Tuesday, July 29, 2008

Warna malam di Sultanahmet & Taksim

Keindahan Masjid Biru pada waktu malam. Masjid yang tiada tolok bandingnya ini dibina oleh Mehmet Aga. Mempunyai 260 buah tingkat dengan 6 tiang menara yang amat menakjubkan senibinanya.


Tram menghubungkan Kabatas dan Zeytinburnu merupakan salah satu sistem perhubungan mantap di Istanbul. Dikenali dengan Istanbul Rayli Sistemler. Beroperasi seawal jam 5.30 pagi dan tamat pada jam 12.00 malam.


Penduduk Turki dan pelancong memenuhi sebuah restoran Doner Kebab dan pelbagai pilihan makanan Turki yang terkenal di Sultanahmet

Funukuler yang menghubungkan Kabatas ke Taksim. Kabatas merupakan stesyen terakhir Tram dari Zeytinburnu dan mereka yang ingin ke Taksim perlu mengambil Funukuler Kabatas ke Taksim

Keadaan malam yang 'hidup' sehingga lewat malam di kawasan Taksim. Berbeza dengan kawasan Sultanahmet yang kawasannya 'mati' dari kesibukkan kutu rayau malam


Tak banyak Restoran KFC di Turki

Monday, July 28, 2008

Perkahwinan beramai-ramai di Jordan

Kehidupan Baru : Pasangan pengantin miskin dinikahkan secara beramai-ramai di Jordan

Berita Harian 27 Julai 2008
Amman: Lebih 12 pasangan dinikahkan dalam majlis perkahwinan beramai-ramai anjuran Persatuan Kebajikan Al-Afaf Jordan kelmarin. Persatuan kebajikan itu menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai bagi membantu mereka yang tidak mampu mengadakan majlis keraian mewah dan menggalakkan pasangan berkahwin serta mendapat anak.

Pengantin perempuan yang bertudung dan pasangan lelaki mereka dinikahkan kelmarin di pekarangan sekolah sekitar luar bandar raya Jordan ini. Kira-kira 3000 tetamu hadir pada majlis itu yang dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu tradisional Aran dan berunsur keagamaan.- AP


* Satu usaha yang amat baik dilakukan oleh Persatuan kebajikan Al-Afaf di Jordan bagi membantu rakyat Jordan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk mendirikan rumahtangga. Sepanjang pengetahuan saya dari pengalaman berada di Jordan ramai dikalangan rakyatnya berkahwin dalam usia yang lewat di atas sebab kewangan yang tidak mencukupi walaupun mereka sudah berkerja. 'Modal' yang tinggi mencecah JD 10000 menyebabkan mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk berkahwin.

Dulu di Malaysia ada juga diadakan majlis perkahwinan beramai-ramai yang ditaja oleh Jabatan Agama misalannya. Namun sekarang ini sudah tiada berita mengenainya. Majlis perkahwinan beramai-ramai seperti ini boleh dicontohi dan diteruskan di Malaysia untuk membantu pasangan-pasangan yang tidak ada kemampuan kewangan untuk berkahwin.

Friday, July 25, 2008

Kofte Kebab

Business Trip. Istanbul - Jun 2008

Sudah agak lama saya tidak menulis tentang pengalaman berada di luar negara samada ketika belajar atau ketika mengendalikan pakej pelancongan. Semalam saya menerima e-mel dari seorang yang dikenali dengan Kak Haslina bertanyakan tentang pakej lawatan ke Jordan, Syria dan Turki selama 14 Hari 12 Malam. Selepas menerima e-mel dari beliau saya mula menyemak semula fail tentang harga dan segala urusan berkaitan termasuk harga hotel, pengangkutan dan makanan pada ketika ini di ketiga-tiga buah negara tersebut untuk mendapatkan harga terbaik untuk beliau.

Dengan kerja-kerja yang dilakukan ia mengingatkan aku semula kenangan-kenangan di sana dan kembali 'menyelongkar' folder-folder gambar yang sudah mencapai puluhan ribu keping dan mencari idea untuk menulis di sini.

Entry kali ini mengenai makanan di Turki. Lebih khusus lagi iaitu makanan yang dikenali dengan Kofte disebut juga Kofte Kebab (Turkish Meatball) yang menjadi makanan kegemaran saya. Kofte bukan sahaja terkenal di Turki malahan di beberapa negara lain seperti di Timur Tengah dikenali dengan Kuftah dan di India dikenali dengan Kofta dengan pelbagai jenis seperti shahi aloo Kofta dan Malai Kofta. Dinegara-negara lain mungkin ia mudah dikenali dengan meatball membezakannya mungkin pada bahan yang dicampur bersama daging.

Kofta/Kuftah/Kofte dibuat dengan daging kambing atau lembu yang dihancurkan kemudian dicampur dengan bawang, daun parsley, daun pudina serta beberapa herba dan rempah. Namun, ada sesetengah 'versi' kofte digaul bersama buah tomato dan bahan-bahan lain yang saya pun tidak ketahui. Kebiasaanya adunan ia diuli dan dibuat bentuk bulat dan ada juga yang di grill dalam bentuk leper. Dalam pada itu ada juga Kofte yang tidak menggunakan daging tetapi dibuat dengan kentang atau kacang parpu.

