Tuesday, April 28, 2009

Tragedi Dahsyat di Antakiah

Masjid Habibinajjar- Ottoman Style

Surah Yassin mulai ayat 13-29 menceritakan mengenai Ashabul Qaryah di mana ayat tersebut mengisahkan 2 orang utusan telah diutus kepada satu masyarakat di sebuah bandar lalu mereka ingkar dan menolak 2 utusan tersebut lalu diutuskan kepada masyarakat mereka utusan ketiga, juga dimaki, dikeji dan dihamun oleh penduduk di bandar atau kota tersebut.

Tatkala sedang mereka ingin menghapuskan rasul-rasul pembawa kebenaran datang seorang lelaki yang dikenali dengan Habibinajjar mengajak mereka untuk taat pada seruan yang di bawa. Namun mereka tetap ingkar malah Habibinajjar pula dipijak dan dibunuh. Maka Allah telah melenyapkan penduduk di situ dengan satu suara pekikan yang amat dahsyat.

Kebanyakkan Ahli Tafsir menyatakan peristiwa itu berlaku di Antakiah atau disebut Antioch. Ia merupakan sebuah bandar kecil yang kini terletak di dalam wilayah Hatay di negara Turki.

Al-Qurtubi menyatakan kota tersebut adalah Antakiah di mana 3 utusan yang diutuskan itu ialah Shadiq, Mashduq dan Syam'un. Mereka adalah pengikut Nabi Isa a.s

Antakiah terletak di Sungai 'Asi yang bermula dari negara Lubnan melalui Syria dan berakhir di Turki. Antakiah juga terletak berhampiran persisiran pantai Lautan Mediterranean yang kini kawasan tersebut dikenali dengan Samandaq atau nama lamanya Suwaidiyyah.

Menurut sejarah, Antakiah dibangunkan oleh Selauqas I pada tahun 307 masihi dan pernah ditakluk oleh Iskandar Zulqarnain sebelumnya. Pada zaman kerajaan Islam Abassiah, bandar Antakiah ini turut menjadi wilayah penting dan dinilai sebagai kota yang indah, punyai air dan penuh kebaikkan.

Antakiah pernah menjadi wilayah Syria sebelum diambil oleh negara Turki pada 23 Julai 1939 dalam satu keputusan yang dibuat oleh Parlimen Turki. Namun hingga kini Syria masih menganggap Antakiah sebagai wilayah mereka dan ada cetakan peta negara Syria masih meletakkan Antakiah di dalam negara mereka. Oleh sebab itu, sekiranya kita berada di Antakiah, dapat dilihat masyarakatnya hampir 60% adalah bangsa arab dan mereka masih bertutur di dalam Bahasa Arab.

Di bandar inilah disemadikan jasad Habibinajjar dan salah seorang dari 3 orang utusan tersebut iaitu Syam'un. Makam mereka boleh diziarahi umum di Masjid Habibinajjar yang terletak di tengah-tengah bandar moden Antakiah (Street Kemal Pasha).

Makam Habibinajjar di Antakya, Turki

Di dalam masjid tersebut turut ditempatkan Makam Nabi Yunus A.s dan Nabi Yahya a.s. Namun kisahnya kurang jelas bagaimana kedua-dua Rasul tersebut dimakamkan disitu. Mungkin makam yang dimaksudkan hanya tempat persinggahan.

Apapun yang penting, kisah ini benar-benar telah berlaku bahkan dipahat di dalam Al-Quran dan marilah kita menghayati ayat 13-29 Surah Yassin ini dan mengambil iktibar dari kisahnya.

Surah Yassin berserta terjemahan mulai ayat 13 hingga 29 :-

13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan Yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) Iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) Dengan Rasul Yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya Kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.
15. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti Kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama Yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".
16. Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui Bahawa Sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul Yang diutus kepada kamu,
17. "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya Dengan cara Yang jelas nyata".
18. Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya Kami merasa nahas dan malang Dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas Yang kamu katakan itu), tentulah Kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya".
19. Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) Yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam Kami Dengan apa Yang kamu katakan itu)? (kamu bukanlah orang-orang Yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".
20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -
21. "Turutlah orang-orang Yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
22. Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): "Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan Yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
23. "Patutkah Aku menyembah beberapa Tuhan Yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
24. "Sesungguhnya Aku (kalau melakukan syirik) tentulah Aku pada ketika itu berada Dalam kesesatan Yang nyata.
25. "Sesungguhnya Aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.
26. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke Dalam Syurga". ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -
27. "Tentang perkara Yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang Yang dimuliakan".
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
29. (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan Dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka Dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi

Monday, April 27, 2009

Wajah Wasatul Balad, Amman

Sesuatu yang menarik untuk saya kongsi bersama dalam entry kali ini. Gambaran untuk mereka yang belum pernah tiba di Amman, ibu negara Jordan. Mengamit semula memori untuk mereka yang pernah berkampung lama di bumi Jordan dan sesuatu yang boleh dilihat sendiri buat masa ini kepada mereka-mereka yang masih berada di bumi Jordan. Al-Urdun Awwalan.

Ia berkisar dengan satu kawasan yang dinamakan Wasatul Balad bermaksud pusat bandar atau ringkas dan mudahnya di sebut Balad- sentiasa menjadi tumpuan di bandar Amman. Ditempat ini tertumpu rakyat tempatan dan warga pelancong mengisi perut kerana terdapat restoran golongan untuk orang kebanyakkan- jimat dan sedap. Tempat ini menjadi tumpuan seharian penduduk di Amman membeli barang keperluan di Souq Khudr, Tempat ini menjadi tumpuan pada hari Jumaat masyarakat tempat mencari barangan terpakai yang berlonggok ditepi-tepi jalan dan semestinya tempat ini menjadi tumpuan warga Malaysia di Jordan 'membundle' pakaian terpakai dan akhwatnya sentiasa 'berkampung' di tempat ini sebelum pulang ke tanahair.

Bagi mereka yang belum pernah melihatnya, usahlah dibayangkan pusat bandar itu seperti Bukit Bintang atau Persiaran Gurney di Penang. Pusat bandar secara realitinya di Amman adalah satu kawasan lama yang menjadi tumpuan golongan marhaen di Jordan untuk membeli keperluan harian dan rata-ratanya harga barang di Balad jauh lebih murah berbanding kawasan elit lain seperti Abdoun, Jabal Hussein, Sweifiyah dan lain-lain di ibu kota Amman.

Gambar-gambar di bawah saya kongsi bersama pembaca dan untuk sahabat-sahabat seperjuangan yang pernah belajar di Jordan ia sudah pasti mengembalikan kenangan tentang Balad yang selalu korang semua pergi dulu.

Mereka-mereka yang datang dari arah Selatan Jordan mesti melalui jalan ini untuk ke Balad terutama bagi mereka yang menaiki Serfeece Wehdat ke Balad. (Alah! Serfeece yang terpaksa beratur panjang itu sambil menyumpah arab yang tak mahu beratur). Dari bukit Ashrafiyah ini sudah nampak Balad yang kiri kanannya di apit Jabal Akhdar dan Jabal Webdah.

Simpang Muhajirin dan Ras 'Ain yang arah kirinnya ke Balad terkenal kepada kepada mereka yang suka makan Sandwich kepala kambing. Kerna kat situ ada Mat'am Abu Musa.

Shariq Syagaf Sil. Jalan utama masuk ke Balad dari arah Selatan

Kawasan ini mesti sentiasa diingati oleh kaki-kaki 'bundle'. Kalau kecewa di sini sudah pasti satu Balad habis dipusing.

Entah apa yang best sangat kat Mat'am nih! Sanad Muttasil dari senior-senior dahulu bahawa Mat'am ini antara paling best menunya?

Rindu pada Jus Lemon, Tamarhind (Asam Jawa), Bartuqal (Oren) dan Laban Ayran (Susu segar dicampur sedikir garam). Biasanya setelah penat membeli barang di Balad, akan singgah di mana-mana gerai menjual jus. Khabarnya yang paling best kedai kat hujung nak masuk jalan ke Serfeece Balad-Wehdat. Kat situ ada air Tamarhind original. Biasa Tamarhind kat tempat lain adalah pewarna dan perisa tiruan.

Jalan utama dari Masjid Hussein Balad ke arah Muhajirin. Berada di Balad ketika hari Jumaat dapat menyaksikan manusia memenuhi jalan ini untuk solat Jumaat kerana ruang masjid sudah terlalu padat dengan manusia. Arabnya, Shishannya, Banglanya, Melayunya.

Hah! Kedai sebegini sangat laku dengan kehadiran para pelajar perempuan yang akan memulakan operasi shopping menyopping sebelum pulang ke Malaysia. Tapi bagi mereka yang dok di utara mungkin suka shopping di Ramtha atau Balad Irbid.

Lori tangki air akan selalu mendatangkan masalah lalu lintas ketika musim panas. Mana tidaknya sepanjang jalan utama ada hotel-hotel penginapan yang sudah kehabisan air. Lori-lori ini akan buat tidak peduli menaikkan air ke tangki air hotel dengan keadaan menghalang kenderaan dibelakang. Ketika itu akan didengari Balad amat bising dengan bunyi hon yang tidak sudah!

Berada di Balad juga semacam berada di konsert mini. Kedengaran lagu Nancy Agram, Isolah, Nawal Zugbi, Kazim Sahal dan lain-lain memekakkan suasana yang datang dari kedai-kedai menjual kaset dan CD. Kekadang kelihatan arab menari-nari dihadapan kedai seperti mereka yang menyanyi.

Aku suka makan di tempat sebegini. Restoran kecil ditingkat bawah premis-premis di Balad yang menyajikan Humus, Falafil, Foul dan Syai.

Penggila sup kaki kambing, sup ekor tentu mengenali mamat ini. Biasanya di kedai ini warga Malaysia dan warga asing kaki makan sup ekor akan singgah membeli ekor lembu dan kaki kambing

Suasana Souq Khudr Balad. Zaman dulu-dulu payah nak dapatkan Daun Bawang. Jadi Souq ini antara yang menjual Daun Bawang itupun bukan kat semua tempat.

Kenal Mamat 2 orang nih? Di mana mereka selalu kelihatan?
(Soalan ini boleh dijawab oleh student2 Jordan dan ex-student2 Jordan)

Menu menarik di Balad yang biasa menjadi pilihan iaitu Nasi Maqlubah, Sup Kepala Kambing dan Muluqiyyah. Tidak ketinggalan Reesh bakar (rusuk), Syuqof, Kebab dan lain-lain.

Mat'am Hanini aku selalu singgah dulu kerana di sini menjual Sandwich Daging Kepala Kambing yang amat sedap. Takhassus kedai ini menjual sandwich limpa, hati, otak, telur, kepala yang semuanya berasaskan kambing.

Di Balad juga banyak terdapat hotel-hotel murah yang kebiasaanya di sewa oleh pelajar Malaysia yang mahu menjalankan operasi membundle baju terpakai keesokan paginya. Orang kata mencari rezeki mesti di awal pagi. Jadi pilihan tidur di Balad kerana keesokkan paginya sesudah subuh sudah boleh menyelam mencari pakaian berjenama terpakai. Kalau lewat sudah pasti akan disambar orang. Kepada kaki bundle sudah pasti anda ingat Hotel Majid berharga JD2 semalam??

Suasana di kaki lima bangunan. Kalau hari Jumaat macam-macam barang dilonggok di sepanjang kaki lima untuk dijual. Kekadang confius barang yang dijual macam sampah sarap pun ada. Ada jugak ke yang beli?

Polis sentiasa menjalankan tugasnya. Anda boleh melihat polis yang sama menghabiskan minyak motosikal bertawaf di kawasan Balad. Demi menjaga keselamatan katanya.



Friday, April 24, 2009

Wadi Mujeb, Al-Karak


Teringat satu kenangan ketika berada di sebuah perkampungan kecil bernama Arieha berdekatan Wadi Mujeb. Bertemu dengan masyarakat yang ramah di situ mengingatkan aku kepada satu potongan Qasidah Arab yang pernah diceritakan oleh penduduk di situ.

Bunyinya begini :

Abuyi Mujeb Wa Akhuyi Mleih Wa Abu Sya'ar Jaddali

Ia merupakan potongan pendek dari Qasidah panjang yang pernah disebut oleh seorang ahli sastera terkenal di Karak. Ia mengaitkan Kisah Sulaiman Bani Atiyah dan Wadi Mujeb yang merupakan antara kisah terkenal dikalangan Bani Atiyah dan puak Ma'aitah di Karak.

Kisah ini berlaku kira-kira 50 tahun yang lalu di mana seorang dari Bani Atiyah yang bernama Sulaiman telah membunuh seorang lelaki dari kabilah Ma'aitah di dalam sebuah pergaduhan. Selepas kejadian itu, Sulaiman Bani Atiyah telah menyembunyikan diri di kawasan Wadi Mujeb dan hidup di situ dengan bersembunyi dan memburu untuk mendapatkan makanan.

Menurut sejarah lisan dari penduduk tempatan, beliau telah bersembunyi di dalam gua yang terdapat di situ dan akan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan. Beliau mencari makanan di sekitar kawasan perkampungan kecil di Wadi Mujeb. Akhir hayatnya tidak diketahui.

Potongan Qasidah di atas menceritakan keadaan Sulaiman Bani Atiyah yang hidup bersembunyi di Wadi Mujeb.

Abuyi Mujeb Wa Akhuyi Mleih.
Bapaku Mujeb dan Saudaraku Mleih : Bermaksud beliau hidup bersendirian di kawasan tersebut tanpa saudara mara yang lain. Mujeb menjadi bapanya dan Mleih (sebuah kawasan berhampiran Mujeb) menjadi saudaranya.

Wa Abu Sya'ar Jaddali
Jaddali boleh dimaksudkan dengan memintal-mintal. Beliau hidup bersembunyi sekian lama dan penulis qasidah tersebut membayangkan beliau yang sudah berambut panjang memintal-mintal rambutnya. Di sini boleh dimaksudkan juga dengan Abu Sya'ar yang merupakan nama sebuah kampung kecil yang juga terdapat berhampiran Wadi Mujeb.

Aku pernah bertanya tentang Qasidah ini kepada Aid dan dia turut menyatakan bahawa ia antara Qasidah yang terkenal di Karak terutamanya dikalangan Bani Atiyah yang kini menetap di Qatranah dan kabilah Ma'aitah yang kebanyakkan mereka menetap di 'Adir, sebuah perkampungan kecil di dalam muhafazah Karak.


Kini kawasan Wadi Mujeb telah dibangunkan menjadi salah satu empangan air utama di Jordan. Kawasan Wadi Mujeb sememangnya mewah dengan ratusan mata air dan ia merupakan lembah yang luas dan curam.

Sebelum wujudnya jalan padang pasir Amman ke Karak, Wadi Mujeb menjadi laluan utama penduduk Karak untuk ke Amman. Jalanraya yang melalui lembah Mujeb dikenali dengan Shariq Muluki telah di asaskan sejak era kerajaan Rum. Jalan ini menghubungkan Amman ke Madaba, Dhiban, Wadi Mujeb, Al-Qasr dan terus ke bandar Karak melalui Dataran Shihan.


Tuesday, July 29, 2008

Warna malam di Sultanahmet & Taksim

Keindahan Masjid Biru pada waktu malam. Masjid yang tiada tolok bandingnya ini dibina oleh Mehmet Aga. Mempunyai 260 buah tingkat dengan 6 tiang menara yang amat menakjubkan senibinanya.


Tram menghubungkan Kabatas dan Zeytinburnu merupakan salah satu sistem perhubungan mantap di Istanbul. Dikenali dengan Istanbul Rayli Sistemler. Beroperasi seawal jam 5.30 pagi dan tamat pada jam 12.00 malam.


Penduduk Turki dan pelancong memenuhi sebuah restoran Doner Kebab dan pelbagai pilihan makanan Turki yang terkenal di Sultanahmet

Funukuler yang menghubungkan Kabatas ke Taksim. Kabatas merupakan stesyen terakhir Tram dari Zeytinburnu dan mereka yang ingin ke Taksim perlu mengambil Funukuler Kabatas ke Taksim

Keadaan malam yang 'hidup' sehingga lewat malam di kawasan Taksim. Berbeza dengan kawasan Sultanahmet yang kawasannya 'mati' dari kesibukkan kutu rayau malam


Tak banyak Restoran KFC di Turki

Monday, July 28, 2008

Perkahwinan beramai-ramai di Jordan

Kehidupan Baru : Pasangan pengantin miskin dinikahkan secara beramai-ramai di Jordan

Berita Harian 27 Julai 2008
Amman: Lebih 12 pasangan dinikahkan dalam majlis perkahwinan beramai-ramai anjuran Persatuan Kebajikan Al-Afaf Jordan kelmarin. Persatuan kebajikan itu menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai bagi membantu mereka yang tidak mampu mengadakan majlis keraian mewah dan menggalakkan pasangan berkahwin serta mendapat anak.

Pengantin perempuan yang bertudung dan pasangan lelaki mereka dinikahkan kelmarin di pekarangan sekolah sekitar luar bandar raya Jordan ini. Kira-kira 3000 tetamu hadir pada majlis itu yang dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu tradisional Aran dan berunsur keagamaan.- AP


* Satu usaha yang amat baik dilakukan oleh Persatuan kebajikan Al-Afaf di Jordan bagi membantu rakyat Jordan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk mendirikan rumahtangga. Sepanjang pengetahuan saya dari pengalaman berada di Jordan ramai dikalangan rakyatnya berkahwin dalam usia yang lewat di atas sebab kewangan yang tidak mencukupi walaupun mereka sudah berkerja. 'Modal' yang tinggi mencecah JD 10000 menyebabkan mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk berkahwin.

Dulu di Malaysia ada juga diadakan majlis perkahwinan beramai-ramai yang ditaja oleh Jabatan Agama misalannya. Namun sekarang ini sudah tiada berita mengenainya. Majlis perkahwinan beramai-ramai seperti ini boleh dicontohi dan diteruskan di Malaysia untuk membantu pasangan-pasangan yang tidak ada kemampuan kewangan untuk berkahwin.

Friday, July 25, 2008

Kofte Kebab

Business Trip. Istanbul - Jun 2008

Sudah agak lama saya tidak menulis tentang pengalaman berada di luar negara samada ketika belajar atau ketika mengendalikan pakej pelancongan. Semalam saya menerima e-mel dari seorang yang dikenali dengan Kak Haslina bertanyakan tentang pakej lawatan ke Jordan, Syria dan Turki selama 14 Hari 12 Malam. Selepas menerima e-mel dari beliau saya mula menyemak semula fail tentang harga dan segala urusan berkaitan termasuk harga hotel, pengangkutan dan makanan pada ketika ini di ketiga-tiga buah negara tersebut untuk mendapatkan harga terbaik untuk beliau.

Dengan kerja-kerja yang dilakukan ia mengingatkan aku semula kenangan-kenangan di sana dan kembali 'menyelongkar' folder-folder gambar yang sudah mencapai puluhan ribu keping dan mencari idea untuk menulis di sini.

Entry kali ini mengenai makanan di Turki. Lebih khusus lagi iaitu makanan yang dikenali dengan Kofte disebut juga Kofte Kebab (Turkish Meatball) yang menjadi makanan kegemaran saya. Kofte bukan sahaja terkenal di Turki malahan di beberapa negara lain seperti di Timur Tengah dikenali dengan Kuftah dan di India dikenali dengan Kofta dengan pelbagai jenis seperti shahi aloo Kofta dan Malai Kofta. Dinegara-negara lain mungkin ia mudah dikenali dengan meatball membezakannya mungkin pada bahan yang dicampur bersama daging.

Kofta/Kuftah/Kofte dibuat dengan daging kambing atau lembu yang dihancurkan kemudian dicampur dengan bawang, daun parsley, daun pudina serta beberapa herba dan rempah. Namun, ada sesetengah 'versi' kofte digaul bersama buah tomato dan bahan-bahan lain yang saya pun tidak ketahui. Kebiasaanya adunan ia diuli dan dibuat bentuk bulat dan ada juga yang di grill dalam bentuk leper. Dalam pada itu ada juga Kofte yang tidak menggunakan daging tetapi dibuat dengan kentang atau kacang parpu.

Di Turki terdapat banyak 'versi' Kofte. Antaranya ialah Cig Kofte (Raw Kofte) yang terkenal di kawasan Barat Laut Turki seperti SanUrfa, Odun Kofte, Islama Kofte, Kadinbudu Kofte dan lain-lain lagi.

Dalam kesemua kofte yang ada, saya amat mengemari Kofte Kebab yang di grill. Apabila berada di Istanbul saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke sebuah restoran yang terletak di Aksaray District (restoran berdekatan dengan Pamukkale Travel & Tours). Harga sepinggan Kofte (daging serta kentang, cili, bawang di goreng) ialah 4YTL (RM 10.60). Kebiasaan Kofte dimakan dengan roti (sandwich) dan boleh juga di order dagingnya sahaja.

Kebiasaan apabila di Istanbul saya memilih makan di Aksaray adalah kerana di kawasan ini makanan lebih murah berbanding di kawasan lain malahan bagi saya makanannya lebih enak. Jika makanan lain seperti hidangan nasi dan lauk satu set di Sultan Ahmet atau di kawasan lain mencecah 10YTL tetapi di Aksaray boleh makan nasi dan lauk dengan harga 6YTL (USD 1 bersamaan 1.2YTL). Di kawasan Taksim harga lebih kurang sama dengan harga di Sultan Ahmet ( 3 kawasan tumpuan di Istanbul- 1. SultanAhmet 2. Taksim 3. Aksaray)

Kofte di grill dan di makan bersama cili, kentang, bawang, terung dan beberapa bahan lain yang digoreng
(bahan-bahan yang digoreng boleh dipilih)


Pelbagai jenis lauk dan nasi (resepi orang Turki). Harga di Aksaray Nasi 1.5-2YTL mengikut jenis (berempah atau tidak)
dan setiap jenis lauk berharga 4YTL


Grill Kofte 4YTL, Nasi 2YTL, Lauk 4YTL dan Pepsi 1.5 YTL, Roti Free. Jumlah kesemua 11.5YTL (RM30.60)

Jika anda berpeluang ke Turki, jangan lupa mencuba makanan ini. ")

Wednesday, July 23, 2008

Travelogue 'Sepurnama Bergelandangan'

Entry kali ini saya ingin mempromosikan blog kawan yang saya kenali setahun yang lalu di Jordan iaitu Usop@talam kuning yang kini sedang menuntut dalam bidang Perubatan di Odessa, Ukraine. Blog yang sedang beliau tulis bersama Yeop@djambu puadovich menceritakan pengembaraan mereka ke 10 buah negara di Eropah yang bermula di Odessa Ukraine dan akan kembali ke Odessa semula dalam tempoh sebulan. Pengembaraan mereka berdua telah bermula pada 20 Julai 08. Semoga perjalanan mereka pergi dan balik dilindungi Allah.

Ikuti kisah pengalaman mereka menjelajah ke 18 buah kota dalam 10 buah negara di Eropah (update setiap hari di bandar-bandar yang mereka jejaki)

SEPURNAMA TRAVELOGUE


Bersama Usop (berbaju putih) di Jabal Matal sewaktu menemani beliau dalam pengembaraannya di Jordan pada Ogos 2007