Tuesday, January 1, 2008

Tariq Sahrawi Urdun

14 Zulhijah yang lalu, bandar Qatranah sudah mulai sibuk. Puluhan bas membawa jemaah haji dari Jordan sudah mula memasuki bumi Jordan. Rata-rata dari mereka memilih Qatranah sebagai tempat istirehat dan solat sebelum perjalanan diteruskan ke Amman. Qatranah merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 90 km dari ibu negara Amman dan 35km dari muhafazah Karak yang berada di tengah-tengah negara Jordan. Qatranah menjadi pekan kecil penting yang terletak di jalan perhubungan utama jemaah haji yang datang dari Syria, Iran, Turki, Russia, negara-negara bekas Soviet Union dan eropah barat menuju ke Mekah melalui jalan darat untuk menunaikan ibadat haji dan umrah.

Bermula dari 2 Syawal, sempadan Jaber, Jordan dan Naseeb di Syria akan dipenuhi jemaah-jemaah haji yang mengembara jauh melalui jalan darat untuk ke Mekah. Mereka tiada pilihan jalan darat yang lain selain melalui negara Jordan. Kini setelah musim haji berlalu, selepas sahaja melontar di Jamarat pada hari kedua dan jemaah yang niat meninggalkan mina untuk tidak melontar pada hari terakhir sudah mula meninggalkan Mekah. Inilah kebiasaan yang dilakukan oleh sesetengah rakyat dataran Syam. Mereka tidak menunggu lama setelah selesai ibadat haji. Pakej yang dianjurkan oleh Agensi-agensi pengurusan haji kebiasaanya begitu. Rugi mereka berbanding rakyat Malaysia yang masih boleh menetap lama sebelum atau sesudah rukun haji dilakukan. Sudahlah sukar untuk mereka ke Mekah, dapat pula sekejap berada di sana. (Jordan mengenakan syarat mereka berumur 60 tahun ke atas untuk menunaikan haji, ini disebabkan kuota yang sikit untuk rakyat Jordan: 1% Penduduk= 6000 orang).

Sesahihnya bumi Jordan telah menjadi laluan perjalanan utama haji sejak berkurun lamanya. Sebelum zaman Uthmaniah, ketika Tariq Sahrawi belum wujud, para jemaah haji yang datang berkafilah telah memilih laluan Trajan atau dikenali sebagai King's Highway (Jalan Berbukit di kini berada di barat Jordan). Laluan tersebut bermula di Sungai Furat melalui Dimasyq dan terus menuju ke Bosra, melalui Hesban dan Madaba terus ke Karak dan Tofilah menganjur sehingga ke Eilat (Aqabah) dan berakhir di Ramsis di Mesir. Bagi mereka yang ingin menunaikan haji pada ketika itu aku terus mengambil jalan Laut Merah untuk menuju ke Madinah dan berniat haji di Miqat Bir Ali untuk menunaikan umrah atau haji.

Ketika mana zaman kerajaan Uthmaniah, Tariq Sahrawi telah dibuka dan ia memudahkan lagi para haji untuk bergerak menuju ke Mekah dengan menyediakan kemudahan solat dan air di Dab'a, Qatranah dan Ma'an (Lokasi di Jordan). Tariq Sahrawi inilah yang terus digunakan sehingga hari ini oleh jemaah haji untuk menuju ke Madinah dan Mekah.

Ketika ini, sempadan Bab Hawa-Cilvegozu di Syria dan Turki terus dipenuhi bas para jemaah haji yang telah selesai menunaikan ibadah haji. Ketika berada di sempadan tersebut beberapa hari yang lalu, beratus bas beratur panjang di sempadan menunggu giliran untuk melepasi sempadan Turki. Ada bas dari Turki, ada dari Russia dan ada dari negara bekas Soviet Union seperti Armenia, Azerbaijan, Uzbekistan DLL. Perjalanan mereka sesahihnya masih jauh dari sempadan Syria-Turki. Ditambah lagi keadaan kenderaan mereka yang agak daif.

Melihat keadaan mereka, kekadang hati terdetik betapa mudahnya kembara Haji rakyat Malaysia ke bumi Mekah. Semua keperluan cukup, selesa dan tersusun. Namun, mungkin kembara haji mereka yang susah ini lagi membuatkan mereka mengejar untuk mendapat nikmat ibadat haji mabrur. Bukan mengejar mendapatkan status 'haji'.


Sunday, December 23, 2007

Seharian 13 Zulhijah..

Cuaca di Mu'tah bertambah sejuk di pagi 13 Zulhijah. Hari ini umat Islam yang tidak berniat meninggalkan Mina akan melakukan Nafar Thani untuk menamatkan ibadat haji musim ini. Hari ini juga hari terakhir ibadat sembelihan korban dijalankan untuk tahun ini. Suasana kemeriahan hari raya korban di Mu'tah sudah agak berubah dari 6-7 tahun yang lalu. Ia semakin tidak meriah Atau aku yang tidak merasakan kemeriahan mereka. Apa yang pasti, dahulunya kelihatan meriah di sana sini kambing, unta ditumbangkan untuk ibadat korban.

Pagi ini cukup sejuk di Mu'tah. Ketika air mula hinggap di kulit di subuh hari tadi, sejuknya agak berbeza dari hari semalam dan sebelumnya. Namun setelah aku keluar dari Bayt Batu Burok di Hayyu Burkah cuaca cerah. Matahari memancar tetapi kesejukkan menusuk ke tulang. Aku melangkah ke Hayyu Suweih dan kelihatan padang luas yang dipenuhi gandum pada musim bunganya telah dipenuhi debu-debu putih. Ia salji nipis yang turun. Memang padan cuaca sejuk pagi hari ini berbeza. Pagi ini cuaca 0 darjah.

Tengahari selepas solat Zohor aku bersiap untuk ke Amman. Aku perlu ke syarikat penerbangan Gulf Air untuk menyelesaikan beberapa urusan tiket penerbangan. Pada asalnya aku sudah bersiap seawal pagi dari Bayt Batu Burok untuk terus ke Amman. Tetapi atas sebab pengangkutan yang 'canggih' di Jordan ini membuatkan aku menangguhkan perjalanan ke Amman selepas solat zohor. Aku ke Amman selepas zohor bersama Ifwat dan Syafiq.

Di dalam perjalanan hati sentiasa memaki arab. Asap rokok memenuhi coaster. Bodoh tak ada otak! Merokok dalam coaster, bila nak bukak tingkap untuk udara masuk dimarahnya kita.. Memang betul tak ada otak.

Sampai di Amman lokasi pertama terus ke Balad. Ifwat ke Maktabah Dundess untuk membeli kitab. Aku melepak di Kedai Abu Marwan melihat buku-buku sejarah yang boleh aku beli dan koleksi Majalah National Geographic yang belum aku ada. Abu Marwan tak ada di kedai pada ketika itu. Hanya pekerjanya yang duduk bermenung di situ. Hasil aku hari ini di kedai Abu Marwan ialah NG Magazine keluaran Oct 07 yang belum aku ada. Beberapa buku lain seperti History Of Taiwan, Amazing Bahrain, Guide To Italy aku sorok di bahagian belakang kedai. Itulah kebiasaan aku lakukan. Jika Abu Marwan ada, aku akan dapat harga yang istimewa. Jika dengan pekerjanya agak sukar untuk aku mujamalah. Biarlah buku itu disitu..lain kali aku akan pergi semula dan membelinya..

Selesai Ifwat dan Syafiq membeli kitab di Maktabah Dundess, terus kami menapak ke Shariq Hussein bin Talal untuk ke syarikat tiket Buruj Eiffel. Ifwat tempah tiket untuk pulang bercuti ke Malaysia pada Jun tahun hadapan. Harga tiket pergi dan balik dari Jordan cukuplah murah. Hanya JOD 385 iaitu bersamaan RM 1925. (Penerbangan Kuwait Airlines). Berbanding harga penerbangan Kuwait dari Malaysia ialah RM 3024. Hampir RM 1000 beza harganya. Ampeh!

