Friday, August 31, 2007

Laluan Silam Kafilah Hujjaj

Kenangan di Qal'ah Al-Hisa, Tofilah Region (South Jordan)

Tanah Jordan yang termasuk di dalam dataran Syam menjadi laluan perhubungan para jemaah haji dari Turki dan bumi Syam ke Madinah dan Mekah sejak zaman berzaman. Sebelum penguasaan kerajaan Turki Uthmaniah di dataran Syam, para jemaah haji melalui jalan yang dikenali sebagai King's Highway (Tariq Muluki) untuk ke Mekah.

Peta menunjukan Tariq Muluki (King's Highway) yang berada di tanah Jordan.
Laluan ini bermula dari Sungai Furat (Syria) melalui Jordan dan berakhir
di Ramses (Mesir). Ia merupakan laluan silam penting dan turut digunakan oleh
jemaah haji sebelum dan di awal era kerajaan uthmaniah
.


Tariq Muluki merupakan jalan perdagangan silam yang menghubungkan Sungai Furat terus ke Ramses di Mesir. Jalan tersebut bermula di Furat menganjur ke Tadmur, Damsyiq, Bosra, Madaba, Karak, Shawbak, Eilat (Aqaba), Sinai dan terus ke Ramses di Kaherah, Mesir. Jemaah haji pada ketika dahulu memilih jalan ini melalui Eilat dan terus mengambil jalan laut untuk ke Madinah dan Mekah.

Ketikamana era kerajaan Turki Uthmaniah menguasai dataran Syam iaitu termasuk negara Syria dan Jordan, mereka telah membuka jalan baru untuk memudahkan para jemaah haji menuju ke Mekah. Jalan baru tersebut dikenali sebagai Tariq Sahrawi atau Jalan Padang Pasir yang lebih memudahkan laluan hujjaj (jemaah haji) untuk ke bumi Hijaz yang menempatkan 2 masjid suci umat Islam itu.

Hasilnya, kerajaan Turki Uthmaniah telah dibina beberapa kota di sepanjang laluan baru tersebut untuk tujuan keselamatan dan kemudahan kepada jemaah haji.

Kesannya, terdapat 6 buah kota yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini yang pada suatu ketika dahulu digunakan oleh para hujjaj yang berjalan secara berkafilah dari Turki dan Syam menuju ke tanah Hijaz untuk menunaikan umrah dan haji.

Kota-kota tersebut ialah : Qal'ah Fudayn (di Mafraq- Fudayn adalah nama lama bagi Mafraq), Qal'ah Dab'a, Qal'ah Qatranah, Qal'ah Al-Hisa, Qal'ah Ma'an dan Qal'ah Aqabah

3 insfrastuktur utama terdapat di kota-kota tersebut ialah : Menara yang menempatkan askar uthmaniah untuk tujuan kawalan keselamatan para haji dari di serang oleh mana-mana musuh, menyediakan musolla di dalam kota, menyediakan kolam takungan air untuk kegunaan para jemaah haji. Kebiasaanya kolam terletak di luar kota dan dibina saliran air masuk ke perigi yang terdapat di dalam kota.

Qal'ah Al-Hisa salah satu contoh dari 6 kota yang terdapat di Jordan

Qal'ah Al-Hisa (Kota Al-Hisa) terletak kira-kira 155 Kilometer dari Amman. Berada di dalam Tofilah Region. Kota ini terletak agak tersorok dari laluan utama ketika ini. Iaitu 3 kilometer ke arah padang pasir subur dari jalan utama.

Gambar-gambar Kota Al-Hisa dari sudut luar dan dalam. Menara di pintu utama digunakan oleh para askar untuk tujuan kawalan keselamatan. Terdapat juga Arrow Slipt.di sekeliling dinding kota.

Musolla yang terdapat di dalam kota. Kelihatan mihrab yang menunjukkan arah kiblat
menghala ke Makkatul Mukarramah


Burkah Maa (Takungan Air) yang terdapat diluar kota. Terdapat saliran air dari
pusat takungan ini terus ke dalam kota.



Perigi yang terdapat di dalam kota (berada di tengah-tengah). Digunakan oleh para hujjaj
untuk kemudahan minum, berwuduk dan lain-lain.


