Friday, January 11, 2008

Tell Hesban

Kesan tinggalan sejarah di Tell Hesban, di Hesban.
Sebuah kampung kecil dalam Madaba Region, Jordan
[ Tell bemaksud bukit rendah ]


Hesban terletak lebih kurang 10km dari bandar Madaba di Jordan. Ia merupakan sebuah kampung kecil namun di sana terdapat tinggalan sejarah yang cukup 'mahal' nilainya. Trip untuk menjejaki perkampungan tersebut adalah mudah. Terdapat perhubungan awam yang mudah untuk ke Hesban. Antaranya coaster yang mudah di dapati dari Mujammak Raghdan. Atau boleh di ambil dari Mujammak Jadid bandar Madaba sekiranya bandar Madaba menjadi pilihan lawatan terlebih dahulu sebelum Hesban.

Setelah tiba di Hesban beritahu sahaja kepada pemandu coaster yang anda ingin menjejaki Tell Hesban di mana terdapatnya Atharriyah (Kesan Arkeologi) di kawasan tersebut. Pemandu akan memberhentikan anda bersebelahan bukit rendah di mana terdapatnya kesan sejarah di Hesban.



Tell Hesban pernah menjadi penempatan tentera Sallehudin Al-Ayubi
Hesban juga dikenali sebagai Hesboun. Ibnu Kathir di dalam kitabnya menyatakan bahawa Hesban adalah ibu negara Balqa’ suatu ketika dahulu. Panglima Islam Sallehudin Al-Ayubi telah menjadikan kawasan ini sebagai kawasan penempatan askar ketika dalam perjalanan menuju ke Karak dalam misi menawan kota tersebut dari tangan tentera salib yang diketuai oleh Reynald Chatillon pada tahun 1161. Sallehuddin Al-Ayubi pada serangan itu telah berjaya menawan kota tersebut dari tangan tentera salib sekaligus memulakan penguasaan di Karak sehinggalah berakhirnya pemerintahan Islam Turki-Uthmaniyyah di Karak 92 tahun yang lalu.

Sejarah Ringkas Hesban
Kesan tinggalan tamadun Islam banyak ditemui di lokasi sejarah ini. Antaranya ialah 66 kepingan duit dari zaman kerajaan Islam, lampu pelita dan 4 telaga air sedalam 10m. Sejarah sebelum kedatangan Islam menyaksikan kota ini pernah di duduki oleh Raja Amuriyyun yang menjadikan Hesban sebagai ibu kota Saihun. Kemudiannya sekitar kurun pertama hingga kurun kelima masihi ia di duduki oleh Rum-Byzantium di mana kesan tinggalan mozek, tiang-tiang Rum masih jelas kelihatan. Dalam pada itu tinggalan tin yang digunakan sebagai hiasan pada zaman Herodes turut ditemui20.

Di kawasan Hesban ini juga turut ditemui manuskrip yang bertulis nama-nama dari Ketamadunan Mesir dan Babylon yang dipercayai oleh ahli arkeologi berusia lebih 2500 tahun yang lalu.

Tuesday, January 8, 2008

Kaum Madyan Menyembah Aikah

Makam Nabi Syuaib A.s yang terdapat di Wadi Syuaib, daerah Balqa', Jordan

Laut Mati, Petra dan Jerash antara lokasi yang menjadi tarikan pelancong ke Jordan. Kebiasaannya, pakej-pakej yang ditawarkan oleh Agensi Pelancongan tempatan akan tertumpu kepada lokasi-lokasi kota berbatu dan kawasan semulajadi. Alangkah baiknya, jika lawatan ke Jordan diselangi dengan mengunjungi makam-makam para rasul dan para sahabat yang banyak terdapat di negara Jordan. Antaranya ialah Makam Nabi Syuaib a.s.

Sekiranya anda berada di Jordan dan berkunjung ke Laut Mati, pastikan laluan pergi atau balik melalui jalan Wadi Syuaib. Di pertengahan jalan dari Amman ke Laut Mati melalui Wadi Syuaib membolehkan jadual lawatan anda menziarahi Makam Nabi Syuaib a.s.

Jika anda dari Laut Mati, jalan perkampungan Ar-Rama (berhampiran Suweimah) akan membawa anda ke Kefrein dan Shouneh Janubiyah. Di Shouneh Janubiyah terdapat Jambatan Raja Hussein (King Hussein Brigde) atau dikenali dengan Jambatan Allenby merupakan jalan yang menghubungkan Jordan dengan Tanah Palestin (melintasi Sungai Jordan). Dari pekan kecil tersebut terdapat jalan terus ke Makam Nabi Syuaib a.s


Ringkas Kisah Nabi Syuaib a.s dan
Pandangan di mana bala diturunkan kepada kaum Madyan.

Nabi Syuaib a.s diutuskan kepada kaum Madyan. sebagaimana Firman Allah di dalam ayat 85:

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَا هُمْ شُعَيْباً
Dan (kami telah mengutus) kepada penduduk Madyan saudara Mereka Syuaib.

Madyan adalah nama putera Nabi Ibrahim a.s kemudian menjadi kabilah yang terdiri daripada anak cucu Madyan. Kabilah ini mendiami satu kawasan yang juga dikenali dengan Madyan yang terletak di pantai Laut Merah di tenggara Gunung Sinai. Kaum Nabi Syuaib a.s menyembah Aikah iaitu sebuah kawasan padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanaman.

Nama Syuaib a.s ialah Syuaib bin Mikyal bin Yasjar bin Madyan bin Ibrahim Al-Kholil diangkat menjadi nabi sekitar tahun 1550SM. Baginda digelar Khatib para rasul oleh Ahli Tafsir. Syuaib a.s amat mahir di dalam pidato dan meneruskan dakwah rasul terdahulu darinya mengajak kaumnya keluar dari kesesatan dan kembali di jalan Allah. Antara dakwah dan amaran Syuaib a.s terhadap kaumnya sepertimana dijelaskan di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-‘Araf ayat 85-86 yang bermaksud:

“Maka sempurnakanlah takaran dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya dan jangan kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang-orang yang beriman”


“Dan janganlah kamu duduk ditiap-tiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang yang beriman dari jalan Allah..”

Dari maksud ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa masyarakat Madyan merupakan kaum yang melakukan penipuan timbangan di dalam jual beli dan menjadi samseng di jalanraya dengan menghalang orang-orang yang mengikut ajaran Syuaib a.s.

Syuaib a.s terus menyampaikan dakwah baginda terhadap kaum Madyan tetapi usahanya ditentang hebat oleh kaumnya dan bertindak untuk mengusir Syuaib a.s dari wilayah mereka. Syuaib a.s mendapati hati kaumnya sudah tertutup rapat dan tiada harapan lagi untuk menerima agama Allah. Baginda berdoa agar kaumnya dibinasakan maka bala Allah telah turun kepada kaum Madyan sepertimana firmanNya di dalam Surah Al-A’raf ayat 91:

فَأَخَذَنْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِى دَارِهِمْ جَثِمِينَ
Kemudian mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam rumah-rumah mereka.

Ketikamana bala terhadap Madyan diturunkan, udara di wilayah tersebut menjadi panas dan terik matahari pada hari itu seperti membakar kulit dan mengeringkan kerongkong sehingga mereka amat-amat dahaga. Mereka berlari ke dalam rumah dan di bawah pohon pokok untuk berlindung diri dari kepanasan tersebut namun tidak dapat menghalang derita panas tersebut. Tiba-tiba mereka terlihat gumpalan awan hitam berada di atas udara dan mereka berlari ke bawah awan tersebut untuk berlindung diri

Setelahmana mereka berada di bawah awan tersebut maka jatuhlah ke atas mereka percikan api dari awan tersebut dan disusuli oleh dentuman guruh petir dengan ledakan yang dahsyat, sementara bumi di bawah mereka bergoyang dengan kerasnya menjadikan mereka berjatuhan, tertimbun di bawah dan melayanglah nyawa dan lenyaplah masyarakat Madyan.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di kawasan Wadi Syuaib yang berada di dalam wilayah Balqa’. Ada pendapat yang mengatakan di persisiran Laut Merah iaitu di negeri Madyan sendiri (berdekatan dengan Madain Saleh).

Pandangan penulis terhadap tempat berlakunya bala tersebut ialah di Wadi Syuaib. Firman Allah di dalam Surah Huud ayat 11 yang bermaksud:

“Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Huud atau Kaum Saleh, sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu”

Di akhir ayat di atas, Nabi Syuaib telah memperingati kaumnya bahawa bala yang terjadi ke atas kaum Sodom iaitu kaum Nabi Luth a.s adalah berhampiran dengan wilayah mereka. Jarak Wadi Syuaib dan Laut Mati (tempat bala yang dikenakan ke atas kaum Luth) hanya 60km sedangkan jarak Laut Mati dengan wilayah Madyan berhampiran Madain Saleh mencecah 400km. (Madyan dan Madain Saleh terletak di Barat Laut negara Arab Saudi ketika ini)

Wallahua’lam.

Sunday, January 6, 2008

Kedai Buku Terpakai Abu Marwan

Peta menunjukkan lokasi Kedai Buku Terpakai Abu Marwan di Downtown (Balad), Amman

Entri kali ini ditujukan khas kepada rakyat Malaysia yang berada di bumi Jordan yang minat membaca dan membeli buku. :)

Peta di atas menunjukkan lokasi Kedai Buku Terpakai Abu Marwan yang sering menjadi tempat 'lepak' aku ketika menuntut di bumi Jordan dahulu. Setiap kali ke bandar Amman, sudah pasti kedai buku kecil yang terletak di tepi Shariq Saqaf Sil aku jejaki. Buku-buku sejarah, pelancongan, majalah National Geographic dan lain-lain menjadi sasaran. Paling tidak satu buku di bawa pulang setiap kali berkunjung.

Kepada mereka yang gemar membaca, kedai buku terpakai Abu Marwan sepatutnya dikunjungi. Kekadang buku yang dijual dikedainya bukanlah buku yang 20-30 tahun lamanya. Ada juga buku-buku yang baru dipasaran tapi sudah 'dilelong' dikedainya. Misalanya majalah National Geographic yang keluarannya setiap bulan boleh didapati issue terbaru di kedai tersebut. Siapa yang cepat, siapa yang beruntung akan dapat 'hasilnya'. Kalau beli baru di Safeway atau Prime Megastore harganya JD 5.500, beli di kedai Abu Marwan JD 0.500 sahaja.

Pemilik kedai ini bernama Bahzad. Namanya seperti nama yang terdapat di dalam masyarakat Checen atau di negara-negara bekas Soviet Union bersempadan dengan Turki (Georgia, Azerbaijan, Armenia). Bahzad lebih mesra dipanggil dengan panggilan Abu Marwan.

Bermacam-macam jenis fiksyen buku, majalah boleh didapati di kedai tersebut. Ekonomi, Politik, Sains, Perubatan, Keagamaan dan pelbagai lagi boleh dimiliki dengan harga yang jauh lebih murah. Isi buku sama sahaja dari yang baru.

Kepada ulat buku, ada masa berkunjunglah ke situ.

Saturday, January 5, 2008

Trip Bermain Ski ke Turkey

Antara aktiviti musim sejuk yang menarik perhatian semua orang ialah bermain ski dan luncur ais. Ramai juga rakan-rakan pelajar di Jordan yang bertanya camana nak main ski kat middle east ni bila tiba musim sejuk. Di Jordan sudah pasti tiada harapan untuk bermain sukan tersebut.

Dahulunya ketika Mu'tah menerima salji yang tebal ada juga yang bermain luncur ais menggunakan talam. Kawasan Ja'fariyyah menjadi tumpuan. Dari kawasan berbukit agak tinggi menghala ke Mazar akan kelihatan pelajar-pelajar Melayu mengusung talam dan duduk di atas talam lalu meluncur turun ke bawah jalan menghala ke Mu'tah. Paling kurang pelajar di Jordan akan berpusu-pusu ke Ajloun Region di kawasan Anjarah atau Kufranjah untuk bermain salji kerana dikawasan tersebut menerima salji yang paling banyak di bumi Jordan. Namun di kawasan tersebut tidaklah disediakan resort untuk bermain ski atau luncur ais.

Ada juga pelajar dari Jordan apabila musim sejuk akan berjalan ke Jabal Arab dan Bloudan di Syria untuk bermain salji. Memang bersemangat sesetengah pelajar untuk bermain salji dan merakamkan kenangan bersamanya. Ada juga yang ke kawasan utara Lubnan di kawasan hutan cedars dengan disediakan resort bermain ski dan luncur ais. Namun ketika ini Lubnan bukanlah negara yang selamat untuk dikunjungi.

Turkey- negara yang sering menjadi bualan kepada mereka yang ingin bermain ski ais. Tak ramai antara pelajar di Jordan yang ke Turkey pada musim sejuk untuk bermain Ski. Mungkin disebabkan tidak tahu cara untuk ke sana, bajet tak cukup atau memang tak mahu ke sana. Sesahihnya Turkey merupakan destinasi paling dekat, paling best serta paling selamat dari negara Jordan untuk mereka yang mahukan pengalaman bermain sukan tersebut. Pergunungan Uludag (Ulu bermaksud Great, Dag bermaksud Mountain) di Bursa sering menjadi tumpuan rakyat Turkey serta pelancong asing yang ingin bermain ski. Bursa sudah pasti tidak mengecewakan mereka yang sudah lama memasang impian mencuba sukan tersebut.

Bersempena musim sejuk yang sudah semakin sejuk ini, pihak HZ Travel & Tours telah menyusun satu pakej ke Turki yang dinamakan TURKEY JOURNEY- Winter 2008 Adventure Package. Trip ini akan membawa semua peserta menjelajah bandar Istanbul serta menimba pengalaman baru bermain ski ais dan luncur ais kepada mereka yang masih belum merasainya. Trip ini akan berlangsung pada 31 Januari 2008 sehingga 09 Februari 2008 iaitu selama 10 hari.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej tersebut anda boleh lihat iklan di bawah ini.
(Klik pada Image untuk paparan yang lebih besar).

Friday, January 4, 2008

Masjid Al-Amawi Damascus


Masjid Al-Amawi Damsyik terletak di dalam Old City Damascus disekitar Bab Al-Barid. Jalan terdekat menuju ke Masjid ini ialah melalui Bab Faradis. Kebiasaanya Laluan Bab Al-Faraj dan Bab An-Nasar yang melalui Souq Hammidiyah menjadi sesak untuk mereka yang ingin ke masjid tersebut.

Masjid Amawi merupakan masjid terbesar tertua di dunia yang masih kekal baik. Ia menjadi pusat pemerintahan kerajaan Umawiah pada kurun ke-7 Hijrah. Masjid menjadi tempat beribadat kepada Allah, tempat pemimpin bertemu dengan rakyat, tempat pemimpin memberi ucapan dan maklumat kepada rakyat, tempat pengumpulan zakat dan sebagainya. Institusi masjid ketika itu digunakan sebaiknya. Di dalam masjid Amawi di salah satu sudutnya terdapat Menara Khazanah yang berfungsi sebagai tempat menyimpan harta-harta Zakat yang perlu diagihkan kepada yang berhak. Harta-harta zakat yang dikumpul oleh pemerintah disimpan dan diedarkan kepada asnaf yang betul yang memerlukan. Tempat menyimpan harta zakat tersebut adalah yang pertama di dunia di wujudkan. Konsepnya berjaya! Harta dikumpulkan dan diberikan kepada yang perlu. Bukan di ambil untuk modal membina bangunan atau membeli aset-aset kerajaan Umawiah pada ketika itu. Dan tidak dikumpul dengan tujuan untuk melihat ia dalam jumlah yang banyak kemudian dicanangkan bahawa harta zakat semakin banyak.

Masjid ini turut menempatkan beberapa Makam para nabi iaitu Nabi Yahya a.s yang dipercayai hanya kepalanya berada disitu. Terdapat pula 2 lokasi di dalam masjid yang menjadi tempat persinggahan Nabi Hud a.s dan Nabi Khidir a.s. Dibahagian luar berhampiran dataran lapang terdapat juga Bilik yang menempatkan Kepala Saidina Husin bin Ali (ianya diragui). Makam Panglima Islam yang terkenal Sallehudin Al-Ayubi pula ditempatkan bersebelahan masjid.

Menyingkap sejarah ringkas masjid ini, pada asalnya ia merupakan tapak kuil tuhan Semitik Hadad iaitu sekitar tahun 2000 sebelum masihi, kemudian ia menjadi kuil kepada bangsa Rum barat. Ketika Kristian mendominasi kawasan sekitarnya, sebuah gereja telah dibina di atas tapak masjid tersebut bersempena terdapatnya Makam John The Baptist (Nabi Yahya a.s) di kawasan tersebut. Selepas Islam menawan Syam pada tahun 636 Hijrah penganut Kristian dibenarkan untuk terus menggunakan gereja tersebut dan orang Islam pula menetap di kawasan berhampiran masjid ini. Lebih kurang 70 tahun gereja ini kekal sebagai tempat ibadat utama penganut Kristian. Kesan-kesan turut ditemui menunjukkan dalam tempoh 70 tahun kawasan tersebut dikongsi oleh orang Islam dan Kristian di mana orang Islam akan bersembahyang menuju ke dinding selatan yang menghala ke Kiblat di Mekah.

Masjid ini telah dihias indah dengan mozek-mozek kecil yang mengambarkan corak tanaman dan ladang, bandar dan istana yang mewujudkan suasana kedamaian campuran klasik dan ketimuran. Tiada unsur kemanusian yang wujud pada dinding-dinding masjid sepertimana sering kelihatan di gereja-gereja lama Kristian.

Masjid ini telah kekal selama 1200 tahun dan melalui pelbagai zaman dan rintangan. Ia pernah diserang tentera Mongol, pernah berlaku gempa bumi dan juga kebakaran pada tahun 1893. Sehingga kini, ia masih kekal teguh meninggalkan pelbagai rentetan sejarah dan bakal tertulis apa juga 'keputusan' sejarah.

Wednesday, January 2, 2008

Hubungan Jordan-Syria Bertambah Erat


Semalam Kerajaan Jordan dan Syria telah memeterai perjanjian demi kepentingan dan kemudahan di laluan perhubungan antarabangsa sempadan darat kedua-dua negara. Persefahaman erat antara kedua-dua negara telah menghasilkan persepakatan di mana rakyat kedua-dua negara tidak perlu lagi menggunakan pasport antarabangsa untuk masuk negara berjiran ini. Rakyat di kedua-dua negara hanya perlu menunjukkan kad identiti peribadi untuk melepasi sempadan Jaber-Naseeb atau sempadan Ramtha-Dera'a yang memisahkan negara Jordan dan Syria.

Cukai kenderaan, cukai peribadi dan bayaran Disel (Tasrih Mazot) turut dimansuhkan. Hanya yang tinggal Insurans kenderaan sahaja yang perlu dibayar. Sebelum ini, mana-mana kenderaan dari Jordan yang memasuki negara Syria perlu mendapatkan Tasrih Mazot dengan bayaran USD 100 (untuk tempoh satu minggu) jika berada di dalam negara Syria lebih pada satu minggu, USD 100 kedua perlu di bayar sebelum keluar dari negara Syria. Cukai kereta pula dikenakan sebanyak SYP 450 (sekitar USD 10) dan cukai peribadi setiap orang dikenakan bayaran SYP 400 = (SYP: Syrian Pound atau Lira Syria). Begitu juga dengan rakyat Syria yang ingin memasuki Jordan perlu membayar cukai-cukai yang berkenaan.

Baru-baru ini ketika berurusan disempadan Jordan-Syria bersama kawan arab hampir USD 350 dihabiskan untuk urusan keluar masuk. Namun ketika ini, setelah 90% daripadanya dimansuhkan, bayaran di sempadan akan menjadi kurang dari USD 100. Rakyat Jordan dan Syria boleh berjimat jika ingin melancong atau bertemu sanak saudara di kedua-dua negara.

Perkara ini mungkin dapat mengubat hati penduduk Jordan yang telah 'dipanah petir' pada hari sebelumnya dengan kenaikkan harga minyak yang tidak masuk akal serta barang keperluan harian yang turut melambung menggunung naik. Kenaikan yang menghampiri 100% dari harga asal turut memberi kesan kepada pelajar Malaysia di sini. Sudahlah pelajar-pelajar yang menuntut bidang agama dianak tirikan oleh kerajaan (MALAYSIA) dengan tidak memberi satu sen pun biasiswa pendidikan. Kos hidup di Jordan semakin mahal dan mustahil akan turun.

Tuesday, January 1, 2008

Tariq Sahrawi Urdun

14 Zulhijah yang lalu, bandar Qatranah sudah mulai sibuk. Puluhan bas membawa jemaah haji dari Jordan sudah mula memasuki bumi Jordan. Rata-rata dari mereka memilih Qatranah sebagai tempat istirehat dan solat sebelum perjalanan diteruskan ke Amman. Qatranah merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 90 km dari ibu negara Amman dan 35km dari muhafazah Karak yang berada di tengah-tengah negara Jordan. Qatranah menjadi pekan kecil penting yang terletak di jalan perhubungan utama jemaah haji yang datang dari Syria, Iran, Turki, Russia, negara-negara bekas Soviet Union dan eropah barat menuju ke Mekah melalui jalan darat untuk menunaikan ibadat haji dan umrah.

Bermula dari 2 Syawal, sempadan Jaber, Jordan dan Naseeb di Syria akan dipenuhi jemaah-jemaah haji yang mengembara jauh melalui jalan darat untuk ke Mekah. Mereka tiada pilihan jalan darat yang lain selain melalui negara Jordan. Kini setelah musim haji berlalu, selepas sahaja melontar di Jamarat pada hari kedua dan jemaah yang niat meninggalkan mina untuk tidak melontar pada hari terakhir sudah mula meninggalkan Mekah. Inilah kebiasaan yang dilakukan oleh sesetengah rakyat dataran Syam. Mereka tidak menunggu lama setelah selesai ibadat haji. Pakej yang dianjurkan oleh Agensi-agensi pengurusan haji kebiasaanya begitu. Rugi mereka berbanding rakyat Malaysia yang masih boleh menetap lama sebelum atau sesudah rukun haji dilakukan. Sudahlah sukar untuk mereka ke Mekah, dapat pula sekejap berada di sana. (Jordan mengenakan syarat mereka berumur 60 tahun ke atas untuk menunaikan haji, ini disebabkan kuota yang sikit untuk rakyat Jordan: 1% Penduduk= 6000 orang).

Sesahihnya bumi Jordan telah menjadi laluan perjalanan utama haji sejak berkurun lamanya. Sebelum zaman Uthmaniah, ketika Tariq Sahrawi belum wujud, para jemaah haji yang datang berkafilah telah memilih laluan Trajan atau dikenali sebagai King's Highway (Jalan Berbukit di kini berada di barat Jordan). Laluan tersebut bermula di Sungai Furat melalui Dimasyq dan terus menuju ke Bosra, melalui Hesban dan Madaba terus ke Karak dan Tofilah menganjur sehingga ke Eilat (Aqabah) dan berakhir di Ramsis di Mesir. Bagi mereka yang ingin menunaikan haji pada ketika itu aku terus mengambil jalan Laut Merah untuk menuju ke Madinah dan berniat haji di Miqat Bir Ali untuk menunaikan umrah atau haji.

Ketika mana zaman kerajaan Uthmaniah, Tariq Sahrawi telah dibuka dan ia memudahkan lagi para haji untuk bergerak menuju ke Mekah dengan menyediakan kemudahan solat dan air di Dab'a, Qatranah dan Ma'an (Lokasi di Jordan). Tariq Sahrawi inilah yang terus digunakan sehingga hari ini oleh jemaah haji untuk menuju ke Madinah dan Mekah.

Ketika ini, sempadan Bab Hawa-Cilvegozu di Syria dan Turki terus dipenuhi bas para jemaah haji yang telah selesai menunaikan ibadah haji. Ketika berada di sempadan tersebut beberapa hari yang lalu, beratus bas beratur panjang di sempadan menunggu giliran untuk melepasi sempadan Turki. Ada bas dari Turki, ada dari Russia dan ada dari negara bekas Soviet Union seperti Armenia, Azerbaijan, Uzbekistan DLL. Perjalanan mereka sesahihnya masih jauh dari sempadan Syria-Turki. Ditambah lagi keadaan kenderaan mereka yang agak daif.

Melihat keadaan mereka, kekadang hati terdetik betapa mudahnya kembara Haji rakyat Malaysia ke bumi Mekah. Semua keperluan cukup, selesa dan tersusun. Namun, mungkin kembara haji mereka yang susah ini lagi membuatkan mereka mengejar untuk mendapat nikmat ibadat haji mabrur. Bukan mengejar mendapatkan status 'haji'.