Jam sudah 3.40 petang. Cuaca di Amman lebih sejuk dari di Mu'tah. Aku bergegas ke Abdali dengan teksi untuk ke pejabat utama syarikat penerbangan Gulf Air. Hampa. Syarikat masih tutup hari ini sempena cuti Aidiladha. Nak buat camana..misi tak tercapai hari ini.

Selepas Late lunch Pizza di Bab Raisi Jordan University kami terus ke Mujammak Janub untuk balik ke Mu'tah.

Esok aku akan melihat wajah Amman lagi..

Friday, December 21, 2007

12D 10N Jordan & Syria

Bergambar kenangan bersama keluarga Haji A.Razak Mat Amin di Shawbak Castle-South Jordan.
Haji Razak mengikuti program lawatan ke Jordan dan Syria dari HZ T&T selama 12 Hari 10 malam.
Lawatan ke Syria akan bersambung 24 Disember ini.


Sudah 5 hari aku berada di Mu'tah. Setelah selesai menjadi pemandu pelancong untuk trip Jordan keluarga Haji Razak 15 Dec yang lalu, aku menunggu tarikh 24 Dec ini untuk menyambung semula tugas membawa keluarganya menziarahi bumi Syria. Haji Razak bersama isteri dan anak-anaknya tidak terus menyambung lawatan ke Syria setelah selesai jadual lawatan di Jordan tetapi memilih untuk berehat dan menghabiskan masa bersama anaknya Dr. Syamin yang kini menuntut di Jordan University Science And Technology (JUST) di Ramtha dalam bidang kedoktoran. Bagi aku, sementara menunggu 24 Dec untuk menyambung tugas, aku menghabiskan masa menulis buku mengenai sejarah Jordan yang sedang aku tulis sejak 7 bulan yang lalu serta menziarahi rumah rakan-rakan di Mu'tah.

Berikut adalah Itinerary tour program Jordan-Syria yang telah aku lalui sejak 10 Dec yang lalu dan akan berakhir 31 Dec ini...


Hari Pertama
Tiba di Queen Alia International Airport. Bertolak ke hotel penginapan di Amman. Makam Malam di Downtown Amman

Hari Kedua
Bertolak ke kawasan terendah di dunia iaitu Laut Mati. 'Berendam' di Laut Mati 7 kali lebih masin dari laut Biasa. Ziarah Tugu Peringatan Peperangan Karamah (Peperangan antara tentera Jordan dan Israel pada tahun 1967. Ziarah Makam Nabi Hasyer saudara lain ibu Nabi Yusof a.s (Anak Nabi Yaakub a.s), Makam Nabi Syuaib a.s di Wadi Syuaib serta Makam Nabi Yusha bin Nun yang merupakan anak Murid Nabi Musa a.s. Wafat di As-Salt setelah berjaya membuka Baitulmuqaddis. Ke lokasi Kahf Ahlil Kahf. Lokasi kisah penghuni gua yang diceritakan di dalam Al-Quran. Makan malam di Restoran Jepun.

Hari Ketiga
Bertolak awal pagi dari Amman ke Qasr Qatranah. Kota kawalan dan kemudahan laluan haji silam. Dibina ketika zaman kerajaan Uthmaniah yang mementingkan kemudahan bekalan air para haji yang datang dari Turki dan Damsyiq. Di bina kota dengan menyediakan ruang solat serta menara di setiap penjuru kota untuk tujuan kawasan keselamatan (tentera). Ziarah Kota Shawbak yang pernah di tawan oleh Sallehudin Al-Ayubi di laluan silam Turuq Muluki. Makan tengahari di Petra. Mengembara ke Kota Kaum Tsamud Petra. Diistihar sebagai salah satu benda ajaib dunia pada 7 Julai 2007. Melihat kesan penempatan kaum Tsamud yang dihapuskan oleh Allah atas keingkaran perintah Nabi Saleh a.s. Kota-kota mereka ditinggalkan untuk manusia menilai, merasa gerun atas kuasa Allah terhadap kaum-kaum yang ingkar. Bertolak ke Aqabah dan bermalam di Aqabah. Makam malam di Mat'am Tazaj, Shariq Kurnish- Aqabah (South Jordan)- Bermalam di bandar Aqabah