Monday, August 27, 2007

'Haji Fossil'


"Salam Hj algimen alfosil..".

Begitulah permulaan ayat SMS yang saya dapat dari seorang rakan di Malaysia 2hari yang lalu.

SMS yang membuatkan saya tersenyum sendirian
SMS yang mengembalikan ingatan saya 5 tahun yang lalu.

SMS yang dihantar tanpa disertai nama penghantar terus meminta akal saya meneka siapakah dia penghantar tersebut. Yang pasti memori saya terus mengenangkan kenangan bersama Ust Hasrizal, Ust Imran dan Ust Shahrul Rizal. Iaitu mereka yang amat meminati sejarah yang pernah bersama saya di bumi Jordan. Selalunya Ust Imran dan Ust Ijai yang memanggil saya gelaran sedemikian.

Saya membalas SMS tersebut dan bertanyakan siapakah akhi majhul ini? (saudaraku yang tidak dikenali). Dan dia membalas.

"Ana ingat bila ana pggl enta tn hj alfosil enta blh cam ana.... AJAQ"

Senyum menjadi ketawa. Memang lucu apabila mengingatkan memori dahulu. Rupanya SMS tersebut dari Ustaz Razak (kini menjadi guru J-QAF di Kuantan), senior yang pulang ke Malaysia pada tahun 2002. Dan bila dia memperkenalkan diri, barulah saya ingat hanya beliau yang kerap memanggil saya haji fossil suatu ketika dahulu. Yang lain-lain biasanya memanggil Abu Hajar sahaja. Ada juga yang memanggil saya Gmen Batu..

Disebabkan minat mendalam saya terhadap sejarah. Sejak tahun pertama di Jordan saya sudah mula menjejaki kota-kota bersejarah dan tapak-tapak arkeologi untuk lawatan, mengkaji sebagai maklumat tambahan untuk saya. Bila sudah tiba di sesuatu tempat tersebut saya akan mula ke library university Mu'tah untuk mencari maklumat lokasi yang telah dikunjungi untuk thaqafah saya. Dan saya kerap membawa pulang artifak dari tembikar2 dan batu2 ke rumah. Tak sangka dengan minat saya sebegitu akhirnya pelbagai gelaran yang saya terima ketika itu. Walaupun kekadang diri terasa dengan panggilan-panggilan tersebut tetapi saya positifkan semuanya supaya perkara yang saya minati tidak menjadi pudar dan terus hilang dalam diri.

Kenapa saya dipanggil hj fosil?
Semua ini bermula apabila saya bersama Ust Imran mengembara ke satu kawasan bernama Umm Al-Ayasein. Sebuah pergunungan berbatu berhampiran kampung Taybah terletak di selatan Karak. Di Umm Al-Ayasein terdapat sebuah 'ain (mata air) yang masih mengeluarkan air yang amat segar. Saya dan Ust Imran mengembara di pergunungan tersebut sehingga ke jalan terakhir yang membolehkan penglihatan kami melihat terus ke kawasan Jazirah Lisan iaitu kawasan paling selatan Laut Mati.

Dari situ kami turut dapat melihat sebuah bukit yang telah diratakan dipercayai penempatan yahudi ratusan tahun yang lalu. Turut kelihatan sebuah bukit membentuk kesan gunung berapa mati.

Apa yang 'ajaib'nya di atas bukit tersebut ialah terdapatnya fosil-fosil kerang, moluska berselerakkan di sepanjang jalan yang kami lalui. Fosil-fosil dari moluska gergasi, kulit kerang, kulit lokan memenuhi jalan tanah gunung tersebut.

Pelbagai persoalan yang timbul di minda saya pada ketika itu. Bagaimana fosil-fosil tersebut boleh berada di bukit yang tinggi? Adakah semua kawasan di sini laut suatu ketika dahulu? Berapa tahunkah usia fosil-fosil tersebut? Sudah pasti usianya berjuta-juta tahun, detik hati saya pada ketika itu.

Akhirnya, saya telah mengutip dan membawa pulang beberapa contoh fosil dari bukit tersebut. Dengan niat untuk mencari jawapan kepada semua persoalan saya. (Boleh saya dikisahkan dalam entry-entry akan datang)

Senior-senior ketika itu pelik melihat saya membawa pulang batuan fosil, banyak juga yang mengata, mengutuk. Tambah-tambah ketika itu ust Imran dah balik ke Malaysia, tinggal saya seorang yang dianggap manusia pelik oleh senior rakan-rakan kerana menyimpan batu-batu fosil tersebut.

Akhirnya, Ust Razak yang memang terkenal sebagai seorang yang ceria dan suka buat lawak memberikan gelaran Haji Fosil kepada saya :) Ketika itu saya baru pulang menunaikan haji di Mekah. Apabila dia pulang ke Malaysia, panggilan tersebut sudah lama tidak saya dengar sehinggalah dia SMS baru-baru ini yang cukup mengingatkan kenangan saya ketika dahulu bersama beliau.

Antara koleksi fossil Amonite (istilah untuk moluska gergasi).

Setelah banyak mengkaji, membaca akhirnya perkara yang saya lakukan tidaklah sia-sia. Banyak ilmu yang saya dapat mengenai perkara ini. Golongan pengkaji fosil (yang dikenali sebagai Paleontologist) di barat telah lama membuat kajian mereka terhadap ilmu fosil ini. Mungkin umat Islam agak ketinggalan dengan bidang ilmu ini dan ramai yang tidak mahu mengambil tahu.

Banyak persoalan boleh kita kaji dan berfikir yang boleh digabungjalinkan dengan ilmu-ilmu sejarah Islam. Antaranya usia fosil dengan kedatangan Nabi Adam ke bumi. Adakah seluruh dunia ini adalah lautan suatu ketika dahulu setelah mana fosil-fosil boleh ditemui di pergunungan tinggi?, Bagaimana proses fosil ini boleh berlaku dan adakah proses ini singkat atau memakan masa jutaan tahun?. Berapakah usia dunia sebenarnya? dan lain-lain lagi

Semuanya kejadian yang telah Allah jadikan sudah pasti untuk membuatkan manusia berfikir, mengkaji dan akhirnya menjadi satu hasilan ilmu dan pengetahuan.

"Katakankah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, Walaupun Kami Tambahi lagi Dengan lautan Yang sebanding dengannya, sebagai bantuan"- Al-Kahfi 109

Sunday, August 26, 2007

Ada Otak Letak Di Lutut..


Mungkin perkataan bodoh dan tak ada otak memang sesuai dipadankan dengan golongan yang bakal aku kisahkan di dalam entry kali ini.
Ya. Bodoh. Tak ada otak.

Aku tidak benci kepada mereka yang merokok. Itu adalah hak mereka. Biarpun dijalankan kempen tak nak merokok (Berjuta-juta duit dihabiskan). Mereka yang degil dan ego pasti akan tetap merokok.

Jika dibentangkan soal hukum merokok. Pasti mereka yang tetap ingin merokok akan mengatakan ia soal khilaf. Ada ulamak tidak mengatakan rokok haram. Jadi faedahnya hanya ilmu kepada orang yang tidak merokok apabila membacanya. Bagi mereka yang merokok dan tegar untuk berhenti. Sudah pasti akan terus merokok.

Ada juga mereka yang ingin berhenti. Tetapi tidak mampu. Ini aku tak pasti keadaan mereka sedang bertarung untuk memenuhi misi tersebut.

Kebiasaanya, mereka yang memang merokok akan terus merokok walau apapun desakan diberi.

Aku tak peduli dengan golongan perokok yang biasa. Hak mereka nak merokok dan hak mereka nak hidup susah kemudiannya akibat merokok. (cuma aku sarankan berhentilah merokok)

Apa yang 'menghangatkan' hati aku untuk dikongsi bersama dalam entry kali ini ialah perokok 'bahlol' yang terdapat di bumi Jordan ini. Golongan ini sukar didapati di negara-negara lain. Bahkan di negara-negara arab lain. Golongan ini mungkin wujud di Jordan sahaja. Negara yang sungguh 'bertamadun' ini.

Urdun Awwallan kata mereka.

Golongan perokok merokok di dalam pengangkutan awam & tempat awam

Inilah golongan perokok bahlol yang aku maksudkan. Hidup menyusahkan orang. Beginilah keadaanya di bumi Jordan. Mana-mana perokok di Jordan (dari kalangan arab) kebanyakkan mereka pasti akan merokok di dalam pengangkutan awam. Sekiranya perjalanan dari Amman ke Karak mengambil masa 1 jam 30 minit. Perokok akan menghisap rokok di dalam perjalanan tanpa mempedulikan keselesaan penumpang lain.

+ Sudahlah bas yang dinaiki adalah bas berhawa dingin. Tidak ada tingkap untuk asap keluar.

+ Jika menaiki coaster. Boleh penumpang yang tidak merokok apabila membuka tingkap untuk mengambil angin nyaman akan ditegur oleh si perokok supaya tutup tingkap.

+ Apabila musim sejuk, tingkap coaster sudah pasti tidak akan dibuka kerana angin sejuk. Dan asap akan memenuhi ruang dalam coaster. Sekiranya pada sesuatu perjalanan tersebut semuanya lelaki. Sudah pasti setengah dari mereka akan menghisap rokok.

+ Hendak minta pemandu bas/coaster menegur penumpang yang merokok. Dia juga merokok. Bahkan dia yang akan mula merokok dan terus merokok di dalam bas/coaster sepanjang perjalanan.

+ Ada juga pemandu yang melarang penumpang merokok (1 dalam Sejuta). Dan pemandu ini apabila menegur supaya penumpang tidak merokok akan diperli semula oleh penumpang.

Begitulah beberapa keadaan di dalam pengangkutan awam yang boleh aku gambarkan kepada semua. Golongan perokok sebegini di Jordan memang bahlol dan keras kepala. Sekiranya kita menegur dia akan kembali memarahi kita atau mempelecehkan kita. Cukup pelik.

Sudahlah mereka hisap untuk merosakkan jantung mereka. Ditambah lagi memberi mudarat kepada orang yang tidak merokok. Sudahlah kajian yang dibuat membuktikan bahawa mereka yang menyedut asap rokok turut mendapat kesan buruk bahkan lebih buruk dari si perokok.

Beberapa kenangan berhadapan dengan golongan ini.

Pernah satu ketika aku dan Zaid pulang ke Mu'tah dari Amman. Kami menaiki bas Amman-Jami'ah Mu'tah. Bas dipenuhi oleh pelajar arab yang ingin kembali ke kampus universiti setelah cuti hujung minggu berakhir. Hadapan, kiri, kanan, belakang semuanya merokok. Sudahlah bas yang kami naiki adalah bas berhawa dingin.

Cukup lemas keadaan ketika itu. Lemas dengan makanan jin. Asap. Nak kata jin berada di dalam bas... Tidak. Semua manusia.

Kemudian aku menegur 2 orang lelaki arab di hadapan kerusi kami supaya berhenti merokok. Dan jawapannya adalah 'Kau nak merokok sekali kah?' sambil tertawa memerli.

Aku yang ketika itu sudah panas hati secara geram keluar dari mulut

"Enta mafi Mukh" (kamu tak ada otak).

Itulah ayat yang terbaik apabila teguran baik digunakan namun tak berkesan.

Terus pemuda arab tadi pandang ke belakang dengan muka yang agak marah.
(perkataan mengata arab tak ada otak sangat-sangat memberikan kemarahan kepada mereka)

"Ana mafi Mukh? wa Enta"? (aku tak ada otak. Dan kamu?)

Pemuda tadi agak berang dan berlakulah sedikit pertengkaran yang sememangnya berakhir dengan sia-sia. Buang masa. Kemudian mereka berdua terus menyalakan sebatang rokok yang baru dan ketawa mengejek.

Satu kisah lagi aku bergaduh dengan arab di Cyber Cafe. Ketika itu aku duduk di sebelah seorang pemuda arab yang merokok. Dari mulanya aku sudah geram kerana asap memenuhi ruang Cyber Cafe. Bukan dia seorang, tetapi 2-3 orang arab lain yang menghisap. Ada pula seorang budak melayu yang merokok ketika itu. Tetiba lelaki sebelah aku memaling kepalanya ke arah aku dan menghembus asap rokok ke arah aku.

