Tuesday, May 27, 2008

Berek Tentera Rum di Al-Lajjun

Lajjun terletak di pertengahan jalan yang menghubungkan Qatranah dan bandar Karak
iaitu berhampiran dengan Madinah Sina'iyyah Karak.
(Gambar: Lebuhraya baru yang menghubungkan Tariq Sahrawi
dari Qatranah ke muhafazah Karak)

Al-Lajjun merupakan sebuah daerah kecil yang terletak di wilayah Al-Karak, Jordan. Berada di antara jalan utama menuju ke bandar Karak dari Qatranah.

Kawasan Al-Lajjun pada musim bunga menjadi ladang gandum dan kawasan disitu subur disebabkan wujudnya beberapa mata air dilembah rendah kawasan tersebut.

Namun ramai tidak mengetahui bahawa kawasan tersebut menyimpan khazanah silam yang kini hampir hancur dan masih belum ada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dijalankan. Lokasi arkeologi Al-Lajjun boleh dikunjungi dari lebuhraya Qatranah-Karak yang sedang dibina. Terdapat persimpangan dari lebuhraya tersebut menuju ke Jdaida. Arkeologi Lajjun hanya terletak 300m dari persimpangan.

Ibnu Battuta di dalam catatan perjalanannya pernah singgah di sebuah perigi di Lajjun. Menurut apa yang tercatat di dalam kitab Rehlah Ibnu Battuta beliau telah melalui sebuah bandar kecil bernama Ziziyya (kini dikenali dengan Jiza) terus ke Lajjun. Dari Lajjun beliau singgah di Kota Karak yang ketika itu diperintah oleh pemerintah Mamalik. Dari Kota tersebut beliau mengambil Jalan Mahajara untuk ke tanah Hijjaz.

Sebuah perigi @ takungan air yang terdapat di Kawasan Arkeologi Lajjun

Kesan Arkeologi di Lajjun
Terdapat sebuah berek askar era Rum yang telah runtuh di Lajjun. Nama Lajjun berkemungkinan di ambil daripada perkataan Latin iaitu Legio IV Martia. Berkemungkinan di bina pada tahun 302 masihi ketika pemerintahan Deocletin.

Kesan arkeologi di situ terdapat semua ciri-ciri GARRISON yang membawa erti : Pasukan tentera yang ditempatkan dalam kota untuk mempertahankannya. Merangkumi Pusat Pentadbiran (Principia), Berek Tentera, Menara Pertahanan dan dikelilingi dinding.

Al-Lajjun suatu ketika dahulu merupakan kubu yang mempertahankan Eastern Limes Empayar Kerajaan Rum.

Berhampiran dengan kesan kota pertahanan ketenteraan Rum terdapat bangunan-bangunan yang dibina ketika era Uthmaniah. Turki Uthmaniah turut menggunakan kota pertahanan Rum tersebut untuk kawalan jalan Qatranah ke Karak cuma mereka membina beberapa bangunan tambahan yang kini digunakan oleh badwi untuk menyimpan khemah.

Sunday, May 25, 2008

Qasr Tuba : Contoh Istana Era Umawiah

Kenangan di Qasr Tuba [November 2002]
Dari kiri Khairul, Hazimin, Kemar dan Alut


Siapa kata negara Jordan sebuah negara 'kontang' tanpa sebarang keistimewaan? Jika ingin dibandingkan dari segi natural site yang indah, sudah pasti tanah milik Hashimiah kini kalah dengan pertarungan itu. Namun jika ingin dihamparkan setiap inci tanahnya dengan catatan sejarah, beribu artikel boleh ditulis menceritakan kemegahan yang telah dan sedang rakyat mereka miliki.

Kesan-kesan sejarah terlalu banyak di negara Jordan jika dibentangkan satu persatu. Nikmat mengkaji dan mengetahui nilai sejarah yang wujud amat menarik dan boleh memberikan thaqofah atau ilmu pengetahuan yang pelbagai yang mungkin antaranya boleh dijadikan pengajaran dan pedoman dalam hidup.

Pernah satu masa, syarikat saya bersaing untuk mendapatkan satu projek dari satu kumpulan yang ingin mengkaji kesan kota sejarah Islam di Timur Tengah. Mereka ingin mengadakan kajian di Jordan. Namun setelah beberapa masa berlalu, orang-orang atas dalam pengurusan mereka menafikan bahawa tiada kota-kota sejarah Islam yang menarik boleh dikaji di negara Jordan.

Itu adalah satu pandangan lemah tanpa mereka mengkaji dan mengambil tahu terlebih dahulu segala kesan kota sejarah yang ada di Jordan. Mereka memilih negara Syria akhirnya tanpa saya nafikan bahawa kesan sejarah di Syria jauh lebih banyak dan senibinanya lebih hebat dari kota-kota yang terdapat di Jordan.

Sebenarnya, kesan-kesan tinggalan kerajaan Islam terlalu banyak di negara Jordan. Masalahnya maklumat mengenai kota-kota tersebut terlalu kurang dan maklumat tersebut hanya boleh diperolehi dengan 'mewah' dari penduduk tempatan Jordan dan ahli arkeologi sahaja.

Antara kota-kota yang dibina ketika era pemerintahan Islam iaitu dari zaman Khulafah Ar-Rasyidin, Kerajaan Umawiah, Kerajaan Abbasiah, Kerajaan Ayubiah, Kerajaan Mamalik, Kerajaan Fatimiah dan Kerajaan Uthmaniah yang terdapat di dalam negara Jordan adalah seperti berikut :

- Rumah Umawiah di Kota Jerash
- Hammam As-Sarah
- Qasr Hallabat
- Qasr Amrah
- Qasr Kharranah
- Qasr Mushash
- Qasr Huweinet
- Qasr Burqu'
- Qasr Mushatta
- Qasr Tuba
- Qasr Dab'a
- Qasr Qatranah
- Qala'at Al-Hisa
- Qala'at Ma'an
- Qala'at Aqabah
- Qasr Al-Banat
- dan banyak lagi

Qasr Tuba: Contoh Istana Era Umawiah

Qasr Tuba merupakan salah satu contoh Istana yang dibina ketika pemerintahan kerajaan Umawiah yang berpusat di Dimasyq. Ia merupakan kota yang jarang disebut dan dikunjungi lantaran kedudukan lokasi kota yang jauh ditengah padang pasir ditambah lagi dengan jalan perhubungan yang kurang baik.

Senibina Qasr Tuba mirip dengan Qasr Mushatta milik Walid II yang terletak berhampiran Queen Alia International Airport, Amman.

Qasr Tuba dikenalpasti salah satu istana yang tidak dapat disiapkan sepenuhnya dan terbengkalai. Terletak di tengah-tengah padang pasir 40 kilometer dari Azraq dan 83 kilometer meredas padang pasir dari Suwaqah.

Kota ini dibina dari batuan brick yang menjadi bukti bahawa ia dibina oleh kerajaan Islam kerana teknologi brick mula digunakan oleh Islam dan tidak wujud lagi sebelum itu.

Qasr Tuba

Saturday, May 24, 2008

The Decapolis


Decapolis bermaksud 10 bandar dan dikenali di dalam Bahasa Arab dengan Mudun 'Asyar. 10 buah bandar ini merupakan bandar di bawah penguasaan Rum dan telah dipelopori oleh Maharaja Pompeii pada tahun 63 sebelum masihi.

Kota-kota ini terletak di tanah Palestin, Jordan dan Syria yang pada satu ketika dahulu tidak bersempadan dan terletak di dalam kelompok berdekatan. 6 dari 10 buah kota kini terletak di negara Jordan, 2 di Syria dan 2 di Palestin.

Namun, terdapat beberapa perbezaan pendapat di kalangan ahli sejarah mengenai di mana lokasi 10 buah kota tersebut dan terdapat juga perbezaan pendapat pada nama kota sedangkan ia adalah bandar atau lokasi yang sama.

Catatan dari Pusat Pelancongan Jerash menyatakan 10 buah kota tersebut ialah :
Philadelphia, Umm Qays, Capitolias, Abila, Pella, Jerash, Scythopolis, Hippos, Bosra dan Canatha.

Aidah as-Solal di dalam bukunya Athar Wal Mawaqi' Siyahah Fil Urdun berpendapat Decapolis merupakan lokasi yang dinyatakan di atas kecuali Abila dan Hippos. Beliau berpendapat dua kawasan lain ialah Dion dan Raphana.

Namun, maklumat dari wikipedia.com menyatakan bahawa Dion juga adalah Capitolias dan Raphana adalah Abila. Laman Encyclopedia percuma itu turut menyatakan bahawa Decapolis merangkumi semua kota yang tercatat di Pusat Pelancongan Jerash kecuali Bosra dan berpendapat Damascus adalah salah satu dari 10 kota tersebut.

Kota-kota yang kini berada di dalam negara Jordan ialah Philadelphia, Umm Qays, Jerash, Abila, Capitolias dan Pella.

Philadelphia juga dikenali dengan Jabal Qalaah terletak di sebuah bukit berhampiran Downtown Amman di ibu negara Jordan. Umm Qays terletak di utara Jordan di dalam wilayah Irbid. Dari kawasan tersebut Bukit Golan dan Tasik Tabari dapat dilihat dengan jelas jika cuaca baik. Jerash pula merupakan kota yang paling besar dan lengkap dari 9 buah kota yang lain. Jerash diberi jolokan Kota Rome terlengkap di luar negara Itali. Abila pula dikenali juga dengan Umm 'Amal terletak berhampiran lembah Qweilbah, Irbid. Capitolias disebut juga dengan Bayt Ras juga terletak di Irbid manakala Pella yang dikenali dengan Tabaqat Fahal oleh arab tempatan terletak di Mashariq dalam Liwaa' Kurrah, Irbid.

2 buah kota di Syria ialah Canatha dan Bosra. Bosra amat terkenal sebagai pusat perdagangan utama di dataran Sham yang kini terletak di dalam wilayah Der'a, selatan negara Syria. Manakala Canatha dikenali juga dengan Qanawat yang terletak di dalam wilayah Suweida'.

Baki 2 buah kota terletak di Palestin iaitu
Scythopolis dan Hippos. Scythopolis juga dikenali dengan Beit She'an. Orang Itali yang tidak boleh menyebut Beit She'an menghasilkan sebutan tempat tersebut dengan Beesan atau Baisan. Ia terletak berhampiran Sungai Jordan di bahagian barat. Hippos pula terletak berhampiran Laut Tabari dengan penduduk yahudi mengelarnya Sussita.


Friday, May 23, 2008

Makam Nabi Ayub a.s di Bathna, Jordan?

As-Salt merupakan sebuah bandar yang terletak di dalam muhafazah Al-Balqa' di Jordan. As-Salt diberi jolokan bandar Uthmaniah di tanah Jordan lantaran kawasan tersebut menjadi pusat pemerintahan utama kerajaan Uthmaniah di tanah Jordan suatu ketika dahulu.

Daerah Al-Balqa' terutama di sekitar As-Salt banyak mencatatkan kisah para nabi dan sahabat yang dicatat pernah menduduki kawasan Al-Balqa' dan wafat disitu. Antaranya ialah Nabi Syuaib a.s, Nabi Jadur a.s, Nabi Hasyer a.s, Nabi Ayub a.s, Nabi Yusha ibn Nun a.s dan sahabat antaranya Maisarah bin Masruq dan Bilal bin Rabah.

Dalam entry kali ini ingin saya kisahkan berkenaan dengan Makam Nabi Ayub a.s yang terdapat di sebuah perkampungan bernama Bethna yang terletak di dalam Baladiah As-Salt, Jordan.

Pertama kali saya tiba di Makam tersebut ialah melalui maklumat dari seorang sahabat di Universiti Mu'tah dari kabilah Al-alfei yang memberitahu saya bahawa terdapat Makam Nabi Ayub a.s di As-Salt namun beliau sendiri hanya mengetahui kewujudan makam tersebut tetapi tidak pernah tiba di kawasan tersebut.

Tahun 2003 saya telah menaiki coaster awam ke bandar As-Salt yang pemandanganya agak unik dan klasik. Berbeza dari bandar lain di Jordan kerana senibina dan ukiran bangunannya mirip seperti di bandar lama Dimasyq dan beberapa kawasan utama kerajaan Turki Uthamaniah di negara Turki. Ini adalah kerana bandar As-Salt sendiri pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah di tanah Jordan.

Dari stesyen bas utama bandar As-Salt saya menaiki coaster As-Salt ke Bathna dan dengan keramahan bangsa arab dan sikap tolong menolong mereka yang amat hebat saya turun dipertengahan jalan setelah beberapa arab di dalam coaster memberitahu akan lokasi Makam Nabi Ayub a.s yang saya ingin ziarahi.

Saya turun ditepi jalan berhadapan dengan Pejabat Baladiah Bathna dan ketika turun beberapa individu di dalam pejabat tersebut sudah memerhati kehadiran saya. Selepas beberapa minit, boleh dikatakan semua yang ada di dalam pejabat kecil itu keluar dan yang pastinya semua tertumpu ke arah saya.

Tanpa disuruh, kaki saya terus bergerak ke arah mereka dan setelah bersalaman dan bertaaruf saya menyatakan hasrat pada ketika itu ingin menziarahi Makam Nabi Ayub a.s yang dikatakan wujud di kawasan tersebut.

Salah seorang dari mereka ketawa kecil dan bertanya kepada saya tentang tujuan saya ingin pergi ke kawasan tersebut. Saya pun tidak faham kenapa dia ketawa ketika itu. Adakah sesuatu yang melucukan untuk menziarahi makam nabi.

Saya menerangkan kepada mereka yang saya mengambil peluang untuk menziarahi makam-makam nabi dan sahabat sementara berada di tanah para anbiya' yang tidak akan ada kesannya di negara kelahiran saya.

Salah seorang dari mereka bertanya pula dari mana saya mendapat maklumat tentang kewujudan makam tersebut. Kerana menurutnya memang amat jarang orang asing datang ke kawasan tersebut.

Saya memberitahu mereka bahawa maklumat mengenai makam tersebut saya dapat dari seorang kawan di Universiti Mu'tah.

Mereka semua menganggukkan kepala jelas dengan penjelasan saya dan beberapa dari mereka telah membantu membawa saya ke kawasan makam tersebut.

Lokasi Makam Nabi Ayub a.s terletak berdekatan dengan pejabat Baladiah Bathna. Hanya 200m dari jalan utama.

"Inilah kawasan makam tersebut".
Kata salah seorang dari mereka sambil menunjukkan sebuah batang pokok yang telah ditebang dan dibakar.

Rupa-rupanya makam yang dimaksudkan bukanlah kubur tetapi hanya sebuah kawasan yang pernah disinggahi oleh Nabi Ayub a.s. Mereka bercerita kepada saya bahawa suatu ketika dahulu terdapat sebuah pokok besar yang dipercayai penah disinggahi oleh Nabi Ayub a.s.

Namun beberapa kerja-kerja khurafat telah berlaku di kawasan tersebut dan kumpulan Ikhwan Muslimin di Sweileh Jordan telah menebang dan membakar pokok tersebut supaya tidak berlaku lagi perkara-perkara syirik dan khurafat dilakukan di kawasan tersebut.

Kenangan bersama rakyat tempatan Jordan yang telah membantu saya menunjukkan
kawasan Makam Nabi Ayub a.s di Bathna- As-Salt, Jordan

Pada tahun 2006 sekali lagi saya berpeluang ke kawasan tersebut dan kerajaan Jordan telah mengambil inisiatif memasang papan tanda menunjukkan arah makam yang lebih tepat adalah kawasan yang pernah disinggahi oleh Nabi Ayub a.s.

Nabi Ayub a.s dikatakan wafat di Hauran, selatan Syria dan makamnya terdapat di sebuah perkampungan bernama Syeikh Saad berhampiran Nawa. Terdapat juga pendapat yang kuat menyatakan bahawa Nabi Ayub a.s wafat di San Urfa iaitu sebuah wilayah yang terdapat di negara Turki. Di kedua-kedua kawasan tersebut terdapat kubur dan perigi yang dikaitkan dengan Nabi Ayub a.s

Wallahualam.

Jejak Makam Abi Darda'

Masjid dan Maqam Abi Darda' yang terdapat di Dimasyq
Abi Darda' pernah menjadi Qadi di Dimasyq ketika Zaman Khalifah Umar Al-Khattab
dan dikatakan wafat di Dimasyq

Ringkas mengenai Abi Darda'
Abi Darda' atau nama sebenarnya Waimir bin Zaid adalah salah seorang sahabat yang masyhur, cukup tawadhu' bahkan amat takut dosa-dosanya. Sepanjang hayatnya beliau banyak menyertai peperangan bersama Rasulullah S.A.W.

Beliau memasuki Islam akibat tindakan Abdullah bin Rawahah yang memecahkan patung berhala di rumahnya. Sebaik mengetahui perbuatan itu, beliau amat marah namun terfikir dihatinya jika berhala itu berkuasa mengapa ia tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri. Menyedari kebodohannya selama itu, maka ia segera menemui Rasulullah S.A.W dan mengistiharkan keIslamanya.

Abi Darda' telah dilantik sebagai Qadi Dimasyq oleh Saidina Umar bin Al-Khattab.

Seorang sahabat bernama Abu Qalabah bercerita tentang Abi Darda' :

Suatu hari Abi Darda' melihat orang sedang mencaci maki seorang yang telah membuat dosa lalu ia bertanya kepada kelompok yang sedang mencaci maki tersebut

"Bagaimana pandangan kalian apabila bertemu dengan orang yang terperosok ke dalam lubang?.. Bukankah seharusnya kalian berusaha menolong mengeluarkannya dari lubang tersebut?

Jawab mereka "Ya. Tentu sahaja"

Abi Darda' berkata: "Kalau begitu, janganlah kalian mencela dia, tetapi hendaklah kalian bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkan kalian"

Pemuda-pemuda di situ bertanya pula kepada Abi Darda': "Apakah anda tidak membencinya?"

Abi Darda' menjawab "Aku benci perbuatannya. Apabila ditinggalkannya maka ia adalah saudaraku".

Maqam Abi Darda' di Mesir, Jordan dan Syria?
Abi Darda' dikatakan wafat di Dimasyq dan terdapat juga 2 buah maqam yang dikaitkan dengan beliau yang terdapat di Irbid, Jordan dan Iskandariah, Mesir.

Maqam Abi Darda' yang terdapat di Shum Ash-Shunnaq, North Jordan


Maqam Abi Darda' di Iskandariah, Mesir

Thursday, May 22, 2008

Salah Anggap Pada Istilah Maqam

Antara pengalaman paling berharga dan sukar dilupakan apabila berada di bumi arab ialah diberi peluang oleh Allah menjejaki lokasi dan kawasan-kawasan yang dikaitkan dengan para nabi dan rasul, keluarga dan sahabat Rasulullah S.A.W, auliya' dan ulama'.

Di dalam mengkaji di mana lokasi terakhir para rasul dan sahabat berada di akhir hayat mereka sudah pasti banyak perbezaan pandangan dan pendapat diberikan tambahan pula tidak ada maklumat yang tepat di mana para rasul dan sahabat Rasulullah S.A.W di semadikan.

Kewujudan 2-3 maqam individu yang sama di tempat yang berbeza harus difahami dengan baik. Masyarakat arab menggunakan istilah maqam yang membawa kepada 2 maksud iaitu kubur dan kawasan berdiri atau pernah berada.

Malah arab selalu menggunakan istilah Dorih bagi menyatakan adanya jasad disemadikan di sesebuah kawasan dan menggunakan istilah maqam hanya menyatakan bahawa sesebuah kawasan tersebut pernah didiami atau disinggahi sahaja oleh para rasul, nabi dan sahabat.

Perkara menjadi rumit apabila tempat-tempat yang dikatakan pernah disinggahi oleh para nabi dan sahabat di buat binaan seperti binaan kubur dan penduduk tempatan di sesuatu kawasan tersebut mula mempercayai bahawa terdapat jasad disemadikan di kawasan mereka atas dasar ingin menyatakan bahawa tempat mereka mempunyai kelebihan tertentu dan dianggap keramat. Sedangkan perkara ini amatlah dilarang dalam agama Islam iaitu memuja kubur dan menganggap keramat dapat diperolehi dari kubur-kubur.

Walhal sesuatu kawasan itu hanya pernah disinggahi oleh para nabi dan sahabat bukanlah mereka wafat di kawasan tersebut, itupun disampaikan sumber sejarahnya secara lisan dan generasi ke satu generasi yang menetap di kawasan tersebut. Inilah yang menjadi punca bagaimana wujudnya makam nabi dan sahabat yang lebih dari satu.

Namun, di sini bagi mereka yang minat mengkaji sejarah nabi dan sahabat kewujudan makam-makam yang berbeza ini boleh menghasilkan fakta-fakta tentang lokasi-lokasi yang pernah disinggahi oleh nabi dan sahabat. Hasilnya boleh dibuat perbandingan sama ada maqam tersebut palsu dan sengaja di ada-adakan atau benar-benar mempunyai kaitan dengan kisah hidup nabi dan sahabat.

Sebagai contoh, melalui sumber lisan penduduk Sirfa di Karak, Jordan (dari generasi ke generasi) mengaitkan sebuah pokok di lembah berhampiran Laut Mati dan perkampungan mereka pernah disinggahi oleh Nabi Sulaiman a.s. Mereka menyatakan ia adalah Maqam Nabi Sulaiman a.s bukan Dorih Nabi Sulaiman a.s. Ini bermakna tiada jasad disemadikan di situ dan ia hanya sebagai tempat Nabi Sulaiman a.s pernah berada.

Kawasan tersebut kini masih terdapat sebuah pokok yang dikatakan pernah Nabi Sulaiman a.s berada dan bersebelahannya adalah binaan lama yang terdapat masjid di dalamnya.

Bagusnya kawasan tersebut terpencil, jauh dari kawasan penempatan dan tidak dibina di kawasan tersebut bentuk kubur yang boleh disalah anggap oleh generasi sekarang bahawasanya terdapat jasad Nabi Sulaiman a.s di semadikan di kawasan tersebut. Sedangkan ia hanya dikaitkan dengan tempat persinggahan Nabi Sulaiman a.s

Contoh lain seperti Makam Abdul Rahman bin Auf yang terdapat di Sweileh, Jordan. Kawasan tersebut diistihar sebagai lokasi yang pernah disinggahi oleh beliau. Sumbernya adalah secara lisan dari orang terdahulu dan tidak dibina sebarang batu berbentuk kubur yang menyatakan adanya jasad disemadikan. Kerajaan Raja Abdullah II telah membina masjid ditapak persinggahan tersebut demi memperingati kesan sejarah yang ada disitu.

Dengan mengetahui sesuatu Maqam yang wujud di sesuatu lokasi, beberapa kajian juga boleh dilakukan untuk mendapatkan keputusan. Misalannya, sejarah seorang sahabat adakah beliau pernah menetap di kawasan tersebut, adakah dapat dikesan keturunan beliau masih wujud di kawasan tersebut dan pastikah di akhir hayat beliau berada di kawasan yang dikatakan jasadnya disemadikan.

Setahun PENGHUNISAHARA.BLOGSPOT.COM


22 Mei 2008 genap setahun www.penghunisahara.blogspot.com. Alhamdulillah, ia masih di update dan tidak 'bersawang' seperti sesetengah blog

Aku berharap aku semakin rajin berkongsi maklumat dan pengalaman di sini bersama bloggers lain. Walaupun kadang-kadang 2-3 minggu terpaksa menghilangkan diri untuk menulis atas desakan kerja dan masa termasuk juga mood kemalasan yang mencapai tahap super.

Sepanjang setahun ini, pernah 3 kali aku menukar top banner untuk menceriakan lagi blog aku.

Rasa-rasa korang antara ketiga-tiga banner yang pernah aku guna (gambar kat atas), mana yang paling best? No 1 atau yang no 2 atau yang no 3 atau semuanya tak best langsung?

Sunday, May 4, 2008

Memori Jelajah Jordan 08- Part 1

Jelajah Jordan Musim Sejuk 2008 telah 3 bulan berlalu. Namun ingatan padanya tetap menjadi memori yang sukar dilupakan. Trip 5 hari yang telah berlangsung pada 26 Januari dan berakhir pada 30 Januari yang lalu telah meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis dan pengalaman saya selaku penganjur bersama adik-adik pelajar dari Jordan dan Mesir.

Jelajah Jordan (JJ) 2008 merupakan siri ketiga trip seluruh lokasi menarik di Jordan yang telah saya anjurkan bersama Saudara Zaid. JJ telah dimulakan pada tahun 2006 dengan bilangan peserta seramai 88 orang, 2007 dengan 92 orang dan pada tahun ini seramai 96 orang peserta.

Disebabkan minat mendalam saya dan Zaid di dalam sejarah dan minat mengkaji keadaan kota dan tapak arkeologi, segala pengalaman yang kami kumpul telah membantu kami untuk menyusun satu jadual trip ke lokasi utama di Jordan dengan jumlah hari yang sesuai dan bayaran yang tidak membebankan untuk para pelajar.

Dengan pakej pelajar selama 5 hari, pelajar dapat menziarahi hampir keseluruhan lokasi-lokasi menarik di seluruh Jordan dengan bayaran hanya JOD 110 bersamaan RM 501 merangkumi keseluruhan bayaran sepanjang 5 hari perjalanan (makan 3 kali sehari, penginapan 4 malam di Amman dan Aqabah, Tiket Masuk ke Lokasi-lokasi lawatan)

Percubaan kami pada 2004 telah meninggalkan kenangan Jelajah Tawan Jordan yang telah disertai seramai 19 orang pelajar dengan rekod mengembara 10 hari. Bagi saya ia amat berjaya dan memuaskan hati. 2005, Jordan's Expedition juga dianjurkan dengan bilangan peserta seramai 69 orang.

Pada tahun 2008 ini
, sekali lagi dengan izin Allah perjalanan Jelajah Jordan pada musim sejuk telah berjaya dianjurkan disertai seramai 96 orang termasuk 7 krew bertugas. 89 orang peserta terdiri dari 77 pelajar Jordan dan 12 pelajar dari Mesir. 28 daripadanya adalah peserta lelaki dan 61 orang adalah peserta perempuan.

Catatan Pengembaraan Jelajah Jordan 2006
26 Januari 2008

Kami telah memulakan perjalanan pada hari pertama mengunjungi 3 buah kota lama yang menarik di utara negara Jordan. 5 krew termasuk pihak penganjur telah bertolak dari Mu'tah seawal jam 5.00 pagi. Cuaca sejuk yang amat sejuk di dalam musim sejuk kami telah lalui di awal pagi sebelum menuju ke Amman.

Kami tiba di Amman seawal jam 6.30 pagi dan terus ke syarikat bas Muttahidah. Pihak penganjur telah menyewa 2 buah bas Jenis Cherry Kinglong untuk keselesaan sepanjang trip 5 hari pengembaraan.

Adat berurusan dengan arab memang mesti ada masalah yang timbul dan cabaran seawal pagi cukup membuatkan saya banyak bersabar. Sudahlah peserta di Irbid semuanya telah berkumpul, pihak syarikat bas tidak menepati janji untuk menyediakan bas yang sepatutnya. Ini telah menyebabkan pihak penganjur berkeras untuk mendapatkan bas yang sepatutnya dijanjikan. Bukan bas 'busuk dan buruk' yang pastinya tidak akan memberi keselesaan kepada para peserta. Ikutkan hati memang sangat-sangat marah dengan pengurusan arab namun bak kata pepatah melayu 'Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta'- baik diikutkan nasihat orang tua-tua melayu untuk berhadapan dengan arab.

Akhirnya setelah berkeras dan pihak syarikat telah berusaha mendapatkan bas yang baik. Selesai satu masalah namun peserta-peserta di Irbid sudah pasti 'panas' menunggu bas yang lewat tiba. Lewat 2 jam setengah dari waktu asal, bas selamat tiba di Irbid pada jam 10.12 pagi.

Kami memulakan perjalanan pada jam 10.45 menuju ke Umm Qais yang menjadi lokasi pertama lawatan di hari pertama JJ08. Kota Umm Qais terletak lebih kurang 35 kilometer dari pusat bandar Irbid. Ia merupakan kota Greek-Rum yang terkenal di utara Jordan. Dari kawasan kota pemandangan Tasik Tobari dan Mount Golan dapat dilihat dengan jelas sekiranya cuaca baik. Cuaca dipagi hari tersebut cerah namun terdapat sedikit kabus dan menyebabkan tasik tidak dapat dilihat dengan jelas.

Disebabkan kesuntukan masa dan bilangan peserta yang ramai, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk melepaskan peserta bebas berjalan disekitar kota dan mendapatkan info mengenai kota dari dalam buku maklumat lokasi yang telah disediakan penganjur dan dari papan tanda yang terdapat di monumen-monumen di dalam kota.

Peserta di pintu masuk Kota Umm Qais

Peserta lelaki bergambar kenangan berlatarbelakangkan Bukit Golan & Tasik Tobari

Dari Umm Qais kami bergerak menuju ke muhafazah Ajloun untuk menjejaki Kota Ar-Rabad. Perjalanan mengambil masa hampir 1 jam 30 minit dan kami telah makan tengahari di dalam perjalanan dari Umm Qais ke Ajloun.

Setelah selesai lawatan di Qalaah Ar-Rabad kami telah berhenti solat di sebuah masjid berhampiran pekan Ajloun. Sepatutnya selepas lawatan ke Kota Ar-Rabad jadual yang telah diatur akan membawa para peserta ke kota Rum Jerash. Namun disebabkan permulaan yang lewat di awal pagi Kota Jerash tidak dapat dilawati pada hari pertama dan pihak penganjur telah berurusan semula dengan syarikat bas untuk kembali ke Jerash pada hari kedua sebelum meneruskan tentatif ke padang pasir Jordan.

Bandar Ajloun

Dari Ajloun kami menuju ke Jerash dan tiba pada waktu Maghrib di muhafazah tersebut. Dalam keadaan cuaca yang mula sejuk, hujan renyai-renyai membuatkan jalan licin dan bas terpaksa bergerak perlahan dalam keadaan jalan berbukit. Amat merbahaya. Tambahan pada ketika itu, seorang kenalan arab telah menelefon saya dan memberitahu tentang kemalangan bas ngeri berhampiran Jerash yang mengorbankan 23 rakyat Jordan. Saya hanya berdoa pada ketika itu agar perjalanan kami selamat.

