Monday, September 17, 2007

Dua perkara ...

Dua perkara yang paling ditakuti.
Tenggelam dengan pujian manusia &
hanyut dengan prinsip yang kita anggap membina diri
rupa-rupanya membawa kebinasaan pada diri


Terima kasih kepada rakan yang 'menghadiahkan' peringatan ini melalui SMSnya pada jam 8.53 malam
18 September 2007 selepas solat tarawikh.

:: Manusia yang memuji adalah musuh dan menegur adalah rakan ::

Sunday, September 16, 2007

50 kali akhirnya...


13 September yang lalu aku ditakdirkan menjejaki kota Petra untuk kali ke-50.. Alhamdulillah..akhirnya 'Jublee Emas' aku sambut di hari menjelang 1 Ramadhan.

Kali ke-50 ke Petra aku mengiringi rombongan pegawai YAKIN dari Kelantan yang melakukan lawatan kerja dan ziarah di Jordan.

22 September aku akan kembali ke tanahair..sebelum meninggalkan bumi Jordan aku akan menulis sesuatu mengenai Petra. Kenangan dan kajian sepanjang aku bersamanya..1001 kisah, pengetahuan dan ilmu mengenai PETRA.

Sunday, September 9, 2007

Istana Padang Pasir


QASR KHARRANAH, JORDAN

Penulis: Muhamad Hazimin Sulaiman

Qasr bermaksud Istana manakala Kharranah bermaksud Arnab padang pasir. Qasr Kharranah terletak kira-kira 45 kilometer dari ibu negara Jordan, Amman. Istana ini diberi nama Kharranah adalah kerana pada suatu ketika dikatakan kawasan tersebut dipenuhi oleh arnab padang pasir namun pada ketika ini ianya sudah tidak kelihatan.

Kota ini terletak di pertengahan laluan ke Azraq. Sebuah pekan yang terletak di timur negara Jordan yang turut merupakan laluan perhubungan utama ke negara Iraq dan Saudi Arabia.

Qasr Kharranah merupakan antara istana padang pasir yang terpelihara dengan baik. Ciri-ciri istana ini adalah seperti berikut:

  1. Berkeluasan 35m2
  2. Pintu masuknya berbentuk bulat begitu juga disetiap sudutnya terdapat menara yang berbentuk bulat
  3. Dikedua sisi pintu masuk terdapat bilik besar yang dipercayai sebagai tempat kandang kuda dan bilik stor
  4. Terdapat 61 buah bilik di dalam kota yang menghadap ke dataran tengah istana.
  5. Terdapat bilik yang dikatakan tempat tinggal bangsawan kaya dengan ukiran yang hebat pada bilik unik tersebut. (Ia berbeza dengan keadaan bilik lain yang terdapat di dalam kota)
  6. Terdapat lubang pada dinding kota yang bertujuan untuk pengudaraan dan cahaya ke dalam setiap bilik. Bentuknya mengereng dan panjang yang memastikan ia bukanlah lubang yang digunakan untuk tujuan keselamatan (Arrow Slipt)
  7. Terdapat longkang air bawah tanah yang disalurkan ke tengah kota. Namun sumber airnya tidak berada berdekatan dengan kota. Ia terletak disebuah wadi (lembah) yang agak jauh dari kota tersebut
  8. Terdapat juga kesan masjid lama di tingkat atas kota
  9. Di dataran kota (ruang tengah) dahulunya dikatakan terdapat atap dan tangga yang menhubungkan antara bilik, namun ia kini sudah runtuh akibat gempa bumi yang melanda pada kurun ke-7 masihi.
  10. Terdapat 2 buah tangga di kiri kanan kota untuk naik ke tingkat atas kota. Ia masih kekal sehingga ke hari ini.

Sejarah ringkas kota

Kota ini dibina ketika zaman kerajaan Islam iaitu pada era pemerintahan kerajaan Umawiah (antara tahun 661-750 masihi). Ini dibuktikan dengan penemuan tulisan dengan khat kufi di salah satu pintu bilik bahagian barat ditingkat dua. Tulisan itu bertulis kalimah arab yang bermaksud : DITULIS OLEH ABD MALIK BIN UBAID PADA HARI ISNIN TAHUN 92 HIJRAH.

Setengah ahli arkeologi berpendapat bahawa kota ini dibina untuk tujuan pertahanan. Namun pendapat tersebut ditentang oleh beberapa pandangan yang menyatakan bahawa kota tersebut digunakan untuk pertemuan para pedagang yang datang dari Iraq dan tempat pertemuan ketua-ketua kabilah dan kafilah pada ketika itu.

Ia turut dikaitkan sebagai tempat pertemuan pemimpin kerajaan Umawiah bersama ketua-ketua puak/kabilah. Pendapat ia dikuatkan dengan ciri-ciri kota bukanlah digunakan sebagai kota pertahanan kerana keadaan lubang pada kota adalah untuk pengudaraan dan cahaya bukan untuk tujuan memanah bahkan kedudukan lubang tersebut agak tinggi pada dinding kota.

Tuesday, September 4, 2007

Ma'bad Nabatean di Muhay


Perkampungan Muhay terletak kira-kira 30km dari bandar Karak. Berkedudukan di pertengahan jalan menuju ke Wadi Abyad, kampung berjiran dengan lebuhraya padang pasir untuk ke Arab Saudi.

Muhay di diami oleh kabilah Basyabsyah yang merupakan majoriti di situ. Kabilah Hajaya dan alQudhoh turut mendiami kampung kecil tersebut.

Penghuni padang pasir sekitar itu gemar mengambil jalan 'shortcut' ke Al-Hisa dari Muhay. Kebiasaanya mereka akan melalui perkampungan kecil Hamdiyyah dan Furaifura untuk ke Al-Hisa yang merupakan antara pekan pengeluar fosfat terbesar di Jordan. Penghuni Zhat Ras dan Sgeira juga sering mengambil jalan pintas dari kampung mereka sama ada ingin menuju ke Wadi Abyad atau Al-Hisa. Tidak perlu mereka menghabiskan minyak melalui Moab dan Umm Hamad untuk ke lebuhraya padang pasir.

Itulah Muhay. Ia dikenali sebagai kampung yang mesti dilalui jika mereka ingin ke lebuhraya utama ke Aqaba dari Karak-Mazar.

Untuk mereka yang mencintai sejarah, sudah pasti Muhay merupakan salah satu destinasi arkeologi yang boleh dikunjungi di Karak. Di Muhay terdapat kesan tinggalan kerajaan Nabatean dan perumahan lama dari zaman kerajaan Uthmaniah. Sebuah Ma'bad (rumah ibadat) yang dipercayai dari zaman Nabatean masih tersergam di sebuah Tellah (bukit rendah) di kampung tersebut. Kesan ukiran 2 ekor kijang pada dinding rumah ibadat nabatean masih boleh dilihat sehingga ke hari ini.

Turut ditemui ialah beberapa buah telaga yang sudah kering tanpa air.

Berhampirannya terdapat kesan runtuhan rumah-rumah lama dari kerajaan Turki Uthmaniah yang bersambung dengan perumahan moden Muhay pada ketika ini.

Kesan runtuhan ma'bad nabatean di Muhay (South Karak)

Ukiran 2 ekor kijang di dinding ma'bad nabatean, Muhay

Diceritakan, lembah luas berhampiran kota ini terdapat emas dan harta tertanam. Ia bukanlah satu khayalan tetapi realiti setelah mana banyak dari harta tersebut ditemui oleh penduduk tempatan. Sehinggakan berlaku pembunuhan di tapak tersebut beberapa tahun yang lalu. Pembunuh adalah penduduk tempatan yang mencemburui beberapa penduduk luar dari kampung tersebut hadir dengan tujuan mencari/mengali emas dan harta di situ.

Oleh itu, jika ada yang berniat untuk mecuba nasib mencari sesuatu bernilai di situ. Lupakan sahaja. Atau nyawa terancam.

Monday, September 3, 2007

Tunjuk Perasaan di Jiza

Pekan Jiza yang terletak berhampiran dengan Queen Alia International Airport (QAIA).
Di pekan inilah berlakunya tunjuk perasaan membantah kenaikan harga sya'ir yang cukup
menekan penternak kambing biri-biri di Jordan


Kenaikan harga barang terus menekan kehidupan rakyat di Jordan. Jika mereka dari kakitangan awam, gaji tidak naik tapi harga barangan terus meningkat. Peniaga juga yang mengaut banyak keuntungan.

Semalam berlaku tunjuk perasaan di Jiza. Kenaikkan harga Sya'ir oleh kerajaan cukup membuat para penternak kambing berang dan marah. Mana tidaknya, kenaikkan lebih 100% daripada harga asal memberikan mereka tekanan yang amat hebat.

Sya'ir merupakan sejenis bijirin yang menjadi makanan utama kambing biri-biri. Kebiasaanya untuk 1000 ekor kambing penternak memerlukan 20 syuwal Sya'ir sehari (1 syuwal bersamaan dengan 50 kilo). Harga untuk 20 Syuwal tersebut sebelum kenaikan harga ialah JD 90. Tetapi kerajaan pimpinan King Abdullah II telah menaikkan harga kepada JD210 untuk 20 syuwal sya'ir! Kenaikan yang sungguh tidak munasabah.

Kerajaan menyatakan bahawa kenaikkan tersebut berpunca dari kemasukkan sya'ir dari luar Jordan dengan menyatakan juga bahawa keluaran sya'ir di dalam negara berkurangan.

Dengan sebab ini juga Menteri Kewangan Jordan bertindak mengherdik Raja demi untuk membela rakyat. Malangnya tindakannya dianggap biadab lalu ditahan di penjara pada ketika ini.

Rentetan dari itu, penduduk di Jiza dan dari kawasan lain yang rata-rata mereka penternak kambing telah melakukan demontrasi dan tunjuk perasaan membantah keputusan kerajaan yang didakwa menekan hidup rakyat. Jalan utama Amman ke Aqaba yang melalui Jiza ditutup buat sementara dengan kawalan polis khas Jordan. Tunjuk perasaan oleh rakyat dapat dikawal dan dileraikan.

Sehingga hari ini, para penternak terus berdukacita kerana harga sya'ir mustahil akan diturunkan manakala pembela mereka pula di anggap pesalah dan penderhaka.

Saturday, September 1, 2007

Al Laahun- Hidden Village

Rumah-rumah yang terdapat kampung terpencil Laahun

Peta dan maklumat lokasi sejarah yang disediakan di kampung kecil Laahun

Jika boleh, aku mahu lama berada di Laahun.

Tapi aku hanya berangan untuk lama berada di situ. Pengembaraan singkat ke Laahun sudah cukup membuatkan hati aku tertarik dengan kampung terpencil tersebut. Walaupun tidak boleh lama.

Laahun sebuah kampung kecil terletak jauh tersorok di pergunungan lembah Wadi Mujeb. Tidak ada langsung kenderaan awam untuk ke kampung tersebut. Jika pengembara melalui jalan Dhiban ke Umm Rasas sudah pasti kampung Musherfah, Al-Jmeil akan dilalui. Namun, perkampungan kecil Laahun pasti tidak akan diketahui jika tidak ada sebarang papan tanda yang menunjuk arah.

Kampung Laahun jauh terpencil di tengah dataran padang pasir seakan-akan lembah kering. Penghujungnya ada dataran yang memungkinkan kereta menjunam masuk ke gaung lembah yang dalam jika terputus breknya.

Laahun lebih dikenali sebagai Yaahun dikalangan penduduk tempatan.

Petang itu aku mengembara ke Laahun dari bandar Dhiban bersama Ifwat. Seorang yang aku anggap pewaris peminat sejarah di bumi Jordan. Boleh dikatakan saban tahun aku mencari seorang yang boleh menyambung minat mendalam terhadap sejarah, akhirnya kedatangan beliau ke Jordan pada tahun lalu dan setelah mengenali dirinya, aku yakin. Dia seorang yang amat meminati sejarah dan akan menjadi seorang sejarawan yang hebat jika ia meneruskan minatnya.