Hari Keempat
Aktiviti di bandar Aqabah. Menaiki Glass Boat melihat karang Laut di Teluk Laut Merah iaitu Teluk Aqabah. Melawat Kota Aqabah yang menjadi kota penting bagi kaum Arab menghalau Turki Uthmaniah pada tahun 1917. Melihat kesan artifak sejarah selatan Jordan di Muzium Aqabah. Muzium Aqabah pada asalnya ialah rumah Sharif Hussin bin Ali. Waris Rasulullah S.A.W yang berhak menjaga Dua Tanah Haram namun telah dihalau oleh Bani Saud dari bumi Mekah & Madinah. Menaiki 4x4 Wheel menjelajah dataran Wadi Rum ke Mata Air Lawrence, Kazali Canyon dan Sand Dunes. Makam Malam di Restoran Turki.

Hari Kelima
Ziarah kota lama di padang pasir Jordan iaitu Qasr Kharranah dan Quseir Amrah. Qasr Kharranah merupakan kota pertemuan ketua kabilah dan perdagang era Umawiah dan Abbassiah manakala Quseir Amrah merupakan Hammam lama yang dibina sejak zaman kerajaan Umawiah. Makan Tengahari di Restoran India dan aktiviti shopping di Downtown Amman. Bertolak ke Muzium Kereta Di Raja Jordan di Hadaiq Hussein ibn Talal. Selepas asar ziarah Makam Bilal bin Rabah (Muazzin Rasulullah S.A.W) dan Makam Abdul Rahman bin Aus yang dijanjikan syurga. Bermalam di Irbid

Hari Keenam
Lawatan di utara Irbid. Ke lokasi As-Sho'lah. Melihat kawasan peperangan Yarmouk dari bukit As-Sho'lah. Lawatan ke Kota Umm Qais dari era Greek-Rum dengan pemandangan Bukit Golan, Tasik Tabari (kini milik Israel) dan Sungai Yarmouk memisahkan Jordan dan Israel. Melawat makam-makam Sahabat Syahid dalam taun Amwas iaitu Muaz bin Jabal, Syurhabil bin Hasanah, Abu Ubaidah Ar-Jarrah dan Dirar Al-Azwar. Turut diziarahi makam Amir bin Abi Waqqas yang syahid dalam medan peperangan Yarmouk pada tahun 15 hijrah. Wabak taun Amwas terjadi pada 18 hijrah. Melawat kota Ar-Rabad Ajloun yang menjadi kubu pertahanan Islam melawan tentera salib. Bermalam di Irbid

Hari Ketujuh
Bertolak seawal pagi ke sempadan negara Jordan-Syria iaitu di Border Ramtha-Dera'a. Urusan Imigresen di kedua-dua negara kemudian bertolak ke Kota Bosra yang menempatkan teater Rum terbesar di Timur Tengah. Ke Masjid Mabrak Annaqah melihat kesan lutut unta kepunyaan Rasulullah S.A.W. Di lokasi tersebut dipercayai tempat persinggahan Rasulullah S.A.W ketika berdagang ke Bosra bersama Abu Talib. Ke kawasan Syeikh Saad dan Nawa. Ziarah Makam Nabi Ayub a.s dan melihat kesan perigi baginda. Turut diziarahi makam Sahabat Saad bin Ubadah Al-Ansari yang turut dikatakan wafat di kawasan Meleihah, Reef Dimasq. Lawatan terakhir di selatan Syria ialah ke Makam Imam Nawawi. Ulamak terkenal dalam Mazhab Shafi'e. Bertolak ke Damsyik dan bermalam di Damsyik.

Hari Kelapan
Bertolak ke makam pahlawan Islam Khalid Al-Walid di Homs sahabat yang tidak pernah kalah dalam semua peperangan bersama Islam. Bertolak ke Hama yang meninggalkan kesan Noria iaitu kincir air lama berusia 600 tahun. Digunakan untuk menyalirkan air ke kawasan pertanian satu ketika dahulu. Bertolak ke Halab dan bermalam di Halab

Hari Kesembilan
Berada di bandar Halab. Menziarahi kota Halab binaan kerajaan Mamluk. Ziarah Makam Nabi Khidir a.s di dalam kota Halab, Masjid Nabi Ibrahim a.s dan Istana Sallehudin Al-Ayubi. Solat Zohor di Masjid Karimiyyah dan melihat kesan tapak kaki Rasulullah S.A.W pada sebuah batu disimpan di masjid tersebut. Lawatan disusuli ke Masjid Amawi Halab yang menempatkan Makam Nabi Zakaria a.s. Membeli belah di Souq Halab yang terkenal dengan barangan murah di negara Syria. Bertolak ke Damascus

Hari Kesepuluh
Lawatan sekitar Damsyik. Masjid Umawi Damsyik yang terdapat di dalamnya Makam Nabi Khidir a.s, Makam Nabi Hud a.s dan Makam Nabi Yahya a.s. Lawatan ke Makam Sallehudin Al-Ayubi, Makam Abi Darda', Makam Muaz bin Jabal, Makam Abu Hurairah, Makam Nuruddin Az-Zinki yang bermimpi makam Rasulullah S.A.W di korek oleh Kristian dari Sepanyol.

Hari Kesebelas
Lawatan sekitar Damsyik. Bertolak ke Makam Habil (anak Nabi Adam a.s) yang dibunuh oleh saudaranya sendiri iaitu Qabil. Kejadian pembunuhan itu berlaku di Jabal Qassiyun. Lawatan ke Masjid Takkiyah Sulaimaniah dan Muzium negara Syria. Ziarah Makam Sahabat, Isteri Rasulullah dan Ahli keluarga nabi di Bab Saghir dan Saidah Zainab. Shopping di Souq Hammidiyah di Old City Damascus

Hari Keduabelas
Lawatan sekitar Damsyik. Azem Palace dan Khans Old City Damascus. Selepas makan tengahari bertolak ke Damascus International Airport dan berlepas pulang ke tanahair.


Monday, December 17, 2007

KLIA ke QAIA


Hampir sebulan juga tidak menulis sesuatu di blog ini. Ini entry pertama aku tulis untuk bulan Disember ini. Sejak balik ke Malaysia September lalu, boleh dibilang dengan jari tangan berapa sahaja entry yang mampu aku tulis. Semuanya atas faktor masa. Kekadang terlintas dalam hati sambil memuji mereka yang lebih sibuk dari aku masih mampu meluangkan masa untuk menulis sesuatu di dalam blog-blog mereka demi menyampaikan sesuatu ilmu dan berdakwah atau paling kurang menulis diari mereka untuk dikongsi dan dijadikan memori.

Sudah seminggu aku berada di Jordan. 2 hari sebelum berangkat ke Jordan aku bermalam di rumah sahabat lama Ust Izham di Selayang. Masa-masa yang lain aku habiskan bersama sahabat-sahabat yang kini menyambung pelajaran di peringkat MASTER di UIAM. Ketika bersama mereka di asrama Mahallah Uthman UIAM aku tidak dapat menipu diri sendiri yang jiwa aku sesahihnya kuat untuk menyambung pelajaran. Namun buat masa ini aku perlu menyelesaikan 'misi' yang lebih penting dari itu dalam hidupku. Misi meramaikan umat Muhamad.

Di UIAM aku sempat melepak di bilik Salman dan Khairul serta bertemu bekas-bekas sahabat seperjuangan di Jordan- Nahar, Shiham, Luqman, Paktam dan Muiz yang pernah berada di Jordan kemudian berpindah ke Universiti Madinah. Terima kasih semua.