Kami tiba di tempat penginapan di Abu Nusayr tepat jam 8.30 malam dalam keadaan hujan terus membasahi bumi Amman. Kami menginap di Hotel Jawwad untuk peserta perempuan dan Hotel Dammam untuk peserta lelaki. Tidak banyak masalah berlaku di lokasi penginapan peserta perempuan tetapi pelbagai masalah timbul di hotel penginapan pihak lelaki.

Dengan masalah gas untuk pemanas bilik telah habis dan lewat ditukar, pintu tandas yang tidak berkunci, masalah kunci bilik yang rosak, tilam dan selimut tidak disediakan dengan baik.

Selepas kejadian pengurusan hotel yang teruk pada malam pertama, pihak penganjur telah bertekad untuk menyenaraihitamkan Hotel Dammam untuk selama-lamanya. Pengurusan untuk 2008 amatlah teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pada tahun 2007, keadaan hotel telah dipinda serba baru namun pada tahun 2008 ianya tidak dikemaskini. Pihak penganjur terasa agak bersalah dengan peserta lelaki kerana keadaan hotel yang kurang selesa. Tambahan pihak penganjur telah rasa tertipu dengan pihak hotel yang hanya pandai meniti tebu di bibir.

Malam itu setelah selesai makan malam, semua peserta beristirehat menanti hari esok untuk aturcara pengembaraan seterusnya.

Apa ada di Mafraq?

Mafraq dikenali di Jordan sebagai salah satu bandar yang menjadi laluan penting yang menghubungkan negara Jordan dan Syria. Terletak kira-kira 20km dari sempadan antarabangsa Jaaber-Naseeb menjadikan Mafraq sebagai bandar yang mesti dilalui untuk ke sempadan tersebut.

Muhafazah Mafraq turut menempatkan Universiti Al-albayt yang mashyur di mana ianya telah dibuka sekitar tahun 1994 dan ia turut menjadi salah satu universiti pilihan pelajar Malaysia menimba ilmu di bumi Jordan.

Muhafazah Mafraq merupakan muhafazah yang terbesar di Jordan. Keluasannya merangkumi kawasan tanah Jordan hingga ke sempadan Iraq di Karamah dan sempadan Arab Saudi di Umari. Bandar Azraq yang diberi jolokan oasis Jordan turut berada di dalam muhafazah Mafraq.

Secara amnya, Mafraq jarang dikunjungi oleh para pelancong lantaran lokasi-lokasi sejarah yang terdapat di dalam kawasanya dianggap kurang menarik berbanding kawasan-kawasan lain di Jordan. Tambahan bentuk muka buminya yang 'membosankan' membuatkan banyak pelancong dari luar tidak memilih lokasi-lokasi di muhafazah Mafraq untuk mereka kunjungi.

Lebih 'dahsyat' lagi, maklumat mengenai lokasi-lokasi sejarah di Mafraq tidak banyak diketahui umum atau jarang-jarang disebut. Sedangkan terdapat lebih 8 lokasi-lokasi sejarah yang boleh dikunjungi di Mafraq.

Antara lokasi-lokasi sejarah yang boleh dikunjungi di Mafraq ialah : Masjid Lama Umawiah di Hayyu Fudayn berdekatan bandar Mafraq, Umm el-Jimel- Kota Batuan Igneus milik kerajaan Nabatean, Umm Al-Qutayn, Deir Al-Kahf, Qasr Huwaynit, Qasr Burqu', Qasr Azraq dan yang paling utama mesti dikunjungi oleh pelancong Muslim ialah Buqa'awiyya iaitu lokasi yang menempatkan pokok yang dikatakan tempat Rasulullah S.A.W berhenti berehat bersama kafilah pedagang sebelum meneruskan perjalanan mereka ke tanah Bosra.

Mungkin selepas ini, Mafraq boleh dijadikan lokasi pilihan untuk dikunjungi oleh student-student di Jordan. Walaupun kurang menarik tetapi banyak iktibar sejarah boleh dipelajari darinya.


Kota Umm El-Jimel
Kota dari Batuan Igneus terletak terpencil di sebuah kampung 35km dari bandar Mafraq
Kota ini merupakan salah satu pusat utama kerajaan Nabatean yang terletak di antara laluan Petra dan Bosra yang terkenal sebagai pusat perdagangan suatu ketika dahulu.


Arkeologi di Hayyu Fudayn.
Fudayn merupakan nama lama bagi Mafraq. Satu tapak arkeologi terdapat di dalam bandar Mafraq iaitu bersebelahan dengan Department Of Antiquities Mafraq (Da'irah Al-Athar 'Ammah, Mafraq). Kawasan sejarah tersebut menempatkan sebuah Masjid lama dari Kerajaan Umawiah, Rumah Mandi Awam (Hammam) dan penempatan.


