Zahir Baibar.

Pada abad ke-17, kota ini dijadikan penempatan tentera oleh kerajaan Turki Uthmaniah dan kini kerajaan Jordan telah membelanjakan wang yang banyak untuk membaik pulih kota ini dan menjadikan ia sebagai salah satu lokasi sejarah utama di negara Jordan.

Sunday, February 17, 2008

Kembara Syria- Last Episode



Tepat Jam 8.45 malam, kesemua peserta lelaki Kembara Syria 2008 sudah berkumpul di bawah Hotel Ettihad Arabiah.


Keadaan malam itu agak sibuk di Shariq Thawrah ke Shariq Darwishiah dan Shariq Nasr. Misi kami pada malam tersebut ialah untuk 'menebus' kembali program yang tergendala pada malam hari sebelumnya iaitu untuk mandi di Hammam lama.

Dari Marjeh kami menyewa dua buah teksi untuk ke Midan Jazmatiah. Kami melalui Shariq Darwishiah terus ke Shariq Souq Assinaniyyah dan Shariq Ahli Bayt. Dari simpang tiga jalan tersebut kami terus ke bulatan Bab Musolla dan mengambil lorong kecil untuk ke Shariq Midan Jazmatiah.

Kami tiba seawal jam 9.15 malam. Kebiasaannya Hammam Rifai akan beroperasi sehingga jam 11.00-12.00 malam. Malangnya, apabila kami tiba di hadapan pintu masuk ke Hammam tersebut, ia sekali lagi berkunci tetapi lampu kelihatan cerah dari dalam. Saya mengetuk pintu beberapa kali untuk mendapatkan kepastian ia sudah ditutup atau belum. Akhirnya, keluar seorang lelaki memberitahu bahawa Hammam tersebut sedang dibaiki dan akan beroperasi selepas 20 hari.

Wajah semua kelihatan sedikit kecewa, namun ia bukanlah satu kekecewaan muktamad pada malam tersebut. Saya mula mengingati beberapa Hammam lama yang berada di sekitar Dimashq. Puluhan Hammam lama masih beroperasi di banyak kawasan Dimashq. Keputusan awal untuk ke Hammam Rifai disebabkan pengalaman di situ sudah banyak kali. Tambahan pengurusan serta layanan pihak petugas di Hammam Rifai adalah baik.

Dalam fikiran saya ingin membawa semua ke Hammam Muqadam. Hammam tersebut terletak berhampiran Makam Syeikh Mahyuddin di Old Souq Salhiyah. Namun jarak dari Jazmatiah untuk ke Hammam Muqadam agak jauh. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk mandi di Hammam Nuruddin yang terletak di dalam Old City Damascus di Souq Bazuriyah berhampiran dengan Jami' Al-Amawi. Keputusan tersebut adalah tepat kerana ia memudahkan kami untuk berjalan pulang ke hotel yang jaraknya hanya 2 km dari Hammam tersebut.

Kami menyewa 2 buah teksi dari Sahah Bab Musolla untuk ke Hammam. Perjanjian awal dengan pemandu teksi ialah 75 Lira untuk sebuah teksi. Namun diakhirnya pemandu teksi penipu tersebut meminta 100 Lira. Sudahlah jarak perjalanan dekat, kami pula di'kapak'nya. Disebabkan Shariq Madhat Pasha sedang dalam proses baikpulih (Shariq tersebut berhampiran dengan Hammam Nuruddin), kami di bawa oleh kedua-dua pemandu teksi melalui Shagor dan terus ke Bab Saghir. Mereka memberhentikan kami berhadapan Bab Saghir kerana jalan Shariq Hassan Al-Kharrat juga sedang dibaiki.

Kami terpaksa menapak dari Bab Saghir ke Souq Bazuriyah untuk ke Hammam Nuruddin. Hammam Nuruddin juga dikenali dengan Hammam Al-Bazuriyah di ambil namanya bersempena Souq yang terdapat disitu. Ia merupakan Hammam tertua yang terdapat di dalam Dimashq. Dibina ketika era Nuruddin Zinki antara tahun 1154-1172 dan menjadi antara contoh terbaik Classic Arab Public Bath.