Di Turki terdapat banyak 'versi' Kofte. Antaranya ialah Cig Kofte (Raw Kofte) yang terkenal di kawasan Barat Laut Turki seperti SanUrfa, Odun Kofte, Islama Kofte, Kadinbudu Kofte dan lain-lain lagi.

Dalam kesemua kofte yang ada, saya amat mengemari Kofte Kebab yang di grill. Apabila berada di Istanbul saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke sebuah restoran yang terletak di Aksaray District (restoran berdekatan dengan Pamukkale Travel & Tours). Harga sepinggan Kofte (daging serta kentang, cili, bawang di goreng) ialah 4YTL (RM 10.60). Kebiasaan Kofte dimakan dengan roti (sandwich) dan boleh juga di order dagingnya sahaja.

Kebiasaan apabila di Istanbul saya memilih makan di Aksaray adalah kerana di kawasan ini makanan lebih murah berbanding di kawasan lain malahan bagi saya makanannya lebih enak. Jika makanan lain seperti hidangan nasi dan lauk satu set di Sultan Ahmet atau di kawasan lain mencecah 10YTL tetapi di Aksaray boleh makan nasi dan lauk dengan harga 6YTL (USD 1 bersamaan 1.2YTL). Di kawasan Taksim harga lebih kurang sama dengan harga di Sultan Ahmet ( 3 kawasan tumpuan di Istanbul- 1. SultanAhmet 2. Taksim 3. Aksaray)

Kofte di grill dan di makan bersama cili, kentang, bawang, terung dan beberapa bahan lain yang digoreng
(bahan-bahan yang digoreng boleh dipilih)


Pelbagai jenis lauk dan nasi (resepi orang Turki). Harga di Aksaray Nasi 1.5-2YTL mengikut jenis (berempah atau tidak)
dan setiap jenis lauk berharga 4YTL


Grill Kofte 4YTL, Nasi 2YTL, Lauk 4YTL dan Pepsi 1.5 YTL, Roti Free. Jumlah kesemua 11.5YTL (RM30.60)

Jika anda berpeluang ke Turki, jangan lupa mencuba makanan ini. ")

Wednesday, July 23, 2008

Travelogue 'Sepurnama Bergelandangan'

Entry kali ini saya ingin mempromosikan blog kawan yang saya kenali setahun yang lalu di Jordan iaitu Usop@talam kuning yang kini sedang menuntut dalam bidang Perubatan di Odessa, Ukraine. Blog yang sedang beliau tulis bersama Yeop@djambu puadovich menceritakan pengembaraan mereka ke 10 buah negara di Eropah yang bermula di Odessa Ukraine dan akan kembali ke Odessa semula dalam tempoh sebulan. Pengembaraan mereka berdua telah bermula pada 20 Julai 08. Semoga perjalanan mereka pergi dan balik dilindungi Allah.

Ikuti kisah pengalaman mereka menjelajah ke 18 buah kota dalam 10 buah negara di Eropah (update setiap hari di bandar-bandar yang mereka jejaki)

SEPURNAMA TRAVELOGUE


Bersama Usop (berbaju putih) di Jabal Matal sewaktu menemani beliau dalam pengembaraannya di Jordan pada Ogos 2007

Kenangan di Pantai Timur

Alhamdulillah saya dan isteri selamat tiba di Ipoh awal pagi semalam dengan menaiki bas Ekspress Utama dari bandar Kemaman. Sepanjang 4hari 3malam berada di pantai timur banyak juga pengalaman baru yang dapat termasuk berjalan-jalan ke beberapa destinasi di Kemaman dan Kuantan.

Gambar-gambar kenangan sepanjang berada di pantai timur.


Di majlis kenduri Zaid pada hari kedua di Kemaman (19 Julai 2008)
Majlis berlangsung dengan meriah. Gambar-gambar lain boleh ditelek di blog Emak Zaid iaitu Makcik Ina
di silversarina.blogspot.com

Pertama kali makan otak-otak, pais, satar, nasi air dan sotong goreng bersalut tepung di Restoran Otak-otak Che Wan berdekatan Pantai Teluk Mak Nik, Geliga.

Batik Terengganu di tingkat bawah The Store Kemaman

Gua Charas di Panching, Pahang
Gua Charas menjadi tumpuan para arkeologi dan geologi kerana keunikkan bentuk muka buminya dan kesan tinggalan sejarah yang ada. Di kawasan tersebut terdapat juga Gua Gajah, Gua Buddha, Gua Tiga Beradik, Gua Puteri Bersikat, Gua Pecah, Gua Batu Nisan Raja, Gua Lubang Dalam dan Gua Lubang Hidung

Muzium Sungai Lembing menyimpan sejarah khazanah perlombongan bijih timah di kawasan tersebut. Sungai Lembing suatu ketika dahulu merupakan kawasan terkaya dalam pengeluaran bijih timah di Pahang dan merupakan kawasan galian bijih timah kedua terbesar di dunia selepas Bolivia

Kawasan hutan lipur dan air terjun Sungai Pandan atau dikenali juga dengan air terjun Panching

Saturday, July 19, 2008

Ganu Kite!