Tulisan Greek Kuno yang terdapat di Qasr Azraq
Azraq merupakan sebuah pekan kecil di dalam muhafazah Mafraq yang majoritinya di diami oleh penganut Druze dan orang-orang Shishan. Terdapat sebuah kota yang juga di bina dari batu Igneus yang dipercayai wujud sejak zaman Greek. Kota ini antara kota penting yang menjadi pusat pemberontakan ketika Revolusi Arab 1917. Lawrence Gabenor Inggeris yang menjadi dalang dalam pemberontakan tersebut telah membina rumahnya di sudut atas pintu masuk utama kota tersebut.

Thursday, May 1, 2008

Batuan Igneus di kota-kota Rum

Terdapat beberapa kota lama di Jordan dibina dengan menggunakan Batuan Igneus.
Gambar di atas merupakan contoh kota yang dibina
dari batuan tersebut.


Tanah Jordan sememangnya banyak meninggalkan kesan tinggalan kota-kota bersejarah. Paling ketara adalah tinggalan zaman Rum terutama di utara negara Jordan. Liga Decapolis juga dibina di utara Jordan menganjur ke dataran Hauran di Syria dan Baisan serta Hippos di bumi Palestin.

Melihat senibina kerajaan Rum ia jelas hebat apatah lagi apabila memikirkan teknologi zaman tersebut sudah mampu membina sebuah kota yang kukuh.

Sepanjang pengembaraan saya di bumi dataran Syam boleh saya simpulkan beberapa kesimpulan tentang tinggalan-tinggalan sejarah yang ada. Kesimpulan berkaitan senibina kerajaan-kerajaan terdahulu. Di Jordan sendiri boleh dilihat 3 perbezaan utama senibina dari 3 kerajaan yang berbeza iaitu Nabatean, Rum dan Islam.

Kerajaan Nabatean mereka membelah dan memahat gunung untuk dijadikan kota, berbeza dengan kerajaan Rum mereka membongkah batu-batu besar dan menyusun batuan tersebut untuk membina kota-kota mereka.

Senibina dari kerajaan Islam adalah lebih halus. Mereka membina kota-kota dengan menggunakan batuan Brick dan sejarah sendiri telah mencatatkan bahawa penggunaan batuan Brick di dalam binaan bermula dari era pemerintahan Islam. Lantaran itu kesan-kesan istana lama di Qasr Tuba dan Qasr Mushatta yang terdapat di Jordan dibina menggunakan batuan brick dan ia dipelopori kesan zaman kerajaan Umawiah.

Ketika era Rum, kota-kota mereka telah dibina dengan menggunakan dua jenis batu iaitu batuan putih yang lebih dikenali dengan Lime stone dan batuan Igneus atau disebut Basalt Stone atau dikenali dengan Batuan dari Gunung Berapi Mati yang berwarna hitam.

Batuan Igneus dikatakan lebih keras dari Lime stone dan disebabkan hal tersebut batuan-batuan tersebut juga dibongkah untuk membina kota-kota lama Rum. Kesan paling jelas batuan Igneus digunakan dalam pembinaan kota ialah kesan yang terdapat di Umm Qais, Umm Jimal, Umm Qutayn dan jalan Rum Lama menghubungkan Shafawi ke Buqa'awiyya.

Apa yang menjadi persoalan pada pertama kali saya terpandang batuan tersebut ialah dari manakah batu-batu hitam tersebut di ambil? Adakah batu-batu hitam tersebut di import dari tanah yang jauh dari kawasan tersebut suatu ketika dahulu? Atau adakah kesan gunung berapi mati di tanah Jordan?

Pada mulanya saya sudah menganggap batuan tersebut datang dari luar kawasan tanah Jordan ketika pemerintahan Rum dahulu. Namun setelah mengembara di banyak kawasan di Jordan boleh saya simpulkan bahawa batu-batu tersebut di ambil di kawasan tanah Jordan juga. Buktinya ialah longgokan batuan hitam yang berterabur seperti ianya berkecai di dataran tanah yang menghubungkan Shafawi dan sempadan Iraq Karamah.

Dan yang paling jelas adalah kesan Gunung Berapi Mati yang boleh dilihat di jalan lama yang menghubungkan Karak dan Tafilah di Selatan Jordan. Proses pembentukan gunung tersebut sudah pasti memakan usia jutaan tahun yang manusia sendiri belum menjadi penghuni dunia pada ketika itu.

Bergambar kenangan berhampiran Tannur.
Lokasi ini terletak di jalan perhubungan lama yang menghubungkan Furat dan Memphis.
Terdapat sebuah gunung berapi mati di jalan tersebut


Pernah ada kawan yang berpendapat bahawa batu-batu hitam yang menjadi binaan kota-kota Rum telah sendiri menjadi hitam setelah menghadapi tempoh yang lama dan dari zaman berzaman.

Ada pula yang memberi pendapat bahawa batuan tersebut menjadi hitam adalah dari kesan lumut-lumut yang melekat. Hebat betul lumut sehinggakan apabila dipecahkan batu tersebut dalamnya turut berwarna hitam.

Penemuan-penemuan batu Igneus di dalam tanah Jordan sendiri menguatkan keyakinan aku bahawa Rum telah mengambil batu-batu Igneus tersebut untuk membina kota-kota mereka.