8 Disember
Aku ke KLIA bersama Ust Izham yang sudi menghantar. Khairul pun turut serta. Bersama ada di KLIA tunang kesayanganku bersama keluarganya.

Penerbangan ke Doha seawal jam 3.30 pagi waktu Malaysia cuma membuatkan aku mengantuk. Namun sepanjang 6 jam lebih penerbangan ke Doha aku tidak dapat tidur. Tiba di Doha International Airport sekitar jam 6.40 pagi waktu Doha. Pendaratan lewat 15 minit disebabkan faktor cuaca yang buruk. Kabus tebal dan angin yang kuat pagi itu di Doha. 6 jam berada di Doha International Airport sebelum berangkat ke Amman Jordan. Sesahihnya fasiliti yang disediakan di DIA amat baik. Ruang yang luas, kerusi yang banyak sudah memberi keselesaan kepada awam. Aku tidur di surau yang sudah sedia dipenuhi manusia walaupun tertera jelas larangan tidur tertampal di dinding.

12.30 waktu Doha aku berangkat ke Amman. 2 jam 50 minit perjalanan dengan aku selamat tiba di Amman. Aku tiba jam 2.50 waktu Jordan.

Alhamdulillah, semuanya selamat.

Aku kembali ke Jordan bertujuan membawa keluarga Haji Razak Mat Amin yang mengambil pakej melancong ke Jordan, Syria dan Turki dari HZ Travel & Tours. Trip 6 hari 5 malam Jordan sudah selesai bermula 10-15 Dec baru-baru ini dan Trip ke Syria akan bersambung pada 24-31 Dec ini. Buat masa sekarang Haji Razak bersama keluarga menghabiskan masa dirumah anaknya yang menuntut di JUST.

Jadual kerja di Jordan akan ketat selepas 24 Dec. Selepas Trip Haji Razak sekeluarga berakhir terdapat 2 group lagi yang perlu aku bawa. Ini tidak termasuk trip pelajar yang akan berlangsung pada 26 Januari hadapan dan 02 Februari ke Jordan dan Syria. Pada ketika ini juga, bisnes partner aku Zaid sedang menguruskan Trip 8 hari ke Istanbul yang disertai oleh 15 orang pelajar dari Mu'tah.

Semoga Allah mempermudahkan segala-galanya. Ameen Ya Rabb..

Friday, November 23, 2007

Seketika di Tuwal Dabbaghin

Beehive House di Hama, Syria


Manusia boleh hidup dan berteduh dengan pelbagai cara dan altenatif. Selagi akal digunakan, mahu berfikir, berjuang untuk hidup semuanya boleh jadi. Manusia boleh hidup dengan membuat rumah di atas pokok, membina ais untuk dijadikan rumah igloo. Menghasilkan papan untuk membina rumah papan. Menghancur, membentuk batu untuk dijadikan rumah batu..

Semua itu terlintas difikiranku ketika tercegat di Tuwal Dabbaghin, sebuah perkampungan 'aneh' terletak jauh dari kemodenan. Kampung tersebut berada di dalam bandar Hama, sebuah bandar yang pernah menyaksikan umat Islam di bunuh beramai-ramai dengan kejahatan tentera suruhan 'Si Singa'. Walaupun ia sudah berlalu 25 tahun yang lalu, namun sejarah hitam itu telah tercatat yang mana Islam boleh membunuh Islam atas sebab harta dan kuasa.

Aku berada di Tuwal Dabbaghin setelah selesai melawat Qasr Ibn Wardan. Di perkampungan kecil tersebut terdapat puluhan buah rumah yang dibina dari tanah berbentuk bujur yang dikenali dengan Beehive House. Rumah tersebut masih dihuni oleh penduduk pendalaman padang pasir Syria. Mungkin ada dari mereka adalah badwi yang cuba merasa hidup tidak lagi dengan berkhemah dan berpindah randah.

Pertama kali aku melihat rumah seperti itu ialah di dalam rancangan Jejak Rasul terbitan TV3. Di dalam rancangan tersebut, mereka menyiarkan keadaan Beehive House yang terdapat di Harran, sebuah wilayah kecil di SanUrfa, Turki.

Ternyata setelah belasan tahun aku melihat siaran tersebut, aku diberikan kesempatan berada di hadapan binaan tersebut tetapi tidak di Harran tetapi di Tuwal Dabbaghin, Hama. Menurut catatan, binaan beehive house tersebut hanya terdapat di Harran Turki dan di Hama Syria. Ia tidak wujud di kawasan lain.

Aku tidak dapat lama disitu kerana berjanji dengan pemandu van yang membawa aku untuk berada hanya 15 minit. Ia secara kebetulan aku melalui kawasan tersebut setelah melawat di Qasr Ibn Wardan- Sebuah kota Byzantium yang terletak 60km ke arah padang pasir dari bandar Hama.. aku sempat merakamkan kenangan di Beehive House, melihat kehidupan manusia di dalamnya..

Aneh.

Sunday, November 18, 2007

Jom Jalan-Jalan

Berita baik buat semua pelajar Malaysia di Jordan khasnya..jangan lepaskan peluang cuti musim sejuk ini untuk mengikuti dua pakej menarik Jelajah Jordan 2008 dan Ekspedisi Syria- Dari Dataran Hauran ke Sungai Furat. Pakej ini juga terbuka kepada semua pelajar-pelajar yang berada di luar negara terutama dari Mesir dan Syria atau sesiapa sahaja yang nak join..yang pastinya sebelum tarikh lawatan tue kenalah berada di Jordan..:) Untuk makluman lanjut boleh klik pada image iklan di bawah untuk melihat paparan iklan dengan lebih besar ...



Monday, November 5, 2007

Malaysia Oh Tanahairku..

Bersama rakan-rakan SPM Batch 1999 Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Gambar nie di ambil ketika beraya di rumah Fahmi di Kampung Ketior Kuala Kangsar ketika program 'konvoi' beraya ke rumah kawan-kawan bekas pelajar Madid. Sudah 7 tahun tidak beraya di Malaysia


Sesahihnya sudah lama aku tidak menulis sesuatu di sini. Sudah sebulan lebih..

24 September yang lalu aku selamat tiba di Parit Buntar Perak setelah 3 hari perjalanan dari Jordan. 22/9 aku bergerak dari QAIA pada jam 4.45 petang. Tiba di Abu Dhabi International Airport dan transit di situ lebih 6 jam (Flight Delay Sejam). 23/9 aku tiba jam 2.30 petang di KLIA. Jam 5.00 aku menaiki bas ke Ipoh dan berbuka puasa di dalam perjalanan. Ketika itu bas sudah tiba di Tapah (7.15 minit malam). 8.00 malam aku tiba di Ipoh. 1.45 pagi 24/9 aku bergerak ke Parit Buntar menaiki Keretapi Ekspress Langkawi. 5.45 pagi aku selamat tiba di Parit Buntar..

25/9-12/10
Setiap hari menikmati juadah berbuka yang sedap-sedap..

28/9
Kotak Kargo selamat sampai ke rumah. Gambar-gambar kenangan di Middle East (2kotak) sudah boleh dibuka dan selepas ini mudah dapat idea untuk menulis di sini.. :)

13/10- hingga ke hari ini
Aidilfitri..Malaysia masih terus beraya (8/11 hindu lak nak beraya, udah2lah kita).. budak-budak kat Jordan dah mula periksa..

Perkembangan terkini, aku terus menguruskan Agensi Pelancongan ke Timur Tengah di bawah syarikat aku yang dikongsi bersama sahabat baik iaitu Zaid (Hazimin Zaid Travel & Tours Sdn Bhd). Ketika ini masih dalam proses untuk mewujudkan premis di Parit Buntar, Perak. Dan Zaid menguruskan pejabat kami di Mu'tah, Jordan.

Selamat Hari Raya untuk semua. Maaf Zahir & Batin