Tuesday, April 28, 2009

Tragedi Dahsyat di Antakiah

Masjid Habibinajjar- Ottoman Style

Surah Yassin mulai ayat 13-29 menceritakan mengenai Ashabul Qaryah di mana ayat tersebut mengisahkan 2 orang utusan telah diutus kepada satu masyarakat di sebuah bandar lalu mereka ingkar dan menolak 2 utusan tersebut lalu diutuskan kepada masyarakat mereka utusan ketiga, juga dimaki, dikeji dan dihamun oleh penduduk di bandar atau kota tersebut.

Tatkala sedang mereka ingin menghapuskan rasul-rasul pembawa kebenaran datang seorang lelaki yang dikenali dengan Habibinajjar mengajak mereka untuk taat pada seruan yang di bawa. Namun mereka tetap ingkar malah Habibinajjar pula dipijak dan dibunuh. Maka Allah telah melenyapkan penduduk di situ dengan satu suara pekikan yang amat dahsyat.

Kebanyakkan Ahli Tafsir menyatakan peristiwa itu berlaku di Antakiah atau disebut Antioch. Ia merupakan sebuah bandar kecil yang kini terletak di dalam wilayah Hatay di negara Turki.

Al-Qurtubi menyatakan kota tersebut adalah Antakiah di mana 3 utusan yang diutuskan itu ialah Shadiq, Mashduq dan Syam'un. Mereka adalah pengikut Nabi Isa a.s

Antakiah terletak di Sungai 'Asi yang bermula dari negara Lubnan melalui Syria dan berakhir di Turki. Antakiah juga terletak berhampiran persisiran pantai Lautan Mediterranean yang kini kawasan tersebut dikenali dengan Samandaq atau nama lamanya Suwaidiyyah.

Menurut sejarah, Antakiah dibangunkan oleh Selauqas I pada tahun 307 masihi dan pernah ditakluk oleh Iskandar Zulqarnain sebelumnya. Pada zaman kerajaan Islam Abassiah, bandar Antakiah ini turut menjadi wilayah penting dan dinilai sebagai kota yang indah, punyai air dan penuh kebaikkan.

Antakiah pernah menjadi wilayah Syria sebelum diambil oleh negara Turki pada 23 Julai 1939 dalam satu keputusan yang dibuat oleh Parlimen Turki. Namun hingga kini Syria masih menganggap Antakiah sebagai wilayah mereka dan ada cetakan peta negara Syria masih meletakkan Antakiah di dalam negara mereka. Oleh sebab itu, sekiranya kita berada di Antakiah, dapat dilihat masyarakatnya hampir 60% adalah bangsa arab dan mereka masih bertutur di dalam Bahasa Arab.

Di bandar inilah disemadikan jasad Habibinajjar dan salah seorang dari 3 orang utusan tersebut iaitu Syam'un. Makam mereka boleh diziarahi umum di Masjid Habibinajjar yang terletak di tengah-tengah bandar moden Antakiah (Street Kemal Pasha).

Makam Habibinajjar di Antakya, Turki

Di dalam masjid tersebut turut ditempatkan Makam Nabi Yunus A.s dan Nabi Yahya a.s. Namun kisahnya kurang jelas bagaimana kedua-dua Rasul tersebut dimakamkan disitu. Mungkin makam yang dimaksudkan hanya tempat persinggahan.

Apapun yang penting, kisah ini benar-benar telah berlaku bahkan dipahat di dalam Al-Quran dan marilah kita menghayati ayat 13-29 Surah Yassin ini dan mengambil iktibar dari kisahnya.

Surah Yassin berserta terjemahan mulai ayat 13 hingga 29 :-

13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan Yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) Iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) Dengan Rasul Yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya Kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.
15. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti Kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama Yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".
16. Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui Bahawa Sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul Yang diutus kepada kamu,
17. "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya Dengan cara Yang jelas nyata".
18. Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya Kami merasa nahas dan malang Dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas Yang kamu katakan itu), tentulah Kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya".
19. Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) Yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam Kami Dengan apa Yang kamu katakan itu)? (kamu bukanlah orang-orang Yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".
20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -
21. "Turutlah orang-orang Yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
22. Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): "Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan Yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
23. "Patutkah Aku menyembah beberapa Tuhan Yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
24. "Sesungguhnya Aku (kalau melakukan syirik) tentulah Aku pada ketika itu berada Dalam kesesatan Yang nyata.
25. "Sesungguhnya Aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.
26. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke Dalam Syurga". ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -
27. "Tentang perkara Yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang Yang dimuliakan".
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
29. (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan Dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka Dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi

0 komen: