Wednesday, February 13, 2008

Kembara Syria- Episod III

Noria & Aqueduct, Hama 6.30 malam- 5 Februari 2008

Perjalanan dari Homs ke Hama hanya memakan masa 35 minit. Hama bersempadan dengan Muhafazah Homs, Idlib dan Lazzakiah. Jarak antara ibu negara Syria iaitu Dimasqh ke muhafazah Hama ialah sejauh 209 km dan 138 km untuk ke bandar Halab di muhafazah paling utara negara Syria.

Kami tiba di bandar Hama tepat jam 6.00 petang. Sementara menunggu saya menguruskan hotel, peserta-peserta lain menunggu di kawasan berhampiran Noria (Wodden Water Wheel). Kami bermalam di Hotel Cairo berdekatan Menara Jam Lama bandar Hama. Hotel Cairo pernah menerima pujian di dalam buku Syria-Lonely Planet di mana ia antara bajet hotel yang bersih di Hama dan tuan punya hotel yang mesra serta mudah berurusan.

Hotel Cairo, Hama

Setelah berehat hampir sejam di hotel, kami keluar makan malam di Restoren Barudda yang terletak berhampiran hotel. Menunya Chicken Broasted dan Nasi serta sedikit Salad. Selepas makan malam, semua berminat untuk melihat suasana malam bandar Hama di kawasan berdekatan Hotel.

Kami peserta lelaki sempat menikmati Avokato di sebuah kedai menjual Air Jus. Avokato mirip kepada minuman Koktail cuma ia dicampur dengan buah Avocado dan buah Kaka. Kebiasaan Koktail ditambah dengan hirisan buah-buahan tetapi Avokato ditambah dengan Kacang Pistachio, Badam dan Jagus serta Madu di atasnya. Memang sedap. Secawan hanya 65 Lira Syria.

Malam itu sebelum melelapkan mata, aku sempat melayari internet di hotel. Sejam dikenakan bayaran 75 Lira Syria.

Keesokan pagi, seawal jam 6.30 pagi sudah ada peserta yang turun untuk sarapan pagi. Sarapan pagi itu ialah roti dengan mentega, Cheese, Jem dan Telur Rebus. Ruang makan yang agak sempit menyebabkan peserta yang lewat terpaksa menunggu meja dikosongkan.

7.30 pagi, semua sudah berkumpul di coaster untuk bergerak ke kawasan Noria iaitu kincir air lama yang amat terkenal di Hama.

Sejarah Hama
Hama dikenali sejak Zaman Besi sebagai Hamath. Ketika era Greek ia dikenali dengan Epiphania dan Emath ketika penguasaan Byzantium. Bandar ini dipercayai dihuni sejak 5000 sebelum masihi dan pernah dikuasai oleh Seleucid, Rum dan kerajaan Islam. Kawasan ini juga pernah diperintah oleh Nabi Sulaiman a.s dan diserang oleh kerajaan Assyrian pada tahun 720. Kerajaan Ayyubiah, Mamluke dan Turki Uthmaniah menjadi kerajaan yang memerintah sejak kurun ke-12. Hama moden telah diistihar sebagai sebuah muhafazah di bawah pemerintahan kuasa Si Singa.

Pemandangan salah satu kincir air berusia lebih 600 tahun di Hama
dan Sungai 'Asi yang berpunca di Lebanon melalui Syria dan berakhir di Turki


Berdiri dari kiri: Fudhail, Fakhrudin, Ifwat, Shafiq
Duduk dari kiri : Nik Hadi, Faiz
(6 orang peserta lelaki yang menyertai Kembara Syria-Winter 2008)


Norias (Wodden Water Wheels)
Bandar Hama menerima jolokan sebagai bandar Nawa'ir. Iaitu bandar Kincir Air. Di tengah-tengah bandar Hama terdapat 17 buah kincir air lama yang masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Antara kincir air yang terkenal ialah Kincir Air Al-Muhammediye yang dibina pada tahun 1361 Hijrah. Tarikh pembinaan tersebut dicatat pada Aqueduct (saliran air lama). Kincir Air yang terbesar mencapai size 20 meter in Diameter.

Kesemua kincir-kincir air ini berada di laluan Sungai Orentos atau dikenali dengan Nahar 'Asi di dalam bahasa Arab. Sungai ini berpunca dari negara Lubnan melalui negara Syria dan berakhir di negara Turki. Antara kincir-kincir air yang terkenal ialah Al-Mamuriye (1453), Al-Kaddoura (1520), Al-Dahshah dan Al-Jaabariyeh yang terletak berhampiran Masjid Nuruddin Zinki yang dibina pada tahun 1163 masihi.

Kincir-kincir air ini dibina bertujuan untuk mengalirkan air ke kawasan pertanian berabad yang lalu. Pada kincir air tersebut terdapat timba yang berfungsi untuk mengaut air dari Nahar 'Asi dan dimasukkan ke Aqueduct untuk disalirkan ke kawasan lain.

Kami sempat melawat sebuah kincir air lama berhampiran Art Gallery (Painting's Exhibiton) dan bergambar kenangan di kawasan tersebut.

Antara lukisan yang dipamerkan di Art Gallery (Painting's Exhibiton), Hama

Tuesday, February 12, 2008

Kembara Syria- Episod II

Baghdad Cafe, 90km dari Palmyra

Keadaan seawal 6.30 pagi 5 Feb di Halbouni masih tenang dari kebisingan dan kesibukan manusia.