Aku yang sememangnya 'mendidih' tidak puas hati terus bangun dan menyepak kuat meja komputer lelaki tersebut sehinggakan mouse dan keyboard tercampak ke bawah. Aku terus mengeluarkan satu perkataan maki yang tak perlu aku tulis disini. Dan selepas aku mengeluarkan kata-kata tersebut dia berang dan menolak aku.

Sabar aku telah hilang ketika itu. Aku membalas tolakan dia dan kemudian kami dileraikan oleh tuan punya Cyber Cafe. Eloklah kami dileraikan. Bahaya kalau terus bergaduh. Sudahlah aku pendatang. Jika lelaki tersebut membawa kabilahnya, sudah tentu 'lunyai' aku dikerjakan.

Semuanya bermula dari rokok yang memang pembawa masalah kepada banyak perkara.

Dah lama duduk di Jordan marah aku kepada mereka ini mustahil akan pudar. Sudahlah golongan perokok ini membazir (perangai syaitan), kemudian payah nak terima pandangan orang dan pertahan diri yang sememangnya salah (perangai syaitan), kemudian cari pasal nak bergaduh pulak bila ditegur (perangai syaitan)

Macam syaitan.

Bukan tak ada larangan yang melarang perokok supaya tidak merokok. Di dalam bas, di tempat awam. Semuanya tertulis. Tetapi otak-otak mereka ini tidak tertulis sesuatu yang boleh membuatkan mereka berfikir dengan baik.

Yang lucunya, di QAIA disediakan satu ruang smoking zone. Tetapi ruang tersebut terbuka bersebelahan dengan tempat duduk awam. Bukannya bilik khas sepertimana yang disediakan dikebanyakkan negara yang 'reti berfikir'.

Bila aku kenangkan semula..nak ketawa memang rasa nak terus ketawa. Semuanya boleh jadi di negara Jordan ni.

Kepada perokok yang terasa dengan entry ini, aku tidak perlu meminta maaf kerana apa yang aku kisahkan semuanya benar dari pengalaman hidup aku.. aku menulis supaya semua dapat tahu dan tahu berfikir..

Thursday, August 23, 2007

Jejak Makam Nabi Sulaiman a.s

Makam Nabi Sulaiman a.s di Sirfa, Karak. Lokasi ini dikatakan tempat Nabi Sulaiman
bermukim dan beberapa tempoh masa.


Selepas melalui tanah Shihan, van mula bergerak menuju ke perkampungan Bani Hamaidah iaitu Faqu'a, Imra', Shahtur dan terus ke Sirfa.

Petang itu aku bersama 7 sahabat yang lain mengembara ke tanah Sirfa yang meninggalkan catatan sejarah tempat permukiman Nabi Sulaiman a.s.

Sirfa yang jauh dari kekusutan bandar amat menenangkan hatiku.

Anak-anak kecil berlari riang di hadapan rumah yang daif.
Cuaca yang panas dibantu oleh angin yang nyaman memberi kelegaan kepadaku.

Dataran Jabal Shihan yang luas menempatkan beberapa daerah kecil dan Sirfa berada di dalam daerah Abdullah Rawahah. Pemandu kami, Eidd Khiryeh turut berasa gembira pada petang hari tersebut kerana ia merupakan pengalaman pertama beliau menjejaki daerah tersebut.

Aku sudah kali ke 5 menjejaki Sirfa untuk ke makam Nabi Sulaiman. Kali pertama ketika bersama sahabat arab Yusuf Qatatnah, kedua ketika program Jelajah Tawan Jordan 2004, ketiga semasa program Jejak Makam Sulaiman anjuran KEMBARA 2005 dan kali terakhir aku tiba disitu sebelum petang hari tersebut ialah ketika program Jejak Rasul pada Jun 2006.

Setelah mengambil simpang kecil dari kampung Sirfa, van yang dipandu oleh Eid terus membawa kami ke kawasan berbukit untuk menuruni curam ke makam Nabi Sulaiman a.s.

Jalan curam menuruni bukit untuk ke tapak makam. Kelihatan dataran lembah dan
laut mati yang berdekatan dengan kawasan makam.


Kali ini perjalanan menjadi lebih mudah. Pada pengembaraan yang lalu, semua terpaksa berjalan kaki menuruni curam untuk ke makam dan kemudian mendaki bukit yang agak tinggi untuk kembali ke jalan bertar. Tetapi pengembaraan kali ini menjadi mudah apabila kerajaan Jordan telah menghadiahkan jalan tar di kawasan tersebut dan van boleh terus melalui jalan tersebut hingga ke kawasan makam.

Kami selamat tiba di kawasan makam nabi sulaiman dalam keadaan kesan binaan lama di situ sedang dijalankan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan.

Bersebelahan dengannya terdapat khemah dari kain guni kepunyaan para pekerja projek tersebut.

Sejarah melalui sumber lisan zaman berzaman menyatakan kawasan tersebut dikatakan tempat Nabi Sulaiman a.s menetap untuk beberapa ketika. Di situ terdapat sebuah pokok berusia ribuan tahun (pokok itu telah mati) dan sebuah binaan lama yang dipercayai dibina oleh Nabi Sulaiman a.s.

Penguasaan kerajaan Nabi Sulaiman a.s berpusat di Baitulmuqadis. Jarak dari Baitulmuqadis dengan Sirfa hanya 82 km. Dan jarak Wadi Nimil di Asqolan yang turut menjadi kawasan utama pemerintahan Nabi Sulaiman a.s terletak kurang 100km dari Sirfa. Dan Sirfa berada di bukit-bukit lembah berjiran dengan Laut Mati yang dimiliki oleh Jordan dan Palestin ketika ini.

Makam yang dimaksudkan ialah tempat berhenti bukannya makam seperti maksud bahasa melayu iaitu kubur yang mempunyai jasad. Makam berasal dari perkataan arab Qoma bermaksud berdiri dan Maqom bermaksud tempat berdiri/tempat berada.

Gambar kenangan bersama Habiss Abu Rumman. Dia menjemput untuk bermalam di khemahnya
sebelum 1 Ramadhan. Nombor telefon sudah di ambil. Jika ada kesempatan masa ingin bermalam
di khemahnya bersebelahan makam nabi sulaiman a.s


Di makam tersebut aku berkenalan dengan Habiss Abu Rumman (berasal dari As-Salt), orang yang bertanggungjawab menguruskan projek pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan tersebut.

Menurutnya, beliau bertugas di bawah Lajnah (Biro atau pertubuhan) yang dinamakan Lajnah Hashimiah yang dinaungi oleh kerajaan Jordan. Lajnah ini bertanggungjawab mengurus, memelihara, memulihara seluruh kawasan-kawasan sejarah Islam di Jordan. Ia termasuk makam-makam para anbiya', para sahabat dan lokasi sejarah Islam yang lain seperti kawasan peperangan dan sebagainya. Lajnah Hashimiah membelanjakan wang yang sebegitu banyak untuk projek-projek ini.

Aku memuji sikap kerajaan Jordan atas kesedaran mereka membangunkan tempat-tempat sejarah sebegini. Berbeza dengan di Mesir, Syria dan lain-lain yang tidak mengambil peduli untuk menjaga dan memelihara tempat-tempat sejarah sedemikian.

Walaupun berkemungkinan ia adalah pendapat sejarah yang lemah mengatakan di situ salah satu tempat Nabi Sulaiman a.s pernah menetap, namun ia tetap menjadi sumber sejarah lisan zaman berzaman.

Yang pasti, bumi Jordan, Mesir, Iraq, Syria, Lebanon, Turkey, Saudi Arabia, Yemen merupakan bumi para anbiya'. Di sinilah para anbiya lahir, menetap dan wafat. Dan di bumi ini mereka menyampaikan dakwah mereka kepada umat manusia.

Tidak mustahil setiap inci tanah pernah mereka tiba di bumi barakah ini.

Wallahu'alam.

Aku bersama rakan-rakan lain yang turut serta menjejaki lokasi sejarah Nabi Sulaiman a.s dari kiri : Taufik (Penang), Yusof (Selangor- Student Perubatan Odesa University, Ukraine), Afifuddin (Kedah), Termizi (Penang), Ifwat (Terengganu), Mutazam (Perak-Member sejak Secondry School) dan aku
Tiada dalam gambar : Mazlan (Perak)

Wednesday, August 22, 2007

Hammam Rifa'i, Damascus


Minggu lepas sekali lagi aku berpeluang ke Damascus apabila mengiring Delegasi Kerajaan Negeri Kedah untuk lawatan kerja mereka.

