Cuaca di Amman semalam amat terik. Mungkin musim panas yang sebenar bakal 'menyerang' tidak lama lagi. Dalam perjalanan dari lapangan terbang ke Mu'tah aku sudah rimas duduk di dalam van Abu Ra'id yang tidak ada penyaman udara. Abu Ra'id pun mengaku bahawa cuaca semalam di Amman berbeza dari hari-hari sebelumnya. Mukanya pun nampak letih dan van pun tidak dipandu dengan laju.
Tiba di Mu'tah sekitar jam 7.00 petang menyambut aku dengan cuaca yang berbeza. Kepanasan yang ditempuh sepanjang perjalanan disegarkan dengan suasana nyaman angin bukit di Mu'tah. Kebiasaan musim panas di kawasan Mu'tah berbeza dari kawasan lain di Jordan. Walaupun cuaca panas, namun angin kawasan tinggi yang hadir melenyapkan bahang panas yang ada. Bahkan pada hari aku menulis entry ini, cuaca sejuk dan angin kuat bertiup.
3 hari aku di Mu'tah sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Dalam masa yang singkat ini aku perlu selesaikan beberapa kerja syarikat dengan Zaid dan menziarahi sahabat-sahabat lain di Mu'tah. Ada masa perlu aku simpan untuk membeli beberapa buah tangan untuk keluarga di Malaysia.
Di Mu'tah aku menumpang di rumah lama yang pernah aku tinggal ketika menuntut di sini dahulu. Iaitu di Bayt Dimasq. Rakan-rakan seperjuangan yang membuka Bayt Dimasyq dahulu ramai sudah menamatkan pengajian. Yang tinggal hanya ustaz Said, ust Adzhar dan bakal adik ipar- ust Syaheed. Lain-lain semua pelajar baru namun mereka lama juga aku kenali ketika menetap di Mu'tah selepas belajar beberapa bulan yang lalu.
Masa yang ada di Mu'tah di dalam sehari dua ini sudah pastinya mengembalikan memori dan kenangan indah yang terlalu banyak di sini.
0 komen:
Post a Comment