Ketika saya turun di lobi hotel Hamraa pada jam 6.15 pagi, 3 orang peserta sudah sedia menunggu. Memang mereka menetapi masa yang ditetapkan oleh penganjur malam hari sebelumnya. Jam 6.00 pagi semua harus berada di bawah, perjalanan di hari kedua akan mengambil masa yang jauh. Namun, hanya mereka bertiga dan bakinya masih bersiap di bilik penginapan. Apa yang boleh dipuji, masa tidak terlalu lewat untuk memulakan pengembaraan di hari kedua Kembara Syria, kesemua peserta berkumpul sebelum jam 7 pagi dan memberi kerjasama yang baik.

Seawal pagi, saya sudah mula mencari Baqalah untuk membeli makanan ringan dan air minuman. Urusan pasport dan bayaran hotel telah saya selesaikan sebelum itu. Kebetulan terdapat satu kedai runcit berhampiran hotel yang buka awal pagi. Ketika aku tiba di coaster setelah selesai membeli, semua peserta sudah berkumpul.

Perjalanan di hari kedua Kembara Syria menuju ke Badiyat Sham. iaitu kawasan Timur negara Syria. Lokasi yang telah dikunjungi ialah Kota Tadmur atau dikenali sebagai Palmyra. Perjalanan dari Dimasqh ke Tadmur memakan masa hampir 3 jam iaitu sejauh 240 km.

Dari Halbouni, coaster terus bergerak ke Shariq Thawrah dan terus ke Masakin Barzeh untuk membeli sarapan. Dari situ, coaster terus bergerak ke Harasta untuk mengambil Lebuhraya Dimasqh-Homs dan selepas 30km jarak dari Harasta terdapat persimpangan jalan menuju ke Tadmur.

Jalan utama ke Tadmur agak sibuk dengan lori kontena. Ini disebabkan jalan tersebut juga merupakan laluan utama ke Tanif iaitu sempadan negara Syria dan Iraq. Jalan raya tersebut juga merupakan jalan utama dari Dimasqh menuju ke Deir Zor iaitu sebuah muhafazah yang terletak di kawasan paling Timur negara Syria. Rata-rata peserta mengambil peluang melelapkan mata dalam perjalanan yang agak jauh itu. Tidak kurang juga yang bermenung jauh.

Kami berhenti rehat di Baghdad Cafe, sebuah restoran istirehat yang terletak 90km sebelum tiba di Tadmur. Masa 35 minit di situ dihabiskan oleh peserta untuk bergambar kenangan dan beristirehat sebelum perjalanan diteruskan.

Sejam perjalanan dari Baghdad Cafe kami tiba di Kota Tadmur. Kesan tinggalan kota Tadmur di tengah-tengah padang pasir jelas kelihatan apabila coaster mula memasuki Wadi Al-Qubur dan melalui Hotel Sham di Tadmur.

Kota Tadmur
Kota Tadmur melalui pelbagai zaman dan ia menjadi antara kota penting pada setiap zaman yang memerintahnya. Ia pernah diperintah oleh Greek, Sasanid, Rum, Byzantium dan Zaman Ayubid. Kota ini terkenal dengan gelaran kota Zenobia iaitu seorang Permaisuri yang pernah memerintah dan menguasai kota ini iaitu ketika zaman Sasanid dari Parsi.

Ibrahim Kassim sedang memberi penerangan di Temple Of Bel, Palmyra
(Peserta kusyuk mendengar penerangan)

Lokasi pertama yang telah kami kunjungi di kota Lama Tadmur ialah Temple Of Bel. Di situ kami dipandu oleh Ibrahim Kassim seorang tour guide yang mahir dengan sejarah kota lama Tadmur. Hampir 45 minit kami di bawa mengelilingi Temple Of Bel dan penerangan yang diberikan amat tepat sepertimana maklumat yang pernah aku baca dari buku Monumen Of Syria oleh Ross Burns.

Temple Of Bel turut membuktikan kerajaan Islam telah tiba di Tadmur dan pernah menawan kota padang pasir tersebut. Bel ialah tuhan Semitik dan ia menjadi rumah ibadat Greek sebelum kedatangan Rum. Ketika era Rum dan Byzantium, kuil tersebut telah dijadikan rumah ibadat Rum dan gereja ketika penguasaan Rum Timur iaitu kerajaan Byzantium.

Ketika era Sallehuddin Al-Ayubi, kuil dan gereja tersebut telah ditukar menjadi masjid. Terdapat kesan mihrab (petunjuk arah kiblat) telah ditambah di kuil tersebut.

Temple Of Bel yang pada asalnya kuil dan gereja telah diubah menjadi sebuah masjid
ketika zaman Sallehudin Al-Ayubi. Kelihatan mihrab petunjuk arah kiblat.


Setelah selesai melawat Temple Of Bel, kami bergerak menuju ke gerbang utama kota Palmyra. Di kawasan tersebut masih terdapat 2 buah kuil lama bangsa Greek iaitu Temple Of Nebo dan Temple Of Baal Shamin. Di kawasan utama itu juga menempatkan teater, nymphaeum (kolam pancutan air awam), beberapa rumah ibadat lain, Diocletian Camp dan perkuburan lama di kawasan Wadi Al-Qubur.

Berhampiran dengan Kota Lama Tadmur, terdapat juga sebuah kota pertahanan yang dibina ketika era penguasaan Islam. Kota tersebut dikenali dengan Qala'at Ibn Ma'an. Ia dibina di akhir kurun ke-13 dengan 7 buah menara telah dibina.

Bergambar kenangan di hadapan The Arch Of Triumph, Palmyra

Tadmur ke Homs
Dari Tadmur, kami bergerak menuju ke bandar Homs. Perjalanan sejauh 190km melalui dataran padang pasir Timur Syria. Kami melalui beberapa perkampungan kecil sepanjang jalan menuju ke bandar Homs iaitu Attyas, Jabab Hannoreh, Umm At-Tababier dan Frouqlus.

Kami selamat tiba di Homs sekitar jam 1.30 petang. Lokasi pertama yang dikunjungi ialah Masjid Khalid Al-Walid. Di masjid tersebut ditempatkan 3 makam sahabat iaitu Khalid ibn Walid, Abd Rahman ibn Khalid dan Ubaidillah bin Umar Al-Khattab. Homs pernah menjadi kawasan yang didiami oleh ramai sahabat. Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, sahabat ramai berhijrah ke Syam iaitu di Dimasq, Homs dan sekitarnya. Pada tahun 16 Hijrah, Khalid Al-Walid telah membuka kota ini dan 5 tahun selepas itu iaitu pada tahun 21 Hijrah, Khalid Al-Walid telah wafat di daerah yang pernah dibukanya.

Masjid Khalid ibn Walid di bandar Homs

Makam anak Jaafar bin Abi Talib berdekatan Bab Dreib, Homs

Sebelum bergerak ke Hama, kami juga telah menziarahi Makam Khalifah Umar Abd Aziz. Namun pada ketika ini, kerja-kerja membaikpulih masjid sedang dijalankan dan kami tidak dapat masuk ke kawasan makam. Ada yang berpendapat, ia bukanlah kawasan di mana Umar Abd Aziz dikebumikan. Ramai yang mengatakan makam sebenar beliau adalah di Dimasq. Iaitu sebuah kawasan yang tidak dijaga terletak berhampiran Bab Sreijei. Terdapat sebuah lagi Makam Khalifah Umar Abd Aziz di Maarat Nu'man, sebuah kawasan yang terletak di dalam perjalanan ke Halab.

Kami juga telah menziarahi Makam anak Jaafar Abi Talib iaitu Abdullah dan Ubaidillah yang terletak berhampiran di kawasan Bab Dreib. Berhampiran dengan Makam tersebut terdapat Makam Kaab bin Ahbar. Kaab adalah Tabiin yang memeluk Islam ketika Zaman Abu Bakar. Beliau seorang yahudi dari Yaman dan wafat di Homs ketika berumur 104 tahun.

4.30 petang kami bertolak dari Homs menuju ke muhafazah Hama.

Monday, February 11, 2008

Kembara Syria- Episod I

Masjid Umari di Kota Lama Bosra, Selatan Syria.
Tapak asal masjid ini merupakan Kuil Rum dan Gereja Byzantium yang telah diubah menjadi
masjid ketika penguasaan kerajaan Islam. Masjid ini telah diubahsuai pada tahun 506 Hijri



Coaster mula meninggalkan bandar Mu'tah pada jam 5.40 pagi. Lewat satu jam 10 minit dari masa yang tercatat di kertas. Cuaca pagi di Mu'tah pada hari tersebut amat memedihkan kulit. Sejuk yang amat sejuk.

Abu Basil dan Coasternya
Abu Basil. Atau nama penuhnya Naseer Abd Rabbah 'Udah Ash-Shamasein dari kabilah Al-Khirseh
menjadi orang terpenting dalam pengembaraan kali ini. Coaster Toyota keluaran 2005 kepunyaannya telah kami sewa untuk penjelajahan5 hari ke bumi Syria. Jika komunikasi dengannya baik, maka lancarlah kembara kali ini. Jika sebaliknya, banyaklah 'pantun-pantun' terpaksa direka.

Mu'tah menuju ke Irbid

Perjalanan dari Mu'tah ke Tariq Sahrawi memakan masa hampir 35 minit. Lebuhraya Qatranah
menuju Karak sudah hampir siap sepenuhnya. Projek lebuhraya yang sudah hampir 3 tahun berjalan bakal memberi kemudahan perhubungan yang baik ke muhafazah Karak. Walaupun sudah hampir setahun melihat tulisan Tahwilah pada pertengahan lebuhraya, namun projek terus berjalan dan kini ianya hampir siap. Siap dan diberikan percuma kepada rakyat Jordan khususnya Karakian untuk 'menikmatinya'.

Dari persimpangan Qatranah coaster terus menuju ke bandar Amman. Abu Basil berhenti sebentar
di Daba'a atau dikenali dikalangan pelajar Malaysia sebagai Jabal Qahwah. Di kawasan tersebut terkenal dengan gerai-gerai di tepi jalan yang menjual minuman panas iaitu Teh dan Kopi. Abu Basil 'pekena' kopi pekat untuk memberi 'kesegaran' pada mata dan tubuhnya.

8.50 pagi coaster tiba di Duwwar Kubah, Irbid. Disitu 6 orang peserta kembara Syria dari
Irbid sudah sedia menunggu. Lengkaplah peserta kembara Syria seramai 16 orang bersiap sedia untuk memulakan pengembaraan ke bumi Syria. Setelah 10 minit berada di Duwar Kubah, coaster mula bergerak meninggalkan bandar Irbid menuju ke Ramtha.

Ramtha merupakan pekan kecil yang terletak di dalam muhafazah Irbid. Ia merupakan liwa' besar selain Liwa' Kurrah dan Liwa Bani Kinanah' yang berada di dalam Irbid, utara Jordan. Ramtha menjadi laluan penting yang menghubungkan negara Jordan dan Syria (Old Border). Sebelum kewujudan sempadan Baru Jaber-Naseeb, Ramtha satu-satunya sempadan yang ada untuk menyeberang ke tanah Syria.

Tasrih Coaster

Untuk memasuki negara Syria dengan kenderaan umum biasa dari Jordan, Beberapa urusan perlu
diselesaikan di Hai'ah Tanzim Qataa' Alnaqlil Am atau Public Transport Regulatory Commission (PTRC) di Jordan. Pemandu perlu mendapatkan pelepasan yang dikenali dengan Tasrih Li Safarah Wahidah Kharij Balad. Surat tersebut telah dimohon 3 hari sebelum perjalanan dan sudah siap semuanya.

Apabila tiba di sempadan Ramtha-Dera'a, kami terpaksa berpatah balik dan menuju ke sempadan
Jaber-Naseeb. Ini adalah kerana, pelepasan keluar dari Jordan hanya dibenarkan menggunakan sempadan Jaber dan ianya tertulis dengan jelas di Tasrih Li Safarah Kharij Balad. Perkara ini bukanlah tidak diketahui, sedangkan sudah 3 kali sebelum ini perjalanan ke Syria melalui Ramtha dengan Tasrih jelas tertulis perlu melalui sempadan Jaber. Namun kali ini, terpaksa akur dengan keputusan polis iaitu seorang yang berpangkat besar yang berada di pintu masuk kenderaan di sempadan.

Kami terpaksa berpatah balik ke Ramtha dan terus menuju ke Jaber yang berada di dalam muhafazah Mafraq. Perjalanan sejauh 30km dari Ramtha ke Jaber amatlah lembab dengan Abu Basil memperlahankan perjalanan dengan mulutnya tidak berhenti menghisap rokok.

Urusan di sempadan Jaber (Imigresen di Jordan) amatlah mudah. Begitu juga dengan urusan daftar kenderaan, cukai kenderaan dan insurans. Kurang dari 30 minit semua pasport sudah selesai bercop keluar dari negara Jordan melalui Hudud (sempadan) Jaber. Urusan masuk ke negara Syria juga mudah (di sempadan Naseeb). Tambahan lagi hubungan diplomatik Malaysia-Syria amatlah baik. Rakyat Malaysia pula diberi keistimewaan tanpa dikenakan bayaran visa untuk masuk ke negara Syria. Hanya 4 buah negara yang tidak dikenakan bayaran visa iaitu Malaysia, Yugoslavia, Macedonia dan Korea Utara. Selamat tidak menjadi warganegara Republic Congo, kalau tidak USD 256 perlu dibayar untuk mendapatkan visa.

Pengembaraan di Syria bermula
Alhamdulillah, setelah melayan karenah Imigresen di kedua-dua negara, kami selamat masuk ke
negara Syria pada jam 11.40 tengahari.

Misi pertama pengembaraan adalah ke kota Bosra yang
terletak kira-kira 42 km dari sempadan Naseeb. Sebelum bergerak ke Bosra, kami telah pergi ke bandar Dera'a iaitu sebuah muhafazah yang berada di kawasan paling selatan negara Syria. Di Dera'a kami mendapatkan makanan tengahari. Makanan istimewa tengahari tersebut ialah Ayam Broasted dari restoran yang sering menjadi tumpuan di Dera'a.

Misi mencari minyak disel
Perut kami sudah berisi dengan ayam broasted yang amat sedap namun perut bas belum diisi
dengan minyak pada ketika itu. Sesahihnya untuk mendapatkan disel di negara Syria amatlah sukar.

Dua keadaan kebiasaanya apabila melihat stesyen minyak.
1. Stesyen tersebut kosong
dengan kenderaan tanda tiada minyak
2. Kenderaan beratur panjang untuk mendapatkan minyak.


Sepanjang perjalanan dari Dera'a ke Bosra, 7 buah Stesyen minyak kosong tanpa
kenderaan disebabkan tiada bekalan minyak. Kami tiba di Bosra dan terdapat sebuah stesyen minyak yang sesak dengan kenderaan. Setelah menghantar kami di kawasan sejarah Bosra, Abu Basil berpatah balik ke stesyen minyak. Jaraknya tidak jauh, hanya 3 km.

Kesan Sejarah di Bosra

Lokasi sejarah yang menjadi lawatan kami di hari pertama ialah kota Bosra. Kota Bosra
merupakan kota yang amat terkenal dan berpengaruh besar suatu ketika dahulu. Kota ini terletak di jalan laluan perdagangan yang menghubungkan Resafa dan Memphis. Laluan tersebut dikenali dengan Shariq Muluki atau King's Highway.

Bosra pernah menjadi pusat perdagangan yang penting suatu ketika dahulu. Dengan sebab ini
juga Rasulullah S.A.W pernah dua kali tiba di Bosra. Kali pertama ketika berumur 12 tahun dan kali kedua ketika berumur 25 tahun.

Kota ini menyaksikan penguasaan beberapa kerajaan
besar seperti Nabatean, Rum-Byzantium dan kerajaan Islam. Kota Bosra ini turut menyaksikan Khalid Al-Walid membukanya pada tahun 13 hijrah. Antara kawasan tumpuan kami di kota Bosra ialah Teater Rum, Masjid Umari dan Masjid Mabrak Annaqah.

Masjid Umari telah menyaksikan bahawa tapak asal kuil Rum dan Gereja Byzantium
telah diubah menjadi sebuah masjid pada zaman penguasaan Islam. Rekabentuk Kuil Lama dan Gereja masih jelas kelihatan namun ia telah diubah menjadi masjid dan masih kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Masjid Mabrak Annaqah pula mencatat sejarah di kawasan tersebut Rasulullah S.A.W
berada ketika datang ke Bosra bersama kafilah pedagang bapa saudaranya iaitu Abi Talib. Di dalam masjid Mabrak Annaqah terdapat kesan lutut unta pada sebuah batu. Ia dikatakan unta kepunyaan Rasulullah S.A.W dan kafilah pedagang yang lain.

Coaster Lewat

Kami memilih untuk solat Jamak Takhir di Masjid Umari Kota Lama Bosra. Setelah selesai, saya
memohon jasa baik Ifwat untuk membawa rakan-rakan lain ke Masjid Mabrak Annaqah dengan sebab saya perlu berada di Teater Rum untuk menunggu Abu Basil selesai mengisi minyak. Dan dari kawasan teater saya akan menunjuk jalan untuk terus ke Masjid Mabrak Annaqah.