Kebiasaanya apabila tiba di Damascus aku pasti tidak melepaskan peluang untuk ke Hammam Rifai yang terletak di Midan Jazmatiah, sebuah baladiah kecil di dalam Damascus. Berpuluh-puluh Hammam terdapat di bandar Damascus, hanya Hammam Rifai yang menjadi pilihanku.

Midan Jazmatiah menempatkan dua buah hammam lama iaitu hammam Fathi dan Hammam Rifai. Hammam Fathi dibina oleh Fathi al-Daftari pada tahun 1743 namun ianya sudah tidak berfungsi. Hammam Rifai pula di bina sejak kurun ke 15 dan dibaiki ketika era Perancis menduduki Syria pada tahun 1925. Hammam Rifai dibina dengan senibina Damsyiq masih difungsi sehingga ke hari ini.

Selain di Midan Jazmatiah, terdapat Hammam lama di seluruh pelusuk bandar lama Damascus. Antaranya Hammam Al-Moqadam di Salhiyah, Hammam Nuruddin, Hammam al-Qishani, Hammam as-Sultan di Old City Damascus. Hammam Nuruddin merupakan Hammam tertua di Damacus iaitu dibina sekitar zaman Nuruddin Al-Zinki antara tahun 1154-1172.

Hammam boleh diertikan sebagai 'rumah mandi' atau mudah difahami untuk entry ini ialah rumah mandi awam. Sistem ini wujud sejak zaman kerajaan Greek dan Rum dan diteruskan ketika era kerajaan Islam.

Sebagaimana Islam menekankan kebersihan, hammam ini dibina untuk tujuan tersebut. Ia menekankan aspek kebersihan dan kesihatan. Kebersihan badan setelah mandi dan kesihatan iaitu melancarkan perjalanan darah di dalam tubuh badan setelah berada di dalam bilik wap panas.

Kebiasaannya, hammam-hammam lama yang dibina terdapat 3 bilik utama di sediakan iaitu bilik sejuk (Frigidarium), bilik panas (tepidarium) dan bilik hangat (caldarium).

Tetamu yang hadir akan memasuki bilik pertama iaitu bilik sejuk kemudian dituruti dengan bilik panas dan akhir sekali ke bilik hangat di mana tetamu akan disabun dan diurut. Dibahagian tertentu sekitar hammam pula disediakan tempat persalinan pakaian dan kawasan berehat.

Di zaman moden ini, hammam lama terus berfungsi dengan baik memberikan perkhidmatan kepada pelanggan/tetamu. Seperti contoh Hammam Rifai di Midan Jazmatiah meneruskan kesinambungan fungsinya sehingga ke hari ini.

Apabila pelanggan tiba, mereka akan diberikan salinan kain dan sabun di ruang persalinan. Kemudian pelanggan di bawa ke bilik wap panas. Setelah beberapa ketika pelanggan akan ditanya sama ada ingin menggosok tubuh badan dan mengurut. Ia merupakan pilihan kepada pelanggan. Sekiranya ingin mengambil perkhidmatan menggosok tubuh badan dan mengurut bayarannya akan bertambah. Jika tidak, pelanggan boleh terus berada di bilik wap dan mandi di ruang khas diluar bilik wap.

Setelah selesai mandi pelanggan akan terus ke bilik sejuk dan disitu pekerja akan memberikan salinan baru berupa kain, selendang badan dan tuala di kepala. Kemudiannya mereka akan dibawa ke ruang rehat dan diberi persalinan baru pula iaitu kain, selendang dan tuala kecil di kepala. Akhirnya pelanggan boleh beristirehat di ruang yang disediakan sambil minum teh panas jika di order.

Hammam Rifai turut mengenakan bayaran yang berpatutan untuk pelanggan. Jika mandi sahaja bayaran dikenakan SYP 145, Mandi dan gosok SYP 180, Mandi, gosok dan urut SYP 230. Dan jika memesan teh panas bayaran tambahan sebanyak SYP 10. Untuk setiap sabun yang diminta dikenakan bayaran SYP 10 juga. (USD 1 bersamaan SYP 50)

Hammam Rifai ini dibuka untuk kaum lelaki sahaja dan semua 'petugas' di dalam nya adalah dari kaum yang sama.

Kepada yang menjejaki bumi Damascus jangan lupa ke hammam untuk mengutip pengalaman menarik ini.

Tuesday, August 21, 2007

Kesan Sejarah Islam di Kota Shawbak

Kota Shawbak

Shawbak terletak di dalam muhafazah Ma'an iaitu sebuah kawasan selatan negara Jordan.

Di pekan kecil yang subur ini terdapat sebuah kota pertahanan lama yang dikenali sebagai Qal'ah Shawbak (Kota Shawbak). Ia merupakan kota-kota pertahanan terbesar yang masih kekal di negara Jordan. Senibina kota ini menyamai senibina Kota Karak yang terdapat di muhafazah Karak.

Kota ini dipercayai dibina ketika zaman salib iaitu pada tahun 1110 oleh Baldwin I. Bukit ini dikenali ketika zaman Salibi dengan nama Jabal Releas (Montreal). Kota ini pernah diduduki oleh 6000 kristian pada suatu ketika.

Kota ini pada asalnya dibina bertujuan untuk menguasai wilayah selatan. Raja Baldwin I mendapat maklumat dari Raja Quds Kristian bahawa laluan di sepanjang jalan Shawbak merupakan laluan strategik yang dikenali sebagai Tariq Muluki (King's Highway) yang terkenal sebagai laluan perdagangan yang menghubungkan Mesir dan Sungai Furat di Syria.

Pada tahun 1189, tentera Sallehuddin Al-Ayubi bergerak dari Mesir dan tiba di Shawbak lalu mengepung kota ini. Pada ketika itu kota ini amat terkenal sebagai kubu tentera salib yang kuat dan mantap. Tentera Sallehuddin mengepung kota ini untuk meninjau sejauh mana tahap kehebatan kota ini. Setelah itu Sallehuddin telah berjaya menawan kota ini setelah mengepung dalam tempoh yang lama dan menyebabkan bekalan makanan dan air terputus sehingga menyebabkan mereka terpaksa menyerah kalah kepada tentera Islam.


Selepas zaman Sallehuddin Al-Ayubi berakhir. Kota ini terus dikuasai oleh kerajaan-kerajaan Islam. Kerajaan Mamluke telah berperanan membangunkan kota ini. Antara perubahan-perubahan yang telah dilakukan oleh kerajaan Islam setelah menguasai kota ini ialah:

1. Mengubah ruang mahkamah ketika zaman Salib kepada kelas pengajian Al-Quran untuk anak-anak Islam.

2. Mengukir ayat-ayat suci Al-Quran di dinding-dinding kota.

3. Bilik-bilik, lorong rahsia dari puncak kota ke kaki bukit terus dipelihara dan digunakan oleh kerajaan Islam disebabkan perkara yang mempunyai banyak manfaat dan ianya tidak perlu dirobohkan.

Begitulah kehebatan tentera-tentera Islam terdahulu.

Kekuatan tersebut akan kembali dimiliki oleh umat Islam suatu ketika nanti. Bila?

Sekiranya pada ketika dahulu dicatatkan bahawa kawasan kem tentera-tentera Islam pada awal subuhnya sudah bercahaya dan mereka bangun untuk Qiamullail dan solat subuh. Kekuatan mental dan fizikal yang amat hebat. Hubungan yang baik dengan Allah. Bantuan yang terus Allah beri untuk mereka.

Begitukah keadaannya pada ketika ini?

Monday, August 20, 2007

Penantian..


salam bertaut pemanis bicara
...

kuntuman senyuman jambangan keikhlasan...
mencanai bahasa menggulung ketetapan...
mengikat janji dua hati...
menyemai rindu yang berpuisi...

asmara cinta di pautan rindu...
setenang tasik sedingin salju...
walau bara membakar kemesraan...
walau jiwa diundang kekalutan...
walau nafsu menggoncang kejujuran...
namun kasih teguh bersatu...
melontar cemburu...
membunuh ego...
menjunjung setia...