Alhamdulillah saya dan isteri selamat tiba di bandar Kuantan pada jam 4.35 petang setelah menempuh perjalanan lebih 7 jam dari Ipoh. Dalam fikiran saya bas ekspress Utama dari Medan Gopeng Ipoh akan terus bergerak dari Susur keluar PLUS Simpang Pulai terus menuju ke Kuala Lumpur tetapi bas singgah di Kampar, Tapah, Bidor dan Tanjung Malim untuk mengambil penumpang.

Hujan lebat turun ketika bas melalui kawasan Lanchang dan berhenti di Temerloh untuk menurunkan penumpang. (Route Bas Ipoh-Temerloh-Kuantan). Alhamdulillah saya dan isteri selamat tiba di Kuantan. Zaid dan isterinya sudah menunggu kami di Terminal bas Kuantan.

Keadaan sesak di Kuantan membuatkan perjalanan ke Kemaman berlaku sedikit kelewatan. Kami tiba di rumah Zaid jam 8.15 malam setelah berhenti solat asar Jamak Takhir di Masjid Sungai Ular.

Suasana di rumah Zaid sudah sibuk dipenuhi saudara mara untuk persediaan kenduri esok. Setelah makan malam kami ke tempat penginapan yang telah di sewa oleh keluarga Zaid iaitu di Seri Tempurung Homestay terletak tidak jauh dari rumahnya di Bandar Baru Bukit Mentok.

Seri Tempurung Homestay

Pertama kali tiba di Terengganu terasa teruja untuk berjalan-jalan dan melihat keindahan di bumi pantai timur Malaysia ini. Esok selepas selesai kenduri di rumah Zaid bolehlah merancang berjalan-jalan di Terengganu sehari dua sebelum bertolak balik ke Ipoh.

Thursday, July 17, 2008

Harga minyak yang menekan!

Sekarang musim makan durian. Semalam balik kampung di Parit Buntar ada juga durian dari dusun di Relau, Pulau Pinang yang dihantar oleh keluarga yang pergi mengutip sehari sebelumnya. Saya dan isteri sudah tak larat nak makan kerana asyik dok melantak durian sahaja di Ipoh dan baru-baru ini di Tapah. Tambahan Usop@Talam Kuning dah pesan.. "Jangan makan banyak sangat durian Ust Jimin, nanti High Kolestrol"

Sempat sehari sahaja balik ke kampung di Parit Buntar ziarah emak ayah dan terpaksa balik ke Ipoh sehari selepasnya kerana isteri ada tugas dan kami perlu ke Medan Gopeng untuk mencari tiket bas ke Kemaman untuk memenuhi jemputan kenduri sahabat baik saya Zaid. Emak ayah Zaid Makcik Ina@silversarina dan Pakcik Anuar saya sudah anggap macam keluarga sendiri.

Musim-musim kos hidup semakin melambung tinggi ini menaiki bas/pengangkutan awam adalah jalan terbaik untuk jimat duit. Kalau dikira-kira kos dari Ipoh nak ke Kemaman sekarang ini duit minyak dan tol rasanya sudah menjangkau RM1000. Isi minyak RM50 baru dapat 18.5 Liter. Belum masuk nak beli barang-barang dan nak singgah-singgah makan lagi. Semuanya kena fikir masak-masak. Kalau main belanja saja memang 'parah' jadinya.

Malam ini program Solat Hajat dan berbuka puasa akan diadakan di Stadium Ipoh dan disusuli dengan ceramah oleh MB Perak dan Ust Ahmad Awang selaku Pesuruhjaya PAS Negeri. Program kali ini saya tidak dapat sertai kerana berada di K.L untuk beberapa urusan dan mahu ke Lowyat untuk mengambil HDD saya yang telah rosak 2 tahun lalu yang berjaya 'dipulihkan' segala dokumen di dalamnya oleh seorang rakan yang bekerja di Sri Comp iaitu Amin. Amin pernah mengambil Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Programming Comp dan kini beliau mengambil Diploma di UM dalam Bidang Syariah. Amin seorang yang mesra dan mudah bermuamalah serta mahir dalam selok belok komputer.

Bas ke K.L lagi sejam (sempat aku menulis entry ini). Tambang pergi dan balik baru RM30. Kalau drive kereta sendiri pergi dan balik minyak dan tol kurang-kurang habis RM200 dari Ipoh-K.L-Ipoh

Sedih, negara pengeluar minyak, tapi rakyat hidup tertekan dengan harga minyak yang mahal. Buatla debat, rencana, bloggers menghentam kerajaan dalam blog masing atau apa jua perarakan/demontrasi diadakan.. harga minyak bukan boleh turun pun! Harta negara terus dirompak oleh mereka-mereka (Pemimpin Haprak UMNO dan BN). Rakyat perlu bersatu TUKAR KERAJAAN!.. InsyaAllah amanah negara akan dijaga oleh mereka yang lebih layak.

Ok. Beransur dulu. Wassalam.