Kami menyewa van dari Dhiban dengan bayaran JD5. Pemandu kami pada petang tersebut ialah Husamah Bani Hamaidah. Seorang yang masih muda. Muka kelihatan pemarah tetapi berbudi baik.

Kami melalui jalan kecil dari Dhiban menuju ke Musherfah. Dan dari persimpangan tersebut van terus menuju ke kampung Laahun. Jaraknya kira-kira 4 km dari persimpangan jalan Musherfah. Jalan barat terus ke Jumail, Umm Rasas dan Shariq Sahrawi.

Dalam catatan peribadi dan bahan bacaan yang ada. Tidak banyak maklumat memperkatakan tentang Laahun. Oleh sebab itu aku amat-amat ingin menjejaki kampung terpencil tersebut untuk melihat apakah yang ada di situ. Pernah aku membuka lonely planet guide untuk mendapatkan maklumat tentang Laahun. Namun ianya mengecewakan.

Dan inilah kepentingan bagi peminat sejarah dan mereka yang ingin mengkaji sejarah. Pemerhatian ke lokasi sejarah tersebut merupakan satu kelebihan yang amat bernilai. Semua orang boleh membaca sesuatu secara tetapi jika membaca dan disertai dengan pemerhatian ke lokasinya, ia akan lebih berharga.

Bagi diri aku, aku cukup berasa puas jika dua perkara tersebut dapat digabungjalinkan. Membaca kemudian mengkaji dan akhirnya tiba di lokasi tersebut ataupun tiba di lokasi tersebut membaca dan terus mengkaji.

Menjejaki kaki ke Laahun petang hari tersebut tidak mengecewakan aku. Aku mengutip banyak maklumat tentang kesan tinggalan sejarah yang berada di Laahun. Kebanyakkan kesan tinggalan di Laahun adalah dari zaman kerajaan Islam. Iaitu dari Kerajaan Umayyah, Ayubiah-Mamluk dan Uthmaniah.

Kesan sejarah di situ telah membuktikan Islam telah bertapak di kawasan tersebut sejak kurun ke-7 lagi. Tambahan kesan masjid kerajaan Mamluk masih boleh dilihat sehingga hari ini (dari kurun ke-13).

Namun, kerajaan Anbad yang wujud sekitar kurun pertama sebelum masihi pernah menduduki kawasan tersebut. Ini adalah hasil dari penemuan rumah ibadat anbad di kawasan tersebut. Dalam pada itu, kesan penempatan dari zaman Gangsa dan Besi turut ditemui berhampiran Ottoman House. Ini bermaksud manusia telah lama menetap di situ sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

Kesan penempatan kerajaan Umawiah ditemui di Laahun. Begitu juga Mamluk dan seterusnya kerajaan Uthmaniah menjadikan kawasan Laahun sebagai penempatan mereka. Perumahan dari zaman Uthmaniah dan kesan-kesan tinggalan Uthmaniah masih kelihatan sehingga ke hari ini.

Kawasan Laahun ini telah dijaga oleh para arkeologi Belgium. Hasil kerja mereka sangat baik dan jarang ditemui hasil kerja sedemikian di lokasi sejarah lain di Jordan. Papan-papan tanda petunjuk arah lokasi di sediakan dan maklumat lokasi sejarah tersebut tertulis di papan tanda di tapak sejarah.

Pengalaman di Laahun sukar aku lupakan dan aku memasang harapan untuk kembali ke situ. Jika berpeluang.

Kesan-kesan sejarah di Laahun

Kesan Masjid Kerajaan Mamluk membuktikan Islam telah lama bertapak di kawasan ini

Papan tanda menunjukkan Rumah Uthmaniah dan petunjuk arah ke tapak arkeologi
penempatan zaman gangsa dan besi


Penempatan Lama dari Zaman Mamluk

Memori di Laahun

Papan Tanda menunjukkan kesan dari kerajaan Zaman Umawiah, Ayubiah-Mamluk dan Turki Uthmaniah