Pertama kali saya tiba di Wadi Seer ialah pada Mei 2001. Pada ketika itu tujuan utama saya ke kampung tersebut adalah untuk menjejaki sebuah kota tinggalan kerajaan Ammoniah yang terletak kira-kira 25 km dari pekan Wadi Seer. Kota tersebut dikenali sebagai Qasr Al-Abd dan terdapat pula Qasr Iraq Al-Amir berdekatanya yang diambil namanya bersempena nama kampung tersebut.
Pengembaraan solo saya pada ketika itu bermula dari pekan Suweileh dengan menaiki sebuah coaster 'buruk' yang sepatutnya sudah boleh dijadikan tukun ikan dilaut. Tambang pada ketika itu hanya 100 Fils (kini sudah meningkat 100%). Perjalanan dari Suweileh membawa saya melalui Shariq Duwwar Thamin-Suweileh. Ketika itu, sepanjang jalan disitu masih belum membangun. Hadaiq Hussein belum wujud, Jambatan menghubungkan Khalda ke Dabouq masih belum 'jumpa' projeknya. Tapak CityMall, Carefour, Mecca Mall hanya tanah kosong dan kawasan perumahan yang kini sudah 'ditolak'.
Dari Duwwar Thamin coaster akan mengambil jalan Bayadir dan terus ke Wadi Seer. Pekan kecil Wadi Seer sentiasa sibuk dengan manusia yang berpusu untuk membeli barang keperluan harian. Dari pekan kecil tersebut saya mengambil coaster untuk ke kampung Iraq Al-Amir. Tidak banyak coaster dari Wadi Seer untuk ke Iraq Al-Amir. Pada ketika itu selang 2 jam baru kelihatan coaster yang bertulis Wadi Seer-Iraq AlAmir pada 'badannya'.
Perjalanan ke Iraq Al-Amir mengambil masa sekitar setengah jam. Perjalanan menuruni bukit dan lembah hijau amat 'menyegarkan' mata. Coaster yang saya naiki berhenti berhampiran Qasr Al-Abd sekaligus memudahkan saya menjejaki kota unik pada hari tersebut. Tidak perlu saya berjumpa dengan penduduk tempatan untuk bertanyakan lokasi sejarah yang menjadi 'ingauan' saya untuk dijejaki pada hari tersebut.
Sejarah perkampungan Iraq Al-Amir bermula sejak tahun 360 sebelum masihi apabila ianya diduduki oleh bangsa Amoniah yang di pimpin oleh Tobia. Amoniah menguasai tanah Amman pada ketika itu. Di perkampungan ini terdapat 2 kesan tinggalan kota lama iaitu Qasr Al-Abd dan Qasr Iraq Al-Amir.
Qasr Iraq Al-Amir dibina pada ketinggian 494 meter dari atas laut. Panjang kota tersebut 400m manakala tingginya lebih kurang 25-30m. Kawasan pembinaan kota ini telah digali terlebih dahulu dan terletak di lembah dan gua-gua lama. Pada mulanya Ammoniah yang menetap di kawasan tersebut dan selepas itu dicerobohi oleh orang Qibti.
500m dari kota tersebut terletak sebuah kota yang dikenali dengan Qasr al-Abd yang panjangnya 38m, selebar 18m dan setinggi 14.5m. Pada dinding dibahagian Timur Laut kota ini diukir bentuk-bentuk singa dengan warna kemerah-merahan. Di dalam kota ini juga terdapat ukiran seekor singa betina dan di antara kedua kaki singa betina itu terdapat ukiran anak-anak singa.
Kota ini dinamakan Qasr al-Abd kerana putera Al-Ammoni (Tobia) ini bekerja untuk negara arab (Mesir) kerana terdapat bukti beliau memohon kuda, anjing dl ketika Ptolemus II memerintah di Mesir. (Al-Abd bermaksud hamba)
Fakta menunjukkan bahawa kota ini telah dibina oleh Herkanus pada kurun ke-2 sebelum masihi dan beliau adalah ketua kaum tobiah dan pemimpin Ammon. Kota ini unik dan tiada seumpamanya. Ia dibina dari batuan besar yang tidak terdapat sebarang binaan sepertinya di Timur Tengah. Ketulan batu tersebut ada yang mencapai 7m x 3m. Lebarnya tidak lebih dari 40cm. Namun binaan ini mendapat kerosakan teruk ekoran gempa bumi pada 362 masihi
700m dari Qasr al-Abd pula terdapat 2 buah gua yang dipahat berada di dalam dua barisan. Dahulunya ia merupakan kandang kuda, namun kini penduduk kampung menggunakannya untuk menyimpan makanan ternakan dan tempat berteduh kambing-kambing mereka. Terdapat perkataan Tobiah dalam bahasa Aramiyyah yang dipahat di salah satu pintu gua tersebut.
Satu kepuasaan hadir apabila pengembaraan menjejaki kota-kota sebegini diakhirnya memberi banyak bermanfaat dan menambahkan pengetahuan. Melihat kesan tinggalan pada kota sudah melahirkan rasa kagum pada kaum-kaum terdahulu yang hebat dari segi kekuatan dan kemahiran. Namun mereka dihancurkan disebabkan bongkak serta tidak mahu menerima ajaranNya.