Setelah hampir
30 minit menunggu, Abu Basil tetap tidak kelihatan. Hati mulai risau jika 'orang tua' itu sesat dan tidak tahu jalan kembali ke kawasan kota ama Bosra. Saya mengambil keputusan untuk mencari Abu Basil di kawasan stesyen minyak. Kebetulan stesyen minyak berada di jalan utama Dera'a-Bosra. Saya mengambil service (van awam) Bosra ke Dera'a dengan bayaran 15 Lira untuk mencari Abu Basil.

5 minit perjalanan, saya melihat Abu Basil dengan coasternya sedang
beratur panjang untuk mendapatkan minyak. Stesyen itu adalah stesyen kedua beliau beratur. Di stesyen pertama hanya 50 Liter Disel dapat di isi. Tidak boleh diisi penuh. Dan keadaan ini memaksa Abu Basil beratur untuk kali kedua untuk memenuhkan tangki. Cukup susah untuk mendapatkan Disel di kawasan selatan Syria.

Selesai mengisi minyak pada jam 4.10 petang. Sudah lewat untuk sampai di Shahba dalam
keadaan hari cerah. Rakan-rakan peserta kembara Syria telah menunggu lama di Masjid Mabrak Annaqah. Dalam keadaan ini, biarlah mereka menunggu agak lama di kawasan Masjid tersebut berbanding menunggu lama di pertengahan jalan jika kehabisan minyak.

Peserta Kembara Syria di luar Masjid Mabrak Annaqah
(Boring menunggu coaster sampai =) )

Perjalanan diteruskan ke Damsyik dengan melalui jalan Suweida dan Shahba di pergunungan arab atau dikenali dengan pergunungan Druze. Kawasan Suweida dan Shahba majoritinya adalah dari mereka yang berpegang dengan ajaran Druze. Kami tiba di Shahba sudah lewat dan hari telah gelap. Lawatan untuk ke kota Shahba dan muzium mozaik Shahba terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan kawasan lain di muhafazah lain.

6.15 malam, kami tiba di kawasan Reef Dimasq iaitu sebuah muhafazah yang kedudukannya berada
bersebelahan dengan muhafazah Dimasq dalam keadaan mengeliling. Kami melalui kawasan Saidah Zainab dan berhenti di Masjid Saidah Zainab untuk menziarahi makam cucu Rasulullah S.A.W iaitu Zainab binti Ali.

Zainab merupakan puteri bongsu Ali Abi Talib dan Fatimah (Puteri Rasulullah S.A.W). Zainab adalah saudara kandung Hasan, Hussein, Muhsin dan Umm Kalsom.
Dari Saidah Zainab kami menuju ke Masakin Barzeh, sebuah kawasan di Reef Dimasq yang terkenal dengan Restoran Nasi Mandi Yaman. Setelah selesai makan malam di Masakin Barzeh, kami bergerak menuju ke Halbouni dan bermalam di Hotel Al-Hamraa

Makam Zainab binti Ali- Cucu Rasulullah S.A.W terletak di kawasan Saidah Zainab, Reef Dimashq

Sunday, February 3, 2008

Jordan De Tours

Kenangan bersama peserta Jordan De Tour di Wadi Rum, South Jordan

Pada 22 Januari yang lepas, Badan Kebajikan Mahasiswa Negeri Sembilan Jordan (BKMNS) telah menganjurkan lawatan ke beberapa lokasi menarik di Jordan selama 3 hari. Program ini dinamakan Jordan De Tour dan disertai oleh 30 orang peserta dari Universiti Mu'tah, Al-albayt, Yarmouk dan JUST.

Pihak BKMNS telah berurusan dengan HZ Travel & Tours untuk mengendalikan lawatan ini.

Antara lokasi menarik yang telah di lawati selama 3 hari ialah Qasr Kharranah, Qasr Amrah, Gua Ashabul Kahfi, Mount Nebo, Petra, Wadi Rum dan Aqabah. Lawatan yang dianjurkan kali ini merangkumi lawatan di kawasan tengah dan selatan negara Jordan.

Pada hari pertama lawatan, salji turun dengan lebatnya di ibu negara Jordan. Padang pasir Jordan iaitu di kawasan Kharranah dan Amrah turut menerima salji yang lebat pada hari tersebut. Menurut penjaga lokasi sejarah Kharranah, salji tidak turun di kawasan tersebut sejak 20 tahun yang lalu. Hari kedua juga dimulakan dengan cuaca yang amat dingin dan Petra pada hari tersebut hujan. Hari terakhir cuaca di Selatan Jordan cerah dan aktiviti pengembaraan di Wadi Rum berjalan dengan lancar. Begitu juga di Aqabah keadaan cuaca cerah namun angin dingin musim sejuk terasa ketika hari hampir gelap.

Alhamdulillah, Jordan De Tours telah berakhir dengan jayanya.


Salji di Eastern Desert Jordan


Mount Nebo, Madaba

Monday, January 21, 2008

The Hashemite Kingdom Of Jordan

Raja-raja yang pernah memerintah Jordan dari kiri Raja Abdullah bin Hussein bin Ali,
Raja Talal bin Abdullah bin Hussein,
Raja Hussein bin Talal bin Abdullah
paling kanan ialah Raja Abdullah bin Hussein bin Talal yang memerintah Jordan sejak 07 Februari 1999

Hashemite Kingdom of Jordan atau ringkasnya dikenali sebagai JORDAN merupakan negeri kecil berkeluasan 92,300 km persegi yang terletak di Barat Laut Arab Saudi. Iraq terletak di timur dengan panjang sempadan negeranya 181km, Palestin di Barat dan Syria di utara.

Jordan didiami oleh 6,053,193 orang penduduk (statistik Julai 2007) dengan majoriti penduduknya adalah dikalangan arab. 1% dari bangsa Carcassian dan 1% berbangsa Armenia. 92% dikalangan watan adalah beragama Islam (Ahli Sunnah wal Jamaah), 6% beragama kristian (majoriti kristian dari mazhab Greek Ortodok dan terdapat juga dari kalangan Greek & Rum Katolik, Syrian Ortodok, Coptic Ortodok, Armenian Ortodok dan Protestant manakala baki 2% lagi menganut agama dan fahaman lain di antaranya Syiah dan Druze.

Negara Jordan merdeka di bawah British pada 25 Mei 1946. Jordan mengamalkan sistem kerajaan Raja Bermonarki dengan raja merupakan ketua negara dan berkuasa mutlak. Raja pertama yang memerintah ialah Raja Abdullah 1 bin Hussein kemudian diganti oleh Raja Talal bin Abdullah. Kedua-dua raja tersebut tidak lama memerintah. Raja Abdullah dibunuh kerana motif politik manakala Raja Talal hanya memerintah setahun kemudian wafat disebabkan masalah kesihatan. Raja Hussein bin Talal merupakan raja ketiga yang memerintah selama 46 tahun sejak 1953 sehingga akhir hayat beliau pada tahun 1999. Takhta raja Jordan di ambil alih oleh Raja Abdullah II bin Hussein pada 7 Februari 1999 sehinggalah ke saat ini. Kerajaan Jordan pula diketuai oleh Perdana Menteri yang dilantik oleh raja. Perdana Menteri Jordan pada ketika ini ialah Nadir al-Dahabi yang baru 3 bulan menjadi ketua kerajaan (dilantik pada 22 Novembe 2007) menggantikan Marouf al-Bakhit yang berkhidmat selama 2 tahun sebagai Perdana Menteri.

Terdapat 12 buah muhafazah atau negeri di Jordan iaitu Ajlun, Al-'Aqabah, Al-Balqa', Al Karak, Al Mafraq, 'Amman, At-Tafilah, Az-Zarqa', Irbid, Jarash, Ma'an dan Madaba. Masyarakat arab di kawasan utara terutamanya Amman adalah mereka yang berasal dari tanah Palestin. 80% penduduk Amman berasal dari Palestin dan mendapat taraf warganegara Jordan dari pemerintah di sini. Proses penghijrahan ini berlaku selepas yahudi laknatullah memasuki Palestin pada tahun 1948 dan ketika peperangan 1967 di antara Jordan dan Israel. Selepas kependudukan yahudi berlaku di Palestin, ramai rakyat Palestin berhijrah ke Jordan dan mereka disediakan khemah perlindungan dan seterusnya diberikan tanah untuk menetap. Antara kawasan utama penempatan Palestin di Jordan ialah Beqa'a, Wehdat, Sukhnah dan Marka. Penduduk asal Jordan kebanyakkan mereka berasal dari kawasan selatan iaitu Al-Karak, At-Tafilah dan Ma'an. Masyarakat badwi yang mengamalkan cara hidup berpindah randah masih terdapat dinegara ini. Dianggarkan masih ada 40,000 orang yang masih mengekalkan cara hidup tradisional lama. Mereka puak yang dihormati apabila dikaitkan dengan soal semangat kebangsaan arab.

Golongan ini memainkan peranan yang penting ketika kebangkitan arab menentang kerajaan Turki-Uthmaniah. Pengawal di raja antara golongan yang dihormati dan kebanyakkan dari pengawaldi raja adalah dikalangan Badwi. Golongan ini turut memainkan peranan yang penting dalam kegiatan pertanian dan penternakan yang menjadi sumber ekonomi utama kepada kerajaan Jordan.

Jordan menggunakan matawang Dinar atau singkatanya JOD (Jordanian Dinar). Kadar tukaran Ringgit Malaysia dan Jordan Dinar pada Januari 2008 ialah JOD 1 bersamaan RM 4.59. Ekonomi di Jordan bergantung kepada sumber utamanya iaitu pertanian dan pelancongan. Terdapat beberapa sumber galian di Jordan iaitu Fosfat (galian utama). Galian tembaga terdapat di Wadi Araba serta besi di Ajloun. Sumber Petroleum terdapat di Azraq, Ba'ir dan Umari namun ia amatlah sedikit. Gas turut ditemui dikawasan sekitar Azraq dan Ruweished yang bersempadan dengan Iraq. Hasil ekonomi turut diperolehi dari kilang Potash di Ghor As-Safi yang menghasilkan garam dari sumber Laut Mati.

Bentuk Muka bumi Jordan terbahagi kepada 3 bahagian utama iaitu Jordan Rift Valley, kawasan tanah tinggi dan kawasan dataran padang pasir. Rift Valley atau lurah gelinciran dikenalpasti bermula di Mozambique di Afrika dan berakhir di persisiran Laut Ijah di Turki. Jordan Rift Valley yang juga merupakan kawasan tanah rendah (dibawah paras laut) bermula dari Sungai Yarmouk di utara Jordan sehingga ke bandar Aqabah di Selatan. Kawasan ini turut merangkumi Laut Mati dan Wadi Araba. Jordan Rift Valley sepanjang 370 km dari utara hingga ke selatan dan bersempadan dengan tanah Palestin yang dijajah.

Kawasan tanah tinggi di Jordan merangkumi kawasan Jabal Ajlun, Jabal Balqa' (dikawasan utara), Jabal Mu'ab, Jabal Syaraat dan Jabal Jaranitiah (dikawasan selatan). Padang pasir Jordan meliputi kawasan di Timur Jordan. Dataran Luas Hasma meliputi kawasan Ras Annaqab sehingga sempadan negara Arab Saudi. Padang pasir Hamad bermula di selatan Ras-Annaqab sehingga sempadan Iraq di Barat Laut manakala padang pasir Al-Harrah seluas 11,000 km persegi bersambung dengan pada pasir Al-Harrah di selatan negara Syria.

Jordan mengalami iklim panas dan sejuk. Musim panas bermula dari Mei hingga November dan musim sejuk mulai Disember hingga April. Musim bunga dan luruh berlaku dalam jangka waktu yang singkat di antara jadual perubahan musim sejuk dan panas

Thursday, January 17, 2008

Daerah Batanea Kuno

Makam Nabi Ayub a.s di Syeikh Saad, Hauran- Syria

Kawasan Hauran merupakan dataran luas dan subur terletak di Selatan negara Syria pada ketika ini. Kawasan ini seluas 100Km dari utara ke selatan dan 70 km dari Timur ke Barat. Antara daerah yang terdapat di tanah Hauran ialah Dera'a yang merupakan salah satu negeri di Syria. Selain itu kawasan Jabal Arab Shahba dan Suweida serta kawasan Golan turut berada di dalam dataran Hauran.

Hauran dikuasai oleh Greek setelah jatuhnya Sleucid. Dataran ini pernah diserbu oleh kedatangan yahudi dan kumpulan-kumpulan Nabatean. Raja tempatan yang separa yunani telah dijatuhkan dan sebahagian besar kawasan ini jatuh dibawah kawalan arab badwi. Kawasan ini pernah ditadbir oleh Raja Herod (Raja Judea- 37-4SM). Kawasan ini kekal ditangan anak Raja Herod iaitu Philip sehingga kematianya pada 34SM. Pada 70M Bosra telah menjadi ibu kota Kerajaan Nabatean tetapi hanya mengawal kawasan selatan Hauran. Seluruh kawasan ini telah menjadi tanah milik arab pada hujung kurun ke-2.

Hauran kuno dibahagikan kepada empat kawasan.

1. Gaulanitis
[ Jaulan atau Golan- terletak di antara Dimashq/Jalan Deraa dan Bukit Golan ]


2. Batanaea
[ Nuqra- Ibu kota Deraa (Adraa Kuno) ]


3. Trachonitis
[ Ledga atau Leja- Pelarian kawasan separa hutan Barat Laut Jabal Arab ]


4. Auranitis
[ Ke semua Jabal Arab dan dataran hingga ke Bosra ]


Ada juga pendapat mengatakan kawasan utara Gaulanitis (Ituraea barat dan selatan Dimashq yang juga dikaitkan dengan Chalcis (Aanjar Moden di Wadi Beqaa) termasuk di dalam kawasan Hauran.

Pada ketika ini, Hauran telah dipecahkan kepada beberapa negeri di bawah pemerintahan kerajaan Syria Moden iaitu Dera'a, Suweida dan Quneitra. Terdapat banyak kesan sejarah tamadun terdahulu dan tamadun Islam terdapat di kawasan ini. Terutamanya, kawasan Hauran ini menempatkan Makam Nabi Ayub a.s yang terdapat di sebuah daerah kecil bernama Syeikh Saad berhampiran Saham Jaulan. Selain itu, sahabat Rasulullah Saad bin Ubadah Al-Ansari turut disemadikan di Syeikh Saad. Ulamak Mazhab Shafii yang terkenal iaitu Imam Abi Zakaria atau mashyur dengan nama Imam Nawawi turut wafat dan disemadikan ditanah kelahiranya iaitu Nawa. Daerah kecil Nawa terletak 5km dari Syeikh Saad dan berada di dalam kawasan Hauran.

Kawasan Hauran ini turut meninggalkan catatan sejarah di mana Rasulullah S.A.w pernah tiba di tanah ini. Iaitu di kawasan Bosra. Rasulullah telah mengikuti kafilah pedagang yang diketuai oleh bapa saudaranya Abi Talib ketika berumur 12 tahun. Di sinilah berlakunya pertemuan Rasulullah S.A.W dengan Buhaira yang beragama Nasrani. Di mana telah tercatat di dalam kitab Injil tentang tanda kerasulan Nabi akhir zaman pada belakang bahu Rasulullah S.A.W. Rumah Ibadat Nasrani di mana pertemuan itu berlaku masih kekal terdapat di kota Bosra dan terdapat pula kesan lutut unta yang dinaiki oleh Rasulullah pada sebuah batu yang kini dipelihara baik di Mabrak An-Naqqah iaitu sebuah masjid yang terdapat di dalam kota lama Bosra.

Bosra selain menjadi sebutan masyarakat Hijaz sebagai pusat perniagaan ia juga merupakan salah satu dari kota Nabatean dan Rum yang utama suatu ketika dahulu. Kesan tinggalan Nabatean dan Rum masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Terutamanya teater Rum terbesar di Timur Tengah. Bosra telah ditawan oleh tentera Khalid Al-Walid dalam siri pembukaan dataran Syam pada tahun 16 Hijrah.

Teater Rum Bosra

Tuesday, January 15, 2008

Iraq Al-Amir

Atas : Qasr Al-Abd yang terdapat di Kampung Iraq Al-Amir
Bawah : Ukiran patung singa di Qasr Al-Abd


Wadi Seer merupakan sebuah perkampungan yang cantik dan unik terletak di dalam Amman Region, Jordan. Kawasannya yang subur dan menghijau berbanding kawasan lain di Jordan menjadi daya tarikan pengunjung ke kawasan tersebut. Wadi Seer dan daerah bersebelahannya yang dikenali dengan Marj Al-Hammam merupakan kawasan penempatan kaum Circassian atau dikenali dengan lidah arab sebagai Sharkashi. Kaum ini berhijrah ke tanah Jordan dari Russia sekitar tahun 1940-an dan diberi kerakyatan Jordan oleh pemerintah disini. Ketika musim bunga iaitu sekitar April dan Mei, penduduk berdekatan akan berpusu ke kawasan Wadi Seer untuk bersantai dan berkelah di sungai kecil yang mengalir dari puncak bukit ke lembah yang menghijau.

Pertama kali saya tiba di Wadi Seer ialah pada Mei 2001. Pada ketika itu tujuan utama saya ke kampung tersebut adalah untuk menjejaki sebuah kota tinggalan kerajaan Ammoniah yang terletak kira-kira 25 km dari pekan Wadi Seer. Kota tersebut dikenali sebagai Qasr Al-Abd dan terdapat pula Qasr Iraq Al-Amir berdekatanya yang diambil namanya bersempena nama kampung tersebut.

Pengembaraan solo saya pada ketika itu bermula dari pekan Suweileh dengan menaiki sebuah coaster 'buruk' yang sepatutnya sudah boleh dijadikan tukun ikan dilaut. Tambang pada ketika itu hanya 100 Fils (kini sudah meningkat 100%). Perjalanan dari Suweileh membawa saya melalui Shariq Duwwar Thamin-Suweileh. Ketika itu, sepanjang jalan disitu masih belum membangun. Hadaiq Hussein belum wujud, Jambatan menghubungkan Khalda ke Dabouq masih belum 'jumpa' projeknya. Tapak CityMall, Carefour, Mecca Mall hanya tanah kosong dan kawasan perumahan yang kini sudah 'ditolak'.

Dari Duwwar Thamin coaster akan mengambil jalan Bayadir dan terus ke Wadi Seer. Pekan kecil Wadi Seer sentiasa sibuk dengan manusia yang berpusu untuk membeli barang keperluan harian. Dari pekan kecil tersebut saya mengambil coaster untuk ke kampung Iraq Al-Amir. Tidak banyak coaster dari Wadi Seer untuk ke Iraq Al-Amir. Pada ketika itu selang 2 jam baru kelihatan coaster yang bertulis Wadi Seer-Iraq AlAmir pada 'badannya'.

Perjalanan ke Iraq Al-Amir mengambil masa sekitar setengah jam. Perjalanan menuruni bukit dan lembah hijau amat 'menyegarkan' mata. Coaster yang saya naiki berhenti berhampiran Qasr Al-Abd sekaligus memudahkan saya menjejaki kota unik pada hari tersebut. Tidak perlu saya berjumpa dengan penduduk tempatan untuk bertanyakan lokasi sejarah yang menjadi 'ingauan' saya untuk dijejaki pada hari tersebut.

Sejarah perkampungan Iraq Al-Amir bermula sejak tahun 360 sebelum masihi apabila ianya diduduki oleh bangsa Amoniah yang di pimpin oleh Tobia. Amoniah menguasai tanah Amman pada ketika itu. Di perkampungan ini terdapat 2 kesan tinggalan kota lama iaitu Qasr Al-Abd dan Qasr Iraq Al-Amir.

Qasr Iraq Al-Amir dibina pada ketinggian 494 meter dari atas laut. Panjang kota tersebut 400m manakala tingginya lebih kurang 25-30m. Kawasan pembinaan kota ini telah digali terlebih dahulu dan terletak di lembah dan gua-gua lama. Pada mulanya Ammoniah yang menetap di kawasan tersebut dan selepas itu dicerobohi oleh orang Qibti.

500m dari kota tersebut terletak sebuah kota yang dikenali dengan Qasr al-Abd yang panjangnya 38m, selebar 18m dan setinggi 14.5m. Pada dinding dibahagian Timur Laut kota ini diukir bentuk-bentuk singa dengan warna kemerah-merahan. Di dalam kota ini juga terdapat ukiran seekor singa betina dan di antara kedua kaki singa betina itu terdapat ukiran anak-anak singa.

Kota ini dinamakan Qasr al-Abd kerana putera Al-Ammoni (Tobia) ini bekerja untuk negara arab (Mesir) kerana terdapat bukti beliau memohon kuda, anjing dl ketika Ptolemus II memerintah di Mesir. (Al-Abd bermaksud hamba)

Fakta menunjukkan bahawa kota ini telah dibina oleh Herkanus pada kurun ke-2 sebelum masihi dan beliau adalah ketua kaum tobiah dan pemimpin Ammon. Kota ini unik dan tiada seumpamanya. Ia dibina dari batuan besar yang tidak terdapat sebarang binaan sepertinya di Timur Tengah. Ketulan batu tersebut ada yang mencapai 7m x 3m. Lebarnya tidak lebih dari 40cm. Namun binaan ini mendapat kerosakan teruk ekoran gempa bumi pada 362 masihi

700m dari Qasr al-Abd pula terdapat 2 buah gua yang dipahat berada di dalam dua barisan. Dahulunya ia merupakan kandang kuda, namun kini penduduk kampung menggunakannya untuk menyimpan makanan ternakan dan tempat berteduh kambing-kambing mereka. Terdapat perkataan Tobiah dalam bahasa Aramiyyah yang dipahat di salah satu pintu gua tersebut.

Satu kepuasaan hadir apabila pengembaraan menjejaki kota-kota sebegini diakhirnya memberi banyak bermanfaat dan menambahkan pengetahuan. Melihat kesan tinggalan pada kota sudah melahirkan rasa kagum pada kaum-kaum terdahulu yang hebat dari segi kekuatan dan kemahiran. Namun mereka dihancurkan disebabkan bongkak serta tidak mahu menerima ajaranNya.