Friday, April 24, 2009

Wadi Mujeb, Al-Karak


Teringat satu kenangan ketika berada di sebuah perkampungan kecil bernama Arieha berdekatan Wadi Mujeb. Bertemu dengan masyarakat yang ramah di situ mengingatkan aku kepada satu potongan Qasidah Arab yang pernah diceritakan oleh penduduk di situ.

Bunyinya begini :

Abuyi Mujeb Wa Akhuyi Mleih Wa Abu Sya'ar Jaddali

Ia merupakan potongan pendek dari Qasidah panjang yang pernah disebut oleh seorang ahli sastera terkenal di Karak. Ia mengaitkan Kisah Sulaiman Bani Atiyah dan Wadi Mujeb yang merupakan antara kisah terkenal dikalangan Bani Atiyah dan puak Ma'aitah di Karak.

Kisah ini berlaku kira-kira 50 tahun yang lalu di mana seorang dari Bani Atiyah yang bernama Sulaiman telah membunuh seorang lelaki dari kabilah Ma'aitah di dalam sebuah pergaduhan. Selepas kejadian itu, Sulaiman Bani Atiyah telah menyembunyikan diri di kawasan Wadi Mujeb dan hidup di situ dengan bersembunyi dan memburu untuk mendapatkan makanan.

Menurut sejarah lisan dari penduduk tempatan, beliau telah bersembunyi di dalam gua yang terdapat di situ dan akan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan. Beliau mencari makanan di sekitar kawasan perkampungan kecil di Wadi Mujeb. Akhir hayatnya tidak diketahui.

Potongan Qasidah di atas menceritakan keadaan Sulaiman Bani Atiyah yang hidup bersembunyi di Wadi Mujeb.

Abuyi Mujeb Wa Akhuyi Mleih.
Bapaku Mujeb dan Saudaraku Mleih : Bermaksud beliau hidup bersendirian di kawasan tersebut tanpa saudara mara yang lain. Mujeb menjadi bapanya dan Mleih (sebuah kawasan berhampiran Mujeb) menjadi saudaranya.

Wa Abu Sya'ar Jaddali
Jaddali boleh dimaksudkan dengan memintal-mintal. Beliau hidup bersembunyi sekian lama dan penulis qasidah tersebut membayangkan beliau yang sudah berambut panjang memintal-mintal rambutnya. Di sini boleh dimaksudkan juga dengan Abu Sya'ar yang merupakan nama sebuah kampung kecil yang juga terdapat berhampiran Wadi Mujeb.

Aku pernah bertanya tentang Qasidah ini kepada Aid dan dia turut menyatakan bahawa ia antara Qasidah yang terkenal di Karak terutamanya dikalangan Bani Atiyah yang kini menetap di Qatranah dan kabilah Ma'aitah yang kebanyakkan mereka menetap di 'Adir, sebuah perkampungan kecil di dalam muhafazah Karak.


Kini kawasan Wadi Mujeb telah dibangunkan menjadi salah satu empangan air utama di Jordan. Kawasan Wadi Mujeb sememangnya mewah dengan ratusan mata air dan ia merupakan lembah yang luas dan curam.

Sebelum wujudnya jalan padang pasir Amman ke Karak, Wadi Mujeb menjadi laluan utama penduduk Karak untuk ke Amman. Jalanraya yang melalui lembah Mujeb dikenali dengan Shariq Muluki telah di asaskan sejak era kerajaan Rum. Jalan ini menghubungkan Amman ke Madaba, Dhiban, Wadi Mujeb, Al-Qasr dan terus ke bandar Karak melalui Dataran Shihan.


0 komen: