Thursday, May 21, 2009

Catatan Sejarah di Wadi Rum

Inskripsi yang dikenalpasti dari zaman Tsamud

Ahli geologi menyatakan bahawa lembah Rum terbina dari belahan yang dahsyat dipermukaan bumi akibat gangguan pergerakan plat bumi yang hebat sehingga memecahkan batuan granit yang terlalu besar dan tebing batuan pasir dari banjaran gunung Afro-Arab.

Ahli arkeologi pula percaya bahawa kawasan ini telah di diami sejak zaman Neolitik lagi iaitu antara kurun 8-6 sebelum masihi dan dikenali dengan nama Wadi Iram (Lembah Iram).

Terdapat mata air panas dan segar di Wadi Rum. Dengan mata air tersebut ia menarik perhatian dan tumpuan kafilah pedagang yang menuju ke Syria dan Palestin dari tanah Hijjaz. Kesan artifak batu untuk tujuan menyalakan api ditemui di kawasan Wadi Rum. Selain itu, pasu belangan dari zaman Besi turut ditemui.

Lukisan pada dinding batu turut membuktikan wujudnya penempatan dari zaman arab Nabatean. Malah kawasan ini pernah diduduki oleh penduduk 'Aad, Tsamud, Lihyan dan Ma'in. Nabatean lebih terkehadapan pada zamannya disebabkan kecemerlangannya membina empayar perdagangan dan kemampuan membina binaan yang hebat.

Kajian terperinci menunjukkan bahawa di selatan Wadi Rum terdapat kesan wujudnya penempatan Kaleolitik iaitu sekitar 4500 sebelum masihi. Manakala di kaki Jabal Rum terletak Kuil Allat yang asalnya dihuni oleh Kaum 'Aad dan di ambil alih oleh Nabatean pada kurun 1 sebelum masihi. Manakala inskripsi berkenaan kaum Tsamud telah ditemui di kaki bukit Kazali.

8.5 km dari Timur Wadi Rum ialah kawasan yang dinamakan Dissi. Sekumpulan dari negara Itali telah menemui tapak awal kerajaan Nabatean sebelum mereka beralih ke Petra

Wadi Rum ketika abad ke-19 menjadi kubu penting Raja Faisal ibn Hussein ibn Ali dan T.E Lawrence (merupakan pesuruhjaya British di TransJordan) ketika pemberontakan arab menentang kerajaan Turki Uthmaniah. Lawrence menjadi lagenda kerana peranannya dalam penentangan terhadap Turki dan ia memihak sepenuhnya kepada bangsa arab (demi kepentingan politik di tanah arab). Beliau diberi gelaran Lawrence Of Arabia dan membina rumahnya pada ketika itu di Wadi Rum


Kenangan di Lembah Rum



Friday, May 8, 2009

Binaan di Jabal Qala'ah

Great Audience Hall- Umayyad

Kesan sejarah dan arkeologi yang terdapat di Jabal Qala'ah membuktikan bahawa kawasan ini pernah di duduki oleh pelbagai kerajaan dalam zaman yang berbeza. Bermula dari zaman kerajaan Rum, Byzantium sehinggalah ke zaman pemerintahan kerajaan Islam Umawi, Abbassiah dan Turki Uthmaniah. Kota yang terletak berdekatan Jabal Hussein dan Wasatul Balad Amman ini merupakan salah satu dari kota-kota Decapolis Rum bahkan ia merupakan pusat pentadbiran setelah Gerasa pada ketika itu.

Antara kesan binaan kerajaan Rum yang masih kekal di Jabal Qala'ah ialah Kuil Hercules yang terletak berhadapan dengan Muzium Negara Jordan. Ia dibina oleh Maharaja Marcus Aurelius yang memerintah sekitar 161 hingga 180 masihi. Kesan gereja Byzantium turut dapat dilihat di kota ini.

Terdapat sebuah binaan besar dengan kubah yang dikenali dengan Great Audience Hall. Ia merupakan kompleks istana dan kawasan rehat kota yang dibina ketika zaman kerajaan Umawiah sekitar kurun ke-7 masihi. Berdekatan dengan Great Audience Hall terdapat kolam besar yang dikenalpasti sebagai water reservoir atau pusat takungan air utama untuk disalurkan ke seluruh kota.

Antara kesan tinggalan zaman kerajaan Islam yang lain ialah Menara Abbassiah yang terletak berdekatan Kuil Hercules. Dari menara tersebut pemandangan wasatul balad Amman dapat dilihat dengan jelas. Perkuburan lama Islam turut ditemui di dalam kota lama ini.

Teater Rum di Raghdan dan The Nyphaeum berdekatan Masjid Hussain merupakan sebahagian dari kota ini sekaligus membuktikan ia sebuah jajahan kota yang besar suatu ketika dahulu yang kini telah hilang ditelan proses pemodenan.

Kuil Hercules. Era Rum Barat

Teater Rum di Raghdan. Gambar di ambil dari Jabal Qala'ah