Wednesday, July 23, 2008

Travelogue 'Sepurnama Bergelandangan'

Entry kali ini saya ingin mempromosikan blog kawan yang saya kenali setahun yang lalu di Jordan iaitu Usop@talam kuning yang kini sedang menuntut dalam bidang Perubatan di Odessa, Ukraine. Blog yang sedang beliau tulis bersama Yeop@djambu puadovich menceritakan pengembaraan mereka ke 10 buah negara di Eropah yang bermula di Odessa Ukraine dan akan kembali ke Odessa semula dalam tempoh sebulan. Pengembaraan mereka berdua telah bermula pada 20 Julai 08. Semoga perjalanan mereka pergi dan balik dilindungi Allah.

Ikuti kisah pengalaman mereka menjelajah ke 18 buah kota dalam 10 buah negara di Eropah (update setiap hari di bandar-bandar yang mereka jejaki)

SEPURNAMA TRAVELOGUE


Bersama Usop (berbaju putih) di Jabal Matal sewaktu menemani beliau dalam pengembaraannya di Jordan pada Ogos 2007

Kenangan di Pantai Timur

Alhamdulillah saya dan isteri selamat tiba di Ipoh awal pagi semalam dengan menaiki bas Ekspress Utama dari bandar Kemaman. Sepanjang 4hari 3malam berada di pantai timur banyak juga pengalaman baru yang dapat termasuk berjalan-jalan ke beberapa destinasi di Kemaman dan Kuantan.

Gambar-gambar kenangan sepanjang berada di pantai timur.


Di majlis kenduri Zaid pada hari kedua di Kemaman (19 Julai 2008)
Majlis berlangsung dengan meriah. Gambar-gambar lain boleh ditelek di blog Emak Zaid iaitu Makcik Ina
di silversarina.blogspot.com

Pertama kali makan otak-otak, pais, satar, nasi air dan sotong goreng bersalut tepung di Restoran Otak-otak Che Wan berdekatan Pantai Teluk Mak Nik, Geliga.

Batik Terengganu di tingkat bawah The Store Kemaman

Gua Charas di Panching, Pahang
Gua Charas menjadi tumpuan para arkeologi dan geologi kerana keunikkan bentuk muka buminya dan kesan tinggalan sejarah yang ada. Di kawasan tersebut terdapat juga Gua Gajah, Gua Buddha, Gua Tiga Beradik, Gua Puteri Bersikat, Gua Pecah, Gua Batu Nisan Raja, Gua Lubang Dalam dan Gua Lubang Hidung

Muzium Sungai Lembing menyimpan sejarah khazanah perlombongan bijih timah di kawasan tersebut. Sungai Lembing suatu ketika dahulu merupakan kawasan terkaya dalam pengeluaran bijih timah di Pahang dan merupakan kawasan galian bijih timah kedua terbesar di dunia selepas Bolivia

Kawasan hutan lipur dan air terjun Sungai Pandan atau dikenali juga dengan air terjun Panching

Saturday, July 19, 2008

Ganu Kite!

Alhamdulillah saya dan isteri selamat tiba di bandar Kuantan pada jam 4.35 petang setelah menempuh perjalanan lebih 7 jam dari Ipoh. Dalam fikiran saya bas ekspress Utama dari Medan Gopeng Ipoh akan terus bergerak dari Susur keluar PLUS Simpang Pulai terus menuju ke Kuala Lumpur tetapi bas singgah di Kampar, Tapah, Bidor dan Tanjung Malim untuk mengambil penumpang.

Hujan lebat turun ketika bas melalui kawasan Lanchang dan berhenti di Temerloh untuk menurunkan penumpang. (Route Bas Ipoh-Temerloh-Kuantan). Alhamdulillah saya dan isteri selamat tiba di Kuantan. Zaid dan isterinya sudah menunggu kami di Terminal bas Kuantan.

Keadaan sesak di Kuantan membuatkan perjalanan ke Kemaman berlaku sedikit kelewatan. Kami tiba di rumah Zaid jam 8.15 malam setelah berhenti solat asar Jamak Takhir di Masjid Sungai Ular.

Suasana di rumah Zaid sudah sibuk dipenuhi saudara mara untuk persediaan kenduri esok. Setelah makan malam kami ke tempat penginapan yang telah di sewa oleh keluarga Zaid iaitu di Seri Tempurung Homestay terletak tidak jauh dari rumahnya di Bandar Baru Bukit Mentok.

Seri Tempurung Homestay

Pertama kali tiba di Terengganu terasa teruja untuk berjalan-jalan dan melihat keindahan di bumi pantai timur Malaysia ini. Esok selepas selesai kenduri di rumah Zaid bolehlah merancang berjalan-jalan di Terengganu sehari dua sebelum bertolak balik ke Ipoh.

Thursday, July 17, 2008

Harga minyak yang menekan!

Sekarang musim makan durian. Semalam balik kampung di Parit Buntar ada juga durian dari dusun di Relau, Pulau Pinang yang dihantar oleh keluarga yang pergi mengutip sehari sebelumnya. Saya dan isteri sudah tak larat nak makan kerana asyik dok melantak durian sahaja di Ipoh dan baru-baru ini di Tapah. Tambahan Usop@Talam Kuning dah pesan.. "Jangan makan banyak sangat durian Ust Jimin, nanti High Kolestrol"

Sempat sehari sahaja balik ke kampung di Parit Buntar ziarah emak ayah dan terpaksa balik ke Ipoh sehari selepasnya kerana isteri ada tugas dan kami perlu ke Medan Gopeng untuk mencari tiket bas ke Kemaman untuk memenuhi jemputan kenduri sahabat baik saya Zaid. Emak ayah Zaid Makcik Ina@silversarina dan Pakcik Anuar saya sudah anggap macam keluarga sendiri.

Musim-musim kos hidup semakin melambung tinggi ini menaiki bas/pengangkutan awam adalah jalan terbaik untuk jimat duit. Kalau dikira-kira kos dari Ipoh nak ke Kemaman sekarang ini duit minyak dan tol rasanya sudah menjangkau RM1000. Isi minyak RM50 baru dapat 18.5 Liter. Belum masuk nak beli barang-barang dan nak singgah-singgah makan lagi. Semuanya kena fikir masak-masak. Kalau main belanja saja memang 'parah' jadinya.

Malam ini program Solat Hajat dan berbuka puasa akan diadakan di Stadium Ipoh dan disusuli dengan ceramah oleh MB Perak dan Ust Ahmad Awang selaku Pesuruhjaya PAS Negeri. Program kali ini saya tidak dapat sertai kerana berada di K.L untuk beberapa urusan dan mahu ke Lowyat untuk mengambil HDD saya yang telah rosak 2 tahun lalu yang berjaya 'dipulihkan' segala dokumen di dalamnya oleh seorang rakan yang bekerja di Sri Comp iaitu Amin. Amin pernah mengambil Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Programming Comp dan kini beliau mengambil Diploma di UM dalam Bidang Syariah. Amin seorang yang mesra dan mudah bermuamalah serta mahir dalam selok belok komputer.

Bas ke K.L lagi sejam (sempat aku menulis entry ini). Tambang pergi dan balik baru RM30. Kalau drive kereta sendiri pergi dan balik minyak dan tol kurang-kurang habis RM200 dari Ipoh-K.L-Ipoh

Sedih, negara pengeluar minyak, tapi rakyat hidup tertekan dengan harga minyak yang mahal. Buatla debat, rencana, bloggers menghentam kerajaan dalam blog masing atau apa jua perarakan/demontrasi diadakan.. harga minyak bukan boleh turun pun! Harta negara terus dirompak oleh mereka-mereka (Pemimpin Haprak UMNO dan BN). Rakyat perlu bersatu TUKAR KERAJAAN!.. InsyaAllah amanah negara akan dijaga oleh mereka yang lebih layak.

Ok. Beransur dulu. Wassalam.

Sunday, July 13, 2008

Bersama keluarga di Kampung Bermin

Di dusun durian abah berdekatan Kampung Bermin
(Kampung Beghomin kata orang Perak)


Hari ini hujung minggu saya telah menghabiskan masa bersama isteri tercinta berkunjung ke rumah arwah Pak Yeop di Kampung Bermin, Tapah. Setelah Pak Yeop (abang sulung abah) meninggal kira-kira 2 tahun yang lalu, rumah di Kampung Bermin masih dijaga oleh Mak Yeop dan anak perempuannya Kak Nita.

Program hari ini telah dirancang oleh Mak Nik (kakak abah) yang menetap di Kuala Lumpur. Beliau merancang perjumpaan beberapa ahli keluarga untuk makan tengahari di rumah Mak Yeop dan pergi ke dusun abah untuk mengutip durian.

Suasana meriah dan sekaligus saya dapat berkenalan dengan ahli keluarga baru sebelah isteri. Keadaan disekeliling rumah Mak Yeop sangatlah tenang dengan dusun yang menghijau tambahan landskap sekeliling dihias dengan indah. Kak Nita anak Mak Yeop pula membela kambing secara besaran. Pondok kecil dibina dengan dinding buluh beratapkan rumbia di dusun.

Jam 10.30 pagi saya bersama ahli keluarga lain terlebih dahulu ke dusun durian. Perjalanan pergi dan balik dari dusun hampir 3km merentasi Sungai Batang Padang menggunakan titi gantung dan meredah kebun-kebun lain yang terdapat di kawasan tersebut.

Balik makan tengahari yang dimasak oleh opah dan Mak Nyah. Selepas dah kenyang saya bersama saudara yang lain berjalan kaki menuju kawasan air terjun untuk mandi manda. Kak Nita menjadi guide kami bawa ke air terjun yang tak ramai dikunjungi awam. Jauh juga berjalan dari rumah Mak Yeop ke kawasan air terjun tersebut. Ia merupakan kawasan air terjun Kuala Woh tetapi berada di kawasan atas.

Hari ini penuh ceria. Satu percutian yang amat menyeronokkan.


Perlu melintasi titi gantung menyeberangi Sungai Batang Padang

Di dalam perjalanan ke dusun. Di dalam perjalanan banyak Mak Nik cerita jenis-jenis pokok yang sebelum ini memang saya tidak ketahui. Antaranya pokok Terap, Lekir, Setar, Jati dan lain-lain

Cik Cu (adik abah) sedang asingkan buah durian yang elok dan yang kurang elok disimpan untuk dibuat tempoyak. Hasil hari ini kurang banyak. Buah teramat banyak di atas pokok tetapi belum luruh. Cik Cu target dalam masa seminggu akan datang mewah durian di dusun abah (ada lebih kurang 40 pokok)

Pokok Lekir

Pucuk ubi dan pucuk paku pakis yang telah dikutip oleh isteri dan emak sedara di dusun dan disepanjang perjalanan balik

Buah ini tidak diketahui nama. Cik Cu ambil dalam perjalanan balik dari dusun dan ingin dapat kepastian nama buah ini dari Opah. Akhirnya Opah pun tak tahu nama buah ini. Ada sesiapa yang tahu?

Jaras berisi durian yang aku tanggung dari dusun ke rumah Mak Yeop. Best juga bersenam mengangkut durian nih

Suasana di dusun Mak Yeop bersebelahan rumahnya

Kambing yang dibela oleh Kak Nita

Daun Napier yang ditanam sendiri oleh Kak Nita. Dikisar dengan mesin untuk makanan kambing

Lunch Time
Masakan Opah dan Mak Nyah (kakak sulung abah). Menu tengahari tadi amat menaikkan selera. Nasi Putih dengan Petai, Ulam-ulam, Kari Ayam, Ikan Goreng, Telur bungkus, Masak Lemak Nenas dengan Udang dan yang paling best ialah sambal machang.

Adik2 dan sepupu

Meredah laluan hutan untuk ke kawasan air terjun

Melalui kebun pisang, betik dan lain-lain tanaman sebelum tiba di kawasan air terjun. Pemandangan sekeliling yang amat cantik dan tenang

Kawasan sungai dan air terjun yang tidak sibuk dengan pengunjung lain. Lama juga tak mandi air terjun dan tak lepaskan peluang untuk berendam

Saturday, July 12, 2008

Makan Kenduri di Hilir Perak

Hari ini aku bersama isteri dan adik-adik ipar serta semua pekerja di Kediaman MB Perak telah pergi ke Teluk Intan untuk memenuhi jemputan Majlis Perkahwinan pembantu peribadi emak iaitu Puan Hamisah binti Abas.

Selamat pengantin baru diucapkan kepada Puan Hamisah dan suami. Semoga dilindungi Allah, bahagia dunia dan akhirat.

Kami tiba pada jam 3.00 petang dan merupakan tetamu-tetamu terakhir. Jika di Pulau Pinang dan tempat saya di Parit Buntar pada jam 3.00 petang suasana masih penuh dengan tetamu. Mungkin adat di Teluk Intan tetamu datang pada tengahari dan berkurangan menjelang waktu 2.30 petang?. Sesiapa orang Teluk Intan boleh beri info ye..

Bergambar kenangan bersama pengantin, Puan Hamisah (duduk 2 dari kanan). Pengantin lelaki sudah berehat di dalam rumah. Tak sempat bergambar. Bah kata Kak Misah, pengantin lelaki sudah 'koma'. Letih melayan tetamu yang ramai barangkali.

Harga minyak di Jordan naik lagi

Gambar yang sempat aku ambil ketika berada di Jordan Februari lalu. Harga disel tertera pada meter 555 Fils seliter yang mana ketika itu baru menerima kenaikkan mendadak dari 310 Fils. Semalam selepas kenaikkan kali keenam untuk tahun ini harga kini ialah 770 Fils)

Hari ini saya mendapat SMS dari sahabat baik rakyat tempatan Jordan memberitahu bahawa harga minyak naik lagi di Jordan. Di akhir ayat smsnya sedikit mencarut terhadap kerajaan memerintah.

Kebetulan pagi tadi ketika membaca New Straits Times terdapat pula artikel mengenai kenaikkan harga minyak di Jordan. Artikel kecil bertajuk 'Jordan's 10th oil price hike'. Memang aku termenung seketika teringatkan kawan-kawan di sana. Teringat kawan-kawan arab di Karak kursusnya. Mereka sudahlah susah, miskin. Naik lagi harga minyak yang mensahihkan lagi semua barangan keperluan seharian terus naik. Kawan-kawan pelajar Malaysia di sana juga sudah pasti terasa perit dengan kenaikkan harga minyak. Beras, minyak masak dan segala keperluan dapur dan rumah melambung. Tambang coaster dan bas confirm naik.

Bagi kawan-kawan yang dapat biasiswa tak kisah. Duit mereka banyak dan cukup untuk hidup. Tambahan lagi biasiswa sudah naik 100%. Yang aku kesian kawan-kawan yang belajar di sana semua belanja ditanggung oleh emak ayah dan mengharapkan wang zakat dari negeri masing-masing serta pinjaman yang belum tentu dapat (sebab aku pernah merasai peritnya). Aku harap korang semua tabahlah kat sana. Rezeki untuk mereka yang ikhlas menuntut ilmu terutama ilmu agama pasti Allah berikan kemudahan. Kembali betulkan niat.

Kenaikan harga minyak semalam di Jordan merupakan kenaikkan kali ke-10 dalam tempoh 2 tahun dan kali keenam untuk tahun 2008 ini. Semasa aku berada di Jordan awal bulan lepas berlaku kenaikkan dari 550 Fils ke 620 Fils. (1000 Fils bersamaan RM 4.56) dan baru seminggu aku berada di Malaysia, kawan rakyat tempatan di sana memaklumkan kenaikkan lagi dan dia turut mengeluh untuk menjual keretanya jika keadaan terus teruk. Nak jaga kereta lebih teruk dari nak jaga isteri.

Kini harga petrol tanpa plumbum di Jordan 840 Fils (naik 35 Fils) dan harga disel meningkat ke 770 Fils. Sekiranya harga minyak dunia naik sehingga USD 200 setong, tak mustahil minyak di Jordan mencecah harga JD1 (1000Fils) seliter bahkan mungkin lebih dari harga itu.

Bagi diri aku, apa yang difikirkan ialah perniagaan pelancongan yang kini semakin bertambah kosnya. Apa lagi yang penting untuk satu-satu perniagaan pelancongan - Bus, Hotel, Makanan. Semua melambung naik di Jordan & Syria.