Kami menghabiskan masa hampir 2 jam di Hammam tersebut. Setiap orang dikenakan bayaran 345 Lira Syria dengan mengambil pakej lengkap yang disediakan. Kami berjalan pulang ke hotel melalui Souq Khaiyatin dan Shariq berhampiran Madrasah Lama Adiliyah dan Zahiriyah.

Sampai di Marjeh kami supper di sebuah restoran yang masih buka hingga lewat malam. Menu malam itu Muttabbal bi Laham, Kubbei serta roti. Sebelum makan, kami telah bertemu dengan Abu Basil yang sedang menghadapi beberapa masalah yang agak melucukan. Abu Basil ketika itu baru pulang dari Shariq Baghdad kerana menziarahi rumah kaum kerabatnya yang baru sahaja berkahwin dengan seorang perempuan Syria.

Ketika kami menemui Abu Basil di Marjeh beliau membawa kami ke coaster. Telefon Bimbitnya jatuh di bahagian enjin coaster yang terletak di bahagian hadapan coaster. Jenuh juga kami berfikir bagaimana telefon tersebut boleh jatuh di bahagian tersebut. Hampir 30 minit juga kami cuba mencapai handset tersebut dari bahagian yang sudah terbuka bersebelahan kerusi pemandu. Akhirnya, seorang peserta yang bertangan kecil telah berjaya mencapai telefon tersebut. Selesai masalah tersebut, datang pula satu lagi masalah. Kunci coaster hilang. Jenuh kami dan Abu Basil mencari di sekitar kerusi pemandu dan di dalam coaster, namun akhirnya kunci itu ditemui di dalam poket jaketnya.

Malam itu kami kesemua peserta lelaki tidur lewat. Jam pada ketika itu sudah 2.00 pagi. Peserta perempuan mungkin sudah lama melelapkan mata pada ketika itu. Atau mungkin juga mereka belum habis berbual-bual.

Damascus :: Dimashq :: Damsyik
Aqdam Balad Fil 'Alam

Keesokkan pagi selepas solat subuh, ramai yang kembali menyambung tidur. Program di hari terakhir kembara Syria bermula pada jam 9.00 pagi. Kesemua peserta mahukan aktiviti bebas di hari terakhir. Ini bermakna saya tidak perlu merancang untuk membawa mereka ke Bab Saghir, Masjid Takkiyah dan Khans Lama di Old Damascus. Kami semua berpecah dan semuanya tertumpu ke Souq Hammidiyah untuk membeli belah.

Souq Hammidiah telah berusia 500 tahun dan dimajukan semula pada tahun 1873 di bawah kesultanan Turki-Uthamaniah (Sultan ke-34 iaitu Sultan Hamid II 1876-1909). Panjang Souq Hammidiah ialah 1.5 km. Di souq ini terdapat Makam sahabat iaitu Abi Hurairah serta beberapa masjid dan madrasah lama.

Peserta telah berkumpul di kawasan Marjeh dan Souq Jild sekitar jam 2.30. Namun perjalanan pulang ke Jordan pada petang tersebut tepat jam 4.00 petang.

Sepanjang hari terakhir saya berkunjung ke Souq Jild, Souq Hammidiah dan singgah menikmati Aiskrim di Bakdash, sebuah kedai aiskrim yang telah berusia lebih 100 tahun. Cara penyediaan aiskrim tersebut masih menggunakan cara lama iaitu dengan menumbuk aiskrim tersebut dengan kayu yang berat.

Selesai aktiviti di Souq Hammidiah saya, Ifwat dan Fakhruddin bergerak dari Souq Hammidiah terus ke Masakin Barzah untuk makan tengahari dan kemudian menziarahi rumah saudara di kawasan Assaduddin berhampiran Shariq Ibn Nafis di kawasan bukit Dimashq.

Selesai pengembaraan kami di bumi Syria selama 6 hari. Coaster bergerak meninggalkan bandar Dimashq menuju ke selatan Syria. Urusan di kedua-dua sempadan mudah dan kami bertemu dengan kumpulan pelajar yang menyertai Turkey Journey (juga dianjurkan oleh HZ T&T) seramai 20 orang yang secara kebetulan tiba di sempadan Naseeb pada waktu yang sama.

Kami tiba di Irbid pada jam 9.00 malam dan terus menuju ke Karak sejauh 230 km dari bandar Irbid. Kami tiba di Mu'tah pada jam 12.05 malam - 10 Februari 08.


Thursday, February 14, 2008

Kembara Syria- Episod VI

Sepanjang perjalanan dari Halab menuju ke Dimashq saya hanya terlelap sebentar. Saya perlu menunjukkan arah jalan kepada Abu Basil. Takut-takut dia tersalah masuk ke persimpangan bandar Hama dan Homs.

Sepanjang perjalanan saya banyak berbual dengan Abu Basil. Adakala dia sentiasa mengingatkan kenangan kembara Syria pada tahun lalu dan tahun sebelumnya. Tahun ini Abu Basil sedikit merungut kerana jarak perjalanan kali ini agak jauh berbanding kembara sebelum ini. Saya terus menyampuk bahawa kali ini perjalanan lebih panjang dan sewa coaster pun saya bayar lebih.

Saya berkata kepada Abu Basil jika diizinkan Allah, sekiranya ada kembara Syria yang akan datang, saya nak susun jadual untuk pergi ke Deir Zor, Hasakeh, Lazzakiah, Tartus untuk melengkapkan pengembaraan ke seluruh pelusuk tanah Syria. Dia pula yang membalas, sekiranya duit sewa ditambah, semuanya boleh.

Tiba di sebuah kawasan di Homs, Abu Basil memberhentikan coasternya. Dia turun membawa sebotol air untuk membersihkan cermin coaster yang penuh berdebu. Cahaya lampu kenderaan yang tinggi dari arah berlawanan menyebabkan kesukaran Abu Basil melihat jalan di hadapan. Mana tidaknya, sudah berkilo-kilo debu melekat di cermin depan coaster tanpa dibersihkan oleh Abu Basil sejak dari awal perjalanan dari Jordan.

Ketika mula membasuh cermin, Abu Basil disapa oleh beberapa penduduk tempatan yang berada di sebuah bengkel membaiki kereta berdekatan. Mereka memberitahu bahawa bersebelahan dengan bengkel terdapat kedai menyediakan perkhidmatan mencuci kenderaan. Abu Basil tidak berlengah dan terus menghidupkan enjin menuju ke kawasan tersebut. Hampir 30 minit juga masa dihabiskan di situ dan hasilnya segala 'kulat' yang ada di badan coaster habis dibersihkan.

Kami meneruskan perjalanan berbaki 205 km dari kawasan tersebut. Ramai yang kembali menyambung tidur sehingga coaster mula memasuki bandar Dimashq.

Tiba di Dimashq, coaster terus menuju ke kawasan Marjeh untuk mendapatkan hotel. Malam tersebut kami bermalam di Hotel Ettihad Arabiah yang terletak bersebelahan Masjid Sanjaqdar dan berhadapan dengan Souq Jild. Setelah selesai mendapatkan no bilik, kami terus ke Masakin Barzeh untuk makan malam.

10.15 malam, kami kembali ke hotel. Tiada aktiviti malam tersebut untuk peserta kecuali kesemua peserta lelaki berpakat untuk mandi Hammam di Midan Jazmatiah. Setelah berehat dan solat, ke semua peserta lelaki bergerak menuju ke Hammam Rifa'i yang terkenal di kawasan tersebut.

Mengecewakan. Hammam sudah tutup dan jam ditangan pada ketika itu sudah 11.30 malam. Kami bersiar-siar di kawasan sekitar Midan Jazmatiah, membeli Halawiyat serta menikmati Chocolate Milk Shake di Restoran Sahah, Bab Musolla.

Menikmati Chocolate Milk Shake setelah tak dapat mandi Hammam

Ke Pergunungan Kalamun
Cuaca keesokkan harinya di Dimashq amat cerah.

Perjalanan di hari kelima Kembara Syria terus membawa kami menuju ke pergunungan Kalamun. Iaitu sebuah kawasan yang terletak berhampiran sempadan negara Lubnan. Tepat jam 8.00 pagi, coaster mula bergerak dan kami sarapan pagi di dalam perjalanan.

Di kawasan pergunungan Kalamun terdapat Makam anak Nabi Adam a.s iaitu Nabi Habil. Sepanjang perjalanan menuju ke kawasan makam, kami disajikan pemandangan indah pergunungan salji dari negara Lubnan. Turut kelihatan Mount Hermon atau dikenali dengan Jabal Syeikh yang sentiasa terdapat salji dipuncaknya sepanjang tahun. Jabal Syeikh boleh dilihat dengan jelas dari Irbid, Jordan sekiranya cuaca cerah dan ia merupakan bukit yang menjadi punca air kepada Sungai Yarmouk yang mengalir hingga ke negara Jordan.

Pemandangan bukit bersalji di dalam perjalanan ke Makam Nabi Habil

Dari persimpangan ke Zabadani kami mengambil jalan kanan untuk ke Makam Nabi Habil. Kawasan tersebut merupakan kawasan kem tentera Syria memandangkan ia merupakan kawasan yang hampir dengan sempadan antarabangsa Syria dan Lubnan. Setelah melalui pemeriksaan askar, pasport pemandu (Abu Basil) perlu ditinggalkan di check-point pemeriksaan askar dan dipulangkan ketika ingin keluar dari kawasan tentera tersebut. Jarak dari check-point ke Makam Habil ialah sejauh 5 km.

Kami tiba di kawasan bukit yang menempatkan Makam Habil dalam keadaan cuaca yang agak sejuk. Matahari menyinari, namun angin masih bertiup sejuk.

Makam Nabi Habil anak Nabi Adam a.s

Setelah selesai menziarahi Makam Habil, beberapa peserta perempuan telah menemui saya dan bertanyakan dengan lokasi gua tempat Habil di bunuh oleh Qabil yang mana dari kawasan tersebut dapat melihat keseluruhan bandar Dimasqh.

Saya mula menghitung masa dan jadual untuk meraikan permintaan peserta. Sesahihnya lawatan sehari di Dimashq tidak mencukupi untuk menziarahi ke seluruh tempat-tempat menarik di kota tertua di dunia itu. Aturcara selepas menziarahi Makam Habil ialah ke kawasan Old City Damascus untuk menziarahi Makam Sallehuddin Al-Ayubi, Makam Saidatina Ruqayyah, Masjid Umawi Dimashq dan Makam Nabi Yahya a.s. Selepas solat Jumaat, jadual yang telah saya susun akan terus ke Bab Saghir yang menempatkan banyak makam sahabat dan ahli bayt Rasulullah S.A.W.

Sekiranya ingin ke kawasan Habil dibunuh iaitu di Jabal Qassiyun, aktiviti selepas solat Jumaat ke beberapa Makam terpaksa dibatalkan.

Setelah bertanyakan pendapat kepada semua peserta, majoriti memilih untuk mendaki Jabal Qassiyun melihat kawasan gua di mana dikatakan tempat Habil dibunuh oleh saudaranya sendiri Qabil. Dan bersebelahan dengan gua tersebut terdapat Makam Wali Arba'in (Wali Abdal Sham) yang disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya. Ini bermakna, beberapa lawatan ke Makam Sahabat dan Ahli Bayt Rasulullah S.A.W terpaksa dibatalkan.

Sekitar Old City Damascus
Setelah mendapat kata sepakat, kami terus bergerak dari Makam Habil menuju ke Kota Lama Dimashq. Lawatan pertama di kota lama Dimashq terus menuju ke Makam Pahlawan Islam yang terkenal iaitu Sallehuddin Al-Ayubi. Sallehuddin Al-Ayubi sentiasa menjadi sebutan oleh para umat Islam yang mencintai perjuangan menegakkan agama Islam. Sallehuddin menjadi pahlawan Islam yang telah berjaya membuka Baitul Muqaddis pada tahun 583 Hijrah. Beliau dari bangsa Kurdi dan dilahirkan di Tikrit pada tahun 532 dan wafat ketika berumur 57 tahun pada tahun 589 Hijrah. Pada asalnya, jasadnya telah disemadikan di dalam Kota Dimashq yang pernah ditawannya kemudian dipindahkan ke kawasan yang sedia ada pada ketika ini.

Selepas menziarahi Makam Sallehudin Al-Ayubi, kami terus bergerak ke Masjid Umawi yang merupakan masjid serta pusat pemerintahan kerajaan Bani Umawiah. Di dalam masjid ini turut terdapat Makam Nabi Yahya a.s dan kawasan persinggahan Nabi Hud a.s dan Nabi Khidir a.s.

Setelah itu, kami memasuki lorong ke arah Bab Faradis untuk menziarahi Makam Saidatina Ruqayyah iaitu cicit Rasulullah S.A.W. Ruqayyah merupakan anak perempuan Saidina Hussein ibn Ali iaitu cucu Rasulullah S.A.W

Kesemua peserta solat Jumaat di Masjid Umawi kecuali saya dan Shahrul Ifwat bergerak ke Shariq Khalid Al-Walid dan solat Jumaat di Jami' Zaid berhadapan Souq Sreijei. Tujuan saya ke kawasan tersebut adalah untuk membeli makanan tengahari iaitu Nasi Bukhari yang terdapat di salah satu restoran berdekatan Jami' Zaid.

Atas: Makam Sallehudin Al-Ayubi
Tengah: Makam Nabi Yahya a.s
Bawah: Makam Saidatina Ruqayyah binti Hussein ibn Ali


Jabal Qassiyun
Seperti yang telah dipersetujui oleh semua peserta, lawatan selepas solat Jumaat terus ke Jabal Qassiyun. Trip ke Jabal Qassiyun bukanlah satu program yang singkat. Ia perlu memakan masa paling kurang 2 jam untuk trip ke situ. Coaster tidak boleh naik ke kawasan bukit yang tinggi disebabkan keadaan jalan yang tidak membolehkan coaster sebesar itu naik.

Kami bergerak dari Old City menuju ke Shariq Ibn Nafis dan terus ke Sahah Shamdeen. Dari kawasan tersebut kami menyewa 2 buah pick-up untuk naik ke Jabal Qassiyun. Kami melalui jalan berbukit yang sempit untuk tiba di anak tangga pertama ke Makam Arba'in dan kawasan gua.

Alhamdulillah, atas inisiatif yang baik oleh kerajaan Syria, kini sudah terdapat anak tangga disediakan dari bawah sehingga ke pintu masuk Makam Wali Arbain. Beberapa tahun dahulu ketika pertama kali saya tiba di kawasan tersebut, anak tangga hanya ada separuh jalan dan bakinya terpaksa melalui batuan bukit yang curam.

Kami menghabiskan masa hampir 2 jam lebih di Makam Wali Arbain dan menikmati Nasi Bukhari di atas bukit tersebut dengan pemandangan seluruh bandar Damascus yang sikit berkabus.

Digambarkan gua membentuk seperti mulut yang sedang ternganga.
Terkejut dengan peristiwa pembunuhan Habil oleh saudaranya Qabil
di kawasan tersebut.


Masjid dan Makam Wali Arba'in

Ketika mula menuruni anak tangga untuk kembali ke kawasan bawah. Terdapat suara peserta lelaki yang mencadangkan agar kembara Syria yang sepatutnya berakhir pada petang tersebut dilanjutkan hingga keesokkan harinya. Atas alasan, mereka belum puas berjalan di kawasan Dimashq dan ada barang yang dihajati belum dapat dibeli disebabkan kebanyakkan pasar tutup pada hari Jumaat.

Ia merupakan perkara kedua yang perlu saya rai pada hari tersebut setelah permintaan untuk menaiki Makam Wali Arbain di Jabal Qassiyun. Kepala sesahihnya sedikit serabut tetapi semuanya kena difikirkan, diusahakan dan diputuskan dengan baik.

Akhirnya, ketika semua peserta berkumpul di Shariq Ibn Nafis, saya terlebih dahulu meminta suara majoriti sekiranya ingin melanjutkan lawatan ke hari ke-6 dengan bayaran tambahan hanya pada bas dan hotel. Selepas itu baru 'mental' saya berhadapan dengan pemandu bas mamastikan ia bersetuju untuk pulang ke Jordan keesokkan harinya.

Semua peserta bersetuju terutama peserta lelaki yang meluap-luap ingin mandi Hammam pada malam hari tersebut. =)

Akhirnya, kembara Syria disambung untuk hari ke-6 setelah Abu Basil bersetuju.
Setelah tiba di hotel, saya berehat sebentar untuk menenangkan semua perkara yang bermain difikiran pada ketika itu.

30 minit selepas itu, saya keluar ke kawasan Abu Nur untuk mendapatkan makan malam. Menu malam itu ialah Sandwich Jirou

Ada perkara dan ketika perlu kita raikan rakan-rakan..

Hati saya gembira, minda saya lapang.. Kami terus berada di Dimashq pada malam 8 Februari 2008.


Gambar-gambar kenangan sepanjang ziarah
ke Makam Wali Arbain