Thursday, August 9, 2007

Demam Ketika Di Gunung Nemrut

Di dalam perjalanan ke Gunung Nemrut, Adiyaman (East Turkey).
Perjalanan dari Kahta menaiki van Transit ke Nemrut Dagi Milli Parki.

Sudah 3 hari aku demam. Aku cuba gagahkan langkah. Setelah membeli ubat di Selcuk, dengan kuasa Allah, aku sedikit sembuh. Namun ketika bas mulai bergerak dari Selcuk ke Aydin dan Denizli otakku sudah mula merancang ingin terus pulang ke Syria.

Kedegilan aku telah memenangi pertandingan antara pulang terus ke Syria atau meneruskan kembara di Turki.

"Rugi kalau terus balik. Mungkin aku akan sembuh sehari dua lagi" kata hatiku ketika itu.

"Jika demam masih belum sembuh, aku kena pulang juga ke Syria". Hatiku menegas.


Akhirnya perangai degilku menguasai diri ketika itu. Aku meneruskan pengembaraan ke Denizli iaitu ke Pamukkale. Aku bermalam di Hotel Aydin, Pamukkale dengan bayaran 8 Juta Lira Turki. Malam itu setelah memakan ubat aku terus tidur untuk mendapatkan rehat yang cukup.


Keesokkan paginya, setelah meninjau di Pamukkale aku terus Denizli dan dari situ aku mengambil bas ke Konya. Demam agak reda dan aku masih kuatkan semangat aku. Seharian berada di Konya dan pada malamnya aku mengambil keputusan untuk terus ke Adiyaman. Badan aku malam tersebut bertambah panas. Sementara menunggu bas ke Adiyaman aku berehat di surau Otogar Konya.

Setelah mendapatkan tiket berharga 20 Juta Lira Turki aku bergerak meninggalkan Konya jam 1.00 pagi. Destinasi perjalanan aku hendak ke Timur Turki. Aku mesti menghabiskan penjelajahan di beberapa bandar utama di Timur Turki dan Adiyaman merupakan bandar pertama aku perlu jejaki sebelum ke bandar-bandar lain. Malatya, Diyarbakir, Erzurum, Batman, Van dan Agri telah berada di dalam perancangan aku untuk tiba.
Demam masih demam.

Sepanjang perjalanan yang jauh dari Konya ke Adiyaman aku banyak tidur. Boleh dibilang dengan sebelah jari tangan berapa kali sahaja aku terjaga.

Bas berhenti di Adana dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Osmaniye, Kahramanmaras dan terus ke Adiyaman.


Aku tiba jam 11.00 pagi di Adiyaman. Sebuah bandar di Timur negara Turki. Tujuan aku ke bandar Adiyaman adalah untuk ke Gunung Nemrut yang terletak di dalam region Adiyaman iaitu di Kahta. Dengan maklumat yang aku dapat dari penjaga kaunter bas di Adiyaman, aku perlu mengambil Dolmus untuk ke Kahta. Ia tidak memberi banyak masalah kepada aku kerana stesyen Dolmus untuk ke Kahta hanya berada beberapa puluh meter dari Otogar Adiyaman.

Dengan bayaran 5 Juta Lira Turki aku menaiki Dolmus dari Adiyaman ke Kahta. Geografi berbukit di kawasan tersebut dengan kawasan menghijau amat menarik perhatianku. Di dalam perjalanan tersebut aku mendapat maklumat dari papan tanda di tepi jalan bahawa di kawasan tersebut terdapat Makam sahabat Rasulullah iaitu Mahmud Al-Ansari dan Abu Zar Al-Ghifari. Ketika itu aku sudah merancang untuk menjejaki makam tersebut jika berpeluang selepas mendaki Gunung Nemrut.


Perjalanan Adiyaman-Kahta sejauh 40km. Perjalanan memakan masa hampir sejam.


Demam belum reda. Badan semakin letih.


Bersama aku pada ketika tiba di Kahta adalah 2 orang
backpaker dari Hungry dan seorang dari Latvia.

Apabila tiba di Kahta, kami disambut oleh beberapa 'orang suruhan' hotel-hotel di Kahta untuk 'menjemput' kami ke hotel-hotel mereka. Setelah berlaku tawar menawar dengan beberapa 'wakil' dari hotel-hotel tersebut aku memilih untuk bermalam di Hotel Commagne. Dengan bayaran US Dolar 35 aku dapat bermalam semalam di Kahta, Makan Malam, Sarapan Pagi, Van Transit ke puncak Gunung Nemrut selama 2 kali iaitu untuk melihat Sunset dan Sunrise serta tiket masuk di Nemrut Dagi Milli Parki.


2 orang Hungry memilih hotel lain.


Latvian memilih untuk berkhemah dan membuat keputusan berjalan kaki dari Kahta ke puncak Gunung Nemrut setinggi 2134 meter.

Ketika itu jam sudah 2.00 petang. Tepat jam 3.00 petang, van Transit akan tunggu di luar hotel untuk bergerak menuju ke Nemrut Dagi Milli Parki.

Sememangnya ketepatan masa menjadi milik orang Turki. Semua peserta yang mahu ke Nemrut Milli Parki sudah bersedia awal di lobi hotel. Aku yang terakhir turun. Lewat 2 minit dari jam 3.00 petang, van mula bergerak ke Nemrut Dagi Milli Parki. Van bergerak dari Kahta ke jalan bergunung untuk menuju ke puncak Gunung Nemrut setinggi 2134 meter. Van melalui jalan berbukit dan berhenti di Jambatan Rum dan Roman Pillars di pertengahan perjalanan.

Sepanjang perjalanan mendaki Gunung Nemrut, mata aku terpukau dengan pemandangan sekeliling. Cukup indah.

Badan aku berasa sedikit selesa walaupun demam belum sembuh sepenuhnya.


Aku tiba di Nemrut Dagi Milli Parki setelah hampir 2 jam perjalanan. Setelah selesai urusan tiket di kaunter yang di uruskan oleh pemandu kami, aku bersama peserta yang lain (seingat aku dalam 22-25 orang) mula mendaki untuk ke puncak Gunung Nemrut dari Nemrut Milli Parki. Dalam keadaan badan yang belum betul-betul sembuh aku cuba mendaki untuk tiba ke puncak gunung.


30 minit mendaki aku tiba juga di puncak. Cuaca di puncak amatlah sejuk walaupun pada ketika itu sudah musim panas. Salji-salji nipis masih memenuhi puncak gunung tersebut. Selamat ketika itu aku memakai baju agak tebal disebabkan ingin cepat berpeluh.


Di atas puncak gunung Nemrut tersebut terdapat beberapa ukiran patung diukir dalam keadaan duduk di sebuah kerusi yang besar dengan kepala patung tersebut sudah jatuh menyembah bumi. Berhadapan patung-patung tersebut ialah sebuah Altar yang dipercayai digunakan sebagai tempat penyembelihan untuk pemujaan dan pengorbanan. Di kiri kanan Altar terdapat ukiran helang yang kononnya mengawal tuhan.

Dikatakan patung-patung tersebut dari Zaman Commagene. Iaitu dari era Greek dan Parsi
.

Kesan patung dalam keadaan duduk yang sudah hilang kepalanya.

Cuma yang menimbulkan persoalan dalam minda aku ketika itu ialah mengenai kepala patung-patung tersebut. Semuanya jatuh menyembah bumi. Adalah Nemrut yang menjadi nama bukit tersebut ialah nama Maharaja Nemrut ketika zaman Nabi Ibrahim? Nemrut yang menyembah patung berhala? Dan adakah patung-patung itu yang di penggal kepalanya oleh Nabi Ibrahim?

Sedangkan pula, tempat dikatakan Nabi Ibrahim tidak di makan api ialah di sebuah kawasan bernama Harran. Harran pula terletak tidak jauh dari kawasan Gunung Nemrut tersebut.


Ia amat menarik untuk dikaji.


Ketika itu aku sudah mengenangkan semula mukjizat dan kehebatan Nabi Ibrahim a.s. Jika benar disitu baginda memenggal kepala patung berhala. Nah! Itulah bukti sejarah yang membenarkan kehebatan dari kisah sejarah Nabi Ibrahim a.s


Namun, banyak pendapat mengatakan bahawa peristiwa itu berlaku di Ur atau kawasan Babylon di Iraq. Wallahualam.


Dengan kesempatan rezeki yang Allah beri untuk berada di puncak gunung tersebut, aku menghabiskan masa melihat kesan-kesan tinggalan patung-patung berhala di puncak gunung sambil memerhatikan keindahan semulajadi ciptaan Allah di sekeliling gunung tersebut.

Mata aku terpukau dengan keindahan Tasik Attaturk dari puncak bukit. Keindahan gunung-ganang kawasan Tut, Kahta dan Sincik.

Maha Suci Allah yang mencipta alam yang indah ini. Untuk manusia berfikir tentang kehebatan Allah menjadikan segala-galanya.


Ketika matahari terbenam, aku bersama yang lain sudah menuruni puncak gunung tersebut untuk kembali ke Kahta.


Aku bersyukur kepada Ilahi kerana masih memberikan aku kekuatan dan peluang berkunjung ke Gunung Nemrut.


Walaupun dalam keadaan aku yang masih demam.


Tuesday, August 7, 2007

Kembara di Umm Rasas

Bandar Madaba

Sibuk bandar Madaba petang itu. Bunyi hon kereta tidak putus-putus membingitkan telinga. Ada lampu isyarat namun seperti tiada fungsinya. Lampu masih belum hijau tapi kereta-kereta yang berbaris di belakang terus membunyikan hon. Baik buang sahaja lampu isyarat yang ada.

Aku melangkah ke stesyen bas Madaba. Penuh dengan manusia. Penuh gelagat.

Riuh.

Penjual buah Sobur berteriak bersungguh-sungguh memanggil manusia yang lalu lalang untuk merasa buah kaktus tersebut.

Lagu Amru Diyab 'membuat bising' di kedai bersebelahan stesyen bas.

Hon kereta terus berbunyi.

"Bagaimana hendak ke Umm Rasas" Aku bertanya kepada seorang lelaki berhampiran stesyen bas.

"Kau boleh menaiki teksi ke sana" Jawab lelaki tersebut.
"Aku boleh bawa kau ke sana" Tambah lelaki tersebut.

"Terima kasih. Aku mahu ke sana dengan coaster" Aku mengucap salam lalu meninggalkan lelaki tersebut.

Bila aku paling ke belakang. Aku lihat lelaki tadi sudah berada di dalam teksi di bahagian pemandu. Rupanya lelaki tadi adalah pemandu teksi. Silap orang aku bertanya.

Aku berlegar di kawasan stesyen bas Madaba. Melihat ke arah coaster yang memenuhi stesyen bas tersebut. Mencari coaster untuk ke Umm Rasas. Mata aku terus melilau mencari tulisan Umm Rasas di 'badan' coaster.

Madaba - Libb.

Madaba - Leyhun.

Madaba - Hesban.

Madaba - Ziziyya.

Madaba-Umm Rasas. Akhirnya aku menemui coaster yang aku cari di satu sudut Timur stesyen bas Madaba.

Seperti biasa. Sistem pengangkutan di Jordan 'penuh baru jalan. Selagi tak penuh penumpang, bas/coaster takkan bergerak. Ketika aku menaiki coaster tersebut, coaster sudah dipenuhi oleh separuh penumpang. Setengah jam selepas itu baru coaster mula bergerak meninggalkan Madaba menuju ke kampung Umm Rasas.

Umm Rasas terletak kira-kira 32km dari bandar Madaba. Lokasi yang aku ingin jejaki pada petang tersebut ialah Berek Tentera Rum dan Kesan Gereja Lama Byzantium yang terdapat di perkampungan Umm Rasas. Rasas adalah kalimah bahasa arab yang bermaksud peluru. Kota ini dikenali dalam bible sebagai Mephaath dan di sebut Kastron Mefaa. Pada tahun 2004, tempat ini telah diisytihar sebagai salah sebuah lokasi yang dikawal oleh UNESCO dibawah UNESCO World Heritage.

Sesahihnya perjalanan aku ke Umm Rasas pada petang tersebut sudah lewat. Sudah masuk waktu asar. Aku melalui perkampungan Nitil untuk ke Umm Rasas. Di sepanjang perjalanan aku mencatat semua perkara yang telah aku lalui termasuk melalui 2 kesan kota arkeologi iaitu Za'faran dan Arremeil.

Coaster memasuki beberapa kampung kecil untuk menghantar penumpang.

45 minit perjalanan aku tiba di Umm Rasas. Mataku terus tertumpu ke arah sebuah kota petak yang luas (dianggarkan 150m x 150m).

"Ini adalah coaster terakhir untuk kembali ke Madaba, lagi 15 minit coaster ini akan terus ke Madaba" Pesan pemandu coaster kepada aku.

Aku menganggukkan kepala namun hati tidak bersetuju.

15 minit di situ sudah pasti tidak mencukupi untuk aku mengkaji dan menjelajah kawasan kota tersebut.

Kaki aku melangkah menuju ke kota yang terletak berhampiran kampung Umm Rasas. Aku perlu mendaki dinding rendah yang telah hancur untuk melihat ruang dalam kota tersebut. Ternyata ia sebuah kota yang telah hancur ditelan zaman namun masih dapat lihat kesan lengkungan dan petak-petak bilik yang merupakan penempatan askar suatu ketika itu.

Seluruh bilik-bilik yang telah hancur di kelilingi oleh dinding kota yang kukuh. Di suatu sudut kota terdapat pula gereja lama yang dihiasi dengan mozek. Ia termasuk di dalam 10 gereja mozek utama yang terdapat di Madaba.

Pemandangan Umm Rasas dari udara (www.christusrex.com)

Lantai Mozek Gereja yang terdapat di Umm Rasas

Hampir sejam aku berada di kota lama Umm Rasas tersebut.

Coaster yang aku naiki sebelum itu sudah lama bergerak ke Madaba.

Aku berdiri di simpang tiga jalan kampung Umm Rasas untuk Shariq Sharawi, Madaba dan ke Dhibban. Menunggu coaster lain kalau-kalau ada untuk ke Madaba.

Sunyi.

Pemandangan dataran luas padang pasir dihiasi ladang-ladang pokok zaitun.

Kampung Umm Rasas yang kecil. Jauh dari kebisingan dan kemodenan.

Aku duduk, berdiri, berjalan. Coaster masih belum ada. Kenderaan lain jarang-jarang pula lalu. Penantian memang satu penyeksaan. Memang benar kata pemandu coaster yang aku naiki beberapa jam sebelum itu. Coasternya merupakan coaster terakhir untuk ke Madaba.

Aku mempunyai satu sikap yang kekadang memang menyusahkan diri sendiri. Sikit keras kepala. Payah nak terima pandangan orang. Semasa pemandu coaster memberitahu yang itu coaster terakhir ke Madaba. Aku sudah menaruh sangka negatif pada pemandu tersebut. Hati mempeleceh pemandu tersebut dan bersangka yang beliau hanya inginkan penumpang ke Madaba dan suruh aku bersegara untuk menaiki coasternya.

Aku yang menerima padah akhirnya. Sejam setengah menunggu coaster hendak kembali ke Madaba. Coaster tiada. Kenderaan lain pun tak ada yang mahu ke Madaba.

"Kamu hendak ke Madaba?" Aku menahan sebuah van dan bertanya kepadanya.

"Aku tidak ke Madaba. Rumah aku di Wadi I'mad" Jawab pemandu van tersebut.

Aku mengucapkan terima kasih dan salam pada pemandu van tersebut sebelum ia bergerak meninggalkan aku.

Hari sudah semakin senja. Kelihatan badwi sudah membawa biri-birinya balik ke khemah. Aku masih di persimpangan jalan tersebut mencuba nasib untuk kembali ke Madaba dan dari Madaba terus ke Amman.

Otak aku ligat berpusing untuk menyelesaikan masalah. Hanya ada 2 cara untuk aku kembali ke Madaba. Samada buat cara yang aku telah lakukan iaitu cuba hitching (menumpang mana-mana kenderaan) untuk ke Madaba. atau aku berjalan sejauh 32km ke Madaba. Fuh!

Tetiba aku terfikir ketika itu. Tak semestinya aku ke Madaba petang itu. Aku boleh kembali ke Karak jika ada kenderaan yang boleh aku tumpang hingga ke Qatranah dan dari Qatranah aku boleh menunggu bas untuk ke Karak.

Aku tersenyum keseorangan sambil mindahku terus muncul peta-peta jalan di Jordan untuk membantu menyelesaikan masalahku.

Kalau ada van mahu tumpangkan aku ke Madaba aku ke Madaba.

Kalau ada van mahu tumpangkan aku ke Qatranah aku ke Qatranah.

Aku bangun dan mengubah kedudukan aku menunggu di persimpangan jalan. Aku sudah bergerak ke arah jalan menuju ke Shariq Sharawi yang membolehkan aku ke Qatranah dan dari situ aku mudah ke Karak.

Memang itu yang aku rancang dan begitulah Allah tetapkan takdirku petang tersebut.

Sebuah lori Pick-Up berhenti setelah aku melambaikan tangan.

"Aku mahu ke Qatranah" aku cuba melembutkan bahasa.

"Ahlan. Silakan" Jawab pemandu tersebut.

Alhamdulillah. Selesai satu masalah. Aku menaiki lori pick-up tersebut dan meninggalkan kampung Umm Rasas.

"Saya Abu Soleh" pemandu tersebut mula bertaaruf.

"Saya Hazim". Aku menjawab.

"Apa yang kau buat di sini?" tanya pemandu tersebut.

"Aku melihat kesan arkeologi di Umm Rasas dan mahu pulang ke Madaba. Tetapi coaster tiada untuk aku ke sana" Aku membalas.

"Kau hendak ke Madaba, tetapi kena ke Qatranah pula sekarang" Abu Soleh terus bertanya.

"Saya belajar di Universiti Mu'tah. Hendak ke Amman dari Madaba. Sudah tiada kenderaan saya terus fikir balik ke Karak" Aku menjawab

Abu Soleh ketawa.

"Kau pengembara dan berani" Kata Abu Soleh.
Aku buat-buat ketawa.

"Kau hendak ke mana? Qatranah juga?" Aku mula bertanya kepada Abu Soleh.
Dia gelengkan kepala.

"Aku mahu ke Ma'an dan aku kerja di sana" Balas Abu Soleh.

"Kau asal dari mana" Aku menambah
"Dhibban" Jawab Abu Soleh.

"Aku Ketua Polis Muhafazah Ma'an". Abu Soleh bersuara.

"Ma'an?" Itu ayat yang keluar dari mulut aku apabila dia mengenalkan diri dia sebagai Ketua Polis Ma'an. Padahal aku dah tahu Ma'an di mana dan ia adalah sebuah muhafazah.

"Ya, Ma'an. Kau tahu?" Tanya Abu Soleh.
Aku mengangguk tanda tahu dan menambah yang aku pernah ke Ma'an.

"Buat apa engkau ke Ma'an?" Abu Soleh bertanya lagi.

"Aku dan kawan-kawan universiti pernah pergi lawatan ke Qala'ah Ma'an yang kini sudah jadi Markaz Thaqofi Ma'an" Aku menjawab pertanyaannya.

Abu Soleh ketawa lagi. Dan menganggukkan kepalanya.

"Kamu sudah seperti orang Jordan. Semuanya tahu" Abu soleh berkata sambil ia tersenyum-senyum.

Aku hanya ketawa kecil yang juga dibuat-buat.

Sepanjang perjalanan melalui Shariq Sharawi sebelum sampai ke Qatranah aku terus bersembang dengan Abu Soleh. Ternyata dia seorang yang peramah. Ciri-ciri seorang polis memang ada padanya. Soalan-soalan yang dia tanya tak ubah ia seperti seorang perisik. Aku pula berfikir-fikir untuk menjawab apa yang lebih tepat dengan soalan yang ditanya.

Perjalanan aku ke Qatranah terasa singkat. Ini disebabkan perbualan kami yang tidak putus sepanjang perjalanan. Aku berhenti di Qatranah dan Abu Soleh perlu terus menghabiskan perjalanannya kira-kira 120km dari Qatranah.

"Jika ada masa jemput ke Dhibban. Hubungi nombor telefon yang telah aku bagi" Kata Abu Soleh sebelum bergerak meninggalkan aku.

"Jazakallah Khairan Jaza. Ashuffak. InsyaAllah" Aku menjawab dan pick-up Abu Soleh terus beredar.

Hari sudah gelap. Aku mengambil wuduk dari botol air mineral yang aku bawa dan terus solat di tepi jalan lapang di Qatranah.

Kemudianya aku kembali duduk, berdiri dan berjalan ditepi jalan Qatranah menunggu bas untuk ke Karak.

Sunday, August 5, 2007

Iklan : Jelajah Jordan- Summer 2007



KEMBALI..

Jelajah Jordan 2007 musim panas kembali dengan menjanjikan pengembaraan yang lebih menarik ke lokasi-lokasi sejarah di negara Jordan termasuk ke beberapa lokasi yang julung kali dikunjungi

Kehijauan Utara Jordan
Penjelajahan utara Jordan ke Muhafazah Irbid, Jerash & Ajloun. Perkampungan Uthamaniyyah Lama di Umm Qais, Ziarah Makam Sahabat Syahid Wabak Taun Amwas- Muaz bin Jabal, Amir bin Abi Waqqas, Syurhabil bin Hasanah, Abu Ubaidah Ar-Jarrah dan Dirar Al-Azwar. Penjelajahan Kota Rum terlengkap di luar Italy di Jerash. Kunjungan julung kali ke Bait Arar yang menyajikan keindahan senibina Ottoman-Damascus Style.

Ibu Kota Amman & Padang Pasir Jordan
Penjelajahan ke Padang Pasir negara Jordan. Kota ‘Arnab’ Qasr Kharrana, Kehebatan seni lukisan Mural di Qasr Amra. Ke bandar Azraq- Kota Kebanggaan Arab ketika Revolusi Arab 1917. Ashabul Kahfi & Ain Ma’. Kesan sejarah bukti kebenaran Al-Quran. Julung kali ke Raghdan Flagpole. Tiang bendera kedua tertinggi di dunia selepas Aqaba Flagpole.

Madaba & Kawasan Terendah Dunia
Qasr Mushatta. Tinggalan senibina batuan brick kerajaan Umawiah. Melihat senibina mozek di bandar Madaba. Ke Jabal Siyagha, tempat persinggahan Nabi Musa a.s. Ke kawasan 390 m di bawah paras laut. Yang meninggalkan kesan bala Allah terhadap kaum Sodom & Jemoroh (Laut Mati).

Sehari di Petra
Penjelajahan menarik hampir ke seluruh kota Petra. Kota yang telah dinobatkan sebagai salah satu dari tujuh benda ajaib di dunia. Melihat keindahan Khazneh, Jalan Siq, Mendaki Jabal Mazbah, Kesan kekuatan Rum dan banyak lagi yang menarik.

Al-Karak- Bumi Ketamadunan Silam
Ziarah Makam Nabi Nuh a.s. Makam sahabat Syahid Peperangan Mu’tah. Zaid bin Harithah, Abdullah bin Rawahah, Jaafar Abi Talib.. Kota Karak pernah ditawan Sallehuddin Al-Ayubi. Penerokaan Lautan Fossil di Hazman. Julung kali ke Perigi Air Nabi Syuaib a.s di Meddin.


Harga Pakej termasuk
Bas berhawa dingin kelas 3 bintang.
Makan 3 kali sehari
Hotel Penginapan
Tiket Masuk ke Lokasi Lawatan
Jordan Guidebook

Pendaftaran & Maklumat Lanjut

Hazimin Sulaiman 077-7249224/079-6964186
Zaid Anuar 077-7184339
Salma Shokri 079-6921321

Emel: haziminzaid_tt@yahoo.co

Tarikh Tutup Penyertaan : 18 Ogos 2007
Tarikh Lawatan : 20-24 August 2007

Harga Pakej : JD 95


Saturday, August 4, 2007

Iklan : Amazing Damascus


Amazing Damascus
::Kota Tertua di Dunia::

Anda belum pernah ke Damascus? Atau sudah ke Damascus tetapi belum puas berjalan di bandar tersebut? Sudah pergi tetapi belum mengetahui ‘isi’ sebenar bandar tertua di dunia itu?

Inilah peluang keemasan dan berganda untuk anda.. Ikutilah penjelajahan menarik ke seluruh kawasan Damascus. Anda tidak akan dapat peluang pengetahuan ini walaupun dari pelajar-pelajar Malaysia di Damascus sendiri..

Sertai kami untuk menyingkap 1001 rahsia sejarah ketamadunan di Damascus..

Walking Tour Salhiyah
Melihat kesan sejarah di Salhiyah. Nebi Yunus, Turba At-Tikritiyei, Madrasa Jarkasiye, Maristan Al-Qamariyei, Imaret Sultan Suleiman, Hanabila Mosque, Madrasa Omariye, Madrasa Morsideyei, Makam Salam Ar-Raqqi, Makam Mahyuddin Ibn Arabi, Hammam Al-Moqadam

Walking Tour Old City Damascus
Pengalaman menarik menjelajah sekeliling kota lama Damascus. Menjejaki 9 pintu utama kota lama tersebut. Bab An-Nasr, Bab Faraj, Bab Faradis, Bab Salam, Bab Touma, Bab Sharqi, Bab Khaisan, Bab Saghir & Bab Jabiye. Menjejaki kesan sejarah lama di dalam kota Lama Damascus yang terbahagi kepada Muslim Kuarter, Kristian Kuarter dan Yahudi Kuarter. (Termasuk beberapa gereja lama yang masih kekal)

Kota Lama Damascus [Khans, Madrasah]
Menjejaki sebahagian besar kota Lama Damascus. Berkunjung ke kawasan Khans yang menjadi pasar utama selepas Souq Hammidiyah. Khan Al-Dikka, Khan Jaqmaq, Khan Assad Pasha, Khan Sulaiman Pasha, Khan Al-Zait, Khan Zafaranjiye, Khan al-Sadraniye dan banyak lagi. Melihat kesan Madrasah lama seperti Madrsah Nuriye, Madrasah Adiliye, Madrasah Zahiriye, Madrasah Jaqmaqiye, Madrasah Abdullah Azam dan lain-lain. Kesan tinggalan Rum Propyleum dan Damascus Castle di tawan oleh Sallahudin Al-Ayubi.

Makam Para Anbiya’ dan Sahabat
Ziarah Makam para Anbiya seperti Nabi Yahya a.s, Nabi Hud a.s, Nabi Khidir a.s, Nabi Yunus a.s, Nabi Zulkifli a.s, perkampungan Hawa isteri Nabi Adam di Bayt Naim dan kesan tapak kaki Rasulullah di Qadam Asali. Ziarah Makam para sahabat seperti Zu Makhmar, Abu Hurairah, Abi Darda’, Abdullah Umm Makhtum, Muaz bin Jabal, Bilal bin Rabah, Dirar Al-Azwar dan banyak lagi. Ziarah Makam Sallehudin Al-Ayubi dan Ahli Bayt Nabi- isteri baginda Umm Salamah dan Umm Habibah serta anak, cucu dan cicit baginda. (Zainab, Ruqayyah, Fatimah dan lain-lain). Makam para Ulamak- Ibn Asakir, Ibnu Kathir.

Masjid-Masjid Lama
Masjid Umawi Damsyiq, Masjid Sanjaqdar, Masjid Sinan Pasha, Masjid Derwish, Masjid Qaimariye, Masjid Khalid Al-Walid (Masjid pertama dibina oleh Khalid ketika tiba di Damascus), Masjid Hisham, Masjid Qali, Masjid Murad Pasha dll. Kebanyakkan masjid adalah dari senibina Umawiah, Mamluk dan Turki Uthamiyah serta beberapa dari Seljuq.

Rumah/Istana Uthmaniyah
Azem
Palace, Dahdah Palace, Beit Sibai, Beit Nizam

Lain-Lain
Lawatan ke Muzium Negara Syria, Muzium Tentera Syria, Walking Tour kawasan Midan (Masjid serta senibina lama), ke kawasan Reef Damsyiq seperti Salmiah, Daraiya (Makam Sukhainah), Miqdad dan Saidah Zainab.

Pakej semurah USD 140 (pengangkutan, hotel, makan 3x sehari, tiket masuk ke lokasi lawatan) anda mendapat manfaat ilmu dan pengalaman yang pastinya menarik selama 3 hari di Damascus.

(Harga Pakej tidak termasuk Tax Keluar Jordan dan Visa untuk mereka yang tidak mempunyai Iqamah Thanawi. Pakej ini terbuka untuk semua pelajar Malaysia di Jordan dan pelajar-pelajar Timur Tengah atau tetamu-tetamu dari Malaysia yang sedang bercuti di Jordan)

Berminat? Daftar nama anda sebelum 25 August 2007 kepada wakil berikut :

HAZIMIN (079-6964186, 077-7249224)
ZAID (077-7184339)
SALMA (079-6921321)

Emel: haziminzaid_tt@yahoo.com

Tarikh Lawatan : 26-28th August 2007 (Ahad-Selasa)

Thursday, August 2, 2007

Lafzul Jalalah di Shihabiyyah

Kampung Shihabiyyah, Al-Karak.

Lafzul Jalalah terukir secara semulajadi di bukit berhadapan Kampung Shihabiyyah. Subhanallah.

Petang semalam sekali lagi aku membawa tetamu menziarahi beberapa kawasan sejarah di Karak. Kali ini bersama Ust Tarmizi yang kini menuntut di Mujammak Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria.

Jika ada tetamu datang ke Mu'tah dan minta aku menjadi pemandunya, aku cuba untuk membawa mereka ke Kampung Shihabiyyah jika ada kesempatan masa.

Petang semalam aku menjejaki lagi perkampungan berkat tersebut.

Shihabiyyah terletak kira-kira 3km dari bandar Karak. Penduduk perkampungan ini adalah dari kabilah Shamailah yang terkenal di Karak sebagai mereka yang datang dari keturunan alim dan baik-baik.

Shihabiyyah hanya sebuah kampung kecil. Jauh ketinggalan dari kesenangan dan kemewahan seperti di bandar-bandar besar lain di Jordan.

Tiada Safeway atau Mall besar.

Tiada McDonald atau Italian Pizza.

Tidak bising dengan perangai manusia seperti di bandar 'pilihan' Jordan.

Maha Suci Allah. Apa yang paling menarik di Shihabiyyah adalah tanda pilihan Allah selaku Maha Pencipta. Di perkampungan ini terdapat Lafzul Jalalah yang terukir secara semulajadi pada sebuah bukit.

Ia tiada ditempat lain di Jordan. Hanya satu.

Kawan di Jordan masih belum ziarah ke Shihabiyyah?. Utamakanlah menziarahi perkampungan tersebut untuk melihat bukti tanda kekuasaan Allah bagi hambanya yang sentiasa mahu berfikir tentang kejadian dan kekuasaaNya.

Apa Mereka Cari?

Aid bercerita tentang 4 orang Yahudi yang pernah di bawanya ke kawasan Kahtrabba.
Latarbelakang gambar adalah kawasan
Hazman yang menempatkan perkampungan Juzaa, Ay dan Kathrabba. Lembah luas yang kelihatan ialah lembah yang bersambung ke Wadi Numeira dan Wadi Assel.

Lagi pemandangan perkampungan
Juzaa, Ay dan Kathrabba dari jauh yang berada di dalam
daerah Hazman.


Lembah Numeira dan Assel. Di lembah ini juga terdapat Jabal Matal yang menempatkan gua
Nabi Luth a.s. Berdekatan Jabal Matal
terdapat pula perkampungan Ghor As-Safi yang dikenali dengan Zara
di dalam kitab Bible. Zara merupakan salah satu dari lima perkampungan
yang pernah diduduki oleh Sodom
dan Jemoroh iaitu kaum Nabi Luth a.s


Sekitar tahun 1990-an, dua jasad Mumia yang dipercayai dari kaum Bani Israel ditemui oleh Ahli Arkeologi Israel dan British di sebuah tempat bernama Khan Zira di selatan Karak. Mumia tersebut dibeli oleh para arkeologi tersebut dari kerajaan Jordan dengan harga JD 500,000 setiap satu.

Maklumat tersebut aku perolehi secara lisan dari penduduk kampung Khan Zira atau kini dikenali sebagai Taibah. Penduduk di situ dari kabilah Butush.

Semalam aku bersama Aid Dararjah ke Shihabiyyah dan kemudianya melalui jalan lama ke Hazman.

Kami berhenti di tepi jalan sebelum tiba di Hazman yang membolehkan penglihatan kami memerhati dataran Wadi Numeira, Wadi Asseel serta tapak garam Laut Mati dan di seberangnya adalah tanah Israel.

Aid menceritakan kepada aku sudah hampir 4 kali beliau membawa bangsa Yahudi dari Israel ke kawasan tersebut.

Mereka seperti mengkaji dan ingin mencari sesuatu.

Aid bekerja sebagai pemandu van sapu. Beliau sering ke Aqaba untuk mencari pelanggannya yang rata-rata datang dari Mesir untuk ke Karak atau ke Amman.

Pulangan untuknya agak mewah.

Aid menceritakan kepada aku bahawa satu hari beliau telah menerima pelanggan dari Israel di bandar Aqaba. Mereka memasuki Jordan melalui sempadan Eilat-Aqaba. Yahudi tersebut bercakap arab dengan fasih dan memberitahu Aid yang mereka ingin ke Karak. Dan Aid memberitahu aku, belum pernah beliau berjumpa dengan bangsa asing yang sangat fasih berbahasa arab kecuali 4 orang yahudi tersebut.

Setelah tiba di Karak, 4 orang yahudi tersebut memberitahu yang mereka ingin ke Kathrabba. Sebuah perkampungan di dalam kawasan Hazman. 10km dari Mu'tah. Yahudi tersebut lengkap dengan maklumat perkampungan tersebut dan termasuk peta.

Aid membawa mereka ke Kathrabba dan dari situ mereka menuruni bukit ke lembah berbukit Wadi Numeira dan Wadi Assel. Apakah tujuan mereka menjelajah ke kawasan lembah berbukit tersebut?

Adakah sekadar mengembara mendaki menuruni lembah di kawasan tersebut? Atau ada sesuatu yang mereka ingin cari untuk agama dan bangsa mereka?

Sesahihnya, kawasan bergunung bersempadanan Laut Mati banyak meninggalkan kesan sejarah untuk Yahudi dan Bani Israel. Dan kawasan Timur Laut Mati tatkala ini pula menjadi sebahagian dari negara Jordan.

Buktinya:

- Kawasan Umm Al-Ayasen pernah menjadi penempatan yahudi suatu ketika dahulu.
- Mumia yang dipercayai dari Bani Israel ditemui di Khan Zira
- Mesha Steel yang ditemui di Dhiban menceritakan tentang King Mesha dari Bani Israel
- Kisah John The Baptist di Jordan River
- Kisah pembunuhan John The Baptist di Mukeiwer.

Itu merupakan antara contoh-contoh sejarah berkaitan Bani Israel yang terdapat disepanjang bukit berdekatan, bersempadan dengan Laut Mati.

Bangsa yahudi sering datang ke tempat-tempat tersebut untuk terus mengkaji tentang agama dan bangsa mereka. Mereka mempelajari bahasa arab untuk memudahkan kerja-kerja mereka, mereka datang dan sanggup menghabiskan masa berhari-hari, berminggu dan berbulan untuk memastikan misi mereka berjaya.

Tuesday, July 31, 2007

Tanda Sahabat

28 Julai 2007
Bersama sahabat baik, Zaid. Dan isterinya Adzra


Seminggu sudah tidak menulis. Ruh dan semangat sudah mulai rindu untuk menulis sesuatu yang tertulis di minda.

Seminggu ini tidak banyak kesempatan masa untuk melayari internet. Masa-masa aku habiskan untuk membantu sahabat baikku Zaid untuk majlis perkahwinannya. Jika ada ruang masa aku habiskan membaca buku Monuments Of Syria dan mengulangkaji semula Sirah Nabawiah.

Berair mata mengenang rentetan hidup Rasulullah S.A.W.

Kagum dengan Ross Burns, Sejarawan yang mampu menulis sejarah Syria dengan baik dari bukunya yang sering aku baca.

Jika ingin menilai seseorang sebagai seorang kawan, mudah, senang dapat. Macam nak cari mukhalal di mana-mana restoran di negara arab. Berkenalan, berbual boleh menjadi kawan. Tetapi jika ingin dinilai sebagai sahabat. Ia cukup sukar. Banyak 'syarat' perlu ada untuk mendapat status tersebut..Status itu tetap dan tidak berubah-ubah seperti status di YM.

Bagi aku kawan dan sahabat berbeza pada nilainya.

Berkenalan, berkawan, sanggup susah dan senang bersama, berbincang dan buat keputusan dengan sepakat, bila ada ralat faham ia sebagai kekurangan dan tidak pernah mengeluh, menegur bila salah, gembira bersama, susah dipikul berdua. Tolong menolong tanpa berkira, bersabar dengan apa jua. Semuanya menjadi satu yang erat, menjadi sahabat.

Memang sukar untuk mencari seorang sahabat.

Sanggup susah bersama, gembira ketawa biasa.

Alhamdulillah, untuk seminggu ini aku telah cuba menunaikan syarat sebagai sahabat untuk sahabat baikku Zaid dalam urusan majlis perkahwinannya. Bermula dari mencari rumah kelamin di Mu'tah pada hari pertama, membasuh rumah di hari kedua, memasang karpet di hari seterusnya, mengangkut barang, bermukim di Amman untuk urusan majlis perkahwinannya. Syukur semuanya masih mampu aku lakukan.

Tahniah untuk Zaid dan Adzra kerana telah selamat diijabkabulkan. Semoga Allah panjangkan jodoh sehingga akhir hayat dan dikurniakan anak-anak yang bakal menjadi Jil Soleh dan Solehah pejuang agama Allah.

Tanya tentang 'Ushaikim'..tentu kawan tidak mengetahui apakah itu? Apa ada disitu?..Kecuali sahabat paling baik yang bersama untuk tahu..

Tanya apa yang aku tahu tentang sahabat paling baik..mungkin aku boleh menjawab lebih dari apa yang aku ketahui tentang diriku..