Tahun 63 Sebelum Masihi, Jerash dikuasi oleh Jeneral Pompeii dari Rum Timur yang menukar nama Jerash kepada Gerasa.
Jerash turut dipengaruhi rakan perdagangan dan sekutunya iaitu kerajaan arab Nabatean dalam pelbagai aspek. Pada 106 masihi Maharaja Rum Trajan berpendapat bahawa arab Nabatean adalah musuh lalu serangan dilancarkan ke atas pusat mereka di Petra. Tanda kemenangan mereka dipamerkan dengan terbinanya gerbang utara dihujung Cardo.
Tugu Hadrian atau tugu kejayaan merupakan monumen pertama yang kelihatan dari pusat pelancongan Jerash. Dibina pada 130 masihi sebagai meraikan kedatangan Mahajara Rum Hadrian.
Tahun 395 masihi menyaksikan agama kristian menjadi agama dominan di Jerash sehingga di era Maharaja Justinian (527-565 Masihi) bilangan gereja meningkat kepada 12 buah.
Pada 614 masihi, Jerash dikuasai Parsi yang membinasakan hampir semua monumen mereka, namun Rum dibawah pimpinan Maharaja Hercules pada 627 masihi telah merampas semula Jerash dan kerajaan Arab Ghassan berada dibawah pemerintahan mereka.
Pada 636 masihi merupakan detik dimana Islam menguasai Jerash dan kegemilanganya ternyata pada zaman Umawiah. Ia terkenal sebagai lombong perak dan gangsa disamping kawasan industri tembikar. Antara binaan yang kekal ialah masjid Umawiah Jerash antara masjid tertua di Jordan.
Tahun 749 masihi Jerash dilanda gempa bumi yang menyebabkan populasi penduduknya merudum kepada 4000 sahaja.
Jerash tidak terkecuali daripada bahang Perang Salib apabila Raja Baldwin I (1058M-1118 masihi) cuba menguasainya namun gagal dan pada percubaan menguasai Syria, tentera salib telah memusnahkan sebahagian kawasan Jerash dan membakarnya.
Pada zaman Turki Uthmaniah bandar ini dipelihara dan masjid telah didirikan. Jerash telah menjadi daerah di bawah kerajaan Jordan dengan mandat British (Trans-Jordan) sehinggalah Jordan mencapai kemerdekaan pada tahun 1946. Jerash menjadi sebuah tapak arkeologi utama di Jordan.
Peta Old City Jerash Kesan tinggalan sejarah yang terdapat di kota Jerash1. Arka Hadrian (Hadrian's Arch)
Dibina bersempena lawatan Maharaja Hadrian ke Gerasa pada tahun 129 masihi. Arka ini dibina sebagai gerbang utama di bahagian selatan.
2. Hippodrome
Arena besar ini berukuran 245m panjang dan 52m lebar. Hanya sebahagian daripadanya dibina semula setelah rosak akibat gempa bumi. Ia boleh menempatkan 15,000 penonton bagi menyaksikan perlumbaan kereta kuda dan sukan-sukan lain. Tarikh sebenar pembinaannya tidak diketahui. Namun ada pandangan menyatakan ia dibina sekitar pertengahan kurun ke-2 dan kurun ke-3.
3. Dinding-dinding Kota dan Pintu Selatan (City Walls And South Gate)
Dibina pada awal kurun ke-4 berkemungkinan dibina oleh Maharaja Diocletian pada zaman Byzantium dan panjang keseluruhannya adalah 3456 meter. Pelancong memasuki kota Jerash melalui pintu selatan yang telah dibina pada tahun 130 berbentuk corak dan ukiran daun Acanthus.
4. Medan Bujur (Oval Plaza)
Medan ini berkeluasan 90x80 meter dan dikelilingi kaki lima yang luas dan ditengahnya terdapat 2 kolam bersama pancutan air yang dibina pada kurun ke-7. Barisan tiang dibina daripada senibina Yunani. Sebahagian besar tiang-tiang tersebut diubahsuai pada kurun ke-2 dengan barisan tiang-tiang Corinthian. Medan bujur yang tidak bersimetri ini dianggap aneh bagi bandar-bandar klasik, tetapi ia mempunyai peranannya yang kursus di Jerash iaitu membenarkan paksi barat Laut kuil Zeus agar selari dengan paksi Utara-Selatan Cardo dan seluruh bandarnya. Pelancong yang menuju ke medan ini daripada selatan tanpa disedari ia akan menghala ke utara iaitu permulaan Cardo.
5. Jalan Jajaran Tiang (Colonnaded Steet)
Batu-batu asal masih kekal di Jalan jajaran tiang dan kesan roda kereta kuda masih kelihatan pada jalan tersebut.Cardo sepanjang 800 meter ini merupakan 'tulang belakang' senibina dan tumpuan kegiatan penduduk Gerasa. Jalan jajaran ini telah dilebarkan ke bentuk Corinthian yang dilihat pada hari ini (kecuali dihujung Utara Cardo). Akhir Kurun ke-2 (lebih kurang selepas tahun 170), dibina kaki lima yang lebar dengan kedai-kedai. Terdapat juga sistem kumbahan bawah tanah yang mengalir di sepanjang Cardo serta lubang-lubang yang wujud ditepi-tepi jalan bagi mengalirkan air hujan. Struktur-struktur terpenting bandar ini telah diatur disekeliling Cardo termasuk pasar, kuil, pancutan air dan binaan-binaan awam yang lain. Ketika melalui jalan ini, anda akan melihat beberapa monumen penting dan bangunan awam seperti Agora.
6. Pasar (Macellum)
Setelah separuh jalan di Cardo tiang-tiang menjadi lebih besar dan tinggi menandakan pintu masuk ke Macellum atau pasar iaitu sebuah bangunan di sebelah kiri Jalan jajaran tiang. Inskripsi berhampiran air pancutan berbentuk kepala singa bertarikh 211 masihi.
7. Selatan Tetrapylon (South Tetrapylon)
Simpang empat Cardo dengan jalan lintas yang pertama, Selatan Decumanus telah ditandakan dengan 4 tapak (masih kelihatan), yang disokong tiang dan berkemungkinan berstruktur piramid.
8. Jambatan Selatan (South Bridge)
Decumunus Selatan disebelah kanannya ialah sebuah jambatan sepanjang 73m yang menuju ke dinding bandar dan penempatan Gerasa. Sebahagian besar daripadanya kini telah ditimbusi Jerash moden (bandar Jerash sekarang) kecuali Permandian Timur.
9. Rumah-rumah Umawiah
Dihujung Barat Decumunus selatan merupakan penempatan awal kerajaan Islam Umawiah yang diduduki sejak 660 hingga 880 masihi.
10. Gereja Utama (Cathederal)
Di sebelah kiri Cardo pula ialah sebuah gerbang yang kaya dengan ukiran daripada kurun ke-2 kuil Rum Dionysus. Pada kurun ke-4 kuil ini dibina semula sebagai Gereja Byzantium, dikenalpasti sebagai Gereja utama. Walaubagaimanapun tiada bukti mengatakan bahawa ia lebih penting daripada gereja-gereja lain. Di atas tangga pada dinding timur Gereja ialah tempat keramat Maryam, dengan inskripsi lukisan Maryam dan malaikat Miikail dan Jibrail.
11. Gereja St. Theodore (Church Of St.Theodore)
Terletak berdekatan gereja utama. Gereja besar ini telah dibina pada 496 masihi. Di antara gereja ini dan barat pintu masuk gereja utama ialah sebuah medan kecil dengan pancutan air ditengahnya. Medan pancutan air ini pada asalnya merupakan Atrium gereja Utama (Cathederal). Laluan paip bawah tanah yang menyalurkan air ke arah pancutan air boleh dilihat sebagai satu garisan condong yang dibina daripada batu yang diturap.
12. Pancutan Air Awam (Nymphaeum)
Pancutan ini dibina pada 191 masihi dan ditujukan untuk Nymphs. Pancutan air ini biasa ditemui di bandar-bandar Rum dan bertindak sebagai tempat tumpuan kegiatan sesuatu bandar. Pancutan air ini dihiasi dengan marmar di bahagian bawah dan di bahagian atasnya lepa berwarna dan dibumbungi oleh separuh kubah. Air memancut melalui tujuh ukiran kepala singa ke besen (besen besar granit yang berwarna merah ialah tambahan pada zaman Byzantium) yang kemudiannya akan mengalir ke saluran bawah tanah.
13. Gerbang (Propylaeum)
Perarakan ke Kuil Artemis asalnya bermula di seberang sungai Gerasa yang kini ditimbusi oleh Jerash Moden. Dengan melintasi Cardo, penyembah-penyembah melalui gerbang ini dan berarak menuju ke Kuil Artemis. Gerbang ini merupakan tiang-tiang dan Portico (bumbung yang ditunjangi oleh tiang) yang diukir. Portico tersebut kini telah runtuh.
14. Kuil Esplanad (Temple Esplanade)
Tangga ini asalnya ditutupi oleh dinding tinggi menuju ke sebuah teres berbentuk lengkok di mana sebuah tapak terbuka telah dibina. Tangga yang kedua pula menganjur ke arah 22 Jajaran Tiang Corinthian dan ke Temenos. Keluasan tempat suci ini ialah 162 x 121 meter dan terdapat 4 tiang di setiap penjuru.
15. Gereja Propylaeum (Propylaeum Church)
Gereja Byzantium ini telah dibina pada kurun ke-6 di atas tapak courtyard yang merupakan sebahagian daripada jalan perarakan. Tiang-tiang ini telah digunakan sebagai sebahagian daripada gereja.
16. Masjid Umawiah (Umayyad Mosque)
Di sebelah kanan dibelakang 4 tiang Corinthian ialah satu-satunya masjid di Kota Jerash yang dikenali sebagai Masjid Umawiah. Ia dibina pada kurun ke-7 atau ke-8. Masjid itu dibina daripada bahan-bahan yang diambil dari rumah-rumah Rum.
17. Permandian Barat (West Bath)
Permandian barat disebelah kanan meliputi kawasan seluas 50x70m dan kini terbiar selepas gempa bumi pada Januari 749 masihi. Ia merupakan sebuah kompleks bilik-bilik panas dan sejuk serta kemudahan-kemudahan lain.
18. Utara Tetrapylon (North Tetrapylon)
Tetrapylon yang kedua ini terletak di Decumunus Utara di persimpangan Cardo. Ia dibina ketika bandar Jerash direka bentuk semula. Berkemungkinan dibina sebagai pintu gerbang untuk ke teater Utara. Kemudiannya ia ditujukan kepada Julia Domna isteri kepada Maharaja Septimius Severus yang berbangsa Syria. Berkemungkinan ia mempunyai kubah sebagai bumbung, hiasan, ukiran dan arka.
19. Jalan Jajaran Tiang Utara (North Colonnaded Steet)
Selepas Tetrapylon Utara ialah Cardo yang tidak pernah dilebarkan dan kekal dengan tiang-tiang dari rekabentuk Yunani (Ionic).
20. Pintu Gerbang Utara (North Gate)
Terletak dihujung Cardo. Dibina pada 1115 masihi. Sendalnya yang berbentuk pelik berkemungkinan diperlukan untuk menyelarikan pintu gerbang dibahagian dalam dengan Cardo serta menyelarikan bahagian luar dengan jalan Rum yang menuju utara ke bandar Decapolis Pella (Tabaqat Fahal).
21. Teater Utara (North Theater)
Terletak berhampiran Decumunus Utara. Teater Utara telah dibina pada 165 masihi. Berhadapan medan jajaran tiang terdapat tangga yang menuju ke pintu masuk teater. Pada asalnya teater ini hanya terdapat 14 barisan tempat duduk dan biasanya digunakan untuk persembahan dan mesyuarat ahli Majlis Bandaraya ketika itu. Nama-nama perwakilan akan termaktub pada tempat duduk berserta dengan nama dewa-dewa. Pada 235 masihi, teater ini telah dibesarkan kepada kapasiti berjumlah 1,600. Dua laluan dibina sebagai tempat masuk okestra dan penonton masuk melalui laluan di antara barisan atas tempat duduk. Sejak kurun ke-5, teater ini tidak digunakan lagi. Banyak dari batu binaanya diambil dan digunakan untuk pembinaan bangunan lain.
22. Gereja Uskup Isaiah (Church Of Bishop Isaiah)
Dibina pada 559 masihi dan digunakan sehingga gempa bumi pada tahun 749 masihi
23. Kuil Artemis (Temple Of Artemis)
Artemis anak perempuan Zeus dan adik kepada Apollo merupakan dewa Gerasa. Walaupun kecil, tiang-tiang Corinthian tersergam indah daripada puncak bukit. 11 daripada 12 tiang masih berdiri tegak. Bahagian dalam kuil ini pada asalnya terdapat bidur-bidur marmar dan tempat suci yang berkemungkinan letaknya patung dewa.
24. Tiga Gereja (Three Churchs)
Sekurang-kurangnya 15 gereja-gereja Byzantium telah dijumpai di Jerash dan dikenalpasti selebihnya masih tertimbus. 3 daripadanya adalah di utara Gereja St.Cosmos dan St.Damian mempunyai lantai mozek yang tercantik di Jerash. Inskripsi pada mozek-mozek itu bertarikh 553 masihi, dan imej-imej gereja serta St. Theodore bersama isterinya Georgia sedang berdoa. Berada di tengah ialah gereja St.John The Baptist bertarikh 531 masihi. Lantai mozeknya kini sudah musnah mempunyai imej-imej empat musim, tumbuhan dan binatang, bandar Iskandariah dan Memphis di Mesir. Gereja St.George di selatan telah dibina pada 530 masihi dan terus digunakan selepas gempa bumi 749 masihi.
25. Gereja St.Genesius (Church of St.Genesius)
Lantai mozek gereja ini bertarikh 611 masihi, 3 tahun sebelum penaklukan Parsi.
26. Teater Selatan (South Theater)
Dibina ketika pemerintahan Maharaja Domitian antara 90-92 masihi. Ia boleh menempatkan lebih 3000 penonton. Pada asalnya, barisan pertama pentasnya adalah 2 tingkat tetapi telah dibina semula dan masih digunakan sehingga hari ini. Yang menakjubkannya ialah speaker pada tengah-tengah lantai okestra boleh di dengar oleh seluruh penonton tanpa meninggikan suara. Sesetengah tempat duduk boleh ditempah dan tulisan Greek masih kelihatan. Terdapat 2 laluan menuju ke okestra dan terdapat 4 laluan di belakang teater yang menghubungkan barisan-barisan atas tempat duduk.
27. Kuil Zeus (Temple Of Zeus)
Dibina pada 162 masihi. Daripada Medan Bujur terdapat anak tangga yang menuju ke sebuah Esplanad (di depan kuil) yang merupakan satu tempat yang suci. Pada asalnya sebiji batu terletak di Esplanad yang berfungsi sebagai satu tempat yang tinggi dan dianggap sebagai tempat suci (Nose) pada 100-80 sebelum masihi. Tempat suci ini diubahsuai pada 69-70 masihi dan pada kurun ke-2 masihi. Berkemungkinan dibawah pemerintahan Maharaja Hadrian. Dari situ terdapat satu lagi anak tangga yang menuju ke Kuil yang pada asalnya dikelilingi oleh tiang-tiang Corinthian setinggi 15m.
Jerash boleh dikunjungi dengan mudah dari bandar Amman dengan menaiki bas atau coaster awam dari Mujammak Tabarbur dengan jarak perjalanan hanya 35km. Semenjak Shariq Urdun siap sepenuhnya pada tahun 2007, perjalanan dari Amman ke Jerash menjadi lebih singkat. Tambahan Susur keluar ke Jerash dari Jalan Utama Amman-Irbid telah siap sepenuhnya pada tahun 2009.