Tuesday, June 17, 2008

Balik Kampung

10 Jam Transit di Dubai International Airport tanpa disediakan hotel

Memang hidup makin mahal di Jordan. Nak meniaga pun susah. Pelanggan semua nak murah tanpa mereka sedar semua harga barang makin naik dari hari ke hari. Selepas ini senang sahaja, kalau berniat nak melancong dengan bajet kewangan dengan mengikut agensi pelancongan, lupakan sahaja.

Trip kali ini di Jordan, Syria dan Turki boleh dikatakan gagal. Harga semua naik. Dalam masa seminggu aku berada di Jordan sudah berlaku dua kali perubahan harga minyak. Harga Diesel di Jordan semasa aku tiba di Jordan 620 Fils. 9hb sudah naik 700 Fils dan ramalan jika harga minyak duit yang mungkin akan naik sehingga USD200 setong, harga minyak di Jordan tidak mustahil JOD 1 seliter. Harga bus 4 bintang dari QAIA ke Damascus sahaja tanpa termasuk aturcara lawatan sudah menjangkau JOD900. Manakala dari Damascus ke QAIA sudah berharga 42,000 Lira Syria (USD 933).

Subsidi minyak di Syria pun sudah ditarik oleh kerajaan Al-Assad. Diesel dahulunya hanya 7 Lira kini sudah mencecah 25 Lira. Peningkatan yang sudah pastinya membebankan rakyat dan industri perniagaan pelancongan. Mahu tak mahu pelancong terpaksa berbelanja tinggi lebih dari kadar sebelum ini. Dan rakyat Syria sendiri yang bekerja dengan kerajaan mengharapkan kenaikkan gaji. Mana yang bekerja sendiri dan meniaga sudah pasti menaikkan harga barang untuk mereka hidup.

Ketika 6 hari 5 malam di Turki bersama rombongan Haji Shuhaimie. Kos pengangkutan ketara bertambah. Lantaran harga minyak terus naik. Kini di Turki seliter mintak petrol mencecah 3.25 Lira iaitu hampir-hampir USD3 selitar (iaitu mencecah hampir RM10 seliter). Van Transit dari Attaturk Airport ke Sultanahmet dengan jarak 20km kini sudah berharga EURO 50 manakala dari Aksaray ke Attaturk Airport mengambil kos sehingga USD100.

Itu kenaikkan harga untuk negara-negara yang sememangnya bukan negara pengeluar minyak. Berbeza dengan negara yang ada minyak tetapi harga minyak mahal.

12 Jun 2008 jam 5.15 petang aku meninggalkan kenangan kerja selama 2 minggu yang amat memeningkan di Jordan, Syria dan Turki. Cari rezeki di negara asing semakin susah jika keadaan harga minyak dan barang terus melambung naik. Sepanjang penerbangan dari Amman ke Dubai dengan pesawat Emirates aku hanya termenung dan keletihan lantaran sebelum penerbangan aku menghabiskan masa di Downtown Amman membeli buah tangan untuk keluarga di Malaysia. Dahulunya untuk ke QAIA dari Mu'tah hanya JD 15 kini sudah sekali ganda. Untuk ke Amman hanya JD25-30 kini sudah JD50.

Tiba di Dubai jam 9.10 waktu tempatan Dubai (GMT+4). 10 Jam transit cukup membayangkan kebosanan pada ketika itu. Dengan keadaan badan masih letih, aku terus ke Surau di Terminal Transit Dubai Airport untuk berehat dan melelapkan mata. Walaupun terang-terang sudah dinyatakan larangan tidur di dalam surau ketika itu setengah ruang surau sudah dipenuhi manusia.

Aku hanya lelap sekejap di Surau. Bangun dan terus ke kawasan Food Court dan Dinner di Ekpress Thai Food. Berehat di restoran tersebut sambil melayari internet namun tidak lama disebabkan bateri laptop sudah kosong. Selepas makan, aku kembali bersiar-siar di kawasan Duty Free dan kemudian mengecas bateri laptop di surau.

10 jam di Dubai Airport Dubai tanpa disediakan hotel oleh pihak penerbangan amat-amat membosankan. Selepas waktu subuh ham 4.05 pagi, kawasan kerusi berbaring terdapat kekosongan dan aku terlelap di situ sehingga jam 7.30 pagi.

Penerbangan ke Malaysia jam 9.55 pagi. Baki masa yang ada aku menghabiskan masa di Duty Free. Banyaknya di area minyak wangi. Pesawat dari Dubai Boeing 777 dari Dubai ke Kuala Lumpur selamat terbang pada jam 10.15 pagi waktu tempatan Dubai dan tiba di KLIA jam 9.20 malam waktu tempatan Malaysia. Sepanjang perjalanan aku banyak tidur. Pesawat malam itu penuh dengan penumpang. Boleh dikatakan tidak ada kerusi kosong. Aku duduk bersebelahan pelajar dari Leicester University namun tidak banyak berbual disebabkan mood aku yang letih dan fikiran aku yang terlalu banyak memikirkan macam-macam perkara.

Selamat tiba di KLIA. Aku terus ke tingkat 2 KLIA untuk membeli tiket bas ke Ipoh. Harga masih RM42 tidak berubah dari setahun yang lalu. Kemudian aku Supper Nasi Lemak di Malay Cuisine di tingkat 4 KLIA. Habis RM13 namun ia masih murah berbanding harga-harga makanan di Airport Dubai, QAIA dan Ataturk yang aku singgah beberapa hari sebelumnya. Makan Thai Food di Dubai habis 55 Dirham. Burger King di Ataturk Airport 15 YTL dan Milk Shake sahaja di QAIA JD2.5.

Bus Ekpress Triton KLIA-Ipoh bergerak tepat jam 12.35. Sepatutnya bergerak jam 12.30 tetapi aku yang terlewat turun kerana mengecas bateri laptop di Surau tingkat 4. Apa yang mencatat sejarah dalam hidup aku, malam itu hanya aku seorang penumpang yang menaiki bas ekpress Triton ke Ipoh. Alahai! Rugi besar syarikat bas malam itu. Duit minyak pun tak lepas. Apatah lagi duit Tol. Pemandu bas malam itu turut mengeluh. Menurut pemandu bas, malam itu dari Ipoh ke KLIA pada jam 2.30 pagi hanya ada 4 orang penumpang.

Sepatutnya aku tiba di Ipoh jam 4.00 pagi. Memang kebiasaan 3 jam 30 minit bas dari KLIA ke Ipoh (Medan Gopeng) namun malam itu 3.30 pagi aku sudah tiba di Hentian Bas Medan Gopeng. Adik aku Anwar sudah ada di Ipoh. Dia menunggu aku sejak jam 3 untuk balik ke Parit Buntar.

Jam 4.00 pagi, bakal adik ipar Syaheed dan Syaakirin datang untuk menghantar beberapa barang dan aku pun turut mengirim beberapa buah tangan dan barang untuk keluarga mereka. 4.20 pagi aku bersama Anwar dengan kereta barunya bergerak meninggalkan Ipoh ke Parit Buntar. Turut bersama kawan baik Anwar sebagai pemandu kedua. Berhenti di R&R Bukit Gantang, beli sedikit buah tangan dan makanan dan terus bergerak ke Parit Buntar. Sampai jam 6.00 pagi terus ke Parit Tok Ngah menghantar kawan Anwar dan aku selamat tiba di rumah jam 6.20 pagi.

Alhamdulillah, selamat perjalanan aku tiba di kampung dari Amman melalui Dubai.